CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Isnin, 7 Jun 2010

Hukum Berkaitan Patung, Lukisan Gambar Dan Foto

Soalan:

Mengikut hukum syara’ dan dalam Islam adalah ditegah untuk membina atau membuat patung-patung sama ada patung manusia atau binatang. Tapi apakah fatwa Yang Dimuliakan Pehin mengenai patung-patung binatang yang ada dibina di Jerudong Park Playground dan jua pada tiap-tiap malam termasuk malam Jumaat dibukakan kepada orang ramai? Harap Pehin dapat berikan penjelasan dengan tabah dan berani.

Jawapan:

َالحَمْدُ ِللهِ َربِّ الْعَلَمِيْنَ, وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ,أللهم هداية للصواب, وَبَعْدُ


Definisi

Apabila disebut patung, maka akan segera diertikan sebagai suatu ukiran daripada batu, besi dan sebagainya yang mempunyai bentuk dan rupa paras dengan tubuh badan serta segala anggota bagi sesuatu objek tertentu yang hendak digambarkan dalam bentuk ukiran tersebut.

Ini bererti bahawa patung itu ialah gambar yang mempunyai jisim (tubuh badan dengan segala anggotanya) dan bayang. Dalam bahasa Arab dikenali sebagai timtsâl atau bila banya disebut tamâtsîl.

Dengan ini patung berbeza daripada gambar yang tiada berjisim dan tidak mempunyai bayang.

Bentuk-Bentuk Patung

Bagi mengetahui hukum masalah di atas kita perlu melihat kepada bentuk-bentuk patung dan juga gambar-gambar seperti berikut:

(i) Patung bagi benda (objek) yang bernyawa (ada baginya nyawa), sama ada manusia, binatang dan lainnya yang lengkap dengan segala anggota tubuh badan serta ada baginya jisim dan bayang.

(ii) Patung bagi tujuan pendidikan, pengajaran atau pembelajaran.

(iii) Patung yang tidak lengkap dengan anggota yang diperlukan bagi ia hidup.

(iv) Gambar atau lukisan benda bernyawa diletakkan pada tempat-tempat terhormat dan tidak menghinakan.

(v) Gambar atau lukisan benda bernyawa yang dipotong-potong dan dijadikan suatu benda lain dan digunakan dalam bentuk menghinakannya seperti bantal.

(vi) Gambar atau lukisan bagi benda-benda yang bernyawa yang diperlukan bagi sesuatu tujuan yang tidak bercanggah dengan syara’.

(vii) Gambar atau lukisan bagi benda-benda yang tidak bernyawa.

Berikut dinyatakan hukum-hukum yang berkenaan dengan setiap bentuk yang tersebut di atas berserta dengan dalil-dalil dan pendapat-pendapat ulama Islam yang muktabar terutama dalam Mazhab Imam Syafi’e Radhiallahu ‘anhu.

Hukum

1. Hukum membina atau membuat patung bagi benda yang bernyawa seperti manusia atau binatang-binatang yang lengkap dengan segala anggota tubuh badannya, berjisim dan ada bayang adalah haram dengan ijma’ seluruh ulama daripada semua Mazhab Ahli Sunnah Wal Jemaah dan wajib dirobohkan, sama ada diletakkan di tempat terhormat atau tempat yang menghinakannya. Manakala membinanya atau membuatnya adalah merupakan suatu dosa besar iaitu dosa besar yang kedua ratus enam puluh lapan seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Hajar di dalam kitabnya Al-Zawâjir, kecuali jika disediakan semata-mata untuk tujuan pendidikan atau sebagai alat pengajaran dan pembelajaran seperti kanak-kanak sebagai mainan kepada kanak-kanak perempuan bagi tujuan latihan dan pendidikan dan latihan untuk masa depannya sebagai ibu. Demikian juga dengan patung manusia atau binatang yang lengkap atau sebahagian sahaja daripada anggota tubuh badan tertentu bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi seperti di Kolej atau di Fakulti Perubatan. Patung-patung atau sebahagian anggotanya untuk tujuan ini adalah harus dibuat, dimiliki dan digunakan, kerana diperlukan (hajat), sama ada daripada batu, besi, kayu dan plastic atau lain-lainnya. Manakala patung yang dibina atau dibuat untuk tujuan selain daripada pendidikan, pengajaran dan pembelajaran adalah diharamkan dan merupakan dosa besar iaitu patung bagi benda yang bernyawa, dalam apa sahaja bentuk dan rupanya, diletak pada tempat yang dihormati atau hina, di atas tanah atau lainya, sekalipun patung itu tidak ada baginya bandingan seperti kuda berkepak atau bersayap. Dalil bagi pengharaman dan sebagai dosa besar tersebut ialah berdasarkan beberapa hadits shahih daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengugut, mengancam dan memberi amaran dengan azab pada Hari Kiamat terhadap mereka yang mengukir patung-patung tersebut dan membuat atau membinanya, antaranya:


(i) Hadits Bukhari dari Muslim Ibnu Shabih Abu Dhuha berkata:

كنا مع مسروق فى دار يسار بن نمير فرأى فى صفته تماثيل فقال سمعت عبدالله (ابن مسعود رضى الله عنه) قال سمعت النبى صلى الله عليه وسلم يقول إن أشد الناس عذابا عند الله يوم القيامة المصورون

Maksudnya: “Kami sama-sama Masruq di rumah Yasar Ibnu Numair, tiba-tiba dia terlihat di ruang rumah itu ada beberapa patung.” Lantas dia terus berkata: “Aku telah mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud berkata: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawasanya manusia yang paling berat azabnya di sisi Allah pada Hari Kiamat ialah para pembuat gambar (patung).”


(ii) Hadits Imam Bukhari dengan sanadnya daripada Nafi’ bahawasanya Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma Shallallahu ‘anhuma menceritakan kepadanya, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

إن الذين يصنعون هذه الصور يعذبون يوم القيامة يقال لهم أحيواما خلقتم

Maksudnya: “Bahwasanya mereka yang membuat gambar-gambar (patung) ini akan dikenakan seksa pada Hari Kiamat kelak, dikatakan kepada mereka (dipaksa): “Hidupkanlah patung yang kamu buat itu.”


2. Dalam satu riwayat lagi oleh Bukhari dengan sanadnya Sa’id Ibn Abi ‘Arubah yang banyak bermulazimah (berdampingan) dengan Qatadah, yang kebetulan pada suatu hari Qatadah ada bersama-sama dengan Al-Nadhru bin Anas bin Malik, Al-Nadhru menceritakan kepada Qatadah, sambil didengar oleh Sa’id yang bersama-sama dengan mereka, Al-Nadhru berkata:
“Suatu hari aku duduk di sisi Ibnu ‘Abbas, di ketika itu ramai orang yang bertanya masalah dan meminta fatwa daripadanya, Ibnu ‘Abbas menjawab persoalan-persoalan itu tanpa menyebut sebarang dalil daripada Al-Sunnah (hadits) sehinggalah ditanyakan oleh seorang lelaki dari Iraq yang bekerja sebagai tukang kayu, katanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Aku membuat gambar ini”, dalam riwayat lain katanya: “Kehidupanku adalah melalui kerja tanganku iaitu membuat gambar (mengukir kayu-kayu menjadi patung), maka apakah yang tuan boleh memberi apa-apa perintah tuan kepada saya (berhubung dengan perkara ini)” Di sini Ibnu ‘Abbas menjawab katanya:

سمعت محمدا صلى الله عليه وسلم يقول من صور صورة فى الدنيا كلف يوم القيامة أن ينفخ فيها الروح وليس بنافخ
Maksudnya: “Aku dengar Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang membuat sebarang gambar di dunia ini akan diseksa pada Hari Kiamat kelak dengan memaksa dia supaya meniupkan padanya roh, sedangkan dia tidak mampu sama sekali meniupkan roh (menghidupkan).”


Dalam riwayat yang lain, apabila Ibnu ‘Abbas melihat lelaki itu tidak senang dengan jawapannya, maka Ibnu ‘Abbas berkata kepadanya:

ويحك ! إن أبيت إلا أن تصنع فعليك بهذا الشجر

Maksudnya: “Celaka kau! Jika terpaksa juga engkau kerjakan, maka buatlah gambar pokok.”


Dalam riwayat Muslim dan Ahmad, kata Ibnu ‘Abbas menjawab bagi pertanyaan lelaki tersebut:

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول كل مصور فى النار يجعل له بكل صورة صورها نفسا فتعذبه جهنم
Maksudnya: “Aku dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Setiap penggambar (pembuat patung) diazab / diseksa dalam neraka, dijadikan setiap gambar (patung) itu roh sebagai alat penyeksa terhadapnya di dalam neraka jahanam.

Maka Ibnu ‘Abbas berkata kepadanya:

فإن كنت لابد فاعلا فاصنع الشجر وما لا نفس له
Maksudnya: “Jika awak terpaksa juga melakukan pekerjaan itu (membuat patung), maka buatlah (gambar) tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang tidak bernyawa.”


3. Manakala patung benda bernyawa bagi tujuan pendidikan, pengajaran dan pembelajaran, kata Ibnu Hajar Al Asqalani: “
Patung yang diharamkan dengan ijma’ itu tidak termasuk pating mainan kanak-kanak perempuan.”
Dan Imam Nawawi juga ada berkata:
“Dikecualikan daripada haram membuat patung dan penggunaannya; patung mainan kanak-kanak perempuan, kerana ada riwayat daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang memberi ruhkshah (kelonggaran) mengenainya”


Kelonggaran atau pengecualian ini adalah berdasarkan hadits Bukhari dengan sanadnya kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhu katanya:

كنت ألعب بالبنات عند النبى صلى الله عليه وسلم وكان لى صواحب يلعبن معى فكان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل يتقمعن منه فيسربهن إلى فيلعبن معى
Maksudnya: “Aku bermain-main anak patung di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan aku ada beberapa orang kawan bermain-main bersama-samaku. Apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membiarkan mereka bermain –main denganku.”


Jadi hadits ini bermaksud ‘Aisyah bermain dengan anak-anak patung bersama dengan kawan-kawanya, bukanlah bermakna ‘aisyah bermain –main dengan kawan-kawannya sahaja, ini dijelasskan oleh riwayat Jarir daripada Hisyam, di dalamnya terdapat perkataan ‘Aisyah berbunyi:

كنت ألعب بالبنات وهن اللعب
Maksudnya: “Aku bermain-main dengan anak-anak perempuan iaitu anak-anak mainan (patung).”


Hadits ini diterbitkan oleh Abu ‘Awanah dan lainnya. Juga Abu Daud dan Nasa’i ada meriwayatkan cerita lain daripada ‘Aisyah (yang menunjukkan ada patung-patung mainan kepada ‘Aisyah) katanya:


قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم من غزوة تبوك أو خيبر – فذكر الحديث فى هتكه الستر الذى نصبته على بابها, قالت: فكشفت ناحية الستر عن بنات لعائشة لعب فقال ما هذا يا عائشة قالت بناتى, ورأى فيها فرسا مربوطا له جناحان فقال ما هذا؟ قلت فرس قال فرس له جناحان قلت ألم تسمع أنه كان لسليمان خيل لها أجنحة؟ فضحك
Maksudnya: “Setibanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada peperangan Tabuk dan Khaibar, lalu diceritakan kisah di mana Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam menurunkan kain yang direntangkan pada pintunya, di sini Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam terlihat di sebalik kain rentang itu ada beberapa anak patung perempuan mainan kepada ‘Aisyah. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini wahai ‘Aisyah?” Jawabnya: “Anak-anak patung perempuan milikku.” Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam terlihat pula kepada patung kuda dalam keadaan terikat ada baginya dua sayap! Maka Rasulullah bertanya: “Apa ini?” ‘Aisyah menjawab: “Kuda.” Kata Rasulullah: “Kuda ada dua sayap!” Jawab ‘Aisyah: “Tidakkah Tuan pernah dengar bahawa ada bagi Nabi Sulaiman kuda-kuda yang mempunyai beberapa sayap? Maka rasulullah tertawa.”


Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani selepas membawa hadits ini daripada beberapa riwayatnya:
“Maka ini adalah merupakan dalil yang jelas menunjukkan bahawa yang dimaksudkan ialah anak-anak patung daripada mainan perempuan, bukannya anak-anak perempuan daripada manusia.” Tetapi Imam Malik berkata: “Makruh bapa membeli patung mainan kepada anak perempuannya.”
Bahkan setengah ulama berpendapat bahawa kebenaran pada membuat dan menggunakan patung mainan kanak-kanak perempuan itu telah dimansukhkan kepada hadits-hadits yang melarang seperti yang disebut di atas.


4. patung benda bernyawa yang berjisim dan ada bayang, tetapi tidak lengkap dengan segala anggota terutama anggota yang tidak dapat tidak untuk hidup seperti kepala atau badan, hukumnya adalah harus pada pendapat Al-Jumhur (kebanyakkan ulama) seperti yang dinaqalkan oleh Imam Rafi’e:
“Bahawasanya patung, apabila dipotong keplanya maka tiadalah sebarang tegahan lagi.”
Tetapi Imam Mutawalla (salah seorang ulama besar pakar rujuk dalam Mazhab Syafi’e) mengatakan:
“Tiada beza, sama ada dipotong kepalanya atau tidak.”


Ini bererti pada pendapat Mutawalla bahawa sebarang patung adalah haram membuat atau membinanya.

5. Patung benda bernyawa tiada berjisim dan tiada berbayang itu sebenarnya ialah gambar atau lukisan. Jika ia diletakkan pada tempat-tempat yang mulia dan tidak menghinakannya seperti digantung di tempat-tempat yang mulia dan tidak menghinakannya seperti digantung di tempat-tempat yang tinggi, di dinding, di siling, di pakaian dan sebagainya, maka menurut pendapat yang jelas dalilnya adalah haram dan tidak dimasuki Malaikat Rahmat.

Dalam hadits riwayat Bukhari dengan sanadnya daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anhu berkata:

قدم رسول الله صلى الله عليه وسلم سفر وقد سترت بقرام لى على سهوة لى فيها تماثيل فلما رآه رسول الله صلى الله عليه وسلم هتكه وقال أشد الناس عذابا يوم القيامة الذين يضاهون بخلق الله قالت فجعلناه وسادة أو وسادتين
Maksudnya: “Setibanya Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam daripada suatu pelayaran (kembali daripada peperangan Tabuk) dan aku menggunakan sebidang kain bulu (mungkin seperti sejadah) untuk menutupi bilik kecil yang dijadikan sebgai setor barang-barang. Terdapat pada kain itu gambar-gambar (lukisan-lukisan benda yang bernyawa), maka apabila Rasulullah Shallallahu ‘alahi wasallam melihatnya, Baginda lalu memusnahkannya (bererti mengangkat kain itu dan menjauhkannya daripada tempat letaknya itu serta menggulungkannya sehingga tidak nampak lagi gambar-gambarnya kepada mata yang memandang) sambil bersabda: “Manusia yang paling berat seksanya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menjadikan sesuatu menyamai / menyerupai dengan makhluk yang dijadikan Allah (membuat patung benda bernyawa).” Kata ‘Aisyah: “Ekoran daripada teguran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu kami pun potong kain tersebut untuk dijadikan sebiji atau dua biji bantal.”


Oleh yang demikian, jelas daripada hadits ini segala gambar bagi benda bernyawa, sama ada baginya jisim dan bayan (patung) atau tidak (iaiatu gambar-gambar dan likisan-lukisan manusia atau binatang) adalah haram jika diletakkan pada tempat-tempat yang dimuliakan dan tidak hina, berdasarkan kepada ugutan atau amaran dengan seksa yang paling berat di dalam hadits yang shahih daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti tersebut di atas.

Tetapi jika diletakkan pada tempat yang tidak dimuliakan seperti contoh dalam hadits iaiatu bantal yang digunakn untuk tidur adalah tidak haram.

Dalam hadits lain riwayat Bukhari dengan sanadnya daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha: -

قدم النبى صلى الله غليه وسلم وعلقت درنوكا فيه تماثيل فأمرنى أن أنزعه فنزعته...
Maksudnya: “Setibanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada suatu pelayaran, pada ketika aku telah merentangkan sebidang kain (durnûk) di pintu rumahku (kain yang boleh digunakan sebagai hamparan dan tabir / langsir) terdapat padanya gambar-gambar lukisan, (iaiatu kuda yang mempunyai sayap dan kepak), maka Rasulullallah Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintah supaya aku buangkannya, lalu aku pun segera membuangkannya (menurunkannya daripada pintu).”


Dan satu lagi hadits riwayat Bukhari dengan sanadnya daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha juga:

أنها اشترت نمرقة فيها تصاوير. فقام النبى صلى الله عليه وسلم بالباب فلم يدخل. فقلت أتوب إلى الله مما أذ نبت قال ما هذه النمرقة. قلت لتجلس عليها وتوسدها. قال إن أصحاب هذه الصور يعذبون يوم القيامة يقال لهم أحيوا ما خلقتم وإن الملائكة لا تدخل بيتا فيه الصور
Maksudnya: “Bahawa ‘Aisyah telah membeli satu set tempat duduk (bantal / kusyen tempat duduk) yang ada padanya gambar-gambar, (apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pulang), maka Baginda berdiri di pintu dan enggan masuk ke dalam rumah. (Setelah melihat keadaan sedemikian dan dilihat tanda tidak suka di muka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam), maka ‘Aisyah berkata: “Aku memohon ampun kepada Allah daripada dosa yang aku lakukan.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apakah tujuan dengan bantal (numruqah) ini?” Jawab ‘Aisyah: “Untuk Tuan hamba duduk dan bersandar” , sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Bahawa sesungguhnya orang-orang yang membuat gambar ini akan diseksa pada Hari Kiamat kelak, dikatakan kepada mereka: “Hidupkanlah apa yang kamu buat itu, dan sesungguhnya para malaikat (Malaikat Rahmat) tidak akan memasuki rumah yang terdapat padanya gambar-gambar.”


Manakala dalam riwayat Bukhari lagi dengan sanadnya daripada ‘Aun bin Abi Juhaifah daripada bapanya menyebutkan:

أنه اشترى غلاما حجاما فقال إن النبى صلى الله عليه وسلم نهى عن ثمن الدم وثمن الكلب وكسب البغى ولعن آكل الربا وموكله والوشمة والمستوشمة والمصور

Maksudnya: “Bahawa bapa ‘Aun membeli seorang hamba yang mahir dengan kerja-kerja berbekam. Maka katanya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada hasil jualan darah, hasil jualan anjing, hasil zina (pelacuran), dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat ke atas pemakanan riba dan pemberi riba dank e atas pembuat tatu (kirung) dan yang meminta supaya dibuat tatu ke atasnya, dan ke atas penggambar gambar (pembuat gambar).”


Daripada beberapa hadits di atas jelas bahawa gambar-gambar benda yang bernyawa yang lengkap dengan segala anggota tubuh badannya tetapi tiada berjisim dan tiada bayang baginya, hukumnya adalah seperti berikut:

(i) Jika diletakkan pada tempat-tempat terhormat dan tidak hina adalah haram. Walau bagaimanapun Imam Nawawi berpendapat adalah tiada beza di antara yang ada baginya bayang dan tiada baginya bayang jika digantung di dinding, di pakaian, di serban atau seumpamanya daripada perbuatan yang tidak dikirakan sebagai menghinakannya adalah haram.

(ii) Jika digunakan sebagai hamparan yang dipijak-pijak atau menjadi hina dengan penggunaannya seperti bantal dan sandaran (penyandar) adalah harus. Kata Imam Nawawi: “Ini adalah pendapat jumhur Ulama dari kalangan sahabat dan tabi’in dan aia adalah pendapat Imam Tsauri, Malik, Abu Hanifah dan Syafi’e.”

(iii) Jika dipotong-potongkan dan dijadikan seperti bantal dan sebagainya adalah harus.

(iv) Jika tidak dipotong-potong, bahkan masih lengkap dengan sempurna segala anggotanya dan masih dijadikan tempat duduk (numruqah) adalah masih diingkari oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti yang jelas daripada tindakan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi amaran terhadap mereka yang membuat gambar.

Hadits ini ditujukan kepada gambar (numruqah) yang hendak dijadikan sebagai tempat duduk. Di sini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan bahawa para pembuat gambar-gambar ini (yang dilukis dalam numruqah) akan diazab pada Hari Kiamat kelak dengan dipaksa mereka supaya menghidupkannya, sedangkan mereka tidak mampu menghidupkannya. Ini suatu seksa kepada mereka. Dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyatakan lagi di sini bahawasanya para malaikat (Malaikat Rahmat) tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat padanya gambar-gambar seperti yang terdapat pada (numruqah) iaiatu jisim dan bayang, bahkan gambar lukisan sahaja tidak lengkap. Selain daripada hadits Al-Nadhru yang menceritakan kepada Qatadah darihal Ibnu ‘Abbas yang diminta fatwa terhadap beberapa masalah dan dijawabnya tanpa membawa dalil daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kecuali apabila ditanya mengenai kerja mencari nafkah melalui membuat gambar. Maka di sini Ibnu ‘Abbas menjawab dengan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyatakan secara umum (man shawwara shûratan…) dapat difahamkan bahawa sebarang kerja membuat gambar bagi benda yang bernyawa, sekalipun tiada berjisimdan bayang, tetapi gambar-gambar itu lengkap dan sempurna dengan segala anggotanya dan walaupun digunakan sebagai tempat duduk atau dijadikan pekerjaan membuatnya sebagai jalan mencari nafkah hidup adalah haram.

Imam Nawawi berkata:

تصوير صورة الحيوان حرام شديد التحريم وهو من الكبائر لأنه متوعد عليه بهذا الوعيد الشديد وسواء صنعه لما يمتهن أم لغيره فصنعه حرام بكل حال, وسواء فى ثوب او بساط او درهم أو دينار أو فلس أو إناء أو حائط أو غيرها. فأما تصوير ما ليس فيه صورة حيوان فليس بحرام.
Ertinya: “Membuat gambar binatang (termasuk manusia kerana maksudnya: Benda yang bernyawa) adalah haram yang bersangatan dan ia merupakan dosa besar, kerana diugut denga ugutan yang kuat. Dan sama ada dibuat gambar itu pada benda yang menghinakan atau lainnya. Membuat gambar adalah haram dalam semua keadaan, dan sama ada dibuat pada pakaian, hamparan, wang derham, dinar, wang tembaga, bijana, di dinding dan lainnya. Tetapi membuat gambar yang lain daripada binatang (binatang bernyawa) adalah tidak haram.”


Manakala Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani pula menyatakan dalam Fath Al-Bâri bahawa ugutan dengan azab yang berat itu ditujukan khas terhadap mereka yang membuat gambar dengan bertujuan menyerupai (yudhâhi) dengan makhluk yang dijadikan Allah (menyerupai Allah dari segi menjadikan sesuatu). Maka jadilah dia kafir dengan niat tersebut, maka kerana inilah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أشد الناس عذابا يوم القيامة الذين يضاهون بخلق الله

Maksudnya: “Manusia yang paling berat seksanya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menyerupai dengan makhluk yang dijadikan Allah.”


Al-Hafiz Al-Asqalani menambah:
“Orang yang lebih berat bagi dosanya (daripada yang tiada niat menyerupai) ialah mereka yang membuat gambar apa-apa suatu yang disembah selain daripada Allah.”


Kata Al-Qurtubi:
“Bahawasanya masyarakat jahiliah membuat berhala dariada apa sahaja yang terdapat, sehingga setengah daripada mereka membuat berhalanya daripada buah tamar ‘ajwah, yang mana apabila dia merasai lapar dimakannya.”


Hukum Gambar Foto (Photograph)

(i) Adapun gambar yang dibuat melalui cahaya matahari seperti gambar-gambar foto itu kata setengah ulama harus dan boleh dibuat dan kata setengah ulama lain haram dibuat.

(ii) Gambar haiwan yang diambil dengan memakai alat foto yang telah berlaku kira-kira pada kurun yang kesembilan Masihi, saya belum berjumpa perkataan alim ulama Syafi’iyyah yang tepat berkenaan hukum mengambil haiwan dengan alat foto sebagaimana yang dibayangkan oleh Al-‘Allâmah Al-Saqqaf pengarang Hâayiah Tarsyih Al-Mustafîdîn ‘ala Fath Al-Mu’în, akan tetapi menurut kumpulan fatwa bagi Al-‘Allâmah Al-Syeikh Husain Al-Maghribi Al-Azahari Mufti Malikiyyah di Makkah Al-Mukarramah dan bagi anaknya Al-‘Allâmah Al-Syeikh Muhammad ‘Abid, Mufti Malikyyah Makkah Mukarramah dan menurut pendapat Al-‘Allâmah Al-Sayyid Muhammad bin Ja’afar gambar yang diambil dengan memakai alat foto adalah ia makruh jika gambar-gambar haiwan itu cukup keadaannya.

Dengan ini jelas daripada pendapat-pendapat ulama di atas seperti berikut:

(i) Membuat patung dengan niat menyerupai Allah dari segi menjadikan sesuatu itu adalah kufur wal ‘yâdzubillâh.

(ii) Membuat patung atau gambar bagi sesuatu yang disembah selain daripada Allah adalah haram dan berdosa lebih besar daripada dosa membuat patung atau gambar bagi yang bukan disembah selain daripada Allah.

(iii) Membuat gambar, lukisan pada benda-benda yang terhormat dan tidak dihinakan adalah haram seperti yang jelas daripada hadits-hadits iaitu qiram, durnûk dan numruqah.

(iv) Jika dibuat atau digunakan dengan cara yang tidak memuliakan, bahkan dihinakan seperti hamparan yang terdapat pada bantal dengan dipotong-potongkan, maka tiadalah haram.

(v) Jika gambar-gambar itu bagi benda-benda yang bernyawa seperti gambar-gambar atau lukisan tumbuh-tumbuhan, maka ini adalah harus seperti kata Ibnu ‘Abbas kepada lelaki tukang kayu. Daripada hadits yang maksudnya: (…Jika terpaksa juga engkau lakukan kerja membuat gambar, maka buatlah gambar-gambar tumbuh-tumbuhan).

(vi) Bagi gambar-gambar itu bukan bagi benda-benda yang bernyawa untuk tujuan-tujuan yang tidak bercanggah dengan syara’ seperti untuk tujuan pengenalan peribadi seseorang seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, maka ini adalah harus. Harus gambar-gambar atau lukisan-lukisan yang tiada berjisim dan berbayang untuk dibuat, dimiliki dan digunakan dalam kehidupan sehari-hari yang tidak bercanggah dengan syara’.

Rumusan

Dengan ini dapatlah dirumuskan hukum-hukum berkaitan dengan patung atau gambar-gambar seperti berikut:

(i) Patung benda yang bernyawa yang lengkap dengan segala anggotanya adalah haram dengan ijma’, dan wajib dimusnahkan, sama ada patung manusia, binatang, malaikat jin atau binatang yang tiada banding baginya seperti kuda bersayap atau berkepak.

(ii) Patung tersebut di atas yang dipotong bahagian atau anggota yang tidak boleh ia hidup tanpanya adalah harus.

(iii) Patung lengkap seperti (i) di atas bagi tujuan pendidikan atau pengajaran dan pembelajaran adalah harus dibuat, dimiliki dan digunakan.

(iv) Gambar atau lukisan benda bernyawa diletakkan pada tempat-tempat terhormat dan tidak hina adalah haram.

(v) Gambar atau lukisan benda yang bernyawa diletakkan pada tempat-tempat tidak terhormat dan sekalipun menghinakan seperti yang terdapat pada penyandar-penyandar yang dijadikan tempat sandaran atau tempat duduk adalah masih diingkari oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini ditafsirkan oleh setengah ulama sebagai makruh sahaja.

(vi) Gambar atau lukisan benda yang bernyawa itu, jika dipotong-potongkan dan dijadikan seperti bantal dan sebagainya maka ini adalah harus.

(vii) Sebarang patung, gambar atau lukisan bagi benda-benda yang tiada bernyawa adalah harus seperti bukit bukau, gunung-ganang, tumbuh-tumbuhan, lautan, langit dan bumi dan sebagainya.

(viii) Gambar atau lukisan bagi benda yang bernyawa yang diperlukan bagi tujuan-tujuan yang tidak bercanggah dengan syara’ adalah harus, sama seperti patung benda yang bernyawa di atas.

(ix) Gambar atau patung benda bernyawa berjisim dan berbayang atau tidak, jika dibuat dengan tujuan menyerupai Allah dalam menjadikannya adalah kufur wal’iyâdzubillâh.

(x) Jika dibuat gambar atau patung tersebut tanpa niat menyerupai, tetapi gambar atau patung itu ialah sesuatu yang disembah selain daripada Allah, maka hukumnya adalah haram dan dosanya lebih besar daripada dosa membuat gambar atau patung bagi benda yang tidak disembah selain daripada Allah.


وَاللهُ أَعْلَم


Negara asal : Brunei darussalam

Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned
Tarikh Diisu : 1994-1995

Nota: Fatwa Mufti Kerajaan

1 ulasan:

Fakeh berkata...

KAJIAN SEMASA MENGENAI PERKEMBANGAN WAHABBI DI MALAYSIA, sila google tajuk-tajuk seperti di bawah ini:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu
  • Video Bacaan Hukum Qalqalah - Sekiranya anda telah membaca artikel saya yang lepas tentang hukum bacaan Qalqalah, tentu anda telah pun faham secara teorinya apakah yang dikatakan qalqal...
    4 tahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan