CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 21 Ogos 2015

KENDURI ARWAH DI DALAM KITAB JAWI MUKTABAR - MENJAWAB DAKWAAN DR ASRI






Meluruskan Kefahaman Dr Asri Zainul Abidin : Seputar Permasalahan Kenduri Arwah Di Dalam Kitab-Kitab Jawi Muktabar.

Baru-baru ini berlegar satu video mengenai Hukum Kenduri Arwah yang ditanyakan oleh seseorang kepada Dr Maza berkaitan isu Kenduri Arwah. Kemudian dijawab oleh beliau secara yakin bahawa Kenduri Arwah adalah haram. Kemudian beliau memberi hujjah Hadis Jabir dan kemudian memetik kitab-kitab Ulama Syafiiyah seperti Majmu Syarah Muhazzab Imam Nawawi dan Bughyatul Tullab karangan Sheikh Daud al-Fathoni. Beliau mendakwa di dalam Kitab Bughyatul Tullab mengharamkan Kenduri Arwah. Ini satu kenyataan yang salah dan cuai di dalam memahami kitab Turath Jawi Melayu. Di ruangan ini saya akan memberikan gambaran atau ibarat kepada Kitab-kitab Turath Jawi Melayu.

Gambar 1 : Kitab Bughyatul Tullab karangan Sheikh Daud al-Fathoni. Boleh rujuk kitab ini pada muka surat 33 juzu ke 2 terbitan Bin Halabi.

Secara jelas Sheikh Daud mengatakan

" Dan (makruh) lagi bidaah bagi orang yang kematian memperbuat makanan menserukan segala manusia atas memakan akan dia (makanan).....". 

Guru saya Ust Imanuddin (bekas pelajar Ajiyad Makkah al-Mukarramah) memberi ta'liq (komentar) mengenai ibarat ini dengan katanya maksud makruh lagi bidaah adalah pada menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan Kenduri Arwah. Ini seperti yang dikatakan oleh Sheikh Nawawi Banten

" Bersedekahlah untuk orang yang telah meninggal dunia itu sunnat (mathlub),tetapi hal itu tidak harus (makruh) dikaitkan dengan hari-hari yang telah menjadi tradisi dalam masyarakat dan acara tersebut dimaksudkan untuk meratapi mayat".

 Yang kedua adalah makruh lagi bidaah apabila ada "wahsyah". Ini seperti dinaskan di dalam kitab Nihayah az-Zain :


و اما الطعام الذي يجتمع عليه الناس ليلة دفن الميت المسمى بالوحشة فهو مكروه ما لم يكن من مال الايتام و الا فيحرم كذا في كشف اللثام و الدعاء قال النووي في الاذكار : اجمع العلماء على ان الدعاء للاموات ينفعهم و يصلهم ثوابه.
Bermaksud : Dan adapun tentang makanan yang berkumpul manusia atasnya pada malam dikebumikan mayat yang dinamakan "wahsyah" ia adalah makruh selama mana ia adalah bukan dari harta anak yatim,jika (ia daripada harta anak yatim) maka menjadi haram. Inilah yang disebut di dalam kitab Kasyf al-Litham. 

(Adapun tentang) doa,Imam Nawawi berkata di dalam al-Azkar: Telah Ijma' ulama atas sesungguhnya doa ke atas mayat memberi manfaat kepada mereka dan sampai padanya.

Inilah nilaian bertalaqqi dan kepentingan memahami murod (kehendak) pengarang kitab. Mungkin Dr akan mengatakan mengapa ia dikatakan Bidaah Makruhah? Bukankah bidaah itu satu jua.

Jawapan kami daripada pengikut Mazhab Syafie, adapun di dalam mazhab kami bidaah itu bukan hukum. Ianya tabi' (mengikuti) hukumnya yang lima. Ini jelas seperti katanya Imam Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim Jilid 7 halaman 105 :


ان البدع خمسة اقسام واجبة و مندوبة و محرمة و مكروهة و مباحة.
Maksudnya: Bahawasanya bidaah itu lima bahagian iaitu wajib,sunnat,haram,makruh dan haram.
Adapun yang disebutkan oleh Sheikh Daud al-Fathoni adalah Bidaah Makruhah. Bukannya Bidaah Muharramah. Tetapi hukum makruh boleh menjadi harus. 

Ini seperti dinaskan oleh Imam Khatib as-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj jilid 2 halaman 215.


و ان دعت الحاجة الى ذلك جاز فانه ربما جاءهم من يحضر ميتهم من القرى و الاماكن البعيدة و يبيت عندهم و لا يمكنهم الا يضيفوه.
Bermaksud :
Dan jika melakukan kerana ada (sebab) hajat, maka itu diperbolehkan Jaiz kerana barangkali di antara mereka yang datang ada yang berasal dari desa dan tempat² yang jauh dan menginap di rumah mereka, maka tidak mungkin kecuali mereka mesti dijamu.

Sekarang di mana haramnya wahai Dr Maza seperti yang anda sangkakan di dalam kitab-kitab Turath Jawi Melayu.

Gambar kedua: Kitab كشف اللثام عن اسئلة الانام karangan Sheikh Zainul Abidin al-Fathoni. Boleh lihat mukasurat 83 jilid 1 terbitan Bin Halabi.

Sheikh Zainul Abidin menyebutkan:


" (Far'u) Bermula berbuat makanan yang berhimpun atasnya oleh manusia pada malam yang ditanam akan mayat itu dinamakan dengan "wahsyah" itu MAKRUH selama tiada ada ia daripada harta anak yatim dan jika ada maka haram".
"Wahsyah" adalah dengan berhimpun melahirkan kesedihan adalah haram. Kalau berhimpun dengan membaca tahlil dan berdoa adalah sedekah pahala si mati maka hukumnya adalah sunnat" 

Rujuk Kenduri Arwah karangan Sohib as-Samahah Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi.

Gambar ketiga: Kitab سبيل المهتدين للتفقه في امر الدين karangan Sheikh Arsyad al-Banjari. Rujuk muka surat 87 jilid 2 terbitan Maktabah wa Matba'ah Muhammad al-Nahdi wa Auladuhu.

Berkata Sheikh Arsyad al-Banjari:



" (dan makruh) lagi bidaah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukan segala manusia atas memakan akan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat".

Sedikit ta'liq (komentar) guru saya al-Marhum Ust Hassan (murid kepada Tuan Guru Hj Mat Saman Kati) makruh apabila ia dilakukan apabila di wajibkan tentukan bilangan hari pada Kenduri Tahlil. Ianya hanya makruh tidak sampai kepada peringkat Haram.

Terakhir saya mengharapkan agar Dr Maza tidak segan silu untuk menanyakan hal-hal atau ibarat-ibarat kitab Turath Jawi Melayu kepada Ulama-Ulama Melayu yang sudah mengkhatamkan kitab-kitab turath berkali-kali. Supaya tidak timbul salah faham dan seterusnya mencemarkan nama ulama-ulama Melayu seperti Sheikh Daud al-Fathoni. Saya memohon taufik daripada Allah agar sedikit perkongsian ini memberikan kebaikan dan merungkaikan kekusutan. Dan kepada Allah saya kembalikan segala-galanya.

Hambir Yang Faqir kepada Tuhannya
IBNU QASIM AL-BIRAQI

Sumber : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1639431413008792&id=1395416944076908

Tiada ulasan: