Oleh : Abdullah Zaidi Bin Hassan
Kertas yang dirujuk merupakan suatu usaha untuk memaparkan sejarah perkembangan kefahaman agama di tanah air kita, ianya adalah suatu usaha yang diharapkan dapat mendatangkan kebaikan dan meluruskan kefahaman kita tentang perkara yang dibincangkan.
Hanya terdapat beberapa ‘tanda-tanya’ di dalam kertas tersebut yang sekiranya ia dapat dijawab dengan baik oleh Dr. Farouk, maka kertas tersebut akan merupakan suatu sumbangan kepada pemurnian kefahaman sejarah bangsa kita. Dan sekadar usaha tambahan agar nilai kertas tersebut menjadi lebih baik, maka dibawah diperturunkan beberapa pengamatan awal tentang ‘tanda-tanya’ yang dimaksudkan, semoga Allah mentaqdirkan natijah yang sebaiknya serta mendapat respon yang hangat mesra dari penulisnya Dr. Farouk dan kira-kira di sisi Allah ianya sebagai suatu usaha islah yang diberi manafaatnya di Hari Akhirat nanti. Amin.
1- Definisi tajdid.
Dipetik definisi yang dikatakan diberi oleh Syaikh Yusuf al-Qardawi, yakni tajdid “ialah memperbaharui agama dan mengubahnya agar sesuai dengan zaman”.
Secara amnya kita semua bersetuju maksud tajdid itu ialah memperbaharui semula aqidah, amalan dan semangat agama yang mana-mana telah luntur agar segar semula berdasarkan aqidah, amalan dan semangat agama yang ada pada zaman Rasulullah SAW dan salaf as-soleh.
Tetapi ‘mengubahnya agar sesuai dengan zaman’ itu adalah suatu keganjilan walaupun kita memang menerima keanjalan ajaran Islam serta kesesuaiannya sehingga akhir zaman, ini adalah suatu takrifan yang sukar dihadam kerana bagaimana hendak kita fahamkan kedudukannya dengan isyarat-isyarat al-Quran yang jelas yang bermaksud “kamu sekali-kali tidak akan dapati Sunnah Allah (termasuk ketentuan agama-Nya ) berubah (istilah tahwila atau tabdila)”. (al-Fatir:43)
Perubahan pada perkara-perkara teras agama, baik dari segi aqidah, amalan dan semangat adalah suatu proses decadence dan bukannya evolution (pertukaran yang bergerak ke arah penyesuaian dan kesempurnaan). Takrifan ini walaupun datangnya dari seorang ulama yang kita semua hormati, perlulah diletakkan di atas qistas al-mustaqim, agar kita berlaku adil kepada sejarah kita; apa lagi apabila ianya dipetik dari tulisan terjemahan. Semoga ianya didatangkan dengan niat mencari kemurnian faham bukan untuk memenangkan aliran-aliran tertentu.
Apakah kita perlu terikat dengan ketat kepada takrifan seorang ulama yang dihormati, sedangkan nas-nas yang kita fahami tidak selari dengan takrifan tersebut? Sudah tentu Dr. Farouk boleh bersetuju agaknya, sekiranya kita dianjurkan oleh ‘gerakan tajdid’ supaya tidak terikat kepada huraian ulama mazhab, maka sudah tentu perbincangan tentang ‘Sejarah Gerakan Tajdid’ juga perlu kembali kepada ‘primary dan secondary sources’ yang boleh dipertanggung-jawabkan, bukan sekadar bertaqlid kepada penulis-penulis terdahulu. Itu piawaian yang diterima oleh golongan yang masih bermazhab seperti pencatit ini. Mungkin munasabahnya, piawaian Dr.Farouk lebih ketat dan lebih cermat lagi.
2- Dalam perkara 2, 'Sejarah Ringkas Gerakan Tajdid di Tanah Melayu', Dr.Farouk menyebut:
“Sejak kehancuran kuasa politik ummat Islam di Laut Mediterranean, tamadun Islam juga turut hancur”
Siapakah selain daripada Dr. Farouk yang seberani beliau untuk mengumumkan bahawa tamadun Islam telah hancur? Apakah Dr. Farouk menghalusi maksud perkataan ‘hancur’ dan juga maksud ‘tamaddun’? Pihak pengkaji dan cendiakawan barat yang membincangkan tamadun-tamadun dunia hari ini masih menyebut tentang ‘Islamic civilization’, umpama dalam tulisan yang Samuel Huntington iaitu The Clash of Civilization. Mungkin penganut Islam telah kehilangan kuasa politik, mungkin umat Islam terkebelakang dari segi kemajuan dan pengetahuan, tetapi ummah ini masih mempunyai tamadun yang hidup.
Tentang pengertian tamaddun, yang dihurai oleh Dr. Naguib al-‘Attas mungkin terlalu klasikal bagi Dr. Farouk, tetapi memadailah huraian Dr. Albert Schweitzer dalam buku masyhurnya Ethics and Civilization yang membezakankan fenomena ‘material progress’ yang berpaksikan kebendaan dengan ‘civilization’ yang berpaksikan kemanusian. Lihatlah juga tulisan Toynbee dalam Civilization on Trial sebagai perbandingan, walaupun Dr. Farouk mahu berijtihad dalam bidang ini sekalipun!
Kemudian Dr. Farouk menterjemahkan ayat 140 Surah Ali-Imran sebagai:
Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran).
Terjemahan Dr. Farouk ini adalah terjemahan yang agak ganjil, bahkan ianya lebih merupakan tafsir Dr. Farouk sendiri terhadap ayat ini, yang mungkin sesuai dengan apa yang dia ingin canangkan. Dr. Farouk mungkin dapat berhujjah dengan terjemahannya dari ayat ini, tetapi pengertian ayat ini sendirilah yang menerima akibat dari ijtihad Dr. Farouk itu. Ayat ini dan ayat sebelumnya mungkin lebih adil diterjemah sebagai:
Dan jangan kamu merasa lemah (dalam menghadapi serangan orang kafir) dan jangan pula bersedih hati (di atas musibah yang menimpa kamu), padahal kamu adalah orang-orang yang tertinggi kedudukannya) sekiranya kamu adalah orang-orang yang beriman. Jika kamu mendapat luka-luka (kecederaan dalam peperangan Uhud), maka sesungguhnya golongan kafir itupun telah mendapat luka-luka (cedera) yang serupa. Dan demikianlah hari-hari itu Kami pergilirkan (masa menang dan kalah) di antara manusia, supaya Allah mengetahui (secara lahiriah) orang-orang yang beriman (secara ikhlas dan yang tidak) dan supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.
Sudah tentu di dalam ayat ini, hampir semua pihak dapat memahaminya dengan melihat kepadaasbabu an-nuzul dan urutan ayat-ayat di sekitarnya. Ianya merakamkan naik-turun dalam perjuangan dan kehidupan, ada masa kalah ada masa menang, ada hari senang ada hari susah, musim kuat dan musim lemah; begitulah kitaran kehidupan. Tetapi yang menentukan kedudukan secara hakikinya ialah ‘ketulusan di dalam iman’ dan ‘sikap sedia untuk berkorban kerana agama’. Ayat ini merupakan ayat kaunseling, ayat yang memberi ketahanan dan ketenangan kepada orang yang beriman ketika menghadapi hari-hari muram. Tidak terbayang secara zahirnya dari ayat ini tentang dua keadaan yang extreme ‘kejayaan atau kehancuran’ yang dimaksudkan oleh Dr. Farouk itu.
Seakan-akan Dr.Farouk mengambarkan keadaan ummat ini hanya dalam dua suasana, berjaya atau hancur, berada di nombor satu atau paling tercorot, tanpa pertimbangan untuk meletakkannya pada suasana lemah, tidak memuaskan, kalah atau seumpamanya. Apakah yang dapat diharapkan pada ummat dan tamaddun ummat yang telah hancur? Tentunya segala usaha ijtihad dan tajdid tidak akan memberi apa-apa kesan, kecualilah kita merubah paradigma itu kepada yang lebih mempunyai variasi, yakni menerima ummat kita berada di dalam keadaan mundur, terkebelakang dan lemah, tetapi belum hancur dan masih mampu dipulihkan sebagaimana yang telah terdapat isyarat-isyaratnya di dalam hadith Rasulullah SAW.
Lagipun agar sukar untuk dihadam oleh pemikiran seorang yang sederhana pendiriannya yang ummat yang disebut Allah sebagai ‘Khairu al-Ummah’ dan ‘Ummatan Wasatan’ yang dijadikan‘syuhada ‘ala an-nas’ itu telah menemui kehancurannya, sedangkan kitab mereka disebut Allah:
Sesungguhnya Kami yang menurunkan az-Zikra (al-Quran), dan sesungguhnya Kami yang menjaganya”.(al-Hijr:9) Ummat ini juga diisyaratkan di dalam hadith-hadith fitnah di akhir zaman yang mereka akan terus berjuang di atas kebenaran. Mereka akan memperolihi ketinggian sekali lagi sehinggalah kepada masa yang ditentukan oleh Allah sebelum berlakunya Qiyamat.
3- Dalam bahagian ke 3, ‘Tokoh-tokoh Generasi awal Gerakan Islam’, Dr. Farouk sekali lagi membuat penyataan yang disesuaikan oleh beliau mengikut lenggok perbahasan yang beliau kehendaki, tanpa sangat memberi tumpuan untuk menentukan apa yang diungkap beliau itu tepat dan benar. Beliau mengatakan :
Gerakan tajdid berusaha menentang pencemaran agama Islam oleh pengaruh adat resam serta taqlid buta, serta penentangan terhadap segala bentuk penjajahan baik yang merupakan penjajahan pemikiran mahupun penjajahan tanah air.
Apabila kita berbicara tentang usaha tajdid dan sejarah para mujaddid, kita akan jumpai sebahagian besar ulama beranggapan yang Saiyyidina Umar bin Abdul Aziz RD, khalifah Umayyah itu sebagai mujaddid yang pertama bagi ummat ini, kemudian ramai di kalangan ulama yang beranggapan Imam as-Syafi’e RD sebagai mujaddid kurun kedua bagi ummat ini. Di manakah kita mahu meletak mereka berdua dan juga ulama-ulama lain yang dianggap mujaddid pada kurun mereka masing-masing sekiranya digunakan criteria yang dikemukan oleh Dr.Farouk tersebut?
Di antara tulisan semasa yang membicarakan tokoh-tokoh mujaddid dalam sejarah ummah ini ialah buku 'The Saviour Of Islamic Spirit' oleh Maulana Abu Hassan an-Nadwi, tulisan ini dijadikan rujukan dan tersebar di dalam belbagai bahasa. Sudah tentunya perbincangan buku tersebut lebih berautoriti dari kriteria yang dikemukaan oleh Dr. Farouk, paling kurangnya.
Dr. Farouk meneruskan lenggokkannya dengan mengatakan:
Tajdid dan reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah (1263-1328M) dan diikuti oleh muridnya Ibnu al Qayyim al Jauziyyah (1292-1350M), kemudian dihidupkan kembali oleh Muhammad Abdul Wahab (1703-1787M)…
Di awal tulisannya, Dr. Farouk telah mendatangkan hadith Rasulullah SAW, yang diterjemah oleh beliau sebagai:
Sesungguhnya Allah akan mengutuskan kepada umat pada awal setiap satu kurun, orang yang mentajdidkan bagi umatnya agamanya
Berdasarkan pengertian yang kita fahami dari hadith ini, sudah tentu agak kekok untuk membincangkan tentang usaha tajdid di kalangan ummah ini dengan memulainya dengan seorang tokoh besar kurun ke 8 Hijrah yang disebut oleh Dr.Farouk ‘tajdid dan reformasi yang dipelopori oleh Ibnu Taimiyyah; tanpa melihat kepada tokoh-tokoh yang terlebih awal kerana usaha tajdid adalah usaha yang ‘cyclic’, yang berlaku pada setiap awal kurun. Kemudian digambarkan usaha tajdid di kalangan ummah ini terputus untuk hampir 400 tahun, hanya kemudiannya dihidupkan semula oleh Syaikh Muhammd Ibn Abdul Wahab.
4- Dalam bahagian ke 4, Dr.Farouk membincangkan 'Perjuangan Para Mujaddid di Tanah Melayu'.
Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana terdapat orang yang mempunyai sangka-baik, seperti Dr.Farouk, terhadap ahli ilmu agama di tanahair kita sehingga beranggapan yang mereka ini juga mencapai tahap mujaddid. Semoga sangka baik itu dapat bertepatan dengan keadaan yang sebenar, bukan waham yang terdorong oleh semangat ‘berpasukan’.
Dr.Farouk membuat pengamatan:
Di antara seruan utama gerakan tajdid ialah dalam membebaskan pemikiran ummat daripada belenggu taqlid buta. Para mujaddid tersebut telah mengemukakan ide memerdekakan fikiran, membebaskan diri daripada belenggu adat-resam budaya dan masyarakat, kerana selama seseorang itu dibelenggu, selagi itulah akalnya buta dan jumud serta suka bertaqlid. Perjuangan mereka memerdekakan umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan masyarakat, bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas.
Sekali lagi apakah benar seruan utama gerakan tajdid yang kita fahami dari isyarat hadith itu ialah membebaskan pemikiran ummat daripada belenggu taqlid buta? Sebelum itu apa yang dimaksudkan dengan ‘taqlid buta’? Apakah beramal ibadat dengan menggunakan huraian suatu mazhab yang tertentu sahaja itu taqlid buta yang harus diperangi, walaupun huraian itu murupakan huraian yang rajih (yang terpilih) di kalangan ulama mazhab tersebut?
Apakah seorang yang menemui nas-nas al-Quran dan hadith, tetapi beramal mengikut faham daripada dalil-dalil yang dikemukakan oleh ulama yang terdahulu, kerana mereka mengetahui terdapat perbezaan di antara nas dan dalil itu juga dianggap taqlid buta? Apakah ulama yang menemui nas tertentu tetapi tidak mengeluarkan pendalilan yang sendiri dari nas tersebut, malah mengikut huraian ulama terdahulu kerana merasakan huraian ulama terdahulu itu lebih tepat dan lebih mencakupi jangkauannya dianggap taqlid buta? Atau adakah orang awam yang tidak terdedah kepada ilmu-ilmu yang perlu secara mencukupi dan bersikap memada dengan huraian ulama mazhabnya dianggap taqlid buta yang harus diperangi?
Ketergantungan kita kepada huraian kefahaman dan analisa ulama terdahulu adalah sesuatu yang hampir-hampir tidak dapat ditanggalkan, sekiranya kita hanya memada dengan nas-nas al-Quran dan hadith untuk beramal , maka untuk menentukan kedudukan sesebuah hadith, sama ada sahihnya sehingga kepada maudu’nya, kita juga terpaksa bergantung kepada huraian ulama yang mengkaji rijal (perawi-perawi hadith); dan kita ‘telan’ apa yang mereka catitkan tentang perawi-perawi di dalam sesuatu sanad hadith itu.
Dan pada hari ini, ramai daripada golongan yang anti taqlid itu bertaqlid kepada huraian Sheikh Nasiruddin Albani di dalam menentukan kedudukan sesuatu hadith, walaupun sebahagian kenyataan Albani telah disanggah oleh ulama hadith yang lain, bahkan Albani sendiri pun mempunyai pandangan-pandangan yang bercanggah tentang satu hadith, atau seorang perawi yang sama di dalam kitab-kitabnya yang berbeza.
Apakah benar apabila seseorang itu tidak bertaqlid kepada mana-mana mazhab feqah, maka dia akan berfikiran merdeka dalam hal-hal lainnya? Adakah seseorang itu apabila dia bertaqlid dengan sesuatu mazhab feqah yang tertentu, maka fikiran dia akan terjajah dalam hal-hal lainnya? Adakah semua adat resam Melayu kita perlu dirungkai, bukankah sudah ada pengaruh Islam yang menyerap dan menjadi darah daging kepada adat-resam Melayu? Bukankah Rasulullah SAW sendiri tidak merombak adat-resam dan kebiasaan masyarakat Arab jahiliah yang tidak bertentangan dengan Islam, malah ianya diraikan dan dijernihkan berdasarkan ajaran Islam sehingga ia menjadi lebih halus dan berseni?
Apakah ianya sentiasa betul yang perjuangan memerdekakan pemikiran umat adalah penting kerana kemerdekaan politik, ekonomi dan kemasyarakatan bertitik tolak daripada pemikiran yang bebas?. Kemerdekaan dituntut oleh orang yang berjiwa patriotic, pejuang kemerdekaan tidak dibatasi atau ditentukan oleh sikap taqlid mazhab atau tidaknya. Kemerdekaan ekonomi adalah bab yang lain daripada ijtihad dan taqlid fiqhi. Sehingga sekarang belum ada kajian dan perangkaan yang menunjukkan bahawa kemerdekaan ekonomi, ataupun pencapaian ekonomi seseorang individu atau kelompak mempunyai hubung-kait dengan sikap terhadap taqlid dan ijtihad fiqhi Malah ada orang yang sangat berjaya pencapaian ekonominya daripada golongan bermazhab, ada dari golongan tidak bermazhab, ada dari golongan ajaran sesat dan ramai daripada golongan orang kafir, begitu jugalah disebaliknya
5- Dr. Farouk menyebut yang gerakan tajdid di tanah air adalah kesanimbungan perjuangan yang diasaskan oleh mujaddid ulung, Sheikh Muhammad Abduh serta muridnya Sayyid Rashid Redha.
Adalah agak keterlaluan untuk diungkapkan yang Sheikh Muhammad Abduh adalah mujaddid ulung. Lebih adil agaknya dikatakan Sheikh Muhammad Abduh adalah seorang ulama terkenal yang mengambil tempat sebagai seorang ulama yang berfahaman modernist dan bukanlah beliau seorang ulama berfahaman salafi. Beliau mengkagumi kemajuan kebendaan dan perkembangan kebebasan pemikiran yang berlaku di barat, sehingga terdapat tulisan-tulisan yang ‘menuduh’ beliau dan mentornya, Syaikh Jamaluddin al-Afghani, seorang tokoh yang masih diselimuti tanda-tanya. Termasuklah persoalan adakah mereka berdua benar-benar ahli lodge freemason? Lihat sebagai contoh buku yang ditulis oleh Dr. Abdul Naim Husnain, ketua jabatan bahasa timur di Universiti Ain Sham dan mantan dekan kuliah Bahasa dan terjemahan di Universiti al-Azhar'Haqiqatu Jamaluddin al-Afghani'. Buku ini mengandungi salinan-salinan asli surat-menyurat Syaikh Jamaluddin al-Afghani. (diterbitkan oleh Dar al-Wafa, Mansurah, Masir. Cetakan pertama 1986).
Ramai juga cendiakawan Islam yang resah dengan sebahagian tafsir al-Quran yang dilakukan oleh beliau yang dilihat sebagai percubaan untuk menyesuaikan Islam dengan sains moden secara tohoran dan meminggirkan fahaman-fahaman tentang perkara-perkara ghaib. Hal ini berlainan dengan Syaikh Rashid Reda , walaupun merupakan pengikut Syaikh Muhammad Abduh, tetapi beliau menunjukkan kecenderungan salafi yang jelas dan antara lain telah menyusun kitabMajmu‘atu al-Hadithi an-Najdiyyati yang merupakan ta’liq kepada sembilan risalah dengan empat risalah ini daripada tulisan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab.
Dr. Farouk menyebut:
Setelah kematian Sayyid Muhammad Rashid Reda, ‘al-Manar’ telah diteruskan oleh Hassan al-Banna. Beliau menjadi penyambung gerakan tajdid…
Kita tidak mengetahui sejauh manakah kebenaran dakwaan yang Imam Hassan al- Banna adalah penerus perjuangan Syaikh Muhammad Abduh dan Syaikh Sayyid Rashid Reda. Agaknya Dr. Farouk telah bertaqlid kepada penulis-penulis sebelum beliau, dan tidak membuat penilaian dengan menyelunsuri tulisan-tulisan Imam Hassan al-Banna itu sendiri. Imam Hassan al-Banna menghuraikan aqidah di dalam Majmu ar-Rasail-nya dengan huraian sebagaimana huraian ulama tradisional, bahkan menolak pegangan yang berdasarkan makna-makna zahir ayat-ayat tentang Sifat Allah, beliau mengambil sifat tafwid (menyerahkan makna dan kaifiat Sifat-Sifat Allah yang dipertikaikan) mengikut huraian Imam Abdul Rahman Ibnu Jauzi di dalam kitabnya yang menolak aliran hasyawiyyah mujassimah ‘Diffu as-Syubhah’.
Imam Hassan al-Banna juga di dalam kitab ‘Usul al-‘asyrin, jelas menggarap masalah taqlid dan ijtihad, khilafiyyah, tawassul dan lain-lain isu yang dipertikaikan dengan selayak dan selari dengan huraian ulama tradisional. Kemudian lihatlah juga di Majmu ar-Rasail-nya, Hadith ath-Thulatha yang sangat jelas mencerminkan pegangan dan perjalanan pemahaman serta dakwah Imam Hassan al-Banna. Kemudian eloklah dirujuk kepada tulisan-tulisan Imam Hassan Hudaibi untuk lebih menjadi jelas intipati perjuangan Ikhwan al-Muslimin.
Tidak hairan golongan salafi, seperi Syaikh Rabi al-Mudkhali, atau laman web seperti Allahuakbar.com yang diselenggara oleh golongan ini serta beberapa lagi tulisan dan laman-laman salafi yang lain telah menghentam Imam Hassan al-Banna dan Ikhwan al-Muslimin keseluruhannya, termasuklah hentaman ke atas Syaikh Said Hawwa, Syaikh Yusuf al-Qardawi, Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan Sayyid Qutb (bahkan mereka yang terpengaruh dengan Sayyid Qutb dinamakan aliran Qutubiyyah yang mereka sesatkan).
6- Adapun tentang Pendita Za’aba, kita semua akui sumbangan beliau yang besar kepada perjuangan bahasa dan bangsa Melayu.
Kita terhutang budi kepada beliau di atas jasa beliau yang cuba menyelaraskan ejaan jawi, yang sehingga kini dirujuk sebagai ejaan jawi Sistem Za’aba. Beliau adalah seorang cendiakawan besar bangsa kita. Kita akui kecenderungan beliau kepada fahaman ‘kaum muda’ dan sukakan pembaharuan serta beliau berkawan dengan A. Hassan Bandung. Bagaimanapun beliau bersikap liberal dan ‘agak longgar’ dalam fahaman dan amalan Islam. Sekiranya kita membaca riwayat hidup Za’ba serta tulisan-tulisan beliau, agaknya amat sukar untuk kita membuat kesimpulan beliau adalah seorang yang berfahaman salaf. Sepatutnya kita bertindak jujur terhadap sejarah dan pegangan seseorang itu, tanpa mengheret soal sebenar kerana mahu ditundukkan mengikut selera kita. (Antara lain saya manafaatkan buku ‘Pendita Za’ba Dalam Kenangan’ tulisan Abdullah Hussain dan Khalid Hussain, Terbitan DBP, 1974)
7- Dr.Farouk dalam tajuk Pembebasan Daripada Khurafat dan Bid’ah telah memetik Sheikh Abu Bakar al-Asya’ari yang menunjukkan haramnya beramal dengan amalan bid’ah dan khurafat. Sudah tentu keharaman kedua perkara ini telah disepakati oleh para ulama dan orang awam yang berpengetahuan secara amnya. Apa yang berbeza di kalangan ulama ialah kefahaman terhadap :
i- apakah semua perkara yang Rasulullah SAW tidak perentah itu haram untuk diamalkan?
ii- apakah yang dimaksudkan dengan ‘kullu’[semua] di dalam hadith tentang kesesatan bida’ah? Apakah semua tanpa pengkecualian, atau kesemua dengan ada pengkecualian?
iii- apakah bid’ah yang terlarang itu terkhusus di dalam rubu ibadat sahaja atau kesemuanya?
iv- apakah kedudukan qiyas di dalam penentuan hukum di dalam syara?
v- apakah terdapat perbezaan di antara zahir nas dan pendalilan daripada nas tersebut?
vi- apakah ijtihad dan amalan khalifah ar-Rasyidin yang tiada warid jelas daripada Rasulullah SAW itu boleh dijadikan dalil syara?
Sudah tentu kita boleh mengambil sikap dan pendirian kita terhadap perkara-perkara yang disebut, tetapi kita patut terima memang terdapat kefahaman yang berbeza di kalangan ulama tentang perkara-perkara ini. Agaknya jika ada polemik yang ingin diteruskan pun tentang perkara-perkara ini, penyelesaiannya sukar dicapai sebagaimana ianya tidak mampu diselesaikan oleh ulama-ulama terdahulu daripada kita.
8- Di bawah sub-tajuk Kesedaran Pendidikan, Dr.Farouk bersemangat dalam menegaskan ‘Perjuangan gerakan tajdid di mana sahaja di atas muka bumi ini akan mendokong cita-cita untuk merubah masyarakat setempat’.
Ini adalah cita-cita besar dan slogan yang berani; kerana tidak ramai yang mempunyai kudrat untuk merubah masyarakat. Tetapi setiap Muslim sama ada mujaddid atau tidaknya berkewajiban secara fardu kifayah untuk mengislahkan masyarakatnya sedaya mungkin. Usaha mengislah masyarakat tidak sama dan tidak serupa dengan usaha merubah masyarakat. Merubah adalah kerja-kerja menukarkan sesuatu secara total (semada keseluruhan atau sebahagian) kepada sesuatu yang sama sekali lain dan mungkin pertukaran itu ke arah kebaikan atau keburukan. Ianya biasanya berbentuk revolusi . Pengislahan ialah kerja-kerja mengelokkan, meluruskan, membetulkan apa-apa yang tidak elok, tidak lurus atau tidak betul serta membiarkan elemen-elemen lainnya yang baik untuk berterusan bahkan mungkin ada elemen-elemen sedia ada yang disuburkan lagi. Sebagaimana yang dirakamkan di dalam al-Quran: ‘Tiada yang hamba inginkan kecuali pengislahan sedaya mungkin’. (Hud:88)
Kita hormati cita-cita besar Dr. Farouk dan rakan-rakan beliau, dan didoakan agar Allah membimbing kita semua di dalam memahami tabiat agama kita yang suci ini.
Adapun penekanan kepada kepentingan ilmu, terutama kepada ilmu-ilmu yang berkaitan kemajuan dunia bukanlah merupakan suatu yang khusus kepada kelompok gerakan tajdid sahaja, bahkan tokoh Melayu yang lebih awal dan lebih jelas memberi tekanan kepada penguasaan ilmu ialah Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani (m.1908). Syaikh Ahmad menulis perkara ini di dalam kitabnya yang masyhur Hadiqatu al-Azhar, beliau menyarankan agar raja-raja Melayu, pembesar-pembesar serta hartawan agar membuka madrasah bagi pengajian lelaki dan perempuan.
Beliau menulis tentang peri-penting mempelajari bahasa-bahasa selain bahasa sendiri, termasuklah mempelajari Bahasa Inggeris. Beliau menekankan perlu pendokumentasian dan penyelidikan perubatan dan kegunaan pokok-pokok perubatan yang terdapat di Tanah Melayu sebagai yang ditulis di dalam Taiyyibu al-Ehsan. Beliau menekankan peri-pentingnya pembakuan Bahasa Melayu untuk mengelak ianya menjadi rosak, peri-pentingnya pendokumentasi sejarah bangsa dan perlunya dilaksanakan usaha-usaha untuk memajukan bangsa sebagaimana yang diungkap dalam syair yang dikarang indah yang ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin II.
Beliau juga menekankan keberkesanan strategi di dalam gerak-kerja siyasah. Syaikh Ahmad bercita-cita untuk melihat negeri-negeri Melayu menjadi ‘bendaharaan ilmu, perladungan kepandaian’ (the treasure of knowledge and the reservoir of technologies). Antara jasanya yang besar ialah beliau merintis jalan bagi kerja-kerja percetakan bagi kitab-kitab Melayu dengan memohon izin daripada Sultan Abdul Hamid Kedua di Istanbul, dan kitab pertama dari usaha besar ini ialah Sabila al-Muhtadin karangan Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang dicetak di percetakan milik kerajaan Uthmaniyyah.
Gagasan Syaikh Ahmad itu teruskan oleh murid-muridnya terutamanya di Kelantan, mereka telah membuka pondok-pondok, memulakan Madrasah Muhammadiyyah pada tahun 1918 yang mempunyai tiga aliran; Melayu, Arab dan Inggeris. Kelas Inggeris ini telah mendahului sekolah Inggeris kerajaan, Ismail English School, yang ditubuhkan pada tahun 1936. Mereka memulakan kerja-kerja penerbitan dengan menubuhkan Matbaah al-Miriyyah al-Kelantaniyyah, kemudian cambahlah aktiviti pengeluaran bahan bacaan di Kota Bharu, dan yang paling menonjol ialah Matbaah Majlis Agama Islam. Majlis Agama juga telah mengadakan jabatan penterjemahan yang khusus dipimpin oleh Tuan Guru Haji Omar Sg. Keladi bagi kerja-kerja menterjemah kitab-kitab dari bahasa Arab dan Inggeris. Kemuncak bagi kerja penerbitan ini ialah Majalah Pengasuh yang dikeluarkan pada 1918 dan dipimpin oleh Tok Kenali. Za’ba juga merupakan di antara penyumbang awal bagi isi kandungan majalah ini. Majalah ini telah menjadi gelanggang bagi perbincangan isu agama, pengetahuan, politik dan sosial yang terkedepan pada masa itu.
9- Kemudian Dr. Farouk membicarakan Pembebasan dan Emansipasi Wanita.
Dr. Farouk banyak memanafaat tulisan Dr. Farish Noor tentang peranan Syed Syaikh Al Hadi, yang disifatkan beliau ‘seperti para mujaddid yang lain pada zamannya berjuang untuk mematahkan monopoli golongan agama dan membuka semula pintu ijtihad’. Kemudian beliau menyebut ‘kritikannya [Syed Syaikh Abdul Hadi] pada ulama tradisional yang berkuasa adalah dalam bentuk penulisan yang kritis dan tajam seperti novel Hikayat Faridah Hanum. Di dalam kisah ini, Faridah Hanum digambarkan sebagai wanita yang rasional, progresif dan moden yang mampu melaksanakan kebebasan dan memilih dan menggunakan pemikirannya secara rasional. Faridah Hanum juga memiliki kekuatan memelihara diri dan kehormatannya serta mempunyai kawalan terhadap kehendak batinnya’.
Sudah tentu bagi orang yang pernah membaca Hikayat Faridah Hanum akan bersetuju yang mesej novel ini lebih kepada idea pembebasan wanita secara standard dan nilai barat daripada penonjolan wanita muslimah sebagaimana yang dituntut oleh syara sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Pengaruh gerakan emansipasi wanita secara kebaratan yang berkembang semasa itu di Masir telah mempengaruhi penerbitan novel ini lebih daripada ajakan untuk mentajdidkan agama dengan kembali kepada nilai-nilainya yang semurninya itu , iaitu sebagaimana yang difahami dan dihayati oleh generasi salaf. Bagaimana boleh tergamak kita senaraikan novel ini sederet dengan hasilan-hasilan ulama mujaddid seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Imam Syafi’ie, Imam Ghazali, Imam Sayuti, Imam Ahmad Sirhindi yang dikenali sebagai Mujaddid Alif Thani atau Imam Syah Waliyullah al-Dehlawi?
Dr. Farouk menyambung dengan nada tulisan yang yakin kepada diri sendiri:
Sekiranya bukan kerana usaha dan perjuangan gerakan tajdid yang moden lagi progresif ini, niscaya masyarakat Melayu Islam yang berada di bawah kekuasaan golongan ulama tradisional tidak akan berubah sama sekali.
Apalah bezanya keadaan masyarakat Melayu di negeri Perlis yang dibawah kekuasaan (meminjam istilah Dr. Farouk) ulama golongan tajdid berbanding dengan masyarakat Melayu di negeri-negeri lain yang berada di bawah kekuasaan ulama tradisional? Seruan supaya bangsa Melayu memajukan diri dengan mengadakan madrasah yang mengajar belbagai ilmu, serta dibincangkan fadilat ilmu perubatan, fadilat ilmu tawarikh, fadilat mengetahui bahasa selain bahasa sendiri, fadilat ilmu siyasah dan tadbir, fadilat mempelajari sains dan teknologi semasa sebagai sumber kekuatan agama, mengesyorkan supaya berusaha memerentah tanahair sendiri merupakan seruan-seruan yang dibuat oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Syaikh Ahmad menyeru agar bangsa kita bergerak ke arah kemajuan ilmu dan kemahiran yang sentiasa berkembang serta mengekalkan kefahaman dan amalan amalan agama yang memang bersifat perennial.
Tidak hairanlah Majalah Pengasuh yang mendukung fahaman agama secara tradisional itu telah dijadikan medan untuk melontar dan memperkembang perbincangan untuk penubuhan universiti di tanah air, mengadakan bank yang berjalan di atas dasar syariat dan reformasi social di dalalm masyarakat pada awalam 1920-an lagi.
Dr. Farouk masih dengan nada yang yakin menyatakan:
Merekalah yang telah mengajar bahawa kekuasaan barat tidak dapat dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat. Atas usaha mereka itulah maka Gerakan Melayu Islam mula tersusun dalam bentuk Organisasi dan parti politik yang memperjuangakan kemerdekaan tanahair.
Dr. Farouk tidak menyebut rujukan bagi dakwaan hebatnya ini. Sedangkan sehingga kini yang kita ketahui mungkin antara gerak kerja orang Melayu secara berorganisasi bermula dengan penubuhan Jam’iyyatu al-Fataniyyah’di Makkah pada akhir kurun ke 19, yang kemudian menjadi model kepada penubuhan Jamiyyatu ar-Riyawiyyah di Pulau Riau dan Jamiyyatu al-Asriyyah di Kota Bharu pada awal kurun ke 20. Organisasi awal ini dianggotai oleh ulama-ulama tradisional.
Apakah adil untuk mengambarkan yang ulama tradisional mengajar orang awam yang kekuasaan barat dapat dikalahkan dengan jampi serapah dan tangkal azimat? Siapakah di antara ulama tradisional yang dimaksudkan oleh Dr. Farouk? Seandai yang dimaksudkan adalah seumpama kitab Urwatu al-Wusta karangan Syaikh Abdul Samad al-Falembani yang memuatkan wirid dan bacaan yang dianjurkan untuk diamalkan sebagai persiapan untuk jihad fi sabilillah, maka apakah itu tidak termasuk di dalam anjuran ‘dan apabila kamu bersemuka dengan gerombolan musuh, maka tetapkan pendirian dan berzikirlah kepada Allah dengan banyak semoga kamu akan memperolehi kemenangan’ (al-Anfal:45)
Syaikh Abdul Samad al-Falembani sendiri telah mengetuai pasukan jihad kerajaan Kedah menentang penaklukan Siam sehingga sampai ke kawasan Chenok, di utara Pattani. Di sanalah beliau menemui kesyahidannya dan sehingga kini kubur yang disemadikan kepalanya yang dipenggal itu masih terpelihara di bawah naungan cengal yang besar.
Begitu jugalah dengan sebahagian ulama tradisional yang telah berjuang dengan gigih menentang penjajahan seumpama Syaikh Daud Abdullah al-Fatani dan barisan ulama Pattani, para ulama Acheh bergenerasi, Syaikh Yusuf Taj al-Khalwati al-Makasari dan pengikutnya yang terbuang sehingga ke Ceylon dan Afrika Selatan, Raja Ali Haji yang masyhur dengan keberanian di medan tempur sehingga menmui syahid di Tanjung Ketapang, Syaikh Abdul Rahman Limbong, Terangganu yang dibuang negeri oleh pihak Inggeris ke Makkah. Mereka adalah ahli zikir, mereka adalah ahli kerohanian yang mengamalkan tariqah tertentu, mereka bertaqlid kepada kepada mazhab Imam Syafi’ie dan mereka adalah para mujahid yang berjuang. Perjuangan mereka tidak didesak dan dipengaruhi oleh tulisan-tulisan kaum muda, bahkan kepatuhan mereka kepada ajaran Islam secara tradisional itulah yang telah menjadi ruh kepada perjuangan dan jihad mereka.
Dr.Ibrahim Abu Bakar dari UKM telah membuat beberapa penelitian terhadap tulisan Syed Syaikh Al-Hadi, di antaranya di dalam kertas ‘Pemikiran Politik Muslim Modenis beranggapan dan Fundamentalis –Satu Perbandingan Ringkas’, Dr. Farouk mengambarkan seolah-olah yang Syed Syaikh al-Hadi dan ‘gerakan tajdid-nya yang bertanggung-jawab meniupkan semangat perjuangan kemerdekaan. Dr. Ibrahim mengatakan:
Di samping alasan ekonomi, keselamatan dan kebebasan kepada Muslim berada di bawah pemerentahan Inggeris di Malaya, al-Hadi juga menggunakan beberapa ajaran Islam untuk memberikan justifikasi dan legitimasi kepada sikap dan pandangannya supaya Muslim di Malaya tidak menentang Inggeris dan memikirkan kebaikan yang dibawa oleh pemerentahan Inggeris kepada mereka.
Pertama, ajaran Islam supaya berlaku adil dan menegakkan keadilan. Islam mewajibkan pemerentah berlaku adil menegakkan keadilan. Al-Hadi melihat keadilan dan keamanan dan kebebasan wujud di bawah pemerentahan Inggeris di Malaya. Beliau menyamakan Inggeris dengan tentera Tuhan yang dikirimkan ke Malaya untuk menyelamatkan Muslim di Malaya daripada penindasan dan kezaliman pemerentah yang beragama Islam dan berfahaman feudalisme. Al-Hadi menyatakan Inggeris adalah satu kumpulan tentera daripada Tuhan seluruh alam yang telah memerentah mereka datang untuk membebaskan kita daripada kegelapan, penjara kejahilan, kezaliman dan kejahatan dan daripada kekejaman ketua-ketua kita sendiri (ibrahim 1994:159). Persepsi negative al-Hadi terhadap ketua-ketua Melayu berfahaman feudalisme ini membawa pengertian yang sama dengan penjelasan Shaharuddin Maaruf yang menulis “in the Malay feudal history there were frequent wars among the rival chiefs. Besides causing loss of lives, these wars caused economic distruption and poverty among the subject” (Sharuddin 1984:29)
Kedua, al-Hadi merujuk kepada al-Quran, surah al-Anbiya (21:105) yang mengatakan bumi diwaisnya oleh hamba-hamba-Ku yang salih. Salih dalam fahaman al-Hadi termasuk berlaku adil dan menegakkan keadilan di bumi atau di dunia. Al-Hadi memberi tafsirannya kepada konsep hamba yang salih sebagai mereka yang berupaya dan mampu memerentah dengan baik dan betul, memberikan kemakmuran dan menarik lebih penduduk dengan keadilan dan persamaan dan dengan penyebaran ilmu dan keamanandi daerah pemerentahan mereka sekalipun mereka adalah musyrikun. (ibrahim 1994:159-160)
Ketiga, al-Hadi merujuk kepada Quran, Surah Hud (11:117) yang mengatakan bahawa Tuhan tidak memusnahkan perkampongan dengan zalim sedangkan penduduknya adalah muslihun(orang salih). Tafsiran al-Hadi kepada Quran (11:117) adalah Tuhan tidak akan memusnahkan negeri-negeri kerana kemusyrikan atau kesyirikan penduduknya sedangkan mereka tidak menambah kepada kesyirikan itu kezaliman dan kemusnahan tetapi mereka melakukan kebaikan dan keadilan di kalangan mereka. Kezaliman diberi tafsiran kesyirikan. Semata-mata kesyirikan wujud di kalangan penduduk di sesuatu negeri. Tuhan tidak memusnahkan penduduk di negeri berkenaan selama mereka adalah muslihun (ibrahim 1994;160-161)
Keempat, al-Hadi merujuk kepada Quran, Surah Rum (30:30) yang mengatakan mengenai fitrah Allah yang dijadikan manusia di atas fitrah itu. Fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah kepada manusia ditafsirkan al-Hadi sebagai peraturan Allah kepada manusia di dunia ini. Peraturan itu meliputi sifat semulajadi manusia mahu mencari kelebihan di dunia, dan manusia mesti berusaha dan berjuang untuk kesurvivilan mereka di dunia. Bnagsa-bangsa Eropah termasuk Inggeris telah mengikut fitrah manusia berkenaan, di mana mereka mencari kelebihan dan ketinggian melalui akal yang waras, ilmu yang luas dan kuasa. Mereka mencapai kekayaan, penghormatan dan sedemikian rupa kerana mereka telah mengikut fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah kepada manusia. (Ibrahim 1994:163-164)
Dr. Ibrahim membuat kesimpulan:
Mereka [golongan modenis; Syed Ahmad Khan di India. Muhammad Abduh di Masir dan al-Hadi dii Malaya] akhirnya menaja dan menyebarkan politik berbaik dan bekerjasama dengan penjajah Inggeris untuk kemajuan Muslim di dalam bidang pendidikan dan ekonomi dan mereka tidak mahu Muslim menentang pemerentah Inggeris. Ketiga-tiga Muslim modenis berkenaan tidak mengemukakan idea atau wawasan Negara Islam “Islamic State” atau kerjaan Islam “Islamic government”sebagai jalan keluar kepada kelemahan Muslim di bawah penjajahan pemerentahan Inggeris. Mereka mahu Muslim berfikir mengenai kebaikan yang mereka telah perolihi dan akan perolihi daripada penjajahan dan pemerentahan Inggeris di negeri atau Negara mereka. Untuk itu, tiga Muslim modenis berkenaan tidak menggunakan ajaran atau sejarah Islam untuk menentang Inggeris atau menuntut kemerdekaan daripada Inggeris. Malahan mereka menggunakan ajaran Islam dan peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam untuk Muslim berbaik sangka dan bekerjasama dengan pemerentahan Inggeris untuk kebaikan Muslim sendiri. Mereka tidak menjadikan pengaruh dan penguasaan asing iaitu Inggeris sebagai musuh utama dan musuh ketat mereka. Sebaliknya, ketiga-tiga Muslim modenis itu menjadikan penyebab utama kemunduran dan kelemahan umat Islam adalah Muslim tradisionalis, Muslim konservatif, ketua-ketua Muslim yang feudalis dan Muslim yang tidak mengamalkan suruhan-suruhan Islam dalam kehidupan mereka.
Sengaja dipetik tulisan Dr. Ibrahim Abu Bakar dengan cara yang agak detail ini untuk menunjukkan yang agak sulit untuk diterima bahawa semangat penentangan terhadap pihak Inggeris, perjuangan kemerdekaan itu datangnya dari tokoh yang sangat mengkagumi Inggeris itu sendiri, kecuali Dr. Farouk mendatangkan bukti-bukti yang nyata untuk menjelaskan kefahamannya itu. Kita boleh sahaja tidak bersetuju dengan pandangan Dr. Ibrahim sekiranya terdapat petunjuk-petunjuk yang nyata menyalahi pandangan beliau. Itulah semangat tidak bertaqlid yang ingin kita sama-sama suburkan.
Dr. Farouk mengatakan ‘penjajah Inggeris amat berwaspada dengan parti ini ekoran tuduhan oleh Dato’Onn Jaafar yang mengatakan parti itu berdamping rapat dengan kominis. Sikap Dato’Onn itu digambarkan dalam ucapannya: “Bahaya di gunung itu masih ada lagi ditambah pula satu bahaya lagi (Hizb al-Muslimin) supaya orang Melayu terhapus kerana sebenar-benarnya parti Islam itu merah”
Kita tidak perlu bersetuju dengan pendirian Dato’ Onn yang kritikal terhadap Hizb al-Muslimin, tetapi kita mengakui dari segi catitannya yang majlis penubuhan Hizb al-Muslimin telah dihadiri antara lain oleh pemimpin-pemimpin utama Melayu dari Parti Komunis Malaya. Selain daripada kehadiran pemimpin Melayu yang dianggap golongan kiri yang lain di dalam majlis tersebut. Dalam kita menyanjungi langkah penubuhan Hizb al-Muslimin oleh Ustaz Abu Bakar Baqir itu, kita masih sulit untuk menerima bahawa langkah itu merupakan suatu usaha tajdid yang telah diisyaratkan di dalam hadith Rasulullah SAW sebagaimana yang disebut oleh Dr. Farouk sendiri. Kita harapkan usaha yang lebih jernih dan lebih murni daripada yang telah berlaku itu, iaitu langkah yang lebih hampir kepada kemurnian Islam sebagaimana yang difahami dan diamalkan oleh salaf as-soleh daripada ummah ini. Itulah yang kita fahamkan sebagai usaha tajdid dan yang menjayakannya itu adalah adalah mujaddid.
Dr. Farouk menyatakan: ‘Al Ihya al Syarif lahir pada tahun 1934. Ia diusahakan oleh Ustaz Abu Bakar al Bakir Bin Muhammad Said. Penglibatan Al Ihya dalam bidang politik bukan merupakan satu perkara asing. Ini kerana kedudukan Gunung Semanggol berdekatan dengan Pulau Pinang yang pada waktu itu kuat dipengaruhi oleh aliran Kaum Muda’. Hanya terdapat sedikit penjelasan lanjut yang perlu dibuat oleh Dr. Farouk untuk menyakinkan kita yang Ustaz Abu Bakar al Baqir terpengaruh dengan aliran Kaum Muda, ini memandangkan Ustaz Abu Bakar Bakir disenarai Oleh Dato’ Ahmad Badawi sebagai murid awal Syaikh Abdullah Fahim yang belajar di rumah Syaikh Abdullah Fahim seawal tahun 1330H. Syaikh Abdullah Fahim adalah tokoh besar dalam memperjuangkan seruan kemerdekaan untuk tanah airnya. Perkara ini dicatit antara lain oleh Ustaz Ismail Awang di dalam artikel yang dimuatkan di dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu Jilid ke 2. Syaikh Abdullah Fahim juga sangat tegas menentang aliran Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Syaikh Abdullah membuat catitan:
Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se-Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadi-qadi, ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekelian mereka bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafie ijma’an, tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie… (kemudian beliau menyenaraikan kitab-kitab rujukan bagi ulama Melayu).
Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya [dan daripada] segala hukum-hukum di dalamnya , kesemuanya mustanbat [diambil] daripada Quran dan hadith yang [di] halusi dan ditapis oleh ulama ajilla, diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada Bahasa Melayu beratus-ratus tahun [sudah lamanya].
Dr. Farouk menambah rentetan kepada sejarah perjuangan politik Islam di tanah air:
Pengharamannya (Hizb al-Muslimin) bukan bermakna perjuangannya telah terkebur. Keadaan ini ternyata dengan kelahiran parti politik yang memperjuangkan Islam selepasnya, iaitu kemunculan Parti Islam se-Malaya (PAS) pada atahun 1951 di Kelab Melayu Bagan, Seberang Perai. Idealogi yang diperjuangkan oleh parti baru itu tidaklah terkubur tapi sebenarnya adalah sambungan kepada perjuangan Islam oleh Hizb al-Muslimin yang telah diharamkan oleh Inggeris.
Sekiranya kita bertanya secara jujur apakah PAS itu benar-benar merupakan sambungan kepada Hizb al-Muslimin di Gunung Semanggul itu? Atau lebih dekat lagi untuk dikatakan cetusan PAS itu ialah daripada bekas beberapa pemimpin sayap ulama di dalam UMNO yang telah keluar parti beserta Dato’ Onn telah bergabung dengan tokoh-tokoh yang mempunyai kecenderungan keagamaan lainnya dalam menubuhkan PAS, iaitu singkatan Persatuan Islam se-Malaya. Penubuhan asalnya bukanlah sebagai sebuah parti politik, bahkan sebagai badan keagamaan, lihatlah risalah yang dinamakan ‘Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama SeMalaya’, yang diterbitkan berikutan suatu muzakarah yang diadakan di Kepala Batas pada 4/1/1953 di antara ahli-ahli ilmu dari seluruh Malaya di bawah anjuran PAS.
Risalah ini telah dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang pada tahun 50’an dengan kata-kata aluannya oleh Ustaz Ahmad Fuad bin Hassan, Yang DiPertua PAS yang pertama. Dalam kata-kata nya, Ustaz Ahmad Fuad antara lain menyatakan:
Dan kami mengingatkan hendaklah tuan-tuan memetik akan ilmu-ilmu agama itu daripada tempat yang muktabar iaitu kitab-kitab yang telah termasyhur diterima pakai dan diakui oleh ahli-ahli ilmu yang muktabar.
Awaslah daripada tiru-tiru yang menghendaki supaya tuan-tuan hanya mengambil hukum-hakam agama daripada al-Quran dan hadith dan mencampakkan segala kitab-kitab ulama di belakang tuan-tuan.
Ketahuilah bahawasanya kandungan-kandungan kitab-kitab yang muktabar semada feqah, usul dan tasauf itu semuanya mempunyai sandaran kepada al-Quran atau hadith, dan ulama itu tiada sekali-kali berani mengada-ngadakan perkara agama, tetapi harus pembaca-pembaca bagi kitab ulama itu tiada dapat menyelidiki tempat-tempat sandaran bagi qaul-qaul demikian, maka terus ia mengatakan pula ulama itu tidak bersendikan Quran dan hadith, tatkala itu bukanlah ulama-ulama yang terkenal itu yang tersalah tetapi pembaca-pembaca yang sedikit pengetahuannnya itulah yang salah.
Sementara persoalan-persoalan yang dibincangkan di dalam risalah khusus ini ialah dalil-dalil yang didatangkan bagi amalan seperti bacaan ‘bismillah’, azan pertama pada hari jumaat, sekurang-kurang 40 orang sebagai syarat sah jumaat, melafaz usalli, membaca saiyyidina di dalam tahiyyat, berdiri ketika membaca marhaban, sunnat membaca talqin selepas pengkebumian, hukum bertaqlid dan lain-lain lagi.
Sudah tentu kita dapat fahami yang pendirian PAS sekurang-kurangnya pada tahun 1953 adalah tidak selari dengan perjuangan kaum muda. Bagaimana Dr. Farouk agaknya dapat mengatakan yang PAS itu adalah penerusan kepada ‘usaha tajdid’ Syeikh Syed Hadi?
PAS sebagaimana yang diketahui umum didaftarkan di Pejabat Pertubuhan Pulau Pinang hasil daripada perjumpaan dan persidangan alim ulama pada 24hb November 1951 di Butterworth.. Alangkah eloknya sekiranya kita dapat berlaku adil kepada sejarah dan segala artifaknya tanpa dipengaruhi oleh rasa kepuakan yang melulu.
Sudah tiba masanya kita mengalu-alukan minat terhadap agama dan sejarah ummah serta bangsa yang ada di kalangan professional, sokongan kita itu ialah dengan cara kita memberi sumbangan agar minat itu akan jadi lebih matang dan lebih bermakna melalui perbincangan yang disulami rasa hormat serta kasih-sayang sesama Islam dalam kita mencari kebenaran. Semoga Allah merahmati kita semua dan memberi keberkatan ke atas perkerjaan serta usaha kita. Semoga yang benar dan berfaedah akan kekal di bumi serta yang batil dan karut akan hilang seumpama buih di permukaan. Semoga Allah mentakdirkan kita bersama dengan kebenaran yang membawa kebahagiaan dan menjauhi kebatilan yang mendatangkan penyesalan
Memadailah Allah tempat berserah, tiada daya dan tiada upaya kecuali Daya dan Upaya Allah, serta selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Saiyyidina Muhammad Nabi yang ummi, keluarga baginda yang bersih, para sahabat yang terpilih dan ummat baginda sebaik-baik ummat yang dibangkitkan sebagai saksi ke atas sekelian manusia sehingga Hari Qiyamat.
Alhamdulillah, selesai mencatit pada awal Syawal 1427. Selepas memulainya di penghujung Ramadan yang penuh berkat. Semoga dikira-kira sebagai suatu pertaruhan untuk Hari yang tiada keamanan kecuali yang datang kepada-Nya dengan hati yang sejahtera.
- Abdullah Zaidi Bin Hassan
*** Kertas ‘Sejarah Perkembangan Gerakan Tajdid Di Tanah Melayu’ oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Farouk Musa ini pertama kali di bentang Dewan Sime Darby, KL dan keduanya di UIA pada 7 Oktober 2006.