PEMBERIAN: PERLUKAH ADIL KEPADA ANAK?
( Bilangan 268 )
بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
( Bilangan 268 )
بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Al-Imam as-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu menjelaskan bahawa tabarru‘ (memberi sesuatu kepada orang lain tanpa gantian) seseorang akan hartanya kepada orang lain terbahagi kepada dua:
1. Yang tergantung (tertakluk) kepada kematian iaitu wasiat.
2. Yang terlaksana ketika hidup. Ia terbahagi kepada dua;
Pertama: Memindahkan milik semata-mata, iaitu hibah, hadiah dan sedekah.
Kedua: Wakaf.
Hibah dalam istilah syara‘ ialah memindah milik sesuatu tanpa perlu menukar ganti. Hibah merangkumi sedekah dan hadiah, kerana ia mempunyai definisi yang hampir sama, cuma yang membezakannya ialah tujuan dan maksud semasa menyampaikannya.
Jika pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan mengharapkan pahala, maka ia adalah sedekah. Namun jika ia
dimaksudkan sebagai satu penghargaan, sanjungan dan tanda kasih, maka ia dinamakan hadiah, dan jika ia tidak dimaksudkan seperti di atas, maka ia hanyalah satu pemberian biasa (hibah).
Hukum hibah (termasuklah hadiah dan sedekah) itu adalah sunat.
Ini kerana hibah itu merupakan suatu kebajikan dan ia terkandung dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Wahai perempuan-perempuan Islam, janganlah kamu menghina seorang jiran (yang menghadiahkan) kepada jirannya walaupun hanya dengan kuku kambing (walau hanya sesuatu yang sedikit).”(Hadits riwayat Muslim)
Sabda baginda lagi:
Maksudnya:
“Beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan kasih mengasihi sesama kamu.”(Hadits riwayat Malik)
Jelaslah bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya bersikap saling beri memberi, kerana ia boleh melahirkan perasaan kasih sayang. Walau bagaimana kecil sekalipun pemberian itu, namun ia tetap dianggap suatu pemberian bahkan akan mendapat ganjaran pahala.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya:
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”(Surah az-Zalzalah: 7)
Orang yang lebih utama diberikan hibah itu adalah kaum kerabat dan jiran. Sunat saling doa mendoakan memohon keberkatan dan sebagainya antara pemberi dan penerima, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha katanya:
Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dihadiahkan seekor kambing, baginda bersabda: “Bahagi-bahagikanlah ia.” Apabila tiba khadam (yang menghantar daging) ‘Aisyah bertanya: “Apa yang mereka katakan (ketika menerima daging)?” Khadam menjawab: “Mereka mengucapkan (semoga Allah memberkati apa yang masih tinggal pada kamu).” Maka ‘Aisyah berkata: “(Dan semoga Allah memberkati apa yang ada pada mereka), kita hendaklah menjawab sebagaimana yang mereka ucapkan, dan kekallah pahala kita untuk kita.”
(Hadits riwayat Ibnu as-Sinni)
Perlukah Adil Dalam Pemberian Kepada Anak?
Makruh bagi ayah mengutamakan seorang anak daripada anak-anaknya yang lain dalam pemberian sama ada hibah, hadiah, sedekah, wakaf atau derma yang lainnya.
Maka sunat bagi ayah berlaku adil kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan hatta kepada cucu-cucunya dalam memberi suatu pemberian, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh an-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya:
“Ayahku telah bersedekah kepadaku sebahagian hartanya, maka berkata ibuku ‘Amrah Binti Rawahah: “Saya tidak rela sehinggalah engkau mempersaksikannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.” Maka ayahku pergi kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk dipersaksikan sedekahku. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada ayahku: “Adakah engkau membuat begini (memberi sedekah) kepada semua anakmu?” Berkata (ayahku): “Tidak.” Baginda bersabda: “Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anak kamu.” Maka ayahku kembali dan menarik balik sedekah itu.”
(Hadits riwayat Muslim)
Selain ayah, disunatkan juga kepada ibu, nenek lelaki dan nenek perempuan berlaku adil kepada anak dan cucu mereka. Jika diutamakan salah seorang daripada mereka dalam pemberian maka
hukumnya makruh (tapi pemberian itu sah), kerana ini boleh membawa kepada perasaan hasad dengki dan sifat menderhaka, sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh an-Nu‘man bin Basyir
Radhiallahu ‘anhuma ketika ayahnya datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk dipersaksikan pemberian yang dia beri kepada anaknya, lalu baginda bersabda:
Maksudnya:
“Adakah kesemua anakmu engkau berikan pemberian sepertimana yang engkau berikan an-Nu‘man?” (Ayah) berkata: “Tidak.” Baginda bersabda: “Maka persaksikanlah pekara ini (kepada orang) selain aku.” Kemudian baginda bersabda: “Apakah engkau suka mereka berbuat baik yang sama kepadamu?” Dia berkata: “Ya.” Baginda bersabda: “Jika demikian tidaklah (aku mahu mempersaksikannya).”
(Hadits riwayat Muslim)
Menurut ad-Damiri bahawa berlaku adil kepada anak-anak itu adalah dituntut hatta dalam memberi ciuman kepada mereka. Sementara as-Syiekh Sulaiman al-Jamal menyebutkan bahawa bukan sahaja adil dalam pemberian bahkan juga berlemah lembut dalam percakapan dan sebagainya.
Ketika Bila Ia Makruh?
Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, ayah yang mengutamakan seorang anak daripada anak-anaknya yang lain dalam pemberian adalah makruh, apabila kesemua anak-anaknya
itu sama-sama berhajat pada pemberian atau sama-sama tidak berhajat padanya.
Adapun jika tidak sama keadaan mereka seperti salah seorang daripada anaknya berhajat pada pemberian dan anak-anaknya yang lain tidak berhajat, maka tidaklah makruh memberi keutamaan kepada anaknya yang berhajat itu.
Demikianlah juga halnya tidak makruh memberi keutamaan kepada anaknya yang tidak menderhaka, yang tidak fasiq, yang berilmu dan wara‘. Sebagaimana para sahabat Radhiallahu ‘anhum mengutamakan sebahagian anak mereka. Adapun jika kedua-dua anaknya itu fasiq akan tetapi salah seorang daripadanya kefasiqannya lebih berat berbanding yang seorang lagi, seperti seorang anaknya itu peminum arak, penzina dan peliwat dan seorang yang lain hanya peminum arak, maka didahulukan yang lebih ringan kefasiqannya.
Haram memberi sesuatu pemberian kepada anak yang fasiq, apabila diketahui bahawa ia akan membelanjakan pemberian itu pada kemaksiatan. Jika ibu bapa tidak adil dalam pemberian itu, contohnya seorang anak diberi dengan bahagian yang lebih banyak dan yang lain hanya sedikit, maka dalam hal ini ada dua cara penyelesaian:
Pertama: Yang lebih utama, disama ratakan pemberian itu dengan menambah kekurangan pada anak yang mendapat bahagian yang sedikit.
Kedua: Diambil lebihan daripada anak yang mendapat bahagian yang lebih banyak itu supaya menjadi sama rata. Sebagai kesimpulannya, ibu bapa hendaklah berlaku adil kepada anak-anak dalam memberikan suatu pemberian sama ada berbentuk hadiah, sedekah ataupun wakaf agar tidak menimbulkan di hati mereka perasaan dengki dan penderhakaan.
Sumber : Mufti Brunei
Tiada ulasan:
Catat Ulasan