MEMELIHARA NASAB DARIPADA KEKOTORAN ZINA
TANGGAPAN TERHADAP FATWA MUFTI PERLIS
Nasab adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada umat manusia agar manusia dapat hidup mulia (al-Furqan: 54). Nasab adalah tunjang institusi keluarga dan sebahagian daripada identiti yang mendefinisikan seseorang manusia. Dengan terpeliharanya nasab maka kehormatan seseorang terpelihara. Rasulullah salla’Llah ‘alayhi wasallam sendiri berbangga dengan nasabnya yang luhur, Baginda bersabda: “Aku adalah yang terbaik daripada yang terbaik”, kerana Baginda lahir daripada keluarga terhormat yang merupakan sebahagian kabilah Quraish yang dihormati. Seseorang yang mempunyai nasab yang baik akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Sebaliknya seseorang yang bernasab dengan nasab yang tidak baik atau dinafikan daripada bernasabkan kepada bapanya dan dibuang daripada keluarganya adalah suatu penghinaan yang besar dan dianggap telah hilang kehormatan dan kemuliaan diri. Tiada manusia yang rela kehilangan nasab, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan kebanggaan kepada nasab sebagai suatu fitrah dalam diri manusia.
Pemeliharaan nasab (hifz al-nasab atau al-nasl) adalah salah satu daripada Maqasid Shari’ah yang lima. Pemeliharan nasab dan keturunan adalah antara sebab dan alasan mengapa Islam mensyari’atkan perkahwinan dan mengharamkan zina. Dengan perkahwinan yang sah maka nasab atau keturunan seseorang terpelihara daripada tuduhan zina dan kehormatan setiap orang yang terlibat (Ibu, Bapa dan anak) terjaga. Islam sangat teliti dalam penentuan nasab. Telah turun ayat khas yang merubah kebiasaan orang Arab yang menasabkan anak angkat kepada Bapa angkatnya. Hal ini telah berlaku kepada Nabi sendiri yang telah mengambil Zaid bin Harithah sebagai anak angkat sehingga beliau pernah dikenali sebagai Zaid bin Muhammad. Setelah ayat ini turun (al-Ahzab: 4&5). Rasulullah merubahnya dan menetapkan agar umat Islam membuang kebiasaan di zaman jahiliyyah itu. Tujuannya adalah agar kebenaran mengenai nasab seseorang terpelihara, dan tiada kepalsuan dan kezaliman berlaku mengenai nasab seseorang. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa zina bukan sebab untuk menentukan nasab anak zina. Ini kerana Shari’ah Islam tidak mengiktiraf perzinaan tetapi hanya mengiktiraf perkahwinan yang sah. Nikmat nasab hanya diperolehi dengan ketaatan, bukan dengan maksiat. Perzinaan tidak boleh diiktiraf kerana ia bertentangan dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala dan boleh menhancurkan institusi keluarga. Pada umumnya semua agama-agama besar dunia mengharamkan zina dan menganggapnya suatu dosa dan perbuatan terkutuk yang perlu dijauhi. Islam bukan hanya mengharamkan zina tetapi menetapkan hukuman yang berat terhadap pelaku zina, termasuk di antara hukuman ini adalah larangan menasabkan anak zina kepada lelaki yang menyebabkan kelahiran anak zina ini.
Baru-baru ini timbul kekeliruan mengenai hukum menasabkan anak hasil perbuatan zina (anak luar nikah) atau anak tidak sah taraf kepada lelaki yang menyebabkan kelahiran anak ini. Penulis merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang diwartakan pada tahun 2013, sedangkan fatwa di negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan (1991), Selangor (2005) dan Majlis Fatwa Kebangsaan (MKI 1998 dan 2003) telah menetapkan bahawa anak zina tidak boleh dinasabkan kepada lelaki penzina. Isu ini semakin hangat diperkatakan apabila mahkamah rayuan pada tahun 25 Julai 2017 membenarkan anak tidak sah taraf berbinkan kepada bapanya dan menegaskan bahawa tindakan JPN menolak permohonan untuk menukar nama daripada bin Abdullah kepada nama bapanya adalah tidak sah di sisi undang-undang. Penulis juga merujuk kepada satu temu bual Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin yang disiarkan Utusan Malaysia pada 11 Jun 2017 yang membicarakan fatwa negeri Perlis di atas dan menekankan kebaikan dan maslahat yang tercapai apabila seorang anak luar nikah dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya.
Fatwa Mufti Perlis bersandarkan kepada ijtihad yang dilakukan oleh segelintir ulama’ iaitu Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim dan pandangan ini diikuti oleh Yusuf al-Qaradawi dan Ibn Uthaymin. Ijtihad Ibn Taymiyyah ini bertentangan dengan pandangan majoriti ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, empat mazhab dan bahkan mazhab Zahiriyyah.
Ijtihad Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim serta pengikutnya berkisar kepada 5 hujah berikut:
1. Ibn Taymiyyah berpendapat bahawa hadith yang selalu digunakan oleh jumhur ulama’ itu khusus kepada kes di mana ibu anak zina itu berkahwin, adapun dalam kes di mana ibu itu tidak berkahwin maka anak itu boleh dinasabkan kepada lelaki penzina. Hadith tersebut berbunyi: الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ
Maksudnya: “Nasab anak kepada perkahwinan yang sah. Sedangkan bagi penzina adalah kekecewaan.”
Menurut Ibn Taymiyyah (Majmu’ Fatawa, 32: 113) hadith ini tidak begitu kuat untuk dijadikan hujah kerana yang menjadi persoalan adalah dalam kes di mana ibu tidak memiliki suami, maka “jika seorang wanita tidak bersuami maka hadith tersebut tidak berlaku” dengan demikian anak hasil zina boleh dinasabkan kepada ayah zinanya jika si ayah tidak mengahwini ibunya. Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim telah mentakwilkan hadith tersebut yang dianggap tidak berlaku kepada ibu yang tidak berkahwin.
Melihat kepada teks hadith tersebut jelas bahawa Ibn Taymiyyah hanya menumpukan kepada bahagian pertama hadith iaitu “anak dinasabkan kepada ayah yang mengahwini ibunya”, dan melupakan bahagian kedua iaitu “bagi penzina adalah kekecewaan” yang bermaksud lelaki yang berzina tidak layak untuk mendapat penghormatan sebagai bapa kepada anak hasil zinanya dan dinasabkan kepadanya.
Adapun melihat kepada konteks hadith tersebut, di mana telah berlaku pertikaian di antara Ibn Zam’ah (anak kepada suami yang mengahwini si ibu) dan Saad yang mewakili saudaranya Utbah (yang mengaku sebagai bapa kandung anak tersebut), hujah Saad cukup kuat kerana anak itu lebih mirip kepadanya berbanding Ibn Zam’ah, keputusan Rasulullah salla’Llah ‘alayhi wasallam untuk menasabkan si anak kepada suami yang mengahwini ibunya (Zam’ah) dan melarang untuk menasabkan kepada ayah zinanya (Utbah) adalah keputusan yang umum, tidak terhad kepada kes tertentu sahaja, bahkan berlaku kepada setiap anak yang lahir hasil perzinahan. Jelas di sini bahawa Rasulullah ingin menghukum penzina dengan larangan tersebut. Ibn Taymiyyah tidak memiliki alasan yang kuat untuk menghadkan larangan Rasulullah yang umum ini. Lihat Ahkam al-Qur’an oleh Abu Bakar al-Jassas (3:396).
Jika yang dihujahkan oleh Ibn Taymiyyah adalah hadith itu tidak berlaku kepada ibu yang tidak berkahwin maka pandangan bahawa anak zina boleh dibinkan kepada lelaki penzina tidak berasas kerana hujah di atas adalah khusus kepada ibu yang tidak berkahwin sedangkan ijtihad beliau adalah umum tidak mengira sama ada ibu tersebut berkahwin ataupun tidak.
Lebih menghairankan lagi apabila Ibn Uthaymin untuk memperkuat hujahnya mengatakan bahawa ayah penzina merupakan ayah biologi kepada anak zina dan ini telah menjadi hukum kawni (penciptaan) dan ketentuan Allah maka penasaban ini adalah sesuai dengan Sunnah kawniyyah (Fath zil Jalal 12:318). Beliau dan para pendokong pandangan ini lupa bahawa selain hukum kawni terdapat hukum shar’i. Banyak agama itu hukum kawni, tetapi mengikut agama yang benar itu hukum shar’i. Kerana itu tidak wajar seseorang beranggapan bahawa Allah SWT menciptakan (membiarkan wujudnya) banyak agama, kerana itu semua agama ini benar tidak wajib bagi manusia mengikuti agama yang benar di sisi Allah. Anggapan ini jelas tersasar dan keliru. Demikian juga berlakunya banyak perzinaan dan lahirnya ramai anak luar nikah adalah hukum kawni, tetapi itu tidak bermakna hukum Shari’ah tidak perlu ditegakkan kepada mereka. Kerana seorang Muslim itu tertakluk kepada suruhan dan perintah Allah SWT, sebagaimana ditegaskan dalam surah al-A’raf: 54.
2. Hujah kedua adalah tindakan yang dilakukan oleh Sayyidina Umar ibn al-Khattab yang dikatakan telah menasabkan anak-anak yang lahir di zaman jahiliyyah kepada bapa-bapa mereka. Hujah ini jelas sangat lemah kerana ia tidak berkaitan secara langsung dengan isu penasaban anak zina. Justeru apa yang dilakukan oleh Sayyidina Umar adalah sesuatu yang normal berdasarkan kepada kaedah bahawa keIslaman seseorang menghapuskan apa yang berlaku sebelumnya. Sehingga kini pun keadaan seseorang itu sebelum Islam tidak diambil kira setelah ia masuk Islam, seorang Muallaf tidak menanggung kesilapan-kesil
3. Hujah ketiga yang digunakan oleh pendapat yang membenarkan adalah kisah Juraij, seorang ahli ibadah di zaman sebelum Islam, yang difitnah berzina dengan seorang perempuan yang membawa anak zinanya sebagai bukti. Setelah melakukan solat sunat dan memohon pertolongan daripada Allah, sebagai karamah dan pertolongan Allah anak bayi yang baru lahir itu menjawab soalan Juraij bahawa ayahnya adalah pengembala kambing (al-ra’i) dan bukannya Juraij. Kisah ini dijadikan hujah dengan anggapan bahawa shari’ah sebelum Islam boleh menjadi sebahagian shari’ah Islam selagi tidak ada nas yang menyanggahnya. Akan tetapi maksud pertanyaan Juraij adalah siapakah lelaki yang bertanggunjawab
4. Hujah keempat adalah hujah akal (qiyas). Mereka berpandangan bahawa jika anak itu boleh dinisbahkan kepada ibunya dan boleh mewarisinya, maka mengapa tidak hal yang sama berlaku kepada ayah kandungnya, sedangkan kedua-dua mereka telah melakukan dosa zina yang sama. Hujah ini tampaknya boleh diterima oleh akal rasional, akan tetapi di dalam Shari’ah akal manusia tidak boleh dijadikan sumber hukum khususnya jika hujah akliah itu bertentangan dengan nas wahyu. Imam al-Shatibi menegaskan bahawa akal bukan penentu Shari’ah, ia hanya digunakan untuk menyokong nas bukan untuk menyaingi atau menjadi sumber yang berdiri sendiri secara berasingan daripada nas (lihat al-Muwafaqat).
5. Mereka juga berhujah bahawa terdapat banyak maslahah (kebaikan) yang boleh tercapai dengan menasabkan anak zina kepada lelaki penzina. Dengan penasaban ini stigma dan rasa malu yang ditanggung oleh anak luar nikah akan hilang dan ia dapat hidup seperti manusia biasa dan ini sesuai dengan semangat Islam yang rahmatan li al-‘alamin. Dengan demikian ia akan mengurangkan anak-anak luar nikah ini daripada terjebak dengan jenayah dan gejala sosial. Hujah ini juga sangat rapuh dan tidak dapat dipertahankan dengan baik. Kita boleh bertanya: apakah maslahat yang boleh dicapai melalui penipuan dan kezaliman? Menyamakan anak luar nikah dengan anak hasil perkahwinan yang sah adalah suatu kezaliman dan penipuan. Adalah lebih baik jika pasangan seseorang itu tahu dan menerima hakikat bahawa pasangannya adalah seorang anak luar nikah daripada menyembunyikan fakta ini. Biarlah pemilihan jodoh dibuat berdasarkan kriteria akhlak dan agama seseorang bukan hanya berdasarkan nasabnya. Nasab sahaja tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga. Dengan kefahaman yang baik tentang Islam ia akan faham bahawa seorang anak tidak mewarisi dosa dan perangai ibu bapanya, kerananya, tiada masalah mengahwini seorang anak luar nikah asalkan ia seorang yang baik agamanya dan berakhlak mulia. Adapun untuk mengelakkan anak luar nikah daripada terlibat dengan jenayah dan gejala sosial, ibu bapa perlu mengambil peranan serius dalam mendidik anak-anak dengan baik, sebaliknya dengan menyembunyikan fakta dan melakukan pemalsuan Ibubapa telah memberikan contoh yang tidak baik.
Apakah nas dan dalil yang menjadi sandaran majoriti ulama’?
Terdapat banyak hadith sahih yang menyokong pandangan jumhur ulama’, sebagaimana berikut:
1. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari (6818, 7182), Muslim (1457), Tirmizi (2120), Abu Daud (2273), al-Nasa’I (3486), Ahmad (2:235).
Daripada A’isyah radiya’Llah ‘anha berkata:
كَانَ عُتْبَةُ عَهِدَ إِلَى أَخِيهِ سَعْدٍ: أَنَّ ابْنَ وَلِيدَةِ زَمْعَةَ مِنِّي، فَاقْبِضْهُ إِلَيْكَ، فَلَمَّا كَانَ عَامَ الفَتْحِ أَخَذَهُ سَعْدٌ، فَقَالَ: ابْنُ أَخِي عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ ، فَقَامَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ، فَقَالَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَتَسَاوَقَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ سَعْدٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْنُ أَخِي، قَدْ كَانَ عَهِدَ إِلَيَّ فِيهِ، فَقَالَ عَبْدُ بْنُ زَمْعَةَ: أَخِي وَابْنُ وَلِيدَةِ أَبِي، وُلِدَ عَلَى فِرَاشِهِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ» ثُمَّ قَالَ لِسَوْدَةَ بِنْتِ زَمْعَةَ: «احْتَجِبِي مِنْهُ» لِمَا رَأَى مِنْ شَبَهِهِ بِعُتْبَةَ، فَمَا رَآهَا حَتَّى لَقِيَ اللَّهَ
Maksudnya: Adalah ‘Utbah telah mewasiatkan dengan bersungguh-sung
هُوَ لَكَ يَا عَبْدُ بْنَ زَمْعَةَ، الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ
Maksudnya: “Dia bagi kamu wahai ‘Abd bin Zam’ah. Ini kerana nasab anak kepada perkahwinan yang sah. Sedangkan bagi penzina adalah kekecewaan.”
Kemudian sabda Baginda salla’Llah ‘alayhi wasallam kepada Saudah binti Zam’ah, ‘Hendaklah kamu berhijab daripadanya. Ini kerana Rasulullah SAW mendapati anak tersebut amat menyerupai ‘Utbah. Maka tidaklah anak tersebut melihat Saudah sehingga bertemu Allah atau mati.
Dalam menerangkan hadith ini Imam al-Nawawi berkata: yang dimaksudkan dengan al-‘ahir adalah penzina, bagi penzina al-hajar bermaksud tiada lain baginya melainkan al-khaybah, kerugian dan kekecewaan, tiada hak baginya terhadap anak zina itu (Sharh Sahih Muslim, 10:37). Ibn Hajar pula dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa menurut Imam al-Shafi’i terdapat dua keadaan, pertama anak itu dinasabkan kepada Bapa yang mengahwini ibunya, jika ia tidak menolaknya adapun jika ia menolaknya maka berlaku hukum li’an. Dalam keadaan kedua, apabila Bapa yang mengahwini ibunya bertelagah dengan bapa biologi yang menyebabkan kelahiran anak zina, maka anak itu dinasabkan kepada Bapa yang mengahwini ibunya sedangkan bagi bapa biologi anak zina dihukumkan pengharaman daripada menjadi bapa kepada anak biologinya. (Fath al-Bari, 12:36)
Yang dimaksudkan dengan al-firash pula adalah perkahwinan yang berlaku di antara lelaki dan perempuan, di mana lelaki mempunyai hak ke atas isterinya.
Oleh kerana hadith ini cukup jelas dan disepakati kesahihannya maka para ulama’ fiqh telah bersepakat bahawa anak zina tidak dinasabkan kepada lelaki penzina. Ibn al-Athir di dalam al-Shafi fi Sharh Musnad al-Shafi’i menegaskan bahawa ia adalah perkara yang telah diijma’kan oleh para ulama’ (5:49) demikian juga al-Mawardi di dalam al-Hawi al-Kabir berkata telah ijma’ ulama’ menafikan nasab anak zina walaupun lelaki penzina itu mengakui perbuatan zinanya (8:455, 9:219). Imam al-Ghazali dalam al-Wasit (4:31). Begitu juga di dalam kitab al-Majmu’ (16:222); Bidayat al-Mujtahid 4:142); al-Mabsut dalam mazhab Hanafi (17:154), Bada’i’ al-Sana’I’ (6:243), al-Mudawwanah dalam mazhab al-Maliki (2:556), Asna al-Matalib (3:20), al-Mughni (6:228 dan 345), al-Muhalla (10:142), bahkan fatwa al-lajnah al-da’imah Arab Saudi juga menfatwakan bersesuaian dengan pandangan jumhur ulama’ (20:387).
Di dalam al-Mughni, Ibn Qudamah ada menerangkan pandangan minoriti yang dipelopori oleh Ibn Taymiyyah namun beliau sendiri tidak mengambil pandangan tersebut. Ibn al-Qayyim menyebut bahawa pendapat ini adalah pendapat Ishaq bin Rahawayh bahawa “seorang anak zina jika dilahirkan tidak dalam perkahwinan (firash) kemudian diakui oleh lelaki penzina maka ia dinisbahkan kepadanya”. Beliau mengatakan ia adalah mazhab Hasan al-Basri dan Urwah bin Zubair dan Sulaiman bin Yasar (Zad al-Ma’ad, 5:381).
Jika diteliti daripada kenyataan Ibn Qayyim ini secara mudahnya adalah berkenaan isu anak yang lahir di mana ibunya tidak berkahwin dengan sesiapa, bukan anak yang lahir dalam sebuah perkahwinan. Dengan itu pandangan ini tidak boleh dijadikan sandaran untuk menasabkan anak luar nikah kepada lelaki penzina yang berkahwin dengan ibunya. Ia adalah dua kes yang berbeza yang mana menurut Jumhur ulama’ dalam kedua-duanya penasaban anak zina kepada lelaki penzina adalah tidak dibenarkan. Sebagaimana dijelaskan di atas, pandangan Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim yang membenarkan penasaban anak zina kepada lelaki penzina adalah bertentangan dengan hadith yang menegaskan bahawa “nasab anak kepada perkahwinan yang sah. Sedangkan bagi penzina adalah kekecewaan”. Dengan penasaban anak zina kepada lelaki penzina jelas bahawa lelaki penzina tidak mengalami kerugian dan kekecewaan sebagaimana yang diingini oleh Rasulullah salla’Llah ‘alayhi wasallam.
Tambahan lagi Ibn Qayyim tidak menjelaskan dari mana pandangan ini diambil, hanya sekadar mendakwa ia adalah pandangan Ishaq Rahawayh, Hasan al-Basri tidak cukup untuk mensabitkan dakwaan tersebut. Dengan kata lain tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia memang benar-benar pandangan dua ulama’ besar tersebut apalagi untuk menisbahkan kepada Sahabat Nabi yang mulia.
Pandangan Ibn Taymiyyah dalam beberapa hal adalah keliru dan salah. Pandangan beliau yang salah tidak boleh diikuti.
2. Hadith kedua diriwayatkan oleh Imam Ahmad (6660), Abu Daud (2265), Ibn Majah (2746) yang berbunyi:
أَيُّمَا مُسْتَلْحَقٍ اسْتُلْحِقَ بَعْدَ أَبِيهِ الَّذِي يُدْعَى لَهُ ادَّعَاهُ وَرَثَتُهُ ، قَضَى : إِنْ كَانَ مِنْ حُرَّةٍ تَزَوَّجَهَا أَوْ مِنْ أَمَةٍ يَمْلِكُهَا فَقَدْ لَحِقَ بِمَا اسْتَلْحَقَهُ . وَإِنْ كَانَ مِنْ حُرَّةٍ أَوْ أَمَةٍ عَاهَرَ بِهَا : لَمْ يَلْحَقْ بِمَا اسْتَلْحَقَهُ ، وَإِنْ كَانَ أَبُوهُ الَّذِي يُدْعَى لَهُ هُوَ ادَّعَاهُ ، وَهُوَ ابْنُ زِنْيَةٍ لِأَهْلِ أُمِّهِ مَنْ كَانُوا حُرَّةً أَوْ أَمَةً
Maksudnya: “Setiap anak yang dinisbahkan kepada ayahnya yang mendakwa bahawa ia adalah anaknya dan pewarisnya maka diputuskan: jika ia adalah hasil persetubuhan dengan seorang perempuan merdeka yang dikahwininya atau daripada hamba sahaya yang dimilikinya maka ia dinisbahkan kepadanya. Adapun jika ia daripada perempuan merdeka atau hamba sahaya yang berzina dengannya maka anak itu tidak dinisbahkan kepadanya walaupun ayahnya itu mendakwa ia anaknya, ia adalah anak zina kepada keluarga ibunya, sama ada ibunya itu perempuan merdeka atau hamba sahaya”.
Meskipun Ibn Qayyim mengatakan ia hadith yang da’if, tetapi beliau mengatakan bahawa jika hadith ini adalah sahih maka pendapat yang benar adalah yang dinyatakan oleh hadith ini, maka mengapa dua hadith sebelum ini yang sahih tidak diambil kira? Justeru kesemua hadith ini memperkuat satu sama lain dan menjelaskan perkara-perkara
3. Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud (2264), daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah bersabda:
لَا مُسَاعَاةَ فِي الْإِسْلَامِ ، مَنْ سَاعَى فِي الْجَاهِلِيَّةِ
Maksudnya: “Tiada perzinaan di dalam Islam (tidak diiktiraf). Barang siapa yang berzina di zaman jahiliyyah maka ia dinisbahkan kepada keluarganya, dan barang siapa yang mendakwa seorang anak zina adalah anaknya maka ia tidak menjadi waris dan tidak mewarisi”.
Terdapat hadith sahih yang serupa yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi (2113), Shawkani (6:184), al-Suyuti, al-Jami’ al-Saghir (2960), Ibn Hajar, Takhrij Mishkat al-Masabih, (3:233) sebagai berikut:
أيما رجلٍ عاهَر بحرَّةٍ أو أمةٍ ، فالولدُ ولدُ زنًا ، لا يَرِثُ و لا يُورَثُ
Yang bermaksud: “Mana-mana lelaki yang berzina dengan seorang perempuan merdeka atau hamba sahaya, maka anak itu adalah anak zina, ia tidak menjadi waris dan tidak mewarisi”.
Meskipun kedua-dua penzina telah bertaubat akan tetapi tidak bermakna bahawa tiada kesan daripada perbuatan mereka di kemudian hari. Berdasarkan ketentuan Shari’ah para ulama’ menegaskan bahawa kesan daripada perbuatan zina itu amat besar kepada kehidupan anak zina, antaranya seperti berikut:
1. Anak zina hanya boleh dibinkan kepada Abdullah atau menggunakan Asma’ al-Husna yang lain.
2. Anak zina tidak mewarisi harta lelaki yang menyebabkan kelahirannya.
3. Jika anak zina itu perempuan maka ayah zina tidak boleh menjadi wali pernikahannya.
4. Jika ayah zina meninggal abang juga tidak boleh menjadi wali pernikahannya.
Pandangan para ulama’ dari kesemua empat mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam hal ini boleh dirujuk kepada al-Umm (6:36), al-Majmu’ (17:169), Rawdat al-Talibin (2:43), Nihayat al-Muhtaj (5:108), al-Mughni (9:114), al-Buhuti, Sharh Muntaha al-Iradat (4:547), al-Bahr al-Ra’iq (4:129), al-Bayan wa al-Tahsil (6:405), Radd al-Muhtar (4:371), Asna al-Matalib (9:359) dan lain-lain.
Pandangan yang membenarkan penasaban anak zina (anak luar nikah, anak tidak sah taraf) kepada bapa kandungnya, yang menyebabkan kelahiran anak zina ini, tidak mengambil kira hukum-hukum fiqh di atas yang telah disepakati oleh para ulama’ mazhab fiqh yang muktabar yang sudah tentu akan memberi kesan yang besar kepada tatanan sosial dan institusi keluarga.
Kesimpulan daripada perbincangan di atas adalah seperti berikut:
1. Pandangan Ibn Taymiyyah yang ditaqlid oleh para pengikutnya, iaitu Ibn Qayyim, Yusuf al-Qaradawi, Ibn Uthaymin (ulama’ Arab Saudi), tidak disokong oleh nas al-Qur’an dan al-Sunnah sama sekali. Malah pandangan mereka telah membelakangkan hadith-hadith sahih yang disepakati oleh para muhaddithin besar iaitu Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad bin Hanbal, al-Nasa’i, Tirmizi, Abu Daud dan lain-lain. Ijtihad mereka ini tidak sah kerana bertentangan dengan hadith-hadith sahih. Kaedah fiqh ada menyebut tiada ijtihad apabila terdapat nas. Justeru pandangan jumhur ulama’ adalah pandangan yang benar kerana bersandarkan kepada nas atau dalil yang sahih lagi kuat.
2. Pada intinya pandangan minoriti hanya bersandarkan kepada akal rasional yang menolak perbezaan di antara ibu dengan ayah, jika ia boleh untuk si ibu mengapa tidak boleh untuk si ayah sedangkan kedua-duanya merupakan penzina. Pendekatan seperti ini berbahaya, khususnya jika hadith dan perintah Nabi SAW telah jelas tidak membenarkan penasaban anak zina kepada lelaki penzina. Pendekatan seperti ini malah berlawanan dengan dakwaan pengikut Ibn Taymiyyah (yang dikenali dengan Salafiyyah) bahawa mereka mengutamakan al-Qur’an dan hadith berbanding akal rasional.
3. Dakwaan bahawa terdapat maslahah (kebaikan) yang besar dalam ijtihad mereka ternyata tidak benar. Maslahah tidak dapat ditegakkan dengan kepalsuan dan penipuan. Justeru banyak mafsadah (kerosakan) yang akan muncul akibat daripada kebenaran untuk menasabkan anak zina kepada lelaki penzina. Ini kerana pensyari’atan sesuatu hukuman dalam Islam mengandungi maslahah yang besar kepada umat manusia, hukum hudud dan qisas contohnya dapat mengurangkan jenayah dan dengan demikian masyarakat akan hidup aman harmoni. Hukuman yang ringan pula tidak akan dapat menghalang penjenayah daripada terus melakukan jenayah. Larangan menasabkan anak zina kepada lelaki penzina oleh Rasulullah salla’Llah ‘alayhi wasallam adalah satu hukuman kepada penzina agar ia sedar kesilapan yang dilakukan dan meskipun mungkin telah bertaubat terdapat kesan yang berterusan yang perlu menjadi pengajaran kepada dirinya dan orang lain. Dengan ketiadaan hukuman ini, ditambah lagi dengan ketiadaan pelaksanaan Shari’ah yang menyeluruh, maka sudah tentu perzinaan akan semakin berleluasa.
4. Mufti tidak sepatutnya membelakangi pandangan jumhur ulama’ yang kuat. Ia tidak boleh sewenang-wenang
5. Mufti perlu mengambil peranan sebagai faktor pemersatu umat Islam dan bukan faktor pemecah belah. Ia tidak sepatutnya mengeluarkan pandangan-panda
Wallahu a’lam bi al-sawab.
Profesor Madya Dr. Khalif Muammar A Harris.
Pengarah CASIS
UTM