CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 20 Ogos 2012

Menjawab Dakwaan Batil Dalam Harian Metro : Menyambut 1 Syawal : Elak Tindakan Tak Ikut Syariat

Menjawab artikel mengelirukan yang ditulis oleh Ketua Biro ILMU mengenai 1 Syawal yang lalu - rupanya mereka ini sudah 'terlepas' dalam Sinar Harian (dah lama pun) dan Harian Metro. Rujuk tulisan penulis bernama Ahmad Tajuddin Idris al Manhaji di SINI

Oleh : Ustaz Muhadir bin Haji Joll
MEMBETULKAN KEKELIRUAN...


Muqaddimah

Beberapa ikhwan telah menghubungi Al-Faqir meminta pandangan terhadap artikel tulisan seorang penulis dalam akhbar  Harian Metro,  edisi  hari Jumaat,  17 Ogos 2012 dalam ruangan  Minda dengan tajuk “Menyambut 1 Syawal: Elak tindakan tak ikut syariat”.  Al-Faqir tidak terus  menyatakan pendirian kerana belum membacanya dan  sama sekali tidak berminat  untuk menulis komen terhadap tulisan orang lain. Namun, setelah membaca keseluruhan tulisan tersebut, Al-Faqir merasa suatu kewajipan untuk menulis sebagai  suatu pencerahan kerana artikel tersebut benarbenar mengelirukan ummat.

Barang kali tulisan  secara  cepat dan  ringkas ini hanyalah  jawapan  permulaan kerana beberapa sahabat Al-Faqir akan menjawabnya juga dalam penulisan mereka akan datang. Mohon kepada para Alim Ulama’ untuk membetulkan mana-mana kesilapan jika terdapat di dalam tulisan mutawadhi’ ini. Nafa’anallahu bikum wa bi’ulumikum fid darain, Amin....

Muhadir bin Haji Joll as-Sanariy
Universiti Islam Antarabangsa, 
Petaling Jaya, Selangor 
12.00 am, 1 Syawal 1433H/ 19 Ogos 2012M.

Membetulkan Kekeliruan

Aquulu wa bilLaahit tawfiiq:

Niat?

Apakah tujuan sebenar niat penulis membawa isu sebegini dalam penulisannya sedangkan apa yang 
ditimbulkan adalah bersifat khilafiyyah dan ia telah dijawab oleh para ulama’ seawal timbulnya  mazhab? Jika niatnya untuk membetulkan masyarakat, semoga niat baiknya diganjari Allah .  Namun hendaklah ditafhshil (diteliti), apakah benar yang hendak dibetulkan itu salah atau dalam  erti kata lain menyalahi syara’?

Beberapa persoalan

Melalui tulisannya, beberapa isu atau perkara yang dianggap salah atau menyalahi syara’ mengikut 
pandangan beliau, dapat disimpulkan seperti berikut:

1- Menziarahi kubur pada 1 Syawal bukan sunnah Nabi .
2- Menziarahi kubur membawa kesedihan sedangkan kita disuruh untuk bergembira pada Hari Raya.
3- Menziarahi kubur pada  Hari  Raya seolah-olah mengikut perbuatan Kristian dalam menyambut 
hari Natal dan amalan masyarakat Hindu apabila tiba Deepavali.
4- Duduk di atas kubur.
5- Membawa makanan di tanah perkuburan untuk dijamu sanak saudara.
6- Membaca Al-Qur’an hendaklah di rumah bukan di kubur.
7- Membaca Al-Qur’an dan surah di kubur. 
8- Apakah sampai pahala bacaan Al-Qur’an kepada si mati?
9- Amalan bermaaf-maafan pada 1 Syawal boleh mendatangkan kesedihan.

Jawapan dan pencerahan

1-  Menziarahi kubur pada 1 Syawal bukan sunnah Nabi

Beliau menulis: 
“... Apakah perbuatan ini satu sunnah daripada Nabi? Apakah pernah Nabi melakukan ziarah kubur 
pada 1 Syawal seperti amalan masyarakat kita? Adalah menjadi sunnah dan amalan Nabi menziarahi 
kubur tetapi menziarahi kubur pada 1 Syawal tidak pernah satu pun riwayat yang menunjukkan Nabi 
melakukannya. Mungkin ada yang bertanya apakah jika Nabi tidak menziarahi kubur pada 1 Syawal 
apakah kita juga tidak boleh melakukannya?”

Komen:

Maksud sunnah

Terlebih dahulu,  hendaklah difahami apa maksud ‘sunnah’.  Sunnah ialah : “Segala sesuatu yang disandarkan kepada Nabi sama ada perkataan, perbuatan atau taqrir Baginda .

Segera difahami dari definisi ini ialah sunnah bukan sahaja apa yang Nabi buat, tapi juga apa yang diucapkan dan ditaqrirkan oleh Baginda .  Berkenaan  dengan apa yang diucapkan, bukankah Baginda pernah bersabda :

“Aku dahulu  pernah  melarang kamu daripada  menziarahi kubur, maka ziarahilah kamu  akan dia.” 
(Riwayat Muslim)

Ini adalah ucapan Nabi dan ucapan Nabi juga adalah sunnah. Fata’ammalu... 

Oleh itu, para fuqaha’ menyatakan bahawa menziarahi kubur hukumnya sunat dengan ijma’. (Lihat Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah, Syaikh Abdul Qadir al-Mandili, ms. 51)

Hujjah al-Islam, Imam Al-Ghazzali (505H) menyebutkan di dalam Ihya’, 4/521: “Ziarah kubur secara keseluruhannya adalah sunat untuk tujuan  ingat memperingati dan mengambil pelajaran. Dan menziarahi kubur orang-orang yang soleh adalah sunat untuk mengambil berkat (tabarruk), juga mengambil pengajaran daripadanya.” (Lihat juga Faidh al-Qadir, 1/55)

Menziarahi kubur pada 1 Syawal?

Perintah dan keizinan menziarahi kubur daripada insan yang paling mengerti hukum hakam syara’ ini adalah umum, pada bila-bila masa sahaja termasuk pada 1 Syawal. Benar Nabi tidak pernah mengkhususkan menziarahi kubur pada 1 Syawal, tetapi Nabi juga  tidak pernah melarang menziarahinya pada hari tersebut. 

Kubur muslimin sunat diziarahi pada bila-bila masa, sama ada pada hari raya atau luar dari hari raya.  Hakikatnya, orang menziarahi kubur bukan hanya pada hari raya (pertama) tersebut, bahkan juga hari kedua, ketiga dan seterusnya, mengikut kelapangan masa masing-masing. Hari raya pertama dipilih kerana dikesempatan kaum keluarga dan sanak saudara berkumpul, alangkah baiknya sama-sama menziarahi kubur  orang tersayang dan menghadiahkan pahala kepada mereka sebagai tanda ingatan dan membantu mereka yang memerlukan kiriman pahala di alam  barzakh sana.  Sesuatu  amalan yang dibuat secara berjemaah atau bersama-sama, lebih mendatangkan semangat dan penghayatan.  Inilah  juga  kesempatan terbaik bagi anak-anak yang belajar atau bekerja di luar negara atau yang tinggal jauh umpamanya, yang hanya balik ke kampung setahun atau beberapa tahun sekali, untuk menziarahi kubur ayah ibu dan sanak saudara mereka yang lama ditinggalkan. 

Dari sudut yang lain, secara pasti, tidak ada satu dalilpun yang mengharamkan mengkhususkan menziarahi kubur pada hari-hari tertentu termasuk 1 Syawal, asalkan tidak menyandarkannya kepada syara’.

Oleh kerana tidak ada perintah atau larangan secara khusus untuk menziarahi kubur pada hari raya, secara hukumnya ia dibolehkan. 

Amalan menziarahi kubur keluarga atau sanak saudara pada pagi 1 Syawal Hari Raya sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat Islam di Malaysia dan dunia Islam lain umumnya sejak dahulu lagi. Adalah sangat mustahil, jika perkara ini menyalahi syara’, lalu ia dibiarkan begitu sahaja tanpa ada teguran oleh para alim ulama’. Fata’ammalu...

Nabi tidak melakukannya?

Mengatakan apa-apa yang tidak dilakukan Nabi atau yang ditinggalkan Baginda ,  lalu mengatakan  tidak boleh melakukannya  dengan alasan  ia  Bid’ah Dhalalah adalah pendapat  yang menyempitkan roh syariat Islam yang bersifat menyeluruh (syumul) dan tetap  serta  fleksible (thabat wa murunah).

Para fuqaha’ Ushul Fiqh menyebutkan At-Tark ialah apa-apa yang tidak dilakukan Nabi atau yang ditinggalkan Baginda . 
Ia termasuk dalam kaedah:

(At-Tark tidak menatijahkan hukum) dan juga kaedah :
(At-Tark tidak semestinya menunjukkan keharamannya)

Kaedah-kaedah ini bermaksud:  Sesuatu amalan yang tidak dilakukan oleh Nabi , tidaklah semestinya haram/ tidak boleh dilakukan. Jika tidak terdapat nas yang menunjukkan haram atau halalnya sesuatu perkara, hukumnya adalah harus/ bukan haram atau bukan Bid’ah Dhalalah. Ia hanya haram/ tidak boleh dilakukan jika:

1- ada ancaman berupa seksaan jika melakukan amalan itu
2- amalan itu dikecam oleh syara’
3- hukuman disediakan jika amalan itu dilakukan, dan
4- ada lafaz yang mengharamkan perkara atau amalan itu.

(Lihat Husn at-Tafahhum wa ad-Dark li Mas’alah at-Tark, As-Sayyid Abdullah bin Shiddiq al-Ghummari dalam Al-Bayan 
lima Yashghal al-Azhan, ms. 210)

Hendaklah difahami bahawa apa yang ditinggalkan atau yang tidak dibuat oleh Rasulullah , bukanlah semestinya bererti perkara itu haram, tetapi ia hanyalah menunjukkan perkara itu bukan wajib, atau ia boleh ditinggalkan. Sebab itulah dikatakan:“Sesungguhnya At-Tark bukanlah bermaksud ia haram, akan tetapi ia bermaksud harus/ boleh 
ditinggalkan.”

2- Menziarahi kubur membawa kesedihan sedangkan kita disuruh untuk bergembira pada Hari Raya.

Beliau menulis: “Andai kita menziarahi kubur pada hari raya apakah akan timbul perasaan gembira? Pasti yang timbul 
adalah perasaan sedih dan kepiluan dalam mengenang waris yang telah meninggal dunia. Apakah dengan timbulnya perasaan sedih ini dianggap menepati apa yang Nabi tunjukkan? Sedangkan Nabi menyuruh kita agar meraikan hari raya ini dengan kegembiraan, bahkan kegembiraan yang kita dapati pada hari raya ini pula mendapat pahala di sisi agama.”

Komen:

Jika bersedih sekejap di kubur kerana mengenangkan orang tersayang yang sudah meninggal dunia, ia adalah suatu yang lumrah dan ia dibolehkan, asalkan tidak keterlaluan sehingga meraung-raung kesedihan, mengoyak-ngoyak baju dan menyalahkan taqdir. Rasulullah sendiri bersedih ketika meninggalnya anak Baginda , Sayyiduna Ibrahim.  Para sahabat juga bersedih ketika kewafatan Baginda . Hakikatnya,  orang akan lebih bersedih dan terkilan jika tidak berkesempatan menziarahi kubur orang yang tersayang pada hari raya dan sebaliknya bergembira jika berkesempatan 
menziarahinya kerana menolongnya dengan bacaan Al-Qur’an, berdoa dan bersedekah untuknya ketika menziarahinya di kubur.  

3- Menziarahi kubur pada hari perayaan seolah-oleh mengikut perbuatan Kristian dalam menyambut hari Natal dan amalan masyarakat Hindu apabila tiba Deepavali.

Beliau menulis: “Bahkan menziarahi kubur pada hari perayaan ini lebih kepada perbuatan Kristian dalam menyambut 
hari Natal dan juga amalan masyarakat Hindu apabila tiba Deepavali. Dikhuatiri kita menyerupai amalan sesuatu agama. Maka berhati-hatilah kita dalam beragama.”

Komen:

Di dalam Qaedah Ushul, perbandingan sebegini disebut:

“Qiyas  bersama sesuatu yang tidak sama.”

Ini kerana apa yang dibuat oleh orang Kristian dan Hindu tersebut tidak ada asas, jelas sesat dan ada unsur haram, syubhat dan syirik, sedangkan menziarahi kubur yang dilakukan oleh orang Islam mempunyai asas yang jelas dari  nas sama ada secara langsung atau di bawah keumuman dalil dan termasuk di dalam Qawa’id Fiqhiyyah (Kaedah-kaedah Feqah).

4- Duduk di atas kubur.

Beliau menulis: 
“Bahkan di kuburan tersebut kita tidak menjaga adab-adab berada di tanah perkuburan dengan 
duduk-duduk di atas tanah kuburan tersebut...”

Komen:

Kita bersetuju dengan tulisan beliau tentang duduk di atas kubur tersebut. Larangan duduk di atas kubur datangnya daripada beberapa hadith. Jumhur ulama’ mengatakan tentang keharamannya. (Lihat Al-Minhaj, Imam Nawawi, 7/41,  Nail al-Awthor, Asy-Syaukani, 4/136,  Subul as-Salam, Imam ash-Shan’ani, 3/573-574, Tuhfah al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri, 4/153 dan lain-lain).

Hendaklah ditafshilkan bahawa  apa yang dilarang ialah duduk di atas kubur, bukan duduk di tepi kubur umpamanya duduk di atas tikar atau di atas kerusi di tepi kubur. 

5- Membawa makanan di tanah perkuburan untuk dijamu sanak saudara.

Beliau menulis:

“Ada juga sebahagian umat Islam yang membawa makanan di tanah perkuburan untuk dijamu 
bersama sanak-saudara seolah-olah ingin merayakan hari raya di situ.”

Komen : 

Secara ikhlas,  sehingga usia sebegini (hampir 40 an), Al-Faqir belum menjumpai lagi perbuatan ini dilakukan oleh orang-orang Islam yang menziarahi kubur. Apa yang  Al-Faqir lihat ialah mereka bersedekah duit atau surah Yasin kepada kanak-kanak atau penziarah kubur yang lain dengan niat pahala sedekah itu sampai kepada si mati yang diniatkan kepadanya amalan itu. Jika benar ada perbuatan membawa makanan ini di tanah perkuburan lalu di makan bersama-sama  sanak saudara, mungkin ia hanya dilakukan oleh orang yang tidak mengerti  hukum dan perbuatan 
itu tidak sepatutnya dilakukan. Namun mengatakan ia dilakukan oleh ramai orang adalah suatu dakwaan yang kurang teliti.

6- Membaca Al-Qur’an hendaklah di rumah bukan di kubur.

Beliau menulis:

“Sedangkan perbuatan ini telah menyanggah  hadis Nabi yang memberi amaran kepada kita dengan sabdanya: “Janganlah kalian menjadikan rumah kalian seperti kuburan.” (Hadis Muttafaq ‘alaih) Hadis Nabi ini memberi maksud kepada kita melalui perbahasan para ulama bahawa al-Quran itu hendaklah dibaca di  rumah-rumah kita kerana rumah yang tidak dibacakan al-Quran seperti kubur, di mana kefahaman sebaliknya dapat kita fahami dari hadis ini, kubur bukanlah tempat kita membaca al-Quran di dalamnya.”

Komen:

Allah   berfirman:
“Dan kerjakanlah amal-amal kebajikan.” (Surah Al-Hajj: 77)

Ayat ini adalah umum untuk semua amal kebajikan dan membaca Al-Qur’an tidak kira di mana sahaja (asalkan bukan di tempat yang kotor dan hina) adalah termasuk di dalam amal-amal kebajikan. Tidak pernah ada Ahli al-Ilm yang mengatakan membaca Al-Qur’an hanya di rumah dan tidak  membolehkan ia dibaca di kubur. Terlalu banyak dalil tentang fadhilat membaca Al-Qur’an secara umum, di mana-mana sahaja.

7- Membaca Al-Qur’an dan surah di kubur. 

Beliau menulis: 

“Tidak cukup dengan itu, dapat dilihat di antara kebiasaan kaum muslimin yang berada di tanah perkuburan ini mereka membaca al-Quran dan beberapa surah dengan harapan mudah-mudahan bacaan tersebut dapat memberikan bekalan kepada si mati di kalangan ahli waris mereka yang telah meninggal dunia.”

Komen:

Ahl al-Haq (Ahlus Sunnah wal Jama’ah) telah  ijma’ (sepakat) dalam membolehkan membaca AlQur’an untuk mayat dan bacaan itu bermanfaat bagi si mayat dan pembacanya.  Mereka juga sepakat (ijma’) bahawa membaca Al-Qur’an di atas kubur sangat dianjurkan.

Allah   berfirman:

“Dan kerjakanlah amal-amal kebajikan.” (Surah Al-Hajj: 77)

Ayat ini adalah umum untuk semua amal kebajikan dan membaca Al-Qur’an tidak kira di mana sahaja (asalkan bukan di tempat yang kotor dan hina) adalah termasuk di dalam amal-amal kebajikan.

Disebutkan di dalam hadith:
“Bacalah untuk mayat-mayat kamu Surah Yasin.” (Riwayat Ibn Hibban dan dishahihkannya)

Imam Asy-Syaukani dalam  Az-Zakhirah ath-Thaminah, ms. 43 berkata:  “Hadith ini darjatnya Hasan. Tidak ada beza bacaan Yasin dari jemaah yang hadir di sisi orang mati atau di atas kuburnya dengan membaca seluruh ayat Al-Qur’an atau sebahagiannya bagi orang mati, di masjid atau di rumah.“ (Lihat juga Umat Bertanya Ulama’ Menjawab, K.H. Drs. Ahmad Dimyathi Badruzzaman, ms. 94-95 dan Risalah  Tabyin ad-Dala’il fi Takhlish al-Masa’il, ms. 27-30)

Imam Ad-Darquthni meriwayatkan daripada Ali daripada Nabi  bersabda:

“Sesiapa yang melalui kawasan perkuburan, lalu membaca Qul Huwallahu Ahad  sebanyak 11 kali, kemudian menghadiahkan pahalanya kepada orang-orang yang telah meninggal dunia, dia akan dikurniakan ganjaran mengikut bilangan orang-orang yang telah meninggal dunia tersebut.”

Imam Syafi’e berkata: 

“Sekiranya mereka membaca  beberapa ayat Al-Qur’an di atas perkuburan mayat Muslim, ia adalah sesuatu yang baik. Sekiranya mereka membaca keseluruhan Al-Qur’an, ia adalah lebih baik.“ (dinaqalkan oleh Imam Nawawi dalam Riyadh ash-Shalihin. Lihat juga di dalam Al-Azkar, Imam Nawawi, ms. 147)

Disebutkan di dalam Fath al-Mu’in pada Hamisy I’anah ath-Tholibin, 3/221:

“Dan sesungguhnya telah dinaskan oleh Imam Syafi’e dan Ashhabnya atas sunatnya membaca apa-apa yang mudah di sisi mayat dan berdoa selepasnya. Ertinya, kerana bahawasanya ketika itu adalah lebih diharapkan untuk diterima (Allah ) dan kerana mayat mendapat barakah bacaan seperti orang hidup yang hadir.”

Al-Hafizh As-Suyuthi di dalam Syarh ash-Shudur menyebutkan: “Al-Baihaqi telah meriwayatkan di dalam Syu’ab dan Ath-Thobrani dari Ibn Umar dari Nabi  mafhumnya: “Apabila salah seorang daripada kamu meninggal dunia, maka janganlah kamu menahannya dengan lama.  Bersegeralah mengebumikannya dan bacakan Fatihatul Kitab (Surah Al-Fatihah) dekat kepalanya.” 

Dan menurut lafaz yang diriwayatkan Al-Baihaqi: “Bacalah permulaan Surah Al-Baqarah dekat kepalanya dan akhir 
Surah Al-Baqarah dekat kakinya, dikuburnya.” Al-Muhaddith Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki mengatakan:  “Para sahabat telah mengamalkan hadith ini.” (Lihat  Tahqiq al-Amal fi ma Yanfa’u al-Mayat min al-‘Amal, Al-Muhaddith as-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki,  ms. 58-60)

Imam Al-Baihaqi menyebutkan di dalam kitab Ma’rifah as-Sunan, 4/191:  “Imam Syafi’e berkata: “Dan aku suka jika dibacakan Al-Qur’an di sisi kubur dan didoakan terhadap mayat.”Imam Al-Hassan bin as-Sobah az-Za’farani bertanya kepada Imam Asy-Syafi’e: “Bagaimanakah hukum membaca Al-Qur’an di kubur? Imam Syafi’e menjawab: Laa ba’sa bih (tiada mengapa/ tiada apa-apa larangan akan hal itu).” (Lihat Tahqiq al-Amal fi ma Yanfa’u al-Mayat min al-‘Amal, ms. 58-60)

Di dalam kitab Al-Azkar, 5/311, di bawah tajuk  “Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian?, Imam Nawawi menyebutkan:  “Imam Syafi’e dan para sahabat (ulama’ Syafi’iyyah) mengatakan: “Disunatkan membaca di sisi kubur sesuatu daripada ayat Al-Qur’an. Mereka mengatakan: Jika mereka mengkhatamkan Al-Qur’an kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.”

Syaikh Khatib Syarbini mengatakan: “Dan hendaklah orang yang menziarahi kubur itu membaca apa yang mudah daripada Al-Qur’an di sisi penghuni kubur. Sesungguhnya rahmat itu turun pada tempat dibacakan Al-Qur’an. Dan mayat itu seperti orang yang hadir yang mengharapkan rahmat. Dan hendaklah orang yang menziarahi berdoa selepas membaca Al-Qur’an kerana doa itu memberi manfaat kepada mayat. Dan doa selepas membaca Al-Qur’an lebih cepat untuk diperkenankan…” (Lihat Al-Iqna’ fi Hall al-Alfazh Abi Syuja’, ms. 208)

Perkara yang disebut oleh  Dr Musthafa Khin,  Dr Musthofa al-Bugha dan Ali Syarbaji di dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam Asy-Syafi’e. 

Syaikh Ali Jum’ah di dalam fatwanya mengatakan: 

“Sepakat ulama’ dan ijma’ ulama’ Islam bahawa membaca Al-Qur’an di atas kubur tidak haram dan tidak pula berdosa pembuatnya. Jumhur ulama’ Hanafiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah membolehkannya. Mereka berdalilkan hadith:

“Sesiapa yang menziarahi perkuburan lalu membaca di situ (Yasin), diringankan azab ke atas mayat-mayat pada hari itu dan pembacanya akan diberikan kebaikan sebanyak orang yang meninggal dunia.” Ditakhrijkan oleh pengarang  Al-Khilal dengan sanadnya. Ibn Qudamah juga menyebutkannya di dalam Al-Mughni, 2/225 dan pengarang Tuhfah al-Ahwazi, 3/275

Telah shahih bahawa Ibn Umar telah mewasiatkan apabila beliau dikebumikan, agar dibacakan di sisinya awal Surah Al-Baqarah dan akhirnya.

Membaca Al-Qur’an di kubur ini bid’ah?

Mungkin juga orang yang mengatakan membaca Al-Qur’an di kubur ini bid’ah berdasarkan kepada satu riwayat Al-Khallal yang panjang. Ia hendaklah sepatutnya difahami sebaik-baiknya sehingga ke akhir riwayat. 

“…..Al-Khallal berkata: Aku mendapat khabar dari Al-Hassan bin Ahmad al-Warraq dari Ali bin Musa al-Haddad, beliau adalah seorang yang benar, dia berkata: Aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad Qudamah al-Jauhari mengunjungi satu jenazah. Setelah jenazah itu dikebumikan, seorang lelaki buta duduk membaca Al-Qur’an di sisi kubur. Imam Ahmad mendekati lelaki itu dan berkata: Wahai kamu! Membaca Al-Qur’an di sisi kubur adalah bid’ah. 

Setelah kami keluar, Muhamad bin Qudamah bertanya kepada kepada Ahmad bin Hanbal: Wahai Abu Abdullah, apa pendapatmu tentang Mubasysyir al-Halabi? Maka Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: Dia seorang yang thiqah. Beliau (Imam Ahmad) bertanya: Apakah kamu meriwayatkan sesuatu daripadanya? Ya! Jawab Ibn Qudamah. Dia pun melanjutkan penjelasannya: Aku mendapat berita dari Mubasysyir dari Abd ar-Rahman bin al-‘Ala bin alJallaj dari ayahnya, dia berwasiat jika nanti jenazahnya dikuburkan, hendaklah dibacakan permulaan dan akhir Surah Al-Baqarah di sisi kepalanya. Ayahnya berkata bahawasanya wasiat beliau itu beliau dengar dari sahabat Abdullah bin Umar. Sebaik sahaja mendengar riwayat itu, Imam Ahmad ibn Hanbal menyuruh agar kembali semula ke kubur dan 
memerintahkan agar lelaki buta tersebut meneruskan bacaan Al-Qur’annya.” (Riwayat ini disebut di dalam kitab Tahqiq al-Amal fi ma Yanfa’u al-Mayat min al-‘Amal, ms. 58 – 60)

Syaikh Dr. Wahbah az-Zuhaili menyebutkan bahawa sebahagian ulama’ mengatakan sunat ketika menziarahi kubur itu membaca surah Al-Fatihah, ayat Al-Kursi, surah Yaasin, At-Takathur dan AlIkhlash. (Lihat Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/540)

Perintah membaca Al-Qur’an jika diteliti tidak ada pada  waktu yang khusus dan di tempat yang khusus. Sesiapa sahaja yang membacanya akan diberi ganjaran pahala. Membaca Al-Qur’an di kubur bukanlah perkara maksiat. Di samping pahala bacaannya boleh membantu mayat, perbuatan baik ini akan menyebabkan orang yang membacanya mendapat pahala dari Allah .

Al-Fadhil Ustaz Haji Zamihan bin Haji Mat Zain al-Ghari telah mengupas tajuk ini dengan sangat baik dan ilmiah di dalam penulisan beliau yang menjelaskan tentang bagusnya membaca Al-Qur’an di kubur dan ia bukanlah perkara bid’ah (Dhalalah). (Lihat tulisan beliau tentang perkara ini di dalam: http://alghari.blogspot.com/)

8- Apakah sampai pahala bacaan Al-Qur’an kepada si mati?


Beliau menulis:

“Tidak cukup dengan itu, dapat dilihat di antara kebiasaan kaum muslimin yang berada di tanah perkuburan ini mereka membaca al-Quran dan beberapa surah dengan harapan mudah-mudahan bacaan tersebut dapat memberikan bekalan kepada si mati di kalangan ahli waris mereka yang telah meninggal dunia.” 


Dan:
“...  Lebih malang lagi sekiranya kita menyangka perbuatan membaca al-Quran dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati sebagai sesuatu yang menepati syariat.”

Komen:

Dua pernyataan ini adalah  tahakkum iaitu perkataan yang tidak ada dalil. Sebaliknya para ulama’ mu’tabar membolehkannya.

Imam Al-Qurthubi mengatakan: “Sebahagian ulama’ kami mengemukakan dalil sampainya bacaan Al-Qur’an kepada si mati dengan hadith berkenaan pelepah tamar yang dibelah dua oleh Nabi  . Kemudian Baginda  memacaknya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian Baginda  bersabda: “Mudah-mudahan ia dapat meringankan mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.” (Riwayat Asy-Syaikhan; Al-Bukhari dan Muslim)

Tentang hadith Rasulullah memacak pelepah tamar tersebut,  Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, 1/332, menyebutkan:

“Sesungguhnya makna padanya, bahawa pelepah itu bertasbih selama mana ia masih basah, maka, dapatlah (mayat) keringanan dengan berkat tasbih pelepah tersebut. Dan atas dasar perkara inilah, maka termasuklah juga kepada apa-apa sahaja yang ada basah termasuk pokok-pokok dan selainnya.  Dan seperti itu juga, sesuatu yang ada padanya keberkatan, seperti zikir dan bacaan Al-Qur’an tentu lebih aula (utama).”

Di dalam kitab  Kasyf al-Ghummah fi Ahwal al-Mauta fi al-Barzakh wa al-Qiyamah, ms. 47, karangan Syaikh Daud al-Faththoni menyebutkan bab khusus tentang perkara ini iaitu: “Ini suatu bab pada menyatakan barang yang datang pada membaca Al-Qur’an tatkala di kubur ketika ditanam dan kemudiannya dan bahawasanya sampai ia kepada mayat
pahalanya barang yang dibacakan dan didoakan baginya dan meminta ampun baginya dan yang disedekahkan baginya dan barang yang datang dibacakan tatkala dihantarkan di dalam kuburnya dan sunat berhenti pada kubur kemudian daripada tanamnya dan sunat talqin’.

(Kemudian Syaikh Daud mengatakan:)

“(Kata) Jalal ad-Din as-Sayuthi di dalam  Syarh ash-Shudur: Bersalah-salahan ulama’ pada sampai pahala membaca Qur’an bagi orang yang mati. Maka Jumhur as-Salaf dan imam yang tiga atas sampai pahalanya bagi mayat dan menyalahi yang demikian itu imam kita Al-Imam Asy-Syafi’e radhiallahu anhu dan mengambil dalil mereka itu atas sampai pahala ayat dengan qiyas daripada sampai pahala doa dan sedekah dan puasa dan haji dan merdeka. 
Maka bahawasanya tiada farq (beza) pada dalil naqli akan sampai pahala antara bahawa ada ia daripada haji atau sedekah atau waqaf atau doa atau baca Qur’an dengan beberapa hadith yang lagi akan datang sebutannya dan adalah hadith itu jika ada ia dha’if sekalipun…” (Lihat juga Furu’ Masa’il, Syaikh Daud al-Faththoni, 1/6)

Di dalam Tazkirah al-Qurthubi, ms. 25 disebutkan:

“Adalah Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata: Apabila kamu masuk ke perkuburan, maka bacalah Surah Al-Fatihah dan Muawwizatain (Surah Al-Falaq dan An-Nas) dan Qul Huwallahu Ahad, dan jadikanlah pahala bacaan itu hadiah kepada penghuni kubur. Sesungguhnya ia (pahala bacaan itu) sampai kepada mereka. Dan adalah beliau dahulu menolak pendapat sebelum itu akan sampainya pahala dari orang hidup kepada orang mati. Ketika sebahagian orang yang thiqah berkata kepadanya bahawasanya Sayyiduna Umar ibn Al-Khattab, radhiAllahu anh telah mewasiatkan ketika dia (akan) dikebumikan (nanti), agar dibacakan di sisi kepalanya Surah Al-Fatihah dan pengakhiran Surah AlBaqarah, lalu beliau (Imam Ahmad) maka dia menarik balik pendapatnya. 

Begitulah juga telah sampai berita kepada kami tentang Syaikh Izz ad-Din bin Abd as-Salam rahimahullah, bahawa beliau pernah menolak pendapat yang mengatakan sampainya pahala kepada orang mati dan beliau berhujah dengan ayat Al-Qur’an yang mafhumnya: “Dan tidaklah bagi manusia itu melainkan apa yang dia telah usahakan.” Tetapi ketika beliau meninggal dunia, sebahagian kawan-kawannya melihat beliau di dalam mimpi mereka, lalu bertanyakannya tentang perkara tersebut lalu beliau menjawab: Aku menarik balik dari apa yang pernah aku katakan tentang tidak sampainya pahala orang yang membaca kepada orang mati ketika aku melihat sampainya (pahala itu) sedangkan aku di dalam kubur. Dan lebih menguatkan pendapat ini oleh apa yang diriwayatkan oleh Al-Hafiz As-Salafi dalam hadith yang Marfu’: Sesiapa yang melalui perkuburan lalu membaca Qul huwallahu Ahad sebelas kali, kemudian menghadiahkan pahala bacaannya kepada orang-orang yang telah meninggal dunia, nescaya akan diberikan kepadanya pahala sebanyak bilangan orang-orang yang telah meninggal dunia itu.

Syaikh Dr. Wahbah az-Zuhaili menyebutkan di dalam kitab Al-Fiqh al-Islami ms. 551-551: 

“Dan dengan yang demikian itu adalah mazhab mutakkhirin Asy-Syafi’iyyah seperti mazhab imam-imam yang tiga iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali atas sampainya pahala bacaan AlQur’an kepada mayat. Berkata As-Subki: Dan yang menunjukkan atasnya oleh khabar dengan istinbat bahawasanya sebahagian Al-Qur’an itu apabila diqasad dengannya memberi manfaat akan mayat dan meringankan apa yang ia berada padanya nescaya memberi manfaat akan mayat itu. Dan sungguhnya telah mengharuskan oleh Qadhi Hussain mengupah atas membaca Al-Qur’an di sisi mayat. 

Dan telah berkata Imam Ibn Solah: Dan sayugia bahawa berkata oleh yang membaca Qur’an itu : Ya Allah ! Sampaikanlah pahala apa yang telah kami baca kepada sifulan; Maka menjadikan olehnya akan doa. Dan tiada khilaf pada yang demikian itu sama ada dekat atau jauh dan sepatutnya memutuskan dengan ini.”

Syaikh  Ibn Taimiyyah pernah ditanya tentang bacaan Al-Qur’an untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab sebagaimana tersebut dalam kitabnya: ”Sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Qur’an dari keluarganya. Dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada Allah  apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula kepadanya.” (Lihat Majmu’ Fatawa, 24/324)

Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan  yang dihadiahkan kepada si mati beserta dalilnya) mengatakan:  “Adapun membaca Al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati secara sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…” (Lihat Ar-Ruh, ms. 152-159)

9- Amalan bermaaf-maafan pada 1 Syawal boleh mendatangkan kesedihan.

Beliau menulis: 

“Upacara bermaafan Tidak cukup dengan itu kita melakukan upacara bermaaf-maafan sesama ahli keluarga. Bukanlah hal ini tidak baik tetapi ia dilakukan tidak kena pada masanya. Kerana majlis ini tidak lain akan mendatangkan juga kesedihan dan air mata. Adalah sesuatu yang akan menimbulkan kesedihan dan kepiluan dengan majlis bermaaf-maafan ini dan apabila kesedihan yang melanda maka secara automatiknya kegembiraan hari raya yang disyariatkan bergembira ini akan hilang.”

Komen:

Amalan saling bermaafan sesama ahli keluarga, kaum kerabat, sahabat handai dan sesama Islam dikira sebagai amal soleh yang mempunyai fadhilat yang besar dan sangat dianjurkan di dalam Islam. 

Allah  berfirman:

“Jadilah engkau sebagai pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan perbuatan baik, serta berpisahlah 
dari orang-orang yang jahil.” (Surah Al-A’raf: 199)

Sifat memaafkan orang lain juga termasuk di dalam ciri hamba Allah  yang bertaqwa seperti mana 
firmanNya:

“(Orang-orang yang bertaqwa adalah) mereka yang menafkahkan (hartanya) baik di waktu lapang maupun sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya serta (mudah) memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah  menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran: 134)

Rasulullah secara  khusus menyatakan  besarnya keutamaan dan pahala  bagi  sifat mudah memaafkan di sisi Allah  mafhumnya: “Tidaklah Allah  menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya) kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat).” (Riwayat Muslim dan lain-lain)

Perintah saling bermaafan di antara satu dengan yang lain ini adalah umum, sama ada pada 1 Syawal atau selainnya, pada bila-bila masa. Bersedih kerana mengenangkan dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan terhadap sesama 
keluarga, kaum kerabat dan orang lain adalah suatu yang baik asalkan tidak keterlaluan. Bersedih ketika itu adalah tanda insan mengakui akan kesilapan dan kekurangannya yang tidak sunyi dari melakukan dosa dan kesalahan. 

Mengatakan suasana sebegini akan mendatangkan kesedihan, memang benar, tetapi ia  bukan berpanjangan sehingga boleh mencacatkan kegembiraan di pagi Hari Raya. Hakikatnya, suasana sedih itu hanya sebentar sahaja ketika bersalam-salaman dan mengucapkan permohonan maaf di antara satu dengan yang lain. Selepas itu, suasana akan berubah menjadi ceria dan kembali bergembira. 

Jika diteliti, tidak ada satu pun dalil yang mengharamkan bermaaf-maafan di pagi Hari Raya.

Kesan positifnya lebih banyak dari sedikit kesedihan yang juga baik. Mungkin terjadi di antara ahli keluarga yang tidak pernah meminta maaf di antara satu dengan yang lain sebelum ini, maka di pagi 1 Syawal inilah mereka saling bermaafan di antara satu dengan yang lain.

Kefahaman yang kurang tepat

Pertama:

Beliau menulis: 

“Tidak cukup dengan itu, dapat dilihat di antara kebiasaan kaum muslimin yang berada di tanah  perkuburan ini mereka membaca al-Quran dan beberapa surah dengan harapan mudah-mudahan bacaan tersebut dapat memberikan bekalan kepada si mati di kalangan ahli waris mereka yang telah meninggal dunia....  Sedangkan perbuatan ini telah menyanggah hadis Nabi yang memberi amaran kepada kita dengan sabdanya: “Janganlah kalian menjadikan rumah kalian seperti kuburan.” (Hadis Muttafaq ‘alaih)

“Hadis Nabi ini memberi maksud kepada kita melalui  perbahasan para ulama bahawa al-Quran itu hendaklah dibaca di rumah-rumah kita kerana rumah yang tidak dibacakan al-Quran seperti kubur, di mana kefahaman sebaliknya dapat kita fahami dari hadis ini, kubur bukanlah tempat kita membaca alQuran di dalamnya.”

Komen: 

Kenyataan beliau: “.... di mana kefahaman sebaliknya dapat kita fahami dari hadis ini, kubur bukanlah tempat kita membaca al-Quran di dalamnya.”, tidak pernah dinukilkan oleh mana-mana Ahli alIlm.  Sebaliknya membaca Al-Quran boleh di mana-mana asalkan jangan di tempat yang kotor dan hina.

Kedua:

Beliau menulis: 

“Imam Syafie dalam membantah amalan ini beliau menegaskan dengan berkata: “Sesungguhnya pahala bacaan al-Quran dan hadiah pahala tidak sampai kepada si mati kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha mereka. Rasulullah tidak pernah menghukum sunnah umatnya dan tidak pernah mendesak mereka melakukan perkara tersebut dan tidak pula menunjukkan kepadanya walau  melalui satu nas atau seruan.” (lihat Tafsir Ibnu Kathir Jilid ke-4)”

Komen:

Memang ada riwayat yang mengatakan bahawa Imam Syafi’e berpendapat bahawa hadiah pahala tidak sampai kepada si mati. Tetapi, ia adalah apabila bacaan itu tidak dibaca di hadapan mayat atau tidak didoakan setelah membacanya. 

Imam Zakariya al-Anshari menyatakan:

“Sesungguhnya pendapat masyhur dalam mazhab Syafi’e mengenai bacaan Al-Qur’an (yang pahalanya dikatakan tidak sampai kepada si mati itu) adalah apabila dibaca tidak ketika mayat berada di dalam majlis (di hadapan mayat) dan jika tidak diniatkan hadiah pahala kepadanya atau diniatkan pahala bacaan kepadanya tetapi tidak membaca doa sesudah bacaan Al-Qur’an tersebut.” (Lihat  Hukm asySyari’ah al-Islamiyyah fi al-Ma’tam al-Arba’in, ms. 43)

Imam Syafi’e sendiri pernah menziarahi makam Imam Laith bin Sa’d kemudian beliau membaca AlQur’an seperti yang disebutkan di dalam Az-Zakhirah ath-Thaminah, ms. 64:

“Dan telah tawatir (masyhur) riwayat bahawa Imam Syafi’e telah menziarahi makam Imam Laith bin Sa’d. Beliau memujinya dan membaca Al-Qur’an di sisi kuburnya dengan sekali khatam. Beliau berkata: Aku mengharapkan agar ia (iaitu perkara membaca Al-Qur’an seperti di sisi makam Imam Laith) akan berterusan, maka begitulah (perbuatan membaca Al-Qur’an di sisi makamnya) seperti apa yang dikatakan (didoakan) oleh Imam Syafi’e.”

Nasihat dan pedoman

Perkara yang melibatkan  hukum hakam dalam agama hendaklah diserahkan kepada  Ahlinya yang memiliki malakah fiqhiyyah. Adalah sangat sangat bahaya jika ia dibahaskan tanpa ilmu yang tahqiq(benar). Para fuqaha’ yang telah mencapai tahap malakah fiqhiyyah ini telah menumpukan himmahyang tinggi  dan pembacaan yang meluas terutama sekali dalam perkara yang melibatkan hukum. 

Kerana itulah, mereka sangat berhati-hati dalam perkara agama termasuklah yang melibatkan masa’il fiqhiyyah furu’iyyah.

Para masyaikh selalu mengingatkan:

“Sesiapa yang banyak pembacaannya, maka kuranglah i’tiradhnya (bangkangannya).”

Saranan

Pihak berwajib dan pihak akhbar seharusnya mengambil perhatian dalam mengawal penulisan yang berkaitan dengan agama dan hukum hakam lebih-lebih lagi ia ditulis oleh orang yang dijuluki dengan nama  orang agama atau ustaz/ ustazah.  Kesalahan  yang terhasil dari kumpulan sebegini lebih mendatangkan mudharat yang besar kepada awam. 

Kaedah menyebutkan:

“Kebaikan bagi orang kebanyakan adalah suatu keburukan bagi orang yang dekat (dengan agama).”

Sisipan

Sebahagian besar perbahasan ini telah  dijawab  di  dalam buku  Al-Faqir “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah Jawapannya” , terbitan Mawleed Publishing Sdn. Bhd. Buku setebal 915  muka surat  ini telah diberi  taqriz/ kata-kata aluan oleh 6 orang Mufti dan 2 orang ilmuan Islam.

Silalah merujuk kepadanya untuk kupasan lebih lanjut.

Buku ini boleh didapati di Pustaka Darul Nu’man, Tingkat 1, Wisma Yakin, KL (03-26988495).

Sumber :

1. 
http://roskiman.com/blog/2012/08/19/amalan-1-syawal-membetulkan-kekeliruan/

2.http://roskiman.com/wp-content/uploads/2012/08/MEMBETULKAN-KEKELIRUAN-di-dalam-Metro.pdf

Isnin, 13 Ogos 2012

Adakah selawat selepas setiap 2 rakaat solat sunat terawih adalah bid'ah ?


Soalan :

Adakah harus dibaca surah al-Ikhlas setiap empat rakaat solat Tarawih dan adakah harus berselawat ke atas Nabi SAW selepas setiap dua rakaat solat Tarawih?
 


Jawapan :

Sudah menjadi kebiasaan umat Islam di Malaysia membaca surah al-Ikhlas dan berselawat ke atas Nabi SAW dalam melaksanakan solat Tarawih. Jesteru itu, marilah kita renung perbahasan hukum berhubung perkara tersebut:


Tuntutan syarak menyuruh kita membaca al-Quran secara mutlaq tanpa ditentukan waktu dan keadaan kecuali beberapa keadaan terkecuali seperti dalam keadaan janabah. Sementara itu, Rasulullah SAW ada menjelaskan kelebihan membaca surah al-Ikhlas dan digalakkan membacanya pada waktu malam sebagaimana sabda Baginda kepada para sahabatnya,

أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأ فِى لَيْلَةٍ ثُلُثَ القُرْآنِ، قَالُوا: وَكَيْفَ يَقْرَأُ ثُلُثَ القُرْآنِ، قَالَ: قُلْ هُوَ اللهُ أُحَدٌ تَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ.

Yang bermaksud, Adakah sukar bagi kamu untuk membaca pada waktu malam 1/3 al-Quran. Sahabat bertanya: Bagaimana hendak membaca 1/3 al-Quran. Baginda menjawab: (Bacalah) قل هو الله أحد (surah al-Ikhlas) kerana ianya menyamai 1/3 al-Quran.


Diriwayatkan oleh Muslim, daripada Abi al-Darda’ dan al-Bukhari, Daripada Abi Said al-Khudri ra, daripada Aishah ra

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةِ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِى صَلاَتِهِ فَيَخْتِمُ بـ (قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ) فَلَمَّا رَجَعُوا ذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: سَلُوهُ لأَيِّ شَيْء يَصْنَعُ ذَلِكَ، فَسَأَلُوهُ، فَقَالَ: لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ، وَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلهِ وَسَلَّمَ: أَخْبِرهُ أَنَّ اللهَ يُحِبُّهُ.

Yang bermaksud, Nabi SAW telah mengutus seorang lelaki ke Syria. Dia selalu membaca قل هو الله أحد (surah al-Ikhlas) pada akhir solat ketika bersama sahabatnya. Apabila mereka pulang para sahabat mengadu perkara tersebut kepada Nabi SAW dan Baginda bersabda: Tanya dia kenapa dia berbuat demikian. Lalu sahabat bertanya kepadanya dan dia menjawab: Kerana surah itu terkandung sifat al-Rahman (Allah) dan aku suka dan kasih untuk membacanya. Nabi SAW bersabda: Beritahu dia bahawa turut  kasih kepadanya.


Begitu juga berselawat ke atas Nabi SAW adalah sebahagian amalan yang afdhal dilakukan dan diterima oleh Allah.

إِنَّ اللهَ وَمَلآئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَتَسْلِمُوا تَسْلِيمًا
Yang bermaksud, Sesungguhnya Allah dan malaikatNya bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad, s.a.w.); wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
(al-Ahzab, 56)

Perintah ini adalah mutlaq, yang bermaksud ianya umum pada tempat, masa, diri seseorang dan keadaan. Sesiapa mendakwa, tanpa dalil, ianya haram dilakukan pada waktu tertentu maka dia telah menyempitkan apa yang Allah telah luaskan. Ini kerana mengikat sesuatu yang mutlaq dan mengkhususkan yang umum tanpa dalil merupakan bid’ah yang buruk.

Kesimpulannya, membaca surah al-Ikhlas dan berselawat ke atas Nabi SAW ketika melaksanaan solat Tarawih adalah harus dan disyariatkan.

والله سبحانه وتعالى أعلم

Rujukan
Darul Ifta’ al-Misriyah


Sumber : http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tarekat-tassawuf/738-hukum-membaca-surah-al-ikhlas-dan-berselawat-ke-atas-nabi-saw-ketika-melaksanakan-solat-tarawih

Khamis, 2 Ogos 2012

Gandakan Sedekah Di Bulan Ramadhan






Oleh : Mufti Brunei

GANDAKAN SEDEKAH DI BULAN RAMADHAN 

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ، ﻭﺍﳊﻤﺪ ﷲ ، ﻭﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻰ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ ، ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﻣﻦ ﻭﺍﻻﻩ

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Ramadhan merupakan medan pahala yang terkumpul dalamnya khazanah kelebihan yang tidak terhitung dan tidak dapat dinilai dengan harta benda. Segala macam kelebihan dan kebajikan terkumpul dan dilipatgandakan ganjarannya di bulan yang suci lagi
mulia ini. Dalam bulan Ramadhan ini, nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas hambaNya lebih luas lagi berbanding bulan-bulan yang lain.

Alangkah ruginya seorang muslim itu jika dia tidak merebut peluang segala kelebihan dan kebajikan yang sangat istimewa yang terdapat dalam bulan Ramadhan, yang hanya hadir setahun sekali, iaitu dengan berusaha meningkatkan amal ibadat termasuk
memperbaiki akhlak dan budi pekerti.

Walaupun umat Islam sentiasa dituntut supaya meningkatkan amal ibadat pada setiap masa, namun bulan Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan atau memulakan langkah mengerjakan suatu amalan yang sebelum itu jarang ataupun belum pernah dikerjakan. Antara amalan yang perlu diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan ialah amalan bersedekah.

Bulan Ramadhan Waktu Paling Afdhal Untuk Bersedekah 

Tiada ikutan terbaik yang paling layak dan paling utama dicontohi atau diteladani oleh manusia  selain daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah  Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah”. (Surah al-Ahzab: 21)

Oleh kerana itu, cara terbaik bagi menjalani bulan Ramadhan ini ialah dengan menghayati dan meneladani bagaimana sikap dan sifat Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam  ketika berada di bulan tersebut.

Menurut riwayat hadits-hadits shahih yang dikhabarkan kepada kita melalui para sahabat Baginda, selain meningkatkan amal ibadat Baginda di bulan rahmat ini, sifat serta akhlak Baginda yang sangat mulia lagi luhur dan tiada bandingnya itu pun turut sama meningkat lebih tinggi daripada  dalam bulan-bulan yang lain.

Antaranya yang diberitakan oleh  para sahabat ialah sifat murah hati serta dermawan Baginda yang sememangnya merupakan makhluk yang paling pemurah itu bertambah-tambah lagi pemurahnya ketika berada di bulan Ramadhan.  Ini jelas termaktub dalam riwayat hadits-hadits shahih yang menceritakan bagaimana ringan  serta cepatnya tangan Baginda yang mulia itu menghulurkan bantuan atau pemberian seperti sedekah dan sebagainya di bulan Ramadhan. Umpamanya hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas  Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan manusia yang paling pemurah, dan Baginda itu lebih pemurah lagi dalam  bulan Ramadhan ketika Baginda didatangi oleh Jibril ‘alaihissalam (kerana Baginda sangat berbesar hati dengan pengutusan  Jibril ‘alaihissalam untuk bertemu dengan Baginda dan kerana kesan bertadarus al-Qur‘an dengan Jibril ‘alaihissalam).  Adapun Jibril ‘alaihissalam mendatangi Baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan lalu Baginda (Jibril ‘alaihissalam) mengajarkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam al-Qur‘an (mentasme‘ dan meneliti bacaan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam). Maka sememangnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu sangat  pemurah dengan kebaikan lebih daripada angin yang bertiup”.

(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani  Rahimahullah ketika mensyarahkan hadits ini, maksud  “sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada  angin yang bertiup”  itu ialah betapa pantas dan ringannya  tangan Baginda menghulurkan pemberian serta tidak putusnya limpahan  kebajikan yang disalurkan oleh Baginda kepada siapa sahaja tanpa pilih kasih.

Menurut Imam an-Nawawi  Rahimahullah, hadits ini merupakan seruan serta anjuran kepada umat Islam supaya menanamkan sifat pemurah dan sentiasa mengamalkan sifat pemurah itu pada setiap detik dan ketika, dan sunat meningkatkan sifat pemurah tersebut dalam bulan suci Ramadhan  sebagai mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Maka berdasarkan hadits ini, para ulama telah mengambil kesimpulan bahawa waktu yang paling afdhal untuk bersedekah ialah dalam bulan Ramadhan, terutama sekali pada sepuluh hari terakhir bulan tersebut.

Menurut ulama, keutamaan dan keistimewaan bersedekah di bulan Ramadhan itu adalah kerana  kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri, ditambah lagi dengan  keadaan orang-orang fakir yang kekurangan tenaga untuk mencari pendapatan akibat keletihan dan kelaparan kerana berpuasa.

Ini dikuatkan lagi dengan  keperibadian Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan yang mana sifat pemurah Baginda pada waktu tersebut diumpamakan oleh sahabat Baginda sebagai lebih pemurah daripada  limpahan angin yang membawa rahmat dan manfaat kepada  siapa sahaja yang terkena hembusannya. Diikuti pula selepas itu, afdhal bersedekah pada hari-hari kebesaran dan kemuliaan Islam yang lain, seperti Hari Jumaat, sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, dan kedua Hari Raya ‘Idil Fitri dan ‘Idil ‘Adha.

Bagaimanapun, harus diambil perhatian di sini bahawa pemilihan waktu yang paling afdhal untuk  bersedekah ini bukanlah satu anjuran supaya kita melewatkan sedekah itu sehingga masuk bulan Ramadhan atau sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah atau lain-lain yang disebutkan tadi.

Bahkan amalan bersedekah itu adalah dituntut untuk disegerakan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Akan tetapi, ia lebih merupakan dorongan untuk memperbanyakkan sedekah pada waktu-waktu tersebut kerana sedekah pada waktu-waktu berkenaan lebih besar ganjaran serta faedahnya.

Sebagai hamba Allah  Subhanahu wa Ta‘ala yang sentiasa mengharapkan rahmat serta keredhaanNya, kita sewajarnya mencari apa sahaja jalan yang akan mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Jalan terbaik untuk mencapai hasrat tersebut ialah dengan meneladani kekasihNya iaitu Nabi Muhammad  Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menduduki darjat tertinggi di
sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu pun sentiasa merebut peluang untuk mencari keredhaanNya sebagai luahan rasa syukur Baginda atas segala kurniaanNya, jadi bagaimana pula kita yang merupakan hambaNya yang kerdil dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa ini?

Jadi rebutlah peluang  untuk mengangkat darjat kita di sisi Allah  Subhanahu wa Ta‘ala dengan memanfaatkan kehadiran bulan  Ramadhan ini  dengan sebaiknya dan jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil18.pdf

Sabtu, 28 Julai 2012

Apakah Hukum Mengucapkan Selamat Tahun Baru ?


Oleh : Thoriq

Begitu banyak tulisan mengenai hukum mengucapkan “salamat tahun baru” di bulan Muharram ini, namun semuanya hanya merujuk kepada pendapat pihak kontemporer, yang menyatakan bahwa perbuatan itu bid’ah dan dilarang. Sebab itulah penulis tertarik untuk menelisik hukumnya yang sebenarnya menurut para hufadz dan fuqaha mu’tabar. Dan hasilnya, demikianlah pendapat mereka:

Al Hafidz Abu Hasan Al Maqdisi
Al Imam Al Hafidz As Suyuthi dalam Al Hawi li Al Fatawi (hal. 101) menyatakan,”Al Qamuli menyatakan dalam Al Jauhar (yakni Jauhar Bahr Al Muhith-pent):”Kami belum melihat ashab kami (yakni para ulama As Syafi’iyah-pent) pernyataan dalam tahni’ah (ucapan selamat) dua hari raya, tahun-tahun serta bulan-bulan sebagaimana apa yang dilakukan oleh manusia. Dan aku melihat dari beberapa faidah dari Syeikh Zakiyuddin Abdul Adzim Al Mundziri bahwa Al Hafidz Abu Al Hasan Al Maqdisi telah ditanya tentang tahni’ah di awal tahun-tahun dan bulan-bulan. Maka beliau menjawab bahw sesungguhnya manusia masih berselisih mengenai hal itu, dan beliau berkata,”Dan yang aku lihat bahwa sesungguhnya hal itu mubah, bukan sunnah juga bukan bid’ah.”
As Suyuthi menambahkan bahwa Ibnu Qasim Al Ghazzi telah menukil pernyataan di atas dan tidak menambahnya. Sedangkan Ibnu Alan dalam Al Futuhat (6/311) menyatakan bahwa Ibnu Qasim tidak membantahnya. Ini menunjukkan bahwa Ibnu Qasim menyetujuinya. Demikian pula sikap yang diambil oleh Al Hafidz As Suyuthi.
Syihab Ibnu Hajar
Namun ada pula yang menanggapi pernyataan Al Hafidz Abu Al Hasan Al Maqdisi di atas, yakni Syihab Ibnu Hajar. Al Khatib As Syarbini dalam Mughni Al Muhtaj (1/429) menyatakan,” Dan Syihab Ibnu Hajar menjawab setelah menela’ah akan hal itu (pendapat Al Hafidz Al Maqdisi- pent) bahwa hal itu (tahni’ah-pent) disyariatkan. Dan beliau berhujjah untuknya bahwa Imam Al Baihaqi telah membuat bab khusus tentang hal itu, kemudian beliau (Ibnu Hajar-pent) menyatakan bab tentang apa-apa yang diriwayatkan dalam perkataan manusia satu sama lain dalam ied  تقبل الله منا و منك dengan menyebutkan sejumlah akhbar dan atsar dhaif, akan tetapi perkumpulannya dijadikan hujjah dalam permasalahan seperti ini.
Dan beliu kemudian mengatakan,”Dan menjadi hujjah juga keumuman tahni’ah ketika memperoleh kenikmatan atau terhindar dari bala dengan disyariatkannya sujud syukur dan takziyah, juga dengan periwayatan Ka’ab bin Malik di Shahihain dalam kisah taubatnya ketika mundur dari perang Tabuk,’Bahwa sesungguhnya ia ketika memperoleh kabar gembira mengenai diterimanya taubatnya pergi kepada Rasulullah صلي الله عليه وسلم berdirilah kepadanya Talhah bin Ubaidllah kemudian memberi ucapan selamat kepadanya.”
Yang juga menukil komentar Syihab Ibnu Hajar atas pendapat Al Hafidz Abu Al Hasan Al Maqdisi selain As Syarbini adalah As Syarwani dalam Hasyiyah At Tuhfah (3/56).
Al Qalyubi dalam Hasyiyah Syarhi Al Mahalli (1/359) juga menyatakan,”Tahni’ah untuk hari-hari raya, tahun-tahun dan bulan-bulan, Ibnu Hajar mengatakan, mandub (sunnah-pent) dan mengambil teladan untuknya dengan diperintahkannya sujud syukur ketika memperoleh nikmat dan terhindar dari adzab.
As Syarqawi
Syeikh Sayyid Ba Alawi, Mufti Diyar Al Hadrami menyatakan dalam Bughyah Al Mustarsyidin (hal.89),”Dan menambah As Syarqawi, demikian juga (disunnahkan tahni’ah-pent) untuk tahun dan bulan menurut pendapat mu’tamad…”
Syaikh Al Islam Al Baijuri
As Syarwani menyatakan dalam Hasyiyah At Tuhfah (56/3),”Dan ungkapan syaikh kami, disunnahkan tahni’ah untuk ied dan sejenisnya seperti tahun dan bulan menurut pendapat mu’tamad…”
Ungkapan “syeikh kami” oleh As Syarwani dalam Al Hasyiyah biasanya menunjukkan pernyataan guru beliau Syeikh Al Islam Al Baijuri.
Walhasil, dalam masalah ini para fuqaha’ dan huffadz, khususnya dalam As Syafi’iyah memandang bahwa tahni’ah untuk awal tahun sebagai perkara mubah yang bukan bid’ah dan ada pula yang memandang bahwa hal itu termasuk sunnah. Bahkan pendapat terakhir merupakan pendapat mu’tamad menurut As Syarqawi dan Syeikh Al Islam Al Baijuri. Wallahu Ta’ala A’la wa A’lam.
Di kesempatan yang mulia ini juga, Al Manar beserta “crew” mengucapkan tahni’ah kepada para pembaca,”Selamat tahun baru hijriah 1433 H. Semoga amalan kita hari esok lebih baik dari sekarang.”
Rujukan:
1. Al Hawi li Al Fatawi karya Imam As Suyuthi, Dar Al Kitab Al Arabi (1425 H), t. Syeikh Khalid Thurthusi.
2. Mughni Al Muhtaj karya Khatib As Syarbini, Dar Al Fikr (1426 H), t. Syeikh Jaubali As Syafi’i.
3. Hasyiyatan, karya Qalyubi dan Umairah, Dar Al Fikr (1419 H).
4. Nihayah Al Muhtaj ma’a Hasyiyah As Syubramallisi, Dar Al Kutub Al Ilmiyah (1424 H).
5. Hawasyi Tuhfah Al Muhtaj karya As Syarwani dan Ibnu Qasim, Al Maktabah At Tijariyah Al Kubra.
6. Al Futuhat Ar Rabaniyah karya Ibnu Alan, Dar Ihya At Turats Al Arabi.
7. Bughyah Al Mustarsyidin  karya As Sayyid Ba Alawi, Nur Al Huda Surabaya,
Latar Belakang Pendidikan: Pesantren Mamba\’ul Hisan Blitar(1991), Al Muayyad Solo (1994), Al Mukmin Solo (1995), Universitas Al Azhar Cairo (2002), Ma\’had \’Ali Li Ad Dirasat Al Islamiyah Cairo (2006).


Khamis, 26 Julai 2012

Pesanan Para Ulamak Mengenai Adab Berbanding Hadith




Oleh : Ustaz Umar Muhammad Noor 

Pesanan Para Ulama :

Betapa pentingnya aspek adab dan akhlak dalam kehidupan Muslim yang mana para ulama selalu menekankan perkara ini di dalam nasihat dan pesanan mereka. 

Ibrahim bin Habib bin Asy Syahid (w. 203H) bercerita : 


"Ayahku berpesan : Wahai anakku ! Datanglah kepada para fuqaha dan ulama. Belajarlah daripada mereka. Ambillah adab-adab, akhlak-akhlak dan tingkah laku mereka. Sesungguhnya itu semua lebih aku sukai daripada banyak menulis hadis !" 


(Al Hafiz Abu Bakar al Khatib al Baghdadi, al Jami' li Akhlaq al Rawi wa Adab al Sami', hal. 9)

Makhlad bin Husein (w.191H) berkata : 



"Kita lebih memerlukan banyak adab daripada banyak hadis !" 


(Ibid)

Imam Abu Hanifah (w.150H) berkata : 



"Kisah-kisah yang menceritakan tentang kisah ulama dan keindahan akhlak mereka lebih aku sukai daripada memperbanyak fiqah. Ini adalah kerana kisah-kisah ini mengandungi (pengajaran) adab-adab mereka." 


(Al Hafiz al Sakhawi, Al I'lan bi at Taubikh liman Zam at Tarikh, hal 61)

Al Hasan bin Ismail berkata : 



"Aku mendengar ayahku bercerita, Majlis Imam Ahmad bin Hanbal dihadiri lebih daripada 5,000 orang. Kurang daripada 500 orang, datang untuk mencatat hadis-hadisnya, manakala yang lain pula datang untuk mempelajari adab-adab dan akhlak-akhlaknya." 


(Al Hafiz ibnu al Jawzi, Manaqib Imam Ahmad bin Hanbal, hal.210)

Sumber : Umar Muhammad Noor, Koleksi Kisah Ulama Silam Yang Kaya Dengan Pendidikan Akhlak, Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia, Telaga Biru, Cetakan Pertama 2011, Kuala LUmpur.