CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Selasa, 14 Januari 2014

Fatwa Sebenar Ulama Al-Azhar As-Syarif Seputar Maulid Nabi SAW


Oleh Ustaz Azam Qaradhawy bin Husni

Respon kepada artikel: http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/05/fatwa-fatwa-ulamaa-ulamaa-besar-al.html

Bismillah..



Video: Bacaan Kitab Al-Mauridul Haniy Fi Maulid As-Saniy karya Imam Al-Hafiz Al-Iraqi yang saya hadhiri sempena sambutan Maulid Nabi SAW di Masjid Al-Azhar As-Syarif pada tahun lalu, 1433H yang dihadhiri oleh para ulama besar Al-Azhar dan dunia antaranya pakar hadis di bumi Syam, Syiria Al-Muhaddith Syaikh Nuruddin 'Itr, Pakar hadis di Mesir Al-Muhaddith Syaikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith Al-Kattani, Al-Muhaddith Syaikh Ahmad Ma'bad Abdul Karim (digelar pakar 'ilalul hadith dunia), pakar ilmu kalam/aqidah Dr. Syaikh Jamal Farouk Ad-Daqqaq, Al-Allamah Syaikh Taha Dasouqi Hubaisyi, Al-Allamah Dr. Yusri Rusyi Sayid Jabr( doktor pakar perubatan yang faqih, pakar hadith dan qiraat ), Syaikh Muhammad Abdul Rahim Badruddin, Al-Allamah Al-Mutafannin Dr. Usamah Sayyid Al-Azhari hafizahumullah dll.

Akhir zaman ini, kita dapat lihat pelbagai macam golongan dan karenah. Antara yang paling dahsyat adalah golongan jahil yang merasakan diri mereka alim, lalu menyalahgunakan fatwa ulama. Saya hanya bersangka baik terhadap mereka. Mungkin mereka tersilap dalam mencari kebenaran dan terhijab dari cahaya ilmu yang murni. Namun yang amat menyedihkan bagi saya adalah golongan ini membawa pencemaran terhadap nama institusi Al-Azhar As-Syarif dengan memutarbelitkan fatwa mereka hanya untuk memenangkan pendapat sesetengah pihak dan taasub buta.

Al-Azhar As-Syarif yang telah tersohor rantaian manhajnya yang adil dan terbuka dari dahulu hingga kini terhindar dari fitnah-fitnah tersebut yang mana kononnya ulama Al-Azhar As-Syarif melarang sambutan maulid Nabi SAW, sedangkan yang mereka larang adalah maksiat dan perkara yang haram yang dilakukan di dalam majlis maulid tersebut!

Mari kita kaji sejauh mana kebenaran sebuah kitab berjudul Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif Haul al-Adhrihah wa al-Qubur wa al-Mawalid wa al-Nuzur (Fatwa Para Ulama’ Besar al-Azhar as-Syarif berkenaan Perkuburan, Kubur, Maulid-maulid dan Nazar-nazar) yang diterbitkan oleh Dar al-Basya’ir sebagaimana yang dirujuk oleh tuan blog Ansarul-Hadis di atas.

Ia boleh didapati di sini: http://waqfeya.com/book.php?bid=7054 .

Saya cuba mendapatkan buku tersebut lalu melihat beberapa nama ulama’ Al-Azhar yang cuba dikaitkan dalam isu Maulid ini. Antara nama-nama yang disebutkan adalah:

Sheikhul Azhar Sheikh Mahmud Syaltut
Sheikhul Azhar Sheikh Abdul Majid Salim
Sheikh Muhammad Husain Zahabi (Wazir al-Auqaf)
Sheikh Ali Mahfuz dalam Kitab Al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’
Shohib al-Samahah Sheikh Hasanain Makhluf

Saya tertanya-tanya tentang tujuan asal buku ini ditulis. Jika buku ini disusun secara adil bersesuaian dengan tajuknya iaitu “Fatwa-fatwa Para Ulama’ Besar Al-Azhar as-Syarif”, maka, masih ramai lagi para ulama’ besar al-Azhar bahkan lebih besar daripada nama-nama yang disebutkan ini, yang membahaskan dan memberi fatwa tentang hukum Maulid.

Bahkan, nama-nama yang menulis kata-kata aluan dalam buku tersebut bukanlah termasuk dalam kalangan para ulama’ besar al-azhar as-syarif walaupun tidak dinafikan ada yang mengajar di al-azhar. Jadi, mengapa nama-nama yang di atas sahaja yang diambil sebagai rujukan atau fatwa-fatwa mereka sahaja dimuatkan dalam buku ini pada bab maulid ini?

Bahkan, cara fatwa-fatwa ini disusun juga tidak menunjukkan kepada sebuah kesimpulan yang jelas tentang hukum Maulid dan topik Maulid yang dibincangkan. Kita perlu fahami terlebih dahulu, kerangka pemikiran al-Azhar tidak seperti kerangka pemikiran fahaman Salafi iaitu apa yang tidak dilakukan oleh as-Salaf bererti ianya suatu kesalahan, kesesatan ataupun bid’ah yang membawa orang-orang yang melakukannya masuk neraka.

Institusi al-Azhar secara sejarahnya, manhajnya dan pengalaman keilmuannya, selalunya akan bersifat wasathiyyah (pertengahan atau adil) terutamanya dalam isu-isu yang mempunyai perbezaaan pendapat padanya dalam kalangan para ulama’.

Ketika saya membaca kitab yang dimaksudkan, penyusun secara sengaja ataupun tidak, tidak fokus terhadap sesuatu isu. Adakah yang cuba dibincangkan adalah tentang keumuman upacara Maulid ataupun upacara Maulid An-Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam secara khusus. Ini kerana, dalam fatwa-fatwa yang dinukilkan, sebahagiannya hanya tentang membuat sambutan Maulid para wali (bukan Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam) dengan cara-cara yang tidak pernah dilakukan dalam suasana masyarakat Islam di Malaysia secara khusus sebagaimana cuba disebut oleh Sheikhul Azhar Sheikh Mahmud Syaltut dan dinukilkan dalam kitab ini.

Pendirian Asas al-Azhar dalam Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam

Secara asasnya, sepanjang saya membaca kebanyakan fatwa para ulama’ al-Azhar dalam isu Maulid, samada fatwa-fatwa mereka yang disenaraikan dalam buku ini mahupun fatwa-fatwa para ulama’ al-Azhar (atau Mesir) yang lain, maka ianya kembali kepada kesimpulan ini:-

Pertama: Upacara Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam (ataupun maulid para ulama’ dan sebagainya) tidak pernah dilakukan oleh para salaf sholeh. Namun, itu tidak menjadikan upacara ini ketika diadakan oleh generasi kemudian, ianya suatu perkara yang bid’ah yang sesat kerana sekurang-kurangnya para ulama’ Al-Azhar memahami bid’ah itu ada hasanah dan ada yang mazmumah (tercela), dan tidak memahami bid’ah secara wahabi melainkan segelintir mereka.

Kedua: Upacara Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam yang mengandungi pujian kepada Allah s.w.t., pujian dan selawat ke atas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, membaca sirah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, berhimpun dalam keadaan yang bersesuaian dengan syarak, memberi makan kepada tetamu dan sebagainya, yang tidak mengandungi perkara-perkara haram, maka, hukumnya adalah dibolehkan bahkan sebahagian ulama’ menegaskan bahawa ianya adalah sunat. Tidak ada ulama’ al-Azhar yang muktabar mengharamkan apatah lagi membid’ahkan upacara Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam dalam bentuk yang baik ini kerana tidak ada perkara-perkara haram di dalamnya.

Ketiga: Upacara yang dinisbahkan kepada Maulid dan sebagainya yang mengandungi perkara-perkara yang haram seperti percampuran antara lelaki dengan perempuan, hiburan-hiburan nyayian yang melampau dan sebagainya, maka ianya ditolak oleh para ulama’ al-Azhar. Bahkan, ramai ulama’ al-Azhar yang diambil fatwa mereka dalam buku Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif Haul al-Adhrihah wa al-Qubur wa al-Mawalid wa al-Nuzur ini menolak Maulid pada bentuk kedua ini, iaitu yang mengandungi perkara-perkara yang haram termasuklah dalam fatwa Sheikh Ali Mahfuz dalam kitab Al-Ibda’ dan perkataan Sheikh Husain al-Zahabi dalam Al-Ahram.

Fatwa Semasa Dar al-Ifta al-Misriyyah

Di sini, fatwa Dar al-Ifta al-Misriyyah (oleh guru kami Mufti terkini Mesir, Shohib as-Samahah Sheikh Dr. Ali Jum’ah) menjelaskan tentang hukum bolehnya menyambut hari-hari bersejarah dalam Islam termasuklah menyambut hari kelahiran Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.

[Rujuk: http://www.dar-alifta.org/viewMindFatawa.aspx?ID=74&LangID=1]

Seorang ulama’ al-Azhar dan bekas Mufti Mesir, Sheikh Nasr Farid Washil menyebut tentang hukum Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam:

“Sambutan Maulid Nabi ini tidak pernah dilakukan oleh generasi pertama dari kalangan as-salaf as-sholeh walaupun mereka sangat mengagungkan dan mencintai Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam yang mana kita tidak mampu menghimpunkan cinta yang mampu menyamai cinta salah seorang daripada mereka mahupun sebesar zarrah dibandingkan dengan mereka. Namun, ia adalah upacara yang baik jika bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang soleh, berselawat ke atas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, memberi makan orang-orang fakir dan sebagainya. Maka, ia akan diberi ganjaran dengan tujuan demikian pada bila-bila masa sahaja ianya dilakukan.

[Sumber: http://www.dar-alifta.org/ViewGeneral.aspx?ID=61 ]

Al-Imam al-Akbar Sheikh Ali Jad al-Haq ( Juga bekas Mufti Mesir pada tahun 1978) sendiri menulis sebuah artikel yang sangat indah dalam memperingati dan menyambut Maulid an-Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam yang berjudul “Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam Al-Rasul al-Qudwah”.

[Rujuk: http://www.dar-alifta.org/ViewGeneral.aspx?ID=66 ]

Perkataan Sheikh Ali Mahfuz dalam Kitab Al-Ibda’

Ketika penulis membaca kitab Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif Haul al-Adhrihah wa al-Qubur wa al-Mawalid wa al-Nuzur ini, fatwa Sheikh Ali Mahfuz dinukilkan secara terputus-putus dan tidak sampai maksud sebenar Sheikh Ali Mahfuz sama sekali bahkan seolah-olah berlawanan dengan maksud sebenar Sheikh Ali Mahfuz. [Sila dapatkan kitab asal Sheikh Ali Mahfuz di sini: http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1587 ]

Walaupun Sheikh Ali Mahfuz menyebut bahawasanya upacara Maulid ini diasaskan pada daulah Fathimiyyah dan sebagainya, namun itu bukanlah asas bahawa beliau menolak upacara maulid. Pendirian sebenar beliau dalam bab Maulid tidak dizahirkan dalam kitab Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif Haul al-Adhrihah wa al-Qubur wa al-Mawalid wa al-Nuzur ini namun lebih menzahirkan salah satu pendapat yang dibincangkan oleh Sheikh Ali Mahfuz.

Setelah Sheikh Ali Mahfuz menjelaskan sejarah upacara Maulid, lalu beliau menyebut dalam kitab asal beliau Al-Ibda’ (m/s: 231):

“Tidak ada perselisihan bahawasanya ia (upacara Maulid ini) adalah suatu bid’ah. Tetapi, para ulama’ berbeza pendapat adakah ianya bid’ah Hasanah (yang baik) ataupun bid’ah yang buruk?”

Perkataan seringkas ini tidak dinukilkan oleh penyusun buku Fatawa Kirab Ulama’ Al-Azhar as-Syarif ini padahal ini adalah nota yang paling penting dalam merujuk kepada fatwa Sheikh Ali Mahfuz. Beliau tahu ada perselisihan pendapat dalam masalah ini, tetapi kenapa penyusun buku ini hanya mengambil pendapat yang menolak maulid sahaja daripada perkataan Sheikh Ali Mahfuz, sedangkan itu tidak merujuk kepada pendapat beliau sama sekali.

Penyusun buku ini menyebut: “kemudian beliau (Sheikh Ali Mahfuz) menyebut beberapa bentuk perkara haram yang terangkum dalam maulid-maulid ini antaranya…”

Ini adalah Tahrif yang nyata. Sheikh Ali Mahfuz bukanlah orang yang menyebut bentuk-bentuk haram yang terkandung dalam maulid-maulid tetapi sebaliknya beliau menyebut dari awal perenggan di atas: “al-Qa’ilun bi al-man’i Banuhu…” (maksudnya: orang-orang yang berkata dengan hukum haramnya atau tertegahnya maulid membina dasar hukum mereka di atas beberapa dalil). Kemudian, beliau menyebut beberapa dalil tersebut termasuklah dalil kedua: “beberapa bentuk perkara haram yang terangkum dalam maulid-maulid ini antaranya…” Maksudnya, orang-orang yang mengharamkan maulid yang menyebut bentuk-bentuk haram dalam maulid, bukan Sheikh Ali Mahfuz menyebut daripada dirinya sendiri.

Setelah itu, beliau menyebut dalil-dalil para ulama’ yang mengatakan bahawasanya maulid-maulid ini adalah bid’ah hasanah (yang baik) tetapi mengapa perkataan dan dalil-dalil ini tidak dinukilkan dalam buku ini? Adakah ini suatu nukilan yang adil?

Bahkan, mengapa kesimpulan yang dibuat oleh Sheikh Ali Mahfuz setelah menyebut kedua-dua pendapat tentang Maulid tidak disebutkan dalam buku Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif ini?

Sheikh Ali Mahfuz setelah menyebut dalil-dalil para ulama’ yang membenarkan upacara maulid, beliau membuat catatan dari perkataan beliau sendiri dengan berkata: “dengan dalil ini telah jatuhlah (gugurlah) dalil golongan pertama yang melarang upacara maulid ini”. Ini secara tidak langsung menunjukkan beliau sendiri secara peribadi tidak bersetuju dengan dalil-dalil yang beliau sebutkan dari pihak yang menolak dan melarang maulid secara mutlak.

Kesimpulan Sheikh Ali Mahfuz sangat jelas iaitu:

“Dengan apa yang telah kami sebutkan tadi, telah terzahir bagimu bahawasanya perselisihan atara dua pihak dalam baik maulid-maulid ini ataupun buruknya maulid bukanlah perselisihan yang hakiki pada satu isu. Akan tetapi, ia adalah perselisihan dari sudut nama yang mengikuti perselisihan isu yang dibincangkan dan dihukumkan. Maka, bahagian di mana dihukum padanya golongan pertama iaitu dengan celaan, maka, ia juga sebenarnya bukanlah yang diperindahkan oleh golongan kedua (iaitu yang membenarkan) dan bahagian atau jenis yang dihukum padanya oleh golongan kedua (yang mengatakan maulid adalah bid’ah yang baik) juga bukanlah yang dicela oleh golongan pertama. Dengan Allah s.w.t.-lah petunjuk itu.” [Kitab Al-Ibda’ m/s: 237]

Ini menunjukkan bahawasanya, di sisi Sheikh Ali Mahfuz, upacara majlis maulid ini ada dua jenis, iaitu jenis yang baik lalu dinilai sebagai bid’ah hasanah oleh para ulama’ dan maulid yang dicemari perkara-perkara haram lalu dinilai sebagai bid’ah yang buruk oleh sebahagian ulama’. Namun, pandangan ketika yang asing dalam masyarakat Islam, iaitu, sambutan atau upacara maulid itu secara mutlak adalah bid’ah, tidak diterima oleh ramai ulama’ al-Azhar termasuklah Sheikh Ali Mahfuz dan tidak dibahaskan pun oleh beliau sama sekali.

Perkataan Sheikh Husain al-Zahabi

Ketika penulis membaca keseluruhan yang dinukilkan dalam buku ini tentang perkataan Sheikh Husain al-Zahabi, secara jelas bagi Sheikh Husain al-Zahabi, asal upacara maulid itu adalah baik tetapi ketika dicampuri dengan perkara-perkara haram, maka barulah ianya haram dan buruk. Lihat buku ini pada muka surah 66 (cetakan tahun 2010, Dar al-Basya’ir). Namun, penyusun buku ini tidak berpuas hati dengan ungkapan Sheikh Husain al-Zahabi ketika sheikh berkata: “memang benar, maulid-maulid ini baik, tetapi sudut yang buruk yang telah mendominasi…”. Ini menunjukkan, jika upacara maulid ini tidak dicampuri dengan bentuk-bentuk buruk sebagaimana disebutkan tadi, maka, asalnya, ia adalah baik termasuk di sisi Sheikh Husain al-Zahabi.

Ketika Sheikh Husain Az-Zahabi ditanya tentang peranan ulama’ al-Azhar dalam kepincangan yang berlaku terhadap majlis maulid, maka beliau menyebut bahawasanya, peranan para ulama’ al-Azhar adalah untuk menghalakan majlis-majlis maulid ini ke arah yang sejahtera daripada kepincangan tersebut bukan menghapuskan terus upacara mulia ini. [m/s 67]

Perkataan Bekas Mufti Mesir Al-Allamah Syaikh Hasanain Makhluf (Guru kepada Mufti Mesir kini Syaikh Ali Jum'ah):

Kemudian apabila dirujuk pula tentang fatwa Fadhilah Syaikh Hasanain Makhluf rahimahullah , anggota Kibar 'Ulama di al-Azhar al-Syarif, yang juga merupakan Mufti al-Diyar al-Masriyah, pada muka surat 85 dan 86 kitab yang dirujuk blog Ansarul-hadis tersebut, penulis tersebut hanya mengambil fatwa yang tiada kaitan dengan hukum sambutan maulid! Tetapi soalan yang dijawab beliau adalah berkenaan perbuatan sebahagian golongan sufi yang jahil.

Sebab itu Syaikh Hasanain menjawab pada muka surat yang sama: "Tiada asal dalam agama ini untuk berzikir mengingati Allah Ta'ala dengan cara-cara seperti yang ditanyakan dalam soalan." Yakni cara-cara seperti zikir dengan menari, berdiri 4 orang, menunjuk sesama mereka sambil menggerakkan tangan kemudian berpusing-pusing dengan dua barisan. Semua itu adalah khurafat.

Sebaliknya jika maulid terhindar dari perkara-perkara bid'ah sesat ini, maka beliau juga membolehkannya sepertimana dalam fatwa beliau tentang maulid:

إن إحياء ليلة المولد الشريف وليالي هذا الشهر الكريم الذي أشرق فيه النور المحمدي إنما يكون بذكر الله ـ تعالى ـ وشكره لِمَا أنعم به على هذه الأمة من ظهور خير الخلق في عالم الوجود، ولا يكون ذلك إلا في أدب وخشوع وبُعْد عن المحرمات والبدع والمنكرات. ومن مظاهر الشكر إطعام الطعام على حبه مسكينًا ويتيمًا،

فتاوى شرعية وبحوث إسلامية ، ج1، ص131

Maksudnya: "Sesungguhnya Menghidupkan malam maulid yang mulia dan malam-malam bulan rabi'ul awal yang mulia ini yang terpancar padanya cahaya Muhammadi, sesungguhnya diadakan dengan zikir kepada Allah dan syukur kepadanya dengan nikmat yang dikurniakan Allah kepada umat ini dengan kemunculan sebaik-baik makhluk di alam wujud ini. Dan tidaklah ianya diadakan kecuali dalam adab, khusyu' dan terhindar dari perkara yang haram dan bid'ah yang mungkar. Dan antara ciri-ciri zahirnya syukur adalah memberi makanan yang disukainya kepada orang miskin dan anak yatim.."

Rujuk fatwa beliau dan ulama-ulama Azhar lain di: Wikipedia: Fatwa Maulid

Perkataan bekas Mufti Mesir Al-Allamah Syaikh Muhammad Bakhit Al-Muti'i:

Setelah beliau menyatakan sejarah maulid dan menaqalkan pendapat Imam As-Suyuti dan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani yang membolehkan amalan maulid, beliau memberi kesimpulan tentang hukum sambutan maulid:

فكل ما كان طاعة وقربة لم يعين لها الشارع وقتا معينا ولا مكانا معينا فلكل مكلف ان يفعلها في كل زمان وكل مكان وكذا كل ما كان غير داخل تحت نهي عام او خاص من قبل الشارع فهو مباح وما عدا ذلك فهو بدعة محرمة أو مكروهة فيلزم اجتنابها والنهي عنها
Maksudnya: "Justeru setiap apa yang dijadikan ketaatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditentukan syariat(Allah) waktu tertentu dan tidak pula tempat tertentu maka boleh bagi setiap mukallaf untuk melakukannya pada setiap waktu dan tempat, dan begitu juga setiap yang tidak termasuk dalam larangan umum atau khusus daripada syariat maka hukumnya Mubah/Harus, dan apa yang selainnya(yakni ada larangan) adalah bid'ah yang haram atau makruh. Maka wajib untuk menghindarinya dan menghalangnya"

Rujuk kitab beliau 'Ahsanul Kalam Fi Ma Yata'allaqu Bissunnah Wal Bid'ah Min Ahkam' pada muka surat 74.
Download PDF kitab tersebut di sini: http://ia601507.us.archive.org/6/items/rodoudach3ariya6/ahsankalam.pdf

Perkataan Syaikhul Azhar yang lalu Imam Al-Akbar Syaikh Abdul Halim Mahmud:


الاحتفال بالمولد النبوي سُنَّة حسنة من السُّنن التي أشار إليها الرسول ـ صلى الله عليه وسلم ـ بقوله: "ومَنْ سنَّ سُنَّة حسنة فله أجرُها وأجرُ مَنْ عَمِل بها، ومَنْ سنَّ سُنَّةً سيئة فعليه وِزْرُها ووِزْرُ مَنْ عَمِل بها"، وذلك لأنَّ له أصولًا ترشد إليه وأدلة صحيحة تسوق إليه ولا يعني ترك السلف لهذا العمل الصالح مخالفتَه للشرع؛ لأن السلف الصالح كان عندهم من اليقظة الدينية وحبِّ النبي الكريم ما يُغنيهم عن التذكير بيوم مولده للاحتفال.

Maksudnya: "Sambutan Maulid Nabi SAW adalah sunnah/jalan yang baik daripada sunnah-sunnah yang diisyaratkan oleh Rasul SAW dalam sabdanya: "Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal denganya, barangsiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya" Dan ianya adalah kerana terdapat usul/asas yang membimbingnya dan dalil-dalil yang sahih yang berpandukan padanya. "Dan tidaklah bererti peninggalan salafussoleh bagi amalan yang soleh ini merupakan pertentangan kepada syariat, kerana salafussoleh masih mempunyai kebangkitan/keprihatinan agama dan cinta Nabi yang mulia yang mana menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada peringatan hari maulid untuk disambut.(berbeza dgn zaman yang penuh kelalaian ini)"

[Rujuk: Fatawa Imam Abdul Halim Mahmud cetakan Dar Ma'arif m/s: 273. Boleh download di: http://abdel-halim.org/Fatawa%20-%20Part1.pdf

Perkataan Syaikhul Azhar Imam Al-Akbar Syaikh Mahmud Syaltut:

Di dalam kitab beliau 'Min Taujihat Al-Islam' cetakan Dar Syuruq m/s 352, di bawah tajuk 'Sambutan Memperingati Maulid Nabi SAW', beliau memberi sebab-sebab mengapa golongan salaf tidak melakukannya dan kepentingan sambutan ini di akhir zaman ini untuk mengingatkan masyarakat yang lalai. Beliau berkata:

وقد جرت سنة المسلمين بعد قروونهم الأولى ان يحتفلوا في شهر ربيع الأول من كل عام بذكرى ميلاد الرسول محمد صلى الله عليه وسلم وكان لهم في الإحتفال بهذه الذكرى أساليب تختلف باختلاف البيئات والبلدان

Maksudnya: "Dan telah berlakulah kebiasaan sunnah umat Islam selepas kurun-kurun pertama untuk menyambut pada bulan Rabi'ul Awwal pada setiap tahun untuk memperingati Maulid Rasul Muhammad SAW, dan adalah mereka dalam menyambutnya mempunyai pelbagai cara bergantung suasana dan negara"

Fatwa Ulama-Ulama Besar Al-Azhar Yang Lain

Perkataan Dr. Yusuf al-Qaradhawi( Ulama Besar Dunia lulusan Al-Azhar)

Adapun golongan yang terasing daripada memahami fiqh Islam yang luas, yang menganggap maulid ini secara mutlaknya adalah bid’ah yang sesat, fahaman ini ditolak secara khusus oleh institusi al-Azhar dan para ulama’ Al-Azhar. Bahkan, Al-Azhar berlepas tangan daripada fahaman dan pandangan ini.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga pernah berkata:

هناك من المسلمين من يعتبرون أي احتفاء أو أي اهتمام أو أي حديث بالذكريات الإسلامية، أو بالهجرة النبوية، أو بالإسراء والمعراج، أو بمولد الرسول صلى الله عليه وسلم، أو بغزوة بدر الكبرى، أو بفتح مكة، أو بأي حدث من أحداث سيرة محمد صلى الله عليه وسلم، أو أي حديث عن هذه الموضوعات يعتبرونه بدعة في الدين، وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار، وهذا ليس بصحيح على إطلاقه، إنما الذي ننكره في هذه الأشياء الاحتفالات التي تخالطها المنكرات، وتخالطها مخالفات شرعية وأشياء ما أنزل الله بها من سلطان، كما يحدث في بعض البلاد في المولد النبوي وفي الموالد التي يقيمونها للأولياء والصالحين، ولكن إذا انتهزنا هذه الفرصة للتذكير بسيرة رسول الله صلى الله عليه وسلم، وبشخصية هذا النبي العظيم، وبرسالته العامة الخالدة التي جعلها الله رحمة للعالمين، فأي بدعة في هذا وأية ضلالة ؟!
Maksudnya:
“Di sana ada dalam kalangan orang-orang Islam yang mengira bahawa memuliakan, mengambil berat atau upacara mengingati peristiwa-peristiwa keislaman, hijrah nabawiyyah, isra’ mi’raj, maulid al-Rasul shollallahu ‘alaihi wasallam, perang badar kubra, fath makkah atau apa sahaja peristiwa daripada persitiwa sirah Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam atau apa sahaja peristiwa dalam bab-bab ini, maka mereka mengira bahawa ia adalah bid’ah dalam perkara agama, sedang semua bid’ah adalah kesesatan dan semua kesesatan adalah neraka. Ini adalah pandangan yang tidak benar sama sekali. Adapun apa yang kami ingkari pada perkara-perkara ini adalah perayaan-perayaan yang dicampuri oleh perkara-perkara mungkar, bercampur padanya perkara-perkara yang menyalahi syarak yang mana Allah s.w.t. tidak menurunkan bukti mengenainya sama sekali seperti yang berlaku di sesetengah negara pada al-Maulid al-Nabawi dan maulid yang mereka dirikan untuk para wali dan orang-orang soleh. Akan tetapi, jika kita mengambil peluang tersebut (maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam) untuk memperingati sirah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, dan memperingati tentang keperibadian Nabi yang agung ini shollallahu ‘alaihi wasallam, tentang risalah umum dan kekal yang dijadikan sebagai rahmat untuk seluruh alam ini, maka apa bid’ahnya dalam perkara ini dan apa yang sesat?

Beliau juga ada berkata:

"وكانوا يحيون مع الرسول صلى الله عليه وسلم، كان الرسول صلى الله عليه وسلم حياً في ضمائرهم، لم يغب عن وعيهم فلم يكونوا إذن في حاجة إلى تذكّر هذه الأشياء.
"Dan adalah mereka(para sahabat) hidup bersama Rasulullah SAW dan adalah Rasul SAW hidup dalam jiwa-jiwa mereka, tidak hilang dari fikiran mereka.. Maka mereka tidak memerlukan peringatan dalam perkara ini...”
Beliau berkata lagi: "Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.
"Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan

Rujuk:

http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=5852&version=1&template_id=130&parent_id=17

dan http://qaradawi.net/component/content/article/1548.html

Perkataan Al-Allamah Prof Dr. Wahbah Az-Zuhaili (Ulama Besar Dunia Lulusan Al-Azhar):

Ketika beliau ditanya tentang hukum sambutan Maulid di rancangan As-Syari'ah Wal Hayah di channel Al Jazeera yang bertajuk "Albida'u wa majalatuha al-mu'asirah", beliau menyatakan

bahawa sambutan ini walaupun tiada di zaman sahabat dan asalnya daripada Fatimiyyun, tetapi ianyan bukanlah bid'ah yang buruk kerana menghidupkan banyak kebaikan seperti membaca AL-Quran, memperingatkan tentang akhlak Nabi SAW, dan mengajak manusia untuk berpegang pada ajaran Islam, dan adab-adab, maka hukumnya menjadi harus dan tidak mengapa.
Kerana jika kita mengatakan perkara ini merupakan bid'ah yang buruk, maka seolah-olah kita mengingkari dakwah Islam.
Salafussoleh tidak menyambut maulid Nabi SAW kerana mereka masih sibuk untuk mengukuhkan kaedah-kaedah asas-asas Islam dan rukun-rukunnya, dan pembukaan-pembukaan kota, penyebaran agama dan mempertahankan Islam dari serangan musuh-musuh serta menghadapi pelbagai halangan dalam dakwah mereka, maka mereka tidak punya waktu untuk mengadakan sambutan ini..bahkan mereka tidak memerlukan sambutan ini kerana Nabi SAW masih hidup bersama mereka, dan mengambil daripada Baginda SAW nasihat-nasihat, galakan, adab-adab yang mulia dll maka ianya belum muncul pada zaman mereka.."


Rujuk Video: http://www.youtube.com/watch?v=q4Q1vHBAYRY Minit ke-28.

Perkataan Imam As-Sya'rawi (Juga salah seorang ulama lulusan Al-Azhar):

Kata Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi rahimahullah yang beliau utarakan dalam "Ma-idah al-Fikr al-Islamiyyah" halaman 295 yang bermaksud:-

“Jika setiap ciptaan yang dijadikan, hatta yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran Baginda SAW dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jin Islam bergembira di atas kelahiran Baginda SAW, maka kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran Baginda SAW ?.”

Begitu juga jika kita lihat dalam risalah para ulama India, ramai di kalangan mereka yang membolehkan amalan ini. Ada satu risalah berjudul 'Al-Muhannad 'Alal Mufannad' karya Imam Al-Muhaddith Khalil Ahmad As-Sahranfuri(w 1346H) pengarang kitab 'Bazlul Majhud Syarah Sunan Abi Daud'.

Risalah beliau ini telah ditunjukkan kepada Syaikhul Azhar ketika itu yang bernama Imam Al-Allamah Syaikh Salim Al-Bisyri, lalu beliau menyetujui fatwa ulama India tersebut.

Imam Khalil Ahmad berkata:

"Moga dijauhkan untuk berkata seorang muslim -apatah lagi kita-,bahawa memperingati kelahiran Nabi SAW bahkan menyebut debu sepatunya dan air kencing keldai baginda SAW merupakan bid'ah buruk yang haram!!

Keadaan-keadaan yang ada kaitan paling sedikit dengan Rasulullah SAW pun, untuk menyebutnya merupakan antara sebaik-baik perkara sunat dan setinggi-tinggi galakan(mustahabb) menurut kami, sama ada mengingati kelahiran baginda SAW, atau kencingnya, tahinya, tidur dan bangunnya, sepertimana dikemukakan di dalam risalah kami berjudul "Al-Barahin Al-Qati'ah" dalam banyak tempat di dalamnya, dan juga dalam fatwa-fatwa guru-guru kami rahimahumullah ta'ala, seperti dalam Fatwa Maulana Ahmad Ali Al-Muhaddith As-Sahranfuri, murid kepada Syah Muhammad Ishaq Ad-Dihlawi kemudian berhijrah, Al-Makki, kami naqalkannya sebagai contoh daripada semua fatwa-fatwa.

Beliau ditanya rahimahullah ta'ala berkenaan majlis sambutan maulid Nabi SAW dengan cara apakah dibolehkan, dan dengan cara apakah tidak dibolehkan?

Maka beliau menjawab, "Memperingati kelahiran mulia Sayyiduna Rasulullah SAW dengan riwayat yang sahih, dalam waktu yang bebas dari amalan ibadat fardhu, dengan tata cara yang tidak bertentangan dari jalan para sahabat dan golongan 3 kurun pertama yang disaksikan baginya kebaikan, dengan keyakinan/i'tiqad yang tidak membawa kepada syirik dan bid'ah, dengan adab yang tidak bertentangan dengan sirah para sahabat, yang mana mendapatkan pengesahan sabda Nabi SAW: "Apa yang aku berpegang dan para sahabatku", dalam majlis-majlis yang bebas dari kemungkaran syar'ie, membawa kepada kebaikan dan keberkatan, dengan syarat didampingi kebenaran niat dan ikhlas dan berkeyakinan bahawa ianya termasuk dalam kumpulan-kumpulan zikir-zikir yang baik dan sunat serta tidak terikat dengan waktu-waktu tertentu. Sekiranya begitu, maka kami tidak mengetahui siapa pun dari umat Islam yang menghukumkannya dengan tidak dibolehkan atau bid'ah, hingga hujung fatwa.."
Sekiranya bebas dari kemungkaran, maka, moga Allah melindungi kita dari berkata: Bahawa memperingati kelahiran baginda yang mulia adalah mungkar dan bid'ah.. dan bagaimana seorang muslim boleh bersangka dengan kata-kata yang hodoh ini! dan kata-kata hododh ini jika dinisbahkan kepada kami juga adalah tuduhan-tuduhan penipu-penipu besar moga Allah menghina dan melaknat mereka...."

[Rujuk: Mabahis Fi Aqaid Ahli as-Sunnah Al-Muhannad 'Alal Mufannad karya Imam Khalil Ahmad As-Sahranfuri m/s 78-80 terbitan Dar al-Fath]

Perkataan Imam Al-Hafiz As-Suyuti Dan Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani (Bekas penuntut dan tenaga pengajar di Masjid Al-Azhar As-Syarif, Kaherah):

Imam As-Suyuti menaqalkan tentang hukum menyambut Maulid Nabi SAW oleh gurunya sendiri iaitu Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani ketika ditanya ttg hukum maulid maka beliau menjawab:

وقد سئل شيخ الإسلام حافظ العصر أبو الفضل بن حجر عن عمل المولد فأجاب بما نصه: أصل عمل المولد بدعة لم تنقل عن أحد من السلف الصالح من القرون الثلاثة ولكنها مع ذلك قد اشتملت على محاسن وضدها فمن تحرى في عملها المحاسن وتجنب ضدها كان بدعة حسنة وإلا فلا
Ertinya: “Asal melakukan maulid adalah bid'ah, tidak diriwayatkan dari ulama salaf dalam tiga abad pertama, akan tetapi didalamnya terkandung kebaikan-kebaikan dan juga kesalahan-kesalahan. Barangsiapa melakukan kebaikan-kebaikan(seperti zikir, selawat, dakwah, majlis ilmu, baca sirah) di dalamnya dan menjauhi kesalahan-kesalahan(seperti ikhtilat, membazir, maksiat, konsert dll), maka ia telah melakukan bid'ah yang baik (bid'ah hasanah)(boleh buat) tetapi jika tidak menjauhi kesalahan-kesalahan, maka tak boleh dilakukan.."

( Lihat Al Hawi Lil Fatawa, As Suyuthi, 1/282, Maktabah Asy Syamilah)

Kesimpulan:

Ramai para ulama’ Al-Azhar yang besar menghukum baik majlis-majlis Maulid seperti Imam Ibn Hajar al-Asqolani, Imam al-Suyuti dalam kitab beliau Husn al-Maqsid fi ‘Amal al-maulid, Imam Ahmad al-Dardir yang mengarang sebuah kitab maulid, Imam al-Showi, Imam al-Bajuri r.a. yang turut mengarang maulid berjudul Tuhfah al-Basyar ‘ala Maulid Ibn Hajar, Sheikhul Azhar Sheikh Abdul Halim Mahmud, Sheikhul Azhar Sheikh Tantawi, Sheikhul Azhar Sheikh Dr. Ahmad at-Thayyib, Shohib al-Samahah Sheikh Dr. Ali Jum’ah dan sebagainya sudah memadai menunjukkan pendirian sebenar al-Azhar yang jelas tentang Maulid al-Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam.

Mengapa para ulama’ al-Azhar muktabar ini tidak dirujuk dalam permasalahan seperti Maulid al-Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam tetapi lebih merujuk kepada beberapa fatwa yang tidak jelas dan separuh-separuh sahaja oleh segelintir ulama’ al-Azhar? Ia langsung tidak mewakili kesarjanaan dan penilaian ilmiah sebenar institusi al-Azhar dan para ulama’ mereka secara umum dalam masalah ini. Mengapa perlu bersusah-susah untuk menyalahi aliran Al-azhar yang sebenar, dengan mencari sesuatu yang terpencil dalam pembendaharaan keilmuan al-Azhar yang luas lalu cuba dijadikan pengukur terhadap pendirian al-azhar dalam sesuatu masalah? sedangkan pemikiran umum keilmuan al-Azhar adalah bercanggah dengan apa yang cuba dibuktikan. Ia jelas dilakukan atas dasar yang tidak ilmiah oleh orang yang tidak menjiwai manhaj umum keilmuan al-Azhar al-Syarif. Semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada mereka dan seluruh umat Islam. Amiin…

Antara Rujukan Lain:

Fatawa Ulama Al Muslimin Bistihbab Al Ihtifal Bimaulid Sayyidil Mursalin -Karya Dr. Athiyyah Mustafa
Facebook Ustaz Raja Mukhlis
http://www.onislam.net/arabic/ask-the-scholar/8308/53190-2004-08-01%2017-37-04.html
http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=20&ID=7355
http://www.azahera.net/showthread.php?t=9518

Sumber : http://azamhusni.blogspot.com/2013/01/fatwa-sebenar-ulama-al-azhar-as-syarif.html

Isnin, 13 Januari 2014

Apakah Contoh Rasulullah SallaLLahu 'alaihi Wasallam dan para sahabat pernah singgah di tempat sejarah peninggalan para Rasul ?

Apakah contoh-contoh Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan para sahabat Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam pernah singgah dan melaksanakan amalan berbentuk ibadah di tempat sejarah peninggalan para Rasul ?

PERTAMA : Hadith Anas bin Malik radiyaLlahu 'anhu

"Dari Anas bin Malik RadiyaLlahu 'anhu bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : "Aku dibawa haiwan lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari baghal. Langkahnya sejauh pandangannya. Lalu aku menaikinya. Dan Jibril 'alaihissalam menyertaiku. Lalu aku berangkat. Lalu Jibril berkata "TURUNLAH DAN LAKUKAN SOLAT". Lalu aku melakukannya. Ia berkata : "Tahukah kamu, di mana kamu menunaikan solat?. Kamu menunaikan solat di Thur Sina, tempat Allah berbicara dengan kepada Musa 'alaihissalam." Lalu ia berkata: "Turunlah, lakukanlah solat." Lalu aku turun dan melakukan solat. Ia berkata :"Tahukah kamu, dimana kamu solat ? Kamu solat di Betlehem, tempat Isa 'alaihissalam dilahirkan".

(sunan An Nasa'i (1/221-222); at Thabrani, Musnad al Syamiyyin (1/194) dan Ibnu Asakir Tarikh Dimasyq (65/281). Al Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam al Ishabah (4/764) : Diriwayatkan oleh al Nasa'i secara marfu' dengan sanad yang bagus dan memiliki penguat dalam riwayat al Baihaqi dari hadithnya Syaddad bin Aus." Al Hafiz Ibnu Kathir berkata dalam al Bidayah wa Al Nihayah (2/66). "Diriwayatkan oleh al Nasa'i dengan sanad yang bagus dari Anas, dan al Baihaqi dengan sanadnya dan menilainya sahih.")

Hadith ini sangat jelas menganjurkan solat di tempat yang mulia dan utama serta anjuran agar meneliti peninggalan jejak para nabi dan orang soleh.

KEDUA : Hadith Abdullah bin Umar radiyaLlahu 'anhu

Dari Muhammad bin Imran al Ansori dari ayahnya berkata : "Abdullah bin Umar radiyaLlahu 'anhu berpaling kepadaku, ketika aku singgah di bawah pohon besar di jalan menuju Mekah. Lalu ia berkata : "Apa yang mendorongmu singgah di bawah pohon besar ini ?" Aku berkata : "Aku ingin berteduh". Ia berkata : "Apakah ada maksud lain?" Aku berkata : "Tidak, aku hanya bermaksud berteduh sahaja" Lalu ibnu Umar berkata "Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : "Apabila kamu berada antara gua gunung di Mina - dan beliau menunjukkan tangannya ke arah timur, sesungguhnya di sana terdapat lembah yang disebut Surar. Di situ ada pohon, tempat kelahiran tujuh puluh nabi"

(imam Malik, al Muwattha' (1/423); Ahmad, al Musnad (2/138); Sunan an Nasa'i (5/248); Sahih Ibn HIbban (14/137); dan al Baihaqi, al Sunan al Kubra (5/139, 2/417).

Dalam hadith ini, sangat jelas bahawa Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam memberi dorongan kepada Ibnu Umar radiyaLlahu 'anhu agar mengunjungi tempat peninggalan para nabi. Sekiranya mengunjungi tempat peninggalan para nabi termasuk bid'ah sesat dan syirik tentu Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak akan menganjurkan kepada Ibnu Umar untuk mengunjunginya.

KETIGA : Salamah bin Al Akwa

"Yazid bin abi 'Ubaid berkata : "Aku datang bersama Salamah bin al-Akwa', lalu ia menunaikan solat di samping tiang di sebelah Mushaf. Aku berkata : "Wahai Abu Muslim, aku melihatmu memilih menunaikan solat di samping tiang ini ?" Ia berkata : "Aku melihat Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam memilih solat disampingnya." (Hadith Riwayat al Bukhari [502] dan Muslim [509]

Dalam hadith di atas ini jelas menunjukkan Salamah bin al Akwa' mengerjakan solat di samping tiang, kerana Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam menunaikan solat di tempat tersebut.



(Gambar : Ustaz Nazrul Nasir di Kaki Bukit Uhud tempat di mana Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersandar ketika luka dalam peperangan Uhud)

Ahad, 12 Januari 2014

Tarikh Kelahiran Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasallam



Oleh : Al Faqir 'Azam

Para Ulama dan Ahli Falak telah sepakat bahawa tahun gajah, yakni tahun kelahiran Nabi SAW jatuh pada tahun 571 Masihi dan Baginda SAW lahir pada bulan Rabi'ul Awal, hari Isnin. Bagaimanapun, mereka berbeza pendapat dalam menentukan adakah Baginda SAW lahir pada 9 Rabi'ul Awal atau 12 Rabi'ul Awal; 20 April atau 22 April? Terdapat juga beberapa pendapat yang lain tetapi ianya lemah.

Menurut Imam Al-Kauthari, Raja Muzaffar Kaukabri(wafat 620H), pengasas majlis sambutan maulid Nabi SAW pernah menyambutnya pada malam kelapan Rabi'ul Awal (hari 9 rabi'ul Awal) pada tahun tertentu, dan menyambutnya pada malam 12 Rabi'ul Awal pada tahun yang lain untuk beramal dan meraikan kedua-dua riwayat tersebut. [Maqalat Al-Kauthari m/s 307]

Berkata Al-Imam Al-Allamah Al-Muhaddith Al-Faqih Muhammad Zahid Al-Kawthari r.a (Ulama besar zaman khilafah Uthmaniah wafat 1371 h):

Adat yang biasa diikuti di negara-negara islam dalam sambutan Maulid Nabi SAW adalah pada 12 Rabi'ul Awwal kerana telah disepakati kelahiran baginda SAW tidak berlaku setelah tarikh ini(dari 13 hingga 30 Rabi'ul Awal) di sisi seluruh ulama, maka mereka mengadakannya di satu malam yang tidak mempunyai apa-apa perbezaan pendapat setelah tarikh ini yang mana telah jelas Nabi SAW lahir sebelum waktu tersebut.

Dan tidaklah satu perkara yang aneh tentang khilaf tarikh kelahiran Nabi SAW kerana Baginda SAW lahir di sisi masyarakat yang buta huruf, tidak tahu menulis dan mengira serta tidak tertulis dalam sejarah kecuali peristiwa-peristiwa yang makruf di sisi mereka.

Para ulama berbeza pendapat sama ada Nabi SAW lahir pada 9 Rabi'ul Awwal atau 10 Rabi'ul Awwal atau 12 Rabi'ul Awwal.

Tarikh 10 Rabi'u awwal disandarkan oleh Ibnu Sa'ad di dalam tabaqatnya kepada Muhammad Al-Baqir r.a, tetapi pada sanadnya ada 3 periwayat yang dipertikaikan.

Tarikh 12 Rabi'ul Awwal pula walaupun masyhur dan dinaqalkan kebanyakan ulama dalam kitab-kitab sirah, tetapi asalnya disandarkan kepada Muhammad Ibnu Ishaq, dan tarikh ini disebut oleh Muhammad Ibnu Ishaq tanpa sanad(tiada sanad)..

Manakala tarikh 9 Rabi'ul Awwal adalah yang paling rajih dan muktamad, ia merupakan pendapat yang dikemukakan Ibnu Abdil Barr dalam 'Al-Isti'ab' ketika menyebut sudut khilaf dalam tarikh maulid Nabi SAW. Dan telah menghadkan tentangnya sebelumnya Abu Bakar Muhammad Bin Musa Al-Khawarizmi. Dan berkata tentang tarikh ini juga Al-Hafiz Umar Ibnu Dihyah al-Kalbi dalam kitabnya 'At-Tanwir Fi Maulid As-siraj Al-munir' yang mana dengan kitab tersebut beliau mendapat hadiah 1000 dinar dari Raja Muzaffar Ad-din(di zaman Sultan Salahuddin Al-Ayyubi) katanya, "Dan ianya(tarikh 9 rabiulawwal) tiada yang sahih tarikh selainnya dan telah sepakat tentangnya ahli sejarah"

Bahkan ianya juga dikuatkan lagi dengan kajian pakar ilmu falak yang terkenal, Al-Allamah Mahmud Basya Al-Falaki Al-Misri dalam risalahnya yang berbahasa Perancis dan telah diterjemahkan kepada bahasa arab oleh Ahmad Zaki Basya berjudul "Nataij Al-afham Fi Taqwim Al-Arab Qablal Islam Wa Fi Tahqiq Maulid Nabi Wa Umruhu 'Alaihissolatuwassalam" pada tahun 1305 h. Kajian tersebut mengemukakan banyak kajian-kajian ahli falak timur dan barat yang mengesahkan bahawa hari Isnin bertepatan pada 9 Rabi'ul Awwal tahun gajah, bersamaan 20 April 571 Masihi. [Rujuk Maqalat Al-Kauthari m/s: 305-307 & 311]

Syaikh Sofiurrahman Al-Mubarakfuri juga menyebutkan dalam kitab sirahnya 'Raheeq Al-Makhtum' bahawa Baginda SAW lahir pada 9 Rabi'ul Awwal.

Bagaimanapun, Menurut Mufti Mesir, Syaikh Ali Jum'ah hafizahullah, terdapat juga kajian ahli falak yang bernama Dibbanah di dalam kitabnya "Taqwim 'Am Li Khamsati Alafi 'Am" yang mengesahkan bahawa 22 April jatuh pada hari Isnin, yakni 12 Rabi'ul Awwal, manakala 20 April pula (9 Rabi'ul Awwal) jatuh pada hari Sabtu.. Rujuk video beliau di: http://www.youtube.com/watch?v=yH1P5mKzRfs

Menurut Al-Allamah Al-Muhaddith Prof. Dr Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani, kita tidak mengatakan bahawa sambutan kelahiran Nabi SAW adalah sunnah dan terikat pada tarikh dan malam-malam tertentu, bahkan sesiapa yang beri'tiqad dan meyakini sedemikian, maka dia telah melakukan satu bid'ah yang sesat dalam agama kerana memperingati Nabi SAW dan berpaut hati pada baginda SAW itu perlu pada setiap waktu dan zaman dan perlunya juga untuk mengisi jiwa dengan kecintaan kepada Nabi SAW.

Sesungguhnya berkumpulnya kita untuk menyambut kelahiran nabi SAW pada bulan Rabi'ul Awal adalah bukan suatu ibadah, tetapi ianya merupakan adat yang dijadikan sebagai wasilah yang besar untuk berdakwah kepada Allah untuk mengingatkan umat yang lalai tetang akhlak Nabi SAW, sirah baginda SAW, keadaannya, muamalatnya, ibadahnya dan lain-lain. [Diadaptasi dari kitab 'Mafahim Yajibu An Tusohhah' m/s 253-254 karya Al-Allamah Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani dengan sedikit suntingan]

Sumber : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=528965530471413&set=a.100705106630793.1504.100000739112302&type=1&theater

Isnin, 6 Januari 2014

Benarkah Qasidah al Burdah Berkait Dengan Syiah ?




ISU:

Sejauh Mana Qasidah Al-Burdah Berkait Dengan Shiah?

PENJELASAN:

Qasidah al-Burdah ditulis oleh Imam al-Busiri, ulama besar yang juga seorang tokoh sufi abad ke-7 hijrah/ke-13 Masihi. Qasidah ini merupakan qasidah yang masyhur. Ia bukan berasal dari Shi’ah kerana ia ditulis oleh ulama Sunni. Tiada dalam biografinya yang mengaitkan beliau dengan Shi’ah. Sementara memuji Rasulullah s.a.w. dalam selawat dan qasidah bukan bermakna seseorang itu pengikut Shi’ah.

Menurut sejarawan Islam al-Maqrizi, Imam al-Busiri berasal dari Afrika Utara dari sebuah kabilah bernama Abnun di Maghribi. Beliau hidup di bawah pemerintahan Mamluk dan menguasai banyak bidang ilmu Islam. Beliau merupakan pengikut tariqat sufi Shaziliyah di bawah bimbingan gurunya Shaykh Abu al-Abbas al-Mursi. Penulis kitab Hikam, Ibn ‘Ataillah al-Sakandari juga merupakan salah seorang anak murid kepada Abu al-Abbas al-Mursi.

Qasidah al-Burdah secara dasarnya merupakan pujian kepada Rasulullah s.a.w. Isinya bersifat syair yang sebahagian besarnya menggunakan kiasan (majaz) dan metafora yang bertujuan menekankan lagi sifat kasih sayang terhadap Rasulullah s.a.w. Beberapa ayat dalam qasidah al-Burdah yang dianggap kontroversi harus difahami dalam konteks tersebut.

Memuji Rasulullah s.a.w. dan menggagungkan Baginda adalah sesuatu yang dituntut selagi mana tidak menyifatkan baginda Rasulullah s.a.w. dengan sifat ketuhanan dan seseorang itu jelas dalam tauhidnya tentang beza antara Allah Ta’ala dan RasulNya.

Wallahu a’lam.

Sumber : FATWA MALAYSIA

Isnin, 30 Disember 2013

Keimanan, Kepatuhan Dan Kerinduan Pokok Terhadap RasuluLlah SallaLlahu 'alaihi wasallam



Oleh : Ustaz Salman Maskuri

MUKADDIMAH



Alhamdulillah baru2 ini telah berlangsung forum sempena maulidur Rasul di dewan mara Alex. Setelah berforum, sy telah diberi peluang untuk muhasabah cinta rasul dan ramai menangis dan terkesan dengan muhasabah ini. Saya rasa cerita yg paling memberi kesan kepada sy sendiri dan yang lain adalah kisah raungan sebatang pokok kepada Rasul. Jadi sy meletakkan kisah itu dan 2 kisah yang lain dalam artikel blog kali ini. Mudah2an bertambah cinta kepada Rasul. Mudah2an prgram muhasabah cinta rasul tidak diadakan sempena maulid sahaja. moga ia diteruskan masa ke semasa untuk mendidik hati kita yg banyak karat dosa. Tahniah dan terima kasih adik2 medik alex yang menganjurkannya.



KEIMANAN POKOK


Ibnu Umar ra berkata:

Kami bermusafir bersama Rasulullah saw, tiba-tiba seorang arab badawi menghampiri kami. Nabi saw bertanya:



“Kamu hendak kemana?”



Lelaki badawi menjawab:



“ Aku hendak berjumpa dengan ahli keluarga ku.”



Nabi saw bertanya lagi:



“Kamu hendak kebaikan?”



Lelaki tadi menjawab:



“Apa dia?”



Nabi saw menjawab:



تشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأن محمدا عبده ورسوله




“Kamu bersaksi tiada tuhan melainkan Allah yang esa dan tiada sekutu bagiNya. Sesungguhnya Muhammad hambaNya dan pesuruhNya.”



Lelaki tadi bertanya:



“Siapa yang menyaksikan kebenaran apa yang kamu katakan?”



Nabi saw menjawab:



هذه الشجرة السمرة



“Pohon Samurah (sejenis pokok ) ini.”



Pokok itu berada di persisiran lembah. Lalu ia begerak menyeret tanah sehinggalah ia berada di hadapan Nabi saw. Nabi saw pun memintanya penyaksian terhadap kalimah tauhid sebanyak 3 kali. Pokok itu pun melakukan seperti yang diminta Nabi saw. Kemudia dia kembali ke tempat asalnya.



Hr Darimi, Ibnu Hibban, Abu Ya’la dan Thabrani dengan sanad yang sahih.


KEPATUHAN POKOK



Jabir ra menceritakan:



Suatu hari Rasulullah saw hendak membuang air dan tidak ada tempat untuk melindungi dari pandangan manusia. Tiba-tiba baginda perasan terdapat dua pokok di persisiran lembah. Nabi saw pun pergi kearah salah satu pohon itu dan memegang dahannya. Nabi saw berkata:



انقادي علي بإذن الله



“Hendaklah kami patuh kepadaku dengan izin Allah.”



Lalu pohon itu patuh kepada Nabi saw seperti mana unta yang dicucuk hidung patuh kepada tuannya. Nabi juga melakukan perkara yang sama dengan pohon yang kedua. Nabi saw pun berkata kepada keduanya:



التئما علي بإذن الله



“Hendaklah kami bercantum dengan izin Allah.”



Lalu keduanya pun bercamtum.



Hadis Sahih riwayat Muslim.



KERINDUAN POKOK



Hadis daripada Anaz bin Malik ra:



“ Sesungguhnya Nabi saw berdiri pada hari Jumaat menyandarkan belakangnya kepada tunggul pohon kurma di MaSjid Nabi. Nabi saw berkhutbah kepada manusia. Selepas itu, seorang lelaki berasal dari Rum berkata “ Adakah kamu hendak aku buatkan minbar yang boleh kamu duduk disitu dan ianya sempumpama kamu berdiri?”


Lalu lelaki itu membuat mimbar yang ada dua anak tangga dan duduk ditingkat yang ketiga. Apabila Nabi saw duduk di atas mimbar, pokok menguak seperti lembu menguak sehingga bergema masjid. Suara ini kerana sedih Rasulullah saw meninggalkannya. Lalu Rasulullah saw turun mimbar dan memeluknya dalam keadaan pokok itu menguak. Ia pun diam setelah dipeluk oleh Nabi saw. Kemudian Nabi saw bersabda:



أما والذي نفس محمد بيده لولم ألتزمه لما زال هكذا إلى يوم القيامة حزنا على رسول الله



“Demi tuhan yang mana diri Muhammad berada dalam kekuasaannya, kalau aku tidak mendakapnya, nescaya ia akan berbunyi sebegini sehinggalah hari kiamat. Ini kerana kesedihannya terhadap Rasulullah saw.”



Hadis riwayat Bukhari – sahih



Hasan al-Basri akan menangis setiap kali meriwayatkan hadis ini. Beliau berkata:



“Kayu merengek kepada Rasulullah saw kerana rindukan Rasulullah saw kerana kedudukan baginda. Kamu lebih patut merindui untuk bertemu Rasulullah saw.”



KITA TIDAK LAYAK DIGELAR PECINTA RASUL SEDANGKAN TIDAK MAMPU MENANGIS KERANA MERINDUI RASUL. TIDAK MENANGIS KERANA TIDAK MEMAHAMI AJARAN RASUL. TIDAK MENANGIS KERANA TIDAK MENGAMALKAN DAN MEMPERJUANGKAN AJARANNYA. TIDAK MENANGIS KERANA TIDAK BERBUAT APA2 SEMASA RASUL DIHINA.



Kesimpulan: Hendaklah kita menangis sepertimana baginda menangis mengingati kita. Dalam hadis sahih Muslim, Nabi saw berkata:



“Ummatku, Ummatku.” Sehingga menangis (kerana mengenang nasib umatnya)

Lalu Allah mengutuskan Jibril untuk memujuk Nabi saw. Allah berkata:



إنا سنرضيك في أمتك ولا نسؤك



“Sesungguhnya Kami meredaimu hai Muhammad terhadap umatmu dan tidak akan menyakiti mu.” (Sahih Muslim)



Rujukan: Ittihafu Ahlil Wafa oleh Abdullah at-Talidi dan an-Nabiyil Khatam oleh Muhammad Jum'ah

Sumber : Http://Akhisalman.Blogspot.Com

Isnin, 23 Disember 2013

Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan Mengenai Wahhabi



















ISU :


Apakah pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan golongan Wahabi? Adakah golongan yang berzikir dan berdoa secara sendiri-sendiri selepas solat itu Wahabi?

PENJELASAN:

Aliran Wahabi bukanlah satu mazhab akan tetapi satu bentuk gerakan pemikiran agama yang banyak dipegang oleh ulama-ulama Haramayn (Mekah dan Madinah) kontemporari mengikuti pendekatan yang diambil oleh Muhammad bin Abd Wahhab (m.1792). Dari segi mazhab , mereka lebih hampir dengan mazhab Hanbali walaupun dari beberapa segi mereka lebih ketat dan keras.

Dalam sejarah tradisi ilmu Islam, aliran Wahhabi bukanlah mewakili arus perdana mazhab Ahl Sunnah wa al-Jamaah kerana sejak seribu tahun lebih, aliran yang menjadi peneraju kepada pentafsiran Ahl Sunnah wa al-Jamaah dalam bidang akidah ialah Asha’irah dan Maturidiyah, manakala dalam bidang fiqh ialah empat mazhab utama iaitu Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Dari segi pendekatan ilmiah, aliran Wahabi membawa pendekatan yang agak sempit dengan metodologi harfiah (literal) yang mereka ambil dalam memahami sumber agama khususnya al-Qur’an. Justeru itu, sebahagian dari pandangan mereka dalam agama bersifat agak keras terutama terhadap orang yang tidak mengambil pendekatan mereka. Pendekatan sebegini akhirnya telah membawa kepada kecenderungan untuk mudah mengeluarkan orang Islam dari lingkungan agama yang tidak sealiran dengan aliran Wahabi.

Contoh perbezaan pandangan golongan Wahabi yang agak jelas ialah pandangan mengenai sunnah dan bid’ah. Berdasarkan makna literal beberapa hadis Nabi, mereka menganggap bahawa setiap amalan ibadat yang tidak mengikuti secara langsung cara yang dibawa oleh Nabi saw, dianggap bid’ah dan terkeluar dari Islam.

Justeru itu banyak amalan dan pegangan yang telah diamalkan oleh masyarakat Islam telah dianggap terkeluar dari agama Islam oleh golongan Wahabi. Pendekatan ini telah menyebabkan perpecahan di kalangan sebahagian masyarakat yang telah lama mempunyai kesatuan dalam ibadat menurut pentafsiran imam-imam muktabar dalam mazhab Shafi’i dan dalam akidah menuruti aliran al-Ash’ari dan al-Maturidi.

Banyak persoalan yang bersifat khilafiah telah diangkat dan dianggap sebagai perkara usul sehingga menjadi permasalahan dalam masyarakat, seperti larangan doa qunut, wirid dan berdoa secara berjamaah selepas solat, tahlil, berzanji, qasidah, burdah, membaca yasin pada malam jumaat, perayaan maulid, kesemuanya ditolak atas nama bid’ah yang sesat. Ini sama sekali tidak selari dengan pemahaman sunnah dan bid’ah yang sebenar dalam Islam dan juga tidak bertepatan dengan semangat ilmiah dalam tradisi Islam yang membenarkan perbezaan pandangan dalam persoalan khilafiah.

Dalam konteks tasawuf, mereka amat keras membid’ah amalan-amalan tariqat, amalan wirid dan selawat yang dilakukan oleh golongan sufi. Dalam akidah, mereka membid’ahkan ajaran tauhid berdasarkan sifat yang kesemuanya dipelopori oleh ulama-ulama berwibawa dalam aliran Ahl Sunnah wa al-Jama’ah.

Contoh lain perbezaan pemahaman aliran Wahabi ialah pendekatan mereka dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Qur’an seperti ayat berkaitan ‘tangan dan wajah Allah’, istiwa’ dan lain-lain. Dengan mengisbatkan secara literal ayat-ayat ini dan menolak sama sekali pendekatan ta’wil yang juga salah satu pendekatan yang diambil oleh ulama salaf dan khalaf, ia membawa kepada kecenderungan tajsim (kefahaman Allah berjism) dan tashbih (kefahaman Allah menyamai makhluk) terutama kepada mereka yang berfahaman simplistik berkaitan isu tersebut.

Ramai ulama-ulama yang telah mengkritik dan menghujah aliran Wahabi termasuk saudara kandung Sheikh Muhammad Abdul Wahhab sendiri iaitu Sheikh Sulayman Abd Wahhab dalam kitabnya bertajuk al-Sawa’iq al-Ilahiyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah. Antara ulama-ulama lain ialah Sayyid Ahmad Ibn Zaini Dahlan (m.1886) Mufti Mekkah dan Shaykh al-Islam dalam kitabnya al-Durar al-Saniyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah dan Dr. Sa’id Ramadhan al-Buti dalam karyanya al-Salafiyyatun Marhalatun Zamaniyyatun Mubarakatun la Mazhabun Islamiyyun.

Memandangkan Malaysia jelas mengambil pendirian sejak beratus tahun lalu bahawa aliran yang harus diikuti ialah mazhab Shafi’i dan dalam akidah aliran Ash’ari dan Maturidi dan ianya telah menghasilkan perpaduan yang utuh di kalangan umat Islam, baik dalam ibadah, muamalah dan lain-lain sehingga memberi ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dan negara, maka aliran Wahabi adalah tidak sesuai dalam konteks kefahaman dan amalan agama di Malaysia.

Manakala mereka yang berzikir secara sendiri-sendiri selepas solat tidak semestinya dari aliran Wahabi. Namun sekiranya mereka membid’ahkan orang yang berzikir secara berjamaah selepas solat berkemungkinan besar ia dari golongan tersebut.

Wallahu A’lam.

Rujuk : https://www.facebook.com/fatwamalaysia/posts/521309121300237

Jumaat, 20 Disember 2013

Pandangan Habib Ali Al Jufri Mengenai Tasawwuf Dan Tareqat

Tasawwuf dan tareqat




Ada yang tidak senang kepada tasawwuf dan tareqat. Kedua-duanya dibenci terus. Seboleh-bolehnya hendak dikuburkan, dihilangkan dari hati umat Islam.

Memang ada tareqat yang tersasar dari landasan (melanggar panduan al Quran dan As Sunnah), namun ada tareqat yang muktabar dan diiktiraf oleh alim ulamak.

Kepada mereka yang memusuhi tasawwuf, amat sukar sekali untuk menghapuskannya dari umat Islam.

Kerana sebagaimana yang dijelaskan oleh Habib Ali Al Jufri  :

walaupun ada yang mempergunakan kalam Ibnu Taimiyyah untuk mengecam ahli sufi, beliau tetap memuji tasawwuf dan merasa terhormat dirinya memiliki hubungan sanad dengan Imam Abd Qadir al Jailani.

Ibnu Qayyim yang sering dijadikan peluru untuk menembak ahli sufi, malah menulis tiga jilid kitab tentang tasawwuf iaitu Madarij al Salikin fi Syarh Manazil Sa'irin. Imam Ahmad bin Hanbal menulis Kitab al Zuhd. Imam hafiz az Zahabi menulis Siyar A'lam an Nubala' yang bukan hanya mendedahkan biografi Imam hadith tetapi juga para imam besar tasawwuf contohnya Ma'ruf al Kurkhi begitu juga kitab Sifat as sofwah karya Imam Ibn Al Jauzi.

Begitulah keadaan para ulama hadith yang bergelar al hafiz yang kadang-kadang mereka tuduh benar, kadang-kadang salah. Bahkan ketika bersangkutan dengan aqidah, mereka katakan para ulamak salafussoleh itu salah semuanya. Jadi menurut mereka, aqidah Ibnu al Jauzi itu salah. Aqidah Imam an Nawawi itu salah, kerana ia menulis sejarah hidup guru-gurunya yang meriwayatkan hadith sampai kepada Imam Muslim dan menyebut mereka sebagai sufi. Aqidah Imam az Zahabi salah. Aqidah Imam al Suyuthi salah. Demikian pula aqidah Imam as Subki, imam As Sakhawi, Imam Ibn Hajar serta imam mazhab yang merujuk kepada kaum sufi dan memegang ucapan-ucapan mereka untuk melembutkan hati.

Jika mereka menuduh kaum sufi itu syirik dan sesat, bererti mereka tidak percaya kepada al Quran dan hadith yang ada sekarang. Kenapa ?

Kerana seluruh sanad dan rantaian riwayat al Quran dan hadith yang sampai kepada kita sekarang penuh dengan ahli sufi. Setiap periwayatan bacaan al Quran yang tujuh (qira'ah sab'ah) atau yang sepuluh (qira'ah 'asyarah) pasti di dalamnya ditemukan imam sufi.

Sesiapa yang boleh menyemak sohih Bukhari dan Sohih Muslim serta kitab-kitab hadith yang lainnya tanpa melalui perawi yang bukan sufi ? Jika ada yang mengatakan (ahli sufi) itu musyrik, mereka kafir, dan kita diam sahaja. Ini ertinya bencana akan mengancam generasi setelah kita. Yang mereka tahu tentang para sufi kemudiannya adalah bahawa mereka kafir dan sesat.

Sekarang ini, kita seperti malas bertindak. Padahal di luar sana, melalui khutbah, kaset, dan buku-buku berbagai kebohongan telah dihembuskan sekelompok orang yang tidak menjaga ketaqwaan kepada Allah ketika berbicara tentang orang-orang soleh. Berbagai tuduhan-tuduhan serong diarahkan kepada kaum sufi.

Jika ini dibiarkan, tentu generasi setelah kita akan berkesimpulan bahawa hadith dan al Quran yang mereka terima tidak dapat dipercayai kerana diriwayatkan kaum sufi yang mereka ketahui kafir dan sesat.

Sumber rujukan : dari kitab Ma'alim al Suluk li al Mar'ah al Muslimah, Karya Habib Ali Al Jufri, Terbitan Dar al Ma'rifah, Beirut, cet 5, 1428 H/2007M




Terjemahan : Habib Ali al Jufri, Terapi Ruhani Untuk Semua, Cet II 2012, Penerbit Zaman, Jakarta

Rabu, 11 Disember 2013

ISU UMMATI.. UMMATI



Isu Riwayat Kewafatan Nabi SAW Menyebut Perkataan Ummati

Terlalu berlebihan mempermasalahkan kisah kewafatan Nabi yang mengucapkan ummati, ummati seandainya tidak ada riwayat sahihnya tentang ucapan ini ketika menjelang wafat beliau, maka sungguh kehidupan beliau mulai sejak diutus menjadi Rasul hingga akhir hidup bahkan kelak di hari kiamat, beliau sangat khuatir dan sangat memperdulikan umatnya.

Bukankah Allah sendiri telah mensifati Nabi Muhammad dengan Harishun ‘alaikum bil mukminiina Raoufun Rahiim ?? tidakkah kamu merenungi ucapan yang menggetarkan hati dan jiwa yang membaca ucapan itu ??

Semak dan renungi bersama kami firman Allah Ta’ala berikut ini :

لَقَدْ جَاءكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ
“ Sungguh telah datang padamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman “. (QS: at-Taubah : 128)

Ibnu Katsir memberi komen mengenai ayat ini :

وقوله: { عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ } أي: يعز عليه الشيء الذي يعنت أمته ويشق عليها، { حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ } أي: على
هدايتكم ووصول النفع الدنيوي والأخروي إليكم
“ Ucapan, {berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami}, Nabi begitu merasakan berat (susah) dengan kesusahan yang dialami umatnya. {dia sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu}, maksudnya sangat menginginkan kalian mendapat petunjuk dan mendapatkan manfaat di dunia maupun di akhirat “.

Ayat ini sudah cukup menunjukkan bahwa Nabi begitu merasakan khuatir dan mengambil dengan umatnya sepanjang hidupnya bahkan kelak ketika di hari pembalasan, Nabi pun berusaha keras untuk menyelamatkan umatnya dari neraka. Untuk apa mereka mempermasalahkan riwayat “ ummati, ummati “ ketika menjelang kewafatan baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam ? Apakah mereka tidak percaya bahwa Nabi begitu mengambil berat dan khuatir atas umatnya ?? bukankah nasihat solat-solat di akhir usia baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam juga menunjukkan kepedulian beliau atas umatnya agar tidak meninggalkan solat, supaya umatya bahagia dunia dan akhirat ?? ayat di atas sudah cukup menjelaskan sifat mulia Nabi dan kekhuatiran Nabi atas umatnya sepanjang hidupnya.

Hadits :

أنه صلى الله عليه وسلم قال لجبريل عند موته " من لأمتي بعدي " فأوحى الله تعالى إلى جبريل أن بشر حبيبي إني لا أخذله في أمته ، وبشره بأنه أسرع الناس خروجا من الأرض إذا بعثوا ، وسيدهم إذا جمعوا وأن الجنة محرمة على الأمم حتى تدخلها أمته . فقال " الآن قرت عيني
“ Sesungguhnya Nabi bertanya kepada Jibril, “ Siapa yang memperhatikan umatku setlah wafatku ? “, maka Allah mewahyukan kepada Jibril untuk memberikan kabar gembira bahwa AKU (Allah) tidak akan melalaikan umatnya, dan berikan kabar padanya bahwa ia (Nabi) adalah manusia pertama (paling cepat) keluarnya dari kuburan ketika hari pembangkitan, dan pemimpin mereka di hari perkumpulan, dan sesungguhnya surge haram atas umat-umat lainnya sebelum umat Nabi memasukinya terlebih dahulu “, maka Nabi berkata, “ Sekarang aku sudah tenang “. (HR. Ath-Thabrani)

Hadits ini memang sanadnya dhaif, namun hadits dhaif bukanlah hadits maudhu’ yang mesti dibuang. Karena ada kecacatan perawinya yang tidak terlalu parah. Hadits ini pun boleh diamalkan dalam bab manaqib (kisah-kisah) sesuai pendapat jumhur ulama ahli hadits.

Dan tak ada satupun ulama ahli hadits terdahulu yang menghukumi hadits ini maudhu’. Oleh sebab itu al-Hafidz al-Iraqi menghukumi sanad ini dhoif.[1]

Hadits di atas pun memiliki banyak syawahidnya diantaranya hadits :

إن الجنة حرمت على الأنبياء كلهم حتى أدخلها، وحرمت على الأمم حتى تدخلها أمتي

Hadits ini diriwayatkan Ibnu Adi di Kamil : 5/209 dan Ibnu Abi Hatim di al-'ilal : 2167. Hadits ini dihukum gharib oleh ad-Daraquthni, sedangkan Albani menghukuminya hadits mungkar.[2] Juga hadits berikut ini :

أنا أول الناس خروجاً إذا بعثوا، وأنا خطيبهم إذا أنصتوا، وقائدهم إذا وفدوا، وشافعهم إذا حبسوا، وأنا مبشرهم إذا يئسوا، لواء الحمد بيدي، ومفاتح الجنة يومئذ بيدي، وأنا أكرم ولد آدم يومئذ على ربي ولا فخر, يطوف علي ألف خادم كأنهم اللؤلؤ المكنون

Hadits ini diriwayatkan oleh imam at-Tirmidzi no. 3610, beliau mengatakan : Ini Hadits Hasan Gharib.[3]

Dalam riwayat yang lain disebutkan bahwasanya sayyidina Ali berkata :

ان رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر نفسه حرك شفتيه مرتين فالقيت سمعي يقول خفية امتي امتي فقبض
رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم الاثتثن من شهر ربيع الاول

“ sesungguhnya Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam di akhir hidupnya menggerakkan kedua bibirnya dua kali, lalu aku mendekatkan telingaku dan aku mendengar Nabi mengucapkan “ Ummatku, ummatku “ secara pelan, lalu wafatlah Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam di hari Isnin bulan Rabi’ul Awwal “.[4]

Dalam hadits sahih disebutkan bahwa ketika Nabi selesai membaca surat Ibrahim ayat 36 dan surat al-Maidah ayat 118, maka Nabi mengangkat kedua tangannya dn mengucapkan :

اللهم أمَّتِي أمّتِي، وبكى فقال الله -عز وجل-: "يا جبريل، اذهب إلى محمد -وربك أعلم- فَسَلْه: ما يبكيك؟"، فأتاه جبريل فسأله، فأخبره رسول الله -صلى الله عليه وسلم- بما قال-وهو أعلم- فقال الله: "يا جبريل، اذهب إلى محمد فقل: إنا سنرضيك في أمتك ولا نسوءك
“ Ya Allah, umatku, umatku..dan Nabi menangis. Maka Allah berkata, “ Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad – Dan Tuhanmu Maha Mengetahui – dan tanyalah kepadanya apa yang menyebabkannya menangis ? maka Jibril mendatanginya dan bertanya, maka Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam menceritakan apa yang telah diceritakan, maka Allah menjawab : “ Wahai Jibril, pergilah kepada Muhammad dan katakanlah, “ Sesungguhnya Kami akan meredhai umatmu, dan tidak akan berbuat buruk pada umatmu “. (HR. Muslim)

Perhatikan hadits sahih ini, amat jelas menunjukkan bahwa Nabi shallahu ‘alaihi wa sallam begitu cinta dan perhatiannya kepada umatnya, baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam tidak rela umatnya celaka di dunia maupun di akhirat kelak. Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam menyebut “ ummati “ dua kali. Renungi, dan resapi seruan dan doa Nabi tersebut dalam diri kita, bayangkan beliau menyebut nama kita dua kali….tidakkah engkau merasakan seruan lisan mulia Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam yang berdoa dan memohon kepada Allah agar kita sebagai umatnya diselamatkan dari neraka Allah ?? sungguh kami khuatir mereka yang mempermasalahkan riwayat “ ummati, ummati “ menjelang kewafatan Nabi, dicabut rasa cinta dan rindunya kepada Nabi, Allahumma nas’alukal ‘afwa wal ‘afiyah…

Ditulis Oleh: ustazah Shofiyyah An-Nuuriyah

Asy'ari research group : http://aswj-rg.blogspot.com/2013/12/seputar-isu-riwayat-kewafatan-nabi-saw.html

[1] Takhrij Ahadits al-ihya, al-Iraqi, bisa lihat di sini : http://www.islamport.com/b/3/alhadeeth/takhreej/
[2] As-Silsilah adh-Dahifah, Albani : 5/354. No. 2329
[3] Hadil Arwah ila Biladil Afrah, Ibnul Qayyim : 1/77-78
[4] Hadits ini disebutkan oleh Syeikh ‘Uthman bin Hasan bin Ahmad as-Syakir al-Khubawi al-Hanafi (w. 1241H) dalam kitabnya Durrah an-Nashihin mukasurat 64, namun beliau tidak menyebutkan sanad periwayatnnya dan sumber asalnya. Setelah saya takhrij melalui lafaznya, awal matannya, Rowi a’lanya, maudhu’ (tema)-nya, dan shifatnya, dan semua metode takhrij telah saya lakukan, namun saya belom juga menemukannya. Maka saya tidak berani menghukuminya dhoif, maudhu’ atau pun sahih. Saya tawaqquf di sini.