CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Selasa, 14 Januari 2014

Fatwa Sebenar Ulama Al-Azhar As-Syarif Seputar Maulid Nabi SAW


Oleh Ustaz Azam Qaradhawy bin Husni

Respon kepada artikel: http://ansarul-hadis.blogspot.com/2011/05/fatwa-fatwa-ulamaa-ulamaa-besar-al.html

Bismillah..



Video: Bacaan Kitab Al-Mauridul Haniy Fi Maulid As-Saniy karya Imam Al-Hafiz Al-Iraqi yang saya hadhiri sempena sambutan Maulid Nabi SAW di Masjid Al-Azhar As-Syarif pada tahun lalu, 1433H yang dihadhiri oleh para ulama besar Al-Azhar dan dunia antaranya pakar hadis di bumi Syam, Syiria Al-Muhaddith Syaikh Nuruddin 'Itr, Pakar hadis di Mesir Al-Muhaddith Syaikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith Al-Kattani, Al-Muhaddith Syaikh Ahmad Ma'bad Abdul Karim (digelar pakar 'ilalul hadith dunia), pakar ilmu kalam/aqidah Dr. Syaikh Jamal Farouk Ad-Daqqaq, Al-Allamah Syaikh Taha Dasouqi Hubaisyi, Al-Allamah Dr. Yusri Rusyi Sayid Jabr( doktor pakar perubatan yang faqih, pakar hadith dan qiraat ), Syaikh Muhammad Abdul Rahim Badruddin, Al-Allamah Al-Mutafannin Dr. Usamah Sayyid Al-Azhari hafizahumullah dll.

Akhir zaman ini, kita dapat lihat pelbagai macam golongan dan karenah. Antara yang paling dahsyat adalah golongan jahil yang merasakan diri mereka alim, lalu menyalahgunakan fatwa ulama. Saya hanya bersangka baik terhadap mereka. Mungkin mereka tersilap dalam mencari kebenaran dan terhijab dari cahaya ilmu yang murni. Namun yang amat menyedihkan bagi saya adalah golongan ini membawa pencemaran terhadap nama institusi Al-Azhar As-Syarif dengan memutarbelitkan fatwa mereka hanya untuk memenangkan pendapat sesetengah pihak dan taasub buta.

Al-Azhar As-Syarif yang telah tersohor rantaian manhajnya yang adil dan terbuka dari dahulu hingga kini terhindar dari fitnah-fitnah tersebut yang mana kononnya ulama Al-Azhar As-Syarif melarang sambutan maulid Nabi SAW, sedangkan yang mereka larang adalah maksiat dan perkara yang haram yang dilakukan di dalam majlis maulid tersebut!

Mari kita kaji sejauh mana kebenaran sebuah kitab berjudul Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif Haul al-Adhrihah wa al-Qubur wa al-Mawalid wa al-Nuzur (Fatwa Para Ulama’ Besar al-Azhar as-Syarif berkenaan Perkuburan, Kubur, Maulid-maulid dan Nazar-nazar) yang diterbitkan oleh Dar al-Basya’ir sebagaimana yang dirujuk oleh tuan blog Ansarul-Hadis di atas.

Ia boleh didapati di sini: http://waqfeya.com/book.php?bid=7054 .

Saya cuba mendapatkan buku tersebut lalu melihat beberapa nama ulama’ Al-Azhar yang cuba dikaitkan dalam isu Maulid ini. Antara nama-nama yang disebutkan adalah:

Sheikhul Azhar Sheikh Mahmud Syaltut
Sheikhul Azhar Sheikh Abdul Majid Salim
Sheikh Muhammad Husain Zahabi (Wazir al-Auqaf)
Sheikh Ali Mahfuz dalam Kitab Al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’
Shohib al-Samahah Sheikh Hasanain Makhluf

Saya tertanya-tanya tentang tujuan asal buku ini ditulis. Jika buku ini disusun secara adil bersesuaian dengan tajuknya iaitu “Fatwa-fatwa Para Ulama’ Besar Al-Azhar as-Syarif”, maka, masih ramai lagi para ulama’ besar al-Azhar bahkan lebih besar daripada nama-nama yang disebutkan ini, yang membahaskan dan memberi fatwa tentang hukum Maulid.

Bahkan, nama-nama yang menulis kata-kata aluan dalam buku tersebut bukanlah termasuk dalam kalangan para ulama’ besar al-azhar as-syarif walaupun tidak dinafikan ada yang mengajar di al-azhar. Jadi, mengapa nama-nama yang di atas sahaja yang diambil sebagai rujukan atau fatwa-fatwa mereka sahaja dimuatkan dalam buku ini pada bab maulid ini?

Bahkan, cara fatwa-fatwa ini disusun juga tidak menunjukkan kepada sebuah kesimpulan yang jelas tentang hukum Maulid dan topik Maulid yang dibincangkan. Kita perlu fahami terlebih dahulu, kerangka pemikiran al-Azhar tidak seperti kerangka pemikiran fahaman Salafi iaitu apa yang tidak dilakukan oleh as-Salaf bererti ianya suatu kesalahan, kesesatan ataupun bid’ah yang membawa orang-orang yang melakukannya masuk neraka.

Institusi al-Azhar secara sejarahnya, manhajnya dan pengalaman keilmuannya, selalunya akan bersifat wasathiyyah (pertengahan atau adil) terutamanya dalam isu-isu yang mempunyai perbezaaan pendapat padanya dalam kalangan para ulama’.

Ketika saya membaca kitab yang dimaksudkan, penyusun secara sengaja ataupun tidak, tidak fokus terhadap sesuatu isu. Adakah yang cuba dibincangkan adalah tentang keumuman upacara Maulid ataupun upacara Maulid An-Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam secara khusus. Ini kerana, dalam fatwa-fatwa yang dinukilkan, sebahagiannya hanya tentang membuat sambutan Maulid para wali (bukan Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam) dengan cara-cara yang tidak pernah dilakukan dalam suasana masyarakat Islam di Malaysia secara khusus sebagaimana cuba disebut oleh Sheikhul Azhar Sheikh Mahmud Syaltut dan dinukilkan dalam kitab ini.

Pendirian Asas al-Azhar dalam Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam

Secara asasnya, sepanjang saya membaca kebanyakan fatwa para ulama’ al-Azhar dalam isu Maulid, samada fatwa-fatwa mereka yang disenaraikan dalam buku ini mahupun fatwa-fatwa para ulama’ al-Azhar (atau Mesir) yang lain, maka ianya kembali kepada kesimpulan ini:-

Pertama: Upacara Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam (ataupun maulid para ulama’ dan sebagainya) tidak pernah dilakukan oleh para salaf sholeh. Namun, itu tidak menjadikan upacara ini ketika diadakan oleh generasi kemudian, ianya suatu perkara yang bid’ah yang sesat kerana sekurang-kurangnya para ulama’ Al-Azhar memahami bid’ah itu ada hasanah dan ada yang mazmumah (tercela), dan tidak memahami bid’ah secara wahabi melainkan segelintir mereka.

Kedua: Upacara Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam yang mengandungi pujian kepada Allah s.w.t., pujian dan selawat ke atas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, membaca sirah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, berhimpun dalam keadaan yang bersesuaian dengan syarak, memberi makan kepada tetamu dan sebagainya, yang tidak mengandungi perkara-perkara haram, maka, hukumnya adalah dibolehkan bahkan sebahagian ulama’ menegaskan bahawa ianya adalah sunat. Tidak ada ulama’ al-Azhar yang muktabar mengharamkan apatah lagi membid’ahkan upacara Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam dalam bentuk yang baik ini kerana tidak ada perkara-perkara haram di dalamnya.

Ketiga: Upacara yang dinisbahkan kepada Maulid dan sebagainya yang mengandungi perkara-perkara yang haram seperti percampuran antara lelaki dengan perempuan, hiburan-hiburan nyayian yang melampau dan sebagainya, maka ianya ditolak oleh para ulama’ al-Azhar. Bahkan, ramai ulama’ al-Azhar yang diambil fatwa mereka dalam buku Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif Haul al-Adhrihah wa al-Qubur wa al-Mawalid wa al-Nuzur ini menolak Maulid pada bentuk kedua ini, iaitu yang mengandungi perkara-perkara yang haram termasuklah dalam fatwa Sheikh Ali Mahfuz dalam kitab Al-Ibda’ dan perkataan Sheikh Husain al-Zahabi dalam Al-Ahram.

Fatwa Semasa Dar al-Ifta al-Misriyyah

Di sini, fatwa Dar al-Ifta al-Misriyyah (oleh guru kami Mufti terkini Mesir, Shohib as-Samahah Sheikh Dr. Ali Jum’ah) menjelaskan tentang hukum bolehnya menyambut hari-hari bersejarah dalam Islam termasuklah menyambut hari kelahiran Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.

[Rujuk: http://www.dar-alifta.org/viewMindFatawa.aspx?ID=74&LangID=1]

Seorang ulama’ al-Azhar dan bekas Mufti Mesir, Sheikh Nasr Farid Washil menyebut tentang hukum Maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam:

“Sambutan Maulid Nabi ini tidak pernah dilakukan oleh generasi pertama dari kalangan as-salaf as-sholeh walaupun mereka sangat mengagungkan dan mencintai Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam yang mana kita tidak mampu menghimpunkan cinta yang mampu menyamai cinta salah seorang daripada mereka mahupun sebesar zarrah dibandingkan dengan mereka. Namun, ia adalah upacara yang baik jika bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang soleh, berselawat ke atas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, memberi makan orang-orang fakir dan sebagainya. Maka, ia akan diberi ganjaran dengan tujuan demikian pada bila-bila masa sahaja ianya dilakukan.

[Sumber: http://www.dar-alifta.org/ViewGeneral.aspx?ID=61 ]

Al-Imam al-Akbar Sheikh Ali Jad al-Haq ( Juga bekas Mufti Mesir pada tahun 1978) sendiri menulis sebuah artikel yang sangat indah dalam memperingati dan menyambut Maulid an-Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam yang berjudul “Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam Al-Rasul al-Qudwah”.

[Rujuk: http://www.dar-alifta.org/ViewGeneral.aspx?ID=66 ]

Perkataan Sheikh Ali Mahfuz dalam Kitab Al-Ibda’

Ketika penulis membaca kitab Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif Haul al-Adhrihah wa al-Qubur wa al-Mawalid wa al-Nuzur ini, fatwa Sheikh Ali Mahfuz dinukilkan secara terputus-putus dan tidak sampai maksud sebenar Sheikh Ali Mahfuz sama sekali bahkan seolah-olah berlawanan dengan maksud sebenar Sheikh Ali Mahfuz. [Sila dapatkan kitab asal Sheikh Ali Mahfuz di sini: http://www.waqfeya.com/book.php?bid=1587 ]

Walaupun Sheikh Ali Mahfuz menyebut bahawasanya upacara Maulid ini diasaskan pada daulah Fathimiyyah dan sebagainya, namun itu bukanlah asas bahawa beliau menolak upacara maulid. Pendirian sebenar beliau dalam bab Maulid tidak dizahirkan dalam kitab Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif Haul al-Adhrihah wa al-Qubur wa al-Mawalid wa al-Nuzur ini namun lebih menzahirkan salah satu pendapat yang dibincangkan oleh Sheikh Ali Mahfuz.

Setelah Sheikh Ali Mahfuz menjelaskan sejarah upacara Maulid, lalu beliau menyebut dalam kitab asal beliau Al-Ibda’ (m/s: 231):

“Tidak ada perselisihan bahawasanya ia (upacara Maulid ini) adalah suatu bid’ah. Tetapi, para ulama’ berbeza pendapat adakah ianya bid’ah Hasanah (yang baik) ataupun bid’ah yang buruk?”

Perkataan seringkas ini tidak dinukilkan oleh penyusun buku Fatawa Kirab Ulama’ Al-Azhar as-Syarif ini padahal ini adalah nota yang paling penting dalam merujuk kepada fatwa Sheikh Ali Mahfuz. Beliau tahu ada perselisihan pendapat dalam masalah ini, tetapi kenapa penyusun buku ini hanya mengambil pendapat yang menolak maulid sahaja daripada perkataan Sheikh Ali Mahfuz, sedangkan itu tidak merujuk kepada pendapat beliau sama sekali.

Penyusun buku ini menyebut: “kemudian beliau (Sheikh Ali Mahfuz) menyebut beberapa bentuk perkara haram yang terangkum dalam maulid-maulid ini antaranya…”

Ini adalah Tahrif yang nyata. Sheikh Ali Mahfuz bukanlah orang yang menyebut bentuk-bentuk haram yang terkandung dalam maulid-maulid tetapi sebaliknya beliau menyebut dari awal perenggan di atas: “al-Qa’ilun bi al-man’i Banuhu…” (maksudnya: orang-orang yang berkata dengan hukum haramnya atau tertegahnya maulid membina dasar hukum mereka di atas beberapa dalil). Kemudian, beliau menyebut beberapa dalil tersebut termasuklah dalil kedua: “beberapa bentuk perkara haram yang terangkum dalam maulid-maulid ini antaranya…” Maksudnya, orang-orang yang mengharamkan maulid yang menyebut bentuk-bentuk haram dalam maulid, bukan Sheikh Ali Mahfuz menyebut daripada dirinya sendiri.

Setelah itu, beliau menyebut dalil-dalil para ulama’ yang mengatakan bahawasanya maulid-maulid ini adalah bid’ah hasanah (yang baik) tetapi mengapa perkataan dan dalil-dalil ini tidak dinukilkan dalam buku ini? Adakah ini suatu nukilan yang adil?

Bahkan, mengapa kesimpulan yang dibuat oleh Sheikh Ali Mahfuz setelah menyebut kedua-dua pendapat tentang Maulid tidak disebutkan dalam buku Fatawa Kibar Ulama’ al-Azhar as-Syarif ini?

Sheikh Ali Mahfuz setelah menyebut dalil-dalil para ulama’ yang membenarkan upacara maulid, beliau membuat catatan dari perkataan beliau sendiri dengan berkata: “dengan dalil ini telah jatuhlah (gugurlah) dalil golongan pertama yang melarang upacara maulid ini”. Ini secara tidak langsung menunjukkan beliau sendiri secara peribadi tidak bersetuju dengan dalil-dalil yang beliau sebutkan dari pihak yang menolak dan melarang maulid secara mutlak.

Kesimpulan Sheikh Ali Mahfuz sangat jelas iaitu:

“Dengan apa yang telah kami sebutkan tadi, telah terzahir bagimu bahawasanya perselisihan atara dua pihak dalam baik maulid-maulid ini ataupun buruknya maulid bukanlah perselisihan yang hakiki pada satu isu. Akan tetapi, ia adalah perselisihan dari sudut nama yang mengikuti perselisihan isu yang dibincangkan dan dihukumkan. Maka, bahagian di mana dihukum padanya golongan pertama iaitu dengan celaan, maka, ia juga sebenarnya bukanlah yang diperindahkan oleh golongan kedua (iaitu yang membenarkan) dan bahagian atau jenis yang dihukum padanya oleh golongan kedua (yang mengatakan maulid adalah bid’ah yang baik) juga bukanlah yang dicela oleh golongan pertama. Dengan Allah s.w.t.-lah petunjuk itu.” [Kitab Al-Ibda’ m/s: 237]

Ini menunjukkan bahawasanya, di sisi Sheikh Ali Mahfuz, upacara majlis maulid ini ada dua jenis, iaitu jenis yang baik lalu dinilai sebagai bid’ah hasanah oleh para ulama’ dan maulid yang dicemari perkara-perkara haram lalu dinilai sebagai bid’ah yang buruk oleh sebahagian ulama’. Namun, pandangan ketika yang asing dalam masyarakat Islam, iaitu, sambutan atau upacara maulid itu secara mutlak adalah bid’ah, tidak diterima oleh ramai ulama’ al-Azhar termasuklah Sheikh Ali Mahfuz dan tidak dibahaskan pun oleh beliau sama sekali.

Perkataan Sheikh Husain al-Zahabi

Ketika penulis membaca keseluruhan yang dinukilkan dalam buku ini tentang perkataan Sheikh Husain al-Zahabi, secara jelas bagi Sheikh Husain al-Zahabi, asal upacara maulid itu adalah baik tetapi ketika dicampuri dengan perkara-perkara haram, maka barulah ianya haram dan buruk. Lihat buku ini pada muka surah 66 (cetakan tahun 2010, Dar al-Basya’ir). Namun, penyusun buku ini tidak berpuas hati dengan ungkapan Sheikh Husain al-Zahabi ketika sheikh berkata: “memang benar, maulid-maulid ini baik, tetapi sudut yang buruk yang telah mendominasi…”. Ini menunjukkan, jika upacara maulid ini tidak dicampuri dengan bentuk-bentuk buruk sebagaimana disebutkan tadi, maka, asalnya, ia adalah baik termasuk di sisi Sheikh Husain al-Zahabi.

Ketika Sheikh Husain Az-Zahabi ditanya tentang peranan ulama’ al-Azhar dalam kepincangan yang berlaku terhadap majlis maulid, maka beliau menyebut bahawasanya, peranan para ulama’ al-Azhar adalah untuk menghalakan majlis-majlis maulid ini ke arah yang sejahtera daripada kepincangan tersebut bukan menghapuskan terus upacara mulia ini. [m/s 67]

Perkataan Bekas Mufti Mesir Al-Allamah Syaikh Hasanain Makhluf (Guru kepada Mufti Mesir kini Syaikh Ali Jum'ah):

Kemudian apabila dirujuk pula tentang fatwa Fadhilah Syaikh Hasanain Makhluf rahimahullah , anggota Kibar 'Ulama di al-Azhar al-Syarif, yang juga merupakan Mufti al-Diyar al-Masriyah, pada muka surat 85 dan 86 kitab yang dirujuk blog Ansarul-hadis tersebut, penulis tersebut hanya mengambil fatwa yang tiada kaitan dengan hukum sambutan maulid! Tetapi soalan yang dijawab beliau adalah berkenaan perbuatan sebahagian golongan sufi yang jahil.

Sebab itu Syaikh Hasanain menjawab pada muka surat yang sama: "Tiada asal dalam agama ini untuk berzikir mengingati Allah Ta'ala dengan cara-cara seperti yang ditanyakan dalam soalan." Yakni cara-cara seperti zikir dengan menari, berdiri 4 orang, menunjuk sesama mereka sambil menggerakkan tangan kemudian berpusing-pusing dengan dua barisan. Semua itu adalah khurafat.

Sebaliknya jika maulid terhindar dari perkara-perkara bid'ah sesat ini, maka beliau juga membolehkannya sepertimana dalam fatwa beliau tentang maulid:

إن إحياء ليلة المولد الشريف وليالي هذا الشهر الكريم الذي أشرق فيه النور المحمدي إنما يكون بذكر الله ـ تعالى ـ وشكره لِمَا أنعم به على هذه الأمة من ظهور خير الخلق في عالم الوجود، ولا يكون ذلك إلا في أدب وخشوع وبُعْد عن المحرمات والبدع والمنكرات. ومن مظاهر الشكر إطعام الطعام على حبه مسكينًا ويتيمًا،

فتاوى شرعية وبحوث إسلامية ، ج1، ص131

Maksudnya: "Sesungguhnya Menghidupkan malam maulid yang mulia dan malam-malam bulan rabi'ul awal yang mulia ini yang terpancar padanya cahaya Muhammadi, sesungguhnya diadakan dengan zikir kepada Allah dan syukur kepadanya dengan nikmat yang dikurniakan Allah kepada umat ini dengan kemunculan sebaik-baik makhluk di alam wujud ini. Dan tidaklah ianya diadakan kecuali dalam adab, khusyu' dan terhindar dari perkara yang haram dan bid'ah yang mungkar. Dan antara ciri-ciri zahirnya syukur adalah memberi makanan yang disukainya kepada orang miskin dan anak yatim.."

Rujuk fatwa beliau dan ulama-ulama Azhar lain di: Wikipedia: Fatwa Maulid

Perkataan bekas Mufti Mesir Al-Allamah Syaikh Muhammad Bakhit Al-Muti'i:

Setelah beliau menyatakan sejarah maulid dan menaqalkan pendapat Imam As-Suyuti dan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani yang membolehkan amalan maulid, beliau memberi kesimpulan tentang hukum sambutan maulid:

فكل ما كان طاعة وقربة لم يعين لها الشارع وقتا معينا ولا مكانا معينا فلكل مكلف ان يفعلها في كل زمان وكل مكان وكذا كل ما كان غير داخل تحت نهي عام او خاص من قبل الشارع فهو مباح وما عدا ذلك فهو بدعة محرمة أو مكروهة فيلزم اجتنابها والنهي عنها
Maksudnya: "Justeru setiap apa yang dijadikan ketaatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditentukan syariat(Allah) waktu tertentu dan tidak pula tempat tertentu maka boleh bagi setiap mukallaf untuk melakukannya pada setiap waktu dan tempat, dan begitu juga setiap yang tidak termasuk dalam larangan umum atau khusus daripada syariat maka hukumnya Mubah/Harus, dan apa yang selainnya(yakni ada larangan) adalah bid'ah yang haram atau makruh. Maka wajib untuk menghindarinya dan menghalangnya"

Rujuk kitab beliau 'Ahsanul Kalam Fi Ma Yata'allaqu Bissunnah Wal Bid'ah Min Ahkam' pada muka surat 74.
Download PDF kitab tersebut di sini: http://ia601507.us.archive.org/6/items/rodoudach3ariya6/ahsankalam.pdf

Perkataan Syaikhul Azhar yang lalu Imam Al-Akbar Syaikh Abdul Halim Mahmud:


الاحتفال بالمولد النبوي سُنَّة حسنة من السُّنن التي أشار إليها الرسول ـ صلى الله عليه وسلم ـ بقوله: "ومَنْ سنَّ سُنَّة حسنة فله أجرُها وأجرُ مَنْ عَمِل بها، ومَنْ سنَّ سُنَّةً سيئة فعليه وِزْرُها ووِزْرُ مَنْ عَمِل بها"، وذلك لأنَّ له أصولًا ترشد إليه وأدلة صحيحة تسوق إليه ولا يعني ترك السلف لهذا العمل الصالح مخالفتَه للشرع؛ لأن السلف الصالح كان عندهم من اليقظة الدينية وحبِّ النبي الكريم ما يُغنيهم عن التذكير بيوم مولده للاحتفال.

Maksudnya: "Sambutan Maulid Nabi SAW adalah sunnah/jalan yang baik daripada sunnah-sunnah yang diisyaratkan oleh Rasul SAW dalam sabdanya: "Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal denganya, barangsiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya" Dan ianya adalah kerana terdapat usul/asas yang membimbingnya dan dalil-dalil yang sahih yang berpandukan padanya. "Dan tidaklah bererti peninggalan salafussoleh bagi amalan yang soleh ini merupakan pertentangan kepada syariat, kerana salafussoleh masih mempunyai kebangkitan/keprihatinan agama dan cinta Nabi yang mulia yang mana menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada peringatan hari maulid untuk disambut.(berbeza dgn zaman yang penuh kelalaian ini)"

[Rujuk: Fatawa Imam Abdul Halim Mahmud cetakan Dar Ma'arif m/s: 273. Boleh download di: http://abdel-halim.org/Fatawa%20-%20Part1.pdf

Perkataan Syaikhul Azhar Imam Al-Akbar Syaikh Mahmud Syaltut:

Di dalam kitab beliau 'Min Taujihat Al-Islam' cetakan Dar Syuruq m/s 352, di bawah tajuk 'Sambutan Memperingati Maulid Nabi SAW', beliau memberi sebab-sebab mengapa golongan salaf tidak melakukannya dan kepentingan sambutan ini di akhir zaman ini untuk mengingatkan masyarakat yang lalai. Beliau berkata:

وقد جرت سنة المسلمين بعد قروونهم الأولى ان يحتفلوا في شهر ربيع الأول من كل عام بذكرى ميلاد الرسول محمد صلى الله عليه وسلم وكان لهم في الإحتفال بهذه الذكرى أساليب تختلف باختلاف البيئات والبلدان

Maksudnya: "Dan telah berlakulah kebiasaan sunnah umat Islam selepas kurun-kurun pertama untuk menyambut pada bulan Rabi'ul Awwal pada setiap tahun untuk memperingati Maulid Rasul Muhammad SAW, dan adalah mereka dalam menyambutnya mempunyai pelbagai cara bergantung suasana dan negara"

Fatwa Ulama-Ulama Besar Al-Azhar Yang Lain

Perkataan Dr. Yusuf al-Qaradhawi( Ulama Besar Dunia lulusan Al-Azhar)

Adapun golongan yang terasing daripada memahami fiqh Islam yang luas, yang menganggap maulid ini secara mutlaknya adalah bid’ah yang sesat, fahaman ini ditolak secara khusus oleh institusi al-Azhar dan para ulama’ Al-Azhar. Bahkan, Al-Azhar berlepas tangan daripada fahaman dan pandangan ini.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga pernah berkata:

هناك من المسلمين من يعتبرون أي احتفاء أو أي اهتمام أو أي حديث بالذكريات الإسلامية، أو بالهجرة النبوية، أو بالإسراء والمعراج، أو بمولد الرسول صلى الله عليه وسلم، أو بغزوة بدر الكبرى، أو بفتح مكة، أو بأي حدث من أحداث سيرة محمد صلى الله عليه وسلم، أو أي حديث عن هذه الموضوعات يعتبرونه بدعة في الدين، وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار، وهذا ليس بصحيح على إطلاقه، إنما الذي ننكره في هذه الأشياء الاحتفالات التي تخالطها المنكرات، وتخالطها مخالفات شرعية وأشياء ما أنزل الله بها من سلطان، كما يحدث في بعض البلاد في المولد النبوي وفي الموالد التي يقيمونها للأولياء والصالحين، ولكن إذا انتهزنا هذه الفرصة للتذكير بسيرة رسول الله صلى الله عليه وسلم، وبشخصية هذا النبي العظيم، وبرسالته العامة الخالدة التي جعلها الله رحمة للعالمين، فأي بدعة في هذا وأية ضلالة ؟!
Maksudnya:
“Di sana ada dalam kalangan orang-orang Islam yang mengira bahawa memuliakan, mengambil berat atau upacara mengingati peristiwa-peristiwa keislaman, hijrah nabawiyyah, isra’ mi’raj, maulid al-Rasul shollallahu ‘alaihi wasallam, perang badar kubra, fath makkah atau apa sahaja peristiwa daripada persitiwa sirah Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam atau apa sahaja peristiwa dalam bab-bab ini, maka mereka mengira bahawa ia adalah bid’ah dalam perkara agama, sedang semua bid’ah adalah kesesatan dan semua kesesatan adalah neraka. Ini adalah pandangan yang tidak benar sama sekali. Adapun apa yang kami ingkari pada perkara-perkara ini adalah perayaan-perayaan yang dicampuri oleh perkara-perkara mungkar, bercampur padanya perkara-perkara yang menyalahi syarak yang mana Allah s.w.t. tidak menurunkan bukti mengenainya sama sekali seperti yang berlaku di sesetengah negara pada al-Maulid al-Nabawi dan maulid yang mereka dirikan untuk para wali dan orang-orang soleh. Akan tetapi, jika kita mengambil peluang tersebut (maulid Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam) untuk memperingati sirah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, dan memperingati tentang keperibadian Nabi yang agung ini shollallahu ‘alaihi wasallam, tentang risalah umum dan kekal yang dijadikan sebagai rahmat untuk seluruh alam ini, maka apa bid’ahnya dalam perkara ini dan apa yang sesat?

Beliau juga ada berkata:

"وكانوا يحيون مع الرسول صلى الله عليه وسلم، كان الرسول صلى الله عليه وسلم حياً في ضمائرهم، لم يغب عن وعيهم فلم يكونوا إذن في حاجة إلى تذكّر هذه الأشياء.
"Dan adalah mereka(para sahabat) hidup bersama Rasulullah SAW dan adalah Rasul SAW hidup dalam jiwa-jiwa mereka, tidak hilang dari fikiran mereka.. Maka mereka tidak memerlukan peringatan dalam perkara ini...”
Beliau berkata lagi: "Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah.
"Ini kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah itu kekal di dalam hati dan juga ingatan

Rujuk:

http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=5852&version=1&template_id=130&parent_id=17

dan http://qaradawi.net/component/content/article/1548.html

Perkataan Al-Allamah Prof Dr. Wahbah Az-Zuhaili (Ulama Besar Dunia Lulusan Al-Azhar):

Ketika beliau ditanya tentang hukum sambutan Maulid di rancangan As-Syari'ah Wal Hayah di channel Al Jazeera yang bertajuk "Albida'u wa majalatuha al-mu'asirah", beliau menyatakan

bahawa sambutan ini walaupun tiada di zaman sahabat dan asalnya daripada Fatimiyyun, tetapi ianyan bukanlah bid'ah yang buruk kerana menghidupkan banyak kebaikan seperti membaca AL-Quran, memperingatkan tentang akhlak Nabi SAW, dan mengajak manusia untuk berpegang pada ajaran Islam, dan adab-adab, maka hukumnya menjadi harus dan tidak mengapa.
Kerana jika kita mengatakan perkara ini merupakan bid'ah yang buruk, maka seolah-olah kita mengingkari dakwah Islam.
Salafussoleh tidak menyambut maulid Nabi SAW kerana mereka masih sibuk untuk mengukuhkan kaedah-kaedah asas-asas Islam dan rukun-rukunnya, dan pembukaan-pembukaan kota, penyebaran agama dan mempertahankan Islam dari serangan musuh-musuh serta menghadapi pelbagai halangan dalam dakwah mereka, maka mereka tidak punya waktu untuk mengadakan sambutan ini..bahkan mereka tidak memerlukan sambutan ini kerana Nabi SAW masih hidup bersama mereka, dan mengambil daripada Baginda SAW nasihat-nasihat, galakan, adab-adab yang mulia dll maka ianya belum muncul pada zaman mereka.."


Rujuk Video: http://www.youtube.com/watch?v=q4Q1vHBAYRY Minit ke-28.

Perkataan Imam As-Sya'rawi (Juga salah seorang ulama lulusan Al-Azhar):

Kata Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi rahimahullah yang beliau utarakan dalam "Ma-idah al-Fikr al-Islamiyyah" halaman 295 yang bermaksud:-

“Jika setiap ciptaan yang dijadikan, hatta yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran Baginda SAW dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jin Islam bergembira di atas kelahiran Baginda SAW, maka kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran Baginda SAW ?.”

Begitu juga jika kita lihat dalam risalah para ulama India, ramai di kalangan mereka yang membolehkan amalan ini. Ada satu risalah berjudul 'Al-Muhannad 'Alal Mufannad' karya Imam Al-Muhaddith Khalil Ahmad As-Sahranfuri(w 1346H) pengarang kitab 'Bazlul Majhud Syarah Sunan Abi Daud'.

Risalah beliau ini telah ditunjukkan kepada Syaikhul Azhar ketika itu yang bernama Imam Al-Allamah Syaikh Salim Al-Bisyri, lalu beliau menyetujui fatwa ulama India tersebut.

Imam Khalil Ahmad berkata:

"Moga dijauhkan untuk berkata seorang muslim -apatah lagi kita-,bahawa memperingati kelahiran Nabi SAW bahkan menyebut debu sepatunya dan air kencing keldai baginda SAW merupakan bid'ah buruk yang haram!!

Keadaan-keadaan yang ada kaitan paling sedikit dengan Rasulullah SAW pun, untuk menyebutnya merupakan antara sebaik-baik perkara sunat dan setinggi-tinggi galakan(mustahabb) menurut kami, sama ada mengingati kelahiran baginda SAW, atau kencingnya, tahinya, tidur dan bangunnya, sepertimana dikemukakan di dalam risalah kami berjudul "Al-Barahin Al-Qati'ah" dalam banyak tempat di dalamnya, dan juga dalam fatwa-fatwa guru-guru kami rahimahumullah ta'ala, seperti dalam Fatwa Maulana Ahmad Ali Al-Muhaddith As-Sahranfuri, murid kepada Syah Muhammad Ishaq Ad-Dihlawi kemudian berhijrah, Al-Makki, kami naqalkannya sebagai contoh daripada semua fatwa-fatwa.

Beliau ditanya rahimahullah ta'ala berkenaan majlis sambutan maulid Nabi SAW dengan cara apakah dibolehkan, dan dengan cara apakah tidak dibolehkan?

Maka beliau menjawab, "Memperingati kelahiran mulia Sayyiduna Rasulullah SAW dengan riwayat yang sahih, dalam waktu yang bebas dari amalan ibadat fardhu, dengan tata cara yang tidak bertentangan dari jalan para sahabat dan golongan 3 kurun pertama yang disaksikan baginya kebaikan, dengan keyakinan/i'tiqad yang tidak membawa kepada syirik dan bid'ah, dengan adab yang tidak bertentangan dengan sirah para sahabat, yang mana mendapatkan pengesahan sabda Nabi SAW: "Apa yang aku berpegang dan para sahabatku", dalam majlis-majlis yang bebas dari kemungkaran syar'ie, membawa kepada kebaikan dan keberkatan, dengan syarat didampingi kebenaran niat dan ikhlas dan berkeyakinan bahawa ianya termasuk dalam kumpulan-kumpulan zikir-zikir yang baik dan sunat serta tidak terikat dengan waktu-waktu tertentu. Sekiranya begitu, maka kami tidak mengetahui siapa pun dari umat Islam yang menghukumkannya dengan tidak dibolehkan atau bid'ah, hingga hujung fatwa.."
Sekiranya bebas dari kemungkaran, maka, moga Allah melindungi kita dari berkata: Bahawa memperingati kelahiran baginda yang mulia adalah mungkar dan bid'ah.. dan bagaimana seorang muslim boleh bersangka dengan kata-kata yang hodoh ini! dan kata-kata hododh ini jika dinisbahkan kepada kami juga adalah tuduhan-tuduhan penipu-penipu besar moga Allah menghina dan melaknat mereka...."

[Rujuk: Mabahis Fi Aqaid Ahli as-Sunnah Al-Muhannad 'Alal Mufannad karya Imam Khalil Ahmad As-Sahranfuri m/s 78-80 terbitan Dar al-Fath]

Perkataan Imam Al-Hafiz As-Suyuti Dan Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani (Bekas penuntut dan tenaga pengajar di Masjid Al-Azhar As-Syarif, Kaherah):

Imam As-Suyuti menaqalkan tentang hukum menyambut Maulid Nabi SAW oleh gurunya sendiri iaitu Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani ketika ditanya ttg hukum maulid maka beliau menjawab:

وقد سئل شيخ الإسلام حافظ العصر أبو الفضل بن حجر عن عمل المولد فأجاب بما نصه: أصل عمل المولد بدعة لم تنقل عن أحد من السلف الصالح من القرون الثلاثة ولكنها مع ذلك قد اشتملت على محاسن وضدها فمن تحرى في عملها المحاسن وتجنب ضدها كان بدعة حسنة وإلا فلا
Ertinya: “Asal melakukan maulid adalah bid'ah, tidak diriwayatkan dari ulama salaf dalam tiga abad pertama, akan tetapi didalamnya terkandung kebaikan-kebaikan dan juga kesalahan-kesalahan. Barangsiapa melakukan kebaikan-kebaikan(seperti zikir, selawat, dakwah, majlis ilmu, baca sirah) di dalamnya dan menjauhi kesalahan-kesalahan(seperti ikhtilat, membazir, maksiat, konsert dll), maka ia telah melakukan bid'ah yang baik (bid'ah hasanah)(boleh buat) tetapi jika tidak menjauhi kesalahan-kesalahan, maka tak boleh dilakukan.."

( Lihat Al Hawi Lil Fatawa, As Suyuthi, 1/282, Maktabah Asy Syamilah)

Kesimpulan:

Ramai para ulama’ Al-Azhar yang besar menghukum baik majlis-majlis Maulid seperti Imam Ibn Hajar al-Asqolani, Imam al-Suyuti dalam kitab beliau Husn al-Maqsid fi ‘Amal al-maulid, Imam Ahmad al-Dardir yang mengarang sebuah kitab maulid, Imam al-Showi, Imam al-Bajuri r.a. yang turut mengarang maulid berjudul Tuhfah al-Basyar ‘ala Maulid Ibn Hajar, Sheikhul Azhar Sheikh Abdul Halim Mahmud, Sheikhul Azhar Sheikh Tantawi, Sheikhul Azhar Sheikh Dr. Ahmad at-Thayyib, Shohib al-Samahah Sheikh Dr. Ali Jum’ah dan sebagainya sudah memadai menunjukkan pendirian sebenar al-Azhar yang jelas tentang Maulid al-Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam.

Mengapa para ulama’ al-Azhar muktabar ini tidak dirujuk dalam permasalahan seperti Maulid al-Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam tetapi lebih merujuk kepada beberapa fatwa yang tidak jelas dan separuh-separuh sahaja oleh segelintir ulama’ al-Azhar? Ia langsung tidak mewakili kesarjanaan dan penilaian ilmiah sebenar institusi al-Azhar dan para ulama’ mereka secara umum dalam masalah ini. Mengapa perlu bersusah-susah untuk menyalahi aliran Al-azhar yang sebenar, dengan mencari sesuatu yang terpencil dalam pembendaharaan keilmuan al-Azhar yang luas lalu cuba dijadikan pengukur terhadap pendirian al-azhar dalam sesuatu masalah? sedangkan pemikiran umum keilmuan al-Azhar adalah bercanggah dengan apa yang cuba dibuktikan. Ia jelas dilakukan atas dasar yang tidak ilmiah oleh orang yang tidak menjiwai manhaj umum keilmuan al-Azhar al-Syarif. Semoga Allah s.w.t. memberi hidayah kepada mereka dan seluruh umat Islam. Amiin…

Antara Rujukan Lain:

Fatawa Ulama Al Muslimin Bistihbab Al Ihtifal Bimaulid Sayyidil Mursalin -Karya Dr. Athiyyah Mustafa
Facebook Ustaz Raja Mukhlis
http://www.onislam.net/arabic/ask-the-scholar/8308/53190-2004-08-01%2017-37-04.html
http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=20&ID=7355
http://www.azahera.net/showthread.php?t=9518

Sumber : http://azamhusni.blogspot.com/2013/01/fatwa-sebenar-ulama-al-azhar-as-syarif.html

Tiada ulasan: