CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 8 Februari 2012

Hukum Lelaki Memakai Gelang Untuk Tujuan Perubatan



Oleh : Mufti Brunei


Lelaki Memakai Gelang Untuk Tujuan Perubatan: Adakah Dibenarkan Syara’?

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kesihatan yang baik merupakan impian setiap insan. Ajaran Islam sendiri menganjurkan supaya umatnya sentiasa mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menjaga dan meningkatkan kesihatan serta menjauhi segala macam penyakit serta kemudharatan.

Bahkan, jika dinilai dan diamat-amati, dalam ibadah-ibadah yang disyariatkan oleh Islam sendiri banyak menyimpan rahsia yang semakin hari semakin terungkai dengan kemajuan ilmu sains dan perubatan. Misalnya ibadah sembahyang, pergerakan-pergerakan di dalamnya merupakan penawar kepada berbagai jenis penyakit zahir dan batin, di samping mampu memelihara tubuh badan dan meningkatkan daya kesihatan sebagaimana yang telah dibuktikan secara saintifik oleh kajiankajian ahli pakar perubatan.

Bagaimanapun, sesuai dengan kesucian dan kemuliaan agama Allah Subhaanahu wa Ta’aala, Islam tidak sekali-kali membiarkan umatnya terpesong tanpa bimbingan serta batasan-batasan syara’ yang penuh dengan hikmah dan rahsia. Maka atas dasar ini, Islam telah menetapkan garis panduan yang wajib dipatuhi oleh umatnya dalam berubat mahupun dalam menjaga dan meningkatkan kesihatan. Jadi tidak semua kaedah perubatan mahupun kaedah kesihatan itu dihalalkan atau dibenarkan oleh syara’.

Salah satu kaedah perubatan dan kesihatan yang mendapat tempat dan perhatian kebelakangan ini ialah pemakaian gelang magnet. Menurut beberapa sumber, ianya dikatakan mampu menjaga kesihatan di samping mampu mengubati dan menjauhi berbagai jenis penyakit. Namun dalam hal ini, timbul satu persoalan, apakah hukumnya jika gelang ini dipakai oleh kaum lelaki? Kerana sepertimana yang dimaklumi, gelang adalah jenis perhiasan yang hanya boleh dipakai oleh kaum perempuan.

Secara fitrahnya, lelaki dan perempuan diciptakan Allah Subhaanahu wa Ta’aala berbeza bentuk rupa kejadian, berbeza kecenderungan, bahkan berbeza jenis pakaian serta perhiasan.

Secara dasarnya menurut hukum syara’, lelaki diharamkan meniru dan mengikut gaya keolahan perempuan dan diharamkan memakai pakaian-pakaian atau perhiasan-perhiasan khusus kaum perempuan dan begitulah juga sebaliknya.

Hukum Lelaki Memakai Gelang

Kaum lelaki haram memakai perhiasan-perhiasan yang dari segi syara’ hanya dikhususkan bagi kaum perempuan seperti gelang, rantai ataupun subang. Tidak kira sama ada perhiasan-perhiasan tersebut diperbuat daripada emas, perak, besi, magnet, kayu atau sebagainya.

Perbuatan lelaki yang menyerupai atau meniru perempuan ataupun sebaliknya ini merupakan suatu dosa besar kerana dilaknat oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Perkara ini berdasarkan sebuah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki”.

(Hadis riwayat al Bukhari)

Menurut pengertian umum hadis ini, jelas sekali bahawa menurut hukum syara’ kaum lelaki diharamkan meniru, menyerupai atau mengikut apa-apa sahaja ciri-ciri khusus kaum perempuan, sama ada gaya keolahan, pergerakan, perbuatan, perhiasan, pakaian, cara bercakap dan sebagainya. Begitu juga sebaliknya, diharamkan ke atas perempuan meniru, menyerupai atau mengikut apa-apa sahaja ciri-ciri khusus kaum lelaki.

Hukum Lelaki Memakai Gelang Atas Tujuan Kesihatan

Sepertimana pengertian hadis yang telah disebutkan tadi, bahawa pada dasarnya kaum lelaki diharamkan memakai gelang kerana ianya merupakan perhiasan kaum perempuan.

Walau bagaimanapun, diharuskan bagi kaum lelaki dalam keadaan-keadaan yang tertentu untuk memakai gelang jika terdapat keuzuran yang diiktiraf oleh syara’. Ini diqiyaskan daripada pengharusan syara’ bagi kaum lelaki untuk berinai apabila terdapat keuzuran yang mengharuskannya sepertimana yang dikatakan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullah: “Maka haram berinai ke atas keduanya (lelaki dan khuntsa) kecuali kerana ada keuzuran”.

Adapun keuzuran yang dibenarkan oleh syara’ itu pula tertakluk kepada dua pensyaratan:

1. Kerana tujuan berubat.
2. Kerana tidak terdapat cara lain lagi untuk mengubat.

Jika kedua-dua syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ ini menjadi sebab kenapa lelaki itu terpaksa memakai gelang, maka diharuskan bagi lelaki itu memakai gelang atas dasar keuzuran.

Sebaliknya, jika tuntutan kedua-dua syarat ini tidak menjadi sebab kenapa lelaki itu terpaksa memakai gelang, maka tidak ada kelonggaran dari segi syara’ yang mengharuskan lelaki itu memakai gelang, apatah lagi memakainya kerana mengikut keolahan perempuan, atau kerana suka-suka, atau semata-mata kerana mengikut perkembangan trend atau fesyen semasa.

Mestilah diambil perhatian di sini bahawa kesahihan fungsi gelang itu memang benar-benar ubat dan terbukti keberkesanannya, begitu juga kesahihan bahawa cara tersebut adalah merupakan satusatunya kaedah perubatan yang mampu menyembuhkan penyakit yang dihidap oleh sipesakit, ini hendaklah disahkan oleh seorang ahli perubatan muslim yang boleh dipertanggungjawabkan dan boleh dipercayai (bersifat ‘adil).

Di sini bererti Islam tidak menghalang umatnya daripada menjaga kesihatan, bahkan kesihatan itu sangat dititikberatkan oleh Islam. Kerana kesihatan yang baik sangat tinggi nilainya dan sangat besar peranannya dalam membantu insan melaksanakan tanggungjawab dan keperluan duniawi dan ukhrawi dengan lebih baik dan sempurna.

Akan tetapi jangan sekali-kali dalam keghairahan menjaga kesihatan ini menyebabkan kita mengabaikan dan melanggar batasan syara’, kerana yang demikian itu selain daripada menyebabkan dosa, ia juga menjauhkan keberkatan dan rahmat Allah Subhanahu wa Ta’aala.

Oleh yang demikian, selama mana keberkesanan dan kesahihan gelang magnet ini belum dapat dipastikan kebenarannya sebagai ubat, maka atas dasar taqwa, penggunaan gelang magnet ini sewajarnya ditinggalkan oleh kaum lelaki supaya tidak termasuk ke dalam golongan orang-orang yang dilaknat kerana menyerupai perempuan. Kecuali ada kajian yang membuktikan kebenaran kaedah perubatan tersebut yang diiktiraf oleh seorang ahli perubatan muslim yang boleh dipertanggungjawabkan dan boleh dipercayai (bersifat ‘adil).

Sebagai alternatif lain, masih banyak lagi kaedah-kaedah serta bahan-bahan perubatan dan kesihatan yang dianjurkan oleh Islam seperti berbekam, air zam-zam, kurma, madu, habbah as-sauda dan lain-lainnya, di samping kaedah-kaedah perubatan moden lain
yang tidak menyalahi syara’.

Tiada ulasan: