CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 13 Februari 2009

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 2

Latar Belakang Hadith Al-Jariyyah (Hamba Perempuan)

Berdasarkan suatu kajian yang meluas, hadith berkenaan dengan kisah Al-Jariyyah ini didapati diriwayatkan dalam banyak riwayat. Namun sebahagian mereka yang jahil meletakkannya secara "salah tempat". Akhirnya mulalah mendakwa bahawasanya Allah s.w.t. wujud secara "bertempat". Sudahlah mereka tersesat, namun masih terus mengajak manusia selain mereka untuk sama-sama sesat.

Mereka menggunakan hadith ini untuk membela kesesatan fahaman tajsim mereka, dengan harapan dapat mempengaruhi semua manusia. Namun, golongan ahli ilmu yang mempunyai latar belakang pendidikan dan pembelajaran yang meluas dalam ilmu agama, mana mungkin terpengaruh dengan bid'ah tajsim yang cuba dijaja.

Adapun tentang hadith ini, jika kita menyingkap seluruh riwayat yang berkaitan dengan kisah ini, maka kita dapati bahawasanya, situasinya adalah berkenaan dengan seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam As-Sulami r.a., yang ketika peristiwa dalam riwayat tersebut, masih baru memeluk Islam, dan tidak mempunyai latar belakang mengenai ilmu Islam yang banyak.

Kita mulakan perbahasan ini dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim terdahulu kerana ianya menceritakan dari awal peristiwa tersebut. Kisah ini bermula ketika Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam As-Sulami r.a. sedang mengerjakan solat, tiba-tiba beliau terdengar seseorang bersin. Lalu Saidina Mu'awiyah tersebut mengucapkan:

يرحمك الله

Maksudnya: "Semoga Allah merahmatimu".

Lalu para sahabat r.a. yang lain di samping Saidina Mu'awiyah menoleh ke arah Saidina Mu'awiyah r.a. dengan pandangan seolah-olah mengingkari perbuatan tersebut (membaca doa kepada orang yang sedang bersin ketika dalam solat).

Lalu, Saidina Mu'awiyah menoleh ke arah mereka lalu berkata:

ما شأنكم تنظرون إلي

Maksudnya: "Apa sebab kamu semua memandang kepadaku?"

Lalu para sahabat r.a. meletakkan tangan mereka pada mulut mereka sebagai isyarat menyuruh Saidina Mu'awiyah berdiam. Lalu Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam pun tidak berkata-kata lagi.

Setelah selesai solat, Rasulullah s.a.w. tanpa marah walau sedikitpun, sebaliknya memberi nasihat secara berhikmah kepada Saidina Mu'awiyah dengan bersabda:

إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن

Maksudnya: Sesungguhnya solat ini tidak boleh padanya ada perkataan manusia (tidak boleh berkata-kata). Sesungguhnya yang disebut hanyalah tasbih, takbir dan bacaan Al-Qur'an.
(Peristiwa ini secara jelas diriwayatkan oleh Imam Muslim di bahagian awal hadith ini yang sering diabaikan oleh sebahagian golongan mujassimah).

Peristiwa ini yang paling penting dalam hadith Al-Jariyyah ini khususnya di sisi Imam Muslim ketika meriwayatkan hadith ini dalam kitab Sahih beliau. Ia merupakan suatu peristiwa di mana seorang sahabat tidak mengetahui bahawa tidak boleh berkata-kata ketika dalam solat. Inilah tujuan sebenar Imam Muslim meriwayatkan hadith ini dalam kitab sahihnya, namun sebahagian mujassimah yang mengikut hawa nafsu mereka, membuang peristiwa di atas lalu memfokuskan kepada kisah Al-Jariyyah (yang berlaku setelah peristiwa pertama ini), sedangkan maksud Imam Muslim adalah pada peristiwa pertama ini (iaitu: dalil tidak boleh berkata-kata di dalam solat).

Dalam riwayat Imam Muslim juga, setelah itu Saidina Mu'awiyah r.a. berkata:

أو كما قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم،

Maksudnya: "Atau apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.".


Ayat ini menunjukkan bahawasanya Saidina Mu'awiyah r.a. tidak mengingati lafaz-lafaz Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa tersebut secara jelas ketika meriwayatkannya. Oleh kerana itulah, beliau menambah ungkapan ini kerana tidak yakin ketepatan lafaz yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. walaupun tidak menjadi suatu kesalahan bagi seseorang meriwayatkan hadith Rasulullah s.a.w. dengan makna (lafaz daripada susunan perawi sendiri dalam menjelaskan makna sabda Nabi s.a.w. tersebut).

Sengaja alfaqir menumpukan nota penting ini kerana ianya sangat berperanan dalam menggambarkan "cara" periwayatan hadith ini melalui jalan Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a.. "Cara" periwayatan ini penting dalam menjelaskan kedudukan "lafaz-lafaz" hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada jalan Saidina Mu'awiyah ini. Ia lebih berbentuk "meriwayatkan dengan makna (al-riwayah bil ma'na)" atau ada unsur 'amal Al-Rawi (campur tangan perawi dalam lafaz hadith).

Kemudian, kita lanjutkan lagi hadith ini:-

Kemudian Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a. berkata kepada Rasulullah s.a.w.:

يا رسول الله إني حديث عهد بجاهلية

"Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya ini masih baru tempohnya dengan waktu jahiliyyah (maksudnya, masih baru memeluk Islam dan masih baru meninggalkan zaman Jahiliyyah. Oleh yang demikian, banyak perkara tentang Islam yang beliau perlu kepada lebih penjelasan)."

Dalam perkataan ini menggambarkan latar belakang kedudukan sahabat yang meriwayatkan hadith ini sebagaimana yang dikeluarkan oleh Imam Muslim tersebut, iaitu masih baru memeluk Islam dan tidak banyak tahu tentang Islam sehingga tidak tahu bahawasanya tidak boleh berkata-kata di dalam solat seperti yang dibincangkan sebelum ini. Ini nota yang sangat penting kerana latar belakang seseorang perawi mempengaruhi "cara" beliau menggunakan lafaz-lafaz dalam meriwayatkan hadith secara makna yang akan dibincangkan setelah ini.

Kembali kepada hadith:-

Saidina Mu'awiyah bertanya tentang beberapa hukum seperti bertemu bomoh, menilik nasib, membuat ramalan dengan perubahan persekitaran seperti meramal sesuatu baik atau buruk dengan arah burung terbang (tathoyyur) dan sebagainya.

Setelah itu, barulah Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam menceritakan tentang seorang jariyah (hamba perempuan) yang dimilikinya.Beliau berkata:

وكانت لي جارية ترعى غنما لي قبل أحد والجوانية؛ فاطلعت ذات يوم فإذا الذيب قد ذهب بشاة من غنمها وأنا رجل من بني آدم آسف كما يأسفون؛ لكني صككتها صكة فأتيت رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم فعظم ذلك على، قلت : يا رسول الله أفلا أعتقها

Maksudnya:

“Aku memiliki seorang hamba wanita yang mengembala kambing di sekitar pergunungan Uhud dan Juwaniyah. Pada suatu hari aku melihat seekor serigala menerkam dan membawa lari seekor kambing di bawah tugas pemeliharaannya (hamba perempuan tersebut). Dan aku adalah termasuk salah seorang anak Adam, oleh yang demikian aku juga ada perasaan tidak berpuas hati sebagaimana mereka (manusia lain juga yang ada rasa tidak puas hati). Namun (apabila kambingnya dimakan serigala) aku menampar hamba perempuan tersebut dengan tamparan (pukulan) yang kuat. Maka aku pergi lagi berjumpa Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menyalahkanku atas perbuatanku.

Saya lalu berkata:
“Wahai Rasulullah! Adakah aku harus memerdekakannya?”


Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Bawa dia kepadaku".

Setelah hamba perempuan itu datang lalu Rasulullah s.a.w. diriwayatkan bersabda (melalui riwayat Imam Muslim ini):

أين الله

Maksudnya: "AinaLlah? (Salah satu lafaz mutasyabihat) iaitu mana Allah?".


Hamba tersebut menjawab:

في السماء

Maksudnya: "Di langit".

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda:

من أنا

Maksudnya: "Siapakah aku?"


Hamba perempuan itu menjawab:

أنت رسول الله

Maksudnya: "Kamu Rasulullah"


Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:


أعتقها فأنها مؤمنة

Maksudnya: "Merdekakanlah dia. Sesungguhnya dia seorang yang beriman."


Hadith dengan "lafaz" ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya seperti berikut:

Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a. meriwayatkan kepada:

'Atho' bin Yasar yang meriwayatkan kepada:

Hilal bin Abi Maimunah yang meriwayatkan kepada:

Yahya bin Abi Kathir yang meriwayatkan kepada:

Hajjaj As-Showwaf yang meriwayatkan kepada:

Ismail bin Ibrahim yang meriwayatkan kepada:

Abu Ja'far Muammad dan Abu Bakr bin Abi Syaibah yang meriwayatkannya kepada:

Imam Muslim yang meriwayatkannya dalam Sahihnya.

Pengkajian Kedudukan Perawi: Adapun tentang Hilal bin Ali bin Usamah (iaitu Hilal bin Abi Maimunah), maka sebahagian para nuqqad (ahli pengkaji sanad hadith) menyatakan seperti berikut:-

Imam Abu Hatim berkata: "Dia seorang sheikh yang ditulis hadithnya". Ungkapan ini menunjukkan kepada darjat hasan atau sahih peringkat rendah menurut Imam Az-Zahabi dalam kitab Al-Muqizhoh.

Imam An-Nasa'ie berkata:


ليس به بأس

Maksudnya" tidak mempunyai sebarang masalah (tohmahan)"
(Siar A'laam An-Nubala 5/265). Ini juga merujuk kepada darjat sahih peringkat rendah menurut Imam Az-Zahabi dalam Al-Muqizhoh.

Imam Az-Zahabi berkata:

"Adapun perkataan seperti fulan laisa bihi ba's …maka ungkapan sebegini jayyidah (baik atau hasan) tidak membawa kepada dha'ifnya sheikh (perawi) bahkan sememangnya tidak setinggi darjat sahih yang sempurna yang disepakati kesahihannya. Tetapi, banyak daripada ungkapan yang kita sebutkan tadi (termasuklah fulan laisa bihi ba's) saling bercampur aduk penilaian mengenainya antara mereka yang menjadikannya sebagai hujah dengan mereka yang tidak menjadikannya sebagai hujah…"
(rujuk Al-Muqizhoh m/s 82)

Dalam erti kata lain, hadith yang diriwayatkan melalui jalan Hilal bin Ali (Abi Maimunah) ini berdarjat hasan atau darjat sahih yang rendah, demikian sebagaimana yang dikatakan juga oleh Imam Al-Hafiz Ya'qub bin Sufian dan Al-Hafiz Ibn 'Abd Al-Bar. Imam Ibn Hajar juga meletakkannya dengan darjat thiqah (darjat ketiga daripada dua belas peringkat perawi yang disusun oleh Imam Ibn Hajar dalam Taqrib At-Tahzib).

Dalam masa yang sama, salah seorang perawi dalam hadith ini yang turut diperkatakan oleh sebahagian para ulama' hadith adalah Yahya bin Abi Kathir. Menurut Imam Al-Kauthari dalam ta'liqat Al-Asma' wa As-Sifat m/s 532, sebahagian ulama' hadith menetapkan bahawa Yahya bin Abi Kathir tersebut sebagai mudallis (pelaku kesamaran).

Al-Hafiz Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dalam Taqrib Az-Tahzib berkata tentang Yayha bin Abi Kathir:

ثقة ثبت لكنه يدلس ويرسل

Maksudnya: "Dia ialah seorang yang dipercayai dan teliti namun ada melakukan tadlis (melakukan kesamaran dalam riwayat) dan irsal (terputus sanad dari satu tobaqot)…".

Namun, beliau masih lagi thiqah walaupun tidak mencapai darjat sahih yang tinggi dengan sebab tadlis. Oleh sebab itu, riwayat beliau diterima oleh kebanyakkan perawi hadith termasuklah Imam Al-Bukhari.


Ini jalan pertama atau riwayat pertama berkenaan hadith Al-Jariyah ini, yang sering digunapakai oleh sebahagian golongan mujassimah tanpa membuat analisa yang lebih mendalam. Secara jelas hadith ini tidak mencapai suatu darjat kesahihan yang tinggi bahkan dari suatu sudut walaupun tidak jatuh kepada dho'if tetapi sekadar hasan atau sahih yang rendah kedudukannya. Lebih besar lagi penilaian terhadap hadith ini adalah, apabila dibandingkan dengan jalan-jalan periwayatan yang lain dalam konteks yang sama yang lebih kuat berbanding riwayat Imam Muslim ini yang akan dibincangkan kemudian.

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 1

الأنوار الكاشفة

في بيان ما أشكل من حديث الجارية



Cahaya-cahaya Yang Cerah

Pada Menjelaskan Kesamaran dalam Hadith Al-Jariyyah

Pendahuluan

Bismillah… Alhamdulillah… Segala puji hanyalah bagi Allah, Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Sempurna sifat-sifatNya. Maha Suci Allah, Tuhan yang tiada sesuatupun menyerupaiNya dan tiadalah Dia menyerupai sesuatupun daripada makhlukNya. Maha Suci Allah daripada sebarang kekurangan yang disifatkan oleh mereka yang sesat daripada jalan kebenaran.

Selawat dan salam buat junjungan besar lagi agung, penghulu kita, pemimpin kita, pemberi syafaat kepada kita dengan izin Tuhan yang Maha Berkuasa, Saidina wa Maulana wa Habibina wa Qurrati ‘Uyunina, Saiyyidi Al-Khalq wa Khairi Al-Bariyyah, Saidina Rasulillah s.a.w. serta para ahli keluarga Baginda yang mulia, dan para sahabat Baginda yang diredhai oleh Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Amma Ba’d…

Sebahagian para penuntut ilmu sering bertanya kepada alfaqir yang penuh kehinaan dan kekurangan ini, tentang kemusykilan dalam berinteraksi dengan hadith Al-Jariyyah yang akan dibahaskan pada risalah ini. Oleh yang demikian, dengan bantuan Allah, alfaqir cuba mengkaji perbahasan tentang hadith Al-Jariyyah ini, dengan merujuk kepada perbahasan-perbahasan ulama’ muktabar dari kalangan ahlus-sunnah wal jamaah, samada salaf mahupun khalaf dalam rangka untuk menjelaskan kesamaran bagi mereka yang berada dalam kesamaran, dan bagi memberi penjelasan kepada mereka yang dalam keraguan, dengan bantuan, petunjuk, sokongan dan pemeliharaan Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pemberi Hidayah dan Bantuan. Dialah yang Maha Pemberi Hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan tiada yang dapat memberi hidayah selainNya, kepada orang yang tidak diberi hidayah olehNya. Semoga Allah terus memberi taufiq dan hidayah kepada alfaqir dan seluruh umat Islam, khususnya bagi mereka yang kesamaran dalam mengikut fitnah golongan-golongan yang sesat lagi syaz.

Semoga Allah s.w.t. menerima amalan alfaqir yang penuh kekurangan ini, dalam rangka untuk bernaung di bawah rahmatNya yang abadi, agar Allah s.w.t. terus memelihara diri yang hina ini dan seluruh umat Islam yang diberkati, dalam kebenaran yang dibawa oleh Saidina Muhammad pembawa rahmat buat sekalian alam ini.

Amiin…

Fasal Pertama: Hadtih Al-Jariyyah: Suatu Penelitian dan Perbandingan

Bila semua manusia, siapa sahaja cuba berbicara tentang agama, tanpa mengira latar belakang pendidikan mereka, lalu bersikap cuba menonjol dengan mempopularkan fahaman-fahaman yang terpinggir lagi merosakkan agama, maka ianya boleh membawa kepada fitnah yang besar terhadap para penganut agama Islam seluruhnya.

Bertolak daripada kesedaran itulah, maka penulis yang penuh kejahilan ini, berbekalkan secebis keupayaan yang diberi melalui bantuan Allah s.w.t. yang Maha Mengasihi, serta dengan keberkatan didikan para guru yang dikasihi, cuba menghimpunkan perbahasan-perbahasan sebahagian para ulama' Islam yang muktabar lagi dipercayai, dalam menjelaskan permasalahan yang sering menjadi fitnah yang dikembangkan oleh pelopor fahaman tajsim dan para pengikutnya yang sekadar bertaqlid membuta-tuli, iaitulah masalah hadith Al-Jariyyah.

Sebahagian golongan bid'ah menggunakan hadith ini untuk membela fahaman tajsim mereka, lalu menuduh mereka yang tidak sehaluan dengan "kesesatan fahaman tajsim" mereka (iaitulah golongan ahlus-sunnah) sebagai "sesat" belaka, bahkan mendakwa majoriti ulama' Islam dan umatnya yang berpegang dengan aqidah sejahtera (iaitu aqidah Allah s.w.t. wujud tanpa tempat dan rupa), sebagai pengikut hawa nafsu yang tercela.

Padahal, demi sesungguhnya, pada hakikatnya, mereka yang menetapkan "tempat" bagi Allah s.w.t.-lah yang terus terleka dengan nafsu mereka, dengan sibuk mengikut mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dalam masyarakat Islam secara amnya. Merekalah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. sebagai pengikut mutasyabihat (yattabi'un ma tasyabaha) dengan tujuan menyebarkan fitnah dalam agama (ibtigha al-fitnah), samada mereka sedarinya atau tanpa menyedarinya.

Kejahilan…Hanya kerana Kejahilan

Andainya mereka kembali kepada jalan petunjuk yang nyata, melalui proses berguru dengan para ulama' yang mewakili majoriti ulama' Islam yang amanah lagi beraqidah sejahtera, lalu bersikap sebagai penuntut ilmu yang terbuka, tanpa ta'asub dan tanpa tergesa-gesa, nescaya mereka tidak akan tersesat dan terpedaya dengan mereka yang telah terlebih dahulu tersesat sebelum mereka.

Mereka menutur kata-kata yang zahirnya seolah-olah menyokong apa yang mereka dakwa, padahal jika dinilai dengan neraca ilmiah yang sempurna, akan terzahir hakikatnya adalah sebaliknya. Hanya kerana kejahilan yang nyata, akhirnya menyebabkan mereka terus terkeliru dengan mutasyabihat dan tidak tahu bagaimana untuk berinteraksi dengannya.

Mereka berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat dengan "cara" berinteraksi dengan muhkamat (ayat yang mengandungi makna yang jelas dan tepat), lalu mendustai orang-orang awam yang tidak pernah kenal beza antara mutasyabihat dengan muhkamat.

Akhirnya, mereka hanya menang sorak, di sebalik membuat rosak, namun masih tetap rasa bongkak. Ini suatu gejala negatif yang mana jika ulama'-ulama' muktabar terdahulu masih ada di zaman ini, pasti merekalah yang berada di barisan hadapan untuk menghadapi golongan yang membawa kesesatan ini. Inilah amanah ilmu Allah s.w.t., untuk menjelaskan yang mana betul dan yang mana salah, bukan sekadar menghiasi penulisan dengan hujah-hujah, namun berteraskan kefahaman yang salah.

Bukan Semua Hadith yang Sahih Sanadnya Ditetapkan Makna Zahirnya

Suatu yang tidak jelas di sisi orang-orang awam dan sebahagian penuntut ilmu yang berguru dengan buku semata-mata, bahawasanya dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah mengandungi nas-nas mutasyabihat yang mana zahirnya bukanlah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t.. Ia hadir dalam bentuk kiasan atau secara hakikat yang hanya diketahui maknanya oleh Allah s.w.t..

Kalaulah semua orang yang menggunakan zahir hadith sahih dianggap sebagai mengikut kebenaran, sudah tentu golongan yang mendakwa diri bergabung dengan tuhan (hulul atau ittihad) juga dianggap sebagai mengikut kebenaran kerana mereka mendakwa berhujah dengan makna zahir yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang berbunyi:

وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا

Maksudnya: Firman Allah s.w.t. dalam hadith qudsi: "…sekiranya hamba tersebut sentiasa mendekatkan dirinya kepadaKu dengan amalan-amalan sunat (setelah amalan wajib dilaksanakan) maka (sehinggalah setelah itu) Aku akan mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang dia mendengar dengannya, Aku adalah penglihatan yang dia melihat dengannya, Aku adalah tangan yang dia menggunakannya dan Aku adalah kaki yang dia gunakan untuk berjalan dengannya…" (Hadith riwayat Al-Bukhari no. 6021)
Adapun jika seseorang berpegang dengan hadith ini secara zahir, nescaya dia akan mengikut fahaman sesat golongan hulul dan ittihad yang mendakwa Allah bersatu dalam dirinya. Ini suatu kesesatan yang nyata, biarpun mendakwa menggunakan hadith yang sahih juga. Ia bukan masalah hadith itu sahih semata-mata, tetapi adakah makna hadith tersebut suatu yang jelas atau kesamaran.

Imam Ibn Hajar dalam Fath Al-Bari ketika mensyarahkan hadith tersebut mendatangkan empat makna yang mana kesemuanya adalah kiasan bagi perkataan-perkataan tersebut kerana "makna zahir" daripada nas tersebut tidak layak bagi Allah s.w.t..

Imam Ibn Hajar berkata pada mula ulasannya tentang lafaz hadith tersebut:

وَقَدْ اُسْتُشْكِلَ كَيْفَ يَكُونُ الْبَارِي جَلَّ وَعَلَا سَمْعَ الْعَبْدِ وَبَصَرَهُ إِلَخْ ؟

Maksudnya: "Maka telah berlaku kemusykilan bahawasanya, bagaimana Allah menjadi pendengaran dan penglihatan hambaNya?..."
Kemudian Imam Ibn Hajar r.a. sendiri menjelaskan bahawasanya zahir lafaz tersebut membawa kemusykilan dan membawa maksud Allah s.w.t. menjadi pendengaran dan penglihatan hambaNya yang mustahil bagi Allah s.w.t..

Oleh yang demikian, setelah itu beliau mengulas bahawasanya lafaz tersebut bukanlah dengan maknanya dari sudut bahasa, atau dari sudut zahir, tetapi dengan makna kiasan atau perumpamaan yang menunjukkan pemeliharaan Allah s.w.t. ke atas anggota hambaNya dan sebagainya. Boleh rujuk Fath Al-Bari dalam syarah tentang hadith tersebut.

Beliau juga merujuk perkataan Imam At-Thufi yang berkata:

اِتَّفَقَ الْعُلَمَاء مِمَّنْ يُعْتَدّ بِقَوْلِهِ أَنَّ هَذَا مَجَاز وَكِنَايَة عَنْ نُصْرَة الْعَبْد وَتَأْيِيده وَإِعَانَته

Maksudnya: "Telah sepakat ulama' bahawasanya perkataan tersebut adalah majazi dan kiasan dengan maksud bantuan Allah ke atas hamba tersebut dan sokongan serta pertolonganNya ke atasnya." (fath Al-Bari)

Ini jelas menunjukkan ada sebahagian nas-nas hadith walaupun sahih, tetapi hadir dalam bentuk mutasyabihat yang mana zahirnya bukanlah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t.. Hanya kerana kejahilan dan ta'assub sahaja, seseorang itu tidak dapat memahami hakikat ini, lalu berusaha keras menetapkan tempat bagi Allah s.w.t. dengan hadith Al-Jariyyah yang juga sama kedudukannya dengan hadith Al-Bukhari ini (iaitu dari kalangan nas-nas mutasyabihat).

Oleh yang demikian, suatu pendirian yang sangat jelas apabila berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat adalah tidak memahaminya dengan makna zahirnya.

Hal ini dijelaskan sendiri oleh Imam Hasan Al-Banna sebagaimana yang dinukikan lalu dipersetujui oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya fusulun fi Al-Aqidah. Imam Hasan Al-Banna ada menyebut:

“Sesungguhnya, menetapkan makna zahir (bagi nas-nas mutasyabihat) adalah suatu Tajsim (menjisimkan Allah) dan Tasybih (menyamakan Allah dengan makhluk) kerana zahir lafaz tersebut adalah apa yang telah diletakkan makna baginya (berdasarkan ilmu bahasa Arab itu sendiri).


"Maka tiada makna ‘yad’ (tangan) secara hakikat (secara zahir atau secara makna lughowinya) kecuali anggota badan dan begitu juga selainnya (seperti Allah fi As-Sama' dll).


"Manakala mazhab As-Salaf ttidak berpegang secara zahir pada ayat dan hadith tersebut tetapi tidak langsung menyentuh dan berbahas mengenainya sama sekali”

Beliau berkata lagi:
"Salaf dan khalaf bersepakat bahawasanya apa yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. melalui nas-nas mutasyabihat bukanlah dengan makna zahirnya…"


Ditulis dalam Majmuk Rasa'il Imam As-Syahid Hasan Al-Banna pada kitab Al-Aqoid m/s 408-418 yang dinukilkan dalam fusulun fi Al-Aqidah oleh Dr. Al-Qaradhawi m/s: 34.

Oleh yang demikian, Imam Ibn Al-Jauzi terlalu kuat mengkritik sebahagian pengaku sebagai pengikut Imam Ahmad bin Hanbal namun berfahaman musyabbihah dan mujassimah yang menisbahkan fahaman tersebut kepada Imam Ahmad r.a..

Beliau berkata dengan lantang:

"Janganlah kamu melakukan bid’ah terhadap mazhab ini (Hambali) yang sememangnya bukan daripada mazhab ini sendiri iaitu kamu membicarakan hadith (yang mutasyabihat) lalu menetapkannya hadith berkenaan secara zahirnya… Jika sesiapa yang mendakwa : "Allah bersemayam dengan DzatNya maka sesungguhnya dia telah menjadikan Allah sesuatu yang terbatas dengan kebendaan (hissiyyat). Bahkan, kita tidak boleh mengabaikan suatu neraca yang ditetapkan secara asal oleh syariat iaitulah "akal" itu sendiri. Dengan "akal" jugalah kita mengenal Allah s.w.t. dan mengenal sifat qadimNya. Kalau kamu sekadar membacakan hadith (menyebut lafaz) kemudian berdiam diri daripada membicarakannya (tidak memperincikan lafaz mutasyabihat) tersebut nescaya tiada orang yang mengingkari kamu. Masalahnya adalah, kamu menetapkannya (lafaz mutasyabihat tersebut) dengan makna zahirnya yang buruk (tidak layak bagi Allah). Janganlah kamu memasukkan (menisbahkan) kepada mazhab lelaki yang soleh lagi salaf (Imam Ahmad) ini apa yang bukan daripada mazhab itu sendiri. Kamu telah menutup mazhab ini (Imam Ahmad) dengan kain sesuatu yang buruk sehingga menyebabkan orang lain menyangka pengikut mazhab Hanbali sebagai Mujassim.

"(Keburukan) Kedua (Golongan Mujassimah yang berselindung di sebalik mazhab Hanabilah:
Kamu katakan hadith-hadith tersebut sebagai mutasyabihat yang tiada orang mengetahuinya kecuali Allah. Kemudian kamu kata: "kita tetapkan maknanya dengan makna zahirnya". Sangat menghairankan (kefahaman kamu wahai mujassimah), di mana seolah-olah kamu mengatakan tiada yang mengetahui "makna" mutasyabihat melainkan Allah s.w.t. adalah makna zahir itu sendiri (maksudnya: kalau memang makna mutasyabihat adalah makna zahirnya, maka apa sebenarnya yang hanya diketahui oleh Allah)? Bukankah makna zahir bagi istiwa' itu bermaksud duduk (yang membawa kepada tajsim)?". (Daf' Syubah At-Tasybih rujuk muqoddimahnya, oleh Imam Ibn Al-Jauzi r.a.).
Allahumma faqqihna fiddin wa 'allimna at-ta'wil…

Selasa, 10 Februari 2009

Tidak Masuk Syurga Memutuskan Silaturrahim (Akhir)

TIDAK MASUK SYURGA MEMUTUSKAN SILATURRAHIM
(Bilangan 269 Bahagian Akhir)

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Hukum memutuskan silaturrahim

Memutuskan silaturrahim pula hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala, Sebagaimana firmanNya:

Maksudnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan-jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: Ayat 22-23)

Apatah lagi orang yang memutuskan silaturrahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

َMaksudnya:
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadits riwayat Muslim)

Bagaimana menghubungkan silaturrahim?

Menurut Ibnu Abu Jamrah bahawa hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan memberi harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak kemudharatan,
bersemuka, mendoakan, mengeratkan dengan apa yang termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu daripada keburukan.

Sementara bagi mereka yang jauh bolehlah juga berhubung dan berkirim salam dengan berutus surat, akan tetapi jika mampu adalah afdhal untuk menziarahi mereka. Begitu juga dengan mendermakan harta kepada kaum kerabat. Bersedekah kepada kaum kerabat adalah lebih afdhal dari orang lain, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

الصَدََقةُ عََلى اْلمِسْكِيْ ِ ن: صَدََقٌة، وَعََلى ذِي الرَحْ ِ م اِْثنَتَانِ: صَدََقٌة وَصِلٌَّة.
(سنن الدارمي)

Maksudnya: “Memberi sedekah kepada orang miskin dikira: satu sedekah, dan memberi sedekah kepada mahram dikira dua iaitu: sedekah dan mengeratkan hubungan.” (Sunan ad-Darimi)

Bolehkah menjalinkan hubungan silaturrahim dengan orang kafir?

Dalam hal ini, Allah Subhanahu Wa Ta‘ala tidak melarang berbuat baik kepada orang kafir sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Mumtahanah: Ayat 8)

Keistimewaan atau kelebihan mengeratkan silaturrahim

Orang yang mengeratkan silaturrahim akan mendapat sepuluh kelebihan yang terpuji sepertimana disebutkan dalam kitab Bujairimi Ala al-Khatib:

1. Allah Subhanahu Wa Ta‘ala redha kerana Dia memerintahkan supaya mengeratkan silaturrahim.

2. Membawa kebahagiaan.

3. Para malaikat gembira kerana mereka gembira dengan eratnya silaturrahim itu.

4. Memperolehi pujian yang baik daripada orang.

5. Mengisi kesedihan Iblis.

6. Dipanjangkan umur.

7. Menperoleh keberkatan rezeki.

8. Orang yang meninggal dunia mendapat kebahagiaan kerana keturunannya gembira dengan eratnya silaturahim itu.

9. Bertambah-tambah kehormatannya.

10. Bertambah-tambah pahala selepas matinya kerana orang-orang mendoakannya setiap kali disebut kebaikkanya.

Oleh yang demikian, eratkanlah silaturrahim dalam mencapai keistimewaan yang tersebut di atas dan jauhilah dari perkara yang boleh memutuskannya. Tanganilah masalah keluarga dengan
perasaan rasional dan eratkanlah semula perhubungan yang sudah retak itu dengan rasa kesedaran serta keinsafan, apatah lagi keranamereka yang tidak mahu berdamai itu akan dipertangguhkan keampunannya, sepertimana hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“Dibuka pintu-pintu syurga itu pada hari Isnin dan Khamis, Setiap orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apapun akan diampuni, kecuali seseorang yang sedang dalam permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai. Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai. Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai.” (Hadits riwayat Muslim)

Begitu juga mendamaikan di antara dua pihak yang berselisih itu hendaklah dengan adil dan saksama dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang berselisih, kerana semua orang yang
beriman itu bersaudara dan bertanggungjawab dalam mendamaikan saudaranya yang lain sebagaimana firman Allah Subahanahu Wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara kedua saudara (kamu yang bertelingkah) itu. (Surah Al-Hujurat: Ayat 10)


Sumber : Mufti Brunei

Tidak Masuk Syurga Memutuskan Silaturrahim

TIDAK MASUK SYURGA MEMUTUSKAN SILATURRAHIM
(Bilangan 269 Bahagian Pertama)

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Kesempurnaan iman seseorang didukung oleh banyak faktor, tidak hanya setakat beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan hari akhirat, bahkan hubungan sesama insan juga menjadi kayu pengukur terhadap kesempurnaan iman seseorang.

Islam amat menuntut umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, kerana akibat memutuskan silaturrahim itu amat besar risikonya bukan hanya setakat di dunia
sahaja bahkan juga di akhirat kelak. Lazimnya, gejala mumutuskan silaturrahim berpunca daripada pertengkaran atau perselisihan yang disebabkan oleh harta benda, harta pusaka, hutang piutang, hasutan, fitnah, sifat sombong dan mementing diri sendiri. Hatta perkelahian antara sesama anak atau jiran tetangga pun juga boleh menyebabkan terputusnya ikatan
silaturrahim, di mana kedua-dua pihak saling salah-menyalahkan, didorong lagi jika kedua-duanya tidak mempunyai kesabaran dan sikap terbuka serta mengalah untuk memohon maaf atau saling bermaafan.

Permusuhan dan pergeseran seperti ini boleh berlaku secara berpanjangan jika tidak ada kesedaran dalam diri kedua-dua pihak atau tidak ada orang lain yang mahu meleraikan atau mendamaikan pihak yang bermusuhan ini.

Perlu diingat bahawa tanggungjawab untuk membina semula silaturrahim yang terputus, bukan sahaja terletak kepada dua pihak yang bermusuhan, tetapi sanak saudara atau kawan-kawan yang mengetahui tentang perkara ini juga boleh memainkan peranan yang penting selaku orang tengah dalam mendamaikan dan menyambung semula silaturrahim yang terputus.

Oleh itu binalah ikatan silaturrahim sesama insan dalam apa jua kesempatan, mungkin dalam suasana hari raya, merupakan kesempatan yang baik untuk memulakan hubungan yang baik,
tetapi menunggu hari raya mungkin mengambil masa yang lama, oleh itu, carilah kebijaksanaan dalam mencari waktu yang sesuai pada bila-bila masa sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan lagi tali silaturrahim.

Persoalannya, apakah hukum dan kesan memutuskan silaturrahim ini? Maklumat ini perlu diketahui supaya dapat dilupakan segala punca pertelingkahan demi mencapai keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Pengertian Silaturrahim

Perkataan shillah dari segi bahasa bererti gabung atau kumpul dan makna rahmi pula ialah kaum kerabat yang dekat. Dari segi istilah pula silaturrahim ialah berlaku ihsan kepada kaum
kerabat sama ada daripada pihak si penghubung dan yang dihubungkan.

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telahpun meriwayatkan sebuah hadis qudsi, bahawa Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah telah menciptakan makhluk sehingga apabila selesai sebahagian mereka, maka tampillah Rahim dan berkata: “Ini adalah tempat orang yang berlindung dari terputusnya hubungan kekeluargaan”, Allah berfirman: “Ya, Jadi apakah kamu rela kalau Aku menyambung orang yang menyambungkanmu (mendapat balas kasih daripada Allah), dan memutuskan orang yang memutuskanmu (tidak mendapat balas kasih daripada Allah)?” Ia berkata: “Ya.” Allah berfirman: “Maka demikianlah untukmu (Allah menyambungkan rahim orang yang menyambungkan rahim dan memutuskan rahim orang yang memutuskan rahim).” (Hadits riwayat Muslim)


Berkata Imam an-Nawawi bahawa menurut ulama hakikat shillah itu ialah kemesraan dan belas kasihan. Manakala hubungan silaturrahim Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hambahambaNya
ialah dengan melimpahkan kemesraan dan belas kasihanNya kepada hambaNya dengan ihsan dan nikmat atau dengan melapangkan dada-dada hambaNya kerana ta‘at kepadaNya.

Kaum kerabat yang wajib dieratkan ikatan silaturrahim itu termasuklah kerabat mahram dan yang bukan mahram. Dalam Kitab az-Zawajir karangan Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullahu Ta‘ala ada menyebutkan bahawa kaum kerabat itu terbahagi kepada dua iaitu kaum kerabat mahram dan yang bukan mahram:

1. Kaum kerabat mahram ialah saudara yang haram bernikah dengannya seperti bapa, ibu, adik beradik lelaki dan perempuan dan anak-anak mereka, bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan emak.

2. Kaum kerabat dari bukan mahram ialah saudara yang halal bernikah dengannya seperti anak bapa saudara dan emak saudara sebelah bapa dan anak-anak mereka, anak bapa dan emak saudara sebelah emak dan anak-anak mereka.

Hikmat pensyariatan silaturrahim

Hikmah bersilaturrahim ialah dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَنْ َأحَبَّ َأ ْ ن يُبْسَ َ ط َلهُ فِي ِ رزْقِهِ، وَيُنْسََأ َلهُ فِي َأَثِرهِ، َفلْيَصِلْ رَحِمَهُ.
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturrahim).” (Hadits riwayat Muslim)


Begitu juga bersilaturrahim itu boleh menambahkan kehormatan dan pahala selepas kematiannya kerana orang-orang akan mendoakannya setiap kali disebut kebaikannya.

Hukum mengeratkan silaturrahim

Tidak ada perselisihan ulama bahawa mengeratkan silaturrahim sesama saudara hukumnya wajib sebagaimana perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat di bawah ini:

Tafsirnya:
“Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah an-Nisaa’: Ayat 1)


Kewajipan mengeratkan silaturrahim itu juga disandarkan dengan rasa keimanan kepada Allah sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

وَمَنْ َ كا َ ن يُؤْمِنُ ِباللهِ وَاْليَوِْم الآخِِر َفلْيَصِلْ رَحِمَهُ.
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Dan siapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia mengeratkan kekeluargaan (silaturrahim).” (Hadits iwayat Bukhari)


bersambung

Ahad, 8 Februari 2009

Wahai Muslimah Fahamilah Tuntutan Menutup Aurat (Akhir)

Fahami Sebenar-Benarnya Maksud Menutup Aurat
( Bilangan 301 Bahagian Akhir )

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Cara Bertudung Menurut Syara‘

Antara pakaian yang digunakan untuk menutup aurat pada bahagian kepala wanita seperti rambut, telinga dan sebagainya ialah tutup kepala yang dikenali sebagai tudung. Ciri-ciri tudung
kepala yang dituntut oleh syara‘ itu adalah seperti berikut:

1. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali kawasan muka. Bukanlah cara bertudung yang betul menurut syara‘ jika masih menampakkan rambut, leher, tengkuk, telinga, bahagian dada dan seumpamanya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;….” (Surah an-Nur: 31)


Belahan baju itu letaknya di kawasan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian dada.

2. Tudung itu diperbuat daripada kain atau bahan yang tebal yang menutupi warna kulit dan rambut dari kelihatan. Bukan tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang lain.

Antara Ciri-Ciri Pakaian Yang Dilarang Oleh Syara‘

Selain daripada ciri menutup aurat, pakaian wanita yang dituntut oleh syara‘ hendaklah juga bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum lelaki sahaja, umpamanya pakaian cara Melayu dan baju kemeja. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telahpun memberi peringatan sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

َ
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat lelaki yang memakai pakaian (cara) perempuan dan (melaknat) perempuan yang memakai pakaian (cara) lelaki.”(Hadits riwayat Abu Daud)


Adapun maksud laknat itu ialah seseorang itu jauh dari rahmat dan belas kasihan Allah Ta‘ala. Bila Allah Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melaknat ke atas seseorang itu, maka menunjukkan orang itu telah membuat suatu dosa besar dan menjadikannya seorang fasiq.

Pakaian yang dituntut oleh syara‘ juga ialah pakaian yang bukan dipakai untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk, kerana memakai pakaian dengan tujuan sedemikian adalah dilarang dalam Islam sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang memakai pakaian yang megah ketika di dunia, maka Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada hari Qiamat, kemudian dinyalakan api di dalamnya(pakaian tersebut).” (Hadits riwayat Ibnu Majah)


Kesedaran tentang tanggungjawab menutup aurat perlu bermula dari individu itu sendiri. Untuk menyuntik kesedaran ini, perlu ada kefahaman tentang maksud sebenar-benarnya menutup aurat. Apabila kaum wanita memahami maksud sebenarnya menutup aurat sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan juga satu nikmat yang wajib disyukuri dan dipelihara, mereka tidak akan bersikap mencuai-cuaikan dan menangguhnangguhkan
kewajipan ini atau memilih-milih waktu dan tempat untuk melaksanakannya.

Sebaliknya mereka akan istiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan memenuhi ciri-ciri pakaian sebagaimana yang dituntut oleh syara‘. Termasuk dalam misi perlaksanaan perintah menutup aurat ini, para ibu-bapa, suami dan keluarga mesti turut berperanan malahan bertanggungjawab untuk mendidik, membimbing dan menasihati
anak, isteri, ibu dan anggota keluarga yang lain supaya sentiasa melaksanakannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (Surah asy-Syu‘ara’: 214)


Tanggungjawab dan kewajipan menyuruh menutup aurat itu tidak terkecuali digalas juga oleh ahli masyarakat. Sikap tegur-menegur dan saling menasihati adalah tuntutan agama Islam. Maka setiap seorang daripada kita juga bertanggungjawab dalam sama-sama menjauhkan perkara-perkara dosa dan maksiat. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)


Dengan kesedaran wanita muslimah kita tentang tanggungjawabnya dalam menunaikan kewajipan menutup aurat serta peranan yang dimainkan oleh semua pihak, akan terbentuklah
masyarakat yang berpakaian benar-benar menepati kehendak syara‘.

Sumber Asal : Mufti Brunei

Jumaat, 6 Februari 2009

Wahai Muslimah Fahamilah Tuntutan Menutup Aurat

Fahami Sebenar-Benarnya Maksud Menutup Aurat
( Bilangan 301 Bahagian Pertama )

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Menutup aurat merupakan kewajipan agama yang sudahpun diketahui umum umat Islam. Tuntutan menutup aurat itu sabit berdasarkan dalil-dalil daripada al-Qur'an, hadits dan kesepakatan para ulama. Akan tetapi ramai umat Islam yang mengabaikan dan bersifat acuh tak acuh akan tuntutan dan kewajipan menutup aurat ini, baik lelaki mahupun perempuan.

Apa yang menyedihkan ialah cara atau tren berpakaian segolongan individu, khususnya perempuan, tidak menepati dengan apa yang digariskan oleh syara‘. Pakaian yang mereka pakai bukan untuk menutup aurat, sebaliknya hanya menampal sebagai perhiasan semata-mata agar dipandang cantik dan bergaya.

Lebih mengecewakan lagi, anggapan sesetengah individu itu bahawa memadai apabila dia memakai tudung sahaja, maka sudah bermakna dia menutup aurat. Sedangkan pakaian yang dipakai nyata masih tidak menepati tuntutan menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, seperti memakai seluar yang ketat atau pakaian pendek, nipis (jarang) dan kain berbelah, sama ada mereka sedari ataupun tidak bahawa pakaian yang mereka pakai itu adalah mengghairahkan. Bahkan cara bertudung pun masih
menampakkan anggota aurat yang wajib ditutup atau disembunyikan.

Ada pula yang memakai pakaian yang lengkap menutup aurat pada waktu-waktu tertentu sahaja, seperti ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan dan kedukaan seperti kematian, tetapi tidak pada waktu-waktu lain.

Sikap sebahagian wanita-wanita muslimah seumpama ini menunjukkan bahawa mereka belum memahami maksud sebenar menutup aurat itu dan bagaimana cara melaksanakannya
sebagaimana yang dituntut oleh syara‘.

Tuntutan Menutup Aurat Adalah Perintah Allah Subhanahu Wa Ta‘ala

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mewajibkan lelaki mahupun perempuan untuk menutup aurat mereka dan menggariskan caracara menutup aurat itu. Tuntutan menutup aurat ini adalah perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang digariskan oleh syara‘ bererti mentaati perintahNya. Bilamana menutup aurat merupakan suatu ketaatan, maka memakai pakaian yang mendedahkan aurat pula merupakan suatu kederhakaan.

Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan. Ancaman dan balasan Allah Subhanahu wa Ta‘ala terhadap mereka yang tidak melaksanakan atau tidak memperdulikan
tuntutan menutup aurat itu adalah sangat keras. Antara akibat melanggar tuntutan ini ialah laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka yang melakukan penderhakaan terhadap perintahNya itu tidak akan masuk syurga, bahkan bau syurga pun tidak dapat dihidu oleh mereka, sebagaimana yang ditegaskan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku (Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam) melihatnya, iaitu; kaum lelaki memegang cemeti seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang lain, dan wanita–wanita yang berpakaian tetapi mereka (sebenarnya) bertelanjang (pakaian tiada menutup aurat kepala dan badan sebagaimana yang diperintahkan oleh agama), yang berjalan melagak menggoyangkan bahu, kepala mereka seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak boleh masuk syurga, bahkan tidak boleh menghidu baunya, padahal bau syurga itu sebenarnya dapat dihidu dari jarak sekian, sekian (yang cukup jauh).” (Hadits riwayat Muslim)


Oleh itu, kita hendaklah mengenakan pakaian untuk menutup aurat sebagaimana yang disuruh syara‘ kerana mentaati perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala, bukannya kerana tuntutan fesyen semasa atau kesesuaian tempat dan keadaan.

Menutup Aurat Nikmat Anugerah Allah Subhanahu Wa Ta‘ala

Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan bahan-bahan pakaian di muka bumi dan memberikan manusia keupayaan menghasilkan pakaian sebagaimana yang ditegaskan melalui
firmanNya:

Tafsirnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Surah al-A‘raaf: ayat 26)


Ayat ini menjelaskan bahawa bahan pakaian yang telah diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hambaNya itu sebagai tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya untuk menutup aurat mereka. Maka mereka yang mengabaikan kewajipan ini dengan mendedahkan aurat mereka adalah orang-orang yang tidak bersyukur dan tidak menghargai nikmat tersebut.

Banyak kebaikan dan faedah yang boleh didapat daripada kewajipan menutup aurat ini. Islam tidak mensyariatkan sesuatu melainkan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia itu sendiri.
Tuntutan menutup aurat ke atas wanita adalah untuk kebaikan bagi diri kaum wanita juga.

Di antara rahsia atau faedah menutup aurat yang khusus bagi wanita sepertimana yang dijelaskan dalam al-Qur'an ialah untuk mereka dikenal sebagai perempuan yang baik-baik dan dengan berpakaian sedemikian, maka mereka tidak akan diganggu. Secara tidak langsung pakaian yang menutup aurat dan sopan merupakan antara cara untuk menghindari fitnah, pandangan yang jahat atau berlakunya perkara yang buruk, umpamanya kes rogol.

Oleh itu, kewajipan menutup aurat juga merupakan satu nikmat yang wajib disyukuri, iaitu dengan cara melaksanakan kewajipan ini.

Bagaimana Cara Menutup Aurat Yang Dituntut Syara‘?

Sebelum dijelaskan cara menutup aurat bagi wanita sebagaimana yang dituntut oleh syara‘, perlu disebut terlebih dahulu bagaimana aurat wanita itu di hadapan lelaki bukan mahramnya. Secara sepintas lalu, bagaimana aurat perempuan dalam sembahyang, maka itulah juga auratnya di luar sembahyang. Apa yang boleh nampak di hadapan orang-orang yang bukan mahramnya hanyalah kedua tapak tangan dan muka sahaja, manakala keseluruhan anggota badan yang lain merupakan aurat yang wajib ditutup.

Cara berpakaian bagi perempuan yang sempurna menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki syara‘ itu dirujuk kepada firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab: 59)


Dalam ayat di atas telah jelas menyatakan bahawa pakaian yang dipakai ketika keluar itu hendaklah dalam keadaan labuh dan menutup seluruh tubuh pemakainya. Terdapat juga beberapa hadits yang menyebut tentang ciri-ciri pakaian yang dikehendaki oleh syara‘, umpamanya hadits yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha:

َ
Maksudnya:
“Bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’, sesungguhnya orang perempuan apabila sampai umur haidh (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini… dan ini... (sambil) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.” (Hadits riwayat Abu Daud)


Berdasarkan kepada dua dalil di atas, maka dijelaskan bahawa ciri-ciri pakaian menutup aurat yang dituntut oleh syara‘ bagi wanita itu adalah seperti berikut:

1. Pakaian yang longgar. Bukan pakaian sempit yang menampakkan susuk atau bentuk tubuh badan.

2. Pakaian yang labuh yang menutupi keseluruhan anggota aurat. Bukan pakaian yang pendek, singkat atau terbelah yang mendedahkan perut, dada, leher, tangan, kaki dan punggung.

3. Pakaian yang menutup warna kulit anggota aurat dari kelihatan. Bukan pakaian yang nipis atau jarang yang menampakkan warna kulit dan bayang-bayang tubuh dari luar.

bersambung

Khamis, 5 Februari 2009

Perkara Berkaitan Solat : Perbezaan Perempuan Dan Lelaki (Akhir)

PERKARA-PERKARA BERKAITAN SEMBAHYANG:
PERBEZAAN PEREMPUAN DENGAN LELAKI
( Bilangan 274 Bahagian Akhir)

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

i. Cara Mengangkat Tangan Ketika Takbirah al-Ihram Dan Takbir al-intiqalat

Takbirah al-ihram ialah mengucapkan “ الله أكبر ” pada permulaan sembahyang dan merupakan salah satu daripada rukun sembahyang. Ia dilakukan beriringan dengan niat sembahyang.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إذا قُمْتَ ِإَلى الصَّ َ لاةِ َف َ كبِّرْ
(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya: “Apabila engkau berdiri untuk sembahyang, makabertakbirlah.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Takbir al-intiqalat pula ialah mengucapkan “ الله أآبر ” pada setiap kali hendak melakukan ruku‘ dan sujud, dan ketika hendak bangkit daripada sujud dan tasyahhud awwal. Mengangkat kedua tangan ketika takbirah al-ihram, ketika hendak ruku‘ dan ketika bangun daripadanya serta ketika bangkit dari tasyahhud awwal adalah disunatkan. Perbuatan sedemikian adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah Ta‘ala, mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam dan memohon ganjaran pahala daripada Allah Ta‘ala.

Inilah jawapan Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah ketika beliau ditanyakan tentang perbuatannya mengangkat kedua tangan ketika hendak ruku‘ dan sujud. Cara mengangkat kedua tangan yang disunatkan pula ialah dengan mengangkat kedua tangan separas bahu iaitu sekira-kira hujung jari sejajar dengan atas telinga dan kedua ibu jari pula sejajar dengan bawah telinga serta kedua telapak tangan dihadapkan ke kiblat dan jari-jari dipisah-pisahkan dengan jarak yang sederhana.

Menurut ulama mazhab Syafi‘e, tidak ada perbezaan cara mengangkat kedua tangan yang disunatkan ketika takbirah alihram dan takbir al-intiqalat antara lelaki dan perempuan.

Walau bagaimanapun, Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah mengatakan bahawa adalah lebih disukainya bagi seorang perempuan itu ketika sujud untuk merapatkan sebahagian anggotanya dengan anggota yang lain dan merapatkan perut dengan kedua belah paha. Perbuatan seperti inilah yang disukai pada seorang perempuan ketika ruku‘, duduk dan pada keseluruhan sembahyang.

Berdasarkan pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah itu, maka lebih disukai bagi seorang perempuan ketika bersembahyang merapatkan sebahagian daripada anggotanya seperti merapatkan kedua belah siku dengan rusuk ketika ruku‘ dan sujud, malahan dalam keseluruhan sembahyangnya. Begitu juga ketika mengangkat kedua tangan pada takbirah alihram dan takbir al-intiqalat iaitu dengan merapatkan kedua belah siku pada rusuk kerana dengan cara sedemikian akan lebih melindunginya.

ii. Suara Ketika Sembahyang Jahriyyah Dan Sirriyah

Sunat menjaharkan suara pada tempat-tempat yang disunatkan meninggikan suara iaitu pada sembahyang jahriyyah (yang disunatkan meninggikan suara) dan mengisrarkan suara pada
tempat-tempat yang disunatkan memperlahankan suara iaitu pada sembahyang sirriyah (yang disunatkan merendahkan suara).

Menurut ulama Syafi‘eyah perempuan yang sembahyang berseorangan, atau dengan kehadiran perempuan lain atau dengan kehadiran mahramnya sama ada sembahyang berjemaah dengan perempuan-perempuan lain atau bersendirian adalah dibolehkan dia menjaharkan bacaannya (iaitu dalam sembahyang jahriyyah). Sebaliknya jika ada lelaki asing (yang bukan mahramnya) di tempat dia bersembahyang itu, maka hendaklah perempuan itu mengisrarkan bacaannya.

Walau bagaimanapun, jika perempuan itu menjaharkan bacaannya dalam sembahyang jahriyyah dengan kehadiran lelaki asing di tempat dia bersembahyang itu, tidaklah membatalkan sembahyangnya kerana menurut pendapat yang ashah bahawa suara perempuan itu bukanlah aurat. Kadar bacaan jahr bagi perempuan itu perlahan sedikit daripada bacaan jahr bagi lelaki. Menurut al-Bandaniji Rahimahullah bahawa hendaklah bacaan jahr bagi perempuan itu lebih ringan atau perlahan daripada bacaan jahar bagi lelaki.

Adapun bagi khuntsa, hukumnya adalah sama seperti perempuan iaitu hendaklah mengisrarkan bacaan sembahyang dengan kehadiran perempuan bersama lelaki asing dan membaca dengan jahar jika sembahyang berseorangan atau bersama mahramnya.

iii. Menepuk Tangan Apabila Terjadi Kepadanya Sesuatu Perkara Di Dalam Sembahyangnya

Apabila terjadi kepadanya sesuatu perkara di dalam sembahyang seperti ketika mengingatkan imam yang terlupa bacaan, memberi keizinan kepada orang yang meminta izin masuk, memberi peringatan kepada orang buta yang ditakuti tertimpa perkara buruk jika tidak diberi amaran, maka disunatkan bertasbih bagi lelaki dengan menyebut ucapan SubhanaLlah dengan tujuan zikir atau dengan tujuan zikir serta pemberitahuan.

Manakala bagi perempuan pula, disunatkan menepuk tangan iaitu dengan menepuk perut tapak tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri apabila terjadinya sesuatu perkara di dalam sembahyang atau sebaliknya iaitu memukul perut tapak tangan kiri ke atas belakang tapak tangan kanan atau menepuk belakang tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri atau
sebaliknya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

التَّسِْبيحُ لِلرِّجَا ِ ل وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Bertasbih adalah untuk lelaki dan menepuk tangan adalah untuk perempuan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)


Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah, jika dia menepuk perut tapak tangan kanan ke atas perut tapak tangan kiri atau sebaliknya dengan tujuan bermain-main, maka batal
sembahyangnya. Adapun bagi khuntsa, caranya adalah serupa dengan perempuan iaitu menepuk tangan sebagaimana yang diterangkan di atas apabila terjadi ke atsanya sesuatu perkara di dalam sembahyang.

Begitulah serba sedikit penerangan tentang beberapa perkara mengenai dengan perempuan ketika bersembahyang. Semoga ia dapat memberi pengetahuan khususnya kepada golongan
perempuan tentang perkara-perkara yang perlu diambil perhatian ketika melaksanakan ibadah sembahyang.

Sumber : Mufti Brunei

Perkara Berkaitan Solat : Perbezaan Perempuan Dan Lelaki

PERKARA-PERKARA BERKAITAN SEMBAHYANG:
PERBEZAAN PEREMPUAN DENGAN LELAKI
( Bilangan 274 Bahagian Pertama)

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)Sembahyang fardhu lima waktu adalah tuntutan syara‘ yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang mukallaf. Tidak ada perbezaan antara lelaki mahupun perempuan, baik dari segi tuntutan sembahyang itu mahupun dari segi syarat-syaratnya, rukun-rukunnya dan cara menunaikannya.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan sembahyang ini dikhususkan untuk perempuan yang telah digariskan oleh syara‘ yang membezakannya dengan lelaki. Perkara-perkara tersebut,antaranya:

i. Azan Dan Iqamah

Disunatkan bagi orang yang hendak mengerjakan sembahyang melakukan azan dan iqamah. Azan bagi orang yang sembahyang secara bersendirian hukumnya adalah sunat ‘ain. Manakala azan bagi mereka yang bersembahyang secara berjemaah hukumnya adalah sunat kifayah. Walau bagaimanapun, perempuan adalah tidak disunatkan azan samada bagi sembahyang secara bersendirian atau secara berjemaah di kalangan jemaah perempuan dan sekalipun azan itu dilakukan dengan suara yang perlahan. Tidak sah azan seorang perempuan bagi jemaah lelaki dan khuntsa, bahkan berdosa kerana lelaki dan khuntsa haram memandangnya. Dengan perbuatannya melaungkan azan itu menyebabkan pandangan mereka tertumpu kepadanya.

Haram perempuan meninggikan suaranya untuk azan di hadapan lelaki asing (ajnabi) yang bukan mahramnya, sekalipun ketika itu dia bersama mahramnya, begitu juga jika dia meninggikan suaranya untuk azan di hadapan jemaah perempuan dengan adanya lelaki asing (ajnabi). Walau bagaimanapun tidak makruh jika perempuan azan di hadapan jemaah perempuan dengan suara rendah iaitu dengan kadar yang hanya dapat didengar oleh mereka.

Manakala iqamah adalah disunatkan bagi perempuan ketika sembahyang sendirian mahupun jemaah yang didirikan sesama perempuan sahaja dengan suara yang rendah iaitu dengan kadar suara yang hanya dapat didengar oleh mereka.

ii. Aurat Dalam Sembahyang

Menutup aurat termasuk salah satu daripada syarat-syarat sah sembahyang walaupun seseorang itu bersembahyang di dalam gelap. Aurat perempuan yang wajib ditutup di dalam sembahyang adalah berbeza dengan aurat lelaki. Dalam mazhab Syafi‘e aurat perempuan di dalam sembahyang ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Di dalam kitab I‘anah ath-Thalibin, al-‘Allamah as- Sayyid al-Bakri Rahimahullah ada menyebutkan bahawa aurat bagi perempuan itu ada empat:

a) Ketika bersama lelaki asing (ajnabi), auratnya ialah keseluruhan badan.

b) Ketika bersama mahram atau bersendirian, auratnya ialah antara pusat dengan lutut.

c) Ketika bersama perempuan kafir, auratnya ialah seluruh tubuh badan kecuali apa
yang zahir daripada anggota tubuhnya ketika melakukan pekerjaan.

d) Ketika sembahyang, auratnya ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Apa yang dimaksudkan dengan kedua tapak tangan itu termasuklah yang zhahir (belakang tapak tangan) dan yang bathin (perut tapak tangan) dari hujung jari sehinggalah pergelangan tangan.

Manakala maksud kawasan muka, batasnya secara memanjang ialah dari permulaan permukaan dahi hingga bahagian bawah dagu dan batasnya secara melintang ialah kawasan di antara dua cuping telinga.

Kebanyakan ulama Syafi‘e mensyaratkan hendaklah pakaian itu menutupi seluruh anggota aurat. Adapun syarat pakaian yang dipakai untuk menutup aurat tersebut hendaklah pakaian yang boleh menghalang daripada terlihat warna kulit. Tidak memadai menutup aurat dengan pakaian yang nipis dan jarang iaitulah pakaian yang menampakkan kulit dan bayang susuk tubuh badan.

Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah, adalah disunatkan bagi perempuan untuk bersembahyang dengan memakai pakaian yang terdiri daripada penutup kepala dan leher dari kain yang tebal, memakai baju yang labuh atau jubah yang menutup seluruh badan hingga hujung kaki serta kain tebal yang menutup pakaian tersebut.

Dalam sebuah atsar yang disebutkan di dalam Sunan Abi Daud, Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha pernah ditanyakan tentang pakaian perempuan ketika sembahyang lalu beliau menjawab:

تُصَلِّي في الْخِمَا ِ ر وَالدِّرْ ِ ع السَّاِب ِ غ الذي يُغَيِّبُ ُ ظهُورَ َقدَمَيْهَا

Maksudnya: “Seorang perempuan bersembahyang dengan memakai kain tutup kepala dan pakaian panjang yang dapat menutup kedua tapak kakinya.”


Disunatkan juga bagi perempuan untuk menebalkan baju atau jubah yang dipakainya sehingga tidak menampakkan anggota-anggotanya dan merenggangkan kain tebal yang dipakainya di sebelah luarnya daripada badannya ketika ruku‘ dan sujud sehingga tidak menampakkan pakaiannya di sebelah dalam.

Berdasarkan keterangan di atas, maka wajib bagi seseorang itu bersembahyang dengan memakai pakaian yang benar-benar menepati apa yang telah digariskan oleh syara‘, iaitu tidak menampakkan warna kulit dan bayang susuk tubuh badan. Sebaiknya pakailah telekung yang labuh dan tebal ataupun memakai pakaian tebal di sebelah dalam jika telekung yang digunakan itu nipis atau jarang.

iii. Saf Sembahyang

Jumhur ulama berpendapat bahawa disunatkan bagi makmum meluruskan saf-saf mereka ketika sembahyang berjemaah, bagi mengisi kekosongan yang terdapat di dalam saf dan
menyamaratakannya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

سَوُّوا صُُفوَف ُ كمْ َفِإنَّ تَسْ ِ ويََة الصَّفِّ مِنْ تَمَاِم الصَّ َ لاةِ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang”. (Hadis riwayat Muslim)


Disunatkan para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama dahulu kemudian barulah diikuti dengan saf kedua dan seterusnya. Saf yang pertama dimaksudkan di sini ialah saf yang pertama di belakang imam.

Bagi golongan perempuan, jika sembahyang dalam jemaah yang hanya terdiri daripada imam dan jemaah perempuan sahaja, maka disunatkan untuk memenuhi saf yang pertama kemudian diikuti dengan saf-saf seterusnya.

Adapun jika mereka sembahyang dengan jemaah yang terdiri daripada orang lelaki dan perempuan tanpa ada pembatas antara jemaah lelaki dan perempuan, maka saf yang lebih afdhal bagi perempuan adalah saf yang akhir.

Untuk lebih jelas mengenai dengan saf perempuan ketika bejemaah, diterangkan susunan saf-saf di dalam sembahyang seperti berikut:-

a) Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada golongan lelaki yang baligh, kanak-kanak lelaki, khuntsa (orang-orang yang tidak diketahui jantinanya adakah lelaki atau perempuan kerana memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan atau
tidak memiliki alat kemaluan lelaki dan perempuan) dan golongan perempuan, maka didahulukan golongan lelaki yang baligh kemudian kanak-kanak lelaki kemudian khuntsa
dan barulah diikuti oleh golongan perempuan.

b) Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada golongan lelaki yang baligh, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka didahulukan golongan lelaki, kemudian khuntsa tersebut berdiri seorang diri di belakang golongan lelaki dan kemudian diikuti oleh perempuan tersebut berdiri seorang diri di belakang khuntsa tersebut.

c) Apabila yang hadir berjemaah itu terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki, seorang khuntsa dan seorang perempuan, maka kanak-kanak tersebut berdiri di sebelah kanan imam, kemudian diikuti oleh khuntsa di belakang keduanya dan barulah perempuan tersebut di belakangnya.

d) Apabila jemaah yang hadir terdiri daripada golongan perempuan, maka disunatkan bagi imamah (imam perempuan) berdiri di tengah-tengah saf bersama jemaah perempuan, akan tetapi ke hadapan sedikit untuk membezakan dirinya dengan para makmum. Apabila yang hadir berjemaah hanya seorang perempuan disunatkan baginya berada di sebelah kanan imamah (imam perempuan), tetapi hendaklah ke belakang sedikit daripada imamah.

bersambung

Hukum Wanita Bekerja

Matlamat utama kehidupan kita di dunia ialah untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Namun kehidupan akhirat itu hendaklah lebih diutamakan.

Untuk mencapai kesejahteraan hidup di akhirat, corak kehidupan di dunia ini mestilah berjalan di atas landasan hukum syari ‘at Allah iaitu ajaran Islam.

Dengan demikian apapun usaha, tingkah laku dan budaya yang hendak kita amalkan mestilah menurut ketetapan syari ‘at Islam termasuklah dalam memilih dan menyusun organisasi sesuatu pekerjaan.

Bagi kaum wanita tugas pertama dan utama, yang tidak ada pertikaian mengenainya ialah mengasuh dan mendidik generasi (anak) sesuai dengan fitrah yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala secara fizikal dan spiritual. Tugas dan tanggungjawab yang besar dan mulia ini perlu diutamakan dan tidak wajar dinafikan dengan kerja-kerja kebendaan.

Dalam mengendalikan tugas tersebut tidak seorang lelaki pun yang dapat mengambil alih tempat seorang wanita seperti tugas menyusukan anak. Peranan ini juga menggambarkan bahawa masa depan sesuatu ummah itu lebih banyak bergantung kepada corak asuhan dan didikan awal kaum wanita terutama dalam melahirkan manusia yang berguna.

Selain itu tugas dan tanggungjawab kaum wanita juga ialah menjaga dan memelihara rumahnya, membahagiakan suaminya, membentuk keluarga bahagia dengan berasaskan harmoni, kasih sayang dan rahmat. Firman Allah Ta ‘ala:

Tafsirnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu ( wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah ar-Rûm:21)

Adapun tugas mencari nafkah untuk menyara ahli keluarga itu wajib ditanggung oleh kaum lelaki terutama orang yang menjadi ketua keluarga seperti bapa atau suami. Firman Allah Subhanahu Wata’ala:

Tafsirnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana itu Allah telah melebihkan orang-orang lelaki ( dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagaian daripada harta mereka.”
(Surah an-Nisâ’ : 34)

Ini bererti kaum wanita tidak dipertanggungjawabkan untuk menyara hidup ahli keluarganya.

Keterangan di atas menunjukkan bahawa tugas utama seorang wanita itu ialah mengurus rumahtangganya sebagaimana firman Allah Ta’ala :

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.”
(Surah al-Ahzâb:33)

Walau bagaimanapun, tidaklah ia bermaksud atau memberi pengertian bahawa wanita yang berkerja di luar rumah itu haram hukumnya menurut syara’ secara mutlak kerana tidak ada nash syara’ yang sabit mengenainya.

Pada dasarnya wanita diharuskan bekerja di luar rumah. Bahkan ada kalanya tuntutan bekerja itu perlu, kalau pun tidak wajib jika keadaan mengkehendakinya, seperti mencari nafkah bagi janda atau perempuan yang ditalak dalam keadaan tidak ada sumber nafkah atau kekayaan dan keluarga yang boleh menampung keperluan mereka. Dalam keadaan sedemikian bekerja di luar rumah itu adalah lebih baik baginya daripada hidup merempat meminta-minta dan mengharapkan belas kasihan orang, selama mana kerja tersebut tidak mencemarkan kemuliaan diri dan agama.

Ada kalanya juga keluarga seseorang perempuan itu memerlukannya bekerja kerana tidak ada tempat lain untuk berharap seperti membantu suaminya yang uzur untuk memenuhi keperluan ahli keluarganya yang masih kecil atau membantu bapanya yang sudah tua. Sebagai contoh ialah seperti kisah Nabi Syu’aib ‘Alaihissalatu wassalam yang mempunyai dua orang anak perempuan yang diceritakan oleh al-Qur’an dalam surah al-Qashash ayat 23, yang mana kedua-dua anak perempuan itu mengambil alih tugas bapa mereka sebagai pengembala kambing.

Ada kalanya pula kerjaya itu khusus dilakukan oleh kaum wanita terutama kerja-kerja kemasyarakatan seperti doktor sakit puan, jururawat, bidan dan sebagainya.

Sebenarnya keharusan kaum wanita menjawat sesuatu pekerjaan itu adalah tertakluk kepada bentuk tugas yang akan dilakukan.

Terdapat beberapa syarat yang mesti diambil kira dalam menilai kesesuaian kerjaya seorang wanita menurut hukum syara’. Antaranya ialah:

i) Perkerjaan itu tidak menjurus kepada perlanggaran hukum syara’. Sebagai contoh kerjanya itu menghendaki wanita itu melakukannya bersama-sama dengan kaum lelaki di tempat yang sunyi lagi terasing daripada orang lain umpamanya kerja itu dilakukan oleh seorang lelaki dan perempuan dalam satu bilik. Tugas tersebut jelas bertentangan dengan prinsip Islam sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: “Hendaklah jangan seorang lelaki itu bersunyi-sunyi dengan seorang perempuan.”
(Hadis riwayat al- Bukhari)

ii) Pekerjaan itu tidak menghendakinya belayar keluar negara bersendirian tanpa ditemani oleh suaminya, mahramnya atau sekumpulan perempuan yang diyakini amanah dan dapat mengawal kesejahteraannya serta mengelakkannya daripada perkara-perkara mungkar, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam :

Maksudnya: “Janganlah seseorang perempuan itu melakukan pelayaran kecuali bersama mahramnya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

iii) Pekerjaan itu tidak akan menyebabkan seorang wanita itu mendedahkan auratnya. Menurut Islam apabila wanita itu keluar rumah hendaklah menutup aurat serta memenuhi adab-adab Islam seperti firman Allah Subhanahu Wata’ala:

Tafsirnya: “ Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan-perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
(Surah an-Nûr : 31)

iv) Pekerjaan itu mestilah sesuai dengan kemampuan fizikal dan naluri / fitrah semula jadi kewanitaannya. Tugas-tugas yang lasak adalah tidak sesuai dengan wanita kerana fitrah semula jadi mereka adalah lemah lembut sekalipun kerja-kerja lasak itu dianggap oleh orang yang tidak beragama sebagai kerjaya yang mencabar dan mampu menampakkan kegagahan, daya saing dan kehandalan.

v) Bagi wanita yang bersuami pula pekerjaan itu hendaklah mendapat restu dan izin daripada suaminya iaitu apabila tugas tersebut menghendakinya keluar rumah. Suami berhak menghalangnya daripada bekerja sekiranya kerja itu boleh menyebabkan seorang isteri itu cuai pada menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Suami lebih berhak menegah isterinya bekerja sekiranya pekerjaan itu mengundang kepada fitnah atau boleh berlaku fitnah, seperti pekerjaan yang tiada batasan agama atau adab sopan di dalam bentuk campur gaul yang bebas di antara lelaki dan perempuan, sama ada ianya berlaku di daratan, lautan atau di mana-mana saja. Jika terdapat unsur-unsur begini, atau ghalib zhan fitnah itu mungkin berlaku, maka suami wajib menegahnya. Jika tidak, suami itu akan dianggap dayus, sedangkan orang dayus tidak akan mencium bau syurga.

Manakala bagi wanita yang belum bersuami pula dikehendaki meminta izin dan kebenaran daripada walinya.

Menurut pendapat bekas Syeikh al-Azhar, al-Allamah al-‘Alim al-Imam Abdul Halim Mahmud Rahimahullah di dalam fatwanya berkaitan wanita bekerja di luar rumah, antara lain beliau berkata:

“ Mana-mana wanita tidak ditegah bekerja di luar rumahnya apabila dia terpaksa berbuat demikian. Akan tetapi apabila wanita berkenaan telah mendapat limpah kurnia rezeki yang cukup daripada Allah, maka rumah, mengasuh anak-anak dan berusaha memberikan kebahagiaan kepada keluarga adalah lebih baik untuk sepanjang masa…….”

Perlu diingat, walaupun mempunyai pekerjaan, namun tugas dan tanggunggjawab utama sebagai seorang suri rumahtangga jangan sekali-kali diabaikan. Jangan nanti disebabkan penat atau letih bekerja dijadikan alasan untuk tidak dapat melaksanakan kerja-kerja rumah dan memberi perhatian atau melayani suami dan anak-anak. Perkara ini hendaklah dihindari daripada berlaku.

Demikianlah serba sedikit mengenai hukum wanita dan kerjaya yang dipetik daripada fatwa Mufti Kerajaan siri 21/2001 untuk ingatan bersama khususnya kita sebagai wanita hari ini yang mempunyai pelbagai kerjaya. Semoga ianya akan dapat dimanfaatkan dan membantu kita dalam menjalani kehidupan seharian berlandaskan hukum-hukum yang telah digariskan syara’.

Seandainya ada di kalangan kita yang telah tersilap langkah dalam memilih sesuatu kerjaya yang disebabkan oleh gaji yang lumayan dan keistimewaan yang banyak, sehingga perkara hukum kita abaikan, rasanya masih belum terlambat untuk balik ke pangkal jalan. Apa yang penting ialah ada usaha dan kemahuan untuk memperbetulkan diri daripada kesilapan atau mungkin disebabkan kejahilan diri.

Sumber : Mufti Brunei