CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Selasa, 13 September 2016

Takutlah Untuk Berfatwa !

Takut berfatwa

Para salafussoleh yang bersifat warak amat takut untuk berfatwa apabila setiap kali diajukan soalan kerana khuatir akan memasukkan pendapat peribadi ke dalam agama Allah tanpa sengaja.

Imam Al Khatib al Baghdadi meriwayatkan dalam kitab al Faqih wal Mutafaqih daripada ‘Atha’ bin al Saib (seorang tabi’in) katanya, 

“Aku pernah melihat suatu kaum (maksudnya para sahabat Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam). Jika salah seorang mereka ditanyakan suatu soalan, ia menjawabnya dengan gementar.

Al Khatib jua meriwayatkan daripada Muhammad bin Sirin (seorang Imam tabiin di Basrah), bahawa setiap kali beliau ditanyakan hukum halal dan haram, raut wajahnya segera berubah, seolah-olah ia bukan Ibnu Sirin yang dahulu.

Begitu juga Imam Malik sebagaimana riwayat Abu Shalt, 

“Setiap kali Imam Malik ditanya tentang suatu fatwa, beliau berasa seolah-olah berada di antara Syurga dengan neraka”.

Ketakukan yang dirasakan oleh para ulamak besar ini lahir daripada kesedaran mereka bahawa berbicara tentang hukum agama bererti sedang bercakap atas nama Allah dan RasulNya.

Maka sudah pasti, pada Hari Hisab nanti Allah akan meminta penanggungjawaban daripada setiap fatwa dan jawapan yang mereka sampaikan itu.

Al Khatib al Baghdadi meriwayatkan daripada Imam Abu Hanifah katanya, 

“Sesiapa yang berbicara tentang ilmu (agama), namun ia tidak berasa bahawa suatu hari nanti Allah akan bertanya kepadanya, mengapa engkau berkata seperti itu? Maka sungguh murah diri dan agamanya.”

Beliau juga meriwayatkan daripada Sufyan bin ‘Uyainah,

 “Orang yang paling memahami fatwa ialah orang yang paling enggan menjawabnya. Orang yang paling jahil tentang fatwa ialah orang yang paling sering menjawabnya.”

Al Khatib meriwayatkan bahawa suatu hari, Rabi’ah bin Abdurrahman (guru Imam Malik) dilihat sedang menangis
"Adakah engkau sedang ditimpa musibah ? Rabi’ah menjawab,  “Tidak, Aku menangis kerana pada hari ini orang-orang yang tidka berilmu diminta fatwa tentang agama. Telah terjadi musibah yang sangat besar dalam agama Islam.”


Rabi’ah menangis pada masa fuqaha masih banyak dan hati-hati masih bersih. Dia melihat fenomena itu sebagai musibah besar yang sedang menimpa agama Islam.


Saya membayangkan andai Rabi’ah bin Abdurrahman hidup pada hari ini, lalu melihat bagaimana hukum Islam dibahaskan dalam media elektronik, media cetak dan Internet, saya yakiin kesedeihan pasti membunuh beliau. – Umar Muhammad Noor, Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia, Telaga Biru Sdn Bhd, Cet Pertama, Kuala Lumpur, 2011

Tiada ulasan: