CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Khamis, 5 Februari 2009

Perkara Berkaitan Solat : Perbezaan Perempuan Dan Lelaki

PERKARA-PERKARA BERKAITAN SEMBAHYANG:
PERBEZAAN PEREMPUAN DENGAN LELAKI
( Bilangan 274 Bahagian Pertama)

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)Sembahyang fardhu lima waktu adalah tuntutan syara‘ yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang mukallaf. Tidak ada perbezaan antara lelaki mahupun perempuan, baik dari segi tuntutan sembahyang itu mahupun dari segi syarat-syaratnya, rukun-rukunnya dan cara menunaikannya.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan sembahyang ini dikhususkan untuk perempuan yang telah digariskan oleh syara‘ yang membezakannya dengan lelaki. Perkara-perkara tersebut,antaranya:

i. Azan Dan Iqamah

Disunatkan bagi orang yang hendak mengerjakan sembahyang melakukan azan dan iqamah. Azan bagi orang yang sembahyang secara bersendirian hukumnya adalah sunat ‘ain. Manakala azan bagi mereka yang bersembahyang secara berjemaah hukumnya adalah sunat kifayah. Walau bagaimanapun, perempuan adalah tidak disunatkan azan samada bagi sembahyang secara bersendirian atau secara berjemaah di kalangan jemaah perempuan dan sekalipun azan itu dilakukan dengan suara yang perlahan. Tidak sah azan seorang perempuan bagi jemaah lelaki dan khuntsa, bahkan berdosa kerana lelaki dan khuntsa haram memandangnya. Dengan perbuatannya melaungkan azan itu menyebabkan pandangan mereka tertumpu kepadanya.

Haram perempuan meninggikan suaranya untuk azan di hadapan lelaki asing (ajnabi) yang bukan mahramnya, sekalipun ketika itu dia bersama mahramnya, begitu juga jika dia meninggikan suaranya untuk azan di hadapan jemaah perempuan dengan adanya lelaki asing (ajnabi). Walau bagaimanapun tidak makruh jika perempuan azan di hadapan jemaah perempuan dengan suara rendah iaitu dengan kadar yang hanya dapat didengar oleh mereka.

Manakala iqamah adalah disunatkan bagi perempuan ketika sembahyang sendirian mahupun jemaah yang didirikan sesama perempuan sahaja dengan suara yang rendah iaitu dengan kadar suara yang hanya dapat didengar oleh mereka.

ii. Aurat Dalam Sembahyang

Menutup aurat termasuk salah satu daripada syarat-syarat sah sembahyang walaupun seseorang itu bersembahyang di dalam gelap. Aurat perempuan yang wajib ditutup di dalam sembahyang adalah berbeza dengan aurat lelaki. Dalam mazhab Syafi‘e aurat perempuan di dalam sembahyang ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Di dalam kitab I‘anah ath-Thalibin, al-‘Allamah as- Sayyid al-Bakri Rahimahullah ada menyebutkan bahawa aurat bagi perempuan itu ada empat:

a) Ketika bersama lelaki asing (ajnabi), auratnya ialah keseluruhan badan.

b) Ketika bersama mahram atau bersendirian, auratnya ialah antara pusat dengan lutut.

c) Ketika bersama perempuan kafir, auratnya ialah seluruh tubuh badan kecuali apa
yang zahir daripada anggota tubuhnya ketika melakukan pekerjaan.

d) Ketika sembahyang, auratnya ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Apa yang dimaksudkan dengan kedua tapak tangan itu termasuklah yang zhahir (belakang tapak tangan) dan yang bathin (perut tapak tangan) dari hujung jari sehinggalah pergelangan tangan.

Manakala maksud kawasan muka, batasnya secara memanjang ialah dari permulaan permukaan dahi hingga bahagian bawah dagu dan batasnya secara melintang ialah kawasan di antara dua cuping telinga.

Kebanyakan ulama Syafi‘e mensyaratkan hendaklah pakaian itu menutupi seluruh anggota aurat. Adapun syarat pakaian yang dipakai untuk menutup aurat tersebut hendaklah pakaian yang boleh menghalang daripada terlihat warna kulit. Tidak memadai menutup aurat dengan pakaian yang nipis dan jarang iaitulah pakaian yang menampakkan kulit dan bayang susuk tubuh badan.

Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah, adalah disunatkan bagi perempuan untuk bersembahyang dengan memakai pakaian yang terdiri daripada penutup kepala dan leher dari kain yang tebal, memakai baju yang labuh atau jubah yang menutup seluruh badan hingga hujung kaki serta kain tebal yang menutup pakaian tersebut.

Dalam sebuah atsar yang disebutkan di dalam Sunan Abi Daud, Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha pernah ditanyakan tentang pakaian perempuan ketika sembahyang lalu beliau menjawab:

تُصَلِّي في الْخِمَا ِ ر وَالدِّرْ ِ ع السَّاِب ِ غ الذي يُغَيِّبُ ُ ظهُورَ َقدَمَيْهَا

Maksudnya: “Seorang perempuan bersembahyang dengan memakai kain tutup kepala dan pakaian panjang yang dapat menutup kedua tapak kakinya.”


Disunatkan juga bagi perempuan untuk menebalkan baju atau jubah yang dipakainya sehingga tidak menampakkan anggota-anggotanya dan merenggangkan kain tebal yang dipakainya di sebelah luarnya daripada badannya ketika ruku‘ dan sujud sehingga tidak menampakkan pakaiannya di sebelah dalam.

Berdasarkan keterangan di atas, maka wajib bagi seseorang itu bersembahyang dengan memakai pakaian yang benar-benar menepati apa yang telah digariskan oleh syara‘, iaitu tidak menampakkan warna kulit dan bayang susuk tubuh badan. Sebaiknya pakailah telekung yang labuh dan tebal ataupun memakai pakaian tebal di sebelah dalam jika telekung yang digunakan itu nipis atau jarang.

iii. Saf Sembahyang

Jumhur ulama berpendapat bahawa disunatkan bagi makmum meluruskan saf-saf mereka ketika sembahyang berjemaah, bagi mengisi kekosongan yang terdapat di dalam saf dan
menyamaratakannya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

سَوُّوا صُُفوَف ُ كمْ َفِإنَّ تَسْ ِ ويََة الصَّفِّ مِنْ تَمَاِم الصَّ َ لاةِ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang”. (Hadis riwayat Muslim)


Disunatkan para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama dahulu kemudian barulah diikuti dengan saf kedua dan seterusnya. Saf yang pertama dimaksudkan di sini ialah saf yang pertama di belakang imam.

Bagi golongan perempuan, jika sembahyang dalam jemaah yang hanya terdiri daripada imam dan jemaah perempuan sahaja, maka disunatkan untuk memenuhi saf yang pertama kemudian diikuti dengan saf-saf seterusnya.

Adapun jika mereka sembahyang dengan jemaah yang terdiri daripada orang lelaki dan perempuan tanpa ada pembatas antara jemaah lelaki dan perempuan, maka saf yang lebih afdhal bagi perempuan adalah saf yang akhir.

Untuk lebih jelas mengenai dengan saf perempuan ketika bejemaah, diterangkan susunan saf-saf di dalam sembahyang seperti berikut:-

a) Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada golongan lelaki yang baligh, kanak-kanak lelaki, khuntsa (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau
tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan golongan perempuan, maka didahulukan golongan lelaki yang baligh kemudian kanak-kanak lelaki kemudian khuntsa
dan barulah diikuti oleh golongan perempuan.

b) Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada golongan lelaki yang baligh, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka didahulukan golongan lelaki, kemudian khuntsa tersebut berdiri seorang diri di belakang golongan lelaki dan kemudian diikuti oleh perempuan tersebut berdiri seorang diri di belakang khuntsa tersebut.

c) Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka kanak-kanak tersebut berdiri di sebelah kanan imam, kemudian diikuti oleh khuntsa di belakang keduanya dan barulah perempuan tersebut di belakangnya.

d) Apabila jemaah yang hadir terdiri daripada golongan perempuan, maka disunatkan bagi imamah (imam perempuan) berdiri di tengah-tengah saf bersama jemaah perempuan, akan tetapi ke hadapan sedikit untuk membezakan dirinya dengan para makmum. Apabila yang hadir berjemaah hanya seorang perempuan disunatkan baginya berada di sebelah kanan imamah (imam perempuan), tetapi hendaklah ke belakang sedikit daripada imamah.

bersambung

1 ulasan:

an4k_yg_solehah berkata...

terima kasih atas perkongsian ilmu ini..syukran jazilan

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu
  • Video Bacaan Hukum Qalqalah - Sekiranya anda telah membaca artikel saya yang lepas tentang hukum bacaan Qalqalah, tentu anda telah pun faham secara teorinya apakah yang dikatakan qalqal...
    4 tahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan