CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 11 November 2026

ARTIKEL DR KHAFIDZ SORONI TAHUN 2025

 Alhamdulillah, sepanjang tahun 2025, inilah artikel yang telah ditulis oleh Dr Mohd Khafidz bin Soroni 


Bagi pencinta ilmu, silalah layari dan membaca penulisan beliau yang sangat baik dan bermanfaat. 


‎1. Kedudukan hadis berkaitan bulan Rejab

https://www.hmetro.com.my/addin/2025/01/1172974/kedudukan-hadis-berkaitan-bulan-‎rejab
Disiarkan pada: Januari 5, 2025‎

‎2. Syirik asghar lebih ditakuti Rasulullah SAW
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/01/1175592/syirik-asghar-lebih-ditakuti-‎rasulullah
Disiarkan pada: Januari 12, 2025‎

‎3. Jangan mudah mengucapkan doa laknat
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/01/1178158/jangan-mudah-mengucapkan-doa-‎laknat%C2%A0‎
Disiarkan pada: Januari 19, 2025‎

‎4. Kekeliruan ayat tiada paksaan dalam agama
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/01/1180597/kekeliruan-ayat-tiada-paksaan-‎dalam-agama
Disiarkan pada: Januari 26, 2025‎

‎5. Hala tuju sebenar pemikiran seorang Muslim
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/02/1182835/hala-tuju-sebenar-pemikiran-‎seorang-muslim
Disiarkan pada: Februari 2, 2025‎

‎6. Pencerahan kalam Imam Malik mengenai Istiwa
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/02/1187681/pencerahan-kalam-imam-malik-‎mengenai-istiwa
Disiarkan pada: Februari 16, 2025‎

‎7. Sakit perlu diredhai, bukan dibenci
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/02/1190010/sakit-perlu-diredhai-bukan-dibenci
Disiarkan pada: Februari 23, 2025‎

‎8. Puasa bukan sekadar lapar dan dahaga!‎
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/03/1192386/puasa-bukan-sekadar-lapar-dan-‎dahaga
Disiarkan pada: Mac 2, 2025‎

‎9. Ramadan & gandaan pahala amalan fardu ‎
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/03/1194880/ramadan-gandaan-pahala-amalan-‎fardu
Disiarkan pada: Mac 9, 2025‎

‎10. Ibrah daripada Nuzul al-Quran ‎
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/03/1197348/ibrah-daripada-nuzul-al-quran
Disiarkan pada: Mac 16, 2025‎

‎11. Ketahui garis merah ketika berbicara perihal Nabi SAW
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/03/1199876/ketahui-garis-merah-ketika-‎berbicara-perihal-nabi ‎
Disiarkan pada: Mac 23, 2025‎

‎12. Pererat silaturahim melalui amalan berziarah
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/03/1202477/pererat-silaturahim-melalui-‎amalan-berziarah
Disiarkan pada: Mac 30, 2025‎

‎13. Syafaat orang masuk syurga tanpa hisab
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/04/1204522/syafaat-orang-masuk-syurga-‎tanpa-hisab ‎
Disiarkan pada: April 6, 2025‎

‎14. Bidaahkah amalan baca Yasin malam Jumaat?‎
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/04/1207034/bidaahkah-amalan-baca-yasin-‎malam-jumaat ‎
Disiarkan pada: April 13, 2025‎

‎15. Syaitan tidak pernah penat, rehat menyesatkan manusia
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/04/1209599/syaitan-tidak-pernah-penat-rehat-‎menyesatkan-manusia ‎
Disiarkan pada: April 20, 2025‎

‎16. Jauhi perbuatan dilaknat
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/04/1212151/jauhi-perbuatan-dilaknat ‎
Disiarkan pada: April 27, 2025‎

‎[*Artikel terakhir bagi siri kolum ‘Lentera Hadis’. Bulan Mei, Jun, Julai & Ogos tiada ‎artikel kerana menunaikan ibadah haji serta hal lainnya. Berikut pula adalah siri kolum ‎baharu dengan tema ‘Pesanan Kiamat’] ‎

‎17. Hadis 'fitan' penting dipelajari dan dihayati
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/09/1261278/hadis-fitan-penting-dipelajari-dan-‎dihayati ‎
Disiarkan pada: September 7, 2025‎

‎18. Petanda kiamat: Antara yang berlaku & belum berlaku
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/09/1263819/petanda-kiamat-antara-yang-‎berlaku-belum-berlaku ‎
Disiarkan pada: September 14, 2025‎

‎19. Menghadapi gelora fitnah akhir zaman
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/09/1266324/menghadapi-gelora-fitnah-akhir-‎zaman ‎
Disiarkan pada: September 21, 2025‎

‎20. Enam petanda kiamat disebut Nabi Muhammad SAW
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/09/1268922/enam-petanda-kiamat-disebut-‎nabi-muhammad ‎
Disiarkan pada: September 28, 2025‎

‎21. Tiga fitnah sebelum kemunculan Dajal
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/10/1271625/tiga-fitnah-sebelum-kemunculan-‎dajal ‎
Disiarkan pada: Oktober 5, 2025‎

‎22. Baitul Maqdis dalam peristiwa sebelum kiamat
https://www.hmetro.com.my/addin/2025/10/1274520/baitul-maqdis-dalam-peristiwa-‎sebelum-kiamat ‎
Disiarkan pada: Oktober 12, 2025‎

Selasa, 10 November 2026

Kitab Aqidah Tauhid Wahhabi berisikan Hadis Palsu Dan Dhoif

 Kitab Aqidah Tauhid Wahhabi berisikan Hadis Palsu Dan Dhoif



Hadith dhaif dan maudu' (palsu) di dalam kitab at-Tauhid Muhammad Bin Abdul Wahhab (MIAW), pengasas gerakan wahhabiyyah.

Hadith dhaif tidak boleh dijadikan dalil di dalam aqidah adapun hadith palsu haram meriwayatkannya melainkan untuk menyatakan ia palsu.

Pengikut wahhabi yang mendakwa mengikut hadith sahih di dalam ibadah tetapi mengikut hadith dhaif dan palsu di dalam aqidah.

Berikut perincian hadith yang terdapat di dalam kitab tersebut ;

⛔️ 26 Hadith dhaif yang dijadikan sumber di dalam perbahasan aqidah.

⛔️ 4 hadith munkar dan palsu.

⛔️ 10 hadith daripada hadith mursal, munqati', mauquf, mu'dhal, mu'al dan syaz.

⛔️ 13 athar dhaif dan dhaif jiddan.

⛔️ 3 athar mauquf dan munqati'.

Kitab ini ada diajarkan di Malaysia oleh ustaz yang mengikuti aliran wahhabi. Kitab ini sepatutnya diharamkan dan tidak layak menjadi sumber aqidah umat Islam lebih bahaya lagi kitab ini menjadi sumber pegangan kelompok ekstremis dan pengganas.

Ayuh tinggalkan aqidah salaf yang palsu dan kembali kepada aqidah salaf yang sebenar sepertimana terkandung di dalam kitab-kitab para ulama Ahl as-Sunnah Wal Jama’ah Al-'Al-‘Ashaa’irah Wal Maaturidiyyah.

Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari
Aqidah dan Falsafah
Universiti Al-Azhar As-Syarif
























Rabu, 30 Julai 2025

Tiada Paksaan Dalam Agama ? Apakah Penjelasannya ?


Dr Mohd Khafidz Soroni
BARU-BARU ini tular sebuah video seorang pemuda dalam satu sesi siaran langsung di sebuah media sosial meluahkan hasrat untuk keluar daripada Islam. Menurutnya, dia bertindak demikian disebabkan tekanan hidup yang dihadapi. Keluar daripada Islam atau murtad sebenarnya adalah satu jenayah yang berat dalam Islam dan ia bukanlah suatu perkara yang boleh dipermainkan.
Apa pun yang menimpa pemuda tersebut, ia tidak sewajarnya bertindak di luar batasan agama seperti itu. Penulis percaya tekanan hidup yang dialaminya tidaklah lebih buruk berbanding tekanan hidup yang dihadapi oleh penduduk Gaza di Palestin. Meskipun mereka bersendirian ditindas oleh Rejim Israel tanpa belas kasihan dan tanpa mendapat bantuan daripada mana-mana negara Islam lain. Namun, kerana iman yang teguh, tiada penduduk Gaza yang murtad keluar daripada Islam lantaran mempertikaikan keadilan Allah SWT terhadap mereka yang puluhan tahun hidup dalam keadaan penuh sengsara.
Gejala ingin keluar daripada Islam ini jika tidak ditangani lebih awal mampu menggugat kestabilan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Satu kajian di negeri Selangor pada tahun 2022 menunjukkan sembilan daripada 500 orang belia Islam tidak percaya kepada kewujudan Tuhan dan alam ghaib. Walaupun jumlah ini kecil melibatkan 1.8%, namun ia tetap merupakan suatu angka yang agak membimbangkan.
Selain faktor tekanan hidup dan ekonomi, terdapat berbagai faktor lain yang dilihat mendorong ke arah gejala ini. Antaranya ialah jahil agama sehingga gagal menghayati dua kalimah syahadah yang diucapkan, ragu mengenai aspek keadilan dan rahmat Tuhan, tindak balas ekstrem terhadap sesuatu pengalaman pahit, pengabaian ibu bapa terhadap perihal akidah anak-anak, pengaruh golongan ateis atau bukan Islam, dan sebagainya.
Turut menggusarkan, komen yang diberikan oleh sesetengah netizen terhadap video tersebut juga tidak kurang membimbangkan apabila ada yang mengulas, 'tiada paksaan dalam agama.' Seolah-olah perbuatan pemuda berkenaan bukanlah satu jenayah besar dan serius. Pemberi komen itu jelas keliru dengan maksud ayat al-Quran: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)." (Surah al-Baqarah: 256)
Padahal maksud ayat ini ialah orang Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk masuk dalam agama Islam, sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama tafsir seperti Ibnu Jarir at-Tabari, al-Qurtubi, Ibnu Kathir, al-Jalalain, as-Sabuni dan lain-lain. Lebih jelas lagi terdapat beberapa riwayat yang menyebutkan tentang sebab penurunan ayat ini.
Antaranya,

riwayat Sa'id bin Jubair daripada Ibnu Abbas RA katanya: "Terdapat seorang wanita Ansar yang selalu kematian anak. Lalu, dia bernazar atas dirinya sekiranya ada anaknya yang hidup, maka ia akan menjadikannya beragama Yahudi. Maka, ketika Bani Nadhir diusir dari Madinah, terdapat bersama dengan mereka anak-anak orang Ansar (termasuk anak wanita itu). Maka, mereka pun berkata: "Kami tidak akan membiarkan anak-anak kami (diusir bersama Yahudi)." Lalu Allah SWT menurunkan ayat: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)." (Surah al-Baqarah: 256). Kata Sa'id bin Jubair: "Maka, sesiapa yang mahu dia boleh turut serta bersama mereka dan sesiapa yang mahu dia boleh memeluk Islam." (Riwayat Abu Dawud, an-Nasa'i dan Ibn Hibban. Hadis sahih)
Demikian yang disebut oleh Sa'id bin Jubair, Mujahid, as-Sya'bi, al-Hasan al-Basri dan lain-lain bahawa ayat tersebut turun dengan sebab peristiwa berkenaan. Kebebasan tersebut diberikan supaya seseorang yang ingin memeluk agama Islam, dia memeluknya dengan hati yang penuh ikhlas dan sukarela tanpa sebarang paksaan.
Jelasnya, ayat berkenaan bukan bermaksud orang Islam bebas untuk memilih mana-mana agama lain dan keluar daripada agama Islam atau murtad dengan alasan tiada paksaan dalam agama Islam. Ini jelas merupakan satu kefahaman yang salah dan terpesong jauh. Seseorang yang telah mengakui dirinya beragama Islam, maka ia wajib mematuhi dan melaksanakan ajaran Islam dengan sebaik mungkin. Ia juga tertakluk kepada undang-undang Islam dan tidak boleh sewenang-wenangnya bebas untuk memilih agama lain.
Terdapat banyak hadis yang memberi ancaman keras terhadap orang yang murtad keluar daripada agama Islam. Antaranya,

daripada Abdullah bin Mas'ud RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa aku ini utusan Allah kecuali dengan satu daripada tiga perkara iaitu; nyawa dibalas dengan nyawa (kerana membunuh), orang berkahwin yang berzina, dan orang yang keluar daripada agama, meninggalkan jemaah (kaum muslimin)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Selasa, 29 Julai 2025

Hadis 2 Gerhana Di Bulan Ramadhan Tanda Zahir Imam Mahdi ?

 Soalan:

Assalamualaikum..
Mohon ulasan Dr mengenai hadis ttg dua gerhana di bln ramadan sbgai tnda zahir imam mahdi..
Ulasan :
Waalaikumussalam wrt wbr.
Setakat yang ‎dianalisis, tidak ditemukan riwayat hadis Nabi SAW mengenai gerhana bulan dan ‎matahari di bulan Ramadhan. Namun, terdapat dua buah athar yang sangat daif, ‎iaitu:‎
‎1.‎ Riwayat ad-Daraqutni dalam Sunannya:‎
أخرج الدارقطني في سننه: حَدَّثَنَا أَبُو سَعِيدٍ الإِصْطَخْرِيُّ، ثنا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ نَوْفَلٍ ثنا عُبَيْدُ بْنُ ‏يَعِيشَ ثنا يُونُسُ بْنُ بُكَيْرٍ عَنْ عَمْرِو بْنِ شِمْرٍ عَنْ جَابِرٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَلِيٍّ قَالَ: "إِنَّ لَمَهْدِيِّنَا آيَتَيْنِ لَمْ ‏تَكُونَا مُنْذُ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ، يَنْخَسِفُ الْقَمَرُ لأَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ وَتَنْكَسِفُ الشَّمْسُ ‏فِي النِّصْفِ مِنْهُ، وَلَمْ تَكُونَا مُنْذُ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ". (رواه الدارقطني في سننه (رقم الحديث: ‏‎1573‎‏ أو 1795)، وقفه على محمد بن علي الباقر، وهو من صغار التابعين، وفيه عَمْرِو بْنِ شِمْرٍ عَنْ ‏جَابِرٍ‏ كلاهما ضعيف، وعمرو أضعف، ضعفه ابن أبي حاتم والنسائي وابن عدي وغيرهم، قال ابن ‏حبان: رافضي يشتم الصحابة ويروي الموضوعات عن الثقات، وجابر الجعفي متكلم فيه، ويونس بن ‏بكير متكلم فيه أيضاً، فقد ضعفه العقيلي)
‏
Daripada Muhammad bin ‘Ali katanya: “Sesungguhnya bagi al-Mahdi kami ada dua ‎tanda kedatangannya yang belum pernah terjadi sejak Allah menciptakan langit dan ‎bumi; [pertama] gerhana bulan di malam pertama Ramadhan, dan [kedua] gerhana ‎matahari di pertengahan bulan daripadanya. Kedua-duanya tidak pernah terjadi ‎sejak Allah menciptakan langit dan bumi”. (Riwayat ad-Daraqutni dalam Sunannya) ‎
Riwayat ini merupakan kata-kata Muhammad bin ‘Ali al-Baqir (wafat 114H). ‎Namun, ia sangat daif atau kemungkinan palsu kerana tidak diketahui al-Baqir ‎mengambilnya daripada siapa krn ia berkaitan perkara ghaib, dan pada sanadnya ‎terdapat beberapa perawi bermasalah, terutama ‘Amru bin Syimr yang ditohmah ‎meriwayatkan hadis-hadis palsu. ‎
‎2.‎ Riwayat Nu‘aim bin Hammad dalam al-Fitan:‎

قَالَ [الْوَلِيد]: وَحُدِّثْتُ عَنْ شَرِيكٍ، أَنَّهُ قَالَ: «بَلَغَنِي أَنَّهُ قَبْلَ خُرُوجِ الْمَهْدِيِّ تَنْكَسِفُ الشَّمْسُ [عند ‏المتقي الهندي: ينكسف القمر؟] فِي شَهْرِ رَمَضَانَ مَرَّتَيْنِ». (رواه نعيم بن حماد في الفتن) ‏

Diberitakan daripada Syarik katanya: “Telah sampai kepadaku bahawa sebelum al-‎Mahdi keluar matahari (atau bulan?) akan gerhana di bulan Ramadhan dua kali”. ‎‎(‎Riwayat Nu‘aim bin Hammad dalam al-Fitan) ‎
Riwayat ini tidak mempunyai sanad lengkap kerana Syarik bin ‘Abdullah (wafat ‎‎177H) hanya menyebut disampaikan kepadanya tanpa menyatakan daripada siapa. ‎Bahkan, perawi daripada Syarik juga tidak diketahui. ‎
Meskipun demikian, kedua-dua riwayat berkenaan turut dimuatkan oleh sebahagian ‎ulama dalam kitab mereka, seperti Imam al-Qurtubi (wafat 671H)‎ dalam at-Tazkirah, ‎Imam Ibnu Hajar al-Haitami (wafat 974H)‎ dalam al-Qawl al-Mukhtasar fi ‘Alamat ‎al-Mahdi al-Muntazar, dan al-‘Allamah al-Muttaqi al-Hindi (wafat 975H)‎ dalam al-‎Burhan fi ‘Alamat Mahdi Akhir al-Zaman. ‎
Boleh jadi mereka mencatat kedua-dua riwayat hanya sebagai rekod dan iktibar ‎sahaja, tanpa sempat meneliti keadaan sanadnya. Ini kerana sanad kedua-dua riwayat ‎ini sangat daif atau berkemungkinan palsu. ‎
Wallahu a‘lam.‎

Isnin, 28 Julai 2025

Puasa Bukan Sekadar Lapar dan Dahaga


Dr Mohd Khafidz Soroni
Bulan yang penuh barakah tiba lagi. Mudah-mudahan Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang lebih baik untuk kita berbanding Ramadan sebelumnya.
Memperbaiki diri merupakan proses yang wajib kita lakukan secara berterusan. Meskipun kita sudah berpuasa tiga puluh atau empat puluh kali Ramadan, belum tentu sama dengan sembilan kali Ramadan yang dilaksanakan oleh baginda Nabi SAW.
Meskipun fardu puasa Ramadan lewat disyariatkan, iaitu pada tahun kedua Hijrah, namun Allah SWT mengingatkan kepada umat Islam bahawa ibadah puasa ini bukanlah ibadah baharu, tetapi ia adalah ibadah yang sebelumnya turut difardukan kepada umat-umat terdahulu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 183)
Antara hikmah diberitakan bahawa umat-umat terdahulu juga wajib berpuasa adalah bagi meringankan jiwa umat Islam dalam menunaikannya. Ini kerana sesuatu perintah yang agak sukar, namun jika diketahui ia membabitkan semua manusia, maka jiwa akan berasa mudah untuk menerimanya dan berasa lebih tenang untuk melaksanakannya.
Namun, tidak diketahui secara terperinci tentang bagaimana cara umat-umat terdahulu itu berpuasa. Sebahagian ulama tafsir seperti Imam al-Baghawi dan Imam as-Suyuti membawakan beberapa riwayat yang menyatakan bahawa puasa umat sebelum kita adalah dari malam sehingga malam berikutnya, sebagaimana pada permulaan Islam.
Jika benar, maka ini bererti mereka dituntut berpuasa dalam jangka masa yang agak lama. Ini kerana mereka bukan sahaja perlu berpuasa pada waktu siang, bahkan perlu berpuasa juga pada waktu malam. Jadi, mereka hanya dapat makan sekali sahaja setiap hari, iaitu pada waktu berbuka.
Namun, cara berpuasa berkenaan telah dimansuhkan. Umat Islam kemudian hanya wajib berpuasa pada waktu siang sahaja.
Adapun pada waktu malam, mereka dibenarkan untuk makan minum seperti biasa. Malah, sebelum terbit fajar, umat Islam digalakkan untuk bersahur hingga bersahur ini menjadi pembeza antara puasa umat Islam dan puasa umat terdahulu.

Daripada 'Amru bin al-'As RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur." (Riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)
Bersahur juga mengandungi keberkatan yang dapat membantu umat Islam bagi menjalani ibadah puasa di siang hari.

Daripada Anas bin Malik RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Bersahurlah kamu sekalian, kerana pada bersahur itu ada barakah (keberkatan)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bukan itu sahaja, orang yang bersahur juga mendapat rahmat Allah SWT dan doa daripada para malaikat.

Abu Sa'id al-Khudri RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Makan sahur itu mempunyai barakah (keberkatan), maka janganlah kamu meninggalkannya, meskipun seseorang daripada kamu hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah 'azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur." (Riwayat Ahmad dalam Musnadnya. Hadis hasan)
Sebelum betul-betul terbit fajar, umat Islam disunatkan untuk melakukan imsak, iaitu berhenti daripada makan dan minum sebagai langkah berhati-hati.

Anas RA meriwayatkan daripada Zaid Ibn Thabit RA katanya: "Kami pernah bersahur bersama Nabi SAW, kemudian baginda SAW bangkit untuk mendirikan solat." Anas bertanya: "Berapakah (jarak masa) antara azan (subuh) dengan sahur itu?" Zaid menjawab: "Dalam ukuran bacaan lima puluh ayat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sepanjang berpuasa umat Islam hendaklah menjaga seluruh anggotanya daripada melakukan perkara maksiat, selain dianjurkan untuk memenuhi masa dengan amal ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT. Purata tempoh kita berpuasa pada setiap hari adalah lebih kurang sekitar 13 jam. Maka, tentunya bertambah sangat rugi orang yang gagal menahan nafsunya daripada berbuat dosa sepanjang tempoh ini.

Daripada Abu Hurairah RA katanya, bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan bercakap bohong dan berkelakuan keji lagi buruk (sedangkan dia berpuasa), maka tidak ada gunanya di sisi Allah dia meninggalkan makan dan minumnya (selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang diperolehinya)." (Riwayat al-Bukhari)
Setelah masuk waktu berbuka, umat Islam digalakkan pula untuk menyegerakan berbuka puasa dan tidak melengah-lengahkannya.

Daripada Sahl bin Saad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa (setelah masuk waktunya)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Manakala Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Sesungguhnya hamba-Ku yang paling Aku kasihi ialah orang yang paling segera berbuka puasa." (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Sabtu, 26 Julai 2025

Syafaat Orang Yang Masuk Syurga Tanpa Hisab


Dr Mohd Khafidz Soroni
Nilai syurga pastinya tidak dapat dibayar dengan wang, sebaliknya dengan iman dan amalan ketaatan kepada Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Semua umatku akan masuk ke syurga kecuali orang yang enggan. Sesiapa yang mentaatiku dia akan masuk ke syurga dan sesiapa yang menderhakaiku, maka dialah yang enggan." (Riwayat al-Bukhari)
Sehubungan demikian, ada segolongan umat Nabi SAW yang akan masuk syurga tanpa dihisab oleh Allah SWT.
Daripada Ibnu Abbas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Seluruh umat manusia pernah diperlihatkan kepadaku. Maka, ada seorang dan dua orang nabi yang melewati bersama sekumpulan orang dan ada nabi yang tidak ada seorang pun bersamanya, sehingga diperlihatkan kepadaku segerombolan manusia yang sangat ramai.
Aku pun bertanya: "Apakah ini? Adakah ini umatku?" Lalu dikatakan: "Bahkan, ini adalah Musa dan kaumnya". Lantas diberitahukan kepadaku:"Lihatlah ke ufuk". Maka, di sana terdapat segerombolan manusia yang memenuhi ufuk.
Kemudian dikatakan lagi kepadaku: "Lihatlah di sebelah sini dan di sebelah sana, di ufuk-ufuk langit". Maka, di sana juga terdapat segerombolan manusia yang telah memenuhi ufuk.
Lalu, dikatakan kepadaku: "Ini adalah umatmu dan di antara mereka terdapat 70,000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab."
Selepas itu, baginda masuk rumah dan tidak memberikan perincian kepada mereka. Maka, sahabat pun berbincang. Mereka berkata: "Kita adalah orang yang beriman kepada Allah dan mengikuti Rasul-Nya, maka kelompok tersebut adalah kita atau anak kita yang dilahirkan dalam keadaan Islam kerana kita dilahirkan pada zaman jahiliah."
Lalu, hal itu sampai kepada Nabi SAW, lantas baginda pun keluar dan bersabda: "Mereka adalah orang yang tidak pernah minta untuk dijampi, tidak pernah membuat ramalan sial melalui burung, tidak pernah melakukan rawatan tuam dengan besi panas dan mereka sentiasa bertawakal kepada Tuhan mereka."
Lalu, Ukkasyah bin Mihsan berkata:"Adakah aku termasuk di antara mereka, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Ya". Lantas, seorang sahabat yang lain berdiri dan bertanya: "Adakah aku juga termasuk di antara mereka?" Namun, baginda bersabda: "Ukkasyah telah mendahuluimu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jumlah 70,000 orang yang akan masuk syurga tanpa hisab ini kerana mereka tidak meminta untuk dijampi, tidak membuat ramalan sial melalui binatang, tidak melakukan rawatan tuam dengan besi panas dan mereka sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.
Walaupun jumlah ini besar, namun dikira masih sedikit jika dibandingkan dengan bilangan sahabat Nabi SAW sahaja yang melebihi 100,000 orang.
Maka, apakah bilangan terbabit hanya terbatas pada 70,000?
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, ada dalam beberapa hadis lain menunjukkan bahawa bersama-sama 70,000 itu ada tambahan lagi.
Dalam hadis Abu Hurairah di sisi Ahmad dan al-Baihaqi dalam al-Ba'th daripada Nabi SAW sabdanya: "Aku telah memohon kepada Tuhanku, lalu Dia menjanjikan kepadaku bahawa ada 70,000 daripada umatku akan masuk syurga seumpama rupa bulan purnama. Lalu, aku memohon ditambahkan lagi, lalu Dia pun menambahkan lagi buatku iaitu bersama setiap seribu ada 70,000 orang."
Sanadnya adalah baik. Dalam bab sama juga daripada Abu Ayyub di sisi at-Tabarani, daripada Huzaifah di sisi Ahmad, daripada Anas di sisi al-Bazzar dan daripada Thauban di sisi Ibnu Abi Asim. Maka, jalan-jalan riwayat ini mampu menguatkan antara satu sama lain.
Juga diriwayatkan daripada Abu Umamah, Nabi SAW bersabda: "Tuhanku telah menjanjikan kepadaku bahawa ada 70,000 daripada umatku akan masuk syurga. Bersama setiap 1,000 pula ada 70,000 orang yang tiada dikenakan hisab mahupun azab serta ada lagi tiga raupan daripada raupan Tuhanku."(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan Ibn Majah. Hadis sahih)
Ini menjadikan jumlah mereka secara keseluruhan ialah 4.9 juta orang, tidak termasuk tamsilan tiga raupan Allah SWT terbabit.
Ada beberapa hadis lain yang menyatakan bahawa bersama setiap seorang daripada 70,000 itu ada 70,000 orang, menjadikan jumlah mereka semuanya 4.9 bilion.
Bagaimanapun, semua sanadnya daif seperti yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar. Meskipun demikian, beliau menerangkan juga bahawa bilangan tambahan (hingga 4.9 bilion) terbabit mungkin termasuk sekali dengan bilangan secara tamsilan tiga raupan Allah SWT itu.
Semua hadis ini adalah antara dalil bahawa orang Mukmin yang soleh mampu memberi syafaat kepada orang Mukmin yang lain pada hari akhirat kelak.
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)