Sekadar perkongsian bersama, berikut adalah petikan sebahagian kecil dari penulisan ilmiah pelajar di bawah seliaan saya, Syed Husaini bin Syed Hassan berkaitan hak-hak dan keutamaan Ahlul Bait. Saya telah membuat sedikit olahan ke atasnya.
------------------------------------
Antara Hak-Hak Ahlul Bait:
1. Menerima Cinta dan Kasih Sayang Dari Umat Islam
Firman Allah SWT:
قُلْ لاَّ أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلاَّ الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah ke atasnya (tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu), kecuali (yang aku minta hanyalah) kasih sayang pada pertalian keluarga/kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu)”. Al-Syura (42) : 23
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa orang-orang yang dimaksudkan dengan ayat di atas ialah orang-orang yang wajib dikasihi dan ditaati serta diikuti perjalanan hidup mereka. Ahli-ahli tafsir, hadis dan sirah telah meriwayatkan bahawa yang dimaksudkan dengan qarabat Nabi SAW dalam ayat ini ialah 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. (Dr. Mahfodz bin Mohamed. 1989. Ahl al-Bayt Dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Kuala Lumpur: Pustaka Warisan. Hlm.15)
Al-Zamakhsyari dalam tafsirnya, al-Kasysyaf (3/402) menyatakan:
“Telah diriwayatkan bahawa sekumpulan orang-orang musyrikin telah berhimpun dalam satu perhimpunan dan telah berkata-kata sesama mereka: “Tahukah kamu bahawa Muhammad ada meminta upah buat sesuatu yang dilakukannya". Kemudian turun ayat di atas.
Seterusnya al-Zamakhsyari menyatakan, telah diriwayatkan bahawa selepas turun ayat di atas, ada seorang bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah SAW, siapakah kerabat kamu yang diwajibkan ke atas kami untuk mengasihi mereka?” Rasulullah SAW menjawab: “Ali, Fatimah dan kedua-dua anak mereka.”
Al-Suyuti di dalam kitabnya, Ihya’ al-Mayyit bi Fada’il Ahl al-Bayt (hlm.14) telah menyatakan bahawa telah dikeluarkan oleh Ibn al-Mundhir, Ibn Abi Hatim dan Ibn Mardawih (di dalam tafsir mereka), dan al-Tabarani di dalam al-Mu‛jam al-Kabir daripada Ibn ‘Abbas r.a katanya ketika turunnya ayat tersebut: Kami telah berkata:
“Wahai Rasulullah SAW, siapakah kerabat kamu yang diwajibkan ke atas kami untuk mengasihi mereka?” Rasulullah SAW menjawab: “Ali, Fatimah dan kedua-dua anak mereka.”
Al-Fakhr al-Razi dalam al-Tafsir al-Kabir (14/143) telah menyebutkan kata-kata al-Zamakhsyari mengenai Al (keluarga) Muhammad SAW. Al-Zamakhsyari mengatakan, mereka (Al Muhammad SAW) ialah orang yang dihubungkan terus urusan mereka dengan Rasulullah SAW. Oleh itu, setiap mereka yang mempunyai pertalian yang rapat dan dekat dengan Rasulullah SAW ialah keluarga Nabi SAW, dan tidak syak lagi bahawa Fatimah, 'Ali, Hasan dan Husain adalah orang yang paling rapat hubungannya dengan Rasulullah SAW dan keadaan ini telah diketahui melalui dalil naqli yang mutawatir. Oleh itu, sabitlah di sini bahawa mereka berempat ialah Al Muhammad.
Al-Tabari di dalam tafsirnya juga (12/250) telah memuatkan satu hadis dalam mentafsirkan ayat ini, iaitu satu hadis yang berasal dari Ibn ‘Abbas r.a yang mana apabila turunnya ayat al-Mawaddah ini, telah bertanya para sahabat kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah SAW, siapakah kerabat kamu yang diwajibkan ke atas kami untuk mengasihi mereka?” Rasulullah SAW menjawab: “Ali, Fatimah dan kedua-dua anak mereka.”
Al-Quran ketika turunnya ayat ini menurusi lisan Nabi Muhammad SAW menyuruh baginda memberitahu umatnya dan sekalian manusia bahawa Nabi Muhammad SAW tidak meminta sebarang upah atau bayaran kerana menyampaikan risalah dakwah di jalan Allah SWT melainkan dengan mengasihi kerabatnya dan ikhlas terhadap mereka. Sesungguhnya, apa yang dimaksudkan dengan kasih sayang kepada keluarga Nabi SAW ialah untuk memelihara asas perjalanan umat dan mengikut batas-batas perjalanan mereka dari segi akidah dan syariah supaya manusia dapat memusatkan perhatian kepada Nabi SAW setelah al-Quran meminta umat manusia berbuat demikian.
Selain itu, al-Quran juga memberitahu kita tentang perlunya ada pertalian yang erat dengan keluarga Nabi SAW dan mencontohi mereka kerana adanya jaminan kesucian dan istiqamah dalam keperibadian mereka. Apa yang dimaksudkan oleh al-Quran dalam perkara ini ialah kita akan mendapat ketenangan jiwa jika kita erat mengasihi ahl al-bayt dan iltizam dengan cara perjalanan mereka dengan mengambil agama dari jalan mereka, kerana jalan merekalah yang aman, yang dijamin ketahanan dan kelurusan mereka. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
(Riwayat al-Hakim: 4715)
النُّجُوْمُ أَمَانٌ لأَهْلِ الأَرْضِ مِنَ الْغَرَقِ وَ أَهْلُ بَيْتِيْ أَمَانٌ لأُمَّتِيْ مِنَ الإِخْتِلاَفِ فَإِذَا خَالَفَتْهَا قَبِيْلَةٌ مِنَ الْعَرَبِ اِخْتَلَفُوْا فَصَارُوْا حِزْبَ إِبْلِيْسَ.
Maksudnya:
“Bintang-bintang mengamankan ahli bumi daripada tenggelam dan ahli keluargaku mengamankan umatku daripada perselisihan. Apabila satu kabilah dari bangsa Arab mengingkarinya (ahl al-bayt), maka akan berpecah-belahlah mereka (kabilah itu), dan jadilah mereka kumpulan Iblis.”
Ibn Hajar al-Haytami dalam memberikan komentarnya berkaitan hadis ini mengatakan bahawa sebahagian ulama berkata:
“Ditafsirkan di sini bahawa maksud ahl al-bayt yang mendatangkan keamanan ialah ulama dari kalangan mereka. Ini kerana petunjuk diambil daripada mereka yang diibaratkan seperti bintang, maka apabila mereka dilenyapkan dari permukaan bumi ini, akan datang kepada penduduk bumi ini tanda-tanda hari kiamat sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT ke atas mereka. Yang demikian itu ialah selepas turunnya Imam Mahdi.”(Al-Haytami, Ahmad bin Hajar. 1993. Al-Sawa‛iq al-Muhriqah. Cet. 3. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Hlm. 233)
Setelah Allah SWT menjadikan dunia ini dan isinya kerana Nabi Muhammad SAW, maka Allah AWT menjadikannya berterusan dengan hidupnya Nabi SAW dan ahl al-baytnya. Mereka (ahl al-bayt) adalah bidh’ah (bahagian ketulan daging) daripada baginda SAW dengan perantaraan Fatimah r.a yang menjadi ibu mereka sedangkan Fatimah r.a adalah bidh’ah Rasulullah SAW. Maka ini menempati tempat Rasulullah SAW di dalam memberikan keamanan. (Jalal al-Din al-Suyuti. 2010. 60 Hadith Kelebihan Aali Bait. Terj. Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki. Cet. 3. Selangor: Sofa Production. Hlm. 67)
Rasulullah SAW juga selalu mengingatkan umatnya agar mencintai ahli keluarganya. Sabda Rasulullah SAW:
(Riwayat al-Hakim: 4716)
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَحِبُّوا اللَّهَ لِمَا يَغْذُوكُمْ مِنْ نِعَمِهِ وَأَحِبُّونِي بِحُبِّ اللَّهِ وَأَحِبُّوا أَهْلَ بَيْتِي بِحُبِّي.
Maksudnya:
Dari Ibn’Abbas r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Cintailah Allah kerana nikmat kurniaan-Nya memberikan kamu makan. Cintailah aku kerana cintakan Allah dan cintailah ahli keluargaku kerana mencintaiku.”
Al-Hakim mengatakan bahawa hadis ini sahih sanadnya, namun tidak dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitabnya. Begitu juga dengan al-Zahabi di dalam kitabnya, al-Talkhis. Al-Zahabi mengatakan bahawa hadis ini sahih.
Terdapat juga hadis Nabi SAW yang menganjurkan kita agar mengasihi ahl al-baytnya dan menjauhkan perasaan benci terhadap mereka, iaitu sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
(Riwayat al-Hakim: 4717)
وَالَّذِيْ نَفْسِ بِيَدِهِ لاَ يُبْغِضُنَا أَهْلَ الْبَيْتِ أَحَدٌ إَلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ النَّارَ.
Maksudnya:
“Demi jiwaku yang berada berada di dalam kekuasaan-Nya (Allah)! Tidak membenci seseorang terhadap kami ahl al-bayt, melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.”
Hadis ini sahih mengikut syarat Muslim dan tidak dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab mereka. Begitulah peringatan dan ancaman yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam, betapa kita perlu untuk menyayangi ahl al-bayt baginda SAW dan jangan pula membenci mereka kerana sesungguhnya bagi mereka yang membenci ahl al-bayt baginda SAW, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.
Begitu juga dengan sahabat-sahabat Rasulullah SAW. Mereka sangat mencintai ahl al-bayt baginda. Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a pernah berkata:
(Riwayat Muslim: 3435)
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَرَابَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَبُّ إِلَيَّ أَنْ أَصِلَ مِنْ قَرَابَتِي.
Maksudnya:
“Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, aku lebih suka menghubungkan silaturrahim dengan kerabat Rasulullah SAW daripada kerabatku”.
Oleh yang demikian, mereka itu berhak menerima kasih sayang seperti yang dituntut oleh al-Quran dan hadis Nabi SAW. Saranan supaya mengasihi dan menyayangi keluarga Rasulullah SAW bukanlah setakat di bibir sahaja, bahkan, ianya perlulah disertakan dengan keikhlasan dalam menyayangi dan mencintai ahl al-bayt. Oleh yang demikian, kasih sayang yang sebenar kepada ahl al-bayt ialah dengan mencontohi mereka, menyusuri manhaj mereka, patuh dengan madrasah mereka dan apa jua yang datang dari mereka serta meletakkan mereka sebagai contoh teladan dan ikutan umat.
Demikianlah apa yang telah dikemukakan daripada pendapat ahli-ahli tafsir dan para ulama yang telah sampai kepada kita mengenai tafsiran Rasulullah SAW kepada ayat yang diberkati. Moga dengan mengasihi ahl al-bayt, kita mendapat mencontohi mereka dan menjadikan mereka sebagai teladan dari segenap aspek.
2. Menerima Selawat Dari Umat Islam
Firman Allah SWT:
Al-Ahzab (33) : 56
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad, SAW); wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Dari segi bahasa, selawat bermaksud doa, rahmat dari Allah SWT, memberi berkat dan ibadat. Selawat adalah rahmat yang sempurna, dan kesempurnaan rahmat itu adalah bagi kekasih-Nya, serta tidak diciptakan selawat itu kecuali hanya kepada Nabi Muhammad SAW.
Dr. Wahbah al-Zuhayli di dalam tafsirnya, al-Tafsir al-Munir (21/94) menyatakan al-Solah dari segi bahasa bermaksud doa. Di sisi Allah SWT, al-Solah bermaksud rahmat iaitu Allah SWT memberi rahmat. Di sisi malaikat pula, al-Solah bermaksud doa dan pengampunan dalam kata lain ianya bermaksud memohon pengampunan. Di sisi umat manusia, al-Solah bermaksud doa dan membesarkan Nabi Muhammad SAW. Al-Tabari dalam tafsirnya (10/329) mengatakan, yang dimaksudkan dengan Allah SWT berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT merahmati Nabi Muhammad SAW.
Imam al-Fakhr al-Razi (13/196) dalam menghuraikan ayat ini telah mengatakan bahawa mengucap selawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah demi melahirkan penghormatan kita terhadap Nabi Muhammad SAW kerana belas kasihannya Nabi Muhammad SAW kepada kita selaku ummatnya dan kita akan diberikan ganjaran kerana berselawat ke atasnya. Imam al-Fakhr al-Razi juga mengatakan bahawa ayat ini juga menjadi dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW di dalam solat, iaitu ketika tasyahhud menurut mazhab Syafi’i.
Selaras dengan itu, Rasulullah SAW telah bersabda:
(Riwayat Muslim: 616)
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرًا.
Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata: Bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali (sahaja), nescaya Allah SWT akan berselawat kepadanya sepuluh kali.”
Rasulullah SAW juga mengingatkan kita melalui sabdanya yang telah diriwayatkan oleh Husain bin Ali r.a. sabda Rasulullah SAW:
(Riwayat Ahmad: 1645)
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ ثُمَّ لَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya:
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Orang yang bakhil (kedekut) ialah orang yang apabila disebutkan namaku di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku.”
Selawat merupakan satu bentuk pengagungan dan penghormatan yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW. Melalui ayat ini, dapat diketahui bahawa wajib ke atas umat Islam agar berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Bagaimanapun, Nabi SAW telah mengajar umatnya agar berselawat bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada ahli keluarganya. Al-Tabari telah membawakan sebuah hadis yang menerangkan mengenai ayat tersebut, iaitu sebuah hadis yang bersumberkan dari Ka‛ab bin ‘Ujrah yang berbunyi:
(Riwayat al-Bukhari: 4423)
عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قِيلَ :يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمَّا السَّلَامُ عَلَيْكَ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ، فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ. قَالَ: قُولُوا اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Maksudnya:
Dari Ka’ab bin ‘Ujrah r.a telah berkata: “Wahai Rasulullah, ada pun cara mengucapkan salam kepadamu telah kami ketahuinya, maka bagaimana pula cara berselawat ke atasmu?” Rasulullah SAW menjawab: "Ucaplah: Ya Allah! berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”
Maka jelas bahawa ayat di atas menunjukkan kepada kita akan kewajipan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan melalui sabda baginda pula, kita dapat mengetahui bagaimana caranya untuk berselawat ke atas baginda dan ahli keluarga baginda. Melalui huraian yang telah dikemukakan di atas, jelas bahawa di antara hak-hak ahl al-bayt ialah mereka berhak mendapatkan selawat sesuai dengan lafaz selawat yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/04/antara-hak-hak-ahlul-bait-nabi-saw.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan