CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Khamis, 23 Jun 2011

Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadis al-Albani? Bab Akhir

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni


Sila baca artikel yang lepas terlebih dahulu :

1. Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadith al-Albani Bab 1

2. Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadith al-Albani Bab 2

3. Bolehkah Berpegang Dengan Penilaian Hadith al-Albani Bab 3

Sekadar perkongsian, disajikan artikel lama Ustaz Adlan Abd. Aziz yang agak panjang mengenai isu ini (sumber asal). Kesemua isi kandungannya adalah mencerminkan pendirian beliau yang bersifat sederhana. Anda boleh menerima atau menolaknya selamamana ianya di atas dasar ilmiah.


---------------------------------------------------------------------

ADAKAH KAJIAN AL-ALBANI PERLU DITERIMA?


Bagi sesiapa sahaja yang membaca buku-buku berkaitan hadith dan mengambil tahu tentang persoalan berkaitan hadith-hadith sahih serta dhaif, pasti akan mengenali nama seorang pengkaji hadith terkemuka – Muhammad Nasiruddin al-Albani. Beliau merupakan seorang pengkaji hadith yang telah meninggal pada tahun 1999.

Persoalan yang ingin dijawab di sini ialah – adakah segala hasil kajian al-Albani perlu diterima? Bagaimanakah sepatutnya kita berinteraksi dengan hasil karya al-Albani? Adakah hasil kajian beliau tepat? Adakah hasil kajian beliau benar-benar diiktiraf oleh para pengkaji hadith yang lain? Bagi mereka yang sering membaca buku-buku al-Albani mungkin ada yang menjawab – ya, memang kajian beliau perlu diterima kerana kajiannya adalah ilmiah. Sebahagian yang lain pula mungkin menyatakan – kita perlu kaji dahulu sebelum menerima. Tetapi hakikatnya, mereka tidak mengkaji dan terus menerima kerana tidak mahu lagi mengkaji hasil pengkaji lain yang tidak setanding dengan al-Albani. Bagi mereka yang kurang mengenali al-Albani pula, mereka mungkin akan menolak semua hasil kajian al-Albani dengan alasan – siapa al-Albani? Ramai lagi muhaddith lain termasuk muhaddith silam yang lebih hebat daripada al-Albani. Dan begitulah antara respon yang mungkin kita dengar daripada pelbagai jenis manusia terhadap kajian al-Albani dan persoalan sejauh mana kita menerimanya.

Pada hakikatnya, bagi menjawab persoalan-persoalan tersebut (adakah kita perlu menerima kajian al-Albani dan lain-lain lagi) yang sememangnya saling berkaitan, beberapa perkara perlu diberikan perhatian. Pertama, jawapan yang ingin diberikan perlu bebas daripada dua unsur negatif yang wujud dalam kalangan mereka yang mengikuti perkembangan dan penulisan al-Albani. Dua unsur negatif itu ialah:

a) Taksub terhadap al-Albani sehingga menganggap tidak ada sesiapa yang dapat menandingi al-Albani dalam semua keadaan.

b) Kebencian tidak berasas terhadap al-Albani sehingga menganggap al-Albani langsung tidak layak untuk menulis dalam bidang hadith bahkan menganggap al-Albani berguru dengan syaitan!


Untuk menjawab persoalan ini juga, kita perlukan bukti dan hujah yang kukuh sama ada menyokong atau menolak al-Albani dan hasil kajiannya. Begitu juga kita hendaklah melihat bidang kajian hadith ini secara meluas bermula daripada ulama terdahulu sehinggalah kepada ulama di zaman moden ini. Tidak lupa juga, kita perlulah menyedari tentang kewujudan pengkaji-pengkaji hadith moden lain yang hidup pada zaman ini agar hasil kerja mereka dapat dibandingkan dengan hasil kerja al-Albani.

Berdasarkan pembacaan dan perbincangan, saya telah membuat beberapa kesimpulan peribadi berkaitan al-Albani dan hasil kajiannya. Semoga apa yang saya catatkan ini akan menjadi sesuatu yang bermanfaat terhadap para pembaca terutamanya dalam usaha untuk membina metodologi dan cara berfikir khususnya berkaitan bidang hadith. Kalau salah, tolong betulkan.

1- Al-Albani adalah seorang pengkaji yang berkelayakan untuk menceburi bidang kajian hadith berdasarkan keupayaan beliau menggunakan segala teori Mustolah al-Hadith dalam setiap kajiannya. Lagipun, tidak ada satu halangan untuk sesiapa sahaja menceburi bidang ini asalkan kajiannya mempunyai nilai akademik. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam buku-bukunya yang mempunyai huraian panjang lebar seperti Irwa’ al-Ghalil dan juga kedua-dua Silsilah (al-Sahihah dan al-Dhaifah). Keupayaan al-Albani mendatangkan hujah ketika mengsahihkan atau mendhaifkan hadith jelas kelihatan pada huraiannya untuk setiap hadith. Setelah dibandingkan pula dengan rujukan yang beliau gunakan, terbukti tidak ada penyelewengan dalam proses menukilkan fakta ke dalam buku-bukunya.

2- Tidak semestinya kita menerima segala hasil kajian al-Albani. Sekiranya kita menerima segala kajian beliau tanpa soal, ini bermakna beliau adalah seorang yang ma’sum atau tidak pernah melakukan kesilapan! Sudah pasti terdapat kelemahan pada diri beliau sebagaimana beliau akui dalam salah satu pendahululan Silsilah al-Sahihah. Ini bermakna, kita perlu mengambil kira kemungkinan bahawa di sana terdapat kesilapan dalam hasil kajian beliau sama ada sedikit atau banyak. Namun, berdasarkan pembacaan dan juga kajian, saya tidak berani menyatakan bahawa kesilapannya adalah banyak. Malah mereka yang tidak menyokong sistem kajian beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa kesilapan al-Albani adalah banyak. Maka adalah penting untuk kita meletakkan di dalam diri kita bahawa al-Albani adalah manusia biasa yang berkemungkinan melakukan kesilapan dalam kajian beliau.

3- Kemasyhuran al-Albani sebenarnya dibantu oleh beberapa faktor seperti : Kerajinannya dalam menghasilkan banyak buku, keberaniannya dalam mengetengahkan sesuatu yang baru dan berlainan daripada pendapat umum, sokongan padu daripada mereka yang mengenali beliau, pengiktirafan yang beliau perolehi daripada ulama sezaman dengannya, kekuatan hujah beliau ketika berhujah dengan mereka yang tidak menyokongnya, buku-buku yang beliau kaji adalah buku-buku yang penting, hadith-hadith yang beliau kaji adalah hadith-hadith yang jarang dikaji oleh orang lain secara panjang lebar dan sebagainya. Tidak dinafikan juga bahawa popularitinya juga adalah sebahagian daripada kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT kepada beliau.

4- Sekiranya al-Albani mendapat satu hasil yang menyalahi hasil kajian para ulama lain sezaman dengannya, maka hendaklah kita melihat dengan teliti hujah masing-masing untuk menentukan siapa yang lebih benar. Ini perlu dilakukan oleh mereka yang mampu membaca dan mengkaji terutama mereka yang menyambung pelajaran (b.a, master, phd) dalam bidang hadith. Jangan pula mereka meninggalkan metodologi kajian semata-mata kerana kagum atau hormat yang melampau terhadap al-Albani.

5- Sekiranya al-Albani menyalahi hasil kajian para ulama hadith terdahulu terutamanya di zaman kegemilangan kajian hadith iaitu di zaman kurun kedua, ketiga dan keempat hijrah (terutamanya ulama-ulama terulung seperti Ali Ibn al-Madini, Ahmad Ibn Hanbal, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, al-Nasaai dan sebagainya), maka sudah pasti al-Albani tidak dapat menandingi kehebatan dan kesepakatan para ulama hadith di zaman itu. Diakui juga bahawa keadaan ini jarang berlaku namun ia wujud dalam hasil kajian al-Albani. Bagaimana pula al-Albani boleh menyalahi pandangan mereka dalam keadaan mereka adalah ulama yang meriwayatkan mengumpulkan beribu-ribu sanad malah beratus ribu sanad dan hadith?

6- Setiap pendapat al-Albani hendaklah dinilai mengikut pendapatnya yang paling terkini. Maksud saya, kita hendaklah memastikan adakah beliau menarik balik sesuatu hasil kajiannya. Setakat ini, telah ada dua buku yang ditulis oleh pengkaji hadith bagi membuktikan bahawa al-Albani telah mengubah hasil kaiiannya terhadap beberapa hadith dan jumlahnya mencecah ratusan hadith!. Oleh itu, anda perlu berhati-hati ketika menerima hasil kajian al-Albani, adakah ia hasil kajian lama atau hasil kajian yang telah diubah oleh beliau. Perubahan ini bukan menandakan al-Albani ‘bercanggah’ atau ‘bermain-main’ dengan kajian, tetapi ia menandakan bahawa al-Albani merupakan manusia biasa yang juga terkadang tersilap dalam kajian beliau.

7- Sikap sebahagian penyokong al-Albani yang memandang sinis atau remeh kepada pengkaji hadith lain zaman ini adalah sikap yang cukup memalukan dan tidak ilmiah. Pada hakikatnya, terdapat ramai pengkaji yang sehebat al-Albani malah mungkin lebih hebat daripada al-Albani daripada sudut-sudut yang berbeza. Ya, memang al-Albani lebih banyak penulisan dan kajian, namun terdapat ramai muhaddith dan pengkaji yang lebih kuat ingatan, lebih banyak bacaan dan kajian. Cuma mungkin mereka tidak banyak menulis dan tidak popular, itu sahaja. Ada pula yang menyatakan bahawa sememangnya ada muhaddith lain, tetapi al-Albani lebih hebat. Pernyataan sebegini akan hanya menghalang anda untuk membuat kajian ilmiah. Kerana perlu diingat, al-Albani terkadang (bukan selalu) menyalahi kajian ulama-ulama awal Islam di zaman seperti al-Bukhari, Ahmad Ibn Hanbal dan sebagainya. Adakah di sini kita juga boleh menggunakan hujah ‘al-Albani lebih hebat’?

8- Kepada mereka yang hanya membaca buku al-Albani, selalunya mereka akan menjadi orang-orang yang hanya mempercayai kajian al-Albani dan menyanjung beliau lebih daripada hakikat sebenar. Kepada mereka saya nasihatkan agar mereka mula membaca tulisan dan hasil kajian orang lain agar dapat dibandingkan dengan hasil kajian al-Albani. Inilah satu-satunya cara untuk mereka kembali kepada sikap yang lebih adil dalam persoalan ini.

9- Bagi mereka yang membenci al-Albani tanpa sebab atau hanya dengan sebab ‘tidak tahu siapa gurunya dalam hadith’ atau ‘siapa al-Albani? Dia bukan ada ijazah dalam hadith’ dan lain-lain lagi sebab yang TIDAK ILMIAH, maka saya nasihatkan anda dengan hanya SATU nasihat – bacalah…bacalah dan bacalah buku-buku al-Albani dan bandingkanlah dengan kajian orang lain. Barulah selepas itu anda berhak membuat keputusan adakah al-Albani layak dipanggil muhaddith atau tidak. Tetapi sekiranya anda membenci al-Albani tanpa sebab dan dalam masa yang sama anda TIDAK pernah membaca atau menghabiskan walau satu buku karya al-Albani, lebih baik anda duduk diam-diam dan jangan ceburi bidang yang anda tidak dalami.

10- Namun secara umumnya, al-Albani pasti tidak akan dapat menandingi ulama-ulama hadith di zaman awal Islam jika dilihat daripada semua sudut. Hakikat ini perlu diakui agar kita tidak meletakkan al-Albani lebih tinggi daripada ulama terdahulu sehinggakan kita perlukan al-Albani mengesahkan pula semua kajian mereka seperti al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi dan sebagainya! Ini mustahil kerana mereka jauh lebih hebat daripada al-Albani atau sesiapa sahaja daripada kalangan pengkaji moden masa kini. Kembalilah membaca hasil kajian mereka di dalam buku-buku mereka (ulama silam) agar kita kenal dan tahu ketelitian mereka dan kelebihan mereka berbanding ulama silam. Saya cadangkan para penuntut ilmu hadith (master, phd) agar sering membaca kajian ulama dalam buku-buku Ilal seperti Ilal al-Tirmidzi, Ibn Abi Hatim, al-Tarikh al-Kabir oleh al-Bukhari, al-Tamyiz oleh Muslim, Syarh Ilal oleh Ibn Rajab al-Hanbali dan sebagainya dan tidak hanya bergantung kepada buku-buku Mustolah Hadith terutama buku-buku yang dikarang oleh ulama terkemudian tanpa memperdulikan buku-buku ulama silam.

11- Kritikan yang dibuat terhadap kajian al-Albani tidak sama sekali akan menjatuhkan kedudukan al-Albani sebagai muhaddith bahkan kita boleh mengiktiraf al-Albani sebagai salah seorang imam hadith masa kini. Kritikan ilmiah bertujuan untuk menilai hasil kajian dan tidak sama sekali menjatuhkan imej orang yang mengkaji. Ini perlu dihayati oleh pihak yang asyik memandang serong atau terlalu sensitif apabila al-Albani ‘disentuh’ atau ‘dikritik’ tanpa membuat pembahagian antara kritikan ilmiah dan kritikan tidak ilmiah.

12- Di antara mereka yang mengkritik al-Albani dan beberapa kaedah pengkajian al-Albani adalah ulama-ulama masa kini yang hebat dalam bidang ini tetapi tidak begitu popular seperti Abdullah al-Sa’d, Dr. Ibrahim al-Laahim, Dr. Hatim al-Syarif, Dr. Hamzah al-Malibari, Sulaiman Ibn Nasir al-‘Ulwan dan sebagainya. Parapeminat kajian hadith boleh mendapatkan pandangan dan tulisan mereka untuk melihat ketelitian mereka dalam mengetengahkan manhaj ulama terdahulu atau dinamakan manhaj al-Mutaqaddimun. Boleh juga melayari laman web www.ahlalhdeeth.com iaitu Multaqa Ahl Hadeeth bagi mendapatkan maklumat tentang kajian hadith terkini. Jangan pula anda sampai kepada tahap mengatakan bahawa kajian hadith terhenti pada al-Albani! Kajian hadith berterusan dan ramai yang mampu untuk menilai kembali kajian al-Albani di bawah manhaj ulama terdahulu dan bukannya manhaj baru yang asing daripada manhaj al-Mutaqaddimun.

Semoga apa yang dinukilkan di sini menjadi petunjuk bagi mereka yang ingin mendalami bidang hadith. Ini penting agar hasil kajian kita tidak akan menjadi satu kajian yang meremehkan pula kajian ulama terdahulu. Inilah pendapat saya yang boleh dinilai untuk diterima atau ditolak. Wallahu a’lam.

- ADLAN BIN ABD. AZIZ


Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/05/bolehkah-berpegang-dengan-penilaian_28.html

Tiada ulasan: