CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Ahad, 20 Jun 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 5

Ahlus-Sunnah wa Al-Jamaah adalah As-Sawad Al-A’zhom

Dalam terminologi yang digunakan oleh para ulama’, maka perkataan Ahlus-Sunnah wal Jamaah sering merujuk kepada majoriti ulama’ dan umat Islam atau dikenali sebagai As-Sawad Al-A’zhom. Manhaj dan pegangan mereka merujuk kepada aliran arus perdana sejak zaman berzaman setelah mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul (mendapat penerimaan ulama’ Islam secara sepakat) yang tidak membawa kepada ruang kesesatan. Disebabkan Ahlus-Sunnah wal Jamaah ini secara penggunaannya merujuk dalam bidang aqidah, maka ianya sering merujuk kepada para ulama’ yang mengikut dua mazhab utama yang mendapat penerimaan oleh majoriti ulama’ Islam iaitulah mazhab Al-Asy’ari dan mazhab Al-Maturidi dalam bidang aqidah (di samping sebahagian Hanabilah yang masih berpegang dengan aqidah Tanzih).

Imam Ibn Rusyd Al-Maliki ketika ditanya tentang Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah, maka beliau menjawab:

“Mereka adalah yang dinamakan sebagai imam-imam yang menjadi ikutan, di mana dengan mengikuti mereka, merupakan suatu kwajiban kerana mereka membela syariat (bahkan aqidah Islam), membatalkan kesesatan fahaman yang songsang…Tiada siapa yang menyesatkan mereka melainkan dia adalah seorang yang jahil ataupun seorang ahli bid'ah”.
[Al-Fatawa 2/802]

Maka, dengan ukuran Imam Ibn Rusyd Al-Maliki Al-Jadd ini sendiri sudah secara jelas menunjukkan mereka yang menuduh Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah sebagai bid’ah sebenarnya merekalah (para penuduh tersebut) adalah ahli bid’ah kerana telah terkeluar daripada golongan As-Sawad Al-A’zhom.

Imam As-Safarini menegaskan bahawa, ahlus sunnah adalah:
golongan Athariyah (pelopornya ialah Imam Ahmad r.a.), golongan Al-Asya'irah dan golongan Al-Maturidiyah.
[Lawami' Al-Anwar Al-Bahiyyah: 73].

Cuma, golongan Athariyyah tidak mempunyai manhaj aqidah yang jelas kerana ramai pihak mendakwa mewakili golongan tersebut namun mempunyai manhaj yang saling bercanggah. Walaupun ianya lebih merujuk kepada golongan Hanabilah, namun dalam kelompok mereka juga ada pertentangan hebat khususnya antara aliran Imam Abu Fadhl At-Tamimi, Imam Ibn Al-Jauzi r.a. dan sebagainya yang berpegang dengan aqidah Tanzih dengan aliran Az-Zaghuni, Qadhi Abu Ya’la, dan sebagainya yang dituduh sebagai bermanhaj Tajsim atau Isbat Ma’na Zahir Mutasyabihat (menetapkan makna zahir bagi mutasyabihat).

Imam Az-Zabidi dalam Ittihaf Saadah Al-Muttaqin (1/6-7) juga berkata bahawa,
jika dikatakan tentang ahlus-sunnah wal jamaah, maka yang dimaksudkan adalah Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah.


Imam Ahmad ibn Hajar Al-Haithami berkata:

“Ahli bid’ah ialah orang yang berpegang dengan pegangan yang berbeza dengan aqidah Ahlus-Sunnah. Adapun Ahlus-Sunnah adalah aqidah yang dipegang oleh Abu Al-Hasan Al-Asy’ari, Abu Manshur Al-Maturidi dan mereka yang mengikut (manhaj) kedua-duanya.
[Al-Fatawa Al-Hadithiyyah m/s205]

Imam Ibn Asakir r.a. juga ada menyebut (sebagaimana telah dinukil sebelum ini):

فإن قيل أن الجم الغفير في سائر الأزمان وأكثر العامة في جميع البلدان لا يقتدون بالأشعري ولا يقلدونه ولا يرون مذهبه ولا يعتقدونه وهم السواد الأعظم وسبيلهم السبيل الأقوم قيل لا عبرة بكثرة العوام ولا التفات إلى الجهال الغتام وإنما الإعتبار بأرباب العلم والاقتداء بأصحاب البصيرة والفهم وأولئك في أصحابه أكثر ممن سواهم ولهم الفضل والتقدم على من عداهم على ان الله عزوجل

Maksudnya:

“Kalau dikatakan bahawa bilangan yang ramai dalam setiap zaman dan ramai orang awam (Al-Ammah) dalam setiap tempat tidak mengikut mazhab Al-Asy’ari (tidak mendalami perbahasan aqidah dengan manhaj Al-Asy’ari), tidak bertaqlid dengan mazhabnya, tidak melihat kepada mazhabnya dan tidak berpegang dengannya sedangkan mereka (Al-Asya’irah) adalah As-Sawad Al-A’zhom dan manhaj mereka (ulama’ Al-Asya’irah) adalah manhaj yang lurus. Maka, dikatakan (sebagai jawapan) tidak diambil kira banyaknya orang awam dan tidak dipandang (sebagai kayu pengukur) pada orang-orang jahil, kerana ukuran (As-Sawad Al-A’zhom) adalah di sisi ahli ilmu dan neraca ikutan adalah kepada Ashaab Al-Bashirah (yang mempunyai pandangan mata hati/neraca ilmu) dan kefahaman sedangkan mereka (para ulama’/ahli ilmu dan sebagainya) dalam pengikut mazhab Al-Asy’ari (Ashaabnya) lebih ramai daripada selainnya (ulama’ yang bukan Al-Asya’irah)…”
[Tabyiin Kazb Al-Muftari: 134]

Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti berkata dalam khutbah beliau berjudul Al-Asya’irah wa Al-Maturidiyyah:

من هم الأشاعرة والماتريدية؟ هم اللسان الناطق والمترجم لعقيدة السواد الأعظم لهذه الأمة، والسواد الأعظم هو ما قد أمر المصطفى صلى الله عليه وسلم باتباعه ((عليكم بالسواد الأعظم)) والأحاديث التي تركز على ضرورة اتباع السواد الأعظم من الأمة الإسلامية كثيرة، وقد بلغت فيما ذكره كثير من العلماء إلى درجة التواتر المعنوي.

Maksudnya:

Siapa Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah ini? Merekalah lisan yang bertutur dan menjelaskan tentang aqidah As-Sawad Al-A’zhom bagi Ummah ini. As-Sawad Al-A’zhom adalah apa yang diakui sendiri oleh Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- dan para pengikut Baginda dengan sabda Baginda: ((hendaklah kamu bersama dengan As-Sawad Al-A’zhom)). Hadith-hadith yang menjelaskan kepentingan mengikut As-Sawad Al-A’zhom ini amat banyak sehingga mencapai tahap Mutawatir Makna di sisi para ulama’.


[Sumber: http://www.ghrib.net/vb/showthread.php?t=11860 ]

Maka, seseorang itu hendaklah menyertai golongan majoriti ulama’ dan umat Islam atau As-Sawad Al-A’zhom yang juga disebut sebagai Al-Jamaah. Antara dalil yang menunjukkan kepentingan menyertai Al-Jamaah (majoriti ulama’ dan umat Islam) ini adalah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali”
. (Surah An-Nisa’: 115)

Imam Al-Khazin ketika menafsirkan ayat ini menafsirkan jalan orang-orang beriman tersebut dengan maksud Al-Jamaah. Bahkan, sebahagian ulama’ termasuk Imam As-Syafi’e menganggap dalil ini sebagai hujah Ijma’ dalam syariat Islam. [Tafsir Al-Khazin pada ayat berkenaan]

Kesepakatan Dalam Perkara Usul dalam Agama dan Perselisihan dalam Perkara Cabang

Imam Al-Munawi menyebutkan tentang As-Sawad Al-A’zhom dan Al-Jamaah:

((
وعليكم بالجماعة)) أي أركان الدين والسواد الأعظم من أهل السنة أي الزموا هديهم فيجب اتباع ما هم عليه من العقائد والقواعد وأحكام الدين

Maksudnya: “((Hendaklah kamu bersama dengan Al-Jamaah)) iaitu berpegang dengan rukun-rukun agama dan As-Sawad Al-A’zhom dari kalangan Ahlus-Sunnah. Iaitu, kamu ikutilah petunjuk mereka. Maka hendaklah seseorang itu mengikut apa yang mereka berpegang dengannya daripada Aqidah (Mazhab Aqidah), Qawa’id (Usul Aqidah dan Usul Fiqh) dan Hukum Agama (Mazhab Fiqh).
[Al-Faidh Al-Qadir 3/101]

Lihatlah Imam Al-Munawi membuat kesimpulan bahawasanya Al-Jamaah adalah suatu:

Rukun-rukun agama
As-Sawad Al-A’zhom
Ahlus-Sunnah

Maksudnya, berpegang dengan As-Sawad Al-A’zhom bererti berpegang dengan Ahlus-Sunnah. Berpegang dengan Ahlus-Sunnah bererti berpegang teguh dengan rukun-rukun agama. Berpegang dengan rukun-rukun agama tersebutlah bererti berpegang teguh dengan Al-Jamaah.

Maka, bagaimana dapat berpegang dengan As-Sawad Al-A’zhom? Imam Al-Munawi menyebutkan bahawasanya, kita perlu mengikut manhaj mereka dalam perkara-perkara aqidah, usul dan fiqh. Manhaj yang dimaksudkan sudah tentulah mazhab-mazhab Ahlus-Sunnah wal Jamaah samada dalam bidang aqidah, usul mahupun bidang fiqh. Maka, dalam tradisi pewarisan Ilmu Nabawi, ada mazhab-mazhab yang berkembang dalam bidang fiqh dan dalam bidang aqidah yang mendapat penerimaan majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman. Maka, mazhab-mazhab tersebutlah yang perlu dipertahankan kerana mazhab-mazhab tersebutlah manhaj dan kerangka umum bagi Ahlus-Sunnah wal Jamaah itu sendiri. Hal ini jelas bagi mereka yang memahami tradisi perkembangan ilmu dan konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul dalam tradisi keilmuan Islam. Manhaj dan mazhab tersebut dikenali juga sebagai aliran arus perdana dalam kalangan ulama’ Islam khususnya melibatkan masalah-masalah usul agama (bukan furu’).

Tiada ulasan: