CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 13 Februari 2009

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 2

Latar Belakang Hadith Al-Jariyyah (Hamba Perempuan)

Berdasarkan suatu kajian yang meluas, hadith berkenaan dengan kisah Al-Jariyyah ini didapati diriwayatkan dalam banyak riwayat. Namun sebahagian mereka yang jahil meletakkannya secara "salah tempat". Akhirnya mulalah mendakwa bahawasanya Allah s.w.t. wujud secara "bertempat". Sudahlah mereka tersesat, namun masih terus mengajak manusia selain mereka untuk sama-sama sesat.

Mereka menggunakan hadith ini untuk membela kesesatan fahaman tajsim mereka, dengan harapan dapat mempengaruhi semua manusia. Namun, golongan ahli ilmu yang mempunyai latar belakang pendidikan dan pembelajaran yang meluas dalam ilmu agama, mana mungkin terpengaruh dengan bid'ah tajsim yang cuba dijaja.

Adapun tentang hadith ini, jika kita menyingkap seluruh riwayat yang berkaitan dengan kisah ini, maka kita dapati bahawasanya, situasinya adalah berkenaan dengan seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam As-Sulami r.a., yang ketika peristiwa dalam riwayat tersebut, masih baru memeluk Islam, dan tidak mempunyai latar belakang mengenai ilmu Islam yang banyak.

Kita mulakan perbahasan ini dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim terdahulu kerana ianya menceritakan dari awal peristiwa tersebut. Kisah ini bermula ketika Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam As-Sulami r.a. sedang mengerjakan solat, tiba-tiba beliau terdengar seseorang bersin. Lalu Saidina Mu'awiyah tersebut mengucapkan:

يرحمك الله

Maksudnya: "Semoga Allah merahmatimu".

Lalu para sahabat r.a. yang lain di samping Saidina Mu'awiyah menoleh ke arah Saidina Mu'awiyah r.a. dengan pandangan seolah-olah mengingkari perbuatan tersebut (membaca doa kepada orang yang sedang bersin ketika dalam solat).

Lalu, Saidina Mu'awiyah menoleh ke arah mereka lalu berkata:

ما شأنكم تنظرون إلي

Maksudnya: "Apa sebab kamu semua memandang kepadaku?"

Lalu para sahabat r.a. meletakkan tangan mereka pada mulut mereka sebagai isyarat menyuruh Saidina Mu'awiyah berdiam. Lalu Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam pun tidak berkata-kata lagi.

Setelah selesai solat, Rasulullah s.a.w. tanpa marah walau sedikitpun, sebaliknya memberi nasihat secara berhikmah kepada Saidina Mu'awiyah dengan bersabda:

إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن

Maksudnya: Sesungguhnya solat ini tidak boleh padanya ada perkataan manusia (tidak boleh berkata-kata). Sesungguhnya yang disebut hanyalah tasbih, takbir dan bacaan Al-Qur'an.
(Peristiwa ini secara jelas diriwayatkan oleh Imam Muslim di bahagian awal hadith ini yang sering diabaikan oleh sebahagian golongan mujassimah).

Peristiwa ini yang paling penting dalam hadith Al-Jariyyah ini khususnya di sisi Imam Muslim ketika meriwayatkan hadith ini dalam kitab Sahih beliau. Ia merupakan suatu peristiwa di mana seorang sahabat tidak mengetahui bahawa tidak boleh berkata-kata ketika dalam solat. Inilah tujuan sebenar Imam Muslim meriwayatkan hadith ini dalam kitab sahihnya, namun sebahagian mujassimah yang mengikut hawa nafsu mereka, membuang peristiwa di atas lalu memfokuskan kepada kisah Al-Jariyyah (yang berlaku setelah peristiwa pertama ini), sedangkan maksud Imam Muslim adalah pada peristiwa pertama ini (iaitu: dalil tidak boleh berkata-kata di dalam solat).

Dalam riwayat Imam Muslim juga, setelah itu Saidina Mu'awiyah r.a. berkata:

أو كما قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم،

Maksudnya: "Atau apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.".


Ayat ini menunjukkan bahawasanya Saidina Mu'awiyah r.a. tidak mengingati lafaz-lafaz Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa tersebut secara jelas ketika meriwayatkannya. Oleh kerana itulah, beliau menambah ungkapan ini kerana tidak yakin ketepatan lafaz yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. walaupun tidak menjadi suatu kesalahan bagi seseorang meriwayatkan hadith Rasulullah s.a.w. dengan makna (lafaz daripada susunan perawi sendiri dalam menjelaskan makna sabda Nabi s.a.w. tersebut).

Sengaja alfaqir menumpukan nota penting ini kerana ianya sangat berperanan dalam menggambarkan "cara" periwayatan hadith ini melalui jalan Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a.. "Cara" periwayatan ini penting dalam menjelaskan kedudukan "lafaz-lafaz" hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada jalan Saidina Mu'awiyah ini. Ia lebih berbentuk "meriwayatkan dengan makna (al-riwayah bil ma'na)" atau ada unsur 'amal Al-Rawi (campur tangan perawi dalam lafaz hadith).

Kemudian, kita lanjutkan lagi hadith ini:-

Kemudian Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w.:

يا رسول الله إني حديث عهد بجاهلية

"Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya ini masih baru tempohnya dengan waktu jahiliyyah (maksudnya, masih baru memeluk Islam dan masih baru meninggalkan zaman Jahiliyyah. Oleh yang demikian, banyak perkara tentang Islam yang beliau perlu kepada lebih penjelasan)."

Dalam perkataan ini menggambarkan latar belakang kedudukan sahabat yang meriwayatkan hadith ini sebagaimana yang dikeluarkan oleh Imam Muslim tersebut, iaitu masih baru memeluk Islam dan tidak banyak tahu tentang Islam sehingga tidak tahu bahawasanya tidak boleh berkata-kata di dalam solat seperti yang dibincangkan sebelum ini. Ini nota yang sangat penting kerana latar belakang seseorang perawi mempengaruhi "cara" beliau menggunakan lafaz-lafaz dalam meriwayatkan hadith secara makna yang akan dibincangkan setelah ini.

Kembali kepada hadith:-

Saidina Mu'awiyah bertanya tentang beberapa hukum seperti bertemu bomoh, menilik nasib, membuat ramalan dengan perubahan persekitaran seperti meramal sesuatu baik atau buruk dengan arah burung terbang (tathoyyur) dan sebagainya.

Setelah itu, barulah Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam menceritakan tentang seorang jariyah (hamba perempuan) yang dimilikinya.Beliau berkata:

وكانت لي جارية ترعى غنما لي قبل أحد والجوانية؛ فاطلعت ذات يوم فإذا الذيب قد ذهب بشاة من غنمها وأنا رجل من بني آدم آسف كما يأسفون؛ لكني صككتها صكة فأتيت رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم فعظم ذلك على، قلت : يا رسول الله أفلا أعتقها

Maksudnya:

“Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembala kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaniyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing di bawah tugas pemeliharaannya (hamba perempuan tersebut). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam, oleh yang demikian aku juga ada perasaan tidak berpuas hati sebagaimana mereka (manusia lain juga yang ada rasa tidak puas hati). Namun (apabila kambingnya dimakan serigala) aku menampar hamba perempuan tersebut dengan tamparan (pukulan) yang kuat. Maka aku pergi lagi berjumpa Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menyalahkanku atas perbuatanku.

Saya lalu berkata:
“Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?”


Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bawa dia kepadaku".

Setelah hamba perempuan itu datang lalu Rasulullah s.a.w. diriwayatkan bersabda (melalui riwayat Imam Muslim ini):

أين الله

Maksudnya: "AinaLlah? (Salah satu lafaz mutasyabihat) iaitu mana Allah?".


Hamba tersebut menjawab:

في السماء

Maksudnya: "Di langit".

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda:

من أنا

Maksudnya: "Siapakah aku?"


Hamba perempuan itu menjawab:

أنت رسول الله

Maksudnya: "Kamu Rasulullah"


Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:


أعتقها فأنها مؤمنة

Maksudnya: "Merdekakanlah dia. Sesungguhnya dia seorang yang beriman."


Hadith dengan "lafaz" ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya seperti berikut:

Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a. meriwayatkan kepada:

'Atho' bin Yasar yang meriwayatkan kepada:

Hilal bin Abi Maimunah yang meriwayatkan kepada:

Yahya bin Abi Kathir yang meriwayatkan kepada:

Hajjaj As-Showwaf yang meriwayatkan kepada:

Ismail bin Ibrahim yang meriwayatkan kepada:

Abu Ja'far Muammad dan Abu Bakr bin Abi Syaibah yang meriwayatkannya kepada:

Imam Muslim yang meriwayatkannya dalam Sahihnya.

Pengkajian Kedudukan Perawi: Adapun tentang Hilal bin Ali bin Usamah (iaitu Hilal bin Abi Maimunah), maka sebahagian para nuqqad (ahli pengkaji sanad hadith) menyatakan seperti berikut:-

Imam Abu Hatim berkata: "Dia seorang sheikh yang ditulis hadithnya". Ungkapan ini menunjukkan kepada darjat hasan atau sahih peringkat rendah menurut Imam Az-Zahabi dalam kitab Al-Muqizhoh.

Imam An-Nasa'ie berkata:


ليس به بأس

Maksudnya" tidak mempunyai sebarang masalah (tohmahan)"
(Siar A'laam An-Nubala 5/265). Ini juga merujuk kepada darjat sahih peringkat rendah menurut Imam Az-Zahabi dalam Al-Muqizhoh.

Imam Az-Zahabi berkata:

"Adapun perkataan seperti fulan laisa bihi ba's …maka ungkapan sebegini jayyidah (baik atau hasan) tidak membawa kepada dha'ifnya sheikh (perawi) bahkan sememangnya tidak setinggi darjat sahih yang sempurna yang disepakati kesahihannya. Tetapi, banyak daripada ungkapan yang kita sebutkan tadi (termasuklah fulan laisa bihi ba's) saling bercampur aduk penilaian mengenainya antara mereka yang menjadikannya sebagai hujah dengan mereka yang tidak menjadikannya sebagai hujah…"
(rujuk Al-Muqizhoh m/s 82)

Dalam erti kata lain, hadith yang diriwayatkan melalui jalan Hilal bin Ali (Abi Maimunah) ini berdarjat hasan atau darjat sahih yang rendah, demikian sebagaimana yang dikatakan juga oleh Imam Al-Hafiz Ya'qub bin Sufian dan Al-Hafiz Ibn 'Abd Al-Bar. Imam Ibn Hajar juga meletakkannya dengan darjat thiqah (darjat ketiga daripada dua belas peringkat perawi yang disusun oleh Imam Ibn Hajar dalam Taqrib At-Tahzib).

Dalam masa yang sama, salah seorang perawi dalam hadith ini yang turut diperkatakan oleh sebahagian para ulama' hadith adalah Yahya bin Abi Kathir. Menurut Imam Al-Kauthari dalam ta'liqat Al-Asma' wa As-Sifat m/s 532, sebahagian ulama' hadith menetapkan bahawa Yahya bin Abi Kathir tersebut sebagai mudallis (pelaku kesamaran).

Al-Hafiz Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dalam Taqrib Az-Tahzib berkata tentang Yayha bin Abi Kathir:

ثقة ثبت لكنه يدلس ويرسل

Maksudnya: "Dia ialah seorang yang dipercayai dan teliti namun ada melakukan tadlis (melakukan kesamaran dalam riwayat) dan irsal (terputus sanad dari satu tobaqot)…".

Namun, beliau masih lagi thiqah walaupun tidak mencapai darjat sahih yang tinggi dengan sebab tadlis. Oleh sebab itu, riwayat beliau diterima oleh kebanyakkan perawi hadith termasuklah Imam Al-Bukhari.


Ini jalan pertama atau riwayat pertama berkenaan hadith Al-Jariyah ini, yang sering digunapakai oleh sebahagian golongan mujassimah tanpa membuat analisa yang lebih mendalam. Secara jelas hadith ini tidak mencapai suatu darjat kesahihan yang tinggi bahkan dari suatu sudut walaupun tidak jatuh kepada dho'if tetapi sekadar hasan atau sahih yang rendah kedudukannya. Lebih besar lagi penilaian terhadap hadith ini adalah, apabila dibandingkan dengan jalan-jalan periwayatan yang lain dalam konteks yang sama yang lebih kuat berbanding riwayat Imam Muslim ini yang akan dibincangkan kemudian.

Tiada ulasan: