CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 26 Ogos 2009

BATASAN-BATASAN SYARAT BERUBAT DENGAN JAMPI DAN TANGKAL Bab 2

BATASAN-BATASAN SYARAT BERUBAT
DENGAN JAMPI DAN TANGKAL

(BILANGAN 157 BAHAGIAN KEDUA)


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

4) Bahasa yang digunakan hendaklah difahami maknanya:

Para ulama bersepakat mensyaratkan bahawa bahasa yang digunakan dalam jampi dan tangkal itu hendaklah terdiri daripada bahasa yang boleh difahami maksudnya.

Dalam konteks ini, bukan sahaja setakat penjampi atau pembuat tangkal itu dikehendaki mengerti atau faham akan maksud jampinya, bahkan orang yang menerima rawatan melalui jampi tersebut hendaklah juga faham akan maksud jampi yang digunakan. Tujuannya ialah supaya dia tahu bahawa perkataan jampi yang digunakan itu tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum syara‘ seperti perkara yang membawa syirik, sihir dan seumpamanya.

Di antara dalil yang mendokong larangan berubat dengan jampi mentera dan tangkal yang tidak difahami maksudnya sebagaimana sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam ketika Baginda ditanya tentang jampi yang diamalkan pada zaman jahiliyyah:

Maksudnya:

“Perlihatkan kepada ku jampi-jampi kamu itu, tidak menjadi apa-apa mengamalkan jampi selama mana tidak mengandungi di dalamnya syirik.”

(Hadits riwayat Muslim dan Abu Daud)

Al-Imam Ibnu Hajr Al-‘Asqalaani Rahimahullahu Ta‘ala menegaskan, hadits di atas memberi petunjuk bahawasanya apa pun jenis jampi yang membawa kepada syirik maka ianya adalah dilarang (bahkan haram). Begitu juga halnya jampi yang tidak difahami makna atau maksudnya, di mana ianya tidak dapat dipastikan bebas daripada perkara syirik, maka dengan sebab itu ianya adalah ditegah oleh syara‘ sebagai langkah berjaga-jaga atau berhati-hati.

5) Ditulis jampi atau tangkal itu dengan benda yang suci:

Jika sekiranya jampi itu ditulis pada kertas, kulit binatang, logam atau seumpamanya maka hendaklah benda-benda seperti itu terdiri daripada benda yang bersih dan suci. Sebagaimana juga alat yang digunakan untuk menulis hendaklah terdiri daripada benda yang bersih dan suci seperti dakwat, za‘faran dan seumpamanya. Oleh itu, tidak harus menggunakan benda-benda yang najis seperti darah, nanah, air kencing dan sebagainya, kerana kata-kata Allah (kalaamullaah), nama-nama dan sifat-sifatNya yang Maha Agung dan Maha Suci itu selayaknya tidak bercampur dan tercemar dengan benda-benda yang kotor dan jijik.

Terdapat setengah pengamal ilmu sihir yang menulis jampi mentera berupa ayat Al-Qur’an dengan menggunakan darah haidh wanita, kemudian menjampinya untuk memanggil jin dan memerintah jin tersebut untuk melakukan apa saja yang dia kehendaki.

Memang jelas bahawa cara amalan seperti ini merupakan suatu kekufuran yang nyata, kerana mempersenda dan mempermain-mainkan surah dan ayat-ayat Al-Qur’an boleh membawa kepada kekufuran.

Kedua- Batasan-batasan syara‘ khusus bagi penjampi:

1) Hendaklah penjampi itu beragama Islam:

Adalah disyaratkan orang yang mengubat dengan jampi atau tangkal itu terdiri daripada orang yang beragama Islam. Maka tidak harus bagi orang bukan Islam menjampi orang Islam.

Apa yang dimaksudkan dengan orang bukan Islam dalam hal ini ialah orang yang bukan ahli kitab yakni bukanYahudi dan Nashrani. Bagi ahli kitab (Yahudi dan Nashrani) sebagaimana menurut Al-Imam Asy-Syafi‘e Rahimahullahu Ta‘ala harus menjampi orang Islam, dengan syarat jampi menteranya itu bersumber daripada kitab Allah atau berupa zikrullah.

Dalil yang menyokong pendapat Imam Syafi‘ie itu sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Malik daripada ‘Amrah binti Abdurrahman:

Maksudnya:

“Bahawasanya Abu Bakar masuk berjumpa ‘Aisyah sedang dia (‘Aisyah) mengadu sakit. Pada ketika itu seorang wanita Yahudi menjampi ‘Aisyah, lalu Abu Bakar berkata: “Jampilah dengan kitab Allah.”

(Hadits riwayat Malik)

Bagaimana pula kedudukan hukumnya orang Islam menjampi orang bukan Islam? Para ulama tidak mempunyai pandangan berbeza dalam hal ini bahawa seseorang Islam harus menjampi orang yang bukan Islam. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘ed Al-Khudri, beliau berkata:

Maksudnya:

“Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mengutus kami dalam suatu peperangan, lalu kami singgah berhenti pada suatu kaum. Kemudian kami meminta kepada mereka agar menjamu kami. Tetapi mereka enggan menjamu kami. Lalu ketua mereka disengat (kalajengking). Mereka pun datang berjumpa kami.

Lalu mereka berkata: “Adakah di antara kamu sesiapa yang boleh menjampi untuk mengubat sengatan kalajengking?” Aku (Abu Sa‘ed) berkata: “Ya, tetapi aku tidak akan menjampinya sehingga kamu memberikan kambing kepada kami.” (Salah seorang kaum itu) berkata: “Sungguh, saya akan memberikan kepada kamu tiga puluh ekor kambing.”

Kami pun bersetuju, kemudian aku membacakan kepadanya Al-Hamdulillah (Al-Fatihah) sebanyak tujuh kali. Setelah itu ketua kaum itu pun sembuh dan kami menerima kambing. Dia (Abu Sa‘ed) berkata: “Lalu timbul sesuatu dalam fikiran kami, kemudia kami berkata: “Janganlah tergesa-gesa sehingga kamu menghadap Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.”

Dia (Abu Sa‘ed) berkata: “Apabila kami datang menghadap Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam aku pun menceritakan kepada Baginda apa yang telah aku lakukan.” Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Bagaimana kamu tahu bahawa (surah Al-Fatihah) itu adalah jampi? Terimalah kambing itu dan berilah aku bahagian bersamamu.”

(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Hujjah yang dapat dikemukakan melalui hadits di atas, bahawa perkampungan di mana para sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam singgah berhenti di situ pendudukanya terdiri daripada orang kafir, dan salah seorang sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjampi ketua kampung yang kena sengat kalajengking. Apabila perkara tersebut diajukan kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam Baginda tidak menegahnya. Maka ini menunjukkan harus bagi orang Islam menjampi orang bukan Islam.

2) Hendaklah penjampi itu orang yang ‘adil dalam beragama:

Banyak di kalangan para ulama menekankan betapa perlunya orang yang menjampi dengan ayat-ayat Al-Qur’an, nama-nama dan sifat-sifat Allah yang Maha suci lagi Maha Agung hendaklah terdiri daripada orang yang ‘adil dan salih, iaitu orang yang ta‘at dalam menjalankan perintah agama, kerana kesembuhan - dengan izin Allah jua – akan terhasil melalui lidah orang yang soleh bukan melalui lidah orang yang tidak soleh.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘adil dalam beragama dalam konteks ini ialah suatu sifat dalam diri manusia yang mendorongnya untuk menunaikan apa yang wajib ke atas dirinya, seperti mendirikan sembahyang, berpuasa, membayar zakat, menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia seperti jujur, amanah, bertaqwa dan menjaga maruah. Sebagaimana juga sifat tersebut mendorong dirinya untuk menjauhi segala bentuk dosa-dosa besar, seperti syirik, sihir, penipuan dan sebagainya, dan juga menjauhi dirinya daripada sentiasa melakukan dosa-dosa kecil dan apa-apa juga tindak-tanduk yang membawa kehinaan dan rendah diri.

Oleh itu, apabila seseorang Islam meninggalkan atau mencuaikan sesuatu yang diwajibkan oleh syara’ ke atasnya atau melakukan sesuatu yang ditegah melakukannya maka dia tidak dikatakan sebagai orang yang ‘adil dalam beragama. Maka dengan itu, tidak seharusnya orang lain meminta bantuan daripada golongan seperti ini untuk berubat dengan jampi mentera. Termasuk di antara golongan ini ialah pengamal sihir, tukang tilik, ahli nujum atau sesiapa saja yang mengamalkan cara mereka.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melarang umatnya daripada meminta bantuan untuk berubat dengan golongan seperti ini sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:

Maksudnya:

“Beberapa orang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam tentang para tukang tilik.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Perkataan mereka itu tidak benar.”

Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya para tukang tilik itu kadangkala bercerita kepada kami tentang sesuatu, lalu perkara itu benar (menjadi kenyataan).”

Baginda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Itu adalah kalimat kebenaran yang mereka sambar dari jin, lalu dibisikkan kepada ke telinga pembantunya, kemudian mereka mencampurkan kalimah yang benar itu dengan seratus pembohongan.”

(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam riwayat yang lain Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda maksudnya :

“Barangsiapa yang datang berjumpa dukun lalu bertanya tentang sesuatu, maka sembahyangnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.”

(Hadits riwayat Muslim)

bersambung



Sumber :
Mufti Brunei

Tiada ulasan: