CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Selasa, 25 September 2012

Status Hadith : Wanita Harus Menjadi Imam



Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Soalan: Ada tak hadis wanita boleh menjadi imam bagi jemaah wanita? Kerana ada yang mengatakan wanita tak perlu berjemaah sesama mereka dan Rasulullah SAW sendiri bersabda, “Sebaik-baik salat bagi wanita adalah di sudut rumahnya” (HR Ahmad dan lain-lain) iaitu secara sendirian.

 Jawapan: 

 Ada sebuah hadis.

 Diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya (بَاب إِمَامَةِ النِّسَاءِ) (591- 592) daripada ‘Abd ar-Rahman bin Khallad al-Ansari dan Laila binti Malik daripada Ummu Waraqah binti ‘Abdullah al-Ansariyyah r.a., seorang sahabiah yang pandai membaca al-Quran – secara ringkasnya - bahawa beliau pernah meminta izin kepada Nabi SAW untuk menugaskan di dalam rumahnya seorang mu’azzin, lalu baginda pun mengizinkannya. Baginda menyuruh beliau supaya menjadi imam kepada ahli rumahnya. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku pernah melihat mu'azzinnya adalah seorang lelaki tua yang lanjut usianya”.

 Hadis Ummu Waraqah r.a. ini juga telah diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, al-Hakim dalam al-Mustadrak, Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (1676), al-Bayhaqi dalam al-Sunan al-Kubra, al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir dan al-Daraqutni dalam Sunannya. Kesemuanya dari jalur al-Walid bin ‘Abdullah bin Jumai‘, seorang perawi yang dihukum thiqah atau (لا بأس به) oleh ramai ulama al-jarh wa al-ta‘dil.

 Pendapat yang menolak hadis ini kerana ‘Abd ar-Rahman bin Khallad al-Ansari adalah seorang perawi yang majhul. Namun, riwayat beliau tidak bersendirian kerana ia telah diiringi (mutaba‘ah) oleh riwayat Laila binti Malik yang juga seorang perawi majhul. Dari sudut ini, ada pendapat yang melihat ianya tetap tidak dapat mengukuhkan antara satu sama lain. Manakala satu pendapat lagi mengatakan ianya dapat mengukuhkan antara satu sama lain dan menjadikan sanad hadis ini meningkat kepada darjat hasan.

 Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut dalam (بلوغ المرام): “Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan ia disahihkan oleh Ibn Khuzaimah”, seolah-olah beliau mengakui dan menerima pentashihan Ibn Khuzaimah tersebut. Al-‘Allamah al-‘Aini dalam (البِنَاية شرح الهِدَاية) menyatakan hadis ini adalah sahih.

 Hadis ini dikuatkan oleh beberapa athar daripada ‘A’isyah RA, Ummu Salamah RA dan Ibn ‘Abbas RA yang menunjukkan wanita boleh menjadi imam kepada jemaah wanita. Antaranya, al-Hakim meriwayatkan daripada ‘Ata’ katanya:

 أَنَّهَا كَانَتْ تُؤَذِنُ وَتُقِيمُ وَتَؤُمُ النِّسَاءَ، وَتَقُومُ وَسْطَهُنَّ.

Maksudnya: “Beliau [‘A’isyah RA] pernah melaung azan, iqamah dan mengimamkan jemaah wanita serta berdiri di tengah-tengah mereka”.

 Para ulama' telah berbeza pendapat dalam memahami hadis Ummu Waraqah r.a. di atas. Sebahagian mereka menjadikan ianya khusus kepada Ummu Waraqah r.a. sahaja dan sebahagian yang lain pula menganggap dibolehkan perempuan menjadi imam kepada ahli keluarganya yang perempuan sahaja dan tidak dibolehkan menjadi imam kepada wanita selain keluarganya serta di luar rumahnya.

 Berdasarkan dalil-dalil di atas, menurut sebahagian ulama seperti mazhab al-Syafi‘i dan pendapat yang rajih dalam mazhab Hanbali, wanita boleh menjadi imam solat berjemaah yang makmumnya hanya wanita, seperti yang dilakukan oleh ‘A’isyah RA dan Ummu Salamah RA. Ia adalah mustahab. 

Imam ‘Abd al-Hayy al-Laknawi al-Hanafi (w. 1304H) telah mengupas masalah ini dengan baik di dalam kitabnya (تحفة النبلاء في جماعة النساء). Beliau menyokong pandangan mazhab al-Syafi‘i dan lain-lain yang bersamanya serta menolak pandangan ulama Hanafiyyah yang mengatakannya makruh.

 Hadis di atas dalil yang menunjukkan keharusan wanita berbuat demikian dan tidak bertentangan dengan hadis: “Sebaik-baik solat bagi wanita adalah di sudut rumahnya” (HR Ahmad dan lain-lain). Kerana kedua-duanya merujuk kepada kesesuaian situasi individu. Lihat bagaimana syarak menjaga kedudukan istimewa kaum wanita hatta dalam ibadah.

 Nabi SAW menyatakan ganjaran pahala 27 kali ganda bagi solat berjemaah adalah untuk direbut oleh sesiapa sahaja, termasuklah wanita. Sebab itu kaum wanita di zaman Baginda SAW tidak dihalang untuk pergi ke masjid bersolat jemaah. Dan pada masa yang sama baginda amat prihatin dalam menjaga kehormatan mereka. Justeru, wanita yang berpeluang dan berkesempatan bersolat jemaah, maka ia bolehlah bersolat jemaah. Apatah lagi jika berada di Masjid al-Haram atau Masjid Nabawi yang besar ganjaran pahalanya. Manakala yang tidak berpeluang dan berkesempatan, maka ia tidak perlu sama sekali berasa sedih dan kecewa kerana solat di rumahnya itu dikira lebih afdhal. Ini berbeza dengan kedudukan kaum lelaki.

 Jika para pelajar perempuan yang tinggal di asrama misalnya, maka harus bagi mereka menunaikan solat berjemaah secara bersama-sama. Lebih-lebih lagi ganjaran pahala 27 kali ganda bagi solat berjemaah akan dapat diperolehi. Jika seorang suri rumah pula misalnya, adalah lebih baik baginya bersolat sendirian atau bersama anak-anak perempuan di rumah sahaja kerana itu lebih sesuai dan lebih menjaga diri mereka. Keafdhalan yang disebutkan adalah kerana ketaatan mereka yang penuh bulat di dalam memelihara batasan syarak. Menjaga kesesuaian situasi ini lebih menampakkan kecantikan dan keluasan syariat Islam yang bersifat anjal dan tidak rigid.

 * Perhatian: Ada disebut dalam hadis Ummu Waraqah r.a. itu, beliau menjadi imam kepada ahli rumahnya yang mana mu'azzinnya adalah seorang lelaki tua yang lanjut usianya. Oleh itu, Abu Thaur, al-Muzanni dan at-Tabari menyatakan perempuan juga boleh menjadi imam kepada orang lelaki secara mutlak. Pandangan ini dikira berlawanan (syaz) dengan pandangan jumhur besar ulama. Berdasarkan pendapat yang mengatakan hadis di atas sabit, perkara ini perlulah ditafsirkan dengan jelas. Meskipun ada yang menafsirkan, Ummu Waraqah r.a. sebenarnya hanya menjadi imam kepada ahli keluarga wanita sahaja di rumahnya.

 Menurut Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, yang rajih (tepat) ialah harus seorang wanita menjadi imam kepada orang lelaki bersama-sama ahli keluarga di rumahnya (dengan syarat) jika wanita itu lebih utama dan layak untuk menjadi imam berbanding lelaki disebabkan ia lebih pandai membaca al-Quran dan lebih faqih (berilmu). Hadis Ummu Waraqah r.a. itu menunjukkan beliau adalah seorang yang pandai membaca al-Quran serta lebih mampu dan layak menjadi imam berbanding mu'azzinnya yang merupakan seorang lelaki tua yang sudah lanjut usia (sebab itu namanya pun tidak disebutkan).

 Menurut beliau lagi, adapun wanita yang menjadi imam kepada orang lelaki di masjid (atau di luar rumahnya), maka hukumnya adalah tidak harus, sebagai mengikut pandangan jumhur ulama. Dalil yang dapat menguatkannya ialah tidak pernah dinukilkan kepada kita walaupun sekali bahawa ada wanita yang pernah menjadi imam solat kepada jemaah lelaki (atau ada di antara makmumnya orang lelaki), sama ada pada zaman sahabat mahupun pada zaman tabiin. Wallahu a‘lam.

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2012/09/hadis-wanita-harus-menjadi-imam.html

Tiada ulasan: