CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 10 Februari 2010

Hukum Zikir Secara Berjemaah Selepas Solat

ZIKIR SECARA BERJEMAAH SELEPAS SOLAT BUKAN BID’AH?
Oleh:
Dr. Asmadi Mohamed Naim
Universiti Utara Malaysia
asmadi@uum.edu.my

Polemik bid’ah semakin menular di tengah-tengah masyarakat. Tidak dapat dinafikan wujudnya amalan-amalan bid’ah yang subur di kalangan mereka. Antaranya ialah ketaksuban seseorang kepada Syeikh-nya dan menolak pandangan dari pihak yang lain. Bahkan ia juga membawa kepada ‘mendoktrin’ pengikut memuja syeikh-syeikh dengan diwar-warkan kehebatannya.

Walaupun begitu, polemik bid’ah dan membid’ah ini seharusnya ditangani dengan teliti dan berasaskan dengan petunjuk dari al-Quran dan al-sunnah. Sebahagian yang mengamalkan sesuatu amalan, contohnya amalan berzikir secara berjemaah selepas solat, merasakan mereka mengamalkannya di atas pentunjuk al-Quran ataupun al-sunnah. Mereka membawa juga hujah-hujah berpandukan ayat-ayat suci al-Quran dan sunnah disamping penerangan dari ulama-ulama silam dan semasa untuk menguatkan hujah mereka.

Sebahagian masyarakat yang lain pula melabelkan mereka sebagai pencetus dan pengamal bid’ah. Mereka berpandangan bahawa perkara tersebut tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW. Mereka menyatakan bahawa bertaqlid pada ulama dengan mengenepikan petunjuk al-Quran dan al-sunnah merupakan suatu kesesatan berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:
Hendaklah kamu dengar dan patuh walaupun hamba Habsyi memerintah kamu. Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup di kalangan kamu, maka akan melihat perselisihan yang banyak. Justeru, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa` al-Rasyidin selepasku. Gigitlah dengan geraham-geraham kamu (berpegang teguh). Dan Jauhilah perkara-perkara baru, kerana sesungguhnya setiap yang bid’ah itu sesat.


Hadith di atas menjadi dalil kepada pandangan yang berpegang bahawa ia dengan jelas melarang dari menambah perkara-perkara baru dalam ibadah. Dengan kata-kata lain, penambahan dalam ibadah diluar dari suruhan Syarak adalah sesat. Justeru, persoalan ibadah bukan lagi soal furu’, bahkan menjadi seumpama persoalan akidah kerana boleh membawa kepada kesesatan.

Mereka berpandangan bahawa orang yang bertaqlid kepada orang-orang terdahulu diibaratkan sebagai golongan Yahudi dan Nasrani yang bertaqlid kepada rahib-rahib dan pendita-pendita mereka. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah, ayat 31 yang bermaksud:
Mereka menjadikan pendita-pendita mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah
.

Justeru, bertaqlid pada para fuqaha yang tidak berpegang kepada nas, termasuk dalam golongan ini.

Pada kesempatan yang ini, penulis hanya ingin menyentuh dua isu utama iaitu bertaqlid dengan ulama dan masalah zikir secara berjemaah selepas solat. Diharapkan artikel ini dapat membantu pembaca memahami secara lebih mendalam dan menghayatinya secara rasional tanpa dipengaruhi dengan sebarang emosi.

Bertaqlid kepada ulama.

Ada yang mengatakan fenomena bertaqlid kepada ulama khususnya ulama empat mazhab hari ini merupakan sebab utama kejatuhan umat Islam kini. Kongkongan taqlid menyebabkan ulama-ulama takut untuk mengeluarkan pandangan sendiri. Kelahiran pelbagai bid’ah pada hari ini adalah kerana budaya bertaqlid tersebut contohnya amalan zikir selepas solat secara berjemaah merupakan amalan bid’ah. Golongan yang melakukan bid’ah ini menjadikan ulama-ulama mereka seperti Yahudi dan Nasrani menjadikan pendita dan rahib sebagai tuhan-tuhan mereka.

Persoalan keharusan bertaqlid.

Persoalan pertama ialah keharusan bertaqlid. Benarkah orang yang mahu berpegang kepada al-Quran dan al-sunnah seumpama salafussoleh telah bebas dari bertaqlid?
Sekiranya pembaca ditanya mengenai siapakah yang meriwayatkan hadith yang penulis tuliskan di atas (penulis sengaja tidak menyatakan periwayat hadith tersebut), dan saudara pembaca bertanya Ustaz A, dan ustaz itu menyatakan Abu Daud (Bab al-Sunnah, nombor 3991) dan al-Tirmizi (Bab al-Ilm, nombor 2660) yang meriwayatkannya, maka sebenarnya saudara sedang bertaqlid dengan Ustaz A itu. Sekiranya ditanya pula, apakah hujahnya hadith yang saudara pegang itu sahih? Saudara pun berkata: Ustaz B pakar hadith, dia mengatakan hadith tersebut sahih dan tidak ada cacat cela. Saudara sebenarnya bertaqlid dengan Ustaz B tersebut.
Justeru, saudara tidak termasukkah dalam maksud ayat al-Quran di atas yang menolak mengikut pendita dan rahib-rahib (bagi Yahudi dan Nasrani), dan saudara juga berpandukan dan mengikut pandangan ustaz-ustaz tersebut pada hari ini?

Dalam satu suasana yang lain, seseorang contohnya C mengatakan bahawa dia berzikir selepas solat secara berjemaah kerana berpegang kepada sebahagian ulama-ulama Salaf yang membenarkan amalan tersebut. Ulama tersebut meyakini amalan tersebut kerana adanya hadith sahih dari Rasulullah SAW.

Sekiranya difikirkan secara rasional, kedua-dua pihak pertama dan kedua mengamalkan taqlid. Pihak pertama bertaqlid kepada Ustaz A dan B. Adapun pihak kedua bertaqlid kepada ulama-ulama Salaf (iaitu ulama dalam lingkungan tiga kurun selepas Rasulullah SAW). Pihak pertama bertaqlid dengan Ustaz A dan B (yang hidup pada zaman ini) kerana yakin dengan ilmu dan akhlaknya ketika remaja dan dewasa. Pihak kedua juga bertaqlid dengan mazhab Salaf kerana yakin dengan keilmuan dan akhlak mereka semenjak remaja bahkan mereka terkenal dengan kesolehan dan warak. Bahkan ilmu mereka diiktiraf seantero dunia sejak dahulu berbanding Ustaz A dan B.

Adalah tidak benar mentafsirkan ayat di atas (seumpama mengikut pendita dan rahib) terhadap masyarakat yang bertaqlid kepada mazhab yang empat. Qiyas tersebut amat tidak tepat kerana pendita-pendita Yahudi dan rahib-rahib Nasrani merupakan mereka yang mencipta sendiri hukum-hukum kepada kaum mereka dan bertentangan dengan nas-nas Taurat dan Injil. Kaum-kaum mereka lantas mengikut mereka walaupun mereka sedar ia bertentangan dengan taurat dan Injil.

Walhal ulama-ulama mazhab fiqh dalam Islam, mereka bukanlah pencetus hukum-hakam tetapi mereka cuma berperanan untuk menghurai dan menjelaskan kehendak ayat dan hadith serta pengertiannya. Mereka mentafsirkan permasalahan semasa dengan melihat kaedah syarak keseluruhannya. Inilah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW: al-‘Ulama warasatul anbiya` yang bermaksud ulama itu pewaris para nabi. Justeru itu, masyhur di kalangan ulama-ulama Usul yang mengatakan mazhab orang-orang awam adalah mazhab muftinya atau imamnya.

Ulama menutup pintu berijtihad dan takut mempraktikkannya.

Ijtihad bererti menggunakan segala usaha dan kemampuan oleh mujtahid (ulama yang memenuhi syarat ijtihad) untuk mengeluarkan hukum pada sesuatu perkara. Persoalan menutup pintu ijtihad merupakan isu utama apabila membicarakan perkembangan mazhab-mazhab fiqh. Kekusutan masyarakat Islam selepas jatuh sistem kekhilafahan amat berkait rapat dengan permasalahan ini. Ulama dilabelkan sebagai jumud, taksub dan terkongkong dengan fenomena ini.

Hasilnya lahir gerakan-gerakan tajdid (pembaharuan) dalam kurun yang lepas, antaranya gerakan dipelopori Sheikh Jamaluddin al-Afghani dan dan Sheikh Muhammad Abduh. Perkembangan ini berterusan dan negara-negara Arab menerima kesan yang besar di atas gerakan ini. Hasilnya, mereka yang pernah berada di Timur Tengah pernah merasai bagaimana masyarakat Arab semakin terlerai dari pegangan mazhab masing-masing.

Namun, masyarakat Arab tidak juga maju walaupun ikatan mazhab semakin terungkai. Walaupun kemunduran negara Islam bukanlah bererti gerakan tajdid ini salah, namun kemunduran negara Islam tetap dikaitkan dengan pegangan mazhab. Saudara bacalah buku berkaitan al-Madkhal fi al-Fiqh al-Islami dan Tarikh al-Tasyri’ al-Islami. Bacalah sendiri tanpa perlu meminta pertolongan orang lain untuk menterjemahkannya bagi mengelakkan saudara bertaqlid kepada penterjemahannya dan tafsirannya. Saudara akan dapati, hampir kesemua penulis mengaitkan kemunduran umat Islam dengan budaya taqlid mazhab.

Jika begitu keadaannya, kenapa tidak boleh digunakan hujah, kemajuan umat Islam Malaysia berpunca dari ketertiban dan iltizam mereka pada ulama khususnya ajaran yang dibawa oleh ulama-ulama tafsir, hadith, aqidah, ulama fiqh dan ahli-ahli sufi yang haq.

Penulis tidak menafikan adanya fenomena enggan berijtihad (mengeluarkan hukum baru) di kalangan ulama silam. Ia merupakan rentetan ramai golongan jahil yang mendakwa dirinya ulama dan berijtihad sesuka hati. Keadaan kerosakan masyarakat tersebut menjadikan mereka mengeluarkan kaedah: “Tertutupnya pintu ijtihad”. Walhal pintu ijtihad terbuka luas sehingga hari kiamat kepada orang-orang yang mempunyai syarat-syarat ijtihad.

Zikir selepas solat fardu secara berjemaah dan lantang.

Ada dua isu utama untuk diperkatakan di bawah tajuk kecil ini iaitu bentuk zikir, menyebut secara kuat (lantang) dan menyebut secara berjemaah.

Secara umumnya berzikir di dalam masjid ada dua bentuk iaitu pertamanya, zikir yang disebut di dalam sunnah bahawa ia dilakukan selepas solat fardhu. Keduanya ialah zikir yang dinyatakan dalam sunnah bahawa ia dilakukan selain dari waktu solat.

Hadith-hadith yang menerangkan zikir-zikir yang sunat dilakukan pada setiap kali selepas solat fardhu ialah:

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah dari Abu Hurairah RA dariapada Rasulullah SAW yang bermaksud:

Sesiapa yang mengucapkan tasbih (subhanallah) setiap tiga kali selepas solat sebanyak 33 kali, dan tahmid (alhamdulillah) sebanyak 33 kali, dan takbir (allahu akbar) sebanyak 33 kali, jadi kesemuanya 99 kali, kemudian menyebut: La ilaha illallah wahdahula syarikalah Lahulmulku walahulhamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, untuk menggenapkannya sebanyak 100 kali, nescaya diampunkan dosa-dosanya walaupun umpama buih di lautan.


Isu kedua ialah menyebut zikir secara lantang dan berjemaah. Amalan ini dilakukan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas RA yang berkata: Raf’u al-Saut bilzikr Hina yansarifunnas minalmaktubah kana ‘ala ‘ahd al-Nabi SAW, yang bermaksud:
Meninggikan suara berzikir selepas orang ramai selesai daripada solat fardhu telahpun berlaku di zaman Nabi SAW.
(Lihat Fath al-Bari, Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, Hal: 259 dan Syarh Sahih Muslim, Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 4-6, Hal:234-235).

Bahkan Ibn Abbas mengatakan lagi:
Saya tahu bahawa mereka selesai menunaikan solat apabila saya mendengar zikir.


Dalam riwayat yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Ibnu Abbas RA mengatakan: Saya mengetahui tamatnya solat Rasulullah SAW dengan laungan takbir. Lihat bagaimana Ibn Hajar mengulas kata-kata Ibn Abbas tersebut:
Daripada riwayat di atas, seolah-olah menggambarkan bahawa mereka (para sahabat) memulakan zikir mereka dengan takbir (Allahu akbar) selepas solat mendahului tasbih dan tahmid (Perbezaan riwayat mana yang didahulukan antara tasbih, tahmid dan takbir)
(Fath al-Bari:2/259).

Hadith riwayat Ibn Abbas yang menerangkan perlakuan Rasulullah SAW dan huraian Ibn Hajar menunjukkan secara nyata bagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat RA berzikir secara lantang dan berjemaah.

Pandangan yang menolak hujah tersebut, berpegang kepada apa yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud RA yang pernah mengingkari perlakuan sekumpulan para sahabat yang berkumpul di dalam sebuah masjid untuk berzikir kepada Allah SWT, dan menganggapnya suatu bid’ah. Ulama mentafsirkan tindakan Ibn Mas’ud dalam dua keadaan. Pertamanya kerana tidak sampai kepada Ibn Mas’ud hadith-hadith yang menyatakan keharusan berzikir beramai-ramai. Perkara ini diperakui oleh ulama hadith bahawa tidak semestinya setiap sahabat mengetahui segala hadith. Keduanya, bantahan tadi dikira sebagai qaul sahabi (pendapat sahabat) dan tidak boleh bercanggah dengan apa yang pasti daripada Rasulullah SAW.

Justeru, al-sunnah dengan nyata membenarkan berzikir dengan lantang secara berjemaah selepas setiap solat fardhu selagi tidak mengganggu orang-orang yang bersolat. Justeru, perbuatan berzikir tersebut bukanlah suatu bid’ah sebagaimana yang tersalah faham. Bahkan, perbuatan tersebut berpandukan kepada sunnah yang jelas.

Bagi yang menolak amalan berzikir secara berjemaah selepas setiap solat juga mengemukakan hujah-hujah mereka. Antaranya ialah penolakan Imam al-Syafie Rahimahullah terhadap amalan itu. Mereka memetik kata-kata Imam al-Syafie mengenai perkara tersebut. Bagi memperjelaskan persoalan tersebut saya menterjemahkan kata-kata Imam al-Syafie secara keseluruhan dan menghuraikannya. Pembaca boleh menghukum samada huraian saya melencong dari kata-kata Imam kita ini.

Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah:

Bab perkataan Imam dan duduknya selepas salam.

Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: al-Syafie mengkhabarkan kepada kami dan berkata: Ibrahim bin Saad mengkhabarkan kepadaku, dari Ibn Shihab berkata: Hindun binti al-Harith bin Abdullah bin Abi Rabi’ah menyampaikan hadis ini kepadaku, dari Ummu Salamah isteri Nabi SAW yang berkata:
((Adalah apabila Rasulullah SAW memberi salam selepas solatnya, bangun wanita-wanita selepas salamnya, dan duduk Rasulullah SAW di tempatnya sekejap)). Berkata Ibn Shihab: “Kami melihat duduk baginda (yang demikian itu)- wallahu a’lam- supaya keluar wanita (untuk mengelakkan) bertembung orang ramai yang tamat dari solat”.


Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: al-Syafie telah mengkhabarkan kepada kami dan berkata:
Ibn ‘Uyainah telah mengkhabarkan kepada kami, dari ‘Amr bin Dinar, dari Abu Ma’bad, dari Ibn ‘Abbas berkata: Adalah aku mengetahui selesainya soalat Rasulullah SAW dengan takbir (zikir Allahu Akbar). Berkata ‘Amr bin Dinar: Kemudian aku menyebutnya kembali (hadith ini) kepada Abu Ma’bad, dan dia (Abu Ma’bad) berkata: “Aku tidak meriwayatkan kepadamu”. Berkata ‘Amr: Sesungguhnya engkau meriwayatkan kepadaku. Berkata: Adalah dia merupakan orang paling boleh dipercayai dari mawal( hamba-hamba) Ibn ‘Abbas. Berkata al-Syafie: Seolah-olah dia (Abu Ma’bad) melupainya selepas dia meriwayatkannya (hadith) kepadanya (‘Amr).


Al-Rabi’ telah mengkhabarkan kepada kami dan berkata: al-Syafie telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: Ibrahim bin Muhammad telah mengkhabarkan kepada kami, dan berkata: telah menyampaikan hadith ini Musa bin ‘Uqbah, dari Abi al-Zubair, sesungguh beliau mendengar Abdullah bin Zubair berkata:
“Adalah Rasulullah SAW apabila memberi salam selepas solat, berkata dengan lafaz yang kuat: La ilaha illallahu wahdahula syarikalah lahulmulkuwalahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syai`in qadir, wala haula wala quwwata illa billah, wala na’budu illa iyyahu, lahulni’mah, walahulfadhl, walahulthana`ul hasanu, la ilaha illallhu mukhlisina lahuddin walau karihal kafirun”. Berkata al-Syafie: “Dan amalan ini harus untuk Imam dan tidak (harus) untuk makmum. Dan al-Syafie berkata lagi: “Dan mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang aku nyatakan, secara kuat, mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan). Dan aku memilih (pendapatku) untuk Imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat, kedua-duanya berzikir dengan senyap. Kecuali sekiranya Imam dalam keadaan wajib dipelajari darinya sesuatu (cara bacaan berzikir), maka dia boleh melantangkan zikir sehingga ia melihat sesungguhnya mereka telah mempelajari darinya, kemudian dia berzikir secara senyap”.
(Tamat petikan dari Kitab al-‘Umm: Jilid 1, Hal. 241, 242)

Kesimpulan yang penulis dapat buat dari kenyataan Imam Syafie Rahimahullah yang terakhir itu ialah:

1. Amalan berzikir dengan kuat harus untuk Imam dan tidak (harus) untuk makmum menurut pandangan Imam Syafie. Namun beliau tidak secara terang-terangan mengatakannya haram atau sesat mahupun bid’ah kerana pandangan Salaf yang lain juga bersandar kepada hadith Ibn ‘Abbas namun Imam Syafie meraguinya kerana Abu Ma’bad terlupa dia pernah meriwayatkannya kepada ‘Amr bin Dinar sebagaimana kata Imam Syafie: :
Seolah-olah dia (Abu Ma’bad) melupainya selepas dia meriwayatkannya (hadith) kepadanya (‘Amr). Manakala hadith Ibn al-Zubair dianggap oleh Imam al-Syafie sebagai mengambil kata-kata Ibn ‘Abbas sebagaimana katanya: Aku mengira apa yang diriwayatkan Ibn al-Zubair mengenai tahlil Nabi SAW (zikir La ilaha illallahu) sebagaimana apa yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas”.


2. Imam Syafie berpendapat bahawa mana-mana Imam yang berzikir dengan apa yang beliau nyatakan, sama ada secara kuat, mahupun senyap, atau selain dari cara keduanya, maka ia adalah baik (hasan). Imam al-Syafie menyebutnya sebagai baik (hasan). Namun perkara yang mempunyai sanad (sandaran) dari sunnah secara nyata adalah lebih baik dari hasan. Tetapi sekiranya diamalkan perbuatan ini pada hari ini di depan mereka yang menolak zikir selepas solat, nescaya Imam tersebut akan dicap sebagai pembawa bid’ah, sesat dan ahli neraka! Inilah bahaya kejahilan terhadap keseluruhan hadith-hadith Nabi SAW atau taksub kepada pandangan seseorang.

3. Pandangan Imam al-Syafie Rahimahullah lagi:
Dan aku memilih (pendapatku) untuk Imam dan makmum berzikir kepada Allah selepas selesai solat, kedua-duanya berzikir dengan senyap. Kecuali sekiranya Imam dalam keadaan wajib dipelajari darinya sesuatu (cara bacaan berzikir), maka dia boleh melantangkan zikir sehingga ia melihat sesungguhnya mereka telah mempelajari darinya, kemudian dia berzikir secara senyap”.

Imam al-Syafie memilih perkataan ‘memilih’ untuk mentarjihkan atau menguatkan pandangannya. Itulah cara ulama hadith yang juga imam faqih. Memilih pandangan sendiri tetapi bukan dengan membid’ahkan dan menyesatkan pihak yang tidak bersetuju dengannya khususnya dalam perkara yang masih terbuka untuk ijtihad.

Pandangan Imam al-Nawawi terhadap hadith Ibn ‘Abbas:

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Ini dalil terhadap apa yang dipegang oleh sebahagian ulama Salaf iaitu disunatkan meninggikan suara dengan zikir al-takbir (Allahu akbar) dan zikir-zikir lain selepas solat fardhu. Manakala ulama mutaakhirin yang turut menghukumkannya sunnah ialah Ibn Hazam al-Zahiri.

Imam al-Nawawi menambah lagi:
“Katanya: (Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Ma’bad kemudian dia menafikannya) pada menjadikannya hujah (dalil) oleh Muslim dengan hadith ini, merupakan bukti bahawa dia (Imam Muslim) berpegang sahihnya hadith (Ibn ‘Abbas) ini walaupun dinafikan oleh perawi asalnya, kerana yang merawikannya itu thiqah (diyakini). Ini merupakan mazhab jumhur ulama sama ada ulama hadith, fuqaha` atau ulama usul fiqh”.
(Tamat nukilan dari kitab Syarh Sahih Muslim: Jilid 4-6, hal. 237). Maksud yang sama dihuraikan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari (Bab al-Zikr Ba’d al-Solah, Jilid 2, hal. 260).

Berhati-hati dalam menghukum sesuatu amalan sebagai bid’ah.

Melalui perbincangan di atas, jelas menunjukkan kepada pembaca yang mahukan kebenaran, bagaimana ulama-ulama kita membahaskan tajuk tersebut.

1. Hadith Ibn ‘Abbas mengenai berzikir secara lantang diterima oleh sebahagian ulama salaf sebagai hujjah dan sunat diamalkan. Bahkan ia diamalkan oleh sebahagian ulama salaf. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa kita membid’ahkan dan menyesatkan sebahagian ulama salaf dan orang-orang yang mengamalkan sebahagian dari amalan dan berpegang kepada hadith ini.

2. Masyarakat juga seharusnya menghormati pandangan yang tidak berpegang kepada amalan ini kerana terdapat persoalan ijtihad mengenai status hadith tersebut dan syarahan yang berbeza di kalangan ahli hadith yang menyebabkan ulama berbeza pandangan. Walaupun begitu, amalam Imam yang menguatkan zikirnya sekali sekala untuk dipelajari umum merupakan perkara yang disyariatkan menurut pandangan ini.

3. Perbezaan pandangan ulama hadith dan fuqaha` mengenai persoalan tersebut tidak langsung mencetuskan perkataan bid’ah yang menyesatkan, masuk neraka dan seumpamanya. Kalau adapun mereka menyebut bid’ah atau muhdath (perkara baru) tetapi dalam taraf ‘hasan’ kerana amalan yang nyata ada sanadnya adalah lebih utama dari amalan muhdath. Mereka menyebutnya sebagai bid’ah atau penambahan dari sudut bahasa tetapi tidak mengatakannya sebagai ‘dalalah’ atau sesat. Inilah akhlak ulama Salaf. Inilah kefahaman ulama hadith yang hakiki dan fuqaha` apabila berdepan dengan persoalan-persoalan khilaf dan ijtihad (qadaya khilafiayyah ijtihadiyyah).

Semoga kita semua diberikan pentunjuk oleh Allah SWT. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari amalan-amalan bid’ah dan ketaksuban pada mana-mana individu sehingga kita menolak hujah-hujah Al-Quran dan al-sunnah. Semoga kita menjadi pengikut ulama-ulama Salaf dan tidak mudah terpengaruh dengan aliran semasa yang membuang sumbangan ulama-ulama Salaf yang mu’tabar yang diterima umat sepanjang zaman. Semoga umat Islam lebih cermat dalam menghukum sebahagian masyarakat yang lain.

Wallahu ‘A’lam.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Universiti Utara Malaysia. Berkelulusan PhD (Fiqh & Usul Fiqh) dari UIA, Sarjana Fiqh & Usul al-Fiqh (UIA) dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang al-Fiqh wa al-Tasyri’ (Universiti of Jordan).

Bacaan tambahan : Wirid Kuat Selepas Solat

Tiada ulasan: