(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Sembahyang fardhu Jumaat diwajibkan (fardhu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, baliqh, berakal, bermuqim dan tidak ada keuzuran. Sembahyang fardhu Jumaat itu adalah sembahyang yang paling afdhal dan harinya pula adalah hari yang paling afdhal.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah iaitu hari yang paling agung di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitrah.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Hadits ini jelas menyatakan bahawa hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan ia lebih agung di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala berbanding dengan dua Hari Raya. Oleh itu, perbesarkanlah hari Jumaat itu dengan memperbanyakkan bacaan al-Qur’an, selawat, doa dan zikir.
Di Negara Brunei Darussalam hari Jumaat merupakan hari kelepasan awam di kebanyakan sekolah, universiti, institusi dan jabatan-jabatan kerajaan. Setentunya pada hari tersebut ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama keluarga bagi mengisi waktu lapang dengan bermacam-macam aktiviti. Ada sebahagiannya melancong ke negara jiran, mengunjungi sanak saudara, berehat di rumah dan ada juga sebahagiannya pergi membeli belah.
Aktiviti-aktiviti tersebut tidaklah bertentangan dengan hukum syara‘ akan tetapi ada beberapa perkara yang perlu diketahui khususnya pada hari Jumaat, antaranya ialah berjual beli ketika sembahyang fardhu Jumaat.
Hukum Berjual Beli Pada Hari Jumaat
Berjual beli pada hari Jumaat mempunyai hukumnya tersendiri. Sungguhpun asal hukum berjual beli itu harus di dalam Islam, namun hukumnya berbeza pada hari Jumaat.
Sebagaimana yang pernah terjadi bahawa sebahagian jemaah sembahyang fardhu Jumaat meninggalkan Rasulullah Shallallahu ‘alalihi wasallam yang sedang berkhutbah kerana mereka pergi ke tempat kafilah yang datang membawa barang dagangan. Maka
dengan itu turunlah ayat yang melarang perbuatan sedemikian.
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barangbarang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) suatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah).
Katakanlah (wahai Muhammad: “Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.”(Surah al-Jumu‘ah: 11)
Oleh itu, berjual beli ketika sembahyang fardhu Jumaat adalah dilarang. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya bersegera untuk pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat dan meninggalkan jual beli dan kerja-kerja yang lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat) dan
tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Jelasnya, hukum berjual beli pada hari Jumaat itu boleh dibahagikan kepada berikut:
(1) Selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat sehingga selesai sembahyang fardhu Jumaat
Haram ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat dan khatib
duduk di atas mimbar.
Maksud haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di Masjid. Adapun mereka yang sudah berada di Masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.
(2) Selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat
Makruh ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua
sembahyang fardhu Jumaat. Ini kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.
(3) Sebelum tergelincir matahari
Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari.
(4) Selepas sembahyang fardhu Jumaat
Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli setelah selesai mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.
Perkara Yang Melekakan Selain Berjual Beli
Hukum haram dan makruh itu tidak hanya terbatas pada jual beli sahaja malahan termasuk juga perkara-perkara lain yang melekakannya dari bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.
Orang Yang Dikecualikan Daripada Larangan Berjual Beli
Hukum haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat atau hukum makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu ialah ke atas orang yang diwajibkan sembahyang fardhu
Jumaat.
Perempuan, kanak-kanak yang belum baligh atau lelaki dewasa yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti dalam pelayaran atau ada keuzuran, terkecuali daripada hukum haram atau makruh tersebut.
Demikian juga dikecualikan daripada hukum tersebut, orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat yang terpaksa berjual beli ketika waktu-waktu larangan tersebut kerana dharurat seperti membeli kain kafan si mati yang ditakuti berubah apabila dilambatkan atau membeli air kerana untuk bersuci atau membeli
pakaian untuk menutup aurat atau seumpamanya.
Haram Berjual Beli Bersama Orang Yang Diwajibkan Sembahyang Fardhu Jumaat
Walaupun orang yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat harus berjual beli pada waktu-waktu yang dilarang, namun jika dia berjual beli bersama orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat, maka kedua-dua mereka berdosa. Ini kerana dia telah bersubahat pada melakukan yang haram.
Adakah Sah Jual Beli?
Akad Jual beli yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang pada hari Jumaat itu adalah sah. Ini kerana larangan itu tidak ada kaitannya dengan kesahihan akad akan tetapi disebabkan kelekaannya berurusan jual beli dan perbuatan melengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat. Ini sama keadaannya seperti sah sembahyang orang yang mengerjakannya dalam rumah yang dirampas.
Sebagai kesimpulannya, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat hendaklah bersegera pergi ke masjid dan janganlah melengah-lengahkannya seperti melakukan jual beli terutama apabila azan kedua sembahyang fardhu Jumaat.
Sungguhpun jual beli itu sah namun perbuatan sedemikian adalah dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat pun berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat.
Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2010/bill25-2010.pdf