CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 16 September 2009

Isu Rawatan Dan Berubat Ketika Berpuasa

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Artikel pendek ini seharusnya dibaca bersama posting saya yang lepas (ada di bawah posting ini). Saya didatangi perbincangan tidak formal berkaitan dengan fatwa ramai sarjana semasa yang mengatakan tidak batal puasa menggunakan ubat yang memasuki rongga-rongga badan (mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur). Mereka memberikan alasan-alasan berikut :

1. Yang dimaksudkan larangan makan dan minum apabila sampai ke perut.

2. Yang dilarang ialah memakan sesuatu yang sifatnya makanan atau menguatkan atau memberi tenaga pada tubuhغذاء).

3. Perkara-perkara membatalkan puasa terhad yang dinyatakan dalam nas iaitu makan, minum dan hubungan seks. Sekiranya tiada dalil, ia tidak membatalkan puasa.

Saya masih cenderung dengan tafsiran ulama-ulama silam yang membatalkan puasa apabila sesuatu itu melebihi had-had tertentu pada rongga-rongga badan kerana hujah-hujah mereka yang konsisten iaitu:

1. Saya tidak pernah mendengar makan dan minum apabila sesuatu itu sampai ke perut. Kalau dipegang pandangan ini, kita boleh katakan pada seseorang yang menelan makanan:
"Kamu belum makan lagi sehinggalah makanan itu jatuh ke perut"
Sebaliknya, umum menerima apabila seseorang itu menelan, sudah dikira makan atau minum, iaitu apabila sesuatu itu melebihi had kerongkong. Justeru, pandangan ulama-ulama silam lebih tepat dan berada dalam lingkungan nas yang melarang makan dan minum.

2. Larangan makan dan minum dalam nas Syarak tidak menyatakan jenis makanan samada mengenyangkan atau tidak. Sudah diterima (Thabit) dalam kaedah Syarak, sekiranya dilarang banyaknya sesuatu, sedikitnya juga dilarang (ma hurima kathiruhu, hurima qaliluhu).

3. Sesuatu yang dilarang dari ditelan ditakuti membatalkan puasa ialah sesuatu yang terasing dari badan contohnya air liur yang bercampur dengan rasa gula-gula. Ia masih dalam lingkungan tafsiran nas Syarak larangan makan dan minum.

4. Ulama-ulama silam berpegang dengan sikap ‘warak’ berwaspada takut-takut tidak ditunaikan hak-hak Allah SWT.

5. Ayat-ayat berkaitan puasa dalam posting yang lepas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT membezakan orang sakit (maridh) dengan orang yang lemah (la yutiquna) tiada kekuatan untuk berpuasa. Orang sakit diharuskan berbuka dan qadha’, manakala orang yang lemah tiada harapan pulih bayar fidyah. Namun, kita seolah-olah mengatakan mereka yang terpaksa berubat itu sihat dan perlu berpuasa, atau kita mengatakan makanlah ubat tetapi kamu masih berpuasa sebab tidak dikira seseorang itu makan kecuali bila sampai ke perut!

Berdasarkan penelitian di atas, saya masih cenderung kepada pandangan yang dikeluarkan oleh JAKIM sebagaimana dalam posting saya yang lepas.

Wallahu a'lam.

Sumber : Dr Asmadi Mohamed Naim

PENGGUNAAN UBAT KETIKA BERPUASA

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Beberapa orang sahabat bertanya saya mengenai penggunaan ubat ketika berpuasa. Sebelum saya menjawab soalan ini, suka saya membawa beberapa ayat al-Quran berkaitan dengan puasa dan rukhsah meninggalkan puasa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (183-184) bermaksud:

183- Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

184- Iaitu beberapa hari tertentu. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau bermusafir (dalam perjalanan lalu tidak berpuasa), maka (hendaklah) menggantinya pada hari-hari lain (bukan pada bulan Ramadhan). Dan atas orang-orang yang tidak kuat (kerana lemah tua atau penyakit atau hamil) wajib membayar fidyah memberi makan orang miskin. Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan , maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu sekiranya kamu mengetahui.


Kita sudah memahami bahawa setiap muslim aqil, baligh adalah diwajibkan berpuasa. Apabila berpuasa, secara lahirnya kita mengelakkan diri kita dari memasukkan sesuatu melebihi had-had tertentu pada rongga-rongga badan iaitu mulut, hidung, telinga dan dua saluran dubur dan qubul.

Apabila saya menyebut 'had-had tertentu' pada rongga-rongga tersebut kerana beberapa amalan memasukkan sesuatu dalam rongga-rongga tersebut masih dibenarkan ketika berpuasa selagi tidak melebehi had yang dibenarkan, contohnya:


i. Dibenarkan memasukkan air ke hidung (tidak melampau) sekadar membersihkan hidung untuk mendapatkan sunnah dan pahala ber ‘istinsyaq’ ketika mengambil wuduk.


ii. Dibenarkan mandi wajib selepas azan Subuh dan mandi wajib mewajibkan kita membasuh bahagian dalam lubang telinga yang zahir dan dubur yang zahir.

Ayat 184 pula menjelaskan bahawa sesiapa yang sakit, dibolehkan seseorang itu berbuka puasa. Sekiranya mereka masih mahu mengerjakan puasa, ia adalah baik untuk mereka selama mana puasa itu tidak memudaratkan diri mereka. Jika memudaratkan, mereka wajib berbuka berdasarkan larangan umum:

Jangan kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan
(al-Baqarah, ayat 195).

Masalah yang timbul dari persoalan orang-orang sakit ini ialah:


1. golongan yang tidak mahu berpuasa atas alasan sakit.

2. orang sakit yang sedang dalam proses berubat, mahu terus berpuasa dan masih menganggap dirinya sah puasa dan tidak memerlukannya qada’ (mengulang balik) ibadah puasa tersebut.

Bagi golongan pertama iaitu yang tidak mahu berpuasa berterusan kerana sakit, kita katakan pada mereka, ketetapan yang tidak mewajibkan mereka tidak boleh berpuasa bukan ditetapkan oleh diri mereka. Mereka wajib mendapatkan pandangan doktor perubatan muslim yang adil, warak untuk menentukan ketidakmampuan mereka. Sekiranya disahkan, mereka boleh tidak berpuasa tetapi masih wajib menjaga syiar-syiar puasa iatu tidak memakan ditempat umum.

Manakala bagi golongan kedua, sekiranya proses perubatan ketika berubat (dalam keadaan berpuasa) melebihi had-had memasukkan sesuatu ke dalam rongga, puasa adalah terbatal namun, mereka masih wajib menahan diri dari makan (imsak) dan puasa tersebut wajib diqada (diulang) berdasarkan dalil-dalil khusus puasa yang melarang memasukkan sesuatu ke dalam rongga-rongga tersebut.

Dalam banyak keadaan tersebut, saya bersetuju dengan Buku Panduan Berpuasa Pesakit terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang saya ambil dari Berita Harian, 29 Ogos 2009:

Perkara berkaitan rawatan yang TIDAK MEMBATALKAN PUASA:

• Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga);

• Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada (angina pectoris) bagi pesakit jantung;

• Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan ketika prosedur rawatan itu;

• Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah;

• Pendermaan atau pemindahan darah;

• Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit;

• Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal;

• Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung;

• Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit;

• Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak membabitkan proses menelan;

• Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yang diambil daripada hati atau organ lain untuk tujuan analisis makmal;

• Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut;

• Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis;

• Menjalani rawatan bius setempat atau separuh (local) dengan semburan atau suntikan setempat; dan

• Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa membabitkan kawasan rongga yang dalam.

Perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang MEMBATALKAN PUASA:

• Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (athma) atau penyakit paru-paru kronik;

• Memasukkan sebarang tiub kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal (vaginoscope), atau pegawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita.

• Memasukkan sebarang tiub catheter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing (uretroscope), barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita (contohnya memasukkan `urinary catheter’ untuk rawatan sumbatan salur kencing);

• Penggunaan alat seperti enema, tiub suppository, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rectum untuk pemeriksaan;

• Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman; dan

• Penggunaan bius menyeluruh yang membabitkan penggunaan gas.

Wallahu a'lam.


Sumber : Dr Asmadi Mohamed Naim

Selasa, 15 September 2009

Doa tawassul ahlu kisa’

Penulis : Ustaz Al Amin Daud


Hari ini saya cuba menjelaskan persoalan doa yang mengandungi unsur tawassul dengan ahlu kisa’. Ada yang menginkari doa ini kerana kata mereka terdapat unsur syiah kerana menyebut nama ahli keluarga Nabi SAW. Ada juga yang mengingkarinya kerana surat berantai ini mengandungi butiran palsu.Doa Selsema H1N1

Merujuk kepada surat berantai di atas. Pertamanya kita perlu jelas dan dapat membezakan surat berantai dengan doa yang dinyatakan adalah dua perkara yang berbeza. Kalau kita menafikan kebenaran surat berantai dengan nama yang tersebut di dalam surat itu tidak bermakna kita juga menafikan kebenaran doa tersebut.

Secara peribadi saya juga tidak mengenali nama yang disebutkan di dalam surat tersebut. Tetapi doa ini saya telah kenali semenjak saya di bangku sekolah lagi sebelum wujudnya surat ini. Bahkan mengikut riwayat guru kami di pondok ia menjadi amalan guru-guru pada zaman dahulu untuk mengelak wabak taun. Ia dibaca secara beramai-ramai sambil berjalan mengelilingi kampung.


Sudah tentu doa yang diajar oleh Rasulullah SAW merupakan doa yang paling afdhol. Afdhol di atas wazam isim tafdhil bermaksud paling baik atau terbaik dan di sana ada doa-doa yang baik yang kita tidak boleh menafikan dengan sewenang-wenangnya. Afdhol bukan bermaksud menafikan yang baik.

Seumpama kita mengatakan memakan roti lebih baik daripada nasi. Apakah nasi tidak baik? Bukan begitu tetapi kita katakan ia lebih baik. Seperti contoh yang lain. Solat sunat afdhol dilakukan di rumah. Apakah bermaksud jika dibuat di masjid maka tidak sah? Sudah tentu tidak, tetapi afdhol (lebih baik).

Begitulah perumpamaan dengan doa-doa yang disusun oleh ulama’ kita. Jika kita hendak bandingkan dengan doa Nabi SAW maka tidak ada bandingannya tetapi itu samasekali tidak menafikan kelebihan doa para ulama’ yang menjadi qudwah kita selepas Nabi SAW.


Di bawah ni kenyataan yang diambil daripada blog al-fansuri yang menyebut riwayat ulama' ahli sunnah waljamaah . Boleh rujuk kitab yang dinyatakan untuk mendapat penjelasan kebenaran doa ini;


Antara ulama Sunni yang menyebut mengenai amalan tawassul dengan Ahlul Kisa` sebagai sarana mencegah wabak penyakit adalah al-Qadhi asy-Syaikh Yusuf bin Isma`il an-Nabhaani رحمه الله. Dalam karyanya "Sa`aadatud Daarain" halaman 627 beliau menyatakan bahawa amalan tersebut antara yang mujarrab untuk mencegah wabak.


Di dalam doa ini kita bertawassul dengan ahli kisa' keturunan Rasulullah SAW yang dimuliakan oleh Allah dan dinyatakan kelebihan mereka di dalam hadis yang mutawaatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 30 orang sahabat dan disebut sebagai "'itrati".

تركت فيكم ما إن تمسكتم به لن تضلوا بعدي كتاب الله وعترتي أهل بيتي

Aku tinggalkan kepada kamu jika kamu berpegang dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selepas aku iaitu Al-Quran dan Ahli keluargaku.

Hadis ini tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun kerana ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad, Al-Hakim di dalam mustadraknya dan ramai lagi tanpa saya memanjang perbicaraannya di sini. Boleh rujuk di sini untuk penjelasan hadis ini dan sumber kitab-kitab hadis yang meriwayatkannya. Maka termasuk di dalam umum hadis ini Sayyidina Ali, Siti Fatimah, Sayyidina Hassan Dan Sayyidina Hussin Radiallahu 'Anhum Ajma'ien..


Mencintai ahli beit bukan beerti kita syiah. Kerana mencintai ahli beit Rasulullah SAW merupakan suatu tuntutan di dalam mazhab ahli sunnah wal jamaah bahkan disarankan oleh Nabi SAW di dalam hadis “itrati di atas. Kerana hendak menentang syiah kita jangan jadi syiah dengan membenci ahli keluarga Nabi SAW. Kerana hakikatnya syiah yang mengkhianati ahli keluarga Nabi SAW seperti yang tercatat di dalam sejarah versi ahli sunnah wal jamaah.


Jangan anggap keturunan Rasulullah itu syiah. Walaupun syiah menjadikan Sayyidina Ali sebagai imam mereka itu bukan bermaksud Sayyidina Ali itu syiah. Begitu juga dengan Siti Fatimah dan anak keduanya yang merupakan cucu kesayangan baginda SAW, Sayyidina Hassan dan Sayyidina Hussin. Wal ‘iyazabillah min zaalik.


Semoga dengan mencintai ahli beit Rasulillah SAW menjadi asbab syafaat Allah pada hari kiamat nanti sepertimana yang dinyatakan oleh Imamuna As-Syafie di dalam syairnya yang mengandungi erti tawassul dengan keluarga Nabi SAW;


آلُ النبيِّ ذريعتي وهُمُو إليْهِ وَسِيلَتِي أرْجُو بهمْ أُعْطَى غَداً بيدي اليمين صحيفتي


Maksudnya: ahli keluarga Nabi merupakan perisaiku (apabila aku ada kesusahan di dunia dan di akhirat).Mereka merupakan wasilah aku kepada Allah dan aku mengharapkan diberikan kitab catitan amalku nanti dengan tangan kanan (dengan keberkatan mereka).


Jika ahli keluarga Rasulullah boleh menjadi asbab syafaat untuk diberikan kitab dengan tangan kanan pada hari kiamat yang dahsyat jadi bagaimana kiranya kesusahan di dunia ini?


Pada hakikatnya hanya Allah sahaja yang boleh memberi manfaat dan mudharat kepada kita tetapi tidakkah Allah menjadikan bagi setiap sesuatu itu asbab? Jika kepala sakit, kita mencari panadol sebagai asbab untuk menghilangkan sakit dan kita tidak katakan ia perbuatan syirik selagimana dia menganggap panadol sebagai asbab sahaja mengapa kita katakan bertawassul dengan ahli keluarga Nabi SAW dianggap perbuatan syirik sedangkan mereka asbab kepada nusrah Allah SWT.

Sumber : Http://al-amindaud.blogspot.com

Isnin, 14 September 2009

Bagaimana Cara Menyambut Aidilfitri ? Bab Akhir

MENGHAYATI IDULFITRI
(Bilangan 111 Bahagian Akhir)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Hari Raya Fitri adalah hari persaudaraan dan hari kegembiraan maka di hari ini adalah disunatkan sesama Islam saling mengucap tahniah dengan doa-mendoakan di antara satu sama lain seperti mengucapkan:


Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak"
Hukum sunat mengucapkan tahniah di Hari Raya ini diperakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah.(Hasyiyatan 1:359)
Adapun maksud dari kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.
Dengan penjelasan di atas membuktikan bahawa hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan hari raya orang bukan Islam apatah lagi ianya disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau non muslim berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira walau ada kaitan dengan unsur keagamaan, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya. Berhibur di dalam hari raya orang Islam berkonsepkan ibadah sebagai melahirkan syukur kita kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala.
Sebilangan umat Islam hari ini amat mendukacitakan kerana tidak faham akan konsep hari raya yang sebenar lalu tidak dapat menghayatinya sehingga merayakannya seperti mana orang-orang bukan Islam berhari raya. Kalau bangsa lain umpamanya mempunyai lagu khas sempena hari raya mereka maka kita pun memilikinya bahkan lebih daripada mereka dengan rentak dan irama yang bermacam-macam. Perkara ini sebenarnya boleh mendatangkan tanggapan negatif bagi orang-orang bukan Islam terhadap Islam. Mereka menganggap bahawa hari raya orang Islam tidak jauh bezanya dari hari-hari perayaan mereka iaitu hanya sekedar untuk melahirkan rasa gembira dan berhibur.
Selain itu dengan corak sambutan yang mereka lakukan itu adalah kesan dari tidak menghayati Ramadhan sepenuhnya kerana Ramadhan adalah bulan Qana‘ah yang mana dengan itu mampu menghindarkan kita dari memboros dan berlebihan di dalam menyambut Idulfitri.
Kita perlu sedar bahawa hari raya inilah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar benar beramal di bulan Ramadhan.
Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Aus Al-Anshariy daripada ayahnya Radhiallahu ‘anhu Baginda bersabda yang maksudnya :
"Apabila tiba hari Raya fitri berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru: "Pergilah wahai kaum muslimin menghadap Tuhan yang Pemurah yang memberikan kebajikan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru: "Ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari al- Ja‘izah (hari mendapat ganjaran)
. (Hadis riwayat At-Thabrani)

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama memperbanyak amal ibadah di hari ini dengan tidak mencampur-baurkannya dengan perkara maksiat. Seperti berziarah umpamanya, yang mana amalan berziarah ini sangat dituntut oleh Islam . Lebih-lebih lagi masyarakat kita mengambil kesempatan hari raya ini untuk kunjung-mengunjugi sayugialah jangan dicemari dengan pergaulan bebas di antara yang bukan mahram serta aktiviti yang merosakkan keimanan yang telahkita sucikan di sepanjang Ramadhan, seperti pesta tari-menari dan berkaroake sehingga mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang berdekatan yangmana perbuatan ini adalah amat di tegah di dalam Islam. Selain dari itu amalan besedekah di hari raya ini adalah juga merupakan tuntutan sunat di mana Baginda menganjurkan untuk bersedekah sebaik sahaja selepas menunaikan sembahyang hari raya.
Kesimpulannya hari raya fitrah ini adalah hari hablun minallah dan hablun minannas iaitu hari mempererat serta dan memperkukuh hubungan diantara makhluk dengan Khaliq dan diantara makhluk dengan makhluk.
Maka sama-samalah kita hidupkan malam dan siang hari raya ini dengan perkara yang disunatkan sama ada yang langsung dijelaskan oleh hadis Baginda atau yang secara mafhumnya adalah dituntut di dalam Islam berpandukan huda (petunjuk) Rasulullah yang mana jika kita mengikut sunnah Baginda bererti kita mencintai Allah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
"Katakannlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu"

(Surah Ali ‘Imran:31)
Sumber : Mufti Brunei

Bagaimana Cara Menyambut Aidilfitri?

MENGHAYATI IDULFITRI

(Bilangan 111 Bahagian Pertama)

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Setelah umat Islam berusaha selama sebulan penuh di bulan Ramadhan mengekang nafsu dari melakukan perkara yang ditegah semasa menunaikan ibadah puasa sama ada yang haram atau yang harus di lakukan di luar puasa, sudah setentunya kita bergembira serta bersyukur dengan kedatangan 1 Syawal iaitu hari kemenangan bagi mereka yang benar-benar menghayati Ramadhan.

Sememangnya telah menjadi tradisi bagi masyarakat kita sambutan Idulfitri ini lebih meriah dari hari-hari kebesaran Islam yang lain umpamanya Idul Adhha, yang juga salah satu perayaan yang besar dalam agama kita. Berlainan halnya dengan masyarakat Islam lain seperti di Timur Tengah, bagi mereka Hari Raya Adhha lebih dimeriahkan dan mendapat perhatian dari Idulfitri.

Ketetapan awal Syawwal bagi negara kita adalah berpandukan penglihatan anak bulan. Jika ia berhasil dilihat maka awal Syawal jatuh pada hari tersebut dan kita diharamkan berpuasa pada siang hari esok. Sebaliknya jika anak bulan Syawal tidak kelihatan maka kita wajib meneruskan puasa pada esok hari. Ketentuan ini perlu difahami oleh kaum muslimin khasnya di negara kita. Ada segelintir masyarakat kita jika tidak kelihatan anak bulan Syawal maka mereka tidak akan berpuasa pada esoknya. Di antara alasan mereka ialah berpandukan negara lain yang sudah jatuh bulan Syawwal. Perkara ini sebenarnya tidak tepat menurut hukum syara’oleh itu ikutilah keputusan pihak yang berwajib di negara kita mengenai hal ini.

Idulfitri sebagai hari yang berkat dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum muslimin dan juga merupakan satu syiar maka ada cara dan adabnya yang tersendiri yang perlu diikuti sepertimana yang telah digarispandukan oleh syara’.

Di negara kita khususnya sebaik saja diumumkan bahawa hari raya telah jatuh pada malam tersebut sejurus itulah kedengaran bunyi-bunyi mercun yang dipasang bagi meyemarakkan musim perayaan ini. Pada kebiasaannya perkara ini dilakukan oleh golongan muda dan kanak-kanak. Di samping itu juga lagu-lagu hiburan yang bermacam-macam terus berkumandang diikuti dengan pesta-pesta sehingga beberapa hari untuk memeriahkan lagi suasana sambutan hari raya.

Perkara ini adalah satu perkara yang bertentangan dengan kehendak syara’ dan bercanggah dengan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang perlu diperbetulkan. Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan melakukan perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau agama lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan mereka. Walhal umat Islam sangat dilarang dari meniru dan mengikut-ikut itu.

Padahal di dalam Islam itu sudah ada diperjelaskan di dalam kitab-kitab fiqah bagaimana cara menyambut hari raya seumpama ini.

Apabila sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawwal telah sabit dilihat umat Islam disunatkan untuk melaungkan takbir. Hukum sunat ini berlarutan sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan sembahyang hari raya. Walau bagaimanapun menurut pendapat yang ashah bahawasanya takbir Idulfitri itu tidak disunatkan sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang.(Kitab Hasyiyatan, 1:357) Ini berbeza dengan takbir bagi Hari Raya Adhha di mana ia disunatkan setiap kali selepas menunaikan sembahyang dan berterusan sehingga selepas menunaikan sembahyang Ashar pada hari Tasyriq yang terakhir.

Takbir pada hari ini disyariatkan bukan sahaja semata-mata untuk memeriahkan suasana hari raya bahkan lebih dari itu ialah merupakan lambang kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan anugerah yang dikurniakanNya dan ianya juga adalah merupakan perkara ibadah.

Mereka yang menghidupkan malam ini akan diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana malam Idulfitri adalah di antara malam-malam yang sunat dihidupkan dan di takmirkan selain dari malam-malam Idul Adhha, awal Rejab dan Jumu‘ah kerana di dalamnya adalah saat dan ketika dikabulkan doa.

Al-Syaikh Qulyubiy di dalam kitab Hasyiyatan telah menyebutkan bahawa

sunat hukumnya menghidupkan malam Idulfitri ini dan malam Idul Adhha dengan berzikir, mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat Tasbih. Adalah memadai menghidupkan malam ini pada sebahagian besarnya dan sekurang-kurangnya ialah dengan menunaikan sembahyang Isya’ berjemaah serta berazam untuk menunaikan sembahyang Subuh.
(Kitab Hasyiyata Qalyubiy wa Umairah1:359)

Pada pagi Idulfitri pula disunatkan mandi iaitu berniat kerana kedatangan Idulfitri bukannya sahaja membersihkan diri tanpa disertai niat. Perkara sunat mandi ini bersumberkan hadis yang ditakhrijkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adhha.

Di samping itu adalah sunat memakai bau-baun yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku dan menanggalkan bau yang tidak sedap. Sunat juga memakai pakaian yang paling elok dari pakaian-pakaian yang dia ada dan yang paling afdhal ialah warna putih serta memakai serban. Perkara-perkara sunat ini hanya khusus bagi kaum lelaki. Manakala itu perempuan-perempuan cantik dan yang berkedudukan adalah makruh hukummnya bagi mereka datang ke masjid. Berbeza dengan perempuan tua mereka adalah disunatkan bersama-sama pergi ke masjid tanpa memakai haruman dan sebagainya. (Kitab Al-Raudhah 2:7)

Inilah pendapat mazhab Syafi‘ie tentang perempuan pergi ke masjid. Walaupun di sana ada hadis menganjurkan perempuan untuk sama-sama hadir ke masjid di hari raya ini, tetapi dalam mazhab Syafi‘ie anjuran itu adalah untuk perempuan-perempuan yang sudah tua.

Idulfitri yang juga sebagai menandakan tamatnya tempoh berpuasa, maka disunatkan sebelum pergi ke mesjid untuk menunaikan sembahyang hari raya memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Anas katanya yang maksudnya :

"Adapun Rasulullahu Shallallhu ‘alaihi wasallam tidak keluar (untuk bersembahyang sunat hari raya) pada hari raya Fitrah sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma."

Menurut riwayat daripada Anas lagi bahawa Baginda memakannya dengan bilangan yang ganjil.

Di dalam kitab Nailul Awthar An-Nakh‘ie ada menyatakan bahawa

diantara hikmah disunatkan memakan kurma (tamar) itu ialah dengan manis buah tamar itu dapat menguatkan penglihatan yang mana telah berkurangan disebabkan puasa dan juga di antaranya boleh melembutkan hati dan ia adalah yang paling mudah dari yang selainnya. Oleh itu sebahagian dari At-Tabi‘ien menganggap sunat berbuka dengan benda-benda yang manis seperti madu.

Sementara itu di antara hikmah memakannya dengan bilangan yang ganjil telah berkata Al-Mahlab bahawa

perkara itu ialah isyarat kepada keesaan Allah Ta‘ala dan juga adapun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya di dalam semua urusan Baginda sebagai jalan bertabarruk dengan demikian itu.
(Fathul Bariy,3:122)

Menunaikan sembahyang sunat Hari Raya pula adalah perkara yang paling penting dan utama bagi menyambut Hari Raya ini dari perkara-perkara sunat yang lain di dalam merayakan hari raya ini sebagaimana yang di jelaskan oleh pengarang kitab Fathul Bariy. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah bersembahyang"

(Hadis riwayat Al-Bukhariy)

Oleh yang demkian itu perlulah dipastikan semua orang Islam menunaikan sembahyang Idulfitri ini. Bagi mereka yang tidak berkesempatan menunaikannya di masjid atas urusan-urusan tertentu mereka juga boleh menunaikannya secara bersendirian di rumah atau lainnya menurut pendapat al-mazhab di dalam kitab-kitab Syafi‘ieyah.

Rabu, 9 September 2009

Perbicaraan Berkenaan Hadis اختلاف أمتى رحمة

Penulis : Ustaz Nazrul Nasir

Kita sering mendengar perbicaraan berkaitan dengan hadis yang saya ingin bincangkan pada hari ini. Sebahagian golongan menolak mentah-mentah hadis ini hanya semata-mata mendengar cakap-cakap yang tidak berasaskan dalil. Golongan wahabi yang mengaku bahawa mereka adalah golongan yang begitu mengambil berat tentang hadis juga sebenarnya hanya bercakap sahaja. Bak kata pepatah “ Cakap Tak Serupa Bikin”. Saya bukan bertujuan untuk menghujum golongan sebegini. Tetapi seperti kata para ulama yang mashyur yang saya nukilkan daripada kitab بلوغ السول فى مدخل علم الأصول ialah الحق أحق أن يتبع maksudnya ialah kebenaran itu adalah lebih berhak kita ikuti.Kalam ini juga sering saya dengar daripada mulut guru saya, Syeikh Al-Allamah Yusri Al-Hasani Al-Syafie Hafizahullah.

Perbahasan tentang hadis ini saya nukilkan daripada kitab الفروع الخلافية yang dikarang oleh Al-Muhaddis Al-Allamah Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah, salah seorang ulama besar Al-Azhar. Saya tidaklah mahu menterjemahkannya satu persatu. Tetapi apa yang saya muatkan di sini adalah isi penting yang dibahaskan oleh Al-Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah.

Disebutkan di dalam kitab المقاصد الحسنة oleh Al-Imam Al-Sakhawi Radhiyallahuanhu: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Baihaqi di dalam kitab المدخل dengan sanad yang منقطع yang diriwayatkan oleh Saidina Ibn Abbas Radiyallahu 'Anhuma dengan lafaz:

إن أصحابى بمنزلة النجوم فى السماء فأيها أخذتم به اهتديتم و اختلاف أصحابى لكم رحمة

Maksudnya: Sesungguhnya kedudukan para sahabat aku adalah seumpama bintang-bintang di langit(yang menunjukkan arah kepada yang tersesat). Mana-mana sahabatku yang kamu ikuti maka kamu akan mendapat hidayah (petunjuk). Perbezaan pandangan di kalangan sahabatku adalah rahmat kepada kamu semua.


Hadis ini diriwayatkan oleh ramai para ulama terkemuka hadis. Antaranya ialah Al-Imam Thabrani dan Al-Dailami dengan lafaz yang sama(terdapat rawi yang Dhoif pada sanadnya). Begitu juga Al-Imam Al-Zarkasyi dan Ibn Hajar di dalam اللآئى menyandarkan hadis tersebut kepada Nasr Al-Maqdisi di dalam الحجة dengan secara مرفوع (menyandarkan kepada baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam) tanpa memberikan sebarang komen terhadap sanadnya. Ramai lagi para ulama yang membicarakan hadis ini di dalam kitab-kitab mereka. Antaranya ialah Ibn Hajib di dalam kitabnya المختصر, Al-Hulaimi, Al-Qadhi Hussain, Imam Al-Haramain dan lain-lain para ulama yang muktabar radiyallahu anhum.
Di dalam Musnad al-Firdaus, hadis diriwayatkan oleh Ibn Abbas Radhiyallahu anhuma dengan secara مرفوع :
اختلاف أصحابى لكم رحمة

Maksudnya: Perbezaan para sahabatku merupakan rahmat bagi kamu semua.


Al-Imam Abu Nuaim meriwayatkan dengan lafaz hadis :

كان اختلاف أصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم رحمة للناس

Maksudnya : Sesungguhnya perbezaan pandangan para sahabat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan rahmat bagi sekalian manusia.


Al-Imam Ibn Saad juga meriwayatkan dengan lafaz yang sama di dalam kitab Tabaqatnya yang mashyur daripada Al-Qasim Ibn Muhammad Radhiyallahu 'Anhu.

Kata Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah :
“Dengan sumber-sumber yang kita sebutkan tadi maka dapat kita ketahui bahawa sekurang-kurangnya hadis ini ada juga sumbernya. Bukan tiada langsung seperti mana yang dikatakan oleh sebahagian orang yang tidak jelas dalam perkara ini. Sumbernya jelas sepertimana yang kita sebutkan sebelum ini yang kita nukilkan daripada para ulama yang pakar di dalam bidang hadis ini. Memang jelas secara realitinya bahawa khilaf di kalangan para ulama adalah merupakan benar-benar rahmat kepada ummat.”


TOHMAHAN TERHADAP HADIS INI

Al-Imam Al-Khattabi radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam kitabnya غريب الحديث bahawa yang hanya menolak dan melemparkan tohmahan terhadap hadis ini hanyalah dua orang sahaja. Salah seorangnya ialah seseorang yang tidak tahu malu iaitu Ishak Al-Mausili dan seorang lagi ialah orang yang sesat iaitu Amru bin Bahru!!! Mereka berdua mengatakan:
Jika kita katakan bahawa ikhtilaf itu adalah rahmat maka sudah tentu jika bersatu pendapat maka akan menjadi azab.


Inilah perkataan yang sering disebutkan oleh golongan-golongan متمسلفة (yang kononnya mengikut salaf) pada zaman sekarang.

Al-Imam Nawawi Radhiyallahu 'Anhu menyebutkan di dalam syarah Sahih Muslim:
Tidak semestinya jika kita katakan bahawa sesuatu itu adalah rahmat maka lawannya tentu azab.Katanya lagi: Tidak semestinya akan berlaku sedemikian. Tidaklah seseorang yang mengatakan sedemikian melainkan orang yang jahil dan berpura-pura tidak tahu.


Kata syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah selepas membincangkan perkara ini:
“Berdasarkan hukum secara mantiq maka maaf jika kata katakan bahawa golongan yang masih mencerca hadis ini selepas mengetahui hukum yang kita letakkan maka mereka sebenarnya telah membuat sesuatu tanpa berfikir panjang terlebih dahulu dengan memasukkan mereka di dalam golongan yang tidak tahu malu dan sesat seperti disebutkan oleh Imam Al-Khattabi, dan jahil serta pura-pura tidak tahu sepertimana yang disebutkan oleh Al-Imam Nawawi Radhiyallahu 'Anhuma. Kedua-duanya menyakitkan. Maka kami tidak mahu mengatakan kepada saudara kami sesama Islam sedemikian rupa!!”


Jadi telah jelas kita sebutkan secara jelas tanpa sebarang syak wasangka lagi. Maka kebenaran di depan mata kalian. Timbang-timbanglah dengan pemikiran yang waras tanpa menghujum tanpa dalil seperti yang kalian inginkan.

Sekali lagi saya ulangi perkataan para ulama الحق أحق أن يتبع. Semoga sidang pembaca dapat menilainya dengan baik dan saksama. Wassalam.

Mohd Nazrul Abd Nasir ,
BIlik 102 , Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah, Mesir.


Sumber : Http://NazrulNasir.Blogspot.Com

Selasa, 8 September 2009

Hukum Mengaminkan Doa Khatib Dan Mengangkat Tangan Ketika Berdoa

Penulis : Ustaz Mohammad Elias Pondok Pasir Tumboh

Mengamin kan do’a adalah disunatkan apabila seseorang itu mendengar imam, khatib, atau siapa sahaja sedang berdoa dengan lafaz jamak yakni mereka itu memasukkan orang lain dalam do’a mereka itu.

Adapun hadis yang menyuruh diam semasa khatib membaca khutbah iaitu diam dari percakapan yang dibangsakan manusia, iaitu percakapan yang tidak ada kena mengena dengan ibadat.

Disunatkan mengangkat tangan semasa berdo’a dan mengaminkan do’a.

Adapun hadis لا يرفع يديه في شئ من دعائه إلا في الاستسقاء zahir hadis ini menapi mengangkat tangan selain pada meminta hujan sedangkan banyak hadis-hadis yang berlawanan dengan hadis ini yang mana rasulullah mengangkat tangan semasa berdo’a pada do’a lain daripada do’a meminta hujan.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar didalam kitabnya “الفتح” bahawa tidak mengangkat tangan pada hadis لا يرفع يديه bukan nafi pada asal mengangkat tangan tetapi menafi pada sifat yang khusus yakni melebihi mengangkat tangan dari kadar biasa. Kebiasannya rasulullah mengangkat tangan paras bahu tetapi pada do’a meminta hujan baginda mengangkat tangan membetuli muka dengan dalil didalam hadis itu ada menyebut sehingga kelihatan putih ketiak baginda.

Adapun hadis:

عمارة بن رويبة: “أنه رأى بشر بن مروان يرفع يديه، فأنكر ذلك، وقال: “قبح الله هاتين اليدين، لقد رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم ما يزيد على أن يقول بيده هكذا”، وأشار بإصبعه المسبحة.

“dari ‘Umaarah ibn Ru’aibah melihat Bishr ibn Marwaan ketika diatas mimbar mengangkat tangan dan mengingkari pekara yang dilakukan oleh Bishr ibn Marwaan dan berkata :’Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah saw tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya.”

menunjukkan larangan ini tertentu pada khatib maka pendengar khutbah tidak termasuk dalam larangan ini, kerana umum dalil mensunatkan mengangkat tangan pada berdo’a maka hendak melarang pendengar dari mengangkat tangan memerlukan dalil yang menyatakan larangan itu.

والله اعلم

Sumber : AlMalakawi

Isnin, 7 September 2009

al-Habib Umar al-Hafiz

Latar Belakang al-Alamah al-Habib Umar al-Hafiz

Al-Alamah al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Abi Bakr bin Idrus bin Umar bin Idrus bin Umar bin Abi Bakr bin Idrus bin al-Husin bin al-Shaikh Abi bakr bin Salim bin Abdullah bin Abd. al-Rahman bin Abdullah bin al-Shikh Abd. al-Rahman al-Saqaf bin Muhammad Maulay al-Duwailah bin Ali bin Alawi bin Muhammad sahib al-saumiah ibn Alawi bin Abdullah bin al-Imam al-Muhajir ila Allah Ahmad bin Isa bin Muhammad al-Naqib bin Ali al-Aridhy bin Jafar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zain al-Abiddin bin al-Husin al-Sibthi bin Ali bin Abi Thalib dan anak Fatimah al-Zahra’ binti Saidina Muhammad Khatam al-Nabiyin selawat, salam dan keberkatan ke atasnya dan ke atas mereka seluruhnya

Dilahirkan di Bandar Tarim, Hadramaut Negara Republik Yaman sebelum fajar hari Isnin 4 Muharam 1383H bersamaan 27 Mei 1963M. Mendapat pendidikan awal daripada bapanya yang ketika itu menjawat jawatan mufti di Tarim. Seterusnya menerima ilmu daripada ulamak-ulamak Hadramaut yang ada pada masa itu, antara guru beliau yang utama ialah al-Habib Salim bin Abdullah al-Shathry. Bermula tahun 1402H bersamaan 1982M al-Alamah al-Habib Umar berulang-alik ke al-Haramain al-Sharifain untuk menimba ilmu dan tarbiyah daripada al-Imam al-Arif al-Daiyah al-Habib Abd al-Qadir bin Ahmad al-Saqaf, al-Arif al-Daiyah al-Habib Ahmad bin Taha al-Hadad, al-Arif al-Alamah Abi Bakr al-Athas bin Abdullah al-Habasi dan beliau menerima ijazah al-Asanid daripada al-Musnid al-Shaikh Muhammad Yasin al-Fadany dan al-Alamah Muhadith al-Haramain al-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliky dan ulamak-ulamak lain.

Beliau mula mengajar dan melaksanakan tugasan dakwah Islam ketika berusia 15 tahun disamping meneruskan pengajian secara talaqi. Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau. Diperingkat awal penubuhan Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-

1. Menimba ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka

2. Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak

3. Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah.

Akhirnya Dar al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia Islam.

Al-Alamah al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak menbuat lawatan dakwah Islami dan menyampaikan ilmu syarak ke negara-negara Islam lain seperti Syria. Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Negara kita Malaysia saban tahun

Sumber : Pondok Pasir Tumboh