CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 25 Mei 2012

Takhrij Hadis 'Bohong Sunat'

Oleh :  Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Jabatan al Quran dan al Sunnah & Institut Kajian Hadith (INHAD) KUIS


Soalan:

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Kalau ustaz ada kelapangan, nak tnya brknaan hadith ni:

كل الكذب يكتب على ابن آدم إلا ثلاث , الرجل يكذب فى الحربِ , فإن الحربَ خدعة , والرجل يكذب على المرأة فيرضيها , والرجل يكذب بين الرجلين ليصلح بينهما

Riwayat Ibnu Sunni.

Mohon penjelasan dari ustaz berkenaan takhrij dan penjelasan hadith ini. Saya search dalam Maktabah Syamilah, ada jumpa Albani mendhaifkannya. Mohon pencerahan.

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Untuk manfaat semua, terlebih dahulu diberikan terjemahan teks hadis tersebut, iaitu Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap dusta itu akan ditulis ke atas anak Adam kecuali tiga perkara; seorang lelaki yang berdusta dalam peperangan, dan sesungguhnya peperangan itu adalah suatu tipu helah, seorang lelaki yang berdusta kepada isterinya supaya ia meraih redhanya, dan seorang lelaki yang berdusta di antara dua orang lelaki untuk mendamaikan antara kedua-duanya”.

Berdusta adalah satu dosa besar, namun tiga perkara itu dikecualikan, di mana sekiranya berdusta ia tidak dianggap sebagai satu dosa. Hadis ini menunjukkan adanya dusta yang diharuskan, atau apa yang dikatakan orang ‘bohong sunat’ – jika istilah ini sesuai digunapakai - .

Tetapi bagaimana status hadis tersebut??

Perbincangan lanjut adalah menurut riwayat-riwayat berikut;

1. Riwayat al-Nuwas bin Sam‘an RA

Hadis yang dipertanyakan berkenaan diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir, Ibn al-Sunni dalam Amal Yawm wa Laylah dan al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq dari al-Nuwas bin Sam‘an RA. Al-Suyuti dalam al-Jamial-Saghir (6276) mengisyaratkannya sebagai hasan. Manakala al-Albani menyatakannya sebagai daif.

Kata al-Haythami (8/81): “Terdapat padanya, Muhammad bin Jami‘ al-‘Attar, seorang yang daif”. Demikian juga menurut al-Busiri dalam Ithaf al-Khirah al-Maharah (3214), meskipun Ibn Hibban menyenaraikan Muhammad bin Jami‘  dalam kalangan para perawi thiqah.

2. Riwayat Umm Kulthum binti ‘Uqbah RA

Hadis yang semakna walaupun berbeza lafaz, dan lebih kuat sanadnya diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya (4923) dari Umm Kulthum binti ‘Uqbah RA.

عَنْ أُمِّ كُلْثُومٍ بِنْتِ عُقْبَةَ قَالَتْ مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُرَخِّصُ فِى شَىْءٍ مِنَ الْكَذِبِ إِلاَّ فِى ثَلاَثٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ: « لاَ أَعُدُّهُ كَاذِبًا الرَّجُلُ يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ يَقُولُ الْقَوْلَ وَلاَ يُرِيدُ بِهِ إِلاَّ الإِصْلاَحَ، وَالرَّجُلُ يَقُولُ فِى الْحَرْبِ، وَالرَّجُلُ يُحَدِّثُ امْرَأَتَهُ وَالْمَرْأَةُ تُحَدِّثُ زَوْجَهَا ».

Kata al-Albani: Sahih. Bahkan ia juga diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya (4717), tapi tiada lafaz Nabi SAW dalam riwayatnya, iaitu kata Umm Kulthum RA:
وَلَمْ أسْمَعْهُ يُرْخِّصُ في شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُهُ النَّاسُ إلاَّ في ثَلاثٍ ، تَعْنِي : الحَرْبَ ، وَالإِصْلاَحَ بَيْنَ النَّاسِ ، وَحَدِيثَ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ ، وَحَدِيثَ المَرْأةِ زَوْجَهَا .

3. Riwayat Asma’ binti Yazid RA

Hadis yang semakna juga turut diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya (1862@ 2064) dari Asma’ binti Yazid RA. Lafaznya, sabda Rasulullah SAW:
لَا يَحِلُّ الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ؛ يُحَدِّثُ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ لِيُرْضِيَهَا، وَالْكَذِبُ فِي الْحَرْبِ، وَالْكَذِبُ لِيُصْلِحَ بَيْنَ النَّاسِ.

Menurut al-Tirmizi:
Kata Mahmud - salah seorang perawi - dalam hadis beliau: (لَا يَصْلُحُ الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ). Hadis ini hasanKami tidak ketahui dari hadis Asma’ melainkan dari hadis Ibn Khuthaym. Dawud bin Abi Hind meriwayatkan hadis ini dari Syahr bin Hawsyab dari Nabi SAW (yakni secara mursal) dan tidak menyebut padanya; ... dari Asma’. Ini diberitakan kepada kami oleh Muhammad bin al-Ala’, diberitakan kepada kami oleh Ibn Abi Za’idah dari Dawud. Dalam bab yang sama, ada riwayat dari Abu Bakr RA”.

Meskipun al-Albani mendaifkan riwayat al-Nuwas, namun beliau menghukum riwayat Asma’ ini sebagai sahih, dengan mengecualikan kata-kata: (ليرضيها). Pengecualian al-Albani tersebut menurut penulis, adalah tidak perlu kerana banyak jalan riwayat yang menyebutnya atau menyebut kalimah yang seertinya. Manhaj al-Albani yang berbeza-beza semestinya difahami oleh mereka yang menelaah karya-karyanya.

Riwayat Asma’ RA juga diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Jarir al-Tabari, al-Tabarani, Abu Yala dan lain-lain lengkap dengan sabab al-wurudnya. Kata al-Haythami dalam Majma al-Zawa’id (10354): Terdapat padanya, Syahr bin Hawsyab. Ada yang menthiqahkan beliau, namun terdapat kelemahan padanya. Dan baki para perawinya adalah thiqah”.

4. Riwayat Abu Bakr RA

Riwayat Abu Bakr RA ini berdasarkan kata-kata al-Tirmizi di atas tadi:Dalam bab yang sama, ada riwayat dari Abu Bakr RA”.

Riwayat ini pada zahirnya, menyokong riwayat Asma’ di atas. Ia menjelaskan sebab mengapa al-Tirmizi menyatakan darjat hadis tersebut sebagai hasan, walaupun sanad riwayat Asma’ mengandungi sedikit masalah kecil.

Bagaimanapun, Syeikh al-Mubarakpuri dalam Tuhfah al-Ahwazi tidak dapat mentakhrijkan riwayat Abu Bakr RA ini. Meskipun begitu, kata-kata al-Tirmizi itu merupakan suatu fakta yang menunjukkan kewujudan riwayat berkenaan dan beliau sendiri telah menemukannya, walaupun kita pada masa ini belum lagi dapat menjumpainya.

5. Riwayat Abu Ayyub al-Ansari RA

Riwayat Abu Ayyub al-Ansari RA ini direkodkan oleh Abu ‘Awanah dalam Musnadnya (6545) dengan jalan riwayatnya sendiri. Lafaznya:
لا يحل الكذب إلا فى ثلاثة؛ الرجل يكذب امرأته يرضيها بذلك، والرجل يمشى بين رجلين يصلح بينهما، والحرب خدعة.
Lihat al-Jami al-Kabir (17553).

6. Riwayat Abu al-Tufayl RA

Riwayat Abu al-Tufayl RA ini direkodkan oleh Ibn Jarir al-Tabari. Lafaznya:
لا يصلح الكذب إلا فى إحدى ثلاث؛ رجل كذب امرأته لينصلح خُلُقها، ورجل كذب ليصلح بين امرأين مسلمين، ورجل كذب فى خديعة حرب، فإن الحرب خدعة.
Lihat al-Jami al-Kabir (17878).

7. Riwayat ‘A’isyah RA

Riwayat ‘A’isyah RA ini direkodkan oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Najjar. Lafaznya:
لا يصلح الكذب إلا فى ثلاث؛ يحدث الرجل امرأته ليرضيها، والكذب فى الحرب، والكذب ليصلح بين الناس.
Lihat al-Jami al-Kabir (17879).

Ulasan:

Kesemua riwayat di atas, walaupun berbeza-beza sedikit lafaz-lafaznya, menjelaskan bahawa hanya ada tiga jenis dusta sahaja yang diharuskan oleh syarak, iaitu;

  1. harus berdusta dalam peperangan, kerana peperangan itu adalah suatu tipu helah.
  2. harus suami berdusta kepada isteri (juga sebaliknya) supaya ia meraih redhanya.
  3. harus berdusta untuk mendamaikan antara dua pihak yang berselisihan.

Maka, tujuh jalan riwayat yang mengandungi makna hadis yang sama ini telah membuktikan kekuatan makna hadis yang dipertanyakan dan dapat dijadikan sebagai hujah, dan tentunya ia tidak dapat dihukum sebagai lemah. Walaupun status riwayat-riwayat tersebut berbagai-bagai antara daif, hasan dan sahih.

Bagi menjelaskan isu hadis ini, Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim (8/331) menukilkan dari al-Qadhi ‘Iyadh katanya: Tiada khilaf tentang keharusan berdusta dalam bentuk-bentuk sebegini.

Namun, ulama berbeza pendapat mengenai dusta yang harus ini. Sebahagian ulama berpendapat, ia adalah berbentuk mutlak/umum. Sebahagian yang lain pula, antaranya al-Tabari berpendapat, tidak harus berdusta dalam bentuk apa pun dari segi asalnya, dan maksud keharusan berdusta tersebut ialah melakukan penyembunyian (tawriyah) dan menggunakan kata-kata samar, bukannya dusta sebenar, seperti misal ia menjanjikan isterinya layanan baik dan pakaian tertentu, tapi ia berniat jika Allah mentakdirkannya demikian.. 

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan dari Imam al-Nawawi, katanya: “Zahirnya, adalah mengharuskan hakikat dusta itu sendiri dalam ketiga-tiga perkara berkenaan, akan tetapi kata-kata yang samar (ta‘ridh) adalah lebih utama”.

Demikian takhrij dan penjelasan ringkas bagi isu yang terkandung dalam hadis berkenaan.

Tiada ulasan: