CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 22 April 2013

Ciri-ciri Peniaga Muslim Bab Akhir



Gambar hiasan


Oleh : Mufti Brunei

Ciri-Ciri Peniaga Muslim

(Bahagian Akhir)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Dalam sebuah hadits yang lain daripada Abu Qatadah al-Anshariy Baginda bersabda:

Maksudnya: “Awas, jangan banyak bersumpah dalam berjual beli, sesungguhnya ia memang melariskan tetapi kemudian menghilangkan berkat”. (Hadits riwayat Muslim)

Secara umum, antara maksud berlaku jujur dalam urusan jual-beli itu merangkumi:

1. Peniaga yang tidak menyembunyikan apa-apa kekurangan atau kerosakan pada barang jualannya.

Jika disembunyikan, maka perbuatan sedemikian boleh dianggap sebagai suatu penipuan kepada pembeli.

Balasan atau akibat daripada perbuatan menyembunyikan ‘aib barangan antaranya disebutkan dalam hadits
yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam lalu di hadapan satu longgokan makanan yang dikumpulkan, lalu Nabi memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut dan Baginda mendapati jari-jari Baginda basah. Baginda lalu bertanya: Maksudnya:

“Apakah ini wahai pemilik makanan?”

Dia menjawab: “Telah (basah) terkena air hujan wahai Rasulullah!”

Baginda bersabda: “Kenapa tidak kamu letakkan saja yang basah itu di atas longgokan makanan supaya orang ramai dapat melihatnya? Sesiapa yang menipu (memperdaya), maka dia bukan daripada (golongan) ku.” (Hadits riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadits yang lain pula, daripada Watsilah bin al-Asqa‘ dia mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya:

“Barangsiapa menjual (suatu) yang ‘aib tanpa memaklumkannya, tidak lepas (sentiasa) dia dalam kebencian Allah dan tidak lepas (sentiasa) malaikat melaknatnya.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

2. Peniaga yang tidak curang pada sukatan dan timbangan, iaitu mengurangkan timbangan atau sukatan ketika menjual tetapi meminta dilebihkan ketika dia membeli. Perbuatan ini juga adalah suatu bentuk penipuan dalam jual-beli. Ini kerana perbuatan mengurangi timbangan itu bermakna mengurangi hak manusia
dan perkara ini adalah dilarang. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil, dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka  bumi.” (Surah Hud: 85)

Pada awal Surah al-Muthaffifin menceritakan bahawa Nabi Syu‘aib ‘Alaihissalam apabila diutus kepada kaumnya penduduk negeri Madyan, Nabi Syu‘aib ‘Alaihissalam bukan sahaja diperintahkan untuk menyeru mereka kepada tauhid; bahkan juga menyeru mereka agar menyempurnakan sukatan dan timbangan.
Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syu‘aib. Dia berkata: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (ma‘mur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu
jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Surah al-A‘raf: 85)

Selain itu, diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam mendapati penduduk Madinah tergolong antara orang yang berkelakuan buruk dalam sukatan. Apabila mereka membeli daripada peniaga lain, mereka meminta supaya disukat dan ditimbang dengan betul dan
sahih, tetapi bila mereka menjual pula, mereka akan mengurangkan timbangan dan sukatan daripada yang sepatutnya. Lalu Allah menurunkan ayat di atas dan setelah itu mereka pun memperbaiki cara mereka melakukan sukatan.

Antara balasan bagi mereka yang cuai (dengan sengaja) dalam sukatan dan timbangan ialah mendapat kecelakaan, iaitu azab yang amat pedih di akhirat kelak, menjadi punca turunnya bala sepertimana Allah Ta‘ala telah membinasakan dan melenyapkan kaum Nabi Syu‘aib ‘Alaihissalam kerana perbuatan mereka menipu orang ramai dalam perkara timbangan dan sukatan, terkeluar daripada golongan umat Nabi Muhammad dan dihapuskan keberkatan.

Berhati-Hati Dalam Jual Beli 

Dalam perbualan seharian, kita seringkali mendengar seseorang mengeluh apabila mendapati dirinya diperdaya dalam urusan jual-beli yang pada kebiasaannya hanya disedari setelah berlalu urusan tersebut beberapa ketika. Situasi ini juga sering berlaku pada barangan yang cepat berubah, umpamanya barangan dapur seperti sayur-sayuran,udang dan ikan yang basah atau segar berubah menjadi busuk dan seumpamanya.

Dalam perkara ini, apakah perkara yang perlu diambil perhatian oleh kedua-dua pihak, iaitu penjual dan pembeli agar tidak berlaku tuduh-menuduh?

Dalam perkara jual-beli sesuatu benda, khususnya yang cepat berubah-ubah seumpama udang segar atau basah, maka dalam keadaannya yang sedemikian itu dinasihatkan agar pembeli hendaklah memeriksa betul-betul akan kesegaran udang tersebut supaya dia tidak menyesal. Bagi pihak penjual pula, dia hendaklah melihatkan keadaan udang yang dijualnya itu kepada pembeli, sama ada segar atau sebaliknya. Perbuatan sedemikian sangat bertepatan dengan hukum syara‘ kerana antara syarat sah jual-beli benda yang dibeli itu dilihat pada waktu berlaku jual-beli.

Selain itu, perlu juga diberi perhatian bahawa cara dan tempat menyimpan barangan tersebut hendaklah bersesuaian. Ini kerana dari mula membeli udang tersebut sehingga sampai ke rumah jika ia diletak atau disimpan di bahagian belakang kenderaan yang tidak bersesuaian umpamanya, maka perkara ini mungkin boleh menyebabkan udang tersebut cepat berubah.

Oleh itu, berhati-hati pada membeli barang adalah dituntut dalam Islam,terutama sekali pada barang yang mudah berubah, supaya tidak menyesal dan membuat sebarang tuduhan terhadap penjual dan sebagainya.

Menghindari Tipu Daya Dalam Jual-Beli

Sebagai pengguna atau pembeli, mengambil langkah berhati-hati di samping mengetahui perkara-perkara penting dalam urusan jual-beli adalah suatu amalan yang bijak. Namun jika seseorang itu masih merasa takut diperdaya dan seumpamanya, maka berikut dibawakan beberapa amalan yang boleh diamalkan agar terhindar dari perkara yang tidak diingini.

Antaranya seperti yang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah ajarkan apabila seorang sahabat mengadu kepada Baginda bahawa dia kena tipu dalam jual-beli, lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpesan kepadanya:

“Apabila kamu membeli, maka kamu kata: ertinya ‘tiada tipu-daya (iaitu dengan kata-kata yang manis).”

Selain itu bagi menjauhkan diri dari tipu-daya dalam urusan jual-beli, perjanjian, kontrak dan sebagainya, ulama menyarankan kepada kita untuk selalu membaca ayat ke 44 daripada Surah Ghafir, firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “…dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya.” (Surah Ghafir: 44)

Kenapa kita disuruh untuk menyerahkan urusan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala? 

Ini kerana Allah Yang Maha Mulia melihat perkara hambaNya. Allah Ta‘ala akan menolong orang yang selalu berdamping dan menyerahkan perkara kepada Allah Ta‘ala sebagaimana firmanNya dalam surah Ghafir ayat 45:

Tafsirnya: “(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah), maka dia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu-daya mereka…” (Surah Ghafir: 45)

Dalam ayat ini, Allah Ta‘ala berjanji kepada orang yang berserah kepadaNya dan selalu membaca ayat ke 44 daripada surah Ghafir itu, maka dia akan dilindungi oleh Allah Ta‘ala dari segala kejahatan, sama ada dalam jual-beli, perjanjian, kontrek dan lain-lain hal ehwalnya dari kejahatan tipu daya manusia.

Sebagai kesimpulan, dalam mencari keuntungan atau laba dari mana-mana mata pencarian, kejujuran yang antaranya menjadi punca mendapat keberkatan itu sangat penting dan diutamakan.

Keberkatan sesuatu rezeki itu akan memberi kesan langsung pada diri, ahli keluarga dan kepada sesiapa saja hasil itu bakal dibelanjakan. Menurut hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam antara punca pendapatan yang terbaik itu ialah dengan cara berniaga.

Bagaimanapun, untuk mencapai kedudukan sepertimana yang dimaksudkan dalam hadits tersebut, perlu ada pada diri peniaga ciri-ciri dan akhlak sebagaimana yang telah diperincikan. Selain itu, sebelum melangkah jauh lagi dalam bidang perniagaan, terlebih dahulu adalah menjadi fardhu ‘ain ke atasnya untuk  mengetahui ilmu fiqh, agar menjadi landasan baginya dalam urusan jual-beli dan untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi seperti yang disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil32_bhg2.pdf

Khamis, 11 April 2013

ADAKAH DISUNATKAN AZAN DAN IQAMAH BAGI SEMBAHYANG QADHA’ DAN SEMBAHYANG JAMA‘?

Oleh : Mufti Brunei





ADAKAH DISUNATKAN AZAN DAN IQAMAH BAGI SEMBAHYANG QADHA’ DAN
SEMBAHYANG JAMA‘?

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Azan kerana sembahyang disyariatkan hanya untuk sembahyang fardhu Jumaat dan sembahyang-sembahyang fardhu lima waktu sahaja. Azan tidak disyariatkan pada sembahyang-sembahyang sunat sama ada yang disunatkan berjemaah seperti sembahyang ‘Idilfithri, ‘Idiladhha, sembahyang gerhana matahari atau bulan, sembahyang meminta hujan dan sembahyang tarawih, ataupun yang tidak disunatkan pada sembahyang itu berjemaah seperti sembahyang dhuha dan sebagainya. Selain daripada itu azan juga tidak disunatkan bagi sembahyang nazar dan jenazah.

Hukum azan kerana hendak sembahyang fardhu adalah sunat, sunat ‘ain bagi sembahyang bersendirian dan sunat kifayah bagi sembahyang jemaah.

Pada dasarnya azan merupakan pemberitahuan masuk waktu sembahyang fardhu. Oleh kerana itu azan hanya akan dilaungkan setelah masuknya waktu sembahyang. Namun berlaku juga azan sembahyang yang dilaungkan di luar daripada waktu asal sembahyang yang diwajibkan seperti azan bagi sembahyang qadha’ dan sembahyang jama‘, walaupun pada dasarnya disyariatkan azan itu sebaik sahaja masuknya waktu sembahyang kecuali bagi azan subuh.

Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah Ta‘ala di dalam kitab alBuwaithi ada menyebutkan bahawa pensyariatan azan sebagai pemberitahuan masuknya waktu sembahyang itu gugur dengan adanya perbuatan sembahyang. Ini bererti pensyariatan azan itu adalah kerana sembahyang, bukan kerana waktu dan pendapat ini adalah yang muktamad.

Berdasarkan kenyataan tersebut maka azan bagi sembahyang qadha’ itu adalah kerana sembahyang yang hendak didirikan dan ianya tidak terhalang disebabkan waktunya yang telah luput.

Azan Bagi Sembahyang Qadha’

Disunatkan azan bagi sembahyang qadha’ adalah pendapat yang ashah di sisi para ulama. Sunat azan dan iqamah bagi sembahyang qadha’ kerana kefardhuan sembahyang itu dengan beberapa ketetapan seperti berikut :-

i. Qadha’ tidak lebih dari satu sembahyang fardhu

Menurut pendapat ashah, disunatkan azan sebagaimana juga  disunatkan iqamah bagi sembahyang qadha’.

ii. Qadha’ lebih dari satu sembahyang fardhu

 Bagi qadha’ sembahyang fardhu yang luput beberapa waktu yang dilakukan secara berturut-turut, adalah
disunatkan azan pada sembahyang yang pertama sahaja sebagaimana pendapat ashah jumhur sahabat dan tidak perlu azan pada sembahyang-sembahyang seterusnya tanpa khilaf (percanggahan pendapat).Namun disunatkan iqamah bagi setiap sembahyang qadha’ yang dilakukan secara berturut-turut tanpa khilaf.

 Disunatkan azan dan iqamah pada setiap sembahyang bagi sembahyang-sembahyang qadha’ yang dilakukan secara berasingan iaitu tidak berturut-turut atau terdapat jarak waktu sekurang-kurangnya dua rakaat sembahyang di antara sembahyang-sembahyang yang hendak dilakukan itu.

 Disunatkan azan hanya pada permulaan sembahyang dan iqamah bagi setiap sembahyang qadha’ dan tunai yang dilakukan secara berturut-turut tidak kira sama ada dimulakan dengan sembahyang qadha’ atau sebaliknya asalkan azan itu dilaungkan setelah masuknya waktu sembahyang tunai tersebut.

Akan tetapi jika dimulakan dengan sembahyang qadha’ dan azan itu dilaungkan sebelum lagi masuk waktu sembahyang tunai, maka sunat baginya azan sekali lagi untuk sembahyang tunai tersebut kerana kefardhuan waktunya tanpa khilaf.

Dalil bagi disyariatkan azan pada sembahyang yang luput dan iqamah pada setiap sembahyang yang didirikan ialah hadits daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhuma katanya:Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Musyrik telah melalailalaikan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada mendirikan empat sembahyang fardhu di hari peperangan khandaq. Maka Baginda memerintahkan Bilal untuk azan, lalu dia pun azan.

Kemudian iqamah lalu mendirikan sembahyang Zuhur,
kemudian iqamah lagi lalu mendirikan sembahyang Asar,
kemudian iqamah lagi lalu mendirikan sembahyang Maghrib,
kemudian iqamah lagi lalu mendirikan sembahyang ‘Isya’ .”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Selain bagi sembahyang qadha’, azan juga disunatkan bagi sembahyang jama‘, sama ada jama‘ taqdim mahupun jama‘ ta’khir.

Azan Bagi Sembahyang Jama‘

Bagi sembahyang jama‘ (dua sembahyang fardhu yang dihimpunkan), jika dihimpunkan secara taqdim (sembahyang Asar yang dilakukan di dalam waktu sembahyang Zuhur atau sembahyang ‘Isya’ yang dilakukan di dalam waktu sembahyang Maghrib) maka disunatkan azan tanpa khilaf bagi sembahyang yang pertama dan iqamah bagi setiap keduanya.

Jika dua sembahyang fardhu itu pula dihimpunkan secara ta’khir (sembahyang Zuhur dilakukan dalam waktu
sembahyang Asar atau sembahyang Maghrib dilakukan dalam waktu sembahyang ‘Isya’) maka hukumnya adalah seperti sembahyang-sembahyang yang luput disebabkan luputnya waktu sembahyang yang pertama yang diikuti dengan waktu sembahyang yang kedua, iaitu disunatkan azan dan iqamah pada sembahyang yang pertama sama ada yang empunya waktu ataupun bukan, kemudian disunatkan iqamah sahaja
pada sembahyang yang kedua.

Perbuatan ini adalah bersandarkan kepada hadits daripada Jabir bin ‘Abdullah katanya: Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bertolak (dari ‘Arafah) sehingga sampai ke Muzdalifah. Lalu di
tempat itu, Baginda menjama‘ sembahyang Maghrib dan ‘Isya’ dengan sekali azan dan dua kali iqamah, dan tidak didirikan sembahyang apapun antara keduanya.” (Hadits riwayat an-Nasa’ie)

Demikian beberapa penjelasan mengenai azan bagi sembahyang qadha’ dan jama‘. Sebagai kesimpulan, azan tetap disunatkan bagi sembahyang qadha’ dan jama‘ dengan ketetapan tertentu iaitu:-

1) Sunat azan dan iqamah bagi sembahyang yang luput satu waktu.

2) Sunat azan pada sembahyang pertama dan sunat iqamah pada setiap sembahyang bagi sembahyang jama‘ taqdim dan ta’khir serta sembahyang yang luput beberapa waktu yang dilakukan secara berturut-turut.

3) Sunat azan dan iqamah pada setiap sembahyang bagi sembahyang-sembahyang qadha’ yang dilakukan secara berasingan (tidak berturut-turut).4) Memadai azan pada sembahyang pertama dan iqamah pada setiap sembahyang bagi sembahyang qadha’ berserta sembahyang tunai yang dilakukan secara berturut-turut.

Akan tetapi disunatkan azan sekali lagi jika azan pada sembahyang qadha’ yang dilakukan sebelum masuk
waktu sembahyang tunai walaupun dilakukan secara berturut-turut.

Jelasnya di sini tuntutan azan itu tidak gugur disebabkan luputnya waktu wajib sembahyang atau disebabkan terkeluar dari waktu asal. Ini menunjukkan bahawa azan itu mempunyai kelebihan dan kedudukan yang tinggi di dalam Islam. Oleh yang demikian, peliharalah kehormatannya dan  kautlah ganjaran pahala yang lebih dengan tidak meninggalkannya.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2013/20Feb2013.pdf

Ahad, 3 Mac 2013

Hukum Binaan Di Atas Kubur




Oleh : Ustaz Nik Nazimuddin

Siri Pertama

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول لله وعلى آله وصحبه ومن تبعهم الى يوم

القيامة , أما بعد:

Disusunkan artikel ini bertujuan menerangkan kepada masyarakat tentang beberapa hukum yang dikelirukan oleh sesetengah pihak yang menggunakan zahir lafaz hadis tanpa merujuk kepada huraian ulama mujtahid yang berkelayakkan dalam menghuraikan hukum-hakam yang tersirat di dalam sesebuah hadis. Para ulama yang muktabar memperincikan lagi maksud sebenar huraian imam ikutan mereka itu. Maka mantaplah segala hukum dan terhindar daripada huraian mengikut hawa nafsu, ilmu yang cetek serta akal yang dangkal. Ini kerana, tidak semua diberikan ilmu yang seperti ulama-ulama tersebut. Merekalah pewaris nabi yang beramanah dalam menjaga agama ini.

ان العلماء ورثة الأنبياء ورثوا علما…

Ertinya: “ Sesungguhnya para ulama adalah pewaris kepada para anbia dan mereka itu mewarisi keilmuan.…” (Al-Hadis)

Hukum Binaan Di atas Kubur

Tentang hadis larangan binaan di atas kubur, Imam Syafie menerangkan hukum dan sebab larangan tersebut di dalam kitab Ummnya (bab jenazah):


” ورأيت من الولاة (بمكة) من يهدم ما يبنى فيها ولم أر فقهاء يعيبون عليه ذلك ولأن في ذلك تضييقا على الناس “
Ertinya: “ Aku melihat pembesar di Mekah meruntuhkan binaan-binaan kubur yang ada padanya dan aku tidak melihat para Fuqaha (Mujtahid) yang mencela perbuatan pembesar tersebut dan kerana pada binaan itu menyempitkan tanah perkuburan ke atas orang ramai.”

Katanya lagi: ” فان كانت القبور في الأرض يملكها الموتى في حياتهم أو ورثتهم بعدهم , لم يهدم شىء يبنى منها وانما يهدم ان هدم ما لا يملكه أحد فهدمه لئلا يحجر على الناس “
Ertinya: “ Maka jika adalah perkuburan di dalam tanah yang dimiliki oleh  orang-orang mati semasa hidup mereka atau diwarisi oleh pewaris selepas kematian mereka, nescaya tidak boleh diruntuhi sesuatu binaan di dalamnya. Hanya diruntuhi sesuatu binaan di dalam tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun maka hendaklah diruntuhinya supaya tidak menegah orang ramai untuk tanam mayat yang lain.”

Bila ditanyakan fatwa kepada Ibnu Hajar Haitami tentang suatu binaan, beliau menghukumkan haram binaan itu dan menyatakan sebab ( ألعلة ) pengharaman tersebut dengan katanya (Fatawa Kubra, bab jenazah):


” ولوجود علة تحريم البناء في ذلك وهى تحجير الأرض على من يدفن بعد بلاء الميت اذ الغالب أن البناء يمكث الى ما بعد البلى وأن الناس يهابون فتح القبر المبني فكان في البناء تضييق للمقبرة ومنع الناس من الانتفاع بها فحرم “
Ertinya: “Kerana terdapat sebab pengharaman binaan pada binaan yang berkenaan iaitu menegah tanah kubur daripada ditanamkan mayat lain selepas hancur mayat di dalam kubur itu. Ini kerana, kebiasaannya binaan di atas kubur menjadi kekal sehinggakan selepas masa hancurnya mayat, dan orang ramai takut hendak membuka kubur yang dibinakan di atasnya. Maka binaan itu menyempitkan tanah perkuburan dan menegah orang ramai daripada mengambil manfaat dengannya lalu ia menjadi haram.”

Beberapa perkara yang difahami daripada huraian Imam Syafie adalah:-

1)     Binaan di dalam tanah perkuburan milik sendiri

2)     Binaan di dalam tanah perkuburan disabilkan

3)     Binaan yang menyebabkan:

a) terhalang daripada ditanamkan mayat lain (bila berlaku   kesesakan)

b) menyempitkan tanah perkuburan dengan perkara yang berlebih-lebihan

Para ulama yang mengikuti Imam Syafie menghuraikan maksud sebenar perkataan Imam mereka tentang Hukum Binaan tersebut, adalah seperti berikut:-

Maksud sebenar Binaan tersebut dan dimakruhkan di tanah perkuburan milik sendiri

Binaan yang di maksudkan itu ialah binaan yang sama betul dengan liang lahad mayat (tidak memakan ruang yang terlebih luas) dan juga binaan yang memakan ruang yang terlebih luas daripada itu seperti kubah, masjid, bilik dan lain-lain. Binaan tersebut dimakruhkan di dalam kawasan tanah kubur milik persendirian. Ini adalah pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafie.

Tersebut di dalam kitab Tuhfah bagi Ibnu Hajar Haitami ketika mensyarahkan matan Minhaj Imam Nawawi (bab jenazah) :

” (ويكره تجصيص القبر والبناء) عليه في حريمه وخارجه, نعم ان خشي نبش أو حفر سبع أو هدم سيل لم يكره “
Ertinya: “{Dimakruhkan (dalam tanah perkuburan milik sendiri) memutihkan kubur dengan kapur dan membuat binaan} di atas kubur pada permukaan liang lahadnya dan ruang yang terlebih luas daripada itu, sungguh pun begitu tiada makruh jika takut dibongkari (oleh pencuri kain kapan atau dibongkari untuk ditanam jenazah lain sebelum hancur jasadnya), digali binatang buas atau diruntuhi air banjir yang deras.”

As-Syarwani menjelaskan lagi perkataan Ibnu Hajar itu di dalam Hasyiahnya:


” أي ويكره على القبر في حريمه وهو ما قرب منه جدا وخارج الحريم هذا في غير المسبلة “
Ertinya: “ Iaitu dimakruhkan binaan di atas kubur pada permukaan liang kubur iaitu ruang atau tanah yang betul-betul hampir dengan liang lahad kubur dan dimakruhkan juga pada ruang atau tanah yang terlebih luas daripada liang kubur tersebut. Hukum makruh terbabit adalah di dalam tanah perkuburan yang bukan disabilkan

( iaitu tanah perkuburan milik sendiri).”

Terdapat Pendapat yang lemah di dalam mazhab Syafie yang menyatakan bahawa dimakruhkan binaan yang tidak memakan ruang yang terlebih luas daripada permukaan liang lahad kubur dan diharamkan binaan yang memakan ruang yang terlebih luas daripadanya, sama ada binaan berkenaan di dalam tanah perkuburan milik sendiri atau tanah perkuburan yang disabilkan.

Di dalam kitab Murghni Muhtaj, bab jenazah: “ Sesetengah ulama mazhab Syafie menyesuaikan perkataan Imam Nawawi di dalam matan Minhaj dan perkataannya di dalam Majmuk dan lain-lain, dengan memberi maksud bahawa dimakruhkan apabila dibina hanya di atas kubur, dengan makna  adalah binaan itu berada sama betul dengan permukaan liang kubur. Diharamkan binaan itu apabila didirikan di atas kubur kubah atau bilik yang didiami. Pendapat yang muktamad adalah haram semata-mata (tanpa membezakan di antara binaan sama betul dengan liang lahad dan binaan yang terlebih luas daripada itu).”

Di atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada di dalam  tanah perkuburan milik sendiri

Binaan seperti kubah, bilik, masjid dan lain-lain, tiada haram serta tiada makruh sekiranya dibina di atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada di dalam tanah perkuburan milik sendiri. Tujuan didirikan binaan tersebut adalah untuk menggalakkan orang ramai datang menziarahi kubur mereka dan sempena mengambil berkat.

Berkata Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah (jilid 3, m/s 226):


” قال بعضهم الا في صحابي ومشهور الولاية فلا يجوز وان انمحق ويؤيده تصريحهم بجواز الوصية بعمارة قبور الصلحاء أي في غير المسبلة على ما يأتي في الوصية لما فيه من احياء الزيارة والتبرك “
Ertinya: “ Sesetengah ulama syafie berkata: “ Melainkan pada kubur sahabat dan mereka yang masyhur dengan kewalian maka tiada harus membongkarkan kuburnya, sekalipun telah hancur jasadnya. Pendapat mereka dikuatkan dengan kenyataan fuqaha bahawa diharuskan berwasiat supaya dibangunkan binaan di atas kubur orang yang soleh, iaitu di dalam tanah perkuburan yang bukan disabilkan, mengikut keterangan yang akan datang pada bab wasiat. Keharusan itu bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan ziarah dan sempena mengambil berkat.”

Binaan di dalam tanah perkuburan yang disabilkan

Di dalam tanah perkuburan yang disabilkan atau diwakafkan, haram membina kubah, bilik, rumah atau masjid di atasnya. Wajib diruntuhkan binaan tersebut walaupun didirikan atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada. Ini adalah pendapat yang muktamad di dalam mazhab syafie.

Tersebut di dalam kitab Nihayah bagi Syeikh Ramli ketika mensyarahkan Minhaj Imam Nawawi, bab jenazah:


“( ولو بني في مقبرة مسبلة, هدم) البناء وجوبا لحرمته ولما فيه من تضييق على الناس وسواء أبني قبة أو بيتا أو مسجدا أم غيرها “
Ertinya: “ (Jika dibinakan di atas kubur di dalam kawasan perkuburan yang disabilkan nescaya mesti diruntuhkan) binaan itu sebagai hukum yang wajib. Ini kerana binaan tersebut adalah haram dan kerana terdapat padanya sebab (العلة) pengharaman iaitu menyempitkan (tanah perkuburan yang disabilkan). Hukumnya tetap seperti itu, sama ada dibinakan kubah, bilik (rumah), masjid atau lainnya.”

Diharamkan binaan tersebut walaupun di atas kubur  para nabi, wali, ulama dan lain-lain di dalam tanah perkuburan yang disabilkan sebagaimana kenyataan Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah (jilid 3, m/s 226) yang telah lalu mengikut beliau binaan seperti kubah, bilik, rumah dan masjid tidak dimakruhkan di atas kubur mereka sekiranya di dalam kawasan tanah perkuburan milik persendirian. Maka difahami daripada perkataan beliau bahawa binaan tersebut diharamkan di dalam tanah perkuburan yang disabilkan.

Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan

Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan ialah hanya binaan seperti simen, marmar dan lain-lain dimana binaan itu tidak memakan ruang yang terlebih luas daripada liang lahad kubur.

Ini ada dinyatakan di dalam Nihayah karangan Syeikh Ramli bab jenazah (jili 3, m/s 41,عند قول المتن لا للتكفين على الأصح ) ketika membahaskan larangan membongkar kubur sahabat dan wali setelah hancur jasad mereka untuk ditanam jenazah lain. Kerana larangan inilah, diharuskan binaan di atas liang lahad kubur mereka supaya tidak dibongkarkan untuk ditanam jenazah lain.Beliau menukilkan perkataan Muwaffiq bin Hamzah yang mengharuskan berwasiat untuk membina binaan di atas kubur sahabat dan wali bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan menziarahi dan mengambil berkat.

Binaan yang dimaksudkan oleh nukilan Syeikh Ramli itu ialah hanya binaan di atas liang lahad kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya sahaja seperti disimen dan dipasangkan marmar, bukan binaan yang memakan ruang lebih luas daripada itu, seperti kubah, bilik, rumah, masjid dan lain-lain. Ini sebagaimana yang telah diterangkan oleh Al-Allamah Ali Syabramalisi di dalam Hasyiah Nihayah (jilid 3 : m/s 41 bab jenazah) dengan katanya:


” والمراد بعمارة ذلك بناء محل الميت فقط لا بناء القباب ونحوها “
Ertinya: “ Dimaksudkan dengan mendirikan binaan tersebut ialah binaan  di tempat liang lahad simati (nabi, wali, ulama dan seumpamanya) sahaja, bukannya binaan segala kubah dan seumpamanya.”

Al-Allamah Ali Syabramalisi di dalam Hasyiah  Nihayah juga menegaskan:

 “ Pendapat yang muktamad ialah apa yang dikatakan oleh Syeikh Ramli di dalam bab jenazah iaitu harus berwasiat untuk meratakan tanah kubur para nabi dan orang soleh serta membangunkan binaan (yakni binaan seperti simen, marmar) di atas kubur mereka di dalam tanah kubur yang disabilkan.”

(حاشية الشرواني على التحفة : كتاب الوصايا وما يتعلق به عند قول المتن واذا أوصى لجهة عامة فالشرط أن لا تكون معصية : ج 3/ ص 6)

Terdapat pendapat yang lemah di dalam mazhab syafie bahawa diharuskan binaan yang memakan ruang yang terlebih luas seperti kubah, bilik dan lain-lain di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan yang disabilkan sebagaimana yang tersebut di dalam kitab ‘Iaanah AtThalibin (Fasal : solat ke atas simati, jilid 2 : m/s120) :

” وقال البجيرمي : واستثنى بعضهم قبور الأنبياء والشهداء والصالحين ونحوها (برماوي) , وعبارة الرحماني : نعم قبور الصالحين يجوز بناؤها ولو قبة لاحياء الزيارة والتبرك , قال الحلبي : ولو في مسبلة وأفتى به وقد أمر به الشيخ الزيادي مع ولايته…”

Ertinya: “ Al-Bujairimi berkata: Sesetengah ulama mazhab syafie mengecualikan (daripada hukum haram) kubur para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan seumpamanya (nukilan Barmawi). Teks Ar-Rahmani menyebut: Sungguhpun begitu, kubur orang-orang soleh diharuskan membina di atasnya, sekalipun binaan kubah bertujuan memakmurkan dengan ziarah dan mengambil berkat. Al-Halabi berkata: Walaupun di dalam tanah perkuburan yang disabilkan dan beliau berfatwa sebegitu. Sesungguhnya Syeikh Ziyadi memerintahkan supaya didirikan binaan tersebut ketika beliau berkuasa…..”

Sumber : http://www.al-bakriah.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=28%3Ahukum-binaan-di-atas-kubur&catid=9%3Asoal-jawab-agama&Itemid=25

Tambahan :

1. Hukum Binaan Di Atas Tanah Perkuburan Fatwa Negeri Kedah

2. Hukum Menambak Kubur Fatwa Brunei Darussalam

Ahad, 24 Februari 2013

Ciri-ciri Peniaga Muslim Bab 1



Oleh : Mufti Brunei

(Bahagian Pertama)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda) Salah satu keperluan masyrakat dalam kehidupan seharian mereka ialah jual-beli, sama ada sebagai pembeli ataupun penjual atau kedua-duanya sekali. Oleh itu, ada pihak yang menjalankan urus-niaga dan jual-beli sebagai salah satu daripada sumber mata pencarian
mereka dan ini selari dengan kehendak syara‘ yang menuntut agar umatnya mencari rezeki melalui jalan yang halal dan baik. Sebenarnya dalam jual-beli itu terdapat faedah, iaitu membantu orang ramai dengan mewujudkan atau menghadirkan keperluan mereka. Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda bahawa sebaik-baik sumber mata pencarian atau pendapatan itu ialah dengan berniaga, dan pekerjaan sebagai peniaga itu  merupakan antara pekerjaan yang  terbaik dan mulia.  Selain itu, para sahabat
Radhiallahu ‘anhum turut menjadikan  perniagaan itu sebagai sumber mata pencarian mereka.

Dalam hadits  yang lain  pula menyatakan bahawa  seafdhal-afdhal cara mencari pendapatan atau sumber rezeki antaranya  ialah setiap jual-beli yang  mabrur.

Jual-beli yang  mabrur itu diertikan kepada dua,

1. sama ada jual-beli yang  diterima di sisi Allah Ta‘ala  dan diberikan  ganjaran,

2. atau jual-beli yang diterima oleh syara‘, iaitu jual-beli yang tidak fasid (batal), tiada tipu-daya di dalamnya dan tiada khianat.

Kejujuran Dalam Urusan Jual-Beli

Semua orang maklum bahawa sifat jujur itu sentiasa dituntut dalam semua  perkara dan keadaan, antaranya dalam  urusan  jual-beli.  Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan seorang pemuda dan ahli perniagaan yang sangat terkenal dengan kejujurannya sehinggakan kerana kejujuran Baginda itu Baginda dikenali dengan gelaran al-Amin.Peniaga jujur yang mengikut landasan syara‘ bakal memperolehi kedudukan yang tinggi  berdasarkan  hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id sabda  Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Pedagang yang jujur lagi  bersifat amanah, (dia) beserta para nabi, orang-orang yang jujur dan para syuhada’ (orang-orang yang mati syahid).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Namun sesekali perkataan ‘jual-beli’ atau ‘berniaga’ itu dicemari  juga  dengan perkara  yang  negatif.  Perbuatan ini mungkin dilakukan oleh mereka yang tidak mencontohi peribadi  dan  akhlak Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam atau pedagang  yang jujur seperti yang  dimaksudkan dalam hadits di atas. Oleh  yang demikian, syara‘  telah menetapkan garis-pandu dan landasan yang betul untuk dipatuhi dalam urusan jual-beli  terutama sekali terhadap peniaga.

Mengetahui  hukum syarat jual-beli  itu adalah  fardhu ‘ain, kerana dengan mengetahui perkara ini umat Islam  akan  terhindar daripada  melakukan  perkara yang dilarang oleh syara‘. Dalam erti kata yang lain, jika mempelajari perkara rukun dan syarat jual-beli itu diabai-abaikan, maka akibat yang  mungkin berlaku ialah pelanggaran  hukum-hukum Allah Ta‘ala.

Khalifah Umar ibnu Al-Khattab  Radhiallahu ‘anhu pernah berpesan kepada sekalian peniaga muslim, beliau berkata: “Tidak boleh menjual atau membeli di pasar, melainkan orang itu terlebih dahulu mengetahui hukum jual-beli yang telah ditentukan oleh ilmu fiqh. Siapa yang tidak memenuhi syarat ini, dikhuatiri dia akan makan riba sedangkan  dia tiada mengetahuinya”.

Pesanan ini ada kebenarannya kerana, sama ada disedari atau tidak, perkara-perkara yang menyalahi syara‘ dilakukan oleh peniaga-peniaga muslim seperti menipu, bersumpah palsu dan lain-lain, termasuk mengamalkan riba.

Ciri-Ciri Peniaga

Bagaimanakah ciri-ciri peniaga yang jujur atau yang menepati maksud hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam?

Antara  ciri-ciri itu telah disebutkan dalam sebuah hadits daripada Mu‘az bin Jabal  Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik  pendapatan ialah  pendapatan para peniaga, (iaitu) apabila mereka bercakap mereka tidak berbohong, dan jika mereka diamanahkan mereka tidak khianat, dan jika mereka berjanji mereka tidak mungkir, dan jika mereka  membeli mereka tidak mengeji, dan jika mereka menjual mereka tidak  (keterlaluan) memuji, dan jika ada atas mereka hutang mereka tidak menangguh-nangguhkan, dan jika mereka memberi hutang mereka tidak menyusahkan.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)


Berikut dibawakan penerangan daripada Kitab Faydh al-Qadir mengenai ciri-ciri peniaga yang menepati maksud hadits di atas, iaitu:

i. ‘Apabila  bercakap mereka tidak berbohong’ ialah apabila  mereka memberitahu atau mengiklankan perihal dan keadaan barang dagangan mereka, mereka tidak menipu mengenai suatu perkara pun pada apa yang mereka katakan kepada pembeli atau pelanggan mereka.

ii. ‘Apabila diamanahkan mereka tidak khianat’, ialah  apabila  mereka (peniaga) diberi kepercayaan mereka tidak berlaku khianat, misalnya jika pembeli, pelanggan dan selain mereka meminta untuk diberitahukan apaapa perkara  umpamanya  mengenai pembelian atau berapa modal  peniagaannya.

iii. ‘Apabila berjanji  mereka tidak mungkir’ ialah  seumpama  pelunasan hutang-hutang perniagaan, mereka tidak mengkhianati atau mengingkarinya dengan senghaja selagi masih mampu dilunaskan.

iv. ‘Apabila membeli mereka tidak mengeji’ ialah mereka tidak mengeji atau mencemuh barangan yang mereka beli. Sebaliknya jika suatu barangan itu dikomen sudah lama, kualitinya kurang memuaskan dan seumpamanya, sedangkan hakikatnya tidak seperti yang dikatakan, pada kebiasaannya tujuannya ialah  agar barangan itu  dijual dengan harga yang lebih rendah.

v. ‘Apabila menjual  barangan  mereka  tidak (keterlaluan) memuji’, iaitu pujian yang tidak membawa kepada penipuan atau berkata dusta.Sebaliknya  jika  suatu barangan itu dipuji secara keterlaluan  antara
tujuannya ialah untuk menarik hati pembeli agar barangan itu laris dibeli atau pembeli tidak merasa keberatan untuk membayar dengan harga yang lebih tinggi.

Kesimpulan yang dapat diambil  daripada  penerangan di atas  ialah  sumber pendapatan sebagai  peniaga itu adalah sebaik-baik keuntungan  dengan syarat kesemua sifat-sifat peniaga itu dipatuhi. Sebaliknya, jika hilang sesuatu daripada sifat-sifat itu, maka keuntungan  atau pendapatan  sebagai  peniaga itu menjadi seburuk-buruk  pendapatan. Perkara inilah yang perlu  diambil perhatian dan dijauhi oleh para peniaga pada masa kini.

vi. ‘Apabila berhutang mereka tidak menangguh-nangguhkan’ ialah tidak melewatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang-piutang mereka kepada pemiliknya (pemiutang).

vii. ‘Apabila memberi  hutang  kepada orang lain,  sedangkan  hutang itu dilunaskan, mereka (peniaga) itu bertimbang rasa, tidak berlaku keras atau  menyusahkan.

Maka inilah  sifat dan  akhlak orang-orang  yang menjaga  batas-batas yang digariskan Allah Ta‘ala. Orang  yang menjaga batas-batas Allah Ta‘ala itu ialah orang-orang yang Allah telah  ikatkan perjanjian taat setia kepada mereka dan telah  dihadiahkan syurga sebagai  ganti  kepada  jiwa/diri mereka.  Bagaimanapun  kesemua ini  tidak akan mampu untuk  ditunaikan melainkan  bagi  mereka  yang  teguh  dan yakin  bahawa  tetap ada penjamin rezeki dalam  urusan pemberian  rezeki. Mereka ini adalah  orang-orang yang sempurna rasa takutnya, yang tenang jiwanya dan dijauhkan hatinya  daripada  perasaan kecintaan  (tamak  mendapatkan) mata pencarian tanpa mengira dengan cara apa dan bagaimana sekalipun. Mereka yang memiliki sifat dan  akhlak ini juga  layak  dikatakan sebagai ‘bertaqwa’ sesuai dengan sebahagian ayat kedua dan ketiga dari surah at-Talaqfirman Allah Ta‘ala:


Tafsirnya: “… dan sesiapa yang bertaqwa kepada  Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkanya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya …”

(Surah at-Talaq: 2-3)

Akibat Dan Balasan Perbuatan Memperdaya

Sekalipun terdapat undang-undang yang mencegah penipuan dalam urusan jual-beli, namun sesekali masih kedengaran kejadian demikian berlaku. Dari segi syara‘, perbuatan menipu, memperdaya, menyembunyikan ‘aib atau kekurangan barangan, curang dalam sukatan dan timbangan adalah perbuatan derhaka dan mengakibatkan dosa.

Perbuatan sedemikian hendaklah dijauhi oleh orang Islam supaya berkat dan selesa hidup seseorang
itu pada dirinya, ahli rumahnya, anak-anaknya dan lainnya. Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi peringatan kepada peniaga-peniaga dalam sabda Baginda:


Maksudnya: “Sesungguhnya para peniaga adalah orang-orang yang melakukan dosa. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, tidakkah Allah telah menghalalkan jual beli?” Rasulullah menjawab: “Ya betul! Akan tetapi mereka bercakap namun mereka juga berbohong, dan mereka bersumpah akibatnya mereka juga berdosa”. (Hadis riwayat Ahmad)

bersambung

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil32_bhg1.pdf

Rabu, 13 Februari 2013

Kitab-kitab Mawlid Sepanjang Zaman




Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni (Jabatan al Quran dan As Sunnah & Institut Kajian Hadith (INHAD) KUIS


Meneliti kembali sejarah, ditemukan ramai ulama yang begitu mengambil berat berhubung topik mawlid Nabi SAW. Topik mawlid sebenarnya sebahagian daripada ilmu sirah Nabi SAW. Namun, lama-kelamaan ia menjadi satu disiplin penulisan yang mempunyai konsep sedikit berbeza dengan kitab-kitab sirah. Di mana banyak kitab-kitab mawlid ini ditulis dengan gubahan gaya bahasa yang tinggi, puitis dan berima.


Mawlid Nabi SAW merupakan suatu topik yang dapat dianggap evergreen di sepanjang zaman. Ini kerana ia datang pada setiap tahun pada bulan Rabiul Awwal. Soal setuju atau tidak setuju menyambutnya menjadi isu yang masyhur di kalangan ahli ilmu. Bagaimanapun, menceritakan keindahan peribadi dan riwayat hidup Nabi SAW bagi orang yang cinta tidak akan mendatangkan rasa jemu dan bosan. Apatah lagi seseorang itu akan bersama dengan orang yang dikasihi dan dicintai di akhirat kelak.


Berdasarkan kajian, didapati amat banyak kitab-kitab yang telah dikarang oleh para alim ulama berkaitan mawlid Nabi SAW. Berikut adalah sebahagian di antara kitab-kitab berkenaan yang disusun menurut kronologi:


Abad Ketiga Hijrah


Menurut al-‘Allamah Sayyid Ahmad al-Ghumari di dalam kitabnya Ju’nah al-‘Attar (hlm. 12-13):


1- “Orang pertama yang aku tahu telah menyusun mengenai mawlid ialah Muhammad bin ‘Umar al-Waqidi, pengarang kitab al-Maghazi dan kitab al-Futuh, meninggal dunia tahun 206 H, dan ada yang menyebut 209 H. Beliau mempunyai dua buah kitab tentangnya, iaitu kitab al-Mawlid al-Nabawi dan kitab Intiqal al-Nur al-Nabawi, sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Suhaili di dalam al-Rawdh sebahagian daripadanya.

2- Demikian juga telah menyusun mengenai mawlid dari kalangan ulama terdahulu; al-Hafiz Abu ‘Abdillah Muhammad bin ‘A’id, pengarang al-Sirah yang masyhur, meninggal dunia tahun 233 H.

3- Dan al-Hafiz Abu Bakr ibn Abi ‘Asim, pengarang banyak kitab, meninggal dunia tahun 287 H” – tamat nukilan.


Kitab al-Hafiz Abu Bakr ibn Abi ‘Asim ini pernah diriwayatkan oleh Imam al-Ghazali. Kata muridnya al-Hafiz ‘Abd al-Ghafir al-Farisi (w. 529H) mengenai gurunya itu: “Beliau telah mendengar berbagai-bagai hadis secara formal bersama-sama para fuqaha’. Antara yang saya temukan bukti sama‘nya ialah apa yang beliau dengar daripada kitab Mawlid al-Nabi SAW karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr ibn Abi ‘Asim al-Syaybani, riwayat al-Imam Syeikh Abu Bakr Muhammad bin al-Harith al-Asbahani, dari Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Ja‘far ibn Hayyan, dari pengarangnya. Imam al-Ghazali telah mendengarnya dari Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari - Khawar Tabaran - rahimahullah, bersama-sama dua orang anaknya, Syeikh ‘Abd al-Jabbar dan Syeikh ‘Abd al-Hamid serta sekumpulan para fuqaha’… Kitab tersebut di dalam dua juzuk yang didengar oleh beliau”. (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212-214)


Abad Keempat dan Kelima Hijrah


Karya-karya mawlid di dalam abad keempat dan abad kelima setakat ini belum lagi ditemukan oleh al-faqir penulis. Jika ada, mohon diberitahu. Namun, penulisan mengenai mawlid ini berterusan di kalangan ramai ulama pada abad-abad kemudiannya.


Abad Keenam Hijrah


4- al-Durr al-Munazzam fi Mawlid al-Nabi al-A‘zam oleh al-‘Allamah Abu al-‘Abbas Ahmad bin Mu‘id bin ‘Isa al-Uqlisyi al-Andalusi (w. 550H).

5- al-‘Arus oleh al-Hafiz Abu al-Faraj ‘Abd al-Rahman bin ‘Ali al-Hanbali, yang terkenal dengan panggilan Ibnu al-Jawzi (w. 597H). Kitab ini telah disyarah oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Jawi (w. 1315H) dengan judul: (بغية العوام في شرح مولد سيد الأنام عليه الصلاة والسلام المنسوبة لابن الجوزي) atau (البلوغ الفوزي لبيان ألفاظ مولد ابن الجوزي).


Abad Ketujuh Hijrah


6- al-Tanwir min Mawlid al-Siraj al-Munir oleh al-Hafiz Abu al-Khattab ibn Dihyah al-Kalbi (w. 633 H). Beliau telah menghadiahkan kitab ini kepada al-Malik al-Muzaffar, raja Arbil yang selalu menyambut malam mawlid Nabi SAW dan siangnya dengan sambutan meriah yang tidak pernah didengar seumpamanya. Baginda telah membalas beliau dengan ganjaran hadiah yang banyak.

7- (المولد النبوي) oleh al-Syeikh al-Akbar Muhyi al-Din Muhammad bin ‘Ali ibn al-‘Arabi al-Hatimi (w. 638H).

8- ‘Urfu al-Ta‘rif bi al-Mawlid al-Syarif oleh Imam al-Hafiz Abu al-Khair Syams al-Din Muhammad bin ‘Abd Allah al-Jazari al-Syafi‘i (w. 660H).

9- (الدر النظيم في مولد النبي الكريم) oleh Syeikh Abu Ja‘far ‘Umar bin Ayyub bin ‘Umar ibn Arsalan al-Turkamani al-Dimasyqi al-Hanafi, yang dikenali dengan nama Ibn Taghru Bik (w. 670H).

10- (ظل الغمامة في مولد سيد تهامة) oleh Syeikh Ahmad bin ‘Ali bin Sa‘id al-Gharnati al-Maliki (w. 673H).

11- (الدر المنظم في مولد النبي المعظم) oleh al-‘Allamah Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin al-Husain al-‘Azfi. Ia disempurnakan oleh anaknya, Abu al-Qasim Muhammad (w. 677H).


Abad Kelapan Hijrah


12- (المورد العذب المعين/ الورد العذب المبين في مولد سيد الخلق أجمعين) oleh Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad bin Muhammad al-‘Attar al-Jaza’iri (w. 707H).

13- (المنتقى في مولد المصطفى) oleh Syeikh Sa‘d al-Din Muhammad bin Mas‘ud al-Kazaruni (w. 758H). Ia di dalam bahasa Parsi, kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh anaknya, Syeikh ‘Afif al-Din.

14- (الدرة السنية في مولد خير البرية) oleh al-Hafiz Salah al-Din Khalil ibn Kaykaldi al-‘Ala’i al-Dimasyqi (w. 761H).

15- Mawlid al-Nabi SAW oleh Imam al-Hafiz ‘Imad al-Din Isma‘il bin ‘Umar ibn Kathir (w. 774H). Ia telah ditahqiq oleh Dr. Solah al-Din al-Munjid. Ia juga telah disyarahkan oleh al-Sayyid Muhammad bin Salim bin Hafiz, mufti Tarim, dan diberi komentar oleh al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, yang telah diterbitkan di Syria tahun 1387 H.

16- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh Sulayman bin ‘Awadh Basya al-Barusawi al-Hanafi (w. sekitar 780H), imam dalam wilayah Sultan Bayazid al-‘Uthmani.

17- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh Muhammad ibn ‘Abbad al-Randi al-Maliki (w. 792H), pengarang Syarah al-Hikam.


Abad Kesembilan Hijrah


18- al-Mawrid al-Hani fi al-Mawlid al-Sani oleh al-Hafiz ‘Abd al-Rahim bin Husain bin ‘Abd al-Rahman, yang terkenal dengan nama al-Hafiz al-Iraqi (w. 808 H).

19- (النفحة العنبرية في مولد خير البرية صلى الله عليه وسلم) oleh al-‘Allamah Majd al-Din Muhammad bin Ya‘qub al-Fairuz abadi (w. 817H).

20- (جامع الآثار في مولد المختار) oleh al-Hafiz Muhammad ibn Nasir al-Din al-Dimasyqi (w. 842H). Ia di dalam 3 juzuk. Beliau juga telah menulis dua buah kitab mawlid lain, iaitu: (المورد الصادي في مولد الهادي) dan (اللفظ الرائق في مولد خير الخلائق).

21- (تحفة الأخبار في مولد المختار) oleh al-Hafiz Ahmad ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H), dicetak di Dimasyq tahun 1283H.

22- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh ‘Afif al-Din Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd Allah al-Husayni al-Tibrizi (w. 855H).

23- (الدر المنظم في مولد النبي المعظم) oleh Syeikh Syams al-Din Muhammad bin ‘Uthman bin Ayyub al-Lu’lu’i al-Dimasyqi al-Hanbali (w. 867H). Ia di dalam 2 jilid, dan kemudian telah diringkaskan dengan judul (اللفظ الجميل بمولد النبي الجليل).

24- (درج الدرر في ميلاد سيد البشر) oleh Syeikh Asil al-Din ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Latif al-Husayni al-Syirazi (w. 884H).

25- (المنهل العذب القرير في مولد الهادي البشير النذير صلى الله عليه وسلم) oleh al-‘Allamah Abu al-Hasan ‘Ali bin Sulaiman bin Ahmad al-Mardawi al-Maqdisi (w. 885H), syeikh Hanabilah di Dimasyq.

26- Mawlid al-Nabi SAW oleh al-Sayyid ‘Umar bin ‘Abd al-Rahman bin Muhammad Ba‘alawi al-Hadhrami (w. 889H).


Abad Kesepuluh Hijrah


27- al-Fakhr al-‘Alawi fi al-Mawlid al-Nabawi oleh al-Hafiz Syams al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman yang terkenal dengan nama al-Hafiz al-Sakhawi (w. 902H).

28- (درر البحار في مولد المختار) oleh Syeikh Syihab al-Din Ahmad bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Karim al-Nabulusi, yang masyhur dengan nama Ibn Makkiyyah (w. 907H).

29- Al-Mawarid al-Haniyyah fi Mawlid Khair al-Bariyyah oleh al-‘Allamah al-Sayyid ‘Ali Zain al-‘Abidin al-Samhudi al-Hasani (w. 911H).

30- (المرود الأهنى في المولد الأسنى) oleh Syeikhah ‘A’isyah bint Yusuf al-Ba‘uniyyah (w. 922H). Barangkali ini satu-satunya kitab mawlid karya seorang syeikhah!

31- (الكواكب الدرية في مولد خير البرية) oleh Syeikh Taqiy al-Din Abu Bakr bin Muhammad bin Abi Bakr al-Hubaisyi al-Halabi al-Syafi`i (w. 930H).

32- Mawlid al-Nabi SAW oleh Mulla ‘Arab al-Wa‘iz (w. 938H).

33- Mawlid al-Nabi SAW atau Mawlid al-Daiba‘i oleh al-Muhaddith Syeikh ‘Abd al-Rahman bin ‘Ali bin Muhammad bin 'Umar al-Daiba‘i al-Syafi`i (w. 944H), murid al-Hafiz al-Sakhawi. Mawlid al-Daiba‘i ini antara kitab mawlid yang banyak dibaca orang sehingga kini. Ia telah ditahqiq dan ditakhrij hadisnya oleh al-‘Allamah Dr. al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki.

34- Mawlid al-Nabi SAW nazam Turki oleh Syeikh ‘Abd al-Karim al-Adranahwi al-Khalwati (w. 965H).

35- Itmam al-Ni‘mah ‘ala al-‘Alam bi Mawlid Sayyid Walad Adam dan al-Ni‘mah al-Kubra ‘ala al-‘Alam fi Mawlid Sayyid Walad Adam oleh Imam al-‘Allamah Ahmad ibn Hajar al-Haytami al-Makki al-Syafi‘i (w. 974H). Ia telah disyarah oleh beberapa ulama, antaranya oleh:

- Syeikh Muhammad bin ‘Ubadah bin Barri al-‘Adawi al-Maliki (w. 1193H) (حاشية على مولد النبي لابن حجر).

- Syeikh Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri al-Syafi‘i (w. 1277H), Syeikhul Azhar dengan kitabnya (تحفة البشر على مولد ابن حجر).

- Syeikh Hijjazi bin ‘Abd al-Muttalib al-‘Adawi al-Maliki (w. sesudah 1211H) (حاشية على مولد الهيثمي).

- Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mansuri al-Syafi‘i al-Khayyat (اقتناص الشوارد من موارد الموارد في شرح مولد ابن حجر الهيتمي), selesai tahun 1166H.

Ibn Hajar al-Haytami juga telah mengarang kitab (تحرير الكلام في القيام عن ذكر مولد سيد الأنام) tentang masalah bangun berdiri ketika bermawlid.

36- Mawlid al-Nabi SAW oleh al-‘Allamah Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini al-Syafi‘i (w. 977H).

37- Mawlid al-Nabi SAW oleh al-‘Allamah Syeikh Najm al-Din Muhammad bin Ahmad bin ‘Ali al-Ghiti al-Syafi‘i (w. 981H). Ia telah disyarahkan oleh Syeikh ‘Ali bin ‘Abd al-Qadir al-Nabtini al-Hanafi (w. 1061H) (شرح على مولد النجم الغيطي).


Abad Kesebelas Hijrah


38- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh Syams al-Din Ahmad bin Muhammad bin ‘Arif al-Siwasi al-Hanafi (w. 1006H).

39- al-Mawrid al-Rawi fi al-Mawlid al-Nabawi oleh al-‘Allamah Nur al-Din ‘Ali bin Sultan al-Qari al-Harawi al-Hanafi (w. 1014H). Kitab ini telah ditahqiq oleh al-‘Allamah Dr. al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki.

40- (المنتخب المصفي في أخبار مولد المصطفى) oleh al-‘Allamah al-Sayyid ‘Abd al-Qadir bin Syeikh bin ‘Abd Allah bin Syeikh al-‘Aidarusi (w. 1038H).

41- (مورد الصفا في مولد المصطفى صلى الله عليه وسلم) oleh al-‘Allamah Muhammad ‘Ali bin Muhammad Ibn ‘Allan al-Bakri al-Siddiqi al-Makki al-Syafi‘i (w. 1057H).


Abad Kedua Belas Hijrah


42- (الجمع الزاهر المنير في ذكر مولد البشير النذير) oleh Syeikh Muhammad bin Nasuh al-Askadari al-Khalwati, yang masyhur dengan nama Nasuhi al-Rumi (w. 1130H).

43- Mawlid al-Nabi SAW oleh al-‘Allamah Muhammad bin Ahmad bin Sa‘id, yang masyhur dengan nama Ibn ‘Aqilah al-Makki (w. 1150H).

44- Mawlid al-Nabi SAW nazam Turki oleh Syeikh Sulaiman bin ‘Abd al-Rahman bin Solih al-Rumi (w. 1151H).

45- (المورد الروي في المولد النبوي) oleh Syeikh Qutb al-Din Mustafa bin Kamal al-Din bin ‘Ali al-Siddiqi al-Bakri al-Dimasyqi al-Hanafi (w. 1162H). Beliau turut menyusun kitab (منح المبين القوي في ورد ليلة مولد النبوي).

46- (الكلام السني المصفى في مولد المصطفى) oleh Syeikh al-Qurra’ ‘Abdullah Hilmi bin Muhammad bin Yusuf al-Hanafi al-Muqri al-Rumi, yang masyhur dengan nama Yusuf Zadah (w. 1167H).

47- (رسالة في المولد النبوي) oleh Syeikh Hasan bin ‘Ali bin Ahmad al-Mudabighi al-Syafi‘i (w. 1170H). Kitab ini telah diberi hasyiah oleh:

- Syeikh ‘Umar bin Ramadhan bin Abi Bakr al-Thulathi (w. sesudah 1164H).

- Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Muhammad al-Nahrawi al-Muqri (w. 1210H).

48- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh Ahmad bin ‘Uthman al-Diyar bakri al-Amidi al-Hanafi (w. 1174H).

49- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad Nida’i al-Kasyghari al-Naqsyabandi al-Zahidi (w. 1174H).

50- Mawlid al-Barzanji atau (عقد الجوهر في مولد النبي الأزهر) oleh al-Sayyid Ja‘far bin Hasan al-Barzanji (w. 1177H), mufti Syafi‘iyyah di Madinah. Kitab ini adalah antara kitab mawlid yang termasyhur. Saudara pengarangnya, al-Sayyid ‘Ali bin Hasan al-Barzanji (w. 11xxH) telah menggubahnya menjadi nazam. Ia juga telah diberi hasyiah oleh beberapa ulama, antaranya:

- Al-‘Allamah Syeikh Muhammad bin Ahmad ‘Illisy (atau ‘Ulaisy) al-Syazili al-Maliki (w. 1299H) dengan judul (القول المنجي حاشية على مولد البرزنجي).

- al-Sayyid Ja‘far bin Isma‘il al-Barzanji (w. 1317H), mufti Syafi‘iyyah di Madinah dengan judul (الكوكب الأنور على عقد الجوهر في مولد النبي الأزهر).

- Syeikh Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Bantani al-Jawi (w. 1315H) dengan judul (مدارج الصعود إلى اكتساء البرود) atau (أساور العسجد على جوهر عقد للبرزنجى) dan juga (ترغيب المشتاقين لبيان منظومة السيد البرزنجي في مولد سيد الأولين والآخرين).

- Syeikh ‘Abd al-Hamid bin Muhammad ‘Ali Kudus yang diberi judul: Mawlid al-Nabi SAW ‘ala Nasij al-Barzanji.

- Syeikh Mustafa bin Muhammad al-‘Afifi al-Syafi‘i yang diberi judul (فتح اللطيف شرح نظم المولد الشريف), dicetak di Mesir tahun 1293H.

Kitab al-Barzanji ini juga telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dan berbagai bahasa lain.

51- Mawlid al-Nabi SAW oleh al-Sayyid Muhammad bin Husain al-Jufri al-Madani al-‘Alawi al-Hanafi (w. 1186H).

52- (المولد الشريف) oleh Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Maghribi al-Tafilati al-Khalwati (w. 1191H), mufti Hanafiyyah di al-Quds.

53- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Mun‘im al-Khayyat (w. 1200H), mufti wilayah Sa‘id, Mesir.

54- (الدر الثمين في مولد سيد الاولين والآخرين) oleh Syeikh Muhammad bin Hasan bin Muhammad al-Samannudi al-Syafi‘i, yang masyhur dengan nama al-Munayyir (w. 1199H).

55- (الدر المنظم شرح الكنز المطلسم في مولد النبي المعظم) oleh Syeikh Abu Syakir ‘Abdullah Syalabi, selesai tahun 1177H.


Abad Ketiga Belas Hijrah


56- (المولد النبوي) oleh Imam Abu al-Barakat Ahmad bin Muhammad al-‘Adawi al-Dardir al-Maliki (w. 1201H). Kitab beliau ini telah diberi hasyiah oleh:

- al-‘Allamah Muhammad al-Amir al-Saghir bin Muhammad al-Amir al-Kabir al-Maliki (w. sesudah 1253H) (حاشية على مولد الدردير).

- al-‘Allamah Syeikh Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad al-Bajuri al-Syafi‘i (w. 1277H).

- Syeikh Yusuf bin ‘Abd al-Rahman al-Maghribi (w. 1279H), bapa Muhaddith al-Syam Syeikh Badr al-Din al-Hasani dengan judul (فتح القدير على ألفاظ مولد الشهاب الدردير).

57- (تذكرة أهل الخير في المولد النبوي) oleh al-Sayyid Muhammad Syakir bin ‘Ali al-‘Umari al-Fayyumi, yang masyhur dengan nama al-‘Aqqad al-Maliki (w. 1202H).

58- Mawlid al-Nabi SAW nazam Turki oleh Syeikh Najib al-Din ‘Abd al-Qadir bin ‘Izz al-Din Ahmad al-Qadiri al-Hanafi yang masyhur dengan nama Asyraf Zadah al-Barsawi (w. 1202H).

59- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh ‘Ali bin ‘Abd al-Barr al-Husaini al-Wana’i al-Syafi‘i (w. 1212H), murid al-Hafiz Murtadha al-Zabidi.

60- (منظومة في مولد النبي صلى الله عليه وسلم) oleh Syeikh Mustafa Salami bin Isma‘il Syarhi al-Azmiri (w. 1228H).

61- (الجواهر السنية في مولد خير البرية صلى الله عليه وسلم) oleh al-‘Allamah Syeikh Muhammad bin ‘Ali al-Syanawani al-Syafi‘i (w. 1233H).

62- (مطالع الأنوار في مولد النبي المختار صلى الله عليه وسلم) oleh Syeikh ‘Abdullah bin ‘Ali Suwaydan al-Damliji al-Syazili al-Syafi‘i (w. 1234H).

63- (تأنيس أرباب الصفا في مولد المصطفى) oleh al-Sayyid ‘Ali bin Ibrahim bin Muhammad bin Isma‘il al-Amir al-San‘ani al-Zaydi (w. sekitar 1236H).

64- (تنوير العقول في أحاديث مولد الرسول) oleh Syeikh Muhammad Ma‘ruf bin Mustafa bin Ahmad al-Husaini al-Barzanji al-Qadiri al-Syafi‘i (w. 1254H).

65- (مولد نبوي نظم) oleh Syeikh Muhammad Abu al-Wafa bin Muhammad bin ‘Umar al-Rifa‘i al-Halabi (w. 1264H).

66- (السر الرباني في مولد النبي) oleh Syeikh Muhammad ‘Uthman bin Muhammad al-Mirghani al-Makki al-Husaini al-Hanafi (w. 1268H).

67- (قصة المولد النبوي) oleh Syeikh Muhammad bin ‘Abd Allah Talu al-Dimasyqi al-Hanafi (w. 1282H).

68- Al-Mawrid al-Latif fi al-Mawlid al-Syarif oleh Syeikh ‘Abd al-Salam bin ‘Abd al-Rahman al-Syatti al-Hanbali (w. 1295H). Ia berbentuk gubahan qasidah ringkas.

69- (مطالع الجمال في مولد إنسان الكمال) oleh Syeikh Muhammad bin al-Mukhtar al-Syanqiti al-Tijani (w. 1299H).

70- (سمط جوهر في المولد النبوي) oleh Syeikh Ahmad ‘Ali Hamid al-Din al-Surati al-Hindi (w. 1300H). Beliau mengarang kitab ini dalam sekitar 100 muka surat tanpa menggunakan huruf alif!

71- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh Ahmad bin Qasim al-Maliki al-Hariri. Kitab ini telah disyarah oleh:

- Syeikh Abu al-Fawz Ahmad bin Muhammad Ramadhan al-Marzuqi al-Husayni al-Maliki (masih hidup tahun 1281H) dengan judul: (بلوغ المرام لبيان ألفاظ مولد سيد الأنام), cetakan Mesir tahun 1286H.

- Syeikh Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Bantani al-Jawi (w. 1315H) dengan judul: (فتح الصمد العالم على مولد الشيخ أحمد بن قاسم), cetakan Mesir tahun 1292H.

72- Mawlid Nabi SAW oleh al-‘Allamah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani (w. 1263 @ 1297H), diselesaikan pada tahun 1230H. Beliau turut menyusun sebuah lagi kitab mawlid yang hanya diberi tajuk al-Muswaddah, diselesaikan pada tahun 1234H. (Wawasan Pemikiran Islam 4 - Hj. Wan Mohd. Saghir, h. 132)

73- Kanz al-’Ula [fi Mawlid al-Mustafa?] oleh Syed Muhammad bin Syed Zainal Abidin al-‘Aidarus yang terkenal dengan nama Tokku Tuan Besar Terengganu (w. 1295H).


Abad Keempat Belas Hijrah


74- Mawlid al-Nabi SAW oleh al-‘Allamah al-Muhaddith al-Sufi Abu al-Mahasin Muhammad bin Khalil al-Qawuqji al-Tarabulusi (w. 1305H).

75- (سرور الأبرار في مولد النبي المختار صلى الله عليه وسلم) oleh Syeikh ‘Abd al-Fattah bin ‘Abd al-Qadir al-Khatib al-Dimasyqi al-Syafi‘i (w. 1305H).

76- (العلم الأحمدي في المولد المحمدي) oleh Syeikh Syihab al-Din Ahmad bin Ahmad Isma‘il al-Hilwani al-Khaliji al-Syafi‘i (w. 1308H).

77- (منظومة في مولد النبي صلى الله عليه وسلم) oleh Syeikh Ibrahim bin ‘Ali al-Ahdab al-Tarabulusi al-Hanafi (w. 1308H).

78- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh Muhammad Hibatullah bin ‘Abd al-Qadir al-Khatib al-Dimasyqi al-Syafi‘i (w. 1311H).

79- (الإبريز الداني في مولد سيدنا محمد السيد العدناني صلى الله عليه وسلم) oleh Syeikh Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Bantani al-Jawi (w. 1315H). Beliau juga telah mengarang kitab:

- (بغية العوام في شرح مولد سيد الأنام عليه الصلاة والسلام المنسوبة لابن الجوزي),

- (مدارج الصعود إلى اكتساء البرود) atau (أساور العسجد على جوهر عقد للبرزنجى) dan juga

- (ترغيب المشتاقين لبيان منظومة السيد البرزنجي في مولد سيد الأولين والآخرين).

80- (تحفة العاشقين وهدية المعشوقين في شرح تحفة المؤمنين في مولد النبي الأمين - صلى الله عليه وسلم) oleh Syeikh Muhammad Rasim bin ‘Ali Ridha al-Mullatiyah-wi al-Hanafi al-Mawlawi (w. 1316H).

81- (قدسية الأخبار في مولد أحمد المختار) oleh Syeikh Muhammad Fawzi bin ‘Abd Allah al-Rumi (w. 1318H), mufti Adrana. Beliau turut menyusun (إثبات المحسنات في تلاوة مولد سيد السادات).

82- (حصول الفرج وحلول الفرح في مولد من أنزل عليه ألم نشرح) oleh Syeikh Mahmud bin ‘Abd al-Muhsin al-Husaini al-Qadiri al-Asy‘ari al-Syafi‘i al-Dimasyqi, yang masyhur dengan nama Ibn al-Mawqi‘ (w. 1321H).

83- Simt al-Durar fi Akhbar Mawlid Khair al-Basyar min Akhlaq wa Awsaf wa Siyar atau Maulid al-Habsyi oleh al-‘Allamah al-Habib ‘Ali bin Muhammad bin Husain al-Habsyi (w. 1333H).

84- (لسان الرتبة الأحدية) oleh Syeikh Mahmud bin Muhyi al-Din Abu al-Syamat al-Dimasyqi al-Hanafi (w. 1341H). Ia sebuah kitab mawlid menurut lisan ahli sufi.

85- al-Yumnu wa al-Is‘ad bi Mawlid Khair al-‘Ibad oleh al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad bin Ja‘far bin Idris al-Kattani al-Hasani (w. 1345H), cetakan Maghribi tahun 1345H.

86- Jawahir al-Nazm al-Badi‘ fi Mawlid al-Syafi‘ oleh al-‘Allamah Syeikh Yusuf bin Isma‘il al-Nabhani (w. 1350H).

87- (المولد النبوي الشريف) oleh Syeikh Muhammad Sa‘id bin ‘Abd al-Rahman al-Bani al-Dimasyqi (w. 1351H).

88- (شفاء الأسقام بمولد خير الأنام صلى الله عليه وسلم) oleh al-‘Allamah Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Hajjuji al-Idrisi al-Hasani al-Tijani (w. 1370H). Ia diringkaskan dengan judul (بلوغ القصد والمرام في قراءة مولد الأنام). Beliau turut menyusun kitab (قصة المولد النبوي الشريف).

89- Mawlid al-Nabi SAW oleh Syeikh Muhammad al-‘Azb bin Muhammad al-Dimyati.

90- Mawlid Syaraf al-Anam – belum ditemukan pengarang asalnya.

91- (المولد النبوي الشريف) oleh Syeikh Muhammad Naja, mufti Beirut.

92- (الجمع الزاهر المنير في ذكر مولد البشير النذير) oleh Syeikh Zain al-‘Abidin Muhammad al-‘Abbasi al-Khalifati.

93- (الأنوار ومفتاح السرور والأفكار في مولد النبي المختار) oleh Abu al-Hasan Ahmad bin ‘Abd Allah al-Bakri.

94- (عنوان إحراز المزية في مولد النبي خير البرية صلى الله عليه وسلم) oleh Abu Hasyim Muhammad Syarif al-Nuri.

95- (فتح الله في مولد خير خلق الله) oleh Syeikh Fathullah al-Bunani al-Syazili al-Maghribi.

96- (مولد المصطفى العدناني) oleh Syeikh ‘Atiyyah bin Ibrahim al-Syaybani, dicetak tahun 1311H.

97- (المولد النبوي) oleh Syeikh Hasyim al-Qadiri al-Hasani al-Fasi.

98- (خلاصة الكلام في مولد المصطفى عليه الصلاة والسلام) oleh Syeikh Ridhwan al-‘Adl Baybars, dicetak di Mesir tahun 1313H.

99- (المنظر البهي في مطلع مولد النبي) oleh Syeikh Muhammad al-Hajrisi.

100- (المولد الجليل حسن الشكل الجميل) oleh Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad al-Munawi al-Ahmadi al-Syazili, dicetak di Mesir tahun 1300H.

101- (المولد النبوي الشريف) oleh Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Himsi.

102- (الفيض الأحمدي في المولد المحمدي) oleh Syeikh Ibrahim Anyas (w. 1975).

103- (شفاء الآلام بمولد سيد الأنام) oleh al-‘Allamah Syeikh Idris al-‘Iraqi.

104- (شفاء السقيم بمولد النبي الكريم) oleh Syeikh al-Hasan bin ‘Umar Mazur.

105- (تنسم النفس الرحماني في مولد عين الكمال) oleh Syeikh Sa‘id bin ‘Abd al-Wahid Binnis al-Maghribi.

106- al-Sirr al-Rabbani fi Mawlid al-Nabiy al-‘Adnani oleh Syeikh Muhammad al-Bunani al-Tijani.

107- al-Nawafih al-‘Itriyyah fi Zikr Mawlid Khayr al-Bariyyah oleh Syeikh Salah al-Din Hasan Muhammad al-Tijani.


Abad Kelima Belas Hijrah


108- al-Rawa’ih al-Zakiyyah fi Mawlid Khayr al-Bariyyah oleh al-‘Allamah Syeikh ‘Abdullah al-Harari al-Habsyi (w. 1429H).

109- Mawlid al-Hadi SAW oleh Dr. Nuh ‘Ali Salman al-Qudhah, mufti Jordan.

110- al-Dhiya’ al-Lami‘ bi Zikr Mawlid al-Nabi al-Syafi‘ oleh al-‘Allamah al-Habib ‘Umar bin Hafiz al-Ba‘alawi. Ia antara kitab mawlid yang mula luas tersebar, serta pengarangnya masih hidup.




Imam Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kittani di dalam kitabnya al-Ta’alif al-Mawlidiyyah telah menyenaraikan hampir 130 buah kitab mawlid yang disusun menurut abjad. Manakala Dr. Salah al-Din al-Munjid telah menyenaraikan sekitar 181 buah kitab mawlid di dalam kitabnya (معجم ما أُلف عن النبي محمد صلى الله عليه وسلم). Namun, kedua-duanya belum dapat saya telaah ketika menulis entri ini. Dijangkakan masih ada banyak lagi kita mawlid yang tidak disenaraikan. Sepertimana yang dapat kita lihat, sebahagian besar alim ulama yang disebutkan adalah tokoh-tokoh ulama tersohor di zaman mereka. Tidak dinafikan juga bahawa ada setengah kitab mawlid tersebut yang dipertikaikan nisbahnya kepada pengarangnya. Sekurang-kurangnya jumlah karya-karya mawlid yang besar ini menunjukkan kepada kita bukti keharusan memperingati mawlid Nabi SAW di kalangan ramai para alim ulama.


Juga tidak dinafikan bahawa sesetengah kitab-kitab mawlid ini mengandungi perkara-perkara yang dianggap batil atau palsu oleh sebahagian ahli ilmu. Namun sangka baik kita kepada pengarang-pengarangnya, mereka tidak akan memuatkan di dalam kitab-kitab tersebut perkara-perkara yang mereka yakin akan kepalsuan dan kebatilannya. Maka, setidak-tidaknya mereka hanya mengandaikan perkara-perkara tersebut hanya daif sahaja yang harus diguna pakai dalam bab sirah dan hikayat, selain fadha’il, sepertimana yang masyhur di dalam ilmu mustalah al-hadith. Setengahnya pula adalah masalah yang menjadi khilaf di kalangan para ulama. Justeru, agak keterlaluan jika ada yang melabelkan kebanyakan kitab-kitab tersebut sebagai sesat, munkar dan bidaah secara keseluruhan dengan tujuan untuk menyesat dan membidaahkan para pengarangnya. Sedangkan kritikan tersebut dapat dibuat dengan cara yang lebih berhemah dan beradab. Semoga Allah SWT memberi kita petunjuk.


Penutup


Demikian secara ringkas, alim ulama yang mengarang kitab-kitab mawlid dari abad kedua hijrah hinggalah abad kelima belas hijrah, iaitu dalam tempoh sekitar 1,200 tahun. Ini tidak termasuk kitab-kitab berhubung isu dan hukum bermawlid, serta karya-karya madih nabawi seperti Burdah al-Busiri yang jumlahnya juga cukup banyak untuk dihitung. Penyusunan kitab-kitab mawlid mengandungi tujuan yang sewajarnya disematkan dalam hati-hati para pembacanya, iaitu mengiktiraf nikmat besar yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW kepada umatnya, di samping menanamkan kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada baginda SAW. Hasil daripadanya ialah mengikut dan mengamalkan sunnah-sunnah baginda SAW serta berpegang teguh dengannya di dalam menjalani kehidupan duniawi.


Wallahu a‘lam.


اللهمَّ صلّ وسلّم وبارك على سيّدنا محمّد وعلى آله

Selasa, 15 Januari 2013

Hukum Solat Dalam Kaabah



Oleh : Ustaz Salman Maskuri



Ulama berselisih pendapat terhadap hukum ini kepada dua pendapat:
PENDAPAT PERTAMA: Sah solat orang yang solat dalam ka’bah samada solat fardu atau solat sunat. Ini pendapat mazhab Syafie dan Hanafi.
DALIL pendapat pertama:
Hadis Ibnu Umar:
دخل رسول الله صلى الله عليه وسلم البيت هو وأسامة بن زيد وبلال وعثمان بن طلحة فأغلقوا عليهم، فلما فتحوا كنت أول من ولج، فلقيت بلالا فسألته: هل صلى فيه رسول الله صلى الله عليه وسلم؟ قال نعم، بين العمودين اليمانيين
“ Rasulullah saw masuk ke dalam ka’bah bersama Usamah bin zaid, Bilal dan Usman bin talhah dan mereka menutup pintu ka’bah. Bila mereka membukanya , akulah (ibnu umar) yang mula2 masuk dan bertemu dgn Bilal. Lalu aku bertanya kepadanya “ Adakah Rasulullah saw solat di dalamnya?” Bilal menjawab “ Ya, iaitu diantara dua tiang yamani.”
Hadis sahih Bukhari dan Muslim
PENDAPAT KEDUA: Tidak sah solat fardu di dalam ka’bah dan sah solat sunat. Ini adalah mazhab Hambali dan Maliki.
DALIL PENDAPAT KEDUA:
Firman Allah swt:
“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.”
Ayat 149 surah al-Bqarah
Ibnu qudamah menyebut: Ayat ini menunjukkan tidak sah solat di dalam dan diatas ka’bah kerana tidak dinamakan menghadap kea rah kiblat.
Hadis Ibnu Abbas:
أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمَّا دَخَلَ الْبَيْتَ دَعَا فِي نَوَاحِيهِ كُلِّهَا ، وَلَمْ يُصَلِّ فِيهِ ، حَتَّى خَرَجَ ، فَلَمَّا خَرَجَ رَكَعَ فِي قُبُلِ الْبَيْتِ رَكْعَتَيْنِ ، وَقَالَ : هَذِهِ الْقِبْلَةُ ” ، قُلْتُ لَهُ : مَا نَوَاحِيهَا ، أَفِي زَوَايَاهَا ، قَالَ : ” بَلْ فِي كُلِّ قِبْلَةٍ مِنَ الْبَيْتِ “
Hadis sahih Muslim No 1333
Sesungguhnya Nabi saw apabila masuk ke ka’bah , baginda berdoa di semua sudut dan tidak solat di situ sampailah baginda keluar. Apabila keluar baginda solat dua rakaat di hadapan ka’bah. Baginda berkata “ Ini adalah kiblat.” Aku bertanya “ Bagaimana dengan kawasan sekelilingnya?” Nabi saw menjawab “ Bahkan seluruhnya adalah kiblat.”
Kesimpulan
Kaedah menyatakan apabila bertembung bila bertembung nas yang mengiakan (المثبت) dan nas yg menafikan (النافي) maka diutamakan nas yg mengiakan. Ini kerana kemungkinan perawi yg menafikan itu tidak melihat seluruh perbuatan Nabi saw. Ia seperti hadis Aisyah yang menafikan Nabi saw kencing berdiri dan Hadis Huzaifah yg mana Nabi saw kencing berdiri ditempat sampah. Oleh itu pendapat pertama dipilih. Apapun kita perlu menghormati kedua pendapat2 ini.
Rujukan kitab:Ahkam wa khasais alharamain oleh Dr Ali alqa’idi dan Mausuah Feqhiah alkuwaitiah.

Sumber : http://darulilmi.org/2013/01/14/328/

Isnin, 14 Januari 2013

Perkataan Ibnu Al Jauzi Mengenai Maulidur Rasul


Perkataan Ibnu Al Jauzi mengenai sambutan Maulidur Rasul :

"Maha suci Allah yang telah menciptakan Nabi mulia ini, pemimpin para nabi, dan telah mengangkat derjat-Nya di Malakut. Dan Yang telah menjadikan kelahirannya sebagai hijab/tabir dari neraka bagi yang gembira dengan kelahirannya. Siapa yang mensedekahkan satu dirham saat hari kelahirannya maka beliau akan menjadi pemberi syafaat baginya <pemberi syafaat yang dikehendaki oleh Allah>. Dan Allah akan menggantinya sepuluh kali lipat. Alangkah bahagianya umat Nabi Muhammad, telah kalian gapai kebaikan yang banyak, di dunia dan akhirat. Dan betapa bahagianya bagi yang melakukan amalan maulid untuk Ahmad <shallallahu 'alaihi wa sallam>".

Ini penuturan al-Hafizh Ibnul Jawzi (597H), dalam karyanya; Mawlid Nabi. Ini print screen naskah milik Univ. King Saud, Riyadh. Halaman 7.





Sumber :  Ustaz Ashfi' Raihan

Sabtu, 12 Januari 2013

Isu Penggunaan Kalimah ALLAH bagi Orang-orang Kafir (Terutamanya Orang-orang Kristian)


Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis 

Penggunaan Kalimah ALLAH Bagi Orang-orang Kafir


Soalan: 

Adakah Islam membenarkan orang-orang kafir termasuk ahli-kitab menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan-tuhan mereka?

Jawapan: 

Dari satu sudut, kita dapati, pelbagai pandangan diutarakan dengan melihat dari pelbagai sudut. Secara asasnya, apa yang paling penting adalah, prinsip Islam itu sendiri dalam menilai isu sebegini. Berdasarkan pengamatan dari segenap aspek, baik dari hujah mereka yang membenarkan mahupun hujah mereka yang melarang, kesimpulan umum yang dapat dibuat adalah, ianya lahir (samada bersetuju atau menolak) daripada hujah-hujah yang zhonniyyah atau tidak muktamad.

Namun, ketika berhadapan dengan sesuatu isu setempat, pendirian seseorang ahli ilmu atau ulama’ selalunya dibina atas timbangan keilmuan yang teliti, setelah melihat segenap sudut yang perlu diperhatikan termasuklah maslahat sesebuah masyarakat Islam di tempat tersebut. Oleh yang demikian, dalam isu penggunaan kalimah “Allah” bagi orang-orang Kristian ataupun orang-orang kafir yang lain, pendirian seseorang ahli ilmu itu hanyalah berbentuk tarjih (menguatkan salah satu pendapat) setelah menilai isu ini dari pelbagai sudut.

Penggunaan Kalimah Allah dan Toleransi Beragama

Allah s.w.t. mengakui kebenaran Islam bahkan mengiktiraf hanya Islam sebagai suatu kebenaran dan hanya Islam merupakan agama yang benar yang mengandungi segala ajaran yang benar dalam segenap sudut samada dari sudut aqidah, hukum-hakam dan akhlak. Berdasarkan ajaran Islam juga, hanya dengan aqidah murni Islam sahaja, seseorang dapat selamat daripada api neraka.

Walaupun Islam memberi kebebasan beragama kepada sesiapa sahaja dari kalangan orang-orang kafir, namun Islam tetap mengajak umat manusia kepada menerima ajaran Islam yang murni dan tidak pernah mengiktiraf agama-agama mereka sebagai kebenaran. Ini kerana, hanya Islam sahaja merupakan agama yang boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan di akhirat. Maka, konsep toleransi dalam Islam tidak membawa kepada sama-rata atau persamaan secara mutlak, tetapi masih wujud konsep eksklusifnya seperti hanya Islam sahaja diterima sebagai agama di sisi Allah s.w.t., hanya penyembahan kepada Allah s.w.t. sahaja secara tauhid, yang diterima di sisi Allah s.w.t. dan selain konsep kehambaan ini, tidak menyelamatkan seseorang daripada kekal dalam neraka.

Penggunaan Kalimah ALLAH Menurut Islam

Kalimah ALLAH adalah satu nama khas bagi merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa, Maha Agung lagi Maha Sempurna. Kalimah ALLAH dalam Islam merujuk kepada zat Tuhan yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan keesaan serta berlepas dari sebarang sifat kekurangan.

Dalam Islam, kalimah “ALLAH” bukan sekadar suatu kata nama, tetapi merangkumi konsep ketuhanan yang bersifat dengan kesempurnaan dan keesaan. Maka, apabila kita berkata bahawasanya, Tuhan yang kami sembah adalah Allah, bererti, Allah s.w.t. yang disembah tersebut bersifat dengan sifat-sifat yang telah disebutkan terutamanya aspek kesempurnaan dan keesaan-Nya.

Kalau seseorang berkata: “Saya menyembah Allah” tetapi yang dimaksudkan adalah tuhan yang terdiri daripada tiga oknum atau salah satu daripada oknum tuhan trinity, maka ianya suatu yang menyalahi “dasar dan prinsip” Islam sebenar.

Allah s.w.t. sendiri sudah menjelaskan bahawa kalimah “Allah” adalah suatu nama bagi merujuk kepada satu-satunya Tuhan yang Maha Benar dengan sifat-sifat yang disebutkan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:


“Katakanlah: "Dia-lah Allah, yang Maha Esa. (1) Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. (2) Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, (3) Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia." (Surah Al-Ikhlas: 1- 4)

Ayat ini merupakan pendirian Islam yang jelas menunjukkan Islam menolak sebarang kepercayaan ketuhanan selain daripada konsep ketuhanan Allah s.w.t.. Konsep ketuhanan yang sebenar yang merujuk kepada Tuhan yang sebenar yang bernama Allah mempunyai sifat-sifat berikut:

- MAHA ESA (Al-Ahad) 
- AS-SHOMAD (Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu)
- Tidak beranak dan tidak diperanakkan.
- Tidak ada yang serupa denganNya.

Daripada penjelasan surah Al-Ikhlas ini menunjukkan secara jelas bahawa, tiada agama lain selain Islam yang boleh menamakan tuhan mereka sebagai “ALLAH” menurut agama Islam, termasuklah agama Kristian, kerana hanya agama Islam yang menjelaskan konsep ketuhanan dengan intipati tauhid yang murni ini.

Adakah “Allah” yang ingin dimaksudkan oleh orang-orang Kristian bersifat dengan keseluruhan sifat-sifat yang telah disebutkan dalam surah Al-Ikhlas tersebut? Kalau tidak, maka Islam secara jelas menolak konsep ketuhanan mereka yang mereka rujuk sebagai “Allah” tersebut. Adakah prinsip ajaran Islam yang menolak kepercayaan triniti orang-orang Kristian dalam konsep ketuhanan, dalam masa yang sama tidak menolak penggunaan nama Allah (nama Tuhan yang Maha Benar) kepada tuhan yang mempunyai konsep ketuhanan yang salah?

Orang-orang Kristian samada memilih untuk mengesakan Allah s.w.t. dalam penyembahan dan menafikan Nabi Isa a.s. sebagai anak tuhan, maka bolehlah memanggil tuhan tersebut dengan nama Allah ataupun tidak dibenarkan menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan triniti mereka.

Kekhususan Nama Allah s.w.t.. 

Imam As-Syirbini dalam Tafsir As-Siraj Al-Munir menafsirkan kalimah ALLAH dalam surah Al-Ikhlas tersebut dengan berkata: “ALLAH ialah Tuhan yang bersifat dengan ketuhanan dan keesaanNya.”

Imam Al-Khazin pula berkata yang bermaksud: “((ALLAH)) ialah kata nama khusus bagi Allah yang hanya khusus untukNya s.w.t.. Ia (nama) itu bukan terbit dari mana-mana kata terbitan dan tidak ada sesiapa berkongsi nama tersebut denganNya. Inilah pegangan yang sahih dan terpilih. Dalilnya adalah firman Allah: “Apakah kamu mengetahui ada seorang yang sama dengan Dia (yang patut disembah)?” iaitu: tidak dikatakan kepada selainNya dengan nama ALLAH...” [Tafsir Al-Khazin pada tafsir Surah Al-Fatihah]

Sheikh Muhammad Ali As-Shobuni juga ketika menjelaskan tentang kalimah ALLAH dalam Shofwah At-Tafasir pada surah Al-Fatihah berkata: “((ALLAH)) Suatu nama khusus bagi Zat Maha Agung yang mana tidak ada yang berkongsi nama tersebut denganNya…” [1/18]

Sheikh Sa’id Hawa dalam kitab Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah pada menjelaskan zikir dengan Ism Mufrad berkata yang bermaksud: “(Allah) adalah satu-satunya nama yang merujuk kepada segenap zat, sifat, nama-nama dan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t.. Adapun nama-nama yang lain merujuk kepada sifat-sifaNya. Kemudian, nama ALLAH tersebut tidak dinamakan kepada selain ALLAH (Tuhan yang disembah oleh umat Islam).”

Kalau kita rujuk kepada tulisan-tulisan para ulama’ Islam, hampir kesemuanya tidak membenarkan lafaz ALLAH digunakan bagi merujuk kepada tuhan-tuhan lain selain Allah atau kepada konsep ketuhanan yang bercanggah dengan tauhid. Ini kerana, ALLAH bermaksud TUHAN yang MAHA ESA dan ia sangat berkaitan dengan konsep keesaan Tuhan itu sendiri.

Inilah secara prinsip dalam Islam di mana tidak boleh menamakan kepada tuhan-tuhan selain Allah dengan nama Allah s.w.t.. Secara dasarnya, berdasarkan penerangan para kebanyakan ulama’ sendiri, kata nama “Allah” khusus untuk Allah s.w.t. yang disembah oleh orang-orang Islam dengan konsep ketuhanan yang murni (keesaan dan kesucian).

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Maka (Zat yang demikian) itulah Allah, Tuhan kamu yang sebenarnya; Maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran)?” (Surah Yunus: 32)

Nama Tuhan, Agama Kristianiti dan Kalimah ALLAH

Sememangnya Allah s.w.t. ada menyebutkan kalimah ALLAH bagi menceritakan tentang aqidah agama Kristian namun dalam bentuk penafian terhadap aqidah mereka yang sesat, bukan dalam bentuk mengakui penggunaan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka.

Ini kembali kepada penggunaan mereka (orang-orang kafir termasuk ahlul-kitab) yang hidup dalam masyarakat Arab yang juga menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada tuhan yang menciptakan alam ini. Oleh kerana Ahlul-Kitab yang hidup dalam masyarakat Arab yang menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan Maha Pencipta, maka mereka juga menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada Tuhan Maha Pencipta.

Namun, itu bukanlah tradisi asal orang-orang Kristian sebagaimana dijelaskan oleh orang-orang Krisitan sendiri. Menurut kebanyakan cendikiawan Kristian sendiri, mereka menyebut tuhan mereka sebagai El, Elohim atau Yahwah (Yhwh).

Asalnya, nama tuhan dalam bahasa Ibrani atau Hebrew (bahasa asal Old Testement) adalah seperti berikut jika diterjemah ke dalam bahasa Inggeris: YHVH atau YHWH tanpa ada huruf vokal. Maka, sebahagian cendikiawan Kristian yang awal menetapkan sebutannya sebagai Yahweh.

Nama lain bagi tuhan sembahan mereka adalah Elohim dalam bahasa Hebrew. Ada juga yang menyebut tuhan mereka sebagai Jehovah. Ada juga menyebut Tuhan sebagai HaShem. Kemudian, bagi orang-orang Kristian, mereka merujuk kepada New Testament yang dikatakan berbahasa Yunani (Greek) lalu menyebut tuhan mereka dalam bahasa Greek iaitu “Ho Theos”. 

Walaupun ada ahli ilmu cuba mengaitkan kalimah “Allah” dalam bahasa Arab hampir dengan kalimah “Eloah” dalam bahasa Hebrew, yang merujuk kepada Tuhan yang sama, namun dari sudut aqidah orang-orang Islam dengan orang-orang Kristian, maka sudah jelas tuhan mereka (Kristian) berbeza dengan Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam. Ini kerana, orang-orang Kristian tidak menyembah tuhan Nabi Isa dan Nabi Musa a.s. yang sememangnya adalah ALLAH s.w.t., tetapi menyembah tuhan triniti.

Pendirian Islam terhadap Konsep Ketuhanan Kristian

Orang-orang Kristian menyembah tuhan dalam bentuk triniti, di mana tuhan itu bukan Maha Esa seperti kepercayaan orang-orang Islam dan bukan juga berbilang-bilang sebagaimana kepercayaan orang-orang kafir. Mereka bertuhankan tuhan yang satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Bahkan, hampir tiada orang-orang Kristian yang mampu memahami konsep triniti dengan kefahaman yang tepat kerana setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza tentang konsep trinity mereka.

Kesimpulannya, orang-orang Kristian percaya bahawasanya tuhan adalah:

- TUHAN AYAH (Yahweh)
- TUHAN ANAK (Jesus/Nabi Isa)
- TUHAN ROH QUDS (Holy Spirit)


Ketiga-tiga tersebut bukanlah tiga individu yang berbeza tetapi satu tuhan yang berbeza personalitinya. Ketiga-tiga (oknum) itu bukan tiga tuhan tetapi satu tuhan. Kalimah ALLAH yang cuba digunakan oleh orang-orang Krisitian merujuk kepada yang mana satu?

Andaian Pertama:

Tuhan Ayah + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = TUHAN TRINITI = Inilah ALLAH)

Andaian Kedua:

Tuhan Ayah = Inilah ALLAH + Tuhan Anak + Tuhan Roh Quds = TUHAN TRINITI

Allah pada bentuk (andaian) pertama iaitu TUHAN TRINITI (gabungan Tuhan Ayah, Tuhan Anak dan Tuhan Roh Qudus) tertolak dalam Islam.

Allah s.w.t. berfirman secara jelas dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga (trinity)", berhentilah (dari ucapan itu). (itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. cukuplah Allah menjadi Pemelihara. (Surah An-Nisa’: 171)

Ayat ini secara jelas menunjukkan pendirian agama Islam yang menolak kepercayaan triniti dalam konsep ketuhanan, apa lagi menamakan tuhan triniti ini sebagai ALLAH.

Isyarat pertama daripada ayat ini di mana Allah s.w.t. menegaskan:“…janganlah kamu berkata terhadap Allah melainkan yang benar…”.

Daripada ayat ini dapat difahami bahawa, Allah s.w.t. tidak membenarkan seseorang berkata tentang “Allah” s.w.t. secara batil, apatah lagi menamakan “Allah” kepada tuhan yang batil sebagaimana difahami oleh orang-orang Kristian.

Imam At-Tabari ketika menafsirkan perkataan intahu “berhentilah…” dalam ayat tersebut dengan berkata yang bermaksud: “Bahawasanya berhenti (orang-orang Kristian) daripada yang demikian (berkata Allah itu salah satu daripada triniti atau triniti secara keseluruhan) lebih baik daripada berkata sedemikian, kerana bagi kamu (orang-orang Kristian) dari Allah (terhadap ucapan tersebut), siksa yang akan datang terhadap apa yang telah dikatakan tersebut (iaitu Allah itu tuhan triniti).” [rujuk Tafsir At-Tabari pada ayat tersebut]

Imam At-Tabrani pula ketika menafsirkan perkataan firman Allah s.w.t. menjelaskan lagi: “((Jangan kata tiga)) iaitu jangan kamu katakan tuhan-tuhan kami tiga (atau triniti) yang merangkumi: tuhan bapa, tuhan anak dan roh quds. ((Berhentilah)) dari kekufuran dan dari perkataan tersebut (Tuhan itu trinity).”

Imam Al-Alusi juga menyebut dalam kitab Ruh Al-Ma’ani pada ayat tersebut pada perkataan Intahu:

“Berhentilah daripada mengatakan Triniti…” [Ruh Al-Ma’ani]

Jika penggunaan kalimah ALLAH merujuk kepada bentuk (andaian) kedua iaitu:

Allah ialah Tuhan Ayah di samping Tuhan Anak dan Tuhan Roh Quds yang mana ketiga-tiganya adalah satu TUHAN TRINITI.

Jika kalimah ALLAH yang cuba digunakan oleh orang-orang Kristian bagi merujuk kepada TUHAN AYAH (God The Father) dalam konsep trinity, maka ianya juga turut disebut di dalam Al-Qur’an tetapi sekadar merujuk kepada “penggunaan mereka” terhadap istilah tersebut, bukan kerana Islam meraikan istilah tersebut atau menerima konsep tersebut.

Kebanyakan orang-orang Kristian memahaminya begitu, iaitu Allah bagi mereka merujuk kepada Tuhan Bapa atau Tuhan Ayah yang merupakan salah satu daripada tiga oknum tuhan triniti.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang mengatakan: "Bahwasanya Allah salah satu (oknum) daripada yang tiga (oknum triniti)", padahal sekali-kali tidak ada tuhan selain dari Tuhan yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih. (Surah Al-Ma’idah: 73)

Ayat ini secara jelas mempunyai ketegasan dalam bentuk membantah orang-orang kafir menjadikan Allah sebagai salah satu daripada tiga oknum tuhan triniti. Ayat yang berbentuk ancaman sebegini jelas menunjukkan ketegasan al-Qur’an bagi menolak konsep ini.

Ini suatu peringatan yang jelas dalam Islam agar orang-orang kafir khususnya dari kalangan orang-orang Kristian agar tidak mengatakan bahawa ALLAH adalah salah satu oknum daripada tuhan triniti. Ini secara tidak langsung menunjukkan larangan terhadap menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada salah satu daripada oknum tuhan triniti tersebut. Al-Qur’an secara jelas mengatakan bahawa, mereka yang menamakan Allah sebagai salah satu daripada tiga oknum tuhan triniti adalah suatu kekufuran, adakah Islam meredhai kekufuran dengan membenarkan lafaz Allah digunakan pada salah satu daripada oknum tuhan triniti?

Imam Al-Qurtubi menafsirkan seruan Al-Qur’an yang bermaksud:
“…Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih…” dengan berkata: “((jika mereka tidak berhenti…)) tidak berhenti daripada berkata tentang triniti tersebut, mereka akan disiksa di dunia dan di akhirat”. [rujuk Tafsir Al-Qurtubi]

Asas-asas ajaran Islam berkenaan kalimah ALLAH ini harus diutamakan dalam berinteraksi dengan orang-orang kafir dari kalangan musyrikin dan ahlul-kitab, apatah lagi demi menjaga maslahat umat Islam yang awam daripada tipu daya musuh-musuh Islam yang cuba menyebarkan kesesatan aqidah mereka kepada umat Islam.

Penjelasan Bagi Surah al-Taubah

Memang benar, ada ayat yang menceritakan bahawa Ahlul-Kitab sudah tersesat dalam menisbahkan anak kepada ALLAH, namun ianya bukan dalam bentuk pengiktirafan terhadap konsep anak bagi Allah s.w.t. dan menerima konsep tuhan beranak.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:


“Orang-orang Yahudi berkata: "Uzair itu anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih itu anak Allah". Demikianlah itu ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah mereka , bagaimana mereka sampai berpaling? (30) Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih anak kepada Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. (31) Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan- ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. (32) Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai. (33) [Surah At-Taubah: 30-33]

Ayat ini secara jelas menceritakan betapa Allah s.w.t. melaknat perbuatan mereka dengan menisbahkan anak kepada diri-Nya yang Maha Esa, bahkan menjelaskan bahawa Maha Suci Allah s.w.t. daripada apa yang mereka sekutukan. Jadi, ayat ini juga secara jelas menolak sebarang konsep yang bercanggah dengan tauhid untuk dinisbahkan kepada Allah s.w.t.. Maka, tidak ada sebab seseorang perlu membenarkan orang-orang Kristian khususnya yang masih mempercayai Nabi Isa a.s. sebagai anak Allah menamakan tuhan versi triniti mereka sebagai Allah sedangkan Allah s.w.t. menyucikan zatNya daripada penyekutuan tersebut.

Bukan semua ayat yang menceritakan perihal sesuatu golongan dianggap pengiktirafan daripada Allah s.w.t. kerana ada juga kisah-kisah yang disebut sebagai pengingkaran terutamanya dengan penolakan yang jelas dalam ayat-ayat berikutnya.

Jadi, masyarakat Islam mempunyai asas untuk melarang orang-orang Kristian daripada menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada tuhan-tuhan mereka, berdasarkan seruan asas Al-Qur’an sendiri yang menyuruh mereka (orang-orang Kristian) yang sudah menisbahkan anak atau triniti kepada Tuhan yang Sebenar iaitu Allah, agar berhenti daripada memperkatakan sedemikian. Bahkan, ia juga sebagai sandaran bagi larangan ke atas orang-orang kafir khususnya orang-orang Kristian yang baru ingin menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka dalam masyarakat awam Melayu yang tidak memahami perbezaan penggunaan Allah dari sudut bahasa dan istilah syarak sebagaimana difahami oleh masyarakat awam Islam Arab.

Pendirian Islam terhadap Orang-orang Kristian Secara Umum

Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Qur’an yang bermaksud:


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian), marilah kepada satu Kalimah yang membawa persamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Islam menjelaskan bahawasanya, para penganut agama yang digelar ahlul-kitab seperti agama Judaisme (bagi orang-orang Yahudi) dan Kristianiti (bagi orang-orang Kristian) telah dipesongkan daripada ajaran para rasul mereka terdahulu yang pada asalnya merupakan ajaran tauhid yang murni juga.

Oleh yang demikian, agama Islam mengajak orang-orang Kristian dan Yahudi, yang digelar sebagai ahlul-kitab, agar mereka kembali kepada ajaran tauhid dengan berpegang kepada ajaran Islam samada aqidahnya, fiqhnya mahupun akhlaknya, dan mengikuti rasul yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Jika orang-orang Kristian tidak mahu menerima kebenaran Islam, maka Islam membenarkan mereka mengamalkan ajaran agama mereka secara bebas selagimana tidak membawa kepada tertegahnya perlaksanaan ajaran-ajaran agama Islam khususnya dalam negara Islam.

Islam turut mengakui ketinggian moral sebahagian penganut agama Kristian dengan ayat yang berbunyi:


…dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". yang demikian itu disebabkan kerana di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menymbongkan diri…(Surah Al-Ma’idah: 82)

Apabila berkaitan dengan penggunaan sesuatu kalimah yang digunakan oleh masyarakat Islam, maka ianya bukan sekadar berkaitan penggunaan perkataan, tetapi merangkumi keseluruhan kefahaman terhadap perkataan dan kalimah tersebut. Oleh sebab itulah, isu penggunaan kalimah Allah tidak wajar dilihat sebagai masalah perkataan semata-mata kerana ianya mempunyai pengaruh yang lebih luas dalam sesebuah masyarakat. Maka, oleh sebab itulah masyarakat Islam berdiri mempertahankan kalimah Allah ini, kerana merangkumi maksud yang besar dalam kefahaman mereka terhadap agama Islam secara menyeluruh.

Istilah dan Pengaruhnya dalam Masyarakat

Istilah memainkan peranan yang penting. Hal ini jelas khususnya ketika ianya digunakan dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat khususnya di Malaysia sudah lama mengkhususnya penggunaan kalimah Allah kepada Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam sahaja. Tidak timbul suatu tradisi seperti orang-orang Kristian Arab yang sudah lama menggunakan kalimah Allah bagi merujuk salah satu oknum daripada tuhan bersifat trinity yang mereka sembah.

Jadi, istilah-istilah yang menjadi penggunaan khusus bagi sesebuah kumpulan penganut sesebuah agama perlu diraikan khususnya apabila perkongsian istilah boleh membawa kepada fitnah yang lebih besar. Orang-orang Kristian di Malaysia khususnya tidak rugi jika tidak menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka. Padahal, di pihak masyarakat awam Islam di Malaysia pula, ianya boleh membawa kepada kekeliruan.

Sebahagian masyarakat awam mungkin membuat andaian, jika orang-orang Kristian pun menyembah Allah sebagaimana orang-orang Islam, jadi tiada bezanya orang-orang Islam beragama Kristian kerana menyembah tuhan yang sama. Ini adalah suatu kekeliruan yang boleh merosakkan aqidah sesetengah masyarakat awam Islam.

Sebagai contoh, orang-orang Kristian juga mengaku sebagai “believer”, iaitu mempercayai ketuhanan Jesus, namun jika mereka cuba menterjemahkannya sebagai beriman lalu mengaku mereka sebagai orang-orang beriman, maka dari ukuran Islam, mereka adalah orang-orang yang kafir dan syirik kerana menjadikan tuhan selain daripada Allah s.w.t..

Jadi, istilah “beriman” juga secara dasarnya dikhususkan kepada orang-orang Islam dalam penggunaan masyarakat yang tertentu. Kita juga tidak bersetuju jika orang Kristian mengaku sebagai Mu’min kerana beriman dengan ketuhanan Jesus dan kita juga tidak dapat menerima orang-orang Kristian mengaku sebagai Muslim kerana kepatuhan mereka kepada Paul. Oleh itu, penggunaan sesuatu istilah berdasarkan tasawwur yang khusus bagi sesetengah pihak sangat dipentingkan. Sebahagian orang membahaskan pengkhususan istilah bagi masyarakat Islam ini berdasarkan pandangan sarwa Islam (Islamic worldview).

Memang benar, dalam perbahasan “penggunaan” bahasa, para ulama’ Islam sering membahaskan bahawa, sesuatu kalimah itu mempunyai makna yang berbeza berdasarkan dua sudut penggunaan yang berbeza iaitu, dari sudut penggunaan bahasa dan dari sudut istilah syarak. Ini kerana, Tasawwur dan Mafhum kalimah berbeza dari sudut penggunaannya. Namun, tradisi sebegini tidak difahami secara asas oleh masyarakat awam Islam di Malaysia sehingga dapat membezakan pengunaan sesuatu kalimah samada di tempat yang salah ataupun betul.

Jadi, larangan menggunakan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian juga merujuk kepada suasana masyarakat awam Islam di Malaysia berdasarkan penggunaan bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan.

Larangan Penggunaan Kalimah ALLAH bagi Bahan Penerbitan Kristian: Suatu Prinsip Islam dalam Memelihara Aqidah Umat Islam

Pada prinsip ajaran Islam, kita telah kemukakan sebelum ini di mana secara jelas Islam tidak mengakui konsep Triniti yang dipegang oleh orang-orang Kristian dan menafikannya daripada sifat kesempurnaan ALLAH s.w.t.. Ini menunjukkan betapa Islam menitik beratkan tentang kemurnian aqidah Islam daripada kesesatan triniti tersebut. Ini secara tidak langsung juga menunjukkan betapa Islam melarang sebarang bentuk pencemaran terhadap konsep ketuhanan ALLAH dalam aqidah murni umat Islam termasuklah mencemarkan konsep tauhid dalam bab ketuhanan dengan idea triniti.

Dalam Surah An-Nisa’ ayat ke-171 dan Surah Al-Ma’idah ayat ke-73 secara jelas menolak konsep trinit yang cuba dinisbahkan kepada ALLAH. Ini secara tidak langsung menunjukkan Islam juga menolak sebarang usaha untuk menggunakan kalimah ALLAH yang pada asalnya merujuk kepada TUHAN yang MAHA ESA kepada suatu tuhan versi triniti.

Kalimah “ALLAH” perlu merujuk kepada Tuhan yang sama sebagaimana yang diimani oleh orang-orang Islam sedangkan penggunaan kalimah ALLAH dalam kalangan orang-orang Kristian merujuk kepada tuhan lain yang bersifat triniti, bukan keesaan. Ini tertolak sama sekali.

Adapun penggunaan Al-Qur’an dalam menggambarkan sesetengah pihak mempersekutukan ALLAH dengan menjadikan tuhan-tuhan lain selain Allah bukan menunjukkan ianya suatu galakan kepada menggunakan kalimah ALLAH bagi agama-agama lain, tetapi ianya sebagai suatu penolakan terhadap ajaran syirik agama-agama lain yang mana sebahagian daripadanya telah menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan dengan konsep yang salah, sebelum kedatangan Islam lagi, terutamanya dalam kalangan orang-orang musyrikin Arab dan Ahlul-Kitab yang hidup di tanah Arab.

Ia sebenarnya kembali kepada penggunaan istilah ALLAH dalam konteks bahasa Arab yang mana sebahagian daripada ahli ilmu bahasa Arab mengatakan bahawasanya ALLAH adalah kata nama daripada Illah yang bermaksud tuhan yang disembah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Munziri daripada Ibi Al-Haitham yang disebut dalam kitab Lisan Al-Arab. Jadi, penggunaan kalimah “Allah” dalam bahasa Arab boleh merujuk kepada maksud tuhan yang disembah secara mutlak (ma’bud) menurut sebahagian ahli bahasa walaupun kata “Allah” khusus merujuk kepada Allah s.w.t. sahaja di sisi majoriti ahli bahasa. Maka, dengan keluasan bahasa Arab inilah, Ahlul-Kitab yang tinggal dalam masyarakat Arab juga menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan-tuhan sembahan mereka.

Oleh kerana itu juga, sebahagian ulama’ masih lagi memberi ruang kepada penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang Kristian Arab khususnya kerana ianya secara adatnya sudah dimaklumi secara umum bahawasanya ALLAH yang dimaksudkan oleh orang Kristian Arab berbeza dengan ALLAH yang dimaksudkan oleh orang-orang Islam. Ini kerana, salah guna istilah “ALLAH” itu berlaku sejak sebelum kedatangan Islam lagi di mana orang-orang musryikin tetap turut mengakui menyembah ALLAH namun mereka menjadikan tuhan-tuhan lain sebagai perantaraan antara mereka dengan ALLAH menurut mereka. Ahlul-Kitab di dunia arab yang hidup dalam masyarakat Arab tersebut sudah terbiasa menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada tuhan mereka walaupun disaluti fahaman yang batil.

Maka, toleransi dalam dunia Arab-Islam hanyalah kerana latar belakang sejarah yang sudah sekian lama malah tidak lagi membawa kekeliruan kepada orang-orang Islam di Arab. Ini kerana, biarpun Islam tidak mengiktiraf konsep ketuhanan triniti Kristian tersebut, namun tidak ada dalil qat’ie melarang orang-orang Kristian khususnya Arab yang sudah terbiasa dengan kalimah Allah, menggunakan kalimah tersebut berdasarkan keluasan ilmu bahasa Arab itu sendiri. Dari sinilah timbulnya toleransi dalam masyarakat Arab dengan orang-orang Kristian Arab. Namun, dalam masa yang sama, tidak dinafikan adanya seruan agar mereka berhenti daripada memperkatakan bahawa Allah itu salah satu daripada tuhan triniti. Seruan yang sebegitu juga boleh dijadikan hujah bagi melarang penggunaan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian secara tidak langsung.

Apa yang menghairankan, ada usaha pihak-pihak Kristian yang menggunakan bahasa selain bahasa Arab dalam penulisan-penulisan mereka, sibuk juga menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka sedangkan pada dasarnya ia menyalahi prinsip Islam dan menyalahi kepercayaan mereka sendiri kerana tuhan mereka bukanlah ALLAH sebagaimana yang disembah oleh orang-orang Islam.

Kalau mereka pun menyembah tuhan dengan konsep ketuhanan triniti, namun masih mengaku tuhan yang mereka sembah adalah ALLAH, maka mereka secara tidak langsung mendakwa berpegang kepada kalimah bahagian pertama daripada syahadah iaitu La ilaha illaLlah (yang Tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan ALLAH), kerana mereka juga mendakwa tidak menyembah melainkan Allah tetapi dalam bentuk kepercayaan mereka yang sesat (yakni, triniti). Sedangkan menurut ajaran Islam, hanya orang-orang Islam sahaja yang berpegang dengan kalimah syahadah.

Oleh yang demikian, majoriti ulama’ Islam menegaskan bahawasanya lafaz ALLAH adalah suatu nama yang khas yang tidak terbit dari mana-mana kata terbitan yang mana ianya suatu nama khusus bagi zat TUHAN yang MAHA ESA. Konsep keesaan Tuhan itu adalah intipati utama bagi kalimah ALLAH itu sendiri.

Konsep ketuhanan triniti bagi orang-orang Kristian jelas tidak merujuk kepada konsep tauhid yang menjadi inti bagi konsep ketuhanan di sebalik nama ALLAH itu sendiri. Jadi, tidak selayaknya kalimah ALLAH digunakan oleh orang-orang Kristian merujuk kepada tuhan mereka yang tidak bersifat “keesaan”. 

Kalau mereka mahu kekalkan penggunaan bahasa asal bible, samada dalam Hebrew atau Greek, maka mereka boleh memanggil tuhan mereka sebagai Elohim, El, Yahweh, Jehovah atau Ho Theos. Mengapa perlu menggunakan kalimah “Allah” sedangkan ianya bukan bertujuan untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab. Kalau penterjemahan perkataan tuhan kepada bahasa Arab, maka ada ruang kepada menterjemahkannya kepada Allah jika memilih pendapat sebahagian ahli bahasa Arab di mana Allah itu adalah terbitan dari kata Ilah yang bermaksud “tuhan” (riwayat Ibn Haitham dalam Lisan al-‘Arab).

Namun, jika ingin terjemahkan god kepada bahasa Melayu, atau bahasa Inggeris, tidak pernah membawa kepada kalimah “Allah” kerana dalam penggunaan bahasa Melayu, kalimah Allah merujuk kepada kata nama khusus bagi Tuhan yang Maha Esa, iaitulah Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam sahaja, bukan tuhan dalam bentuk umum.

[rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua. Boleh didapati secara online dihttp://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=Allah&domain=PRPM ]

Larangan penggunaan kalimah ALLAH kepada agama-agama lain (termasuklah kepada agama Kristian) selain agama Islam di Malaysia adalah suatu dasar yang menepati maqosid syar’iayyah Islam yang menjaga agama masyarakat Islam daripada kekeliruan itu sendiri. Ia juga merupakan suatu dasar yang menutup ruang fitnah yang lebih besar. Ia juga dalam rangka untuk mempertahankan Perkara 11 (4) yang bertujuan menjaga aqidah umat Islam yang awam khususnya daripada kepercayaan-kepercayaan agama lain.

Oleh yang demikian, pelbagai kaedah-kaedah fiqhiyyah yang sesuai digunakan dalam larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam seperti kaedah Sad Az-Zari’ah dan sebagainya. Bahkan, sejak fatwa umum di Malaysia atau di negeri-negeri tertentu melarangnya, ianya sepatutnya sudah selesai, kerana keputusan hukum pemerintah itu mengangkat perselisihan.

Kesimpulan: Asas-asas Umum Larangan Penggunaan Kalimah Allah bagi Orang-orang Kristian

Orang-orang bukan Islam samada dari kalangan orang-orang Kristian khususnya atau selainnya, perlu menghormati prinsip ajaran Islam dan maslahat umat Islam di Malaysia khususnya berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Pedirian bahawasanya kalimah ALLAH tidak boleh digunakan bagi merujuk kepada konsep ketuhanan selain daripada aqidah Islam adalah merujuk kepada beberapa asas:

Pertama: Nas-nas daripada Al-Qur’an dan hadith menunjukkan konsep kemurnian aqidah Islam yang menolak sebarang pencemaran bagi konsep ketuhanan ALLAH s.w.t. yang berpaksikan aqidah tauhid. Oleh yang demikian, kalimah ALLAH yang merujuk kepada tuhan yang berpaksikan trinit dan sebagainya yang sesat adalah menyalahi prinsip ajaran aqidah Islam yang murni itu sendiri. Dalil-dalil yang menolaknya adalah seperti surah Al-Ikhlas, Surah An-Nisa’ ayat ke-171, Surah Al-Ma’idah ayat ke-73 dan sebagainya.

Kedua: Ia bercanggah dengan kemurnian konsep kalimah syahadah yang menunjukkan hanya orang-orang Islam sahaja yang menyembah ALLAH s.w.t.. Maka, kalaulah orang-orang Kristian pun menyembah ALLAH dengan konsep triniti, maka mereka juga mendakwa tidak menyembah melainkan ALLAH tetapi Allah yang bersifat triniti. Hal ini justeru menafikan pengkhususan kepada orang-orang Islam dalam berpegang dengan kalimah syahadah (La ilaha illaLlah). Maka, ia suatu yang tertolak dari sudut kemurnian kalimah syahadah ajaran Islam itu sendiri. 

Ketiga: Ia boleh membawa kepada kekeliruan kepada masyarakat awam Islam khususnya di Malaysia. Ia boleh menimbulkan prasangka seolah-olah tuhan yang disembah oleh orang-orang Kristian adalah sama dengan Tuhan yang disembah oleh orang-orang Islam. Ini membuka pintu kepada murtad yang dicela oleh Islam itu sendiri. Berdasarkan peruntukan Perkara 11 (4), adalah wajar larangan kalimah ALLAH digunakan bagi orang-orang kafir atau bukan Islam. Ia demi menjaga maslahat umat Islam itu sendiri.

Daripada inilah, ada kaedah-kaedah tertentu dalam qawa’id fiqhiyyah untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar dan fitnah yang lebih bahaya dalam masyarakat Islam, maka larangan menggunakan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian di Malaysia khususnya boleh digunakan.

Keempat: Orang-orang Krisitian di Malaysia khususnya juga tidak mempunyai sebab yang kuat untuk menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk kepada tuhan mereka kerana penggunaan istilah ALLAH di Malaysia (penggunaannya secara adat dan dari sudut bahasa Melayu itu sendiri) khusus merujuk kepada Tuhan orang-orang Islam sahaja. Malah, mereka (orang-orang Kristian) juga tidak menulis tulisan mereka dalam bahasa Arab sehingga perlu menggunakan kalimah ALLAH bagi merujuk perkataan tuhan atau god. Mengapa mereka tidak menggunakan perkataan tuhan, untuk menterjemahkan kalimah tuhan yang mereka gunakan, kerana god dalam bahasa Melayu adalah tuhan. Bahkan, mereka boleh gunakan nama-nama yang lebih dekat dengan tradisi Bible seperti elohim (bahasa Ibrani), yahweh dan sebagainya yang sering digunakan oleh mereka sebelum ini. 

Kelima: Larangan penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam bagi merujuk kepada tuhan-tuhan mereka adalah suatu yang wajar di Malaysia khususnya, kerana Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama negara, sedangkan Islam pula menolak konsep pencemaran terhadap kemurnian aqidah Islam termasuklah penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan [Perkara 3 (1) dan Perkara 11 (4)], pendirian larangan tersebut adalah wajar kerana prinsip ajaran Islam tidak boleh dihalang oleh kebebasan beragama dengan agama-agama lain. Sebarang usaha atau amalan oleh penganut-penganut agama lain yang boleh membawa kepada mencemarkan prinsip dan roh agama Islam adalah ditolak kerana konsep kebebasan itu sendiri tidak boleh menjangkau kepada hak-hak pihak lain. Adapun penggunaan kalimah ALLAH bagi orang-orang bukan Islam dalam penulisan dan penerbitan khususnya, sudah menjangkau daripada sempadannya kerana ianya mencemarkan kemurnian ajaran agama Islam yang merupakan agama Persekutuan dalam konteks di Malaysia.

Orang-orang Kristian khususnya, jika berpegang teguh dengan ajaran mereka, pasti mereka akan menghormati kedudukan tinggi agama Islam di negara ini serta kedudukan Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agung sebagai Ketua Umum Negara dan Ketua Agama, lalu mereka juga akan menghormati larangan penggunaan kalimah ALLAH yang mana ianya berteraskan ajaran Islam yang merupakan agama Persekutuan dan agama bagi Ketua Umum Negara.

Dalam surat Paul kepada orang-orang Rom (iaitu Romans: 13) menceritakan tentang suruhan agar orang-orang Kristian khususnya, agar mentaati raja-raja yang memerintah di sesuatu tempat tersebut. Maka, sekiranya larangan menggunakan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian digubal, maka mereka perlu menerimanya atas semangat mematuhi ajaran Bible (Romans: 13) itu sendiri.

Maka, dari sudut menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat di Malaysia secara umumnya sahaja, larangan penggunaan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian dan bukan Islam adalah suatu yang praktikal. Umat Islam di Malaysia yang mempunyai banyak ruang kelemahan dari sudut pendidikan agama dan sebagainya, seharusnya tidak terdedah kepada kekeliruan yang lebih besar seperti berkongsi nama tuhan yang sama dengan penganut agama-agama lain.

Apatah lagi, setelah dinilai secara dasarnya, Islam sememangnya menyeru ke arah tidak menisbahkan kesyirikan, triniti, anak dan sebagainya kepada “Allah” yang Maha Esa. Allah s.w.t. sendiri menyucikan zatNya dan sifat-sifatNya daripada perkataan-perkataan seperti konsep triniti dan sebagainya yang menyeleweng tersebut. Jadi, dasar dan prisinp asas Islam secara umum sememangnya membawa kepada tidak memberi ruang untuk menisbahkan konsep ketuhanan yang salah kepada Allah s.w.t.. Ini juga memberi makna bahawa tidak boleh menamakan sesuatu tuhan yang berteraskan konsep ketuhanan yang salah dengan nama “Allah” yang merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Benar.

Kita melihat pengecualian atau toleransi para ulama’ Islam di dalam masyarakat Arab khususnya terhadap penganut agama Kristian Arab kerana mereka sudah biasa menggunakan kalimah “Allah” bagi merujuk kepada “Al-Ilah” atau “Tuhan”. Namun, penggunaan itu tidak berlaku samada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu. Jadi, secara tidak langsung, toleransi terhadap penggunaan kalimah Allah kepada orang-orang Kristian dalam masyarakat Melayu di Malaysia khususnya boleh menimbulkan kesamaran dan tidak menepati penggunaan bahasa yang sebenar.

Bahkan, dengan membenarkan orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan sembahan mereka merupakan antara hambatan dalam “dakwah islamiyyah” kerana mereka (orang-orang Kristian) secara asasnya sudah mengganggap bahawa mereka sudahpun menyembah Allah sebagaimana orang-orang Islam menyembah Allah, tetapi mereka memahami ‘Allah’ mereka dengan kefahaman yang berbeza.

Jadi, dengan alasan mereka sudah menyembah ‘Allah’, mereka tidak perlu lagi untuk menganut agama Islam kerana beza antara orang-orang Islam dengan orang-orang Kristian di sisi mereka hanyalah, orang-orang Islam mengikut Nabi Muhammad s.a.w. sedangkan orang-orang Kristian mengikut Nabi Isa a.s., sedangkan kedua-dua agama mengajar konsep ketuhanan yang sama. Inilah alasan mereka yang cuba dijelaskan kepada masyarakat awam Islam khususnya, bahawasanya agama mereka juga adalah agama kebenaran dan orang-orang Kristian juga menyembah ‘Allah’ seperti orang-orang Islam.

Justeru, secara prinsipnya, masyarakat Islam sewajarnya tidak meredhai orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka kerana tuhan mereka tidak bersifat keesaan tetapi sebaliknya bersifat triniti. Di sisi orang-orang Kristian, mereka cuba membuktikan bahawasanya konsep triniti adalah konsep tauhid (atau monotheism). Maka, sebab itulah mereka juga mahu menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka agar masyarakat Islam awam khususnya faham bahawa, mereka (orang-orang kristian) juga menyembah tuhan yang Maha Esa tetapi dalam bentuk triniti.

Oleh kerana penggunaan kalimah “Allah” dalam bahasa Melayu atau dalam penggunaan umum masyarakat di Malaysia merujuk kepada “Tuhan yang Maha Esa” (sebagaimana disebutkan dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua), maka tidak wajar orang-orang Kristian dibenarkan menggunakan kalimah tersebut bagi merujuk kepada tuhan triniti mereka, kerana Islam sama sekali tidak mengiktiraf konsep triniti tersebut sebagai konsep tauhid.

Di samping beberapa sudut lain seperti keharmonian aqidah umat Islam dan sebagainya, maka pendirian yang melarang penggunaan kalimah Allah bagi orang-orang Kristian khususnya dan bagi orang-orang bukan Islam amnya, adalah suatu pendirian yang tepat dan kukuh khususnya di Malaysia. Mudah-mudahan ianya dapat membantu dalam menjaga aqidah umat Islam yang semakin terdedah kepada pelbagai serangan fahaman yang sesat samada dari dalam mahupun luar. Amiin…

Wallahu a’lam

Al-Faqir ila RabbiHi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

‘AmalahuLlahu bi LutfiHi Al-Khafiy

7 Januari 2010 (diedit pada 9 Januari 2013)

Sumber : https://www.facebook.com/notes/raja-ahmad-mukhlis/isu-penggunaan-kalimah-allah-bagi-orang-orang-kafir-terutmanya-orang-orang-krist/581365935223922

Bacaan Tambahan : 

1. Paderi Di Indonesia Mengakui Kalimah Allah Hanya Untuk Umat Islam