CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 5 Ogos 2009

H1N1 - Beberapa Amalan Untuk Menghindari Penularannya

Penulis : Abu Zahrah

Menurut laporan akhbar hari ini, kematian disebabkan oleh Selesema Babi atau Influenza H1N1 meningkat kepada 9 orang. Dan setakat ini dah banyak pusat-pusat pengajian dan latihan bahkan beberapa buah sekolah telah diberi cuti untuk mengelak dari penularan jangkitan H1N1. Pastinya ramai yang risau. Ambo pun risau jugakkkk …

Nak jadi ceritanya, kes pertama yang melibatkan kematian disebabkan oleh Influenza H1N1 ni berlaku ditempat zaujah ambo bekerja iaitu disebuah pusat perubatan swasta di Kg. Baru, Kuala Lumpur.


Ekoran dari itu zaujah ambo dikenakan rawatan antivirus dan kuarantin dirumah selama seminggu …. Dan kebetulan waktu tersebut ambo dan anak-anak ada yang kena selsema, batuk dan demam … Allahu Allah. Risau juga ambo yang nipis iman nih. Tambah lagi kawasan Gombak, especially Seri Gombak pulak di isyhtiharkan kawasan Denggi Yang Tidak Terkawal. Allahu Allah.

Namun begitu, alhamdulillah dengan berkat bertawassul dengan Ahlul Kisa’ yang telah lama ambo amalkan, semua ahli keluarga ambo dipeliharaNYA. Bacaan yang diwarisi dari leluhur ambo ni sudah lama ambo amalkan, sejak dari sekolah menengah lagi, dan terasa sekali keberkatannya. Bertawassul dengan Ahlul Kisa' bukannya amalan Syiah seperti tuduhan sesetengah orang tetapi adalah amalan sunni. Ustaz Abu Muhammad menulis di blognya Bahrus Shofa:



Antara ulama Sunni yang menyebut mengenai amalan tawassul dengan Ahlul Kisa` sebagai sarana mencegah wabak penyakit adalah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Isma`il an-Nabhaani رحمه الله. Dalam karyanya "Sa`aadatud Daarain" halaman 627 beliau menyatakan bahawa amalan tersebut antara yang mujarrab untuk mencegah wabak.

Ini bacaannya:

لِيْ خَمْسَةٌ أُطْفِيْ بِهِمْ * حَرَّ الوَبَا وَالحَاطِمَةْ
المُصْطَفَى وَالمُرْتَضَى * وابْنَا هُمَا وَفَاطِمَةْ

Kujadikan lima orang sebagai wasilah kepada Yang Maha Kuasa; Untuk kupadamkan dengan keberkatan mereka; Akan kepanasan wabak dan kebinasaannya; Junjungan Nabi al-Musthafa; Baginda 'Ali al-Murthada; Dua anak mereka Imam Hasan dan Imam Husain saudaranya; Dan bonda mereka Siti Faathimah juga

Manakala di dalam buku Maulid Nabi صلى الله عليه وآله وسلم yang diterbitkan oleh PERIPENSIS Singapura, lafaznya sedikit beza. Pada halaman 39:

Doa Dielakkan Penyakit Berjangkit

لِيْ خَمْسَةٌ أُطْفِيْ بِهِا * حَرَّ الوَبَاءِ الحَاطِمَةْ
المُصْطَفَى وَالمُرْتَضَى * وابْنَا هُمَا مع فَاطِمَةْ

Ada lima bagiku, dengannya aku memadamkan kepanasan penyakit berjangkit. Mereka itu ialah Nabi Yang Terpilih, ‘Ali Yang Diredhoi, Faathimah, kedua anak mereka (Hasan dan Hussin)


Selain dari bertawassul dengan Ahlul Kisa ni, terdapat beberapa lagi amalan –amalan yang diamalkan oleh para alim ulama kita untuk mengelak dari wabak, bencana, musibah dan sebagainya. Maka ambo turunkan beberapa amalan yang sebahagiannya ambo kumpul tulisan Ustaz Abu Muhammad, shohib blog Bahrus Shofa, semoga pengunjung al-Fanshuri dapat mengambil faedahnya.


(1) - Membaca Sholawat. Antara sholawat yang boleh dibaca:

Sholawat Munjiyah - Mantan Mufti Sarawak, Allahyarham Datuk Haji Abdul Kadir Hasan juga menulis serba sedikit mengenai sholawat ini dalam fatwanya. Antara lain almarhum menyatakan:-
Doa atau sholawat "Allahumma sholli 'ala Sayyidina Muhammadin sholaatan tunjina ..... hingga akhir" adalah satu-satunya sholawat atau doa yang paling popular di kalangan para ulama, yang sering kita dengar dibaca dalam doa atau permulaan doa. Sholawat ini dinamakan Sholawat Munjiyyah, diambil daripada perkataan tunjina atau tunajjina yang maksudnya "dengan berkat sholawat ini kita bermohon kepada Allah supaya kita diselamatkan daripada segala kesusahan dan penyakit.".........


Sholawat Bagi Menolak Wabak Taun (Wabak Yang Menular) - Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahUllah menyebut dalam "Sa`aadatud Daarain" halaman 629 akan satu lagi faedah bagi menolak tha`un (wabak berjangkit/menular) dengan bersholawat dengan untaian sholawat seperti berikut:-


Ya Allah, kurniakanlah sholawat ke atas Junjungan Sayyidina Muhammad dan atas keluarga baginda; Sholawat yang Engkau tolakkan (hindarkan) daripada kami dengan keberkatannya akan segala serangan penyakit dan wabak penyakit. Wahai Tuhan yang urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu memadai Dia berfirman "Jadi" maka jadilah ia (tamsil bagi kehebatan dan kekuasaanNya yang mutlak).


Sholawat gubahan المغفورله al-Habib Hasan bin Ahmad BaHarun, pengasas pesantren Darul Lughah wad Da`wah, Bangil, Pasuruan, Jawa Timur. Isinya adalah sholawat dan permohonan kesejahteraan diri, ahli keluarga, harta benda dan kaum muslimin sekaliannya dari segala bala bencana, malapetaka, kemalangan, wabak penyakit, kezaliman dan sebagainya




Ya Allah Ya Tuhanku; Limpahkanlah sholawat ta'dhzimMu; Atas Junjungan Maulana Muhammad; Sebaik-baik makhluk ciptaanMu; Sholawat yang dengan keberkatannya; Engkau selamat sejahterakan kami; Juga ahli keluarga kami, anak-anak kami; Kaum kerabat kami, orang yang kami cintai; Guru-guru kami, murid-murid kami; Rakan taulan kami, jiran tetangga kami; Engkau selamat sejahterakan; Segala rumah kediaman kami, masjid kami; Ma'had kami, madrasah kami; Ladang kami, pejabat tempat kerja kami; Sekalian tempat kami dan segala harta-benda kami; Dari bahaya gempa bumi dan pergerakannya; Dari bahaya hujan, angin, petir dan sebagainya; Dari bahaya kereta, kapal terbang, kapal laut dan lain kenderaan; Dari bahaya wabak, bala bencana, malapetaka dan seumpamanya; Dari bahaya jin, manusia, haiwan, thoghut, syaitan dan tipuannya; Dari bahaya jatuh, binasa, terbakar, tenggelam dan segala musibah; Dari bala` pada urusan agama, dunia dan akhirat; Kabulkanlah Ya Ilahi; Demi jah tuah Junjungan Nabi Pilihan al-Musthofa Limpahkanlah juga sholawat; Ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda bersama-sama salam kesejahteraan yang sempurna


Mudah-mudahan dengan berkat jah Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, Allah Ta’ala selamatkan kita sekalian dari segala wabak penyakit termasuklah H1N1 dan lain-lain bencana dunia dan akhirat.



(2) – Membaca surah Yaasin. Syaikh Ahmad bin ‘Abdul Karim al-Hasawi asy-Syajjar رحمه الله, murid al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad رضي الله عنه dalam karangannya Tatsbitul Fuad yang menghimpun kalam nasihat dan wasiat gurunya itu menyebut bahawa mengenai surah Yaasin, al-Imam al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alwi bin Muhammad al-Haddad رضي الله عنه ada berpesan dengan katanya:-

Surah Yaasiin dan kalimah La ilaha illa Allah adalah penawar bagi segala sesuatu. Jika engkau payah untuk menghafal (i.e. membaca) surah tersebut dengan lengkap, maka bacalah sehingga ayat ke-9. Yaasiin adalah hati al-Quran, dan bagi orang beriman surah tersebut amat besar ertinya. Bahkan jika ada orang yang sakit, yang terpelosok, yang dipermalukan, yang jatuh, yang tertimpa musibah atau yang mengharapkan kasih sayang, maka kepadanya selalu dikatakan “Hendaklah engkau membaca Yaasiin untuk mendapat lindungan Ilahi.” Demikian besar dan pentingnya kedudukan Yaasiin bagi orang beriman, dan mereka sesungguhnya amat memuliakannya, bahkan hal ini berterusan sehinggalah sekarang.

(3) – Membaca zikir: بسم الله الذي لا يضر مع اسمه شيء في الأرض ولا في السماء وهو السميع العليم
Bagi yang biasa mengamalkan ratib al-Haddad atau ratib al-Atthas atau Wirdul Lathif maka zikir diatas sudah tercakupi di dalamnya. Untuk tahu akan kelebihannya, maka boleh rujuk kepada kitab mensyarahkan ratib al-Haddad dan ratib al-‘Atthas, disana nanti ada disyarahkan mengenai zikir diatas. Besar kelebihannya, insyaAllah bagi yang istiqamah membacanya 3x pagi dan petang akan terhindar dari bencana, wabak dan sebagainya. Dan kalau terjangkiti sekalipun, insyaAllah tidak memudharatkan melainkan kalau dah ajal. :)


(4) - Membaca Burdah. Syaikh Wan 'Ali Kutan رحمه الله dalam karya beliau "Majma' al-Qashaaid wal 'Awaaid" pada halaman 3-4 menukil akan kalam Syaikh 'Abdus Salam رحمه الله, syarih Qashidah Burdah, sebagai berikut:-
Barangsiapa membaca akan qashidah ini atas orang sakit atau ia baca sendiri disembuh akan dia Allah ta`ala selama belum hadir ajalnya atau dibaca akan dia atas kanak-kanak nescaya sentosa ia daripada kejahatan jin dan syaithan dan Ummush Shibyaan dan daripada segala penyakit pada badan. Dan tiada menanggung akan dia oleh orang musafir atau pada matabendanya melainkan dapat laba ia dan sentosa ia daripada kebinasaan safarnya. (Dan hasilnya) dibacakan dia pada ketika turun bala seperti wabak dan tha`un dan angin ribut pada perahu dan telah kami cuba akan dia maka kami dapat akan dia mujarrab."


Al-Fadhil Ustaz Fahmi Zamzam حفطه الله, antara ulama tanahair kita yang turut memperkatakan kemujaraban Qashidah Burdah sebagai penolak wabak dan penyakit. Beliau, moga Allah berikan kesihatan dan umur yang panjang kepadanya, dalam mukaddimahnya bagi terjemahan Qashidah Burdah menyatakan pada halaman 15-16 sebagai berikut:-

"..... maka terkenallah qasidah Burdah sebagai qasidah yang berkat. Di mana dengan berkat puji-pujian, salawat dan salam yang disebutkan dalam qasidah itu adalah diharapkan agar disembuhkan berbagai-bagai penyakit dan kelihatannya amalan ini sangat mujarab sekali dan menjadi satu tradisi dalam masyarakat Islam sejak dari masa hidup Imam al-Bushiri sampai hari ini. ....... Ini bukanlah bererti qasidah Burdah ini yang menyembuhkan penyakit, tetapi yang dimaksudkan ialah apabila disebut-sebutkan sifat dan ketinggian akhlak Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم maka bertambah-tambahlah rasa kecintaan kepada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan dengan berkat Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang merupakan "ubat hati dan penawarnya, keafiatan badan dan kesembuhannya", maka insya-Allah akan disembuhkan segala macam penyakit."



Demikian, beberapa amalan yang dapat ambo kongsikan bersama. Beramallah kerana Allah semata-mata bukan kerana takut ke H1NI. H1N1 ada hikmahnya ... merupakan cemati yang menghalau kita kembali ke ALLAH. Kita yang jenis degil ni begitulah ... kalau tidak didatang peringatan, tidak dibalun dengan cemati ...kita akan alpa. Sungguh kita ini sering lalai dari mengingatiNYA, kita durhaka kepadaNYA, tengelam dalam kelazatan kehidupan dunia hingga lupa kepada kepadaNYA, kita mengerjakan ma'siat, kita remahkan hukum-hakamNYA. Maka dengan datangnya bencana atau wabak sebegini, akan membuatkan manusia teringat untukkembali kepadaNYA, bertaubat kepadaNYA, memohon perlindungan dariNYA dan sebagainya. Dalam 'bala' ada nikmatnya ......... Sekian dari ~ abu zahrah ~

**********************

Tambahan: Yang nie pulak langkah-langkah fizikal ......





























Sumber : Al-Fanshuri

2 ulasan:

Unknown berkata...

assalamualaikum
ustaz boleh jelaskan lebih tntang ahlul kisa' saya ingin tahu lbih lanjut..dan ada yg mngatakannya berasal dari amalan puak syiah..

Admin berkata...

Assalamu'alaikum tuan ibnu,

AlhamduliLlah, kami sudah menjawabnya di pos yang terbaharu. selamat memahaminya :)