CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Khamis, 19 Januari 2012

Benarkah Tidak Sampai Pahala Bacaan Al Quran Kepada Orang Islam Yang Meninggal Dunia ?

Oleh : Lutfi Latif

Dengan Nama Allah Tuhan yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Segala Pujian bagi Allah SWT wahai Tuhan Pentadbir Sekalian Alam. Selawat serta Salam ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW yang diutuskan oleh Allah kepada sebaik-baik umat yakni umat Muhammad SAW.

Ketika saya bermula hendak menulis perbahasan ini, hujan pun turun. Namun, tidak lebat dan tidak pula disertai petir atau guruh. Dan sebelum menulis perbahasan ini saya memohon kepada Allah SWT di dalam solat supaya mudah-mudahan saya diberi petunjuk dan semoga saya mampu menulis sesuatu yang benar.

Telah dinukilkan oleh Imam Ibnu Katsir di dalam kitab tafsirnya, Tafsir Al-Qur’an Al-Azhim, tentang pendapat Imam Al-Syafi’i berkenaan dengan tidak sampai pahala bacaan Al-Qur’an kepada si mati. Nukilan ini seterusnya menjadi sesuatu yang masyhur dari kalangan para ulama mazhab Syafi’i.



Kelihatan pendapat Imam Al-Syafi’i yang dinukilkan itu sempat mencetuskan kontroversi yang berpanjangan. Senario ini mengundang persoalan sama ada membaca Al-Qur’an di perkuburan lalu menyampaikan pahala bacaan tadi kepada si mati termasuk sesuatu yang bid’ah atau sunnah.

Ibnu Katsir telah berkata di dalam kitab Tafsir Al-Qur’an Al-Azhim:

{ وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى } أي: كما لا يحمل عليه وزر غيره، كذلك لا يحصل من الأجر إلا ما كسب هو لنفسه. ومن وهذه الآية الكريمة استنبط الشافعي، رحمه الله، ومن اتبعه أن القراءة لا يصل إهداء ثوابها إلى الموتى؛ لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم؛ ولهذا لم يندب إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه، ولا أرشدهم إليه بنص ولا إيماء، ولم ينقل ذلك عن أحد من الصحابة، رضي الله عنهم، ولو كان خيرا لسبقونا إليه، وباب القربات يقتصر فيه على النصوص، ولا يتصرف فيه بأنواع الأقيسة والآراء، فأما الدعاء والصدقة فذاك مجمع على وصولهما، ومنصوص من الشارع عليهما. وأما الحديث الذي رواه مسلم في صحيحه، عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "إذا مات الإنسان انقطع عمله إلا من ثلاث: من ولد صالح يدعو له، أو صدقة جارية من بعده، أو علم ينتفع به"

Ertinya:
[“Dan sesungguhnya seseorang tidak akan memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.”] Sebagaimana dosa seseorang tidak boleh dipikulkan oleh orang lain, demikian pulalah pahala, seseorang tidak akan memperoleh pahala melainkan daripada usahanya sendiri. Dan menerusi ayat tersebut Imam Al-Syafi’i RHM berkesimpulan bahawa pahala bacaan (Al-Qur’an) tidak sampai atau diserahkan kepada orang yang telah mati, kerana itu bukan amalan atau hasil usahanya. Oleh itu, Rasulullah SAW tidak menganjurkan hal tersebut kepada umatnya dan tidak menggalakkan mereka untuk melakukannya, dan tidak pula memberikan petunjuk kepada mereka sama ada daripada nas atau isyarat. Demikian juga tidak pernah diriwayatkan bahawa para sahabat melakukan hal yang demikian. Kalau perbuatan tersebut merupakan kebaikan pasti mereka telah mendahului dalam melakukannya. Oleh kerana perbuatan mendekatkan diri kepada Allah (termasuk membaca Al-Qur’an kepada si mati) mesti didasari oleh nas-nas agama, bukan dengan analogi dan fikiran (pendapat) orang. Adapun untuk doa dan sedekah ulama sepakat bahawa keduanya boleh sampai kepada si mati, di samping ada nas syarak mendasari hal tersebut. Dan hadis tentang itu diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahihnya daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah amalnya, melainkan tiga perkara iaitu anak soleh yang mendoakannya, sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat.”

Para ulama telah menganalisis pendapat Imam Al-Syafi’i yang telah dinukil oleh Imam Ibnu Katsir ini. Lalu, mereka memberikan pelbagai macam komentar. Dan penulis sendiri telah berusaha mengumpulkan komentar-komentar tersebut bagi menjawab tentang isu ini.


ANALISA PERTAMA: ANALISIS TERHADAP SURAH AN-NAJM AYAT 39

وَأَنْ لَيْسَ لِلإنْسَانِ إِلا مَا سَعَى
Ertinya:
Dan sesungguhnya seseorang tidak akan memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” (Surah an-Najm: 39)

Sebenarnya ayat ini mempunyai pelbagai tafsiran oleh para ulama. Berikut antara komentar ulama tentang ayat tersebut:

  1. Ayat ini telah dimansukhkan oleh Surah At-Thur ayat 21. Demikian pendapat Ibnu Abbas yang direkodkan oleh Imam Jalaluddin Al-Suyuti di dalam kitab tafsirnya, Al-Durr Al-Mantsur.
  2. Ayat ini telah dikhususkan.
  3. Ayat ini bercerita tentang syariat umat terdahulu.
  4. Ayat ini dikhususkan kepada orang kafir, bukan orang mukmin.
  5. Ayat ini dikhususkan kepada orang yang hidup (insan), bukan yang telah mati.

Setelah Sheikh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah cuba menyebutkan pendapat para ulama lain di dalam kitabnya Al-Ruh tentang penafsiran ayat ini lalu beliau melemahkan semua pendapat yang telah disenaraikan. Ini kerana beliau mempunyai pendapat tersendiri yang amat rapat dengan pendapat Imam Al-Syafi’i dan gurunya Sheikh Ibnu Taimiyyah.

Menurut Sheikh Ibnul Qayyim, surah an-Najm ayat 39 itu menunjukkan bahawa Allah SWT tidak akan memberikan balasan pahala melainkan dengan amal dan usahanya sendiri. Sekaligus membuktikan keadilan Allah SWT.

Sungguhpun begitu, Sheikh Ibnul Qoyyim berpendapat bahawa boleh menghadiahkan pahala kepada si mati. Ini akan diberitahu nanti.

ANALISA KEDUA: ANALISIS PENDAPAT IMAM AL-SYAFI’I

Sebagaimana dosa seseorang tidak boleh dipikulkan oleh orang lain, demikian pulalah pahala, seseorang tidak akan memperoleh pahala melainkan daripada usahanya sendiri. Dan menerusi ayat tersebut Imam Al-Syafi’i RHM berkesimpulan bahawa pahala bacaan (Al-Qur’an) tidak sampai atau diserahkan kepada orang yang telah mati, kerana itu bukan amalan atau hasil usahanya.”

Sheikh Ibnul Qoyyim telahpun memberikan jawapan tentang hal ini di dalam kitabnya Al-Ruh. Demikianlah kata-kata dan pendapatnya:

فأخبر تعالى أنه لا يملك إلا سعيه

Allah SWT memberitahu bahawa seseorang itu tiada memiliki sesuatu kecuali dari hasil usahanya sendiri.

Kemudian Sheikh Ibnul Qoyyim melanjutkan pembicaraannya:

وأما سعى غيره فهو ملك لساعيه فإن شاء أن يبذله لغيره وإن شاء أن يبقيه لنفسه وهو سبحانه لم يقل لا ينتفع إلا بما سعى وكان شيخنا يختار هذه الطريقة ويرجحها.

“Adapun usaha orang lain, maka itu hak orang yang mengerjakannya. Jika dia suka hendak memberikannya kepada orang lain terserah kepadanya sendiri, kalau tidak maka hak itu adalah kepunyaannya sendiri yang disimpannya untuk dirinya sendiri. Allah Ta'ala tiada mengatakan tidak boleh dimanfaatkan kecuali apa yang diusahakannya semata. Dan tuan guru kami yakni Ibnu Taimiyah, telah memilih cara ini dan memberatkannya (menguatkannya).”

Lihatlah jawapan Ibnul Qoyyim ini! Bukankah ianya benar? Cubalah anda memahami dengan baik akan surah an-Najm ayat 39 dengan pendapat Imam Al-Syafi’i dan disertai penjelasan Imam Ibnul Qoyyim. Anda dapat lihat bahawa kata-kata Imam Al-Syafi’i tadi “…tidak sampai atau diserahkan kepada orang yang telah mati, kerana itu bukan amalan atau hasil usahanya.” Telah dijawab oleh Ibnul Qoyyim bahawa memang itu bukan usaha orang yang telah mati, sebab itu tidak sampai. Tetapi, pahala bacaan al-Qur’an tadi kepunyaan pembuat amal yang masih hidup, dan pembuat amal berhak untuk memberikan pahala tersebut kepada orang yang telah mati.

Pernah seseorang bertanya kepada saya (Lutfi), mengapa saya berpendapat pahala bacaan al-Qur’an boleh sampai kepada orang yang telah mati padahal al-Qur’an menyebutkan bahawa seseorang tidak akan memperoleh melainkan atas usahanya sendiri? Berikut ini adalah jawapan saya:

Kita kena faham bahawa ayat Al-Qur’an merupakan sesuatu yang benar dan menunjukkan sesuatu yang PASTI. Memang merupakan sesuatu yang PASTI bahawa kita akan mendapat kebaikan atas usaha atau amalan kita sendiri. Adapun hadiah pahala daripada orang lain adalah bentuk yang TIDAK PASTI, dan kita tidak tahu sama ada orang lain akan memberikan pahalanya kepada kita ataupun tidak. Kita tidak tahu, mungkin sahaja setelah kematian kita nanti, kita menyangka ada orang ingin hadiahkan pahalanya kepada kita padahal realitinya belum tentu dan ianya merupakan BENTUK YANG TIDAK PASTI. Jadi, adakah kita perlu mengharapkan sesuatu yang BELUM PASTI? Maka, oleh sebab itu kita perlu memperbanyakkan amal sendiri dan tidak bergantung atau terlalu mengharapkan belas kasihan orang lain. Ini kerana apabila kita sendiri beramal, maka kita memperoleh sesuatu balasan amal yang PASTI. Nah, oleh sebab itu Al-Qur’an hanya menyebutkan sesuatu yang PASTI. Supaya kita memperbanyakkan amal sendiri ketika hidup di dunia ini. Sungguhpun begitu, jika memang ada orang lain menghadiahkan pahalanya kepada kita, maka kita akan memperoleh hadiah pahala itu. Wallahu a’lam bis shawab”.


ANALISA KETIGA

Oleh itu, Rasulullah SAW tidak menganjurkan hal tersebut kepada umatnya dan tidak menggalakkan mereka untuk melakukannya, dan tidak pula memberikan petunjuk kepada mereka sama ada daripada nas atau isyarat.

Maksud pernyataan di atas ialah Rasulullah SAW tidak menganjurkan membaca al-Qur’an kepada orang yang telah mati. Dan tiada dalil yang menunjukkan bahawa dianjurkan membaca Al-Qur’an kepada orang yang telah mati.

Para ulama telah berusaha menjawab tentang hal ini dengan dalil-dalil yang baik. Namun, dalil ini telah mendapat kritikan daripada sebahagian pihak, tetapi disokong oleh sebahagian pihak yang lain. Maka, dalam hal ini sikap berlapang dada patut diutamakan.

وَعَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ( اقْرَءُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس ).
Ertinya:
Daripada Ma’qil bin Yasar bahawasanya Nabi SAW bersabda: Bacakanlah ke atas orang yang telah meninggal dunia surah Yasin!
(Riwayat Abu Daud dan lain-lain)

Hadis ini telah dinilai Daif oleh Imam Ad-Daruqutni. Namun, Imam Abu Daud tidak menilainya Daif. Dan ianya telah dinilai Sahih oleh Imam Ibnu Hibban. Berkata sebahagian ulama bahawa hadis ini menunjukkan bahawa disunatkan membaca Surah Yasin kepada orang yang sedang nazak, bukan kepada orang yang telah mati.

Tentang masalah itu telah dijawab oleh Dr. Abd Malik Abd Rahman As-Sa’di di dalam kitabnya, Al-Bid’ah fi al-Mafhum Al-Islami Al-Daqiq:

Lafaz mayyit disebut secara hakikat ke atas seorang yang telah keluar rohnya daripada jasad. Dan digunakan secara majaz ke atas orang yang sedang nazak. Ini bererti dia masih lagi hidup dan bukannya telah mati. Kalau dilihat di dalam Kaedah Usuliyyah, diharuskan menggunakan satu lafaz secara hakikat atau majaz, maka tidaklah menjadi tegahan sekiranya digunakan mawtakum ke atas seorang yang sedang nazak dan seorang yang telah mati dengan sebenarnya, kerana pahala bacaan tetap sampai kepadanya dan dia merasa senang sebagaimana seorang yang nazak merasa senang terhadap bacaan surah tersebut. Mereka menafsirkannya kepada makna majaz semata-mata kerana mengkiaskannya dengan hadis Rasulullah SAW yang lain:
Ajarkanlah orang-orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan kalimah La ilaha illallah. Yang dimaksudkan dengan mawtakum di sini ialah mereka yang hampir mati, bukannya seorang yang benar-benar telah mati. Dijawab ke atas hujah di atas: Perkataan yang bererti: Ajarkanlah(لقنوا) , sudah cukup menjadi bukti yang mengubahnya daripada hakikat ke majaz, kerana apabila diminta ‘Ajarkan’ supaya seorang yang hampir mati itu dapat mengucapkannya sebelum rohnya keluar, bukan selepas keluar roh. Lebih-lebih lagi terdapat sebuah hadis lain yang menyatakan maksudnya ‘Sesiapa yang perkataannya di dunia diakhiri dengan kalimah La ilaha illallah, nescaya akan masuk syurga’. Di atas dasar ini tidak ada faedah diajarkannya selepas keluar roh atau selepas kematiannya. Manakala hadis Yasin menggunakan lafaz yang bererti: Bacakanlah ( اقْرَءُوا) ia! Perkataan ini sesuai untuk seorang yang hampir mati dan seorang yang telah mati, kerana kedua-duanya merasa senang dengan surah tersebut, di samping pahalanya tetap sampai sekiranya dia telah mati. Inilah yang diperkatakan oleh Al-Muhib At-Tabari dan lain-lain.

Sebenarnya terdapat hadis lain yang menyokong hadis tadi iaitu:

لِمَا رَوَى أَنَسٌ مَرْفُوعًا قَالَ: مَنْ دَخَلَ الْمَقَابِرَ فَقَرَأَ فِيهَا يس خُفِّفَ عَنْهُمْ يَوْمَئِذٍ وَكَانَ لَهُ بِعَدَدِهِمْ حَسَنَاتٌ
Ertinya:
Daripada Anas RA secara marfu’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca surah Yasin, nescaya diringankan azab daripada mereka (ahli kubur) pada hari tersebut dan diberikan kebaikan yang banyak mengikut bilangan ahli kubur kepada si pembaca tadi.
(Diriwayatkan oleh Sohibul Khilal dengan sanad beliau, telah disebutkan demikian itu oleh Ibnu Qudamah dalam al-Mughni juga disebutkan oleh pengarang kitab Tuhfatul Al-Ahwazi. Menurut Dr. Ali Jum'ah dengan hadis inilah Imam Hanbali berhujah).

Hadis lain:


عَنْ عَلِيٍّ مَرْفُوعًا { مَنْ مَرَّ عَلَى الْمَقَابِرِ وَقَرَأَ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ إحْدَى عَشْرَةَ مَرَّةً ، ثُمَّ وَهَبَ أَجْرَهُ لِلْأَمْوَاتِ ؛ أُعْطِي مِنْ الْأَجْرِ بِعَدَدِ الْأَمْوَاتِ }
Ertinya:
Daripada Ali RA secara marfu’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang melalui kawasan perkuburan, kemudian ia membaca Surah al-Ikhlas 11 kali dengan niat menghadiahkan pahalanya kepada para penghuni kubur, ia sendiri akan memperoleh sebanyak yang diperoleh semua penghuni kubur itu.
(Diriwayatkan oleh Ar-Rafi’i dan As-Samarqandi. Juga disebutkan di dalam kitab Tazkirah al-Qurtubi)

Hadis lain:

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : { مَنْ دَخَلَ الْمَقَابِرَ ثُمَّ قَرَأَ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ ، وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ، وَأَلْهَاكُمْ التَّكَاثُرُ ، ثُمَّ قَالَ : إنِّي جَعَلْتُ ثَوَابَ مَا قَرَأْتُ مِنْ كَلَامِكَ لِأَهْلِ الْمَقَابِرِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ؛ كَانُوا شُفَعَاءَ لَهُ إلَى اللَّهِ تَعَالَى }

Ertinya:
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang memasuki kawasan perkuburan kemudian ia membaca Al-Fatihah, Al-Ikhlas dan At-Takatsur, lalu berdoa: Ya Allah, ku hadiahkan pahala bacaan firman-Mu ini kepada ahli kubur yang terdiri dari kalangan Mukminin dan Mukminat. Maka mereka akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat.
(Mathalib Syarh Ghoyatul Muntaha)

Berkata Sheikh AlHamid AlHusaini:
“Hadis-hadis tersebut di atas dijadikan dalil yang kuat oleh para ulama”

Pertanyaannya: “Mungkinkah Imam Al-Syafi’i belum sempat bertemu dengan hadis-hadis ini?” Wallahu a'lam, Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Ayuh, kita lanjutkan kepada analisis seterusnya!


ANALISA KEMPAT

Demikian juga tidak pernah diriwayatkan bahawa para sahabat melakukan hal yang demikian. Kalau perbuatan tersebut merupakan kebaikan pasti mereka telah mendahului dalam melakukannya.

Sebenarnya pernyataan ini telah dijawab oleh para ulama dengan bersandarkan pada kisah dan dalil. Ikuti kisah ini:

Al-Khallal berkata: Telah dikhabarkan kepadaku oleh Hasan bin Ahmad Al-Warraq: Telah diceritakan kepadaku oleh Ali bin Musa Al-Haddad dan dia seorang yang sangat jujur. Dia berkata: Pernah aku bersama Ahmad bin Hanbal dan Muhammad bin Qudamah al-Jauhari menghadiri pengebumian jenazah. Tatkala mayat itu telah dimakamkan, seorang lelaki yang kurus duduk di samping kubur sambil membaca Al-Qur’an. Melihat kejadian itu Imam Ahmad bin Hanbal berkata kepadanya: Hai, sesungguhnya membaca Al-Qur’an di samping kubur itu bid’ah!. Maka ketika kami keluar dari kawasan perkuburan berkatalah Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad bin Hanbal: Wahai Abu Abdillah, bagaimana pendapatmu tentang Mubassyar al-Halabi? Imam Ahmad menjawab: Beliau seorang yang Tsiqah (Dipercayai). Apakah engkau ada meriwayatkan sesuatu daripadanya? Muhammad bin Qudamah berkata: Ya, telah dikhabarkan kepadaku oleh Mubassyar dari Abdurrahman bin Ala’ bin Al-Lajlaj dari bapanya bahawa dia berwasiat apabila telah dikuburkan nanti supaya dibacakan di sisi kepalanya permulaan pada surah al-Baqarah dan pada pengakhirannya dan dia berkata: Aku telah mendengar Ibnu Umar berwasiat dengan yang demikian itu. Mendengar riwayat tersebut Imam Ahmad berkata: Kembalilah dan katakan kepada lelaki itu agar meneruskan pembacaannya tadi.

Lihat! Imam Ahmad yang pernah berguru dengan Imam Al-Syafi’i sudah mengetahui bahawa pembacaan Al-Qur’an di perkuburan adalah Bid’ah. Lalu, beliau mengubah pendapatnya itu setelah mendengar hadis berkenaan wasiat Ibnu Umar RA tadi.

Ramai yang bertanya tentang taraf hadis wasiat Ibnu Umar RA itu sama ada Sahih atau Daif? Jawapannya ialah Sanadnya Hasan seperti yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Al-Adzkar.



وروينا في سنن البيهقي بإسناد حسن أن ابن عمر استحبَّ أن يقرأ على القبر بعد الدفن أوّل سورة البقرة وخاتمتها
Ertinya:
Diriwayatkan di dalam Sunan Al-Baihaqi denagn sanad Hasan bahawa Ibnu Umar menyukai agar dibaca di atas perkuburan sesudah pengebumian permulaan pada surah Al-Baqarah dan pada pengakhirannya.


ANALISA KELIMA

Oleh kerana perbuatan mendekatkan diri kepada Allah (termasuk membaca Al-Qur’an kepada si mati) mesti didasari oleh nas-nas agama, bukan dengan analogi dan fikiran (pendapat) orang.

Tentang hal ini telah dikemukakan banyak dalil yang ada di atas. Dalil-dalil itu kebanyakannya tidak dinilai Daif dan sebaliknya dijadikan hujah oleh para ulama bahawa boleh sampainya pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati. Kenapa, tak percaya? Kalau masih tak percaya, anda boleh berusaha menyemak sendiri. Tanpa membuang masa ayuh kita lanjutkan analisis seterusnya!

ANALISIS KEENAM

Adapun untuk doa dan sedekah ulama sepakat bahawa keduanya boleh sampai kepada si mati, di samping ada nas syarak mendasari hal tersebut. Dan hadis tentang itu diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahihnya daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah amalnya, melainkan tiga perkara iaitu anak soleh yang mendoakannya, sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat.

Para ulama telah memberikan komentar terhadap pernyataan sebegini. Dan komentar yang diberikan oleh para ulama terlalu banyak.

Sering kita mendengar bahawa setiap kali kematian ahli keluarga, teman kita di ruangan Facebook memohon belas ihsan supaya kita sudi menghadiahkan surah al-Fatihah kepada si mati. Persoalannya sekarang ialah sama ada hukumnya boleh ataupun tidak? Takkan anda masih berpendirian bahawa ianya tidak boleh? Padahal, para ulama bersetuju sampai tidak diketahui siapa yang tidak bersetuju bahawa nama lain bagi surah al-Fatihah ialah Al-Doa (Doa). Maka, sudah tentu boleh menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah kepada si mati.

Lalu, bagaimana dengan surah atau ayat yang lainnya? Adakah tidak akan sampai kepada si mati kerana bukan Al-Doa? Hal ini memerlukan perincian yang lebih luas.

Imam An-Nawawi berkata di dalam kitabnya Al-Adzkar:


أجمع العلماء على أن الدعاء للأموات ينفعهم ويَصلُهم ( في " ج " : " ويصل ثوابُه " ) . واحتجّوا بقول اللّه تعالى : { وَالَّذِينَ جاؤوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنا اغْفِرْ لَنا ولإِخْوَانِنا الَّذين سَبَقُونا بالإِيمَانِ } [ الحشر : 10 ] وغير ذلك من الآيات المشهورة بمعناها وفي الأحاديث المشهورة كقوله صلى اللّه عليه وسلم : " اللَّهُمَّ اغْفِرْ لأهْلِ بَقِيعِ الغَرْقَدِ " (رواه مسلم) وكقوله صلى اللّه عليه وسلم : " اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنا وَمَيِّتِنَا " ( أبو داود وغير ذلك). واختلف العلماء في وصول ثواب قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعي وجماعة أنه لا يَصل . وذهب أحمدُ بن حنبل وجماعةٌ من العلماء وجماعة من أصحاب الشافعي إلى أنه يَصل والاختيار أن يقولَ القارىءُ بعد فراغه : " اللهمّ أوصلْ ثوابَ ما قرأته إلى فلان واللّه أعلم . ويُستحبّ الثناء على الميت وذكر محاسنه.

Ertinya:
Telah ijmak (sepakat) ulama bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka ianya berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr ayat 10: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami…” Juga ada diriwayatkan daripada hadis yang masyhur, bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, ampunilah bagi ahli Baqi’ al-Gharqad.” Hadis Sahih Riwayat Muslim. Doa Rasulullah SAW yang lain: “Ya Allah, ampunilah bagi yang hidup dan juga yang telah meninggal dunia daripada kami…” Hadis riwayat Abu Daud dan lainnya. Imam An-Nawawi melanjutkan: Tentang bacaan al-Qur;an, terdapat perbezaan pandangan. Apa yang masyhur daripada mazhab Syafi’I bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Akan tetapi sekumpulan sahabat Imam Al-Syafi’i sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya yang mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat serta akan sampai pahalanya kepada si mati. Dan sebaiknya orang yang membaca al-Qur’an selepas selesai membacanya hendaklah berdoa: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada Fulan…” dan juga disunatkan memuji dan menyebut kebaikannya.

Demikian ulasan Imam An-Nawawi tentang cara yang baik bagi menyampaikan pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati adalah dengan berdoa.

Imam Al-Qurtubi pula berpendapat akan keharusan menghadiahkan pahala bacaan al-Qur’an kepada si mati kerana membaca Al-Qur’an termasuk dalam Sedekah. Dan sedekah memang akan sampai kepada si mati.


عَنْ أَبِى ذَرٍّ عَنِ النَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ قَالَ « يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْىٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى ».
Ertinya:
Daripada Abu Dzar daripada Nabi SAW bahawa beliau telah bersabda: Setiap pagi ada kewajipan bersedekah untuk setiap ruas. Maka setiap ucapan Tasbih adalah sedekah. Setiap ucapan Tahmid adalah sedekah. Setiap ucapan Tahlil adalah sedekah. Dan setiap ucapan Takbir adalah sedekah. Menganjurkan kebaikan adalah sedekah. Mencegah kemungkaran adalah sedekah. Dan memadai dari itu semua solat dua rakaat sunat Dhuha.
(Riwayat Muslim)

Hadis Sahih ini telah dijadikan dalil oleh Imam Al-Qurtubi bahawa pembacaan al-Qur’an termasuk kategori sedekah. Dan sedekah memang telah disepakati tanpa ada perbezaan pendapat bahawa sampainya pahala itu kepada si mati. Namun, saya secara peribadi berpendapat bahawa hadis yang berikut ini lebih patut dijadikan dalil. Hadis berikut ini adalah Hadis Sahih Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم « كُلُّ سُلاَمَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ ، يَعْدِلُ بَيْنَ الاِثْنَيْنِ صَدَقَةٌ ، وَيُعِينُ الرَّجُلَ عَلَى دَابَّتِهِ ، فَيَحْمِلُ عَلَيْهَا ، أَوْ يَرْفَعُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ ، وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ ، وَكُلُّ خَطْوَةٍ يَخْطُوهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقَةٌ ، وَيُمِيطُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ »
Ertinya:
Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Setiap ruas tulang tubuh manusia berkewajipan atasnya sedekah. Setiap hari matahari terbit, lalu engkau mengadili manusia yang bertengkar adalah sedekah. Engkau membantu seseorang naik ke atas binatangnya ataupun mengangkat baginya barang-barangnya ke atasnya adalah sedekah. Perkataan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah yang engkau hayunkan untuk pergi menunaikan solat adalah sedekah. Dan engkau menghilangkan bahaya dari jalanan adalah sedekah.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ
Ertinya: “Perkataan yang baik atau kalam yang baik adalah sedekah.”

Muslim manakah yang enggan mengakui bahawa kalamullah (Al-Qur’an) adalah kalimah atau kalam yang baik? Benar. Semua mengakui bahawa kalamullah merupakah kalam yang baik. Maka sekaligus ianya termasuk sedekah. Dan sedekah boleh sampai kepada si mati.

Rasulullah SAW pernah bersabda:


أحسن الكلام كلام الله
Ertinya: “Sebaik-baik kalam (perkataan) ialah kalamullah.”
(Riwayat Al-Nasa'i)

Oleh yang demikian, jelas sudah kepada kita bahawa pendapat yang muktamad ialah sampainya pahala bacaan Al-Qur’an kepada si mati. Ini sepertimana yang dijelaskan di dalam kitab Al-Bujairimi Minhaj:


( قَوْلُهُ : أَنَّهُ لَا يَصِلُ ثَوَابُهَا ) ضَعِيفٌ وَقَوْلُهُ : وَقَالَ بَعْضُ أَصْحَابِنَا يَصِلُ مُعْتَمَدٌ .

“Perkataan: Sesungguhnya tidak sampai pahala bacaan adalah Daif sedang perkataan: Dan sebahagian Ashab Syafi’i mengatakan sampai adalah MUKTAMAD.”


وَيَصِلُ ثَوَابُ الْقِرَاءَةِ إذَا وُجِدَ وَاحِدٌ مِنْ ثَلَاثَةِ أُمُورٍ ؛ الْقِرَاءَةِ عِنْدَ قَبْرِهِ وَالدُّعَاءِ لَهُ عَقِبَهَا وَنِيَّتِهِ حُصُولَ الثَّوَابِ لَهُ

Berkata Syeikh Muhammad Ar-Ramli: “Sampai pahala bacaan jika terdapat salah satu dari tiga perkara iaitu: 1. Pembacaan dilakukan di sisi kuburnya. 2. Berdoa untuk mayat sesudah membaca Al-Qur’an yakni memohon agar pahalanya disampaikan kepadanya. 3. Meniatkan sampainya pahala bacaan itu kepadanya.”
(Hasyiatul Jamal)

Segala Pujian bagi Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya dan petunjuk-Nya saya dapat menyempurnakan bahasan tentang masalah sampai atau tidak pahala bacaan Al-Qur’an kepada si mati. Wallahu a’lam bis shawab.

Semoga bahasan ini menjadi sesuatu yang bermanfaat buat kehidupan kita bersama di dunia ini dan di akhirat kelak. Ya Allah, masukkanlah aku bersama orang-orang yang benar. Ya Allah jadikanlah aku penghuni syurga-Mu kelak. Amin.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

_________________________________________________

Sumber Rujukan:
1. Tafsir Al-Qur'an Al-Azhim. Imam Ibnu Katsir.
2. Tafsir Ad-Durr Al-Mantsur. Imam Al-Suyuti.
3. Al-Ruh. Sheikh Ibnul Qoyyim.
4. Al-Bayanul Qowim Litashih Ba'dhil Mafahim. Dr. Ali Jum'ah.
5. Al-Bid'ah fi Al-Mafhum Al-Islami Al-Daqiq. Dr. Abd Malik Abd Rahman As-Sa'di.
6. Al-Arba'in Al-Nawawiyyah. Imam An-Nawawi.
7. Al-Itqan fi Ulum al-Qur'an. Imam Al-Suyuti.
8. Tazkirah Al-Qurtubi. Imam Al-Qurtubi.
9. Mu'jizatul Qur'an. Imam Mutawalli Al-Sya'rawi.
10. Riyadh Al-Solihin. Imam An-Nawawi.
11. Argumentasi Ulama Syafi'iyyah. Ustaz Hj. Mujiburrahman.
12. Al-Fiqh Al-Manhaji 'Ala Mazhab Al-Syafi'i. Mustafa Al-Bugho, Mustafa Al-Khen, Ali Al-Syarbaji.
13. Hasyiatul Jamal.
14. Bujairimi ala al-Minhaj.
15. Al-Muktamad. Muhammad Az-Zuhaili.
16. Al-Umm. Al-Syafi'i.
17. Al-Mughni. Ibnu Qudamah al-Maqdisi.
18. Liku-liku Bid'ah dan Masalah Khilafiyyah. AlHamid AlHusaini.

Latarbelakang Pendidikan Penulis :

Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), JB. [Diploma Pendidikan Islam]

Guru:
1. Ustaz Umar Muhammad Noor. [Akhlak, Fiqh, Usul al-Fiqh, Hadis]
2. Dato' Tahrir (Mufti Johor). [Tafsir]
3. Ustaz Hakim bin Rosly. [Nahwu]
4. dan lain-lain...

Sumber : http://lutfi-latif.blogspot.com/2011/05/fiqh-tidak-sampai-pahala-bacaan-al.html

3 ulasan:

Tinta.Muallimah berkata...

Nabi Shallallahu'alaihi Wasallam melarang membaca Quran di kubur seperti mana hadisnya yang bermaksud. “Jangan jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan, sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga bersabda:

“Laksanakanlah dalam rumah kalian sebahagian dari solat-solat kalian dan jangan kalian jadikannya kuburan”.(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Pemahaman ringkas daripada hadis-hadis tersebut ialah bahawasanya perkuburan itu bukanlah tempat dibacanya al-Qur’an ataupun tempat didirikan solat, kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadikan perkuburan sebagai perumpamaan rumah yang tidak dibacakan al-Qur’an di dalamnya.Adakahkedua2 hadis ini menyokong bahasa membaca AlQuran di kuburan sbg bida'ah ? Benar...pahala mungkin boleh disedekahkan tapi perbuatan membacanya di kubur2 tidak diajar Rasulullah saw. Apa pendpt ustaz ?

Admin berkata...

Assalamu'alaikum,

hadith yang enti sebutkan tidak mendokong kepada larangan membaca al quran di kubur. Sebab hadith tersebut ditujukan kepada RUMAH yang tidak dibacakan AL QURAN.

Jadi cukuplah dalil serta hujjah yang telah disebutkan di atas oleh para ulamak yang tentunya lebih faham al Quran dan Sunnah berbanding dengan diri kita :

Dalil dari hadith :

1. disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Al-Adzkar.



وروينا في سنن البيهقي بإسناد حسن أن ابن عمر استحبَّ أن يقرأ على القبر بعد الدفن أوّل سورة البقرة وخاتمتها

Ertinya:

Diriwayatkan di dalam Sunan Al-Baihaqi denagn sanad Hasan bahawa Ibnu Umar menyukai agar dibaca di atas perkuburan sesudah pengebumian permulaan pada surah Al-Baqarah dan pada pengakhirannya.

2. Hadith sahih kelebihan membaca yasin :


Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin AbdiLLah, RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Surah al Baqarah adalah tulang belakang al Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy'. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha ALlah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia."


(Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al Dzam'an, (jilid V, h 397). Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam al Musnad dari Ma'qal bin Yasar (jilid v h 26). Al Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma' al Zawaid, "Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi perawi lainnya adalah sahih (jilid VI h 311)

PedangMalam berkata...

Tulisan yang bagus. Saya sokong hadis tinta muallimah tulis tu bukan hadis yang mengharamkan membaca quran atas kuburan. Maksud hadis tu jelas iaitu membanyakkan amalan sunat seperti solat dan membaca quran di rumah.