CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Sabtu, 3 Jun 2017

Waktu Imsak Yang Digugat


IMSAK YANG DIGUGAT

Oleh : Ustaz Kamal Muhammad Taib


Saya sebenarnya tidak berminat untuk menulis menjawab keraguan yang ditimbul oleh pemecah belah umat sebab nak tumpu menyiapkan buku Budak Madrasah 2. Dulu saya memang rajin berbalah dengan mereka dalam fb. Tapi setelah mereka masih tak boleh terima kesalahan fahaman mereka, maka lepas itu saya tutup buku.

 Apa guna buang masa layan orang yang tak sedar kesalahan dalam berfikir untuk istinbat hukum. Apa guna layan orang yang tak percaya kejahilan sendiri.

Tetapi hari ini saya rasa ingin menulis untuk kongsikan sedikit sebanyak ilmu yang telah Allah berikan kepada saya untuk teman-teman yang sealiran yang bermazhab Imam Shafie dan Ashairah, supaya kita bersama dapat manfaat dan tidak tertipu dengan keraguan yang cuba ditimbulkan oleh mereka. Mereka hanya cetuskan keraguan, sedangkan mereka sendiri tidak ada kaedah khusus atau manhaj pemikiran yang mereka berpegang. Hanya sekadar nak timbulkan keraguan dan kesangsian.

Perkara yg berulang kali ditimbulkan ialah mereka berkata boleh makan walaupun telah terbit fajar. Dalam Mazhab Imam Shafie, imsak sebenar ialah apabila diyakini telah terbit fajaz sodiq, fajar yang melebar di ufuk timur. Apabila telah terbit fajar yang kedua ini maka haramlah makan minum dan segala yang membatalkan puasa. Fajar pertama ialah fajar kazib.

Dalam kitab Al Fiqh alal Mazahib Al Arbaah dinyatakan bahawa Mazhab 4 sepakat membuat takrif puasa ialah: menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari penuh daripada terbit fajar sodiq sehingga tenggelam matahari. (1/492)

Dalil bagi perkara di atas ialah ayat Al Quran surah Al Baqarah ayat 187, yang bermaksud:

“Dihalalkan bagi kamu bersetubuh dengan isteri kamu pada malam berpuasa; mereka pakaian kamu dan kamu ialah pakaian mereka. Allah telah mengetahui bahawa kamu telah mengkhianati diri kamu maka Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang bergaullah dengan mereka dan carilah apa yang Allah telah tetapkan untuk kamu. Dan makan lah dan minumlah sehingga nyata bagi kamu benang putih daripada benang hitam daripada fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa sehingga malam....”

Kata Ibnu Katheer, Allah telah mengharuskan makan, minum dan jimak pada waktu malam sehingga nyata cahaya subuh.. (243)

Difaham dari ayat ini dan kata-kata Ibnu Katheer, bahawa makan sahur ketika telah terbit fajar adalah tidak dibenarkan, kerana apabila telah terbit fajar bukan lagi dinamakan waktu malam. Jadi makan sahur hanya dibenarkan selagi hari masih malam iaitu sebelum terbit fajar. Sebab itulah dalam kitab-kitab Mazhab Imam Shafie disebutkan bahawa sesiapa yang sedang makan semasa terbit fajar hendaklah ia meluahkan apa yang ada di dalam mulutnya, jika tidak batallah puasanya.

Dalil lain yg menunjukkan haram makan, minum dan perkara yg membatalkan puasa ialah hadis yg bermaksud:

Fajar terbahagi kepada dua, maka salah satunya seperti ekor serigala (fajar kazib) tidak mengharamkan apa-apa pun (makan minum dll); adapun fajar yang terbentang di ufuk (timur) maka ia mengahalalkan solat dan mengharamkan makan (bg orang berpuasa), ada juga riwayat yang seperti itu dari Ibnu Abbas. (taaliq Al Bayan fi Mazhab as Shafie, 3/497; Tafsir Ibnu Katheer, 244)

Apakah hanya para ulama kemudian yang berfatwa begitu? Tidak, sebenarnya amalan berhenti makan ketika hampir terbit fajar telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam Al Bukhari no 621, ertinya:

“janganlah azan Bilal menghalang kamu (atau seseorang daripada kamu) daripada makan sahur, kerana Bilal azan pada waktu masih malam, supaya kembali orang yang beribadat (tahajud) dan supaya terjaga orang tidur.

Azan yang dilakukan oleh Bilal aialah azan pertama sebelum terbit fajar sodiq, fajar yang menunjukkan telah masuk waktu subuh.

Maksud ‘supaya kembali orang yang melakukan tahajjud’ bererti supaya mereka dapat tidur sekejap dalam masa malam yang masih ada supaya boleh bangun untuk solat subuh dalam keadaan cergas.

‘Supaya tersedar orang tidur’ bermaksud supaya mereka boleh bangun sebelum masuk subuh untuk bersiap sedia melakukan solat subuh berjemaah.

Apabila Rasulullah bersabda: janganlah kamu dihalang oleh azan Bilal daripada makan sahur. Itu jelas menunjukkan bahawa memang para sahabat BERHENTI MAKAN pada masa azan subuh. Sehinggakan mereka perlu diberitahu bahawa azan Bilal ketika belum masuk subuh, boleh makan lagi.

Ini amat berbeza dengan orang sekarang yang berfatwa boleh terus makan walaupun telah terbit fajar.

Dalam hadis Bukhari no 617; 620, ertinya:
Daripada Aisyah radiyallahu anha, katanya: sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka Rasulullah SAW bersabda: “makan dan minumlah sehingga Abdullah bin Ummu Maktum melakukan azan. Kerana sesungguhnya dia tidak akan azan melainkan setelah terbit fajar (masuk waktu Subuh) sebab ada orang beritahu telah masuk subuh.

Hadis ini bermaksud: dibenarkan makan dan minum semasa azan Bilal kerana masih malam, belum terbit fajar. Tapi bila Abdullah bin Ummu Mktum telah mula azan, berhentilah makan kerana telah masuk waktu subuh.

Inilah maksud yang tepat. Kalau diterjermahkan, sebagaimana dakwaan orang yang mengaku pandai Bahasa Arab, ‘makan dan minumlah ketika Bilal azan dan makan minumlah lagi ketika Abdulah azan’ tentulah ayat itu jadi janggal dan aneh.

Perkara ini disokong oleh hadis no 575, 576; 1921 Sahih Al Bukhari, ertinya:

Dari Anas bin Malik dari Zaid bin Thabit, bahawa mereka (para sahabat) telah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami berdiri untuk bersolat. Kata Anas, berapa lama masa antara azan dan sahur? Kata Zaid: sekadar 50 ayat.
Ertinya antara waktu berhenti makan sahur dan permulaan azan Abdullah bin Ummi Maktum. Kadar bacaan yang sederhana tidak terlalu cepat atau perlahan. Ayat yang sama panjang dengan surah Qaf, al Qalam atau al Haqqah. 

(Fajr Sati’, 5/247).

Jadi mungkin inilah dalil penetapan imsak di dalam taqwim JAKIM yang menetapkan 10 minit sebelum masuk waktu subuh. Walaupun imsak yang hakiki, yang wajib ialah ketika masuk waktu Subuh. Jadi di mana bidaahnya? Bertambah hairan kita apabila orang bertanya ada ke hadis yang larang makan semasa terbit fajar. Dia tak tahu hadis tapi dia sangka tak ada hadis.

Tidak dinafikan ada banyak riwayat dan pelbagai pendapat dalam waktu imsak ini. Tapi bagi kita yang beramal dengan Mazhab Imam Shafie inilah dalil yang kita ada, bahkan banyak lagi dalil yang tidak mungkin boleh dimuatkan di sini.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1338752019565909&id=100002933708533&ref=bookmarks


Tiada ulasan: