CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Ahad, 25 Julai 2010

Sorotan Seminar Asha'irah di UM








Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Saya mengharap seminar tentang faham Asha'irah yang berlangsung selama 3 hari, 20-22 Julai ini dapat mencapai objektifnya dan mampu menjelaskan kepada masyarakat akademik khususnya, termasuk aliran-aliran kontra tentang hakikat sebenar aliran Asha'irah yang merupakan kelompok terbesar Ahli Sunnah wal Jamaah pada masa dahulu dan kini. Tidak dinafikan jika ada pihak yang tidak gemar seminar ini diadakan. Namun, "jika tidak dipecahkan ruyong, manakan dapat sagunya", kerana masih ada yang tidak mengerti apakah hakikat faham Asha'irah itu sebenarnya, malah ada yang tidak mengenal secara benar siapa dia Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari r.a. yang menjadi panutan Asha'irah ini.

Kekeliruan Aliran Kontra

Saya melihat sehingga kini masih ada yang menganggap bahawa fahaman Asha'irah adalah fahaman yang disadur daripada fahaman Jahmiyyah atau Muktazilah yang menafikan sifat-sifat Allah SWT serta menetapkan takwil terhadapnya. Ada juga yang menganggap bahawa Asha'irah adalah aliran yang menyeleweng daripada mazhab imam mereka sendiri, Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari r.a. Kononnya Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari melalui tiga peringkat perubahan akidah, iaitu peringkat Muktazilah, peringkat Kullabiyyah dan peringkat Salafiyyah. Di hari pertama seminar, ada juga yang cuba membangkitkan kekeliruan ini.

Padahal kesemua tanggapan dan kekeliruan tersebut adalah tidak benar. Mana mungkin orang yang di luar sesuatu mazhab lebih arif mengenainya berbanding orang yang di dalam mazhab berkenaan. Tentunya bagi menjelaskan sesuatu mazhab, pandangan-pandangan diambil daripada tokoh-tokoh dalam mazhab tersebut. Maka yang mengatakan faham Asha'irah ini adalah faham Jahamiyyah adalah tidak benar samasekali kerana Jahmiyyah menetapkan takwil mutasyabihat, sedangkan Asha'irah menetapkan tafwidh dan mengharuskan takwil menurut syarat-syaratnya yang muktamad. Lihat perbezaan ibarat saya antara "menetapkan takwil" dan antara "menetapkan tafwidh dan mengharuskan takwil dengan syarat-syaratnya".

Begitu juga yang mengatakan Imam al-Asy'ari melalui 3 peringkat peralihan akidah adalah suatu kekeliruan. Ini tidak pernah disebut oleh mana-mana tokoh Asha'irah sendiri sehinggalah ia difatwakan oleh aliran yang berlawanan dengannya. Hakikatnya Imam al-Asy'ari hanya melalui 2 peringkat peralihan sahaja, iaitu peringkat Muktazilah dan peringkat Ahlus Sunnah.

Kitab al-Ibanah

Kitabnya yang menjadi perselisihan hangat dalam soal ini ialah al-Ibanah. Namun kitab al-Ibanah yang sampai kepada kita hari ini mempunyai berbagai versi yang agak berbeza isi kandungannya. Versi cetakan yang paling baik ialah yang ditahkik oleh Dr. Fawqiyyah Husayn kerana ketelusannya dalam membuat komparatif antara beberapa manuskrip kitab al-Ibanah dan ternyata kemudian bahawa versi-versi cetakan lain tidak dapat dipegang keabsahannya.

Tidak dinafikan ada sebahagian Asha'irah mutaakhirin yang menafikan kitab al-Ibanah sebagai karya al-Asya'ri. Namun ramai juga dari kalangan mereka yang mengatakan sebaliknya dengan mengemukakan hujah-hujah kukuh yang munasabah, antaranya ia adalah sebagai tulisan awal sesudah perpindahan al-Asy'ari dari mazhab Muktazilah kepada mazhab Ahlus Sunnah di mana pada masa itu beliau menghadapi dua kelompok kontra Ahlus-Sunnah yang amat berpengaruh iaitu Muktazilah (termasuk Jahmiyyah) dan Musyabbihah (termasuk Barbahariyyah) yang mendakwa membawa akidah Imam Ahmad bin Hanbal. Maka beliau secara sarih mengatakan mengikut pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dengan tujuan untuk membersihkan namanya daripada palitan tasybih dan tajsim. Beliau seterusnya konsisten mendokong mazhab Ahlus Sunnah ini berdasarkan metode ahli kalam dengan menyusun berbagai kitab, dan antara pendapat-pendapatnya yang mutakhir telah dihimpunkan oleh Ibn Furak di dalam kitab "Maqalat al-Imam Abi al-Hasan al-Asy'ari".

Praktis tokoh-tokoh Asha'irah yang datang selepas itu dalam kurun ke-4, ke-5, ke-6 dan seterusnya terhadap metode Imam al-Asyari jelas membuktikan bahawa kekeliruan yang disebutkan di atas tadi adalah tertolak. Jelas menurut satu pepatah Arab: "Tuan rumah adalah lebih arif dengan isi dalam rumahnya sendiri".

Konsep Tafwidh

Inilah faham Asha'irah yang cuba diketengahkan dalam seminar ini. Barangkali ada yang sudah memahami itu dari kalangan kontra-Asha'irah, namun mereka tidak sepakat pula terhadap konsep tafwidh yang digunapakai oleh Asha'irah. Mereka lebih senang dengan konsep ithbat zahir nas dengan kata-kata lampiran "tanpa kayfiyyat" dengan dakwaan ia adalah fahaman para Salaf. Ini bertentangan dengan faham golongan Salaf menurut Asha'irah kerana zahir nas meskipun dengan kata-kata lampirannya itu tidak menutup pintu tasybih dan tajsim, bahkan ia dapat membawa kepada tasybih dan tajsim itu sendiri kerana zahir kalimah menunjukkan kepada anggota badan atau juzuk suatu jisim atau penyerupaan dengan makhluk. Dan ini mustahil bagi Allah SWT.

Golongan Salaf menurut Asha'irah berpegang kepada tafwidh dengan pengertian 'takwil ijmali', iaitu zahir nas bukan sepertimana makna yang terbayang pada akal manusia, tetapi ia adalah suatu makna yang diketahui hakikatnya oleh Allah SWT. Manakala tidak ada nas yang jelas mengharamkan takwil yang berbetulan dengan syarak dan kaedah bahasa Arab, maka Asha'irah telah mengharuskannya dengan syarat-syarat tertentu yang dinamakan 'takwil tafsili'. Bahkan ada dinukilkan dari sebahagian para Salaf yang menggunakan 'takwil tafsili' ini seperti Ibn 'Abbas r.a., Mujahid, Ibn al-Mubarak, Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari dan lain-lain. Ini menguat dan mengukuhkan lagi metode yang dipilih oleh Asha'irah.

Peranan Akal

Perbahasan yang halus ini barangkali tidak difahami oleh sebahagian orang yang hanya ber'akidah ikut-ikutan' sahaja. Perlu diingatkan bahawa keampuhan hujah tidak sekadar bergantung pada naqal semata-mata tanpa aqal, tetapi ia memerlukan kepada gabungan naqal dan aqal sekaligus. Inilah kekuatan pegangan mereka yang disebut oleh al-Quran sebagai 'Ulul-Albab'. Perlu disedari bahawa akal juga memainkan peranan penting dalam ilmu akidah, terutama di dalam menghadapi berbagai aliran-aliran pemikiran semasa yang bertentangan dengan akidah yang benar.

Saya amat tertarik dengan ucapan Prof. Dr. Deen Muhammad Sahib, dari Universiti Qatar dalam ucaptama seminar yang membuat komparatif antara Metode Ash'ari dan Metode Salafi-Wahhabi.

Menurutnya, Metode Ash'ari mampu menghadapi tentangan-tentangan musuh dan mempertahankan akidah Islam kerana ianya:

- menghimpunkan secara harmoni antara aqal dan naqal.
- beriltizam dengan nas dan mampu menangani realiti.
- tidak mengkafirkan ahli qiblat.
- berpegang dengan firman Allah Taala: (ليس كمثله شيئ) sebagai suatu kaedah yang muhkam.
- beriltizam dalam menafikan makna zahir yang terlintas dari segi bahasa, dan menggunakan takwil menurut neraca syarak, kaedah bahasa Arab, uslub ilmu bayan dan hukum akal yang qat'i.
- berpegang pada tanzih dan menolak tasybih dan tajsim serta semua yang dapat mendorong ke arahnya.
- mengambil kira faktor penyanggah yang qat'i lagi sabit.
- menyatupadukan antara uluhiyyah dan rububiyyah serta tidak mengasingkan kedua-duanya.
- beriltizam dengan konsep baharunya sesuatu selain Allah Taala.

Manakala Metode Salafi-Wahhabi tidak mampu untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa dan global kerana ianya berciri :

- takfir.
- kebekuan/kejumudan akal.
- tertutup.
- menafikan sejarah.
- sempit.
- mengasingkan rububiyyah daripada uluhiyyah.
- memberi tumpuan kepada islah akidah yang telah disepakati oleh jumhur umat Islam selama 1000 tahun, dan mengabaikan pula islah pelbagai sudut sosial masyarakat.
- menentang pemikiran logik.

Beliau turut menyarankan dua buah buku yang ditulis oleh dua orang sarjanawan ulung dunia Islam agar dibaca, diteliti, diterjemahkan dan dikembangkan idenya secara lebih meluas, iaitu;

1. Mawqif al-'Aql wal-'Ilm wal-'Alam min Rabb al-'Alamin wa 'Ibadih al-Mursalin oleh Syeikhul-Islam Mustafa Sabri.

2. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC))(1995).

Gagasan Ahlus Sunnah Asha'irah Moden

Alhamdulillah, ada lebih dari 40 kertas kerja yang dikemukakan dalam seminar ini yang ditulis oleh ramai sarjana dan pengkaji dari berbagai bidang seperti akidah, tafsir, hadith, fiqh, sejarah, dakwah, falsafah, tasawuf dan lainnya, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Ada nama-nama yang sudah dikenal dan ada nama-nama yang masih baru. Antara nama-nama yang biasa didengar bagi saya ialah seperti Dr. Sulaiman bin Ibrahim al-Baruhi, Ustaz Muhammad Uthman el-Muhammady, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat, Dr. Khalif Muammar A. Harris, Prof. Madya Mohamad Kamil Hj. Ab. Majid, Prof. Madya Dr. Asmadi Mohd Naim, Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi bin Wan Abdullah, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dan Prof. Madya Dr. Mudasir Rosder .

Barangkali ada yang menganggap bahawa seminar ini bertujuan untuk menghentam Ibn Taymiyyah dan Muhammad bin 'Abdul Wahhab sebagai dua tokoh yang sering menjadi rujukan aliran kontra dalam masalah akidah. Tentunya tuduhan ini tidak benar, kerana Ibn Taymiyyah mahupun Ibn 'Abdul Wahhab, serta para pengikut mereka (Taymiyyun dan Wahhabiyyun) mempunyai kebebasan untuk mengkritik lawan dan menyuarakan pandangan mereka, maka apakah pihak lawan mereka tidak punya kebebasan untuk bangkit dan mempertahankan diri? Ini adalah percaturan yang tidak waras. Jika yang dikritik oleh Ibn Taymiyyah dan Ibn 'Abdul Wahhab itu ialah pemikiran-pemikiran dan pandangan-pandangan lawan, begitu juga apa yang dikritik oleh pihak lawan mereka - dan maksud di sini ialah Asha'irah - adalah pemikiran-pemikiran dan pandangan-pandangan Ibn Taymiyyah dan Ibn 'Abdul Wahhab, mahupun para pengikut mereka yang dilihat tidak benar, bukan lain atau peribadi.

Tidak timbul soal menghentam dan memukul siapa kerana inilah kefahaman masing-masing dalam mematuhi tuntutan dan kehendak syariat. Maka yang dilihat sebagai batil - di luar lingkungan Ahlus Sunnah wal Jamaah - perlu ditegur dan diberi nasihat. Apa yang menjadikan situasi lebih serius sebenarnya adalah berpunca dari sikap melampaui batas dan masalah kedangkalan ilmu. Melampau batas dalam apa jua situasi dan dari mana jua munculnya adalah suatu yang negatif dan dicela. Soal melampau ini kadangkala begitu halus, dan ia perlu dilihat sebagai suatu barah yang perlu dirawat dengan segera sebelum ianya semakin parah.

Mudah-mudahan kita dijauhkan oleh Allah Taala daripada penyakit ini, dan semoga Allah s.w.t. memelihara kita golongan Ahlus Sunnah wal-Jamaah. Amin.

Selasa, 20 Julai 2010

Jangan Mudah Mengkafirkan Sesama Umat Islam




















Utusan Malaysia, 20 Julai 2010

DI dalam kitab Mafahim (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki telah memperjelaskan fahaman tentang pelbagai isu agama yang menjadi pertikaian oleh sebahagian orang seperti tabarruk, tawassul, ziarah kubur dan seumpamanya.

Ada yang sampai ke tahap menuduh syirik dan mengkafirkan sesama Islam kerana isu-isu ini. Oleh itu pengarang kitab ini memulakan tulisannya dengan memperbetulkan semula kefahaman dalam hal menghukum kafir sesama Islam.

Beliau menegaskan bahawa, ramai orang telah salah faham - semoga Allah SWT memperbaiki dan menunjukkan mereka jalan yang benar - tentang sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan wajib dihukum sebagai kafir.

Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dengan mereka, hinggakan hanya sedikit sahaja kaum Muslimin yang berbaki di muka bumi ini.

Walau bagaimanapun, kita memandang sikap keterlaluan mereka dengan baik sangka. Kemungkinan, niat mereka baik - demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf dan nahi mungkar.

Namun, mereka lupa, amar makruf dan nahi mungkar perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan peringatan yang baik. Jika ada yang perlu didebatkan sekalipun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik, sebagaimana firman Allah SWT:
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.
(al-Nahl: 125)

Cara ini lebih mudah diterima dan menghasilkan apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan.

Oleh itu, apabila kamu mengajak seseorang Muslim yang mendirikan solat, melaksanakan apa yang difardukan oleh Allah SWT, menjauhi segala yang diharamkan-Nya, menyebarluaskan dakwah Islam dan aktif memakmurkan masjid kepada perkara-perkara yang pada pandangan kamu adalah benar, tetapi pandangannya berbeza dengan pandangan kamu, dan pandangan ulama mengenainya masih belum disepakati sejak dahulu hingga sekarang.

Maka dia enggan menurut pandangan kamu, lalu kamu melemparkan tuduhan "kafir" kepadanya hanya kerana beberapa perbezaan pendapat, maka sebenarnya kamu telah melakukan sebesar-besar kemungkaran dan perbuatan yang dilarang keras oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka kamu diseru supaya melaksanakannya dengan jalan yang berhikmah dan baik.

Al-Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad RA mengatakan,
"Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat; kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya, atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW, atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama, atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya), atau pun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama."


Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) itu; seperti masalah tauhid, kenabian, sempurnanya risalah dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, kebangkitan semula pada hari Kiamat, hisab, pembalasan pada hari Kiamat, syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir. Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya, dan selepas itu mereka tidak boleh dimaafkan lagi jika mengingkarinya.

Manakala hadis mutawatir ialah khabar atau hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang dipercayai dan tidak mungkin melakukan pembohongan, yang (diterima) daripada sejumlah perawi seperti mereka; baik dari aspek isnad (rangkaian orang yang meriwayatkannya) mahu pun tabaqat (ramainya bilangan perawi).

Adapun isnad, seperti hadis:
"Sesiapa yang melakukan pembohongan ke atasku, maka dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka."


Manakala dari aspek tabaqat (mutawatir pada setiap peringkat) seperti mutawatir-nya al-Quran. Al-Quran itu mutawatir tanpa ada had; baik di timur mahupun di barat; dalam mempelajari, membaca, mahupun menghafaznya, yang diterima dan diriwayatkan daripada sekelompok yang banyak kepada kelompok yang banyak, daripada satu generasi kepada generasi yang lain. (Oleh kerana terlalu ramai perawinya sehingga tidak terkira), maka al-Quran tidak memerlukan kepada isnad.

Kadang kala, mutawatir itu berlaku pada amalan dan pewarisan; seperti amalan sesuatu semenjak zaman Nabi Muhammad SAW sampai sekarang, diamalkan dan dipraktikkan, serta tiada sesiapa yang mengingkarinya (khususnya ulama).

Kadang kala, terjadi mutawatir dari segi ilmu seperti mutawatirnya mukjizat Nabi Muhammad SAW. Meskipun sebahagiannya ada yang diriwayatkan secara ahad (individu), tetapi secara umumnya ia dapat dinilai mutawatir dengan ilmu pengetahuan setiap Muslim.

Sesungguhnya menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas, adalah suatu yang amat bahaya. Dalam hadis, Rasulullah SAW menegaskan:
Jika seseorang berkata kepada saudaranya, "Wahai kafir!" Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya.
(riwayat Imam al Bukhari daripada Abu Hurairah RA)

Kesimpulannya, pengarang kitab ini benar-benar mengingatkan kita, supaya berhati-hati daripada sembarangan melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah SAW sahajalah yang dapat menunjukkan jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya kita semua akan dikembalikan.

Isnin, 12 Julai 2010

Tips-tips Khusyuk Dalam Solat
















Oleh :
Mufti Brunei

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Khusyu‘ dalam sembahyang ialah menghadirkan hati kepada Allah di dalam sembahyang. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu sembahyang. Hakikat zahirnya pula ialah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, ruku‘, sujud dan sebagainya. Kedua-duanya
mestilah dilaksanakan dengan sempurna. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

الصَّلاَةُ مَثْنَى مَثْنَى تَشَهَّدُ فِي آُلِّ رَآْعَتَيْنِ وَتَخَشَّعُ وَتَضَرَّعُ
وَتَمَسْكَنُ......
(رواه الترمذي)
Maksudnya: “Sembahyang itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyu‘an hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Khusyu‘ dalam sembahyang itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka
sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.”
(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Melihat kepada kepentingan khusyu‘ dalam sembahyang itu maka diutarakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh digunapakai untuk memandu diri kita ke arah perlaksanaan ibadat
sembahyang yang khusyu‘.

Untuk mendapatkan khusyu‘ dalam sembahyang hendaklah sentiasa membuat persediaan awal yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan tersebut sebenarnya bermula di luar
sembahyang, sebelum seorang itu mendirikan sembahyang.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dibuat untuk membantu menimbulkan khusyu‘ dalam sembahyang:

1. Sebelum mendirikan sembahyang pastikan perkara-perkara berikut:

i) Menjaga makanan dan minuman. Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan dan minum hendaklah bersumber daripada yang halal.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya:
Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii) Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’.

Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam dalam sembahyang tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah
satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah wudhu’nya.

(Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

Di samping itu sebahagian kelebihan wudhu’ itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya wudhu’ yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”

iii) Membersihkan diri, termasuk bersugi. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.
” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama menegaskan bahawa bersugi itu mempunyai tujuh puluh faedah. Antara faedah dan kelebihannya ialah:

􀂃 Membersihkan dan mengharumkan bau mulut.
􀂃 Memutihkan gigi.
􀂃 Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
􀂃 Membetulkan atau meluruskan tulang belakang.
􀂃 Menolong menguatkan gusi.
􀂃 Meningkatkan kecerdikan.
􀂃 Menggandakan pahala amal ibadat.
􀂃 Melancarkan kefasihan atau kepetahan pertuturan.
􀂃 Menguatkan hafalan.
􀂃 Mensucikan hati.
􀂃 Menyukakan malaikat.

iv) Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.

v) Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya:
Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.
(Hadis riwayat Muslim)

vi) Memakai pakaian yang bersih dan kemas. Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.

vii) Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.

Termasuk langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan sembahyang di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan sembahyang seseorang.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:
“Bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

iix) Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.”
(Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyu‘ ketika mendirikan sembahyang.

Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.



2. Ketika hendak menunaikan sembahyang lakukan perkara-perkara berikut:

i) Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.

Mendirikannya dalam keadaan berjemaah adalah suatu tuntutan. Sembahyang berjemaah itu adalah di antaravsyi‘ar agama.

Selain pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh
melalaikannya.

ii) Menghadirkan hati.

Maksudnya ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat sembahyang yang dikerjakan.

Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“Aku lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang sembahyang.””

(Hadits riwayat Abu Daud)

Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:
“Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”

iii) Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.

Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham Radhiallahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya tentang sembahyangnya, beliau beliau menjawab:

Maksudnya:
“Apabila tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”

iv) Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan. Umpamanya seperti berikut:

􀂃 Surah an-Nas:

Tafsirnya: “Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. ”

􀂃 Ta‘awudz, seperti:

Tafsirnya: “Wahai Tuhanku! Aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku
berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”

􀂃 Tahlil:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ

Ertinya: “Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”

􀂃 Zikir:

امنا با الله و برسوله


Maksudnya: “Kami beriman dengan Allah dan rasulrasulNya.”

Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa sembahyang. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….”
(Hadits riwayat Muslim)



3. Ketika menunaikan sembahyang pusatkan perkara-perkara berikut:

i) Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Qur’an iaitu tasbih dan takbir dan doa. Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.

ii) Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud. Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud…..

(Hadis riwayat Muslim)

iii) Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.

iv) Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.

v) Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.

vi) Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah.
Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan).

Thuma’ninah ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan
zikir: “ .” سبحان الله Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda:

Maksudnya:
“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu.

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

vii) Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta, sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang sembahyang itu dialihkan ke jari telunjuknya.

Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang seseorang itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyu‘ di dalam sembahyang. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi khusyu‘ di dalam sembahyangnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.

Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.

Sumber : Mufti Brunei

Selasa, 6 Julai 2010

Shisha: Apa Hukum Menggunakannya?





















Oleh : Mufti Brunei

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Penggunaan shisha semakin diminati oleh sebahagian masyarakat kita. Menurut satu catatan sejarah, alat shisha ini telah dicipta di India oleh seorang doktor sebagai satu cara atau alternatif yang dapat mengurangkan bahaya menghisap tembakau. Menurut doktor tersebut, asap tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu bekas air agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Maka ramailah orang percaya bahawa ia selamat digunakan berbanding dengan menghisap rokok.

Kepercayaan lama ini masih tersebar dan mempengaruhi orang yang baru mengenal atau menggunakannya hinggalah ke hari ini. Namun sejauh manakah kebenaran kepercayaan ini? Adakah kemudharatan menggunakan shisha lebih ringan daripada kemudharatan menghisap tembakau dengan rokok?

Apakah Sebenarnya Shisha Itu?

Shisha (Waterpipe) adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia digunakan oleh puak asli di Afrika dan Asia lebih kurang empat
kurun yang lalu. Secara umumnya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:

(i) Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat dari tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.

(ii) Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.

(iii) Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus buahbuahan
ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat daripada kaca.

(iv) Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap keluar daripada alat shisha tersebut. Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengikut tempat serta adat penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan alat penyedut yang lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau bekas airnya.

Bahkan nama bagi shisha ini juga berbeza mengikut tempat atau negeri. Misalnya di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur (Turki, Syria dan lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di Mesir dan di sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali sebagai shisha atau goza dan di India ia dipanggil hookah. Dalam Bahasa Inggeris ianya dipanggil waterpipes tetapi nama shisha lebih dikenali dan sering digunakan.

Jenis Tembakau Shisha

Terdapat dua jenis tembakau shisha iaitu yang dipanggil mu‘assal معسل) ) dan ‘ajami ( عجمي ). Tembakau mu‘assal terdiri daripada campuran tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang lain. Tembakau mu‘assal ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini.

Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.

Cara Menggunakan Shisha

Cara menggunakannya ialah dengan membakar tembakau shishaitu dengan meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada arang kayu atau arang campuran) kerana tembakau shisha ini tidak dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan. Kemudian asap tembakau itu disedut dengan menggunakan hos atau alat penyedut.

Tetapi perlu diingat bahawa apabila pengguna menyedut asap daripada alat shisha ini, dia bukan sahaja menyedut asap daripada tembakau tetapi juga asap daripada arang, yang masing-masing
mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari pembakaran tersebut.

Kesan Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Menurut satu dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise” yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau
Sedunia 2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha.

Ini kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang lebih lama berbanding daripada sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil dari shisha tersebut mengandungi bermacam-macam bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain.

Manakala asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan bahan penyebab kanser tetapi
kadarnya belum dapat dipastikan.

Dari hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat (clogged arteries).

Selain itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.

Walaupun kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara intensif sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah menunjukkan bahawa shisha itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama yang disebabkan oleh rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, telah menyatakan:
Menggunakan shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut.
Apa yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia bukanlah satu alternatif yang selamat bagi rokok. Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza menghisap shisha adalah menghisap tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit, bahkan
boleh membawa maut.
Larangan Memudharatkan Atau Membunuh Diri

Ugama Islam sebagai ugama sejahtera sangat menghargai nyawa serta kehidupan dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan, dan kesemuanya itu bagi tujuan yang satu iaitu untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Kerana itu Islam melarang umatnya daripada memudharatkan diri mereka sendiri, apatah lagi membunuh diri sendiri. Larangan ini banyak disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an antaranya firman

Allah Subhanahu Wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu.”
(Surah an-Nisa 29)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)

Dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga jelas melarang umatnya daripada membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Sabda Baginda :

Maksudnya:
“Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Ayat al-Qur’an dan hadits ini jelas melarang manusia dari membunuh dan memudharatkan dirinya sendiri dan juga orang lain. Kerana seseorang manusia itu tidaklah memiliki dirinya
sendiri sehingga dia boleh sesuka hati melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Bahkan dia adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Kehidupannya adalah hak Allah Subahanahu Wa Ta‘ala
kerana Dialah yang mengurniakannya dan Dialah yang berhak ke atasnya. Begitu juga kesihatan seseorang, ia merupakan kurnia dan nikmat Allah kepadanya.

Oleh kerana itu haram seseorang menamatkan riwayat hidupnya sendiri (membunuh diri) dan memudharatkan kesihatannya padahal dia tahu bahayanya, kerana manusia dan kehidupannya adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Tidak ada perbezaan antara orang yang membunuh diri secara mengejut dengan orang yang membunuh diri secara perlahanlahan, seperti dengan memakan racun. Ini kerana kedua-duanya
mempunyai tujuan yang sama, yang berbeza hanyalah segera ataupun lambat. Tetapi natijahnya adalah sama iaitu memudharatkan atau menyebabkan kematian. Kedua-dua cara ini
sama tertegahnya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Untuk memelihara kesejahteraan umatnya, Islam juga telah menetapkan beberapa kaedah bagi menolak bahaya dan kemudharatan, antara kaedah yang digunakan para ulama dalam
menentukannya ialah :

Ertinya:
“Kemudharatan itu dihilangkan (dihindarkan).”

Maka jika sesuatu benda itu sabit mendatangkan mudharat, kerosakan dan kebinasaan, hendaklah ia dijauhi dan dihindari. Memakan, meminum dan juga menghisap benda-benda yang
memudharatkan hendaklah dielakkan bahkan ia dihukumkan haram. Tidak kira sama ada bahaya atau mudharat tersebut datang secara perlahan-lahan atau serta merta, kerana para ulama telah mengatakan bahawa bahaya secara perlahan-lahan juga adalah sama dengan bahaya yang serta merta, kedua-duanya perlu dielakkan.

Jika dilihat berdasarkan hasil kajian yang ada setakat ini menyatakan bahawa shisha itu boleh membayahakan kesihatan sebagaimana rokok, maka ia adalah haram. Kerana apabila syara‘
mengharamkan al-khaba’its (benda-benda yang keji, jijik, buruk dan seumpamanya) atau perkara yang merbahaya atau memudharatkan, ia adalah berdasarkan kaedah:
“Apa jugamakanan atau minuman yang mengandungi unsur-unsur alkhaba’its adalah haram.”
Yang mana kaedah ini didasarkan kepada ayat-ayat al-Qur’an serta hadis di atas. Maka apabila shisha itu memudharatkan, dan setiap yang memudharatkan itu haram dimakan atau diminum, maka menghisap tembakau menggunakan shisha itu juga adalah haram.

Menyentuh mengenai perkara memakan dan meminum benda yang memudharatkan dan merosakkan tubuh badan, dalam al-Qur’an Allah Subhanahu Wa Ta‘ala telah menerangkannya dengan terang dalam firmanNya:

Tafsirnya:
“Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk.”
(Surah al-A‘raf 157)

Antara maksud atau huraian perkataan al-khaba’its ialah sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan atau dari sumber-sumber yang memudharatkan. Walaupun perkataan al-khaba’its dalam ayat ini ditujukan kepada (memakan) daging babi dan riba, namun menurut al-Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala ketika mengulas ayat di
atas adalah seperti berikut:

Ertinya:
“Mengikut pendapatku: Setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat (tabiat semula jadi) dan dianggap kotor oleh jiwa, adalah memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Dan asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu haram. Oleh yang demikian, maka asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan.”

Hukum Penggunaan Shisha

Berdasarkan hasil kajian dan penyelidikan awal mengenai shisha, menunjukkan bahawa ia boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok, bahkan ia juga dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang sama yang berkaitan dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang lebih terperinci masih dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil keputusan itu nanti tidak mungkin menyatakan bahawa shisha itu selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal (preliminary research) sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap kesihatan.

Maka jelaslah bahawa menghisap tembakau menggunakan shisha membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan berbagai penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta merta, hukumnya adalah haram.

Sumber : Mufti Brunei

Isnin, 5 Julai 2010

Tujuan Penulis Buku Ini Menyebar Luaskan Ucapan-Ucapan Mereka

Perhatian : Artikel ini perlu dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Jika ada yang berkata : "
Apa sebenarnya manfaat menyebarluaskan ucapan-ucapan mereka yang seperti ini, ucapan yang dapat menitiskan air mata, meresahkan hati dan memutuskan perbicaraan.. ?

Ucapan-ucapan yang sebagaimana kita lihat telah menyifatkan Imam Mazhab yang Empat dengan himar-himar yang liar dan serupa dengan Yahudi Nasrani, menyifatkan Abu Hanifah dengan Kafir Zindiq, penduduk Dubai dan Abu Dhabi sebagai orang-orang kafir dan sesiapa yang meragui terhadap kekafiran mereka maka secara automatik juga menjadi kafir. Jema'ah Tabligh dan Jama'ah Sheikh Ahmad Yasin dikategorikan sebagai firqah-firqah moden yang sesat dan masih banyak ucapan-ucapan lain yang telah memenuhi halaman kitab-kitab para pendakwa firqah najiah.. ?

Jawapannya : "saya (Muhammad 'Adil 'Azizah al Kayali) menyebarluaskan ucapan-ucapan mereka itu bukan untuk populariti dan membongkar aib mereka yang mengucapkannya. Apa yang saya lakukan hanyalah untuk mengungkapan realiti yang ada pada para pendakwa Firqah Najiah terlebih lagi mereka menganggap bahawa ucapan-ucapan seperti itu sesungguhnya adalah pintu-pintu ilmu bahkan menurut mereka ucapan-ucapan seperti itu adalah hasil karya dan kebangaan mereka yang terbesar.

Dan tujuan mereka membukukan ucapan-ucapan seperti itu tidak lain kecuali agar orang-orang Muslim yang awam bertaqlid kepada gaya pemikiran mereka. Oleh kerana itu, kita melihat mereka begitu bergembira dan penuh semangat dalam rangka menyebarkan pemikiran-pemikiran mereka.

Padahal saya melihat bahawa pemikiran-pemikiran mereka yang didasarkan pada tatacara pandang mereka yang sempit, sesungguhnya adalah pemikiran-pemikiran yang destruktif (membawa kepada kehancuran), provokasi dan merobohkan tiang-tiang penyatuan ummat Islam serta mengikis segala upaya yang telah dilakukan oleh para ulama mukhlisin (yang ikhlas) dalam merapatkan barisan, menyatukan kalimat dan mengakrabkan seluruh kaum Muslimin sesuai dengan firman Allah :

وعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا

Ertinya : "Berpegang teguhlah kalian dengan Agama Allah dan jangan bercerai berai"

Apabila ucapan-ucapan mereka yang saya dedahkan itu menyebabkan mereka terkejut maka hendaklah mereka menyatakan taubat dan berhenti menyebarluaskan serta mengulang cetak risalah-risalah ataupun buku-buku yang memuatkan ucapan-ucapan mereka itu. Dan hendaklah mereka beristighfar kepada Allah atas apa yang telah mereka lakukan terhadap ummat dan para imam seperti tuduhan bahawa mereka telah kafir dan menyerupai Yahudi Nasrani. Sesungguhnya Allah akan menerima taubat para hambaNya.

Dan hendaklah pula mereka segera kembali kepada yang haq kerana kembali kepada yang haq lebih baik daripada berterusan dalam perkara yang batil.

Inilah yang saya ungkapkan dan saya berdoa kepada Allah subahanahu wa Ta'ala, semoga apa yang saya lakukan ini adalah satu kebenaran dalam rangka mengetengahkan intisari-intisari aqidah yang sangat penting. Jika memang saya telah melakukan kebenaran maka itu adalah semata-mata dari Allah. Dan bagi Allah lah sebagai pujian dan pengagungan.

Namun jika yang saya lakukan adalah satu kekeliruan, maka itu adalah dari diriku sendiri dan dari syaitan. Dan hanya Allah saya mohon ampun dari semua itu. Dan semoga Allah memberikan rahmatNya kepada sesiapapun yang jujur dan berilmu nantinya dapat memperlihatkan kepadaku segala aib dan cacat celaku serta memperingatkanku terhadap segala kesalahan dan kekeliruan agar aku dapat segera memperbaikinya.

Akhirnya segala pujia bagi Allah yang memiliki sekalian alam dengan puji-pujian yang kekal sesuai dengan kekekalanNya dan hanya Dialah Zat yang memiliki pujian tanpa berkeseudahan.

Begitu pula hanya Dia yang mempunyai pujian di setiap kerdipan mata dan tarikan nafas. Dan mudah-mudahan Allah senantiasa mencurahkan selawat dan salam serta berkah kepada junjungan kita Nabi Muhammad sallaLLahu 'alaihi wasallam beserta para keluarganya sebanyak bilangan makhluk ciptaanNya, sesuai dengan keredhaan ZatNya. Sesuai dengan timbangan ArasyNya, sebanyak kalimat-kalimatNya, pada setiap kali tarikan nafas dan kerdipan mata seluruh penghuni langit dan bumi. Amin Ya Robbal 'Alaminn !

Ditulis oleh
Doktor Muhammad 'Adil Azizah al Kayali
Jami' Usamah bin Zaid Suriah Halb

Isnin, 28 Jun 2010

Umur Saidatina Aisyah Ketika Berkahwin Dengan Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi wasallam

Oleh : Ustaz Muhammad Husni Ginting

Seorang ulama di india yang bernama Habibur Rahman Shiddiqi al-Kandahlawi telah menulis sebuah buku tentang umur Sayyidah Aisyah kawin dengan Rasulullah s.a.w. mungkin tujuan orang tersebut baik, tetapi jika dilihat dari efek negatifnya lebih besar dan menghancurkan sendi agama islam, kenapa saya katakan demikian? sebab beliau telah membuat orang islam ragu dengan kesohihan kitab Sohih Bukhari, sebahagian teman yang membaca permasalahan ini hanya memikirkan tentang satu permasalahan akal dan adat kebiasaan, tetapi permasalahannya adalah mencakup keberadaan pembesar-pembesar ulama islam yang telah dipercaya berabad-abad untuk di ikuti, hal ini dianggap mempermainkan sunnah dan menolak kitab Sohih Bukhari, kita masih ingat tentang hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam permasalahan di sihirnya Rasulullah s.a.w. ada sebahagian orang yang tidak mempercayai hal tersebut dan bahkan menolak hadis tentang tersihirnya Rasulullah adalah hadis yang dibuat-buat, tetapi ulama ahli sunnah wal jama`ah telah menolak seluruh dakwaan mereka dan menjelaskan bahwa hadis itu sohih, terlebih-lebih terdapat di dalam sohih Bukhari, yang jelasnya anda perlu melihat kembali kedudukan Sohih Bukhari didalam pandangan ulama ahlu Sunnah wal Jama`ah, Bagaimana pendapat anda jika seorang tidak percaya dengan Sohih Bukhari, saya kira orang tersebut tidak pantas di gelar ahlu sunnah wal jama`ah, mari kita lihat komentar Imam al-Hafizh Ibnu Hajar di dalam kitabnya al-Isobah fi Tamyizi Sohabah :
Berkata al-hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani :

" Aisyah binti Abu Bakar as-Shiddiq - telah terdahulu nasabnya didalam biografi ayahandanya Abdullah bin Abu Qahafah r.a, ibunya bernama Ummu Rumman binti `Aamir bin Uwaimir al-Kinaniyyah, dilahirkan setelah diutusnya Rasulullah s.a.w. sebagai Rasul empat tahun atau lima tahun, telah tsabit didalam Sohih al-bukhari bahwa Rasulullah saw telah mengawininya ketika beliau berumur enam tahun, menurut satu pendapat tujuh tahun, dan mungkin dapat digabungkan perselisihan pendapat ini dengan cara bahwa umur beliau telah sempurna enam tahun dan masuk kepada tujuh tahun, dan Rasulullah tinggal serumah dengan Sayyidah Aisyah ketika umurnya sembilan tahun

( lihat Isobah fi Tamyizi as-Sohabah : 4 / 478 ).

lihat juga ungkapan al-hafizh Ibnu Katsir seorang ulama yang sangat benci dengan syi`ah :

" adalah umur Sayyidah `Aisyah ketika kawin enam tahun, kemudian Rasul serumah dengannya ketika beliau ( Aisyah ) berumur sembilan tahun"
. ( lihat Bidayah Wa an-Nihayah : 8 /85 , terbitan Darul Manar Cairo ).

Lihat juga ungkapan dan nukilan Imam al-Hafizh Ibnu Abdul Bar ( wafat 463 H ) di dalam kitabnya al-Isti`ab :
" Aisyah Binti Abu Bakar shiddiq r.a. isteri Nabi Muhammad s.a.w., telah terdahulu kisah ayanya didalam bab yang khusus, ibunya Ummu Rumman binti `Aamir bin Uwaimir bin Abdu Syamsi bin`Attab bin Adzinah bin Saba` bin Dahman bin al-Harits bin Ghanam bin Malik bin Kinanah.

Rasulullah saw mengawininya di Makkah dua tahun sebelum hijrah, ini adalah pendapat Abu Ubaidah, sementara pendapat yang lainnya mengatakan tiga tahun sebelum hijrahnya nabi, ketika itu beliau ( Aisyah ) masih berumur enam tahun, dalam satu pendapat mengatakan tujuh tahun, dan Rasulullah mulai hidup bersamanya di kota Madinah ketika beliau berumur sembilan tahun, Aku tidak pernah mengetahui adanya perselisihan pendapat diantara ulama dalam permasalahan ini ( permasalan tinggal bersamanya Rasul beserta Aisyah ).
( Lihat al-Isti`ab Fi Asma`i al-Ash-Hab :4 /171 , terbitan Maktabah Mesir ).

Penulis ( Muhammad Husni Ginting ) cukupkan nukilan tiga orang tokoh ahli sejarah dan ahli hadis yang profesional dan terpercaya dalan nukilannya, agar anda melihat siapa yang sebenarnya berbicara dengan fakta yang nyata, tidak perlu menggunakan akal dan adat karena adat berbeda setiap saat, waktu dan tempat, sementara akal membenarkan terjadinya pernikahan Rasulullah.

Didalam ungkapan Imam al-hafizh Ibnu Abdul Bar sangat nyata sekali bahwa beliau memutuskan tidak adanya perbedaan pendapat didalam masa tinggal bersamanya Rasulullah dengan Aisyah di kota Madinah.


Setelah itu mari kita lihat hadis-hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari didalam Sohihnya, adapun sebab saya belakangkan riwayat Sohih Bukhari karena kita mesti melihat komentar ulama besar yang hidup setelahnya, adakah disana terdapat kritikan dalam masalah tersebut atau tidak, ternyata seluruh ulama sepakat dengan kesohihan hadis yang terdapat di kitab Sohih Bukhari, perlu kita ketahui bahwa Imam Bukhari telah menyebutkan tentang permasalahan ini didalam kitabnya lebih dari enam tempat diantaranya :

1- Kitab Manaqib al-Ansor, Bab Tazwiji an-Nabi saw Aisyah Wa Qudumiha Ila al-Madinah Wa Bina`ihi Biha, hadis nomor 3894.

2 - Kitab Manaqib al-Ansor Bab Tazwiji an-Nabi saw Aisyah Wa Qudumihi Ila al-Madinah Wa Bina`ihi Biha, hadis nomor 3896.

3 - Kitab an-Nikah , Bab Inkahi ar-Rajul Waladahu as-Shighar, nomor 5133.

4 - Kitab an-Nikah, bab Tazwiji al-Abi Ibnatahu Min al-Imam, nomor 5134.

5 - Kitab an-Nikah, bab Man Bana Bi Imara`atihi wahiya binti Tis`a Sinin, nomor 5158.

Mari kita lihat salah satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari :

قال البخاري : حدثنا محمد بن يوسف : حدثنا سفيان عن هشام، عن أبيه ،عن عائشة رضي الله عنها : أن النبي صلى الله عليه وسلم تزوجها وهي بنت ست سنين ، وأدخلت عليه وهي بنت تسع، ومكثت عنده تسعا

Artinya : Berkata Imam Bukhari : Menceritakan kepada kami Muhammad bin yusuf, berkata ia : Menceritakan kepad kami Sufyan dari riwayat Hisyam, dari riwayat ayahnya, dari riwayat Aisyah r.a : Bahwasanya Nabi s.a.w. menikahinya ketika umur beliau enam tahun, dan hidup serumah dangannya ketika umur beliau ( Aisyah ) sembilan tahun, dan beliau hidup beserta Rasul selama sembilan tahun.
( H.R Bukhari : 5133 ) .

Adapun pendapat Syeikh Habibur Rahman al-Kandahlawi mengenai hadits yang telah Imam Bukhari sebutkan bukan hadis Rasul sehingga boleh di tolak lihat kata-kata beliau :

Berkata Habibur Rahman al-Kandahlawi :
" Kami telah mengkaji dengan terperinci hadis yang di riwayatkan oleh Hisyam. Untuk kajian ini kami telah mengumpulkan bukti-bukti dari pada kitab Sohih Bukhari, Sohih Muslim , Sunan Abu Daud, Jami` Tirmidzi, Sunan Ibnu Majah, Sunan Darimi dan Musnad al-humaidi, setelah menela`ah kitab-kitab tersebut, sesuatu kemusykilan telah timbul, sebahagian perawi mengatakan riwayat tersebut sebagai kata-kata Aisyah, sedangkan setengah yang lain mengatakannya sebagai kata-kata Urwah. Yang pasti ia bukan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. ia sama ada kata-kata `Aisyah ataupun kata-kata Urwah yang merupakan seorang tabi`in, jika riwayat ini adalah perkataan Urwah , ia tidak mempunyai apa-apa nilai dalam Syari`ah. Dan kita juga tahu bahwa apabila berlaku perbedaan pendapat sama ada suatu riwayat itu Muttashil ( bersambung ) atau Mauquf ( terputus ) ulama hadis pada umumnya akan mengatakan ianya sebagai Mauquf. Berdasarkan prinsif ini bolehlah disimpulkan bahwa riwayat ini adalah cerita sejarah oleh Urwah ( dan bukan hadis ) dan tidak berdosa menolak kata-kata Urwah.


Komentar penulis ( Muhammad Husni Ginting ) : Hadis ini sebenarnya telah diriwayatkan oleh Urwah dan disandarkan ceritanya kepada Sayyidah `Aisyah sebagimana yang tertulis didalam Sohih Bukhari dan telah diceritakan oleh Urwah juga tanpa menyandarkan cerita itu kepada `Aisyah, cerita yang telah diungkapkan oleh Urwah bukanlah Mauquf tetapi Mursal sebab cerita ini ada kaitannya dengan Rasulullah s.a.w. karena setiap hadis yang bersangkut paut dengan perkataan, perbuatan, keadaan sifat dan sebagainya yang diriwayatkan oleh Tabi`in tanpa menyebutkan sahabat dihukumkan Mursal oleh ulama hadits, sementara didalam riwayat yang lain Urwah telah menyandarkan riwayat tersebut kepada `Aisyah, dengan begitu jadilah riwayat Mursal tadi menjadi Mausul ( bersambung ), sebab itulah Imam Bukhari keluarkan didalam kitabnya, bukan seperti apa yang di ungkapkan oleh Syeikh Habibur Rahman, kalaupun ungkapan itu adalah kata-kata `Aisyah tetap saja hadis itu dihukumkan hadis Marfu` sebab hadis ini menceritakan hal keadaan Rasulullah.

Anda mesti memahami kaedah yang telah ulama hadis tentukan dalam memahami muttashil atau munqathi`nya tersebut, sebahagian dari kaedah tersebut adalah :

1 - Jika seorang perawi meriwayatkan hadis yang terdapat didalamnya cerita atau kejadian, maka jika yang diriwayatkan terjadi diantara Nabi s.a.w. dan para sebahagian sahabat, sementara si perawi seorang sahabat dan menyaksikan kejadian tersebut maka hukumnya adalah Muttashil.

Kaedah ini seperti kejadian diatas, perawinya `Aisyah, kejadian tersebut diantara Nabi dan `Aisyah, dan `Aisyah menyaksikan kejadian tersebut.

2 - Jika perawinya Sahabat tetapi tidak menyaksikan kejadian tersebut maka dihukumkan Mursal Sahabat, dan mursal sahabat boleh di jadikan hujjah.

3 - Jika perawinya seorang Tabi`in maka dihukumkan Munqati` (terputus sanadnya).

4 - Jika perawi seorang Tabi`in meriwayatkan dari pada seorang Sahabat dan ia menyaksikan kejadian tersebut maka dihukumkan Muttashil, jika perawi tidak menyaksikan kejadian tersebut tetapi kejadian tersebut disandarkan kepada seorang sahabat maka hukumnya hukum Muttashil.

5 - Jika perawi seorang Tabi`in yang tidak menyaksikan kejadian dan tidak menyandarkan kejadian tersebut kepada sebahagian sahabat maka hukumnya hukum Munqati`.

( Lihat al-Mulah Min Masa`ili al-Musthalah : 126, DR. Nasir Abdul Aziz al-Kamar ).

Dari kaedah ini kita mengetahui betapa jauhnya dugaan Syeikh Habibur Rahman al-Kandahlawi.

Dengan begitu hadis yang telah diriwayatkan oleh Urwah dihukumkan Muttashil sebab beliau telah sandarkan kepada Sayyidah `Aisyah.

Adapun hujjah Syeikh Abdur Rahman al-Kandahlawi yang menyatakan bahwa yang meriwayatkan dari Hisyam adalah ulama-ulama Kufah, sementara ulama -ulama terkenal dengan aqidah mereka yang Syi`ah maka jawabanya sebagai berikut:

Penulis ( Muhammad Husni Ginting ) : Adapun ulama yang meriwayatkan hadis ini dari Hisyam adalah :

1 - Sufyan Bin Unayyah : beliau adalah ulama besar yang agung dan terpercaya seluruh ulama islam memuji dan memulyakannya, berasal dari kufah tetapi tinggal di Makkah, lahir 107 hijriyah meninggal dunia di Makkah tahun 198 hijriyah.

Berkata Imam Syafi`i : Kalaulah tidak karena Imam Malik dan Imam Sufyan niscaya hilanglah ilmu hijaz. Berkata Imam al-`Ijli : Ahli Kufah yang Tsiqah, Tsabat dalam hadis, bagus hadisnya, dia tergolong orang bijaksana dari golongan ahli hadis. berkata Imam `Ali al-Madini : tidak ada diantara muridnya Imam az-Zuhri yang lebih profisional dari Imam Ibnu Uyainah. Berkata Imam Ahmad : Tidak pernah ku lihat seorang ahli fiqih yang lebih mengetahui al-Qur`an dan sunnah kecuali Beliau . ( Tahdzibu at-Tahdzib : 2 / 721 ).

2 - Sufyan Bin Said at-Tsauri : Beliau adalah ulama besar dan kepercayaan umat, meninggal dunia pada tahun 161 hijriyah. Berkata Imam Syu`bah, Ibnu Unayyah, Abu `Ashim, Ibnu Ma`in dan selain mereka : " Sufyan Amirul Mukminin didalam ilmu Hadis. Berkata Imam Ibnu Mahdi : Imam Wahab lebih mengunggulkan Sufyan ats-Tsauri dari Imam Malik dalam hafalan. Berkata Abdullah bin Mubarak : Aku menulis hadis dari seribu seratus Syeikh, tidak ada yang paling afdhol kecuali Sufyan ats-Tsauri. ( Tahdzib at-Tahdzib : 2 / 715 ).

Berkata al-Hafizh adz-Dzahabi : Beliau seorang Yang Tsiqah, Tsabat dan al-Hafizh ( al-KAsyif : 1 / 379 )

3 - Ali bin Mushir
4 - Abu Mu`awiyah al-Farid.
5 - Waki` bin Bakar .
6 - Yunus bin Bakar.
7 - Abu Salamah.
8 - Hammad bin Zaid.
9 - Abdah bin Sulaiman.

Dan lain-lainnya.

Penulis hanya menyebutkan dua orang ulama saja dengan biografi mereka, sebab mereka berdua adalah ulama umat yang telah sepakat seluruh ulama ahlussunnah dalam keagungan dan ke tsiqahan mereka berdua, bagaimana boleh Syeikh Habiburrahman menuduh mereka dengan pendustaaan dan penipuan, tidak ada satupun ulama islam yang menyebutkan bahwa mereka berdua bermazhabkan syi`ah, bahkan mereka berdua adalah pemimpin ulama ahlussunnah.


Sampai disinilah dulu pembahasan dalam masalah perkawinan Sayyidah `Aisyah r.a., insyaallah akan saya sambung kepada hujjah yang berikutnya.

Rujukkan :

1 - al-Jami` Sohih Bukhari terbitan Darus Salam Riyadh.

2 - Kasyif karangan Imam adz-Dzahabi, cetakan Darul Kutub Hadisah, Kairo.

3 - Tahdzibu at-Tahdzib Fi Rijali hadis, karangan al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani, Darul Kutubu al-Ilmiyyah Bairut.

4 - Fathu al-Baari , karangan al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqalani, terbitan Dar al-Manar, Cairo.

5 - al-Isti`ab Fi Asma`i al-Ash-Hab, karangan al-Hafizh Ibnu Abdul Bar cetakan Maktabah Mesir Kairo.

6 - al-isobah Fi Tamyizi Sohabah, karangan al-Hafizh Ibnu Hajar al-Asqolani, terbitan Maktabah Mesir Kairo.

Sumber : Http://Allangkati.Blogspot.Com

Ahad, 20 Jun 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 5

Ahlus-Sunnah wa Al-Jamaah adalah As-Sawad Al-A’zhom

Dalam terminologi yang digunakan oleh para ulama’, maka perkataan Ahlus-Sunnah wal Jamaah sering merujuk kepada majoriti ulama’ dan umat Islam atau dikenali sebagai As-Sawad Al-A’zhom. Manhaj dan pegangan mereka merujuk kepada aliran arus perdana sejak zaman berzaman setelah mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul (mendapat penerimaan ulama’ Islam secara sepakat) yang tidak membawa kepada ruang kesesatan. Disebabkan Ahlus-Sunnah wal Jamaah ini secara penggunaannya merujuk dalam bidang aqidah, maka ianya sering merujuk kepada para ulama’ yang mengikut dua mazhab utama yang mendapat penerimaan oleh majoriti ulama’ Islam iaitulah mazhab Al-Asy’ari dan mazhab Al-Maturidi dalam bidang aqidah (di samping sebahagian Hanabilah yang masih berpegang dengan aqidah Tanzih).

Imam Ibn Rusyd Al-Maliki ketika ditanya tentang Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah, maka beliau menjawab:

“Mereka adalah yang dinamakan sebagai imam-imam yang menjadi ikutan, di mana dengan mengikuti mereka, merupakan suatu kwajiban kerana mereka membela syariat (bahkan aqidah Islam), membatalkan kesesatan fahaman yang songsang…Tiada siapa yang menyesatkan mereka melainkan dia adalah seorang yang jahil ataupun seorang ahli bid'ah”.
[Al-Fatawa 2/802]

Maka, dengan ukuran Imam Ibn Rusyd Al-Maliki Al-Jadd ini sendiri sudah secara jelas menunjukkan mereka yang menuduh Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah sebagai bid’ah sebenarnya merekalah (para penuduh tersebut) adalah ahli bid’ah kerana telah terkeluar daripada golongan As-Sawad Al-A’zhom.

Imam As-Safarini menegaskan bahawa, ahlus sunnah adalah:
golongan Athariyah (pelopornya ialah Imam Ahmad r.a.), golongan Al-Asya'irah dan golongan Al-Maturidiyah.
[Lawami' Al-Anwar Al-Bahiyyah: 73].

Cuma, golongan Athariyyah tidak mempunyai manhaj aqidah yang jelas kerana ramai pihak mendakwa mewakili golongan tersebut namun mempunyai manhaj yang saling bercanggah. Walaupun ianya lebih merujuk kepada golongan Hanabilah, namun dalam kelompok mereka juga ada pertentangan hebat khususnya antara aliran Imam Abu Fadhl At-Tamimi, Imam Ibn Al-Jauzi r.a. dan sebagainya yang berpegang dengan aqidah Tanzih dengan aliran Az-Zaghuni, Qadhi Abu Ya’la, dan sebagainya yang dituduh sebagai bermanhaj Tajsim atau Isbat Ma’na Zahir Mutasyabihat (menetapkan makna zahir bagi mutasyabihat).

Imam Az-Zabidi dalam Ittihaf Saadah Al-Muttaqin (1/6-7) juga berkata bahawa,
jika dikatakan tentang ahlus-sunnah wal jamaah, maka yang dimaksudkan adalah Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah.


Imam Ahmad ibn Hajar Al-Haithami berkata:

“Ahli bid’ah ialah orang yang berpegang dengan pegangan yang berbeza dengan aqidah Ahlus-Sunnah. Adapun Ahlus-Sunnah adalah aqidah yang dipegang oleh Abu Al-Hasan Al-Asy’ari, Abu Manshur Al-Maturidi dan mereka yang mengikut (manhaj) kedua-duanya.
[Al-Fatawa Al-Hadithiyyah m/s205]

Imam Ibn Asakir r.a. juga ada menyebut (sebagaimana telah dinukil sebelum ini):

فإن قيل أن الجم الغفير في سائر الأزمان وأكثر العامة في جميع البلدان لا يقتدون بالأشعري ولا يقلدونه ولا يرون مذهبه ولا يعتقدونه وهم السواد الأعظم وسبيلهم السبيل الأقوم قيل لا عبرة بكثرة العوام ولا التفات إلى الجهال الغتام وإنما الإعتبار بأرباب العلم والاقتداء بأصحاب البصيرة والفهم وأولئك في أصحابه أكثر ممن سواهم ولهم الفضل والتقدم على من عداهم على ان الله عزوجل

Maksudnya:

“Kalau dikatakan bahawa bilangan yang ramai dalam setiap zaman dan ramai orang awam (Al-Ammah) dalam setiap tempat tidak mengikut mazhab Al-Asy’ari (tidak mendalami perbahasan aqidah dengan manhaj Al-Asy’ari), tidak bertaqlid dengan mazhabnya, tidak melihat kepada mazhabnya dan tidak berpegang dengannya sedangkan mereka (Al-Asya’irah) adalah As-Sawad Al-A’zhom dan manhaj mereka (ulama’ Al-Asya’irah) adalah manhaj yang lurus. Maka, dikatakan (sebagai jawapan) tidak diambil kira banyaknya orang awam dan tidak dipandang (sebagai kayu pengukur) pada orang-orang jahil, kerana ukuran (As-Sawad Al-A’zhom) adalah di sisi ahli ilmu dan neraca ikutan adalah kepada Ashaab Al-Bashirah (yang mempunyai pandangan mata hati/neraca ilmu) dan kefahaman sedangkan mereka (para ulama’/ahli ilmu dan sebagainya) dalam pengikut mazhab Al-Asy’ari (Ashaabnya) lebih ramai daripada selainnya (ulama’ yang bukan Al-Asya’irah)…”
[Tabyiin Kazb Al-Muftari: 134]

Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti berkata dalam khutbah beliau berjudul Al-Asya’irah wa Al-Maturidiyyah:

من هم الأشاعرة والماتريدية؟ هم اللسان الناطق والمترجم لعقيدة السواد الأعظم لهذه الأمة، والسواد الأعظم هو ما قد أمر المصطفى صلى الله عليه وسلم باتباعه ((عليكم بالسواد الأعظم)) والأحاديث التي تركز على ضرورة اتباع السواد الأعظم من الأمة الإسلامية كثيرة، وقد بلغت فيما ذكره كثير من العلماء إلى درجة التواتر المعنوي.

Maksudnya:

Siapa Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah ini? Merekalah lisan yang bertutur dan menjelaskan tentang aqidah As-Sawad Al-A’zhom bagi Ummah ini. As-Sawad Al-A’zhom adalah apa yang diakui sendiri oleh Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- dan para pengikut Baginda dengan sabda Baginda: ((hendaklah kamu bersama dengan As-Sawad Al-A’zhom)). Hadith-hadith yang menjelaskan kepentingan mengikut As-Sawad Al-A’zhom ini amat banyak sehingga mencapai tahap Mutawatir Makna di sisi para ulama’.


[Sumber: http://www.ghrib.net/vb/showthread.php?t=11860 ]

Maka, seseorang itu hendaklah menyertai golongan majoriti ulama’ dan umat Islam atau As-Sawad Al-A’zhom yang juga disebut sebagai Al-Jamaah. Antara dalil yang menunjukkan kepentingan menyertai Al-Jamaah (majoriti ulama’ dan umat Islam) ini adalah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali”
. (Surah An-Nisa’: 115)

Imam Al-Khazin ketika menafsirkan ayat ini menafsirkan jalan orang-orang beriman tersebut dengan maksud Al-Jamaah. Bahkan, sebahagian ulama’ termasuk Imam As-Syafi’e menganggap dalil ini sebagai hujah Ijma’ dalam syariat Islam. [Tafsir Al-Khazin pada ayat berkenaan]

Kesepakatan Dalam Perkara Usul dalam Agama dan Perselisihan dalam Perkara Cabang

Imam Al-Munawi menyebutkan tentang As-Sawad Al-A’zhom dan Al-Jamaah:

((
وعليكم بالجماعة)) أي أركان الدين والسواد الأعظم من أهل السنة أي الزموا هديهم فيجب اتباع ما هم عليه من العقائد والقواعد وأحكام الدين

Maksudnya: “((Hendaklah kamu bersama dengan Al-Jamaah)) iaitu berpegang dengan rukun-rukun agama dan As-Sawad Al-A’zhom dari kalangan Ahlus-Sunnah. Iaitu, kamu ikutilah petunjuk mereka. Maka hendaklah seseorang itu mengikut apa yang mereka berpegang dengannya daripada Aqidah (Mazhab Aqidah), Qawa’id (Usul Aqidah dan Usul Fiqh) dan Hukum Agama (Mazhab Fiqh).
[Al-Faidh Al-Qadir 3/101]

Lihatlah Imam Al-Munawi membuat kesimpulan bahawasanya Al-Jamaah adalah suatu:

Rukun-rukun agama
As-Sawad Al-A’zhom
Ahlus-Sunnah

Maksudnya, berpegang dengan As-Sawad Al-A’zhom bererti berpegang dengan Ahlus-Sunnah. Berpegang dengan Ahlus-Sunnah bererti berpegang teguh dengan rukun-rukun agama. Berpegang dengan rukun-rukun agama tersebutlah bererti berpegang teguh dengan Al-Jamaah.

Maka, bagaimana dapat berpegang dengan As-Sawad Al-A’zhom? Imam Al-Munawi menyebutkan bahawasanya, kita perlu mengikut manhaj mereka dalam perkara-perkara aqidah, usul dan fiqh. Manhaj yang dimaksudkan sudah tentulah mazhab-mazhab Ahlus-Sunnah wal Jamaah samada dalam bidang aqidah, usul mahupun bidang fiqh. Maka, dalam tradisi pewarisan Ilmu Nabawi, ada mazhab-mazhab yang berkembang dalam bidang fiqh dan dalam bidang aqidah yang mendapat penerimaan majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman. Maka, mazhab-mazhab tersebutlah yang perlu dipertahankan kerana mazhab-mazhab tersebutlah manhaj dan kerangka umum bagi Ahlus-Sunnah wal Jamaah itu sendiri. Hal ini jelas bagi mereka yang memahami tradisi perkembangan ilmu dan konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul dalam tradisi keilmuan Islam. Manhaj dan mazhab tersebut dikenali juga sebagai aliran arus perdana dalam kalangan ulama’ Islam khususnya melibatkan masalah-masalah usul agama (bukan furu’).

Rabu, 16 Jun 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 4

Penjelasan tentang Hadith Al-Ghuraba’

Sesetengah pihak turut menjadikan hadith Ghuraba’ dalam menolak konsep As-Sawad Al-A’zhom sebagai majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman padahal hadith Ghuraba’ menceritakan tentang kurangnya dari kalangan masyarakat Islam sendiri yang ingin mengamalkan agama Islam secara sempurna walaupun ketika itu mereka sudah ramai. Ia sama sekali tidak bertentangan majoriti para ulama’ yang masih berpegang kepada manhaj dan asas kebenaran dalam agama.

Lihatlah perkataan Imam As-Sindi dalam mensyarahkan hadith Al-Ghuraba’ dengan berkata:


بِقِلَّةِ مَنْ يَقُوم بِهِ وَيُعِين عَلَيْهِ وَإِنْ كَانَ أَهْله كَثِيرً



Maksudnya: “((Akan kembali asing)) dengan sedikitnya orang yang mendirikannya (mengamalkannya) dan membantunya walaupun ramai ahlinya (penganut agama Islam).”
[Syarah Sunan Ibn Majah: no: 3976]

Hadith ini juga tidak menafikan sama sekali konsep kebenaran yang tetap bersama dengan majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam sebagaimana yang disebut dalam hadith As-Sawad Al-A’zhom. Ini kerana, kedua-dua hadith (hadith As-Sawad Al-A’zhom dengan hadith Al-Ghuraba’) membincangkan dua konteks yang berbeza. Hadith As-Sawad Al-A’zhom menjelaskan tentang majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam dalam bidang agama yang tidak akan sesat dalam masalah usul agama sedangkan hadith Al-Ghuraba’ menceritakan tentang sedikitnya orang Islam yang mengamalkan agama dengan sempurna. Jadi, sangat berbeza antara “berpegang kepada kebenaran pada perkara usul” dengan “mengamalkannya secara sempurna”. Bahkan, berbeza juga antara membandingkan keseluruhan masyarakat Islam dengan majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman yang disebut sebagai As-Sawad Al-A’zhom itu sendiri.


Oleh sebab itulah dalam Musnad Imam Ahmad ada menyebut syarah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam tentang Al-Ghuraba’ iaitulah:


الذين يصلحون إذا فسد الناس

Maksudnya:

“Mereka yang melakukan kebaikan ketika manusia sudah rosak (banyak melakukan keburukan)”.
[hadith riwayat Imam Ahmad, no: 16049]

Dalam hadith Mursal pula ada menyebut maksud Al-Ghuraba’, bahawasanya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الذين يزيدون اذا نقص الناس



Maksudnya: “Mereka yang bertambah (amalan mereka) ketika manusia berkurangan (amalan mereka)”
[Madarij As-Salikin: 3/203]



Dalam suatu penjelasan yang lain berbunyi:



الذين يحيون سنتي ويعلمونها عباد الله



Maksudnya: “(Al-Ghuraba’) adalah mereka yang menghidupkan sunnahku dan mengajarkannya kepada para hamba Allah”.
[riwayat Imam Al-Bazzar (no:3287) dalam Kasyf Al-Astar, Imam Al-Khatib dalam Syarf Ashab Al-Hadith (m/s: 38) dan Ibn Abdil Bar dalam Jami’e Bayan Al-Ilm]



Maksudnya, mereka (Al-Ghuraba’) ini masih lagi mengamalkan ajaran murni Islam secara lengkap dan sempurna kerana kesempurnaan iman mereka, berbanding dengan ramai manusia yang sudah tidak lagi mahu mengamalkan ajaran Islam secara sempurna. Namun, aqidah dan kebenaran tetap bersama dengan majoriti ulama’ Islam dan majoriti umat Islam yang mengikut para ulama’ tersebut. Oleh yang demikianlah, konsep Al-Ghuraba’ dalam hadith ini sedikit pun tidak menolak maksud As-Sawad Al-A’zhom sebagai majoriti ulama’ Islam yang memimpin bidang agama majoriti umat Islam sejak zaman berzaman secara keseluruhan dari zaman awal Islam sehingga hari ini atau lebih dikenali sebagai manhaj arus perdana.



Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله

Maksudnya:

Sentiasa satu golongan daripada umatku akan menonjol (terzahir) di atas kebenaran yang tidak dapat dimudaratkan oleh mereka yang cuba menyaingi golongan tersebut sehinggalah datangnya urusan Allah (Hari Kiamat).




[Hadith riwayat Imam Muslim, no: 3544]



Imam An-Nawawi r.a. juga mensyarahkan hadith ini dengan menyebut:



وَأَمَّا هَذِهِ الطَّائِفَة فَقَالَ الْبُخَارِيّ : هُمْ أَهْل الْعِلْم , وَقَالَ أَحْمَد بْن حَنْبَل : إِنْ لَمْ يَكُونُوا أَهْل الْحَدِيث فَلَا أَدْرِي مَنْ هُمْ ؟ قَالَ الْقَاضِي عِيَاض : إِنَّمَا أَرَادَ أَحْمَد أَهْل السُّنَّة وَالْجَمَاعَة , وَمَنْ يَعْتَقِد مَذْهَب أَهْل الْحَدِيث , قُلْت : وَيَحْتَمِل أَنَّ هَذِهِ الطَّائِفَة مُفَرَّقَة بَيْن أَنْوَاع الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُمْ شُجْعَان مُقَاتِلُونَ , وَمِنْهُمْ فُقَهَاء , وَمِنْهُمْ مُحَدِّثُونَ , وَمِنْهُمْ زُهَّاد وَآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَاهُونَ عَنْ الْمُنْكَر , وَمِنْهُمْ أَهْل أَنْوَاع أُخْرَى مِنْ الْخَيْر , وَلَا يَلْزَم أَنْ يَكُونُوا مُجْتَمعِينَ بَلْ قَدْ يَكُونُونَ مُتَفَرِّقِينَ فِي أَقْطَار الْأَرْض


Maksudnya:

“Adapun At-Tho’ifah ini maka:-

Imam Al-Bukhari berkata: Mereka adalah ahli ilmu.

Imam Ahmad bin Hanbal r.a. berkata: Kalau mereka bukan ahli hadith, maka saya tidak tahu siapa mereka.

Imam Al-Qadhi Iyadh Al-Maliki berkata: Imam Ahmad bermaksud mereka adalah Ahlus-Sunnah wal Jamaah dan mereka yang berpegang dengan mazhab ahli hadith.


Saya katakan (Imam An-Nawawi):
Golongan ini membawa maksud yang pelbagai dalam jenis orang-orang beriman yang berbeza yang mana antara mereka adalah para pejuang yang berani, para fuqaha’, para ahli hadith, ahli zuhud, mereka yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan dan sebahagian mereka adalah mereka yang dari golongan-golongan lain dalam kebaikan. Mereka ini tidak semestinya berhimpun (di sesuatu tempat atau dalam sesuatu golongan) tetapi boleh juga terpisah-pisah di serata pelusuk dunia.”
[Syarah Imam An-Nawawi kepada hadith tersebut]



Jadi, Imam An-Nawawi r.a. sendiri menceritakan tentang golongan yang ramai yang sentiasa menonjol dalam masyarakat Islam dan tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana pihak yang menyalahi mereka. Golongan tersebut adalah ahli ilmu dan para ulama’ yang berpegang kepada manhaj yang benar dalam perkara-perkara usul.



Konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul dalam Manhaj Keilmuan Islam



Konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul adalah suatu konsep asas dalam membentuk manhaj dalam aliran As-Sawad Al-A’zhom. Ini kerana, kitab-kitab karangan ulama’, manhaj dan disiplin ilmu agama sentiasa berkembang mengikut keperluan semasa dan kepentingan dalam menjaga kefahaman agama yang sahih. Setiap manhaj yang tumbuh dan disiplin ilmu baru yang berkembang dalam insititusi ulama’ sentiasa dinilai dan dikaji secara adil berdasarkan ukuran keilmuan oleh para ulama’. Maka, setiap disiplin dan manhaj yang diterima oleh As-Sawad Al-A’zhom (majoriti ulama’ Islam) akan terus dipertahankan kerana mereka tidak akan sepakat dalam kesesatan.



Selain daripada konsep penerimaan ramai ulama’ tentang kitab-kitab karangan ulama’, konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul juga berlaku dalam manhaj atau metodologi keilmuan Islam dalam rangka menjaga manhaj tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan manhaj keilmuan Islam ini adalah, suatu struktur atau kerangka umum yang menghimpunkan kaedah-kaedah dan disiplin keilmuan untuk berinteraksi dengan sumber agama secara sahih dalam usaha untuk memahami ajarannya secara sahih.



Dalam perkembangan ilmu mengenai hukum-hakam syariat Islam, ilmu fiqh pada awalnya berkembang sebagai sarana yang menghimpunkan ijtihad-ijtihad ulama’ berdasarkan sumber agama seperti Al-Qur’an, As-Sunnah dan sebagainya. Maka, sejajar dengan perkembangan ilmu-ilmu yang menjaga sumber agama seperti ilmu Nahu, Ilmu Rijal, Ilmu Qiraat dan sebagainya, ilmu-ilmu lain yang menjaga manhaj sahih dalam berinteraksi dengan sumber agama juga turut berkembang. Ilmu itu akhirnya dikenali sebagai Usul Fiqh.

Perpaduan antara Ilmu Fiqh yang merangkumi ijtihad para ulama’ dengan ilmu Usul Fiqh akhirnya dikenali sebagai mazhab fiqh. Ia adalah nama lain bagi suatu manhaj atau disiplin ilmu dalam memahami syariat Islam melalui sumbernya. Empat mazhab fiqh mendapat penerimaan dalam kalangan ulama’ Islam secara meluas walaupun pada awalnya, masih banyak mazhab-mazhab fiqh ulama’ lain yang berkembang dalam masyarakat Islam di zaman salaf.

Namun, Allah s.w.t. memelihara empat mazhab fiqh ini (iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali) dan ianya diterimapakai malah dikembangkan oleh para ulama’ Islam yang berkhidmat terhadap mazhab masing-masing. Setelah itu, tradisi Tamazhub (bermazhab) menjadi suatu tradisi yang diterima pakai oleh para ulama’ Islam secara sepakat. Tradisi Tamazhub (bermazhab) dalam kalangan ulama’ Islam sebenarnya bukanlah suatu tradisi Taqlid atau berpegang kepada sesuatu perkataan tanpa dalil, tetapi tradisi bermazhab yang diamalkan oleh ulama’ Islam adalah suatu tradisi Ittiba’ Manhaji atau mengikuti seseorang ulama’ dari sudut metodologi dan disiplin dalam berijtihad dan menggali hukum syarak daripada sumbernya.


Hatta, para ulama’ yang menerima dan mengikut sesuatu mazhab fiqh sebenarnya memperjuangkan mazhab yang dipegang dan menyebarkannya atas dasar Ijtihad mereka terhadap kebenaran sesuatu Manhaj fiqh tersebut dalam neraca umum Islam. Oleh sebab itulah, tradisi bermazhab dalam ulama’ Islam tidak boleh disamakan dengan amalan Kristian yang sekadar bertaqlid kepada para paderi mereka terdahulu tanpa suluhan wahyu kerana dari sudut sumber agama mereka sahaja sudah diragui.



Ia berbeza dengan masyarakat awam di mana masyarakat awam pada asasnya tidak mengamalkan tradisi bermazhab dalam erti kata yang khusus kepada mazhab-mazhab besar tersebut secara langsung, tetapi lebih bersifat bertalqid kepada para ulama’ dan para mufti tempatan yang menjaga urusan agama di tempat mereka. Ini kerana, mereka tidak menguasai disiplin ilmu untuk menggali hukum hakam secara sendirian dan tidak menguasai kerangka usul sesuatu mazhab sehingga dapat berinteraksi dengan sesuatu mazhab secara langsung. Secara asasnya, taqlid berbeza dengan ittiba’ yang boleh dilihat perbahasannya dalam kitab-kitab Usul Fiqh walaupun kedua-duanya adalah antara bentuk-bentuk tamazhub (tradisi bermazhab).

Tradisi bermazhab berkembang berdasarkan penilaian para ulama’ terhadap kesempurnaan manhaj penggalian hukum dan pendalilan para ulama’ mujtahid mustaqil (terasing) yang telah mereka susun seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafi’e dan Imam Ahmad. Lalu, para fuqaha’ yan lahir setelah mereka khususnya yang mempelajari ilmu fiqh daripada para ashaab (murid-murid) para imam tersebut hanya mengembangkan sahaja manhaj para imam mujtahid tersebut. Maka, walaupun pintu ijtihad tidak ditutup sepenuhnya tetapi tiada ruang lagi untuk membuat suatu manhaj tersendiri yang baharu yang belum pernah disusun oleh para mujtahid terdahulu.

Imam Az-Zarkasyi berkata tentang perkara ini:

وهذا كله يوضح أن الضرورة دعت المتأخرين إلى اتباع المتقدمين ، لأنهم سبقوهم بالبرهان حتى لم يبقوا لهم باقية يستبدون بها ، وذلك فضل الله يؤتيه من يشاء ، ولكن الفضل للمتقدم ، وظهر بهذا تعذر إثبات مذهب مستقل بقواعد


Maksudnya:

“Ini semua menunjukkan bahawasanya sangat penting bagi golongan ulama’ terkemudian untuk mengikut golongan ulama’ terdahulu kerana mereka sudah mendahulu mereka (golongan terkemudian) dari sudut penguasaan dalil-dalil sehingga tiada lagi tersisa bagi mereka (ulama’ terkemudian) untuk menzahirkan dengannya (dalil-dalil lain). Inilah kelebihan Allah yang diberikan kepad sesiapa yang Dia kehendakinya. Akan tetapi, kelebihan tersebut ada pada golongan ulama’ terdahulu, maka terzahirlah suatu keuzuran dalam menetapkan suatu mazhab lain yang tersendiri dengan kaedah-kaedah (tersendiri)…”
[Al-Bahr Al-Muhith 8/217]



Oleh sebab itulah kita perlu fahami, di mana, sebahagian para fuqaha’ menjelaskan bahawasanya pintu Ijtihad sudah tertutup itu sebenarnya bererti, suatu Ijtihad dengan mengadakan sebuah mazhab tersendiri yang baharu, yang berbeza dengan mazhab-mazhab yang sudah diterima oleh ummah samada Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafi’e mahupun Mazhab Hanbali. Oleh yang demikian, sebahagian para fuqaha’ lain masih berpegang kepada pintu Ijtihad masih terbuka iaitulah Ijtihad Tarjihi (menguatkan salah satu daripada pendapat para ulama’ yang saling berselisihan) dan Ijtihad dalam masalah yang baharu.



Imam Al-Khattab berkata:

التقليد هو الأخذ بقول الغير من غير معرفة دليله ، والذي عليه الجمهور أنه يجب على من ليس فيه أهلية الاجتهاد أن يقلد أحد الأئمة المجتهدين سواء كان عالما أو ليس بعالم

Maksudnya:

Taqlid adalah mengambil perkataan orang lain tanpa mengetahui dalilnya. Maka, majoriti ulama’ mengatakan bahawasanya wajib bagi orang yang tidak mempunyai keahlian untuk berijtihad agar bertaqlid kepada para imam mujtahid samada orang tersebut seorang yang berilmu atau tidak.
[Mawahib Al-Jalil 1/30]



Imam Al-Ghazali r.a. berkata:

مسألة تقليد العامي للعلماء: العامي يجب عليه الاستفتاء واتباع العلماء

Maksudnya:

Masalah pada taqlid seorang awam kepada ulama’. Maka, seorang awam perlu meminta fatwa daripada para ulama’ dan mengikut para ulama’.
[Al-Mustashfa: 1/372]



Oleh sebab itulah kita dapati, para ulama’ hadith yang menguasai bidang Riwayah juga tetap mengikut mazhab fiqh para ulama’ mujtahid yang mendapat penerimaan ulama’ Islam secara sepakat. Ini kerana, mazhab fiqh sudah menghimpunkan sudut Dirayah dan Riwayah dalam bidang syariah Islamiyyah.

Antara para ulama’ hadith yang bermazhab adalah:

Bermazhab Hanafi: Imam At-Tahawi, Imam Az-Zil’ie, Imam Al-‘Aini, Imam Al-‘Ala’ie, Imam Al-Muttaqi Al-Hindi, Imam Al-Mubarakfuri, Imam Al-Azhimabadi, Imam Al-Laknawi, Imam Al-Kandahlawi dan sebagainya.

Bermazhab Maliki: Imam Ibn Abdil Bar, Imam Al-Qadhi ‘Iyadh, Imam Ibn Al-Munir, Imam Ibn Bathal, Imam Ibn Arabi, Imam Ar-Zarqani dan sebagainya.



Bermazhab Syafi’e: Imam Abu Zur’ah, Imam Ibn Abi Hatim, Imam At-Tirmizi, Imam Ibn Khuzaimah, Imam Ad-Darqutni, Imam Al-Hakim, Imam Al-Baihaqi, Imam Ar-Ruyani, Imam Al-Khatib Al-Baghdadi, Imam Ibn ‘Asakir, Imam Ibn As-Sholah, Imam An-Nawawi, Imam Al-‘Iraqi, Imam Ibn Jama’ah, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani, Imam As-Sakhawi, Imam As-Suyuti, Imam Al-Munawi dan sebagainya.

Bermazhab Hanbali: Imam Abu Daud, Imam An-Nasa’ie, Imam Al-Khallal, Imam Ibn Al-Jauzi, Imam Al-Maqdisi, Imam Ibn Rajab dan sebagainya.

[rujuk kitab At-Tamazhub m/s 111 oleh Sheikh Abdul Fattah Al-Yafi’e]


Maka, penerimaan ulama’ Islam terhadap keempat-empat mazhab fiqh tersebut adalah hasil ijtihad mereka dalam mempertahankan mazhab-mazhab tersebut terutamanya sebagai disiplin ilmu untuk memahami nas dalam bab syariat. Maka, penerimaan para ulama’ terhadap mazhab-mazhab fiqh ini menunjukkan ianya diterima baik dalam tradisi keilmuan Islam. Sebagaimana kedudukan Sahih Al-Bukhari yang diterima oleh para ulama’ secara menyeluruh sebagai sumber agama paling sahih selepas Al-Qur’an lalu ianya tidak dipertikaikan lagi, begitu jugalah mazhab-mazhab fiqh sebagai disiplin untuk menggali hukum daripada sumber agama.

Ramai orang awam tidak memahami tradisi bermazhab dalam kalangan ulama’ Islam lalu menyangka bermazhab hanya sebagai mengikut perkataan seseorang ulama’ semata-mata. Jika seseorang ulama’ berbeza pendapat dengan ulama’ sesuatu mazhab bererti sudah menyalahi mazhab imam tersebut. Ini suatu kekeliruan yang nyata berdasarkan neraca keilmuan yang sebenar.

Oleh kerana itu didapati berlaku perbezaan pendapat antara sebahagian Fuqaha’ Syafi’iyyah dengan pendapat dan ijtihad asal Imam As-Syafi’e dalam sesuatu masalah, namun tidak menjadikan para Fuqaha’ Syafi’iyyah tersebut terkeluar daripada disiplin mazhab As-Syafi’e kerana secara asasnya, mengikut mazhab seseorang ulama’ itu merujuk kepada mengikut kerangka usul Fiqh dalam sesuatu mazhab tersebut di samping ijtihad mereka. Oleh sebab itulah muncul istilah seperti Ashab Al-Wujuh (para ulama’ yang mana ijtihad mereka dirujuk dalam sesuatu mazhab), Al-Mu’tamad fi Al-Mazhab (Ijtihad yang muktamad dalam sesuatu mazhab fiqh) dan sebagainya. Mazhab Fiqh bukanlah suatu mazhab yang merujuk kepada pelopor utamanya sahaja (yang dikenali sebagai Imam Al-Mazhab), tetapi merujuk kepada para Fuqaha’ yang mengembangkan mazhab seseorang imam itu juga.

Sepertimana dalam mazhab dalam bidang fiqh, dalam bidang aqidah juga wujud mazhab-mazhab yang mencapai tahap penerimaan ulama’ Islam secara majoriti. Mazhab-mazhab tersebut adalah mazhab Al-Asy’ari dan mazhab Al-Maturidi. Mazhab-mazhab ini adalah penerus kepada pegangan As-Salaf As-Sholeh dalam masalah aqidah tetapi dirangka dalam bentuk yang lebih teratur dengan gabungan hujah secara naqli dan aqli.

Akhirnya, kedua-dua mazhab ini mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul dan terus dikembangkan oleh majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman. Ini menunjukkan keagungan dan keutuhan mazhab aqidah tersebut dalam konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul di sisi majoriti ulama’ Islam. Kedua-dua golongan ini (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah) akhirnya lebih dikenali sebagai Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Imam Az-Zabidi meriwayatkan dalam kitab tersebut bahawa: Imam Al-Khayali berkata dalam Hasyiyah ‘Ala Syarh Al-‘Aqa’id :
“Al-Asya’irah adalah ahlus-Sunnah wal Jamaah…Disebutkan juga Ahlus-Sunnah wal Jamaah kepada golongan Al-Maturidiyyah pengikut Imam Abu Manshur Al-Maturidi…”
[Ittihaf Saadah Al-Muttaqin]