CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Sabtu, 7 Mac 2009

Apakah Jika Nabi, Sahabat Meninggalkan Suatu Amalan Maka Ia Menunjukkan Larangan?

Soalan :

Banyak orang Islam dari golongan ekstrim (keterlampauan/berlebihan) melarang pelbagai amalan yang dilakukan oleh kaum Muslimin dengan hujah bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam telah meninggalkannya dan para sahabatnya tidak pernah melakukannya. Jadi apakah Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam meninggalkan suatu amalan dan para Sahabar radiyaLlahu 'anhum tidak pernah melakukannya, maka ia secara zahir telah menjadi dalil yang menunjukkan tidak boleh melakukannya?

Jawapan :

Berkenaan dengan tema (tajuk) pertanyaan ini, Syaikh 'ALlamah As Sayyid bin Siddiq Al Ghummari telah menuliskan sebuah risalah yang beliau berikan judul "Husnu at Tafahhum wa Ad Daraki li Mas'alati at Tarki." Beliau memulainya dengan beberapa bait puisi yang indah ;

Meninggalkan suatu amalan bukan hujah dalam syariat kita,
Dan ia tidak bermakna pelanggaran ataupun kewajipan,
Siapa yang melarang suatu perbuatan dengan alasan bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam meninggalkannya,
Kemudian, berpendapat itulah hukum yang benar dan tepat,
Sungguh, dia telah menyimpang dari seluruh dalil-dalil,
Bahkan keliru dalam memutuskan hukum yang sohih , dan dia telah gagal,
Tidak ada pelarangan kecuali pelarangan yang diiringi,
Dengan ancaman seksa bagi yang melanggarnya,
Atau kecaman terhadap suatu perbuatan, dan disertai bentuk hukuman yang pasti,
Atau lafaz mengharamkan untuk perkara yang tercela,


Para 'ulama kaum Muslimin, masa dahulu mahupun masa lampau, di Timur mahupun Barat. Telah sepakat bahawa 'hal meninggalkan' itu bukanlah suatu prinsip atau konsep untuk menyimpulkan (menyekat) dalil secara tersendiri. Bidang yang digunakan oleh para sahabat radiyaLLahu 'anhum untuk mendapatkan hukum syariat itu menjadi wajib, sunnah, mubah(harus), makruh atau haram adalah mengikuti prinsip istinbat (penyimpulan hukum) dari dalil berdasarkan pada ;

1. Adanya nas dari Al Quran
2. Adanya nas dari Sunnah (Hadith Nabi saLlahu 'alaihi wasallam)
3. Ijma' (kesepatakan pada 'ulama') atas suatu hukum.
4. Qiyas (penyamaan)

Para ulama' berbeza pendapat pada beberapa kaedah pengambilan dalil untuk menetapkan hukum syariat, antara lainnya ;

1. Pendapat para sahabat radiyaLlahu 'anhum (athar)
2. Sadd Adz Zari'ah
3. Pengamalan penduduk Madinah
4. Hadith Mursal
5. Istihsan
6. Hadith Dhoief dan prinsip-prinsip lain yang dipandang oleh para alim ulama. Dalam semua ini tidak tertera, hal 'meninggalkan' sebagai sebuah prinsip penetapan hukum.

Dengan demikian, hal 'meninggalkan' secara tersendiri tidaklah menunjukkan kepada suatu hukum syariat. Ini adalah kesepakatan di antara kaum Muslimin.

Banyak bukti-bukti yang menyokong dan athar (pendapat) dari para sahabat radiyaLlahu 'anhum bahawa mereka tidak memahami bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam meninggalkan suatu perbuatan sebagai dalil diharamkannya perbuatan itu, bahkan tidak juga sebagai sesuatu yang dimakruhkan. Demikianlah yang difahami oleh para ahli feqah dari masa ke masa.

Ibnu Hazm menolak pola hujjah para ulamak dari Mazhab Maliki dan Mazhab Hanafi atas pendapat mereka yang menyatakan makruh solat dua rakaat sebelum Maghrib dengan sebab saidina Abu Bakar radiyaLlahu 'anhu, saidina Umar radiyaLLahu 'anhu dan saidina Uthman radiyaLlahu 'anhu tidak melakukannya. Beliau berkata,
"Ini bukanlah hujjah yang membawa kepada hukum apapun. Pertama, riwayat tersebut adalah munqathi' (terputus), sebab Ibrahim radiyaLLahu 'anhu tidak menjumpai masa hidup seorangpun dari mereka yang kami sebutkan. Beliau dilahirkan setelah dua tahun terbunuhnya Saidina Uthman radiyaLlahu 'anhu. Kemudian seandainya sohih, belum tentu ada hujjah padanya sebab tidak ada di dalamnya bahawa Saidina Abu Bakar radiyaLlahu 'anhu dan Saidina Umar radiyaLlahu 'anhu melarang hal itu dan tidak juga memakruhkannya. Kita tidak menyalahi (prinsip) mereka bahawa meninggalkan perkara sunnah itu boleh.
(Ibnu Hazm, Al Muhalla bi Al Atsar, vol 2, hlm 22)

Jadi, Ibnu Hazm tidak ingin mengkaji lebih dalam lagi tentang para sahabat radiyaLlahu 'anhum yang meninggalkan solat dua rakaat itu (sebelum Maghrib), dan menyatakan mengenai perkara mereka meninggalkan solat itu tidak membawa kepada persamaan hukum selama mereka tidak mengungkapkan secara tegas tentang kemakruhannya.

Sangat kuat riwayat Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam meninggalkan khutbah di atas mimbar dan memilih berkhutbah di atas batang kurma. Namun pada sahabat radiyaLlahu 'anhum tidak memahami bahawa berkhutbah di atas mimbar itu bid'ah atau haram. Malah, mereka yang berusaha membuatkan mimbar untuknya (Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam). - Hadith riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 3, hlm 363; Tirmidzi, Sunan Tirmidzi vol 2, hlmn 379; Darimi, Sunan Ad Darimi, vol 1, hlm 29; Baihaqi, As Sunan al Kubra, vol 3, hlm 196; Ibnu Abi Syaibah, vol 3, hlm 319; Thobrani, Al Mu'jam al Ausath, vol 1 hlm 90, dan disebutkan oleh Al Haithami di dalam kitabnya Majma' Az Zawaid, vol 2, hlm 182; dan beliau memberikan pandangannya, "Para periwayatnya adalah orang-orang yang dikatakan thiqah."

Tentulah para sahabat radiyaLlahu 'anhum tidak mungkin akan melakukan perbuatan yang telah ditinggalkan oleh Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam sebagai perkara yang bid'ah.

Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam meninggalkan kepada kita bacaan yang berikut di dalam solat setelah mengangkat kepala daripada ruku' yang bererti :
"Tuhan kami, segala puji bagi-Mu, pujian yang banyak... hinggalah akhir hadith
(riwayat Ahmad, Ad Darimi, Tirmidzi, Ibnu Abi Syaibah, Baihaqi dan Thobrani)

Para sahabat radiyaLlahu 'anhum yang membacakan doa tersebut, memahami bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak mengamalkan doa tersebut di dalam solat. Namun, para sahabat radiyaLLahu 'anhum juga memahami bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak melakukannya bukanlah bermakna Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam menjadikannya suatu yang terlarang. Jika, Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam melarangkannya, tentulah hal itu akan menjadi haram hukumnya. Bagaimanakah mungkin Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam membiarkan seorang sahabat radiyaLlahu 'anhu mengamalkannya jika Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam sendiri mengharamkannya. Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam sendiri tidak menyindir atau menegurnya (sahabat itu) atas sikapnya itu.

Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam contohnya tidak mengatakan, "kamu bagus, tapi jangan ulangi!' atau melarangnya mengarangkan doa-doa lainnya di dalam solat.

Hadith tersebut diriwayatkan oleh Rif'ah bin Rafi' az Zarqani radiyaLLahu 'anhu; beliau berkata,
"suatu hari kami melaksanakan solat di belakang Baginda Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam. Ketika Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam mengangkatkan kepala dari ruku', terus sahaja berkata "sami'aLlahu liman hamidah (semoga ALlah subahanahu wa ta'ala mendengar orang yang memujinya)." Seseorang yang (solat) di belakang Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam berkata : "Tuhan kami, segala puji bagi-Mu, pujian yang banyak lagi diberkati padanya." Sebaik sahaja selesai solat, Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam bertanya : "Siapakah orangnya yang mengucapkan doa tadi?" beliau (sahabat radiyaLLahu 'anhu) menjawab, "Saya". Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam berkata, " Aku melihat lebih dari 30 orang para malaikat bergegas (menyambutnya); siapa di antara mereka yang pertama menuliskan pahala."
(Hadith riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, vol 4, hlm 340; Bukhari, Sohih Bukhari, vol 1, hlm 275; Abu Daud, Sunan Abu Daud, vol 1, hlm 204; Nasa'i, Sunan An Nasa'I, vol 1, hlm 222; Imam Malik, Al Muwattha', vol 1, hlm 211; dan Baihaqi, As Sunan Al Kubra, vol 2, hlm 95).

Saidina Bilal radiyaLlahu 'anhu tidak memahami akan kenyataan Baginda Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam meninggalkan solat dua rakaat setelah berwudhuk bahawa perbuatan itu tidak boleh. Bahkan beliau (saidina Bilal radiyaLlahu 'anhu) melakukannya dan tidak memberitahukan kepada Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam.; Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam sendiri yang bertanya kepadanya (Saidina Bilal radiyaLlahu 'anhu),
"Wahai Bilal, sampaikanlah kepadaku tentang amalan yang paling diharapkan (diterima) oleh kamu untuk diamalkan di dalam Islam? Sebab sesungguhnya aku mendengar suara daripada dua sandalmu (kasut/selipar) di depanku di syurga. " Beliau (saidina Bilal radiyaLlahu 'anhu) menjawab, "Aku tidak mengamalkan suatu amalan yang lebih diharapkan bagiku, selain bahawa setiap kali aku berwudhu' pada waktu malam dan siang, maka aku melakukan solat dengan wudhu' itu, apa yang mampu aku lakukan bagiku."
Abu AbdiLLah berkata, "suara dua sandal, iaitu pergerakkan."

Jadi, kita mengetahui bahawa solat setelah berwudhu' itu telah menjadi sunnah setelah pengakuan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam terhadapnya. Akan tetapi, apa yang dapat di ambil di sini adalah pemahaman para sahabat radiyaLlahu 'anhum terhadap boleh membaca doa dan melakukan solat pada waktu yang tidak dilakukan oleh Baginda Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam Dapatlah kita simpulkan di sini, bahawa daripada pemahaman sedemikian, mengenai akan suatu perkara atau perbuatan yang ditinggalkan itu tidak membawa makna kepada suatu yang dilarangkan atau dimakruhkan. Demikianlah juga, kita berdalilkan dengan Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam tidak mengingkari sikap ini dan tidak ada larangan dari para sahabat radiyaLLahu 'anhum pada masa setelah wafatnya Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam.

Daripada keterangan di atas, dapatlah kita ketahui bahawa perbuatan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam, para sahabat radiyaLlahu 'anhu hinggalah ke generasi-generasi tiga abad yang terbaik meninggalkan sesuatu amalan itu, tidak membawa kepada penetapan suatu hukum yang tidak dibolehkan secara mutlak.

Tidak ada yang mengharamkan atau memakruhkannya, serta tidak juga hukum selain daripada kedua-dua itu (haram dan makruh). Inilah yang difahami oleh para Sahabat radiyaLlahu 'anhu selagi Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam masih hidup. Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam sama sekali tidak mengingkari atau membantah pemahaman mereka (sahabat radiyaLlahu 'anhum) itu. Demikianlah yang dapat dijelaskan dan difahami secara ringkasnya oleh para ulama' setelah mereka (sahabat radiyaLlahu 'anhum).

Sama-samalah kita semua memohonkan doa kepada ALLah subahanahu wa ta'ala semoga memberikan pemahaman tentang agama kepada kita; dan akhir doa kita adalah segala puji-pujian hanyalah bagi ALLah subahanahu wa ta'ala. Tuhan yang memiliki alam semesta ini. Dan ALLah subahanahu wa ta'ala Yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.

Sumber : Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor

Tiada ulasan: