CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 24 Disember 2012

Tidur Bagaimana Yang Tidak Membatalkan Wudhuk ?




TIDUR BAGAIMANA YANG TIDAK MEMBATALKAN WUDHU?

Oleh : Mufti Brunei

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Wudhu disyari‘atkan untuk mengangkat hadats kecil. Orang yang berwudhu akan berada di dalam keadaan suci dan seterusnya dapat menunaikan ibadat-ibadat yang hanya sah  apabila dia berkeadaan suci daripada hadats seperti sembahyang, thawaf serta memegang mushaf al-Qur’an.

Keharusan melakukan  perbuatan-perbuatan  tersebut akan terhenti dengan berlakunya  perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu dan  di  antara perkara yang membatalkan  wudhu  itu ialah tidur.

Jumhur ulama mazhab fiqh menyimpulkan,  tidur itu boleh membawa kepada batalnya wudhu. Ini  berdasarkan hadits yang diriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib  Karramallahu Wajhah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya: “Pengikat (pengawal) dubur (daripada keluar sesuatu daripadanya) itu  ialah dua belah mata (jaga), makasesiapa yang tidur, hendaklah dia berwudhu.”(Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits tersebut bermaksud bahawa sedar atau jaga (tidak tidur) itu akan  mengawal keluarnya sesuatu dari dubur, manakala  orang yang tidur kadang-kadang keluar sesuatu daripada duburnya tanpa disedarinya.

Walau bagaimanapun, adakah semata-mata tidur  membatalkan wudhu? Apakah sukat-sukat tertentu yang menjadi ukuran dalam penentuan tidur yang boleh membatalkan wudhu itu?

Untuk menjawab persoalan tersebut, berikut  dijelaskan perkaraperkara yang berkaitan dengan tidur yang membatalkan wudhu dan yang tidak membatalkan wudhu  mengikut pendapat  para  ulama mazhab Syafi‘e.

Tidur Yang Tidak Membatalkan Wudhu

Para  ulama mazhab Syafi‘e menjelaskan dengan  terperinci mengenai tidur yang tidak membatalkan wudhu itu.

Mereka berpendapat bahawa tidur itu bagaimanapun  keadaannya boleh membatalkan wudhu  kecuali  tidur di  dalam posisi duduk,sama ada duduk di atas lantai atau tanah seperti duduk di atas tikar sembahyang atau duduk di atas kerusi seperti duduk di dalam kapal terbang dan termasuklah duduk sambil memeluk lutut. Tidur dengan  cara demikian tidaklah  menyebabkan wudhu  batal, tetapi hendaklah memenuhi syarat atau ketetapan berikut: 

1) Hendaklah  tetap tempatnya (punggung dan tempat keluar hadats) di atas tanah, lantai, kerusi, binatang tunggangan atau selainnya, iaitu dua pipi punggungnya tetap pada tempatnya, tidak berubah dari posisi awal sebelum dia tidur, sekalipun jika seseorang itu bersandar atau duduk berpeluk lutut  pada atau di atas sesuatu yang boleh menyebabkan dia jatuh atau gugur apabila sesuatu itu tiada. Ini kerana tidur dalam keadaan ini  tidak dikhuatiri akan keluar sesuatu (angin)  dari duburnya (kentut). Adapun kebarangkalian keluarnya sesuatu dari qubul bukanlah perkara yang perlu diambil kira kerana ianya jarang berlaku.

Namun jika diyakini keluar angin daripada qubul sama ada lelaki atau perempuan, maka wudhu itu tetap batal.

2) Hendaklah tiada ruang di antara punggung dan tempat tetapnya  itu  ataupun tidak renggang di antara keduanya. Wudhu seseorang tidak akan batal jika terdapat ruang yang ditutup dengan sesuatu seperti kapas.
Wudhu orang yang tidur  dengan posisi sedemikian adalah tidak batal. Perkara ini  bersandarkan kepada hadits yang diriwayatkan dari Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Para  sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah tidur  kemudian mereka berdiri menunaikan sembahyang dengan tidak (lagi) mengambil wudhu.” (Hadits riwayat Muslim)

Perbuatan tidur yang dimaksudkan di dalam hadits ini  ialah tidur dalam keadaan duduk yang tetap dan menurut riwayat lain,  para sahabat itu tidur dalam keadaan duduk yang tetap sehingga kepala  mereka terangguk-angguk hampir mencecah lantai. Mereka tidak lagi mengambil wudhu dan terus menunaikan sembahyang Isya’.Wudhu seseorang yang tidur dengan  duduk yang tetap juga tidak batal jika pipi punggung atau salah satu pipi punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat selepas atau ketika dia bangun atau
sedar. Ini kerana asal keadaannya yang suci setelah berwudhu.

Tidur Yang Membatalkan Wudhu

Wudhu seseorang akan batal jika tidurnya itu dalam keadaan yang tidak memenuhi syarat atau ketetapan di atas, iaitu apabila dia tidur dengan posisi punggung yang tidak tetap,  tidur dengan posisi berdiri atau tidur  dengan posisi berbaring, menelentang mahupun bertiarap walaupun dengan menutup atau menyumbat sesuatu
seperti kapas pada ruang antara punggung dan tempat letak punggung tersebut.

Tidur dalam keadaan duduk  yang tetap  juga boleh  menyebabkan wudhu batal, jika  seseorang  mendapati
punggungnya telah berubah dari tempat asalnya atau terangkat sebelum dia bangun atau sedar ataupun tempat duduknya berlubang-lubang seperti kerusi rotan.

Ini kerana telah berlalu (berlaku) detik dia tidur dengan tidak tetap duduknya.

Adakah Wudhu Batal Disebabkan Mengantuk?

Wudhu seseorang tidak menjadi batal disebabkan mengantuk. Sekiranya seseorang menutup mata kerana mengantuk, tetapi masih dapat mendengarkan percakapan orang  di sekeliling, maka dia masih  boleh saja melakukan ibadat tanpa perlu mengambil wudhu semula kerana dia dikira masih jaga.

Antara tanda-tanda orang yang mengantuk itu  ialah, dia masih dapat mendengar percakapan orang di sekelilingnya walaupun tidak memahami percakapan  itu. Adapun jika dia tidak sedar, tidak mendengar lagi
percakapan di sekelilingnya dan bermimpi, maka dia telah dikira tidur.

Adakah Wudhu Batal Disebabkan Rasa Syak Atau Ragu?

Menurut para ulama, wudhu  seorang yang tidur dengan posisi duduk yang tetap tidak batal dalam keadaan seperti berikut:-

1) Jika dia merasa ragu atau syak sama  ada  pipi  punggungnya atau salah satu  pipi  punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat.

2) Jika  dia merasa ragu atau syak sama  ada  pipi  punggungnya atau salah satu  pipi punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat sebelum atau sesudah dia bangun atau sedar.

3) Jika  dia merasa ragu atau syak sama  ada dia tidur dengan posisi duduk yang tetap atau berubah.

4) Jika dia merasa ragu atau syak sama ada dia tidur atau hanya mengantuk.

Dalam hal lain mengenai perkara syak atau ragu ini juga,  ulama ada menjelaskan bahawa seseorang yang merasa yakin dia masih dalam keadaan suci atau berwudhu’ apabila dia merasa  ragu adakah wudhu’nya terbatal atau tidak, maka perasaan ragunya itu tidak menjejaskan wudhu’nya.

Oleh itu, dia boleh mendirikan sembahyang dengan wudhu’nya itu. Begitu juga sebaliknya, jika seseorang merasa yakin bahawa wudhunya sudah terbatal kemudian dia merasa ragu apakah dia masih mempunyai wudhu’, maka dihukumkan bahawa wudhunya telahpun terbatal.

Sekiranya timbul ragu  pada diri seseorang, maka hendaklah diteruskan dengan apa yang  diyakininya.  Ini bersesuaian dengan salah satu qa‘idah fiqhiyyah yang menyebut bahawa:

Ertinya:  “Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan.”  

Ini bermaksud keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala ragu adalah satu perasaan yang mendatang. Oleh itu, sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang diragui.

Sunat Berwudhu Walaupun Tidur Dengan Posisi Yang Tidak Membawa Kepada Batal Wudhu

Walau bagaimanapun, seorang yang tidur dengan posisi yang tidak menyebabkan wudhunya batal adalah disunatkan untuk berwudhu lagi atas alasan berwaspada  dari keberangkalian keluarnya hadats dan mengelak dari khilaf (perselisihan) para ulama.

Dalam pada itu juga, ulama  mazhab Syafi‘e  telah sepakat mengatakan bahawa memperbaharui wudhu itu adalah satu amalan yang dituntut mengikut keadaan tertentu.

Menurut pendapat yang  ashah, memperbaharui wudhu itu disunatkan hanya apabila dia telah mengerjakan sembahyang  fardhu atau sunat dengan wudhunya yang pertama tadi. Al-Qadhi  Abu ath-Thaiyib di dalam kitabnya Syarh al-Furu‘, al-Baghawi, alMutawalli, ar-Ruyani dan lain-lain ulama mazhab memutuskan bahawa jika seseorang itu belum menggunakan wudhunya yang  pertama dengan melakukan apa jua ibadah, maka hukum  memperbaharui wudhu itu adalah makruh. Ibnu Hajar  Rahimahullah pula menegaskan bahawa tuntutan sunat memperbaharui wudhu itu ialah apabila dia telah mengerjakan apa jua sembahyang sekalipun yang hanya satu rakaat. Jika dia tidak bersembahyang, walaupun telah melakukan sujud (sajdah atau syukur) ataupun thawaf tidaklah disunatkan memperbaharui wudhu, bahkan hukumnya adalah makruh.

Demikianlah  dihuraikan  beberapa perkara mengenai  tidur dalam keadaan berwudhu. Kesimpulannya, wudhu tidak batal disebabkan tidur dalam posisi duduk  dengan tempat yang tetap di atas lantai atau seumpamanya dan wudhu tidak batal jika ia  disertai dengan perasaan ragu akan berlakunya perkara-perkara yang membawa kepada batal akibat tidur.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil29-2012.pdf

Ahad, 25 November 2012

Kehebatan Ulamak Melayu Ahlus Sunnah Wal Jama'ah





Koleksi tulisan :  ALLAHYARHAM USTAZ WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERBICARAAN mengenai isu ini pernah dibentangkan penulis dalam satu seminar, yang mana penulis petik sedikit kalimat-kalimat dalam undangan tersebut yang ternyata sungguh mencabar dan prihatin, di antaranya,

"Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menangani gejala kekeliruan umat Islam yang terjadi akibat penyusupan masuk pelbagai fahaman yang menyeleweng daripada pegangan yang berasas kepada al-Quran, As-Sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan Al-Qiyas as-shahih.
Kekeliruan ini ditambah lagi dengan kecetekan ilmu setengah umat Islam sendiri yang akhirnya menjadi kehairanan tidak tahu untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan akhirnya terpengaruh dengan slogan-slogan indah yang dibawa oleh pelbagai puak yang berkepentingan."

Mengenai istilah al-Quran, as-sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan al-Qiyas as-Shahih yang tersebut dalam kalimat secara umum di dunia Melayu, termasuk di Malaysia, pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini dan juga diungkapkan dalam satu kertas kerja yang panjang yang dibentang dalam "SEMINAR baHAN RUJUKAN ISLAM NUSANTARA" yang dibentang di Brunei Darussalam.

Petikan ringkas dapat penulis rakamkan di sini,

"Ulama silam Nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama ialah al-Quran dan hadis. Namun mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.
Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan iaitu al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran otak semata-mata."

Sebenarnya ulama-ulama besar kita di dunia Melayu sejak lama sudah mempersiapkan benteng yang kukuh, membendung umat Islam kawasan ini daripada pelbagai penyelewengan.Ia dapat dibuktikan dengan karya-karya mereka dalam pelbagai keilmuan.

Ulama-ulama dunia Melayu yang dianggap menguasai banyak bidang ilmu di antaranya orang Banjar meriwayatkan bahawa Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1122 H/1710 M - 1227 H/1812 M) menguasai sekurang-kurangnya 35 bidang ilmu.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) pula dirakamkan dalam majalah Pengasuh sanggup mengarang dan mengajar sekurang-kurangnya 47 bidang ilmu. Dalam majalah Pengasuh terbitan yang sama juga disebutkan bahawa Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali, 1287 H/1871 M -1352 H/1933 M) memperoleh 24 bidang ilmu daripada gurunya, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sungguhpun demikian yang sangat-sangat diberatkan atau ditekankan sebagai fardu ain adalah tiga bidang ilmu, ialah akidah, fiqh dan tasawuf. Ketiga-tiga jenis ilmu di atas inilah dianggap benteng pertahanan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah di dunia Melayu.

Walau bagaimanapun, yang benar-benar bernama Ahlus Sunnah wal Jamaah itu menurut kebanyakan ulama ialah pegangan pada akidah, yang dalam hal ini terdapat dua tokoh imam besar. Kedua-dua imam tersebut ialah Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/873 M - 324 H/935 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333 H/944 M).

Imam dalam fiqh pula sekurang-kurangnya banyak dibicaranya empat orang ialah: Imam Hanafi (80 H/699 M - 150 H/767 M), Imam Maliki (93 H - 179 H), Imam Syafi'ie (150 H/768 M - 204 H/820 M) dan Imam Hanbali (164 H - 241 H). Imam dalam tasawuf pula ialah Sheikh Junaid al-Baghdadi (wafat 297 H/910 M).

Karya-karya ulama Melayu sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah

Ilmu akidah di kalangan ulama dunia Melayu, bahkan secara keseluruhan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah di seluruh dunia Islam dinamakan juga dengan ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu ushuliddin, dan lain-lain. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Jumanatut Tauhid menyebut bahawa ilmu tauhid itu seumpama matahari, ilmu-ilmu selainnya ibarat seperti bintang-bintang saja.

Di dunia Melayu, termasuk Malaysia, disiplin ilmu tauhid adalah termasuk ilmu yang paling diutamakan. Ini dapat dibuktikan dengan sangat banyak kitab ataupun risalah mengenai ilmu itu ditulis oleh ulama-ulama kita.
Untuk menyenaraikan keseluruhan ulama-ulama yang mengarang ilmu ini adalah terlalu banyak.

Karya ilmu tauhid/ akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang lengkap nama pengarang serta dengan tahunnya yang paling awal dihasilkan adalah ulama yang berasal dari Kedah. Beliau ialah Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) dengan karya Ilmu Tauhid yang ditulis tahun 1032 H/1622 M.

Kitab ilmu tauhid yang paling tebal pula ialah Warduz Zawahir (1245 H/1829 M) susunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Diikuti kitab berjudul Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashauwufis Shaaffin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan Fat-hul 'Alim (1324 H/1906 M) karya Haji Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad Afif al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri.

Karya ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikarang ulama dunia Melayu dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam (1293 H/1876 M) dan Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M) yang ketiga-tiganya karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Antara kitab lain dalam bahasa Arab juga iaitu Fat-hul Majid fi Syarhid Duraril Farid fi 'Ilmit Tauhid (1294 H/1877 M), Tijanud Darari fi Syarhi Risalatil Bajuri (1297 H/1880 M) dan Zari'atul Yaqin fi Syarhi Ummil Barahin atau Ad-Durratun Nadhra 'alal 'Aqidatish Shughra (1302 H/1885 M), ketiga-tiga karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

Kitab ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang besar pengaruhnya di dunia Melayu pula ialah: Ad-Durrus Tsamin (1232 H/1816 M) karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Faridatul Faraid (1313 H/1895 M) karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sirajul Huda (tanpa tarikh) karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi dan 'Aqidatun Najin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Perhatian raja-raja Melayu

Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia (17 Ogos 1945), hampir semua kerajaan dalam jajahan Belanda di dunia Melayu, termasuk di Semenanjung yang dijajah oleh Inggeris berpegang teguh dengan Mazhab Syafie dalam fiqh dan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam akidah.

Perhatian raja-raja Melayu mengenai perkara yang tersebut sangat jelas, sebagai contoh tokoh Johor, bernama Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar dalam karya akidahnya berjudul Matnur Risalatit Tauhidiyah pada pendahuluan dicatatkan,

"Dan lagi inilah satu daripada beberapa risalah dan kitab-kitab pelajaran yang dibawa balik ke Johor oleh Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Johor, iaitu pada masa Al-Marhum itu melawat negeri Mesir di dalam bulan Mac tahun 1893 [Masihi]."

Dimaksudkan ialah sebuah risalah tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berjudul Al-'Uqudud Durriyah karya ulama Mesir bernama Sheikh Hamzah Fathullah, pemeriksa sekolah-sekolah Arab di Mesir. Karya tersebut diterjemahkan oleh Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar ke dalam bahasa Melayu. Setelah menterjemahkan matan, Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar menulis pula syarah risalah itu yang diberi judul Syarhur Risalatit Tauhidiyah.

Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib Jabbar Syah al-Jarimi al-Fathani adalah seorang ulama Patani yang menjadi guru Sultan Pahang, dalam karya akidahnya berjudul Najatul Ikhwan fima Yahshulu bihil Islam wal Iman (1337 H/1919 M).

Pada halaman muka dinyatakan, "Diterjemahkan ini kitab dengan titah Yang Maha Mulia al-Mu'tashim Billah as-Sulthan Abdullah al-Muzhaffar Syah ibni al-Marhum as-Sulthan Ahmad al-Mu'azhzham Syah Pahang ...".

Daripada kedua-dua maklumat di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa raja-raja Melayu silam mengambil perhatian berat tentang membentengi negeri-negeri di bawah naungan baginda dengan pegangan yang betul, itulah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

PETIKAN KANDUNGAN BEBERAPA KITAB ULAMA MELAYU

Terlalu banyak pegangan keislaman yang tepat dan betul telah diamalkan oleh para ulama dunia Melayu dan para ulama seluruh dunia yang pada zaman kita menjadi sebaliknya. Bagi yang betul dikatakan salah dan yang salah dikukuhkan sebagai betul.

Pada zaman ini, kita banyak kali terlihat tulisan atau orang bercakap yang menghina ulama. Di antara tulisan itu seperti dikatakan, "Ulama pembohong" dan lain-lain. Siapakah yang bertanggungjawab menulis demikian, dan ulama yang bagaimanakah yang dimaksudkan sebagai pembohong itu, adalah tidak jelas.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam karyanya Ad-Durruts Tsamin (1232 H/1816 M) pernah mengungkapkan bahawa manusia ada jenis yang dinamakan hubbul ulama, iaitu "kasih kepada ulama", dan sejenis lagi dinamakan bughdhul ulama, iaitu "benci kepada ulama".

Penulis tidak hairan jika mencaci, menyalahkan dan memperkecil-kecilkan ulama itu dilakukan oleh orang-orang yang jahil, tetapi adalah sangat menghairankan jika perbuatan seperti itu dilakukan golongan terpelajar Islam sendiri.

Dalam beberapa seminar yang pernah penulis ikuti yang bermotifkan untuk mengangkat martabat seseorang ulama silam yang terkenal misalnya, sekian ramai yang memuji ulama, namun segelintir ada pula yang memperkecil-kecilkan dan memandang sinis kepada ulama silam yang sedang difokuskan.

Bahkan ada yang memandang sesat terhadap ulama silam itu. Ada yang berani menyalahkan Imam Abu Hasan al-Asy'ari, Imam Al-Ghazali dan lain-lain, yang telah demikian terkenal dan menjadi ikutan dan rujukan ulama Islam sedunia berzaman-zaman.

Ulama silam dunia Melayu sama juga nasibnya, segelintir golongan terpelajar Islam dengan tulisan tajam dan suara lantang berani menyalahkan ulama-ulama seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ramai lagi.
Sedangkan mereka itu telah dianggap sebagai ulama yang tsiqah dan turas dunia Melayu oleh ulama rantau ini, sejak antara seratus hingga dua ratus tahun yang lalu.

Bahkan di antara mereka diakui keulamaan dan benar ilmunya oleh ulama-ulama antarabangsa pada zamannya. Umat Islam yang jahil kehilangan pedoman kerana ulama silam yang terkenal dengan kitab-kitab karangannya yang telah diajarkan sekian lama, lalu dipersalahkan oleh tokoh-tokoh Islam masa kini. Tokoh-tokoh Islam masa kini pula sering menyalahkan antara seorang terhadap orang lain yang hidup sezamannya.
Dari hal-hal yang tersebut, kewibawaan ulama dan tokoh Islam zaman kita telah sirna/hilang, akibatnya orang berani menggelar mereka sebagai "Ulama pembohong" seperti yang telah disebutkan di atas.

Isu Jihad

Isu semasa yang terjadi pada zaman kita ini terlalu banyak untuk disentuh. Namun kerana kekurangan ruangan, penulis masuk saja peristiwa terhangat dibicarakan setelah kejadian 11 September 2001, iaitu istilah "JIHAD" yang terjadi pelbagai pentafsiran dan kebersimpangsiuran pendapat antara satu dengan yang lainnya.

Penulis berpendapat bahawa "JIHAD" jika ditinjau dari kitab-kitab fiqh Mazhab Syafie adalah satu istilah yang kadang-kadang digunakan perkataan Kitab al-Jihad, kadang-kadang digunakan perkataan Bab al-Jihad.

Ulama-ulama dunia Melayu menterjemahkan istilah jihad itu dengan "perang sabil", "perang fi sabilillah" dan "perang orang Islam melawan kafir".

Sama ada kita menyetujui atau pun tidak, kerana mempertimbangkan keadaan di pemerintahan mana kita berada atau zaman bila kita hidup, kita mesti mengakui dan berkata benar bahawa dalam fiqh Mazhab Syafie perkataan jihad adalah satu istilah yang ditakrifkan seperti di atas telah ijmak dan muktamad.

Jika kita sebagai seorang ulama, mentakrif pengertian jihad lain dari demikian itu, maka pasti akan dicap dengan perkataan "Ulama pembohong" seperti tersebut di atas oleh orang-orang yang mempelajari fiqh Mazhab Syafie secara teliti, mendalam dan saksama.

Oleh itu kenal pastilah supaya kita tetap amanah dengan ilmu pengetahuan. Katakanlah yang sebenar walau pahit sekali pun.

Mengenai jihad, seperti tersebut di atas, penulis sentuh sehabis-habis ringkas, teliti dan berhati-hati, adalah sebagai catatan penulis mengenai peristiwa besar zaman tersebut (1422 H/ 2001 M).

Namun penulis tiada bermaksud menuding pendapat orang-orang yang tidak menyetujuinya. Selain itu, penulis juga tiada bermaksud mempengaruhi siapapun jua, kerana penulis sedar bahawa kepentingan jasmani dan nafsu peribadi yang cenderung ke arah kebendaan dan seluruh aspek duniawi seseorang adalah berbeza dengan kepentingan rohani yang lebih menekankan seluruh aspek ukhrawi.

Selagi kadar kepentingan jasmani dan nafsu lebih dari kadar kepentingan rohani selagi itulah konsep jihad akan ditolak walaupun telah disepakati oleh para ulama berdasarkan hujah-hujah yang teguh dan kukuh dari al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Jika kita benar-benar sebagai seorang Muslim dan Mukmin, kita mesti berpihak dan menerima kebenaran. Pada yang benar itu ialah secara pasti mengikut al-Quran, as-sunah, dan para ulama yang benar, yang beramal soleh. Itulah para ulama yang secara pasti meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi dari segala kepentingan lainnya, termasuk kepentingan peribadi sendiri.

Ciri-ciri Muslim dan Mukmin yang benar, seperti tersebut, terdapat pada ulama-ulama silam dunia Melayu. Oleh itu mereka adalah layak kita ikuti jejak perjuangan mereka.

Sumber : http://ulama-nusantara.blogspot.com/2009/06/kehebatan-ulama-melayu-ahli-sunnah-wal.html

Jumaat, 23 November 2012

Soal Jawab Amalan Di Bulan Muharram



Soal Jawab bersama Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre :

Soalan : 

Ustaz.. Boleh tak terangkan berkenaan puasa asyura? Bila puasanya? Saya dengar 9 & 10 Muharram. Ada yang bagitau saya 11 pun sunnat puasa. Bagaimana yang terbaik? Apa lagi amalan baik di hari Asyura? Syukran.

Jawapan:

Kita akan berjumpa hari 'Asyura' (عاشوراء) sekali lagi. Di bawah ini saya nyatakan beberapa hukum yang disebutkan oleh para Fuqaha' berkaitan 'Asyura'.

1. Bilakah 'Asyura'?

Pendapat pertama : Ibn Abbas Radhiyallahu 'Anhuma berpendapat 'Asyura' adalah pada 9 Muharram. Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha' berpendapat 'Asyura' adalah pada 10 Muharram.

2. Bila Sunnah Puasa?

Sunnah berpuasa seluruh bulan Muharram. Ini kerana ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram.Sunnah muakkadah (yang sangat dituntut) berpuasa pada 10 Muharram (hari 'Asyura').Sunnah juga berpuasa pada 9 Muharram.Sunnah juga berpuasa pada 11 Muharram.Sunnah juga berpuasa 1-10 Muharram menurut sebahagian Fuqaha'.

3. Kelebihan berpuasa pada 10 Muharram?

Diampunkan dosa setahun yang lalu (hadis sahih riwayat Imam Muslim).Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan daripada Fir'aun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran*. Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada 'Asyura') kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa.

* ia juga dalil bahawa Islam membenarkan sambutan diadakan untuk mensyukuri sesuatu perkara setiap tahun. Oleh kerana itu juga, maka sambutan maulid dibenarkan di dalam Islam sebagai tanda kesyukuran.

4. Mengapa pula puasa pada 9 Muharram?

Hadis Nabi yang bermaksud: Jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan. Namun baginda telah wafat pada tahun berikutnya.Membezakan dengan amalan orang Yahudi.Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.Termasuk 10 hari pertama Muharram yang disunnahkan berpuasa oleh sebahagian Fuqaha'.

5. Hikmah berpuasa pada hari 11 Muharram?

Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.

6. Apakah amalan terbaik selain berpuasa pada hari 'Asyura'?

Meluaskan rezki (berbelanja makanan, minuman, menggembirakan kanak-kanak dan kaum keluarga).

7. Apakah kelebihannya?

Dilapangkan oleh Allah rezekinya selama setahun.*

* Hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Attabrani dengan pelbagai sanad. Imam Baihaqi menyebutkan, sanad-sanadnya dhoif, tetapi apabila dihimpunkan kesemuanya maka ia menjadi kuat.

8. Apakah yang dilakukan oleh para salafussoleh pada hari 'Asyura'?

Disebutkan di dalam nota kaki kitab Fathul 'Allam oleh Syaikhuna Muhammad Alhajjar, menakalkan kitabAlmadkhal oleh Ibnul Hajj, para salafussoleh tidak akan melalui musim-musim ini melainkan dengan banyaknya ibadah, sedekah, berbuat kebajikan dan meraih kelebihannya, bukanlah dengan makan dan minum, bahkan bersegera menambahkan sedekah dan berbuat baik.

9. Apakah contoh amal kebaikan yang digalakkan oleh para ulamak untuk dilakukan pada hari tersebut?

Apa jua amalan kebajikan baik dilakukan pada hari yang mulia tersebut. Antara yang diajarkan oleh para ulamak adalah bersiwak, bercelak, berwangi-wangi, mengusap kepala anak yatim, menziarahi orang soleh dan para ulamak.

10. Ada tak doa yang ulamak dahulu amalkan pada hari tersebut?



Do'a dibaca pada hari 'Asyura'


11. Apa hukumnya merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syi'ah pada hari 'Asyura' meratapi pemergian Sayidina Husin?

Hukumnya haram. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah)."

Wallahu A'lam

Sumber : http://aljoofre.iluvislam.com/?p=40

Isnin, 19 November 2012

Isu Insya Allah yang kononnya dibangkitkan oleh Dr Zakir Naik




Soalan :

Tersebar dalam facebook seorang dai'e internasional menyatakan tulisan InshaAllah adalah salah. dan perlu ditulis In shaa Allah. Betulkah perkara ini ?


Jawapan :

Jika di Malaysia kita akan merujuk kepada Dewan Bahasa Pustaka kerana pihak ini yang bertanggungjawab untuk menterjemahkan / transliterasi Arab-Melayu dan apa sahaja yang berkaitan dengan Bahasa Melayu.

Rujuk : http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=insya+allah


insya-Allah jika diizinkan Allah. Kamus Pelajar Edisi Kedua
insya-Allah jika diizinkan Allah. Kamus Pelajar
insya-Allah jika diizinkan Allah. Kamus Dewan Edisi Empat

Di Malaysia kita sudah sedia maklum bila ditulis Insya Allah ataupun Insha Allah ertinya jika diizinkan Allah . Sepatutnya tiada masalah tentang perkara ini.

Wallahua'lam

Tambahan :


Di dalam kalimat arab ia akan menjadi satu masalah apabila ditulis : (إنشاء الله) - bermaksud mencipta Allah

Dan ia sepatutnya ditulis إن شاءالله - bermaksud -sekiranya dikehendaki Allah

(pernyataan dai'e internasional di atas sepatutnya merujuk dalam kalimat Arab yang ditulis dalam tulisan arab dan bukan tulisan rumi)

Dalam rumi kita tiada masalah yang timbul sebab pakar bahasa Dewan Bahasa Dan Pustaka telah mengesahkan tulisan Insya Allah itu bermakna - Dengan Izin Allah.

Dr Zakir Naik yang kita kenali adalah seorang pendakwah terkenal antarabangsa yang berani berhujjah di kalangan non Muslim dan di tangannya ramai yang memeluk Islam. Namun begitu beliau bukanlah seorang yang diiktiraf sebagai ulamak untuk mengeluarkan hukum dan rujukan dalam perkara aqidah. Antara fatwa mengenai Dr Zakir Naik klik di sini.

Penafian dari Dr Zakir Naik mengenai isu Insha Allah ini  Sila klik gambar untuk besarkan:




Jumaat, 16 November 2012

Hukum Menggunakan Tasbih Kayu Kokka



Hukum Menggunakan Tasbih Kayu Koka 

Soalan :

Kayu kokka dikatakan mempunyai banyak kelebihannya dan telah digunakan oleh para nabi sebagai bukti kekuasaan Allah subahanahu wa Ta'ala dalam memberikan perlindungan dan penawar kepada manusia. Jadi bolehkah kita menggunakan tasbih daripada kayu kokka ?

Jawapan Syeikh Nuruddin Al Banjari : 

Kokka ialah sejenis buah keras, besar sedikit daripada buah pinang. Ubat-ubatan yang kita guna, ada untuk sakit gigi, sakit kepala dan sakit perut. Orang minum air tongkat ali ada khasiatnya. Dikatakan, jika airtnya diminum ia boleh menyembuhkan sakit gigi, menghilangkan sakit kepada dan tidak perlu kepada dalil. Ia adalah suatu penemuan.

Jika dikatakan sesiapa yang menggunakan tasbih kayu kokka akan masuk syurga atau dikatakan sekali berzikir dengan sebiji tasbih kokka akan digandakan 100 kali ganda, maka baharulah perlu kepada dalil. Tidak salah jika sentiasa menggunakan tasbih kayu kokka.

Contoh, seseorang yang sangat meminati kayu kayan sehingga seluruh rumahnya dibina daripada kayu termasuklah perabot dan peralatan-peralatan di dalam rumah. Adakah menggunakan kayu secara berterusan juga dilarang ? Begitulah juga orang yang selalu menggunakan tasbih kayu kokka, tidak ada salahnya. 

Sumber : Muhadir bin Hj Joll, Q & A bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al Makki, m/s 32, Cetakan 2012, PSN Publication, Selangor.

Ahad, 11 November 2012

Hukum Menghadiahkan Pahala Kepada Orang Yang Hidup

Soalan :

Adakah kita boleh menghadiahkan pahala kepada orang yang masih hidup ?

Jawapan :

Ketika berkorban, Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam menyembelih dua ekor kambing. Untuk kambing yang pertama Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

هذا لي و لأهل بيتي

Maksudnya : Ini adalah untukku dan untuk ahli keluargaku

Manakala kambing yang kedua, Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

هذا لأمتي التي لم تضح

Maksudnya : Ini adalah untuk umatku yang tidak melakukan ibadah korban.

Dalam hadith lain, Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

صليت مع رسول الله عيد الأضحى فلما انصرف أتي بكبش فذبه فقال : بسم الله و الله أكبر اللهم عني و عمن لم يضح من أمتي


Maksudnya : Aku (Jabir) pernah sembahyang bersama RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pada Hari Raya Korban. Ketika Baginda berpaling, dibawa kepada Baginda seekor biri-biri, lalu Baginda pun menyembelihnya dan berkata : Dengan nama Allah, Allah maha Besar, Ya Allah inilah korban daripadaku dan untuk mereka yang tidak berkorban daripada umatku.

(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan at Tirmidzi)

Ulama mengatakan bahawa ini adalah dalil yang menunjukkan kita boleh menghadiahkan kepada orang yang masih hidup.

Demikian juga membaca al Fatihah atau bacaan-bacaan lain kepada orang tua yang masih hidup.

Rujukan  : Muhadir bin Hj Joll, Q & A bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al Makki, m/s 49-50, Cetakan 2012, PSN Publication, Selangor.

Ahad, 21 Oktober 2012

Hukum Solat Jumaat Yang Jatuh Pada Hari Raya Aidilfitri Atau Hari Raya Aidiladha

Oleh : Ustaz Ayman Akiti
Setiap kali terjadinya hari raya Eid Adha atau Eid Fitri pada hari Jumaat, maka banyaklah pula orang yang bertanya tentang kewajiban melakukan solat Jumaat pada hari itu.

Maka untuk menjawab persoalan ini, saya katakan ini adalah khilaf mazhab antara Hanbali dan 3 Mazhab yang lain. Menurut 3 mazhab yang lain, bahwa melakukan solat Zuhur adalah tetap wajib kerana solat Eid tidak berarti mengugurkan solat Jumaat. Menurut Maliki tetap wajib sebagaimana termaktub dalam kitab Syarh Mukhtashar Khalil oleh al-Kharshi Juz 2 P. 93: 

أو شهود عيد أضحى أو فطر إذا وافق يومها لا يباح التخلف عنها ولو أذن الإمام في التخلف وسواء كان مسكن من شهد العيد داخل المصر أو خارجه

Mazhab Hanafi pula tersebut di dalam kitab Tabyin al-Haqa'iq oleh al-Zaila'i Juz 2 P. 224: 

وفي الجامع الصغير عيدان اجتمعا في يوم واحد فالأول سنة والثاني فرض ولا يترك واحد منهما

yaitu solat yang pertama (Eid) adalah sunat dan solat kedua (Jumaat) adalah fardhu.

Sedangkan menurut mazhab Syafi'I tersebut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin oleh Ba'alwi:

(مسألة) : فيما إذا وافق يوم الجمعة يوم العيد ففي الجمعة أربعة مذاهب ، فمذهبنا أنه إذا حضر 
أهل القرىوالبوادي العيد وخرجوا من البلاد قبل الزوال لم تلزمهم الجمعة وأما أهل البلد فتلزمهم

Maka kesimpulan mazhab Syafi'I kita, kalau bagi orang perdalaman yang jauh dari masjid Jami' maka mereka dapat keringanan untuk meninggalkan Jumaat, sedangkan bagi yg tinggal di bandar atau dekat dengan masjid Jami' maka solat Jumaat tetap diwajibkan kerana tidak susah baginya untuk melakukan perjalanan ke masjid untuk menunaikan kedua solat tersebut.

Sedangkan yang memperbolehkan meninggalkan Jumaat adalah mazhab Hanbali seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Qudamah dalam kitab al-Mughni Syarah al-Kabir Juz 2 P. 105: "وإن اتفق عيد في يوم جمعة , سقط حضور الجمعة عمن صلى العيد , إلا الإمام , فإنها لا تسقط عنه إلا أن لا يجتمع له من يصلي به الجمعة".

Kesimpulannya, dengan hadirnya solat Eid, berarti menghilangkan kewajiban menghadiri solat Jumaat, tapi bukan menghilangkan kewajiban solat pada siang tersebut. Oleh itu, mereka tetap mewajibkan solat Zuhur.

Dalil menurut Majority ulama yang mewajibkan solat Jumaat adalah kerana umumnya ayat dan khabar tersebut. Lebih-lebih lagi kedua solat tersebut dianggap wajib, maka salah satunya tidak boleh mengugurkan yang lain pula, seperti solat Eid tidak dapat mengugurkan solat Zuhur.

Sedangkan dalil mazhab Hanbali adalah hadis riwayat Iyas bin Abi Ramlah asy-Syami:

"شهدت معاوية يسأل زيد بن أرقم، هل شهدت مع رسول الله صلّى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: فكيف صنع؟ قال: صلى العيد، ثم رخص في الجمعة فقال: « من شاء أن يصلي فليصل » أو « من شاء أن يجمّع فليجمِّع »". 

("Saya melihat Mu'awiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam RA., "Apakah ketika bersama Rasulullah saw. engkau pernah menjumpai dua hari raya bertemu dalam satu hari?" Zaid bin Arqam menjawab, "Ya, saya pernah mengalaminya". Mu'awiyah bertanya lagi, "Apa yang dilakukan Rasulullah saw. ketika itu?" Dia menjawab, "Beliau melakukan shalat Ied dan memberi keringanan untuk meninggalkan shalat Jumat. Beliau bersabda, "Barangsiapa ingin melakukan shalat Jumat maka lakukanlah." Atau riwayat lain "Barangsiapa yang ingin mengumpulkan maka kumpulkanlah"). Riwayat Abu Daud dan Ahmad.

Dari sini menunjukkan secara jelas bahwa keguguran Jumaat di sini adalah mengugurkan kehadiran bukan mengugurkan kewajiban Jumaat itu sendiri. Maka hukumnya di sini seperti orang yang sakit yang ada uzur atau kesibukan yang memperkenanan meninggalkan Jumaat. Bukan berarti mengugurkan kewajibannya.

Juga ada riwayat dari Abu Hurairah RA.:

عن رسول الله صلّى الله عليه وسلم قال: « اجتمع في يومكم هذا عيدان، فمن شاء أجزأه من الجمعة، وإنا مجمّعون »
  

(Dari Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Pada hari ini telah bertemu dua hari raya. Barang siapa tidak ingin menunaikan shalat Jumat, maka shalat Ied ini sudah menggantikannya. Sedangkan kami akan tetap menunaikan shalat Jumat."). Riwayat Ibn Majah.

Walau bagaimanapun, ketentuan ulama Syafi'I yang memperkenankan orang perdalaman untuk meninggalkan Jumaat adalah untuk balik ke rumah mereka sebelum masuknya waktu Jumaat, kerana kalau mereka berada di Masjid Jami' ketika dikumandangkan azan Jumaat, maka tentulah mereka wajib menghadiri Jumaat. Illat sebenar diperbolehkan meninggalkan Jumaat adalah kerana meringankan mereka yang terpaksa datang jauh untuk solat Eid, lalu kalau pulang, dan ingin berangkat kembali untuk solat Jumaat maka ditakutkan terlepas waktu lagi. Maka kalau mereka meninggalkan perjalanan pulang ke perdalaman, maka hukumnya tetap seperti hukum asal yaitu wajib melaksanakan Jumat. (Buka Bujayrami ala al-Khatib Juz 2 P. 167 dan al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah Juz 27 P. 209).

Sesuai dengan kondisi kita yang berada di Morocco, maka saya mensarankan untuk tetap melakukan solat Jumaat walaupun kita sudah melakukan solat Eid. Ini diberpegang pada kaedah "الخروج من الخلاف مستحب" (keluar dari kontraversi adalah dianjurkan). Pernyataan ini juga seperti yang termaktub di al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah: " والأفضل له حضورها خروجا من الخلاف" (Yang lebih afdal baginya adalah menghadiri Jumaat kerana keluar daripada khilaf). 

Khamis, 18 Oktober 2012

Amalan-amalan Pada Bulan Zulhijjah


Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre

Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah Al-Fajr, ayat 1-2 yang lebih kurang ertinya:

“Demi waktu Fajar, dan malam yang sepuluh”

Para Ulamak berselisih pada tafsiran ayat di atas. Al-Imam Assuyuthi di dalam Tafsirnya mengatakan Al-Fajr di daam ayat tersebut membawa erti setiap pagi secara mutlak. Sesetengah ulamak pula mengatakan, pagi hari pertama Zulhijjah, ada yang mengatakan pagi 9 Zulhijjah (Hari Arafah) dan ada yang mengatakan ia memberi isyarat kepada pagi 10 Zulhijjah.

Malam yang sepuluh atau Walayalin Asyr di dalam ayat yang kedua pula mempunyai tiga tafsiran. Sesetengah Ulamak mengatakannya sepuluh malam terakhir Ramadhan. Tafsiran kedua, ia adalah sepuluh malam pertama bulan Muharram. Tasfiran yang ketiga dan masyhur seperti dipersetujui oleh Imam Suyuthi, yang dimaksudkan di sini adalah sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah. Pendapat ini juga disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Nasiriddin Addimasyqi As-Syafie.

Sebahagian ulamak salafussoleh menyebutkan, terdapat 3 himpunan sepuluh hari yang dimuliakan oleh Allah iaitu, 10 hari terakhir bulan Ramadhan, 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan 10 hari pertama bulan Muharram. Sebahagian ulamak mengatakan, antara ketiga-tiga himpunan tersebut, 10 hari pertama bulan Zulhijjah adalah yang paling mulia, kerana padanya terdapat Hari Tarwiah (8 Zulhijjah), Hari Arafah (9 Zulhijjah) dan Hari Nahr (10 Zulhijjah), selain ia merupakan penutup kepada Asyhurum Ma’lumat (bulan-bulan yang dimaklumkan untuk melakukan ibadah Haji).

Selain itu, fadilat bulan Zulhijjah ini sebagai salah satu bulan Haram yang mulia tidak perlu disebutkan lagi di sini dan umum patut sudah mengetahuinya.

Oleh itu, wahai saudaraku sekalian, rebutlah peluang untuk mengecas semula bateri keimanan kita yang kian pudar, dan menggarap sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Allah yang Maha Pemurah kepada hamba-Nya dengan memuliakan hari-hari ini. Marilah kita memperbanyakkan lagi amal ibadat kita secara umum dan mempertingkatkan lagi kualiti ibadah yang sedia ada.

Ulamak Salafussoleh juga menganjurkan kita memperbanyakkan bacaan-bacaan di bawah sepanjang 10 hari pertama bulan Zulhijjah. (Maaf, ada masalah pada Arabic Font, jadi perlu ditransliterasikan ke rumi)

La Ilaha Illallah ‘adadad duhur
La Ilaha Illallah ‘adada amwajil buhur
La Ilaha Illallah ‘adadan nabati wassyajar
La Ilaha Illallah ‘adadal qutri walmator
La Ilaha Illallah ‘adada lamhil ‘uyun
La Ilaha Illallah khairum mimma yajma’un
La Ilaha Illallah min yaumina hadza ila yaumi nufikha fis sur

Ana sebutkan tujuh zikir sahaja daripada banyak lagi zikir yang dianjurkan, kerana tujuh zikir di atas adalah yang paling masyhur dan disepakati oleh para salafussoleh. Untuk mendapatkan lagi zikir yang lain rujuklah kepada tok-tok guru yang mulia.

Usah dilayan pula mereka yang ditimpa “Mental Block” sehingga mengatakan amalan ini bid’ah yang haram dan sebagainya. Biarkan sahaja mereka dengan khayalan mereka. KIta teruskan beribadat mengikut sunnah dan memperbanyakkan zikir, moga ditenangkan hati-hati kita oleh Allah dengan mengingati-Nya. Semoga kita diberi kemudahan oleh Allah untuk merebut peluang yang diberikan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini. Amiin.

Sumber : http://aljoofre.iluvislam.com/?cat=9

Selasa, 16 Oktober 2012

Hukum Kenduri Aqiqah Diadakan Serentak Dengan Kenduri-kenduri Lain



Mengadakan Kenduri Aqiqah Serentak Dengan Kenduri-Kenduri Yang Lain

Soalan:

Satu pertubuhan badan kebajikan mengadakan kenduri majlis Maulidur Rasul, kenduri majlis Isra' Mi'raj atau kenduri majlis Nisfu Sya'ban serentak dengan menyembelih binatang aqiqah yang bertujuan menolong ibu bapa menyempumakan kewajipan mereka terhadap anak-anak mereka di dalam perkara ini. Ada di antara orang-orang kampung mempersoalkan perkara ini menyatakan aqiqah adalah satu tuntutan agama. Dalam melaksanakannya hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan lain-lain tujuan. 

Mohon huraikan dengan panjang penjelasan bagaimana pandangan Islam aqiqah yang afdhal dalam perkara ini, di samping dalil al-Qur'an dan hadits serta pendapat ulama. Saya ingin mengetahui, belajar dan juga menyampaikan kepada orang ramai.

Jawapan:

الحمد لله رب العالمين مستمدا منه التوفيق للصواب ، والصلاة والسلام على سيدنا محمد سيد المرسلين والآل والأصحاب والتابعين اهم بإحسان إلى يوم المآب ، أما بعد 


Pengertian Aqiqah

Aqiqah dari segi bahasa pada asalnya ialah nama bagi rambut yang terdapat di kepala bayi ketika dilahirkan. Manakala dari segi istilah syara' pula aqiqah ialah binatang yang disembelih untuk anak yang dilahirkan ketika mencukur rambutnya (I'frnah ath- Thfrlibin: 2/525) atau binatang yang disembelih untuk anak yang dilahirkan sebagai tanda syukur kepada Allah dengan niat dan syarat-syarat yang tertentu. (Mausu'ah Fiqhiyyah: 30/276) 

Hukum Aqiqah

Hukum melakukan aqiqah adalah sunat mu' akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan. Ia bukan wajib sebagaimana pemah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu 'alaiM wasallam dan Baginda bersabda menjawabnya: 

لا يحب الله العقوق كأنه كره الإسم وقال : من ولد له ولد فأحب أن ينسك عنه فلينسك عن الغلام شاتان مكافئتان وعن الجارية شاة
(رواه أبو داود والنسائي وأحمد) 


Maksudnya: Allah tidak menyukai kederhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda "Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelih untuk anaknya itu, maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. " 
(Hadits riwayat Abu Daud, an-Nasa’i dan Ahamad)

Maksud hadits daripada perkataan أحب أن ينسك عنه (suka atau ingin menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan baharulah wajib.

Hikmah pensyariatan aqiqah antaranya ialah bagi menzahirkan perasaan riang gembira, perasaan syukur di atas nikmat dikurniakan zuriat dan bagi tujuan mengumumkan keturunan nasab anak yang' dilahirkan di samping mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan orang-orang fakir miskin melalui masakan yang dikirimkan atau melalui jamuan yang diadakan. (Nihayah al-Muhtaj: 8/145, I'anah ath- Thalibin: 2/525 dan al-Fiqh al-Manhaji: 1/489) 

Maka berdasarkan kepada hikmah pensyariatan aqiqah tersebut, adalah lebih elok kenduri majlis aqiqah itu diadakan berasingan daripada kenduri majlis Maulidur Rasul, kenduri majlis Isra' Mi'raj atau kenduri majlis Nisfu Sya'ban dan lain-lain bagi mencapai hikmah di sebalik pensyariatan tersebut. 

Walau bagaimanapun jika kenduri majlis aqiqah itu disatukan atau diserentakkan dengan kenduri-kenduri yang lain-lain itu, maka aqiqah tetaplah hasil (sah) cuma kuranglah afdhal.

Menurut ulama menyedekahkan daging aqiqah yang sudah dimasak dan menghantarnya kepada fakir miskin adalah lebih afdhal daripada menjemput mereka makan termasuk dalam bentuk kenduri. 

Walaupun begitu, jika ianya dibuat jamuan dan dijemput orang datang menghadirinya, aqiqah tetap juga hasil (sah) dan memadai. Atau dalam makna lain ia adalah harus. (Al-Majmu’: 8/410-411, Mughni al-muhtaj: 4/294 dan I’anah ath-Thalibin: 2/526).

والله أعلم بالصواب


Sumber : 
http://www.e-infad.my/i-fms/index.php?option=com_fatwa&task=viewlink&link_id=698&Itemid=48

Negara Asal : Brunei
Tahun : 2004
Pengarang : Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Junid
Rujukan : Jabatan mufti Kerajaan, jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Nota Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 2004

Jumaat, 12 Oktober 2012

MAJLIS AKAD NIKAH DI MASJID : Berwaspada Bagi Orang Yang Tidak Suci




Oleh : Mufti Brunei

MAJLIS AKAD NIKAH DI MASJID : Berwaspada Bagi Orang Yang Tidak Suci 

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Masjid merupakan tempat di mana orang-orang Islam mengerjakan ibadat seperti mengerjakan sembahyang, beri‘tikâf, membaca AlQur’an, mengaji ilmu dan sebagainya. Di samping itu masjid juga merupakan syiar agama Islam  dan merupakan semulia-mulia tempat di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala di muka bumi ini. Abu
Hurairah  Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “(Tempat-tempat) setiap negeri yang paling disukai Allah ialah masjid-masjidnya.
(Hadits riwayat Muslim)

Antara perkara yang sunat dilakukan di masjid ialah  mengadakan majlis akad nikah. Sabda Rasullullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa dia berkata, Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Kamu umumkanlah pernikahan ini, dan buatlah (di mana-mana) masjid, serta  pukullah rebana-rebana (tanda meraikannya).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi) 

Namun dalam kita mengikut sunnah ini kita perlu berhati-hati, kerana mengadakan majlis akad nikah di masjid ini tidaklah sama dengan mengadakannya di  rumah sendiri atau di mana-mana tempat lain, memandangkan masjid mempunyai hukum dan adabnya yang tersendiri. Oleh  sebab masjid mempunyai hukum dan adabnya yang tersendiri maka bukan sahaja orang yang hendak bernikah malahan juga orang ramai yang dijemput hadir perlu menjaga akan hukum dan adab  yang berhubungkait dengan masjid
supaya terselamat dari melakukan sesuatu yang ditegah atau tidak diingini oleh syara‘.

Salah satu isu yang perlu diberi  perhatian dalam  hal ini  ialah mengenai hukum yang  berkaitan dengan masuk ke dalam masjid terutama bagi orang yang berhadas besar. Bagi orang yang dalam keadaan suci dan bersih tidaklah menjadi masalah masuk ke dalam masjid. Tetapi bagi orang yang  dalam keadaan berhadas besar, sama ada orang yang dalam keadaan junub atau perempuan yang sedang haidh atau nifas mempunyai hukum tertentu yang perlu diketahui. Apa yang dikhuatiri berlaku ialah jika hukum mengenai orang  berhadas besar masuk ke  masjid ini tidak diketahui oleh orang-orang yang menghadiri majlis akad nikah di dalam masjid, maka bukan pula pahala diperolehi bahkan mendapat dosa kerana melakukan perkara yang bertentangan dengan hukum syara‘.

Orang-Orang Yang Dilarang Masuk Ke Masjid 

Terdapat beberapa golongan tertentu yang dilarang menurut hukum syara‘ daripada memasuki masjid. Mereka ialah:

• Orang yang dalam keadaan junub 

Orang yang dalam keadaan junub haram berhenti atau duduk diam dalam masjid tanpa keuzuran. Perkara ini disebutkan dalam alQur’an dalam surah an-Nisa’ ayat 43:

Tafsirnya: “Janganlah kamu menghampiri (mengerjakan) sembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingggalah kamu (sedar dan) mengetahui  apa yang kamu katakan. Dan (janganlah kamu masuk ke dalam masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar), kecuali sekadar melintas sahaja.”  
(Surah an-Nisa’: ayat 43)

Tetapi tidak haram dan tidak makruh baginya melintas di dalam masjid jika ada tujuan seperti lalu di masjid untuk mengambil jalan dekat. Namun jika tidak ada sebarang tujuan maka hukumnya adalah makruh. •

Perempuan haidh dan nifas 

Perempuan yang sedang dalam haidh dan nifas adalah haram berhenti dalam masjid. Walau  bagaimanapun perbuatan masuk masjid tanpa berhenti di dalamnya tidaklah diharamkan. Bahkan memasuki masjid dengan hanya sekadar melintas dari satu pintu ke pintu yang lain adalah diharuskan jika mempunyai tujuan atau
sebab tertentu seperti melintas  dalam masjid itu merupakan jalan pintas bagi seseorang itu menuju ke tempat tujuannya. Namun jika tidak mempunyai tujuan, bahkan hanya sekadar untuk melintas semata-mata, maka perbuatannya itu adalah makruh. Manakala jika takut akan mengotori atau mencemarkan kebersihan
masjid tersebut, maka melintas di dalamnya adalah haram. ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid bagi perempuan haidh mahupun juga  orang yang berjunub.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

• Orang-orang yang terdapat padanya najis dan dikhuatiri akan mengotori masjid

Larangan masuk ke masjid ini tidaklah dikhususkan ke atas orang yang sedang mengalami hadas besar sahaja seperti orang yang berjunub, perempuan haidh dan nifas sahaja, tetapi merangkumi sesiapa saja yang membawa najis dan dikhuatiri boleh mengotori kebersihan masjid, seperti orang yang mengalami  salasul baul
(iaitu masalah air kencing selalu keluar) tidak kira sama ada lelaki atau perempuan dan perempuan yang mengalami istihadhah.

Majlis Akad Nikah Dalam Masjid 

Apabila menyentuh mengenai melangsungkan akad nikah di dalam masjid, sebaiknya imam masjid berkenaan  hendaklah peka mengenai perkara ini dengan menulis notis peringatan seperti di pintu masjid, dan notis itu tidaklah khusus kepada bakal pengantin malah kepada semua tetamu yang  akan menghadiri majlis akad
nikah itu nanti termasuklah ahli keluarga pengantin dengan menyatakan dalam notis itu orang  yang dalam keadaan berhadas besar tidak boleh atau haram  masuk ke masjid, misalnya perempuan yang ‘datang bulan’ dan seumpamanya.

Bakal pengantin perempuan juga hendaklah berterus terang akan keadaannya jika ‘datang bulan’ supaya pihak keluarga pengantin boleh mencari alternatif lain dengan membuat persiapan tertentu supaya majlis akad nikah itu diteruskan juga dalam masjid tanpa kehadiran bakal pengantin perempuan, kerana ibadah sunnah untuk bernikah dalam masjid masih tercapai tanpa kehadiran pengantin perempuan.

Kepekaan akan perkara sebegini boleh mengelak bakal pengantin perempuan dari melakukan perkara yang bertentangan dengan syara‘ kerana dikhuatiri ada di  kalangan ahli keluarga mahupun tetamu yang hadir itu nanti tidak mengetahui akan hukum masuk ke masjid ini.  

Selain daripada menjaga batas-batas hukum masuk ke masjid yang telah digariskan oleh syara‘, kita juga dituntut menjaga adab-adab berada di masjid. Antara adab itu ialah seperti sembahyang tahiyyat al-masjid, berniat ‘itikaf ketika dalam masjid, dan membaca doa ketika masuk masjid dan begitu juga doa ketika
keluar masjid, tidak bercakap tentang perkara-perkara dunia yang tidak berfaedah dan tidak membuat bising sehingga menimbulkan ketidak selesaan ke atas orang lain.

Maka sebagai kesimpulan, bahawa jika membuat apapun jua majlis dalam masjid bukan sahaja majlis pernikahan, maka semua orang hendaklah menjaga kemuliaan dan kesucian masjid itu dengan menjaga hukum dan adab-adab ketika berada dalam masjid. Ini sesuai dengan kemuliaan masjid  itu sebagai tempat beribadat seperti mengerjakan sembahyang, beri‘tikâf, membaca Al-Qur’an, mengaji ilmu dan sebagainya.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil15.pdf

Selasa, 9 Oktober 2012

Buku Terbaharu Ustaz Muhadir bin Hj Joll : Q & A Bersama Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari



DAPATKAN BUKU TERBARU AL-FADHIL USTAZ MUHADIR HJ JOLL BERTAJUK: "Q & A" BERSAMA TUAN GURU SYEIKH MUHAMMAD NURUDDIN MARBU AL-BANJARI AL-MAKKI TENTANG SOAL-JAWAB AGAMA. 504 m/s 

BERHARGA RM38.00 (SEMENANJUNG) 

RM40 (SABAH/SARAWAK). 

 HUBUNGI PSN 03-78317687/78421700/78421304. 

DIJUAL JUGA DI MPH & POPULAR BOOKSTORE 

UIAM PJ : Al-Akh Fais Ibnu Fuad : 0133950965 

UIAM GOMBAK : Al-Akh Nur Mohamad Adli : 0139490438 

UIAM KUANTAN : Al-Ukh Siti Fatimah Binti Abdul Ghaffar : 0132225962 

 "Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas usaha beberapa ikhwan pengajian yang telah mengumpulkan soalan-soalan yang pernah saya jawab di dalam CD. Saya sangat berbesar hati juga dengan usaha murni salah seorang anak murid saya, Ustaz Muhadir Bin Haji Joll yang telah menyalin semula kesemua kandungan soal jawab dalam CD ini ke dalam sebuah buku seperti yang ada sekarang imi. Tentunya usaha ini bukanlah mudah tanpa himmah (kesungguhan) yang tinggi kerana ia mengambil masa selama 12 jam untuk mendengar keseluruhannya disamping belum ada tajik dan kategori khusus untuk setiap soalan dan jawapan. Semoga Allah SWT membalas usaha beliau ini dengan sebaik-baik balasan. amiin... Semoga buku "Q&A bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki" ini menjadi sebuah rujukan berguna untuk mengetahui jawapan kepada beberapa permasalahan yang melibatkan hukum- hakam agama dan mendatangkan manfaat kepada semua" 

 [As-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki] 

 WAllahua'alam

Khamis, 4 Oktober 2012

Hukum Beramal dan Membaca Zikir Dan Selawat Yang Tidak Ma'tsur




Zikir dan Selawat Tidak Ma'tsur

Oleh : Ustaz Ayman Akiti

Fahamilah, bahawa sesungguhnya zikir yang tidak warid atau juga dikenal dengan zikir tidak ma'tsur bukan berarti sesat atau tidak boleh diamalkan. Selagi ia memiliki makna yang baik, seperti memuji Allah dan Rasul-Nya, dan makna-makna yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ia diperkenan dalam Islam secara sepakat ulama. Ini tersebut di dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah: " الذكر بغير المأثور : في الأذكار المطلقة : يجوز في الأذكار المطلقة الإتيان بما هو صحيح في نفسه مما يتضمن الثناء على الله تعالى ولا يستلزم نقصا بوجه من الوجوه , وإن لم تكن تلك الصيغة مأثورة عن النبي صلى الله عليه وسلم . وهذا في الذكر المطلق موضع اتفاق ".

Juga dinukil dari Imam Nawawi RH: " أوراد المشايخ وأحزابهم لا بأس بالاشتغال بها" (Adapun wirid-wirid para guru dan hizib-hizib mereka adalah tidak apa-apa untuk beramal dengannya).

Walau bagaimanapun, ketika ditanya manakah yang lebih afdhal? Maka memang jawapannya adalah zikir yang warid @ ma'tsur. Seperti kata-kata Imam Nawawi RH: " الخير والفضل إنما هو في اتباع المأثور في الكتاب والسنة وفيهما ما يكفي في سائر الأوقات , وجرى على ذلك أصحابنا". Akan tetapi, kata-kata Imam Nawawi ini bukan berarti kita harus menyuruh orang untuk menjauhi zikir-zikir yang tidak warid. Ini disebabkan, terbukti Imam Nawawi sendiri menyusun hizib khusus bagi dirinya dan wirid beliau ini telah diijazahkan turun-temurun sampai kepada kita sekarang dengan sanad yang muttasil dan sahih (Rujuk Syawariq al-Anwar, karangan Syaikh Muhammad Bin Alawi al-Maliki dan kitab Tsabat Syaikh Yasin al-Fadani al-Makki).

Isu yang lain pula, apakah membaca selawat dan pujian kepada Nabi Muhammad SAW yang juga tidak warid itu berarti sesat? Dan lebih-lebih lagi ketika kejahilan yang menghalang untuk mengetahui maknanya lalu sebelum kaji selidik langsung ber-su'u zann akan kebatilan amalan ini? Semoga Allah menunjukkan orang-orang yang tertutup hatinya kepada jalan yang penuh Nur Muhammad SAW.

Ingatlah, berselawat kepada Nabi kita adalah disyariatkan dalam Islam, sama ada berbentuk kalam nasar maupun kalam syair. Rasulullah SAW bersabda: " فوالذي نفسي بيده لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده " (Riwayat Bukhari).

Buktinya lagi, tersabit dalam hadis yang dikumpulkan oleh Imam al-Turmizi di dalam al-Syamail al-Muhammadiyyah:
" حدثنا إسحق بن منصور أخبرنا عبد الرزاق أخبرنا جعفر بن سليمان حدثنا ثابت عن أنس أن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة في عمرة القضاء وعبد الله بن رواحة بين يديه يمشي وهو يقول: خلوا بني الكفار عن سبيله * اليوم نضربكم على تنزيله * ضربا يزيل الهام عن مقيله * ويذهل الخليل عن خليله. فقال له عمر يا ابن رواحة بين يدي رسول الله صلى الله عليه وسلم وفي حرم الله تقول الشعر فقال له النبي صلى الله عليه وسلم خل عنه يا عمر فلهي أسرع فيهم من نضح النبل ".
(Ta'liq Imam Turmizi bagi hadis ini adalah Hasan Sahih). Hadis ini memuat kisah bagaimana sahabat memuji Nabi dengan Syair di mana Nabi tidak melarangnya. Belum lagi banyak hadis sahih atau hasan lainnya yang terdapat di dalam al-Syamail Imam Turmizi.

Menurut Imam Bajuri dalam Syarah al-Syamail P. 402: "Diambil kesimpulan dari hadis ini bahwa dibenarkannya malah disunahkan mendendangkan syair dan mendengarnya jika dalam syair tersebut ada pujian Islam dan mengajak kepada pertemuan yang baik dan penyerahan diri kepada Allah SWT".

Juga riwayat dari Sayyidah Aisyah bahwa Rasulullah SAW membuat minbar di masjid untuk Hassan bin Tsabit untuk memuji Rasulullah SAW. (Riwayat Turmizi dalam al-Syamail).

Maka dari sini, perlu saya nukilkan pendapat Mufti Mesir Ali Jum'ah Hafizahullah bahwa qasidah-qasidah yang mengandung syair-syair madih atau pujian kepada Nabi Muhammad SAW adalah tidak lain merupakan suatu karangan ulama yang bersumberkan kepada al-Quran, al-Sunnah, kitab-kitab Sirah yang muktamad seperti Sirah Ibn Hisham, Sirah Ibn Hibban, al-Wafa' oleh Abdurrahman al-Jauzi, al-Syifa' Qadhi Iyadl, dan lainnya. (al-Ajwibah al-Sadidah, p. 123).

Lalu dari manakah kita nak mudah-mudah menyesat orang yang melakukan wirid-wirid seperti selawat Ibn Masyisy al-Maghribi, Hizib Imam Nawawi, Burdah, Diba'I, Ratib Hadad, Dalail al-Khairat dan lain-lain?  Kalau memang tidak suka, janganlah kita mudah-mudah mengutuk amalan seperti ini seperti menuduh ia tidak warid atau ia tidak ada sumber dari al-Quran dan Sunnah. Ini disebabkan mungkin ia bersumber dari dalil yang umum yang kita tidak mengetahuinya. Atau paling tidak, ia berada dalam dimensi khilaf ulama yang sewajibnya kita bertoleransi dengan berpegang pada kaedah "لا ينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه". Juga diingatkan oleh Imam al-Haramayn: "إذا لم يستيقن حظر في شيء من الشارع فلا يثبت فيه تحريم" (Apabila tidak dapat dipastikan dengan yakin larangan terhadap sesuatu perkara melalui ketentuan pembuat syarak, maka tidak boleh disabitkan pengharamannya).

Oleh itu, berbicara biarlah berilmu, bukan buruk sangka. Kalau tidak tahu sebaiknya diam. Berpeganglah pada sabda Nabi Muhammad SAW: " من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه ". (Sebaik-baik Islamnya seseorang adalah dia meninggalkan apa yang tidak penting baginya)
Sumber : http://akitiano.blogspot.com/2012/10/zikir-dan-selawat-tidak-matsur.html

Rabu, 3 Oktober 2012

Benarkah Dakwaan : Sebelum Menerima Wahyu RasuluLlah Tidak Beragama Tetapi Terima Hidayah Ketika Umurnya 40 Tahun ?





Nabi maksum sejak kecil

Oleh : Yayasan Sofa

RUANGAN kali ini mengajak pembaca fokus kepada beberapa perbahasan penting mengenai Rasulullah yang akan menenangkan hati dan mengikat keyakinan bahawa baginda adalah maksum semenjak kecil dan berpegang dengan ajaran Islam.

Sekiranya ada yang berpendapat agama yang dipegangnya adalah agama Nabi Ibrahim, maknanya itu adalah agama Islam kerana semua nabi dan rasul diutuskan untuk menyampaikan ajaran Islam.

Kebingungan dan kecel
aruan fikiran umat Islam mengenai Rasulullah sebelum dilantik menjadi Rasul terbit daripada salah faham terhadap

firman Allah: Apabila Dia mendapati engkau sesat, lalu Dia mengurniakan engkau hidayah petunjuk. (al-Dhuha: 7)

Melafazkan ungkapan Rasulullah tidak beragama sebelum usia 40 tahun adalah satu penyimpangan yang nyata. Jika berkata demikian, seolah-olah kita membuka ruang kepada masyarakat umum menilai baginda dengan akal cetek dan andaian semata-mata.

Barangkali ungkapan tidak beragama itu ada yang tersasar memaksudkannya sebagai atheis atau tidak menganut agama yang benar iaitu seorang musyrik. Apabila kita menyatakan bahawa baginda tidak beragama sebelum dilantik menjadi nabi, itu akan membawa maksud baginda terdedah melakukan apa sahaja perbuatan maksiat yang mencacatkan maruah dan meruntuhkan moral kerana tiada pegangan yang menjadi benteng daripada melakukan perkara yang keji dan garis panduan bagi membezakan antara dosa dan pahala.

Mengulas mengenai salah faham terhadap ayat ini, Prof Dr. Sayyid Muhammad Alawi al Maliki menyatakan di dalam bukunya al Zakhair al Muhammadiyyah: Ayat ini sering dieksploitasi oleh sebahagian ahli fitnah yang buta basirah dan tertutup pintu hati sehingga mereka tidak dapat melihat hakikat kedudukan Nabi dan Rasul yang sebenar.

Mereka hanya melihat Nabi Muhammad SAW sebagai manusia biasa semata-mata yang berjalan di muka bumi, berjalan-jalan di pasar, memikul dosa, melakukan dosa dan kesalahan, pernah hidup dalam kesesatan lalu Allah memberi hidayah kepadanya, pernah hidup dalam kemiskinan lalu Allah memberikannya kekayaan dan dilahirkan dalam keadaan yatim lalu Allah memberi perlindungan kepadanya. Sehinggalah ke akhir perbicaraan yang hanya membangkitkan kekeliruan orang awam kerana ia berdasarkan kepada maksud zahir nas-nas yang terdapat di dalam al Quran dan Sunnah."

Al Allamah al Qadhi Iyadh pula menyatakan dalam kitabnya al Syifa bi Tarif Huquq al Mustafa:

Apa yang pasti, para nabi adalah maksum (terpelihara) sebelum dilantik menjadi nabi dan terhindar dari kejahilan tentang Allah dan sifat-sifat-Nya, dan terpelihara daripada merasa ragu walau sedikitpun mengenai perkara ini.Terdapat banyak khabar dan athar yang saling mendukung di antara satu sama lain yang mensucikan para nabi daripada kekurangan ini semenjak mereka dilahirkan dan mereka membesar di atas tauhid dan iman."


Beliau menambah lagi:

Tidak pernah seorang pun ahli hadis menaqalkan terdapat seorang daripada mereka yang dipilih menjadi nabi daripada kalangan orang yang dikenali dengan kekufuran dan kesyirikannya sebelum itu."


Oleh itu kita tidak pernah mendengar para nabi dan rasul terdahulu menganut agama yang sesat yang dianuti oleh kaum mereka.

Kemuliaan ini adalah terlebih utama dianugerahkan ke atas Rasulullah dan tiada satu sebab atau dalil yang menghalang baginda daripada mengecapi nikmat dan keistimewaan itu kerana baginda adalah penghulu segala nabi dan rasul.

Jangan sekali-kali kita berpaling kepada pendapat bahawa Rasulullah SAW berada di atas agama kaumnya sebelum Nubuwwah, lalu Allah menghidayahkan Islam kepada baginda kerana Nabi Muhammad SAW dan para nabi yang lain sejak dilahirkan membesar atas ketauhidan dan keimanan.

Sesungguhnya mereka maksum sebelum Nubuwwah daripada jahil tentang sifat-sifat Allah dan mentauhidkan-Nya.

Pendapat ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa Rasulullah bermusafir bersama bapa saudaranya ke Syam, di mana Buhaira melihat tanda kenabiannya. Sedangkan ketika itu baginda masih kecil. Buhaira mengujinya agar bersumpah dengan berhala al Laata dan al Uzza, lalu baginda menjawab: Janganlah kamu meminta saya bersumpah dengan kedua-duanya. Demi Allah! Saya tidak pernah membenci sesuatu seperti kebencian saya terhadap kedua-duanya."

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan peristiwa Jibril mengeluarkan seketul daging dari hati baginda dengan katanya: Ini adalah bahagian syaitan dari dalam dirimu." Kemudian dada baginda diisi dengan hikmah dan iman.

Demikianlah seperti yang dinaqalkan daripada al Imam Fakhr al Din al Razi di dalam tafsirnya Mafatih al Ghaib.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121002/ba_01/Nabi-maksum-sejak-kecil#ixzz288G7Q0Lu