CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Ahad, 31 Januari 2010

Kertas Kerja : Wacana Religio-Inteletual: Pro & Kontra Terhadap Peranannya pada Pembangunan Ummah

Oleh : Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia

Alhamdulillah, Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah I yang bertemakan Gerakan Tajdid dan Pemikiran Najdiyyun telah selesai diadakan hari ini Ahad 24 Januari 2010 di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lupur.

Wacana tersebut telah dihadiri oleh hampir 600 peserta yang berdaftar dan ada juga yang hadir dengan tidak mendaftar. Para perserta datang dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Program diisi dengan tiga pembentangan kertas-kerja seperti berikut:

  • Menilai Secara ’Ilmiyah Mengenai Peranan ‘Abdul Wahhab Sebagai Mujaddid-Muslih.
  • Wacana Religio-Intelektual Najdiyyun: Pro Dan Kontra Terhadap Peranannya Pada Tamaddun Ummah.
  • Pemikiran Aliran Najdiyyun Dalam Menghadapi Pemikiran Pasca-Modernisme: Satu Pengamatan



Ketiga-tiga kertas tersebut dibentang oleh dua tokoh yang banyak menulis dalam dada akhbar iaitu Ustaz (Dr) Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, ISTAC, KL dan Profesor Madya Dr. Asmadi Muhammad Na‘im, dari Kolej Perniagaan, UUM, Sintok.

Suasana wacana berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan atau apa-apa peristiwa yang tidak diingini berlaku dengan para peserta tekun dan bersungguh mendengar hujah-hujah yang bernas dihidangkan kepada mereka. Suasana ini jauh sekali dari sangkaan dangkal yang dibuat oleh beberapa pihak yang tidak menyenangi penganjuran program seperti ini dengan mereka membuat laporan polis seminggu sebelum ini.



Program yang bermula dengan sesi pendaftaran pada jam 8:00 pagi diakhiri dengan sesi soal jawab yang ditamatkan sebelum jam 5:00 dengan para peserta diberi peluang sebebasnya untuk menyuarakan pandangan dan soal mereka.

Urusetia Wacana turut mengambil kesempatan dengan mengumumkan kutipan dana bantuan untuk Pondok Lubuk Tapah di Pasir Mas Kelantan yang terbakar pada awal pagi Jumaat lalu. Kutipan sebanyak lebih RM3,500 berjaya dikumpul untuk disalurkan kepada pengurusan pondok dengan kadar yang segera.



MUAFAKAT ingin mengucapkan berbanyak terima kasih ke atas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah sama-sama menganjurkan program ini serta kerjasama yang diberikan oleh agensi-agensi lain serta pihak pengurusan Masjid Wilayah yang membenarkan penggunaan premis mereka walaupun perubahan tempat telah terpaksa diadakan dalam masa yang amat suntuk. Kami juga ingin mengucapkan jawatankuasa wacana yang diketuai oleh Pengarah Program Ustaz Haji Ismail Mina bin Ahmad dan seluruh sukarelawan yang bertungkus-lumus mengadakan pelbagai persiapan untuk menjayakan wacana ini.

Tambahan :

Kertas Kerja Dr Asmadi yang telah dibentangkan semasa Wacana Pemikiran Dan Pembinaan Ummah 1 sila dapatkannya di sini : Wacana Religio-Inteletual: Pro & Kontra Terhadap Peranannya pada Pembangunan Ummah

Sabtu, 30 Januari 2010

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Oleh : Ustaz Mukhlis

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan:
“kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”


Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata:

“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan."
[Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya:
"…dan adalah keadaannya itu melewati batas.”
(Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah r.a. berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…"
[Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini:
"Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".

Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)”
(Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah s.w.t. menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…"
(Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:

"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut."
[Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah s.w.t., makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."

Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:


"Allah s.w.t. merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah s.w.t., maka dia meninggalkannya."


Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.

Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t., ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah s.w.t., maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah s.w.t, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah s.w.t..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu:

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah s.w.t. dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah s.w.t, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah s.w.t. daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan

Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah s.w.t. kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah s.w.t. berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah s.w.t..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi althofiHi al-Khafiyyah

Sumber : Http://Mukhlis101.Multiply.Com

HADITH MAUDHU’ الحديث الموضوع

Disediakan oleh Ust. Husin bn. Abdul Kadir

Ust. Husin

بسم الله الرحمن الرحيم …

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله وعلى آله و أصحابه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد …

Risalah kecil ini adalah untuk membetulkan beberapa fahaman yang membingungkan masyarakat islam pada kurun ke-14 Hijriah ini, iaitu berkenaan hadith maudhu’. Pihak yang tidak bertanggungjawab suka melarang amalan-amalan islam yang mempunyai asal itu dengan menggunakan taktik memaudhu’kan hadith terhadap hadith hasan dan dhaif.Taktik-taktik sedemekian itu mendorong kearah memecahbelahkan umat islam. Disini saya ingin memberi penjelasan mengenai fahaman patut berpegang teguh berdasarkan sikap tidak melampau.

DEFINISI HADITH MAUDHU’:

Hadith yang diada-adakan terhadap nabi baik berupa perkataan, perbuatan, pengiktirafan mahupun lain-lainnya dengan sengaja.

CARA-CARA PEMBUATAN HADITH MAUDHU’:

1) Perawi membuat sesuatu perkataan daripada dirinya sendiri.

2) Perawi mengambil perkataan orang lain.

SEBAB-SEBAB YANG MENDORONG PEMBUATAN HADITH MAUDHU’:

1) Menimbulkan kekacauan dalam agama islam.

2) Tidak tahu tentang hal-ehwal hadith.

3) Untuk membela kebenaran kefahamannya.

4) Untuk memperoleh kekayaan.

5) Mengikuti kehendak pembesar-pembesar supaya dapat mendampingi mereka.

6) Untuk menarik perhatian orang.

HUKUM MERIWAYATKAN HADITH MAUDHU’:

Meriwayatkan hadith maudhu’ secara mutlaknya adalah haram bagi orang yang mengetahui bahawa hadith tersebut maudhu’, kecuali jika disertai penjelasan tentang kepalsuannya. Oleh kerana itu

1) Jika tidak mengetahui bahawa hadith itu maudhu’ dan secara tidak sengaja meriwayatkannya maka tidaklah berdosa.

2) Meriwayatkannya dengan tujuan mengingatkan orang bahawa ini adalah hadith palsu, maka tidaklah berdosa.

ISTILAH-ISTILAH DIGUNAKAN UNTUK HADITH MAUDHU’

1) لا أصل له : tidak ada asalnya

2) لا يوجد له أصل : tidak terdapat asal hadith ini

3) لم أقف عليه : saya tidak dapati hadith ini

4) لم يعلم من أخرجه : tidak diketahui siapa yang mengeluarkan hadith ini

MENGENALI TANDA-TANDA PEMALSUAN HADITH

Terdapat beberapa tanda-tanda pemalsuan hadith dan pembohongan perawi-perawi diterangkan dalam kitab العجالة النافعة oleh muhaddith hindi Syah Abdul Aziz Bin Syah Waliyullah Al-Dahlawi:

1) Dengan pengakuan perawinya itu sendiri, seperti pengakuan dibuat oleh Abu ismah Nuh bin Abi Maryam yang mengaku memalsukan hadith-hadith berkenaan dengan kelebihan membaca Al-Quran.

2) Dengan tanda-tanda yang didapati daripada diri keadaan perawi itu sendiri, seperti hanya:

a) Ingin memuaskan hati sebahagian para pembesarnya dalam berdusta.

b) Ingin menarik perhatian terhadap mereka (perawi).

c) Ingin mencari dunia melalui menjual agama.

3) Dengan tanda-tanda yang didapati daripada yang diriwayatnya seperti buruk susunan dan pengertiannya.

4) Menyalahi dengan sebahagian keterangan Al-Quran, Hadith Mutawatir, Ijma’ Qat’ie{muktamad} atau dengan akal yang sejahtera.

5) Perawi menyalahi dalam riwayatnya dengan sejarah yang masyhur.

Contoh:

a) Berkata seseorang mengenai peperangan Siffin pada tahun 33H bahawa Abdullah bin Mas’ud berkata …….., “sedangkan Abdullah bin Mas’ud wafat sebelum peperangan Siffin pada zaman pemerintahan Uthman (R.A).

b) Mua’wiyah (R.A) menumpahkan darah orang ramai semasa beliau melarikan diri daripada peperangan Jamal, sedangkan peperangan itu berakhir dengan secara damai. Jenis maudhu’ seperti ini dapat dikesan dengan mudah.

6) Perawi adalah seorang rafedhi. Dia akan meriwayatkan hadith mengenai mencaci sahabat.

7) Perawi adalah seorang nasebi. Dia akan meriwayatkan hadith mengenai mencaci keluarga nabi. Teruskanlah kiasan demikian itu.

8) Perawi meriwayatkan hadith mengenai satu perkara yang wajib mengetahuinya dan beramal dengannya padahal dia menjadi tunggal meriwayatkan hadith itu, hanya ini adalah satu pendekatan yang amat ketara mengenai rawi itu pembohong atau pemalsu hadith.

9) Perkara yang diriwayatkan oleh perawi bersalah-salahan dengan tuntutan agama dan akal. Dan juga dasar-dasar agama menyalahkannya seperti riwayat:

“لا تأكلوا البطيخ حتى تذبحوه”

“Janganlah kamu makan buah tembikai sehinggakan kamu menyembelihinya”

10) Dinyatakan dalam riwayat mengenai ancaman yang bersangatan terhadap dosa kecil atau janji pahala amat besar terhadap sedikit amalan yang baik, seperti:

a) Menyebut pahala haji dan umrah bagi amalan yang terlalu sedikit.

b) Barangsiapa sembahyang sunat dua raka’at, maka ia akan diberi 70, 000 buah rumah, pada setiap rumah ada 70, 000 katil. Di atas tiap-tiap satu katil berada 70, 000 anak dara. Maka hadith-hadith yang datang seperti cara-cara tersebut samada mengenai pahala dan dosa kesemuanya dianggap hadith maudhu’.

HADITH MAUDHU’ DITOLAK BULAT-BULAT WALAUPUN NIAT PEMALSU HADITH ITU AMAT BAIK.

Perawi membuat keputusan untuk mereka-reka hadith dengan tujuan amat baik seperti berlaku dengan Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mengada-ngadakan hadith berkenaan kelebihan-kelebihan tiap-tiap surah Al-Quran. Kemudian beliau mempopularkan hadith-hadith yang direka itu di kalangan orang ramai sehingga disambut dengan baik. Pengarang Tafsir Baidhawi tersilap memasukkan hadith-hadith itu pada tiap-tiap akhir surah sambil menyatakan pahala surah itu.

Apabila ulama’ muhaddithin menyuarakan ketiadaan sahihnya hadith-hadith itu dan ulama’ meminta syarat yang sahih di sisi Nuh, maka beliau mengakui bahawa niatnya adalah elok dan keadaan sekitar yang memaksanya mengada-adakan hadith-hadith itu. Selanjutnya beliau menceritakan bahawa beliau mendapati orang ramai membiarkan membaca Al-Quran dan mula menyibuk bermutala’ah kitab-kitab tafsir, sejarah maghazi Abi Ishaq dan feqah Abu Hanifah, maka beliau mengambil keputusan untuk mengada-adakan hadith-hadith berbentuk menarik minat dan menakutkan supaya orang ramai mengambil berat membaca Al-Quran dan beramal kerana mengharapkan pahala-pahala itu dan merasa ketakutan seksaan-seksaan itu.

Alasan yang diberi oleh Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam dan kenyataan tentang niat baiknya itu lebih teruk dan dahsyat daripada dosa kerana didapati banyak hadith sahih mengenai kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran. Itupun sudah memadai bagi kami untuk menarik minat orang ramai.

PERSELISIHAN PENDAPAT ULAMA’ DALAM MENENTUKAN HADITH MAUDHU’

1)

حديث: من عير اخاه بذنب، لم يمت حتى يعمله

“Sesiapa yang mencela (memburuk-burukkan) saudara dengan sebab sesuatu dosa yang dilakukannya nescaya ia tidak meninggal dunia sehinggalah dia akan melakukan dosa itu.”

Ulasan:

Hadith ini dimaudhu’kan oleh setengah ulama’ sedangkan Imam Tirmizi menyatakan hadith ini sebagai hadith hasan.(الفوائد المجموعة)

2) حديث

: الموت كفارة لكل مسلم

“Kematian itu penghapus dosa bagi setiap orang muslim.”

Ulasan:

Ibnu Jauzi dan Saghani mengadakan hadith ini dalam senarai hadith maudhu’ sedangkan Ibnu Al-Arabi menegaskan hadith ini sebagai hadith sahih. Hafiz Al-Iraki pula berkata bahawa hadith ini datang dengan beberapa jalan periwayatan sehingga sampai darjat hasan.

Hafiz Ibnu Hajar berkata bahawa:

Hadith ini tidak memberi pengertian bahawa kematian itu adalah penghapus segala dosa-dosa muslim, bahkan ia membawa maksud penghapusan dosa-dosa hanya sekadar dikehendaki Allah Ta’ala sahaja. Maka hadith ini tidak bercanggah dengan nas.(الفوائد المجموعة: ص 268)

3)

حديث: القبر روضة من رياض الجنة أو حفرة من حفر النار

“Kubur itu merupakan sebuah taman di antara taman-taman syurga atau suatu lubang di antara lubang-lubang neraka.”

Ulasan:

Tidak tepat menyebutkan hadith ini dalam hadith maudhu’ kerana hadith ini diriwayatkan oleh imam Tirmizi dan Tabrani sebagai hadis dhaif. (الفوائد المجموعة: ص 269)

4)

حديث: اللهم أحيني مسكينا وأمتني مسكينا واحشرني في زمرة المساكين

“Ya Allah hidupkan daku sebagai orang miskin dan matikanlah daku sebagai orang miskin serta himpunlah daku di dalam golongan orang miskin.”

Ulasan:

Hadith yang mengandungi doa ini ditentukan maudhu’ oleh Ibnu Jauzi dan Ibnu Taimiyah kerana hadith ini bertentangan dengan hadith yang meminta perlindungan daripada kemiskinan di sisi Allah s.w.t. Hadith yang dikandung doa di atas itu diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Sa’id Al-Khudri dan Tabrani meriwayatkan daripada A’ta dengan sanad dhaif.

Lafaz hadith ialah:

5)

حديث: اللهم توفني اليك فقيرا ولا توفني غنيا واحشرني في زمرة المساكين يوم القيامة

“Ya Allah wafatkan daku berjumpa dengan dikau sebagai orang yang fakir dan janganlah wafatkan daku sebagai orang yang kaya serta hidupkanlah daku dalam golongan orang-orang miskin di hari akhirat.”

Hakim mengeluarkan dalam mustadraknya dengan tambahan sedikit lafaz hadith dan ia berkata sanad hadith ini sahih. Tabrani juga meriwayatkannya daripada Ubadah bin Samit dengan sanad di mana perawi-perawinya thiqah (yang dipercayai) dengan adanya beberapa jalan periwayatan bagi hadith tersebut, sewenang-wenangnya menghukum maudhu’ terhadap hadith itu dianggap melampau. Maka ditolak bulat-bulat dakwaan maudhu’ oleh Ibnu Jauzi dan IbnuTaimiyah mengenai hadith tersebut.

Dijawab oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya ‘tuhfah’ berkenaan dengan maksud kemiskinan dalam hadith tersebut sambil menyatakan darjat hadith. Beliau berkata bahawa sesungguhnya hadith itu dhaif dan bertentangan dengan hadith yang meminta perlindungan daripada kemiskinan, kemudian beliau menta’wilkan makna meminta kemiskinan itu kepada makna meminta ketenangan hati. Syaikhul Islam Zakaria Al-Ansari pula berkata bahawa maksud sebenar bagi meminta kemiskinan dalam hadith tersebut ialah meminta merendah diri supaya tidak tergolong ke dalam golongan orang-orang kaya yang mempunyai sikap bongkak diri.

(كشف الخفاء ومزيل الإلباس عما اشتهر من الأحاديث على ألسنة الناس: ج 1، ص 207)

Berdasarkan perselisihan pendapat mengenai sesetengah hadith maudhu’ seperti yang disebut sebelum ini, maka janganlah tergesa-gesa memaudhu’kan hadith. Bahkan perlu meneliti secara halusi supaya dapat memastikan dengan tepat yang mana maudhu’ dan tidak maudhu’.

JANGANLAH MUDAH MENGHUKUM (كذب موضوع) لا أصل له

Imam Jalaluddin Sayuti berkata كذب موضوع بالاتفاق(hadith ini merupakan satu pembohongan lagi yang direka-reka dan perkara ini disepakati ulama’) di dalam kitabnya الدرر المنتثرة في الأحاديث المشتهرة terhadap hadith:

” لما خلق الله العقل قال له: أقبل فأقبل، ثم قال له: أدبر فأدبر، فقال ما خلقت خلقا أشرف منك فبك آخذ وبك أعطى”

Maksudnya: tatkala Allah s.w.t menciptakan akal, Allah s.w.t berfirman (perintah) kepadanya ‘maju ke hadapan atau hadaplah engkau’maka ia (akal) terus maju, kemudian Allah s.w.t berfirman lagi ‘pusing belakang atau undurlah engkau’ maka ia (akal) pun terus undur. Kemudian Allah s.w.t berfirman ‘aku tidak menciptakan suatu ciptaan yang lebih mulia daripadamu. Maka melaluimulah aku akan mengambil (tindakan) dan memberi (pemberian).

Imam Zarkasyi juga menuruti pendapat Imam Ibnu Taimiyah di mana beliau berkata ‘لا أصل له’ (tidak menerima punca datangnya hadith itu) terhadap hadith tersebut.

Imam Muhaqqiq (pengkaji halus) Abdul Haiyi Lakhnawi Al-Hindi berkata dalam kitabnya (الأجوبة الفاضلة) وقد وجدت له اصلا صالحا أخرجه عبد الله بن أحمد في زوائد الزهد maksudnya: aku dah pun menemui punca yang begitu elok datangnya hadith tersebut yang dikeluarkannya oleh Abdullah bin Ahmad (bin Hambal) di dalam kitabnya Zawaid Al-Zuhd.Hafiz ibnu hajar Al-Haitami juga menemui asal yang diriwayatkan oleh tabrani dan Al-haitami menyatakan bahawa;-

رواه الطبراني في الكبير والأوسط، وفيه عمر بن أبي صالح، قال الذهبي: لا يعرف (مجمع الزوائد 8: 28)

PERINGATAN!

Semestinya diketahui apabila didapati di dalam sesetengah kitab ulama’ mutaqaddimin (yang dahulu) yang ada menyatakan: “لم يصح في هذا الباب حديث” yang bererti: “tidak sah satu hadith pun di dalam bab ini (masalah ini)”, apa yang dimaksudkan ialah adanya Hadith Hasan dan Dhaif di dalamnya bukan mereka maksudkan setiap hadith di dalam bab tersebut adalah maudhu’ atau dusta.

(وظيفة الحديث الضعيف، ص 39)

PERHATIAN!

Di kalangan muhaddithin terdapat sekumpulan yang terlalu keras menentukan maudhu’ terhadap hadith hasan dan dhaif.

1) (ابن الجوزي):- Beliau menuduh Imam Tirmizi memuatkan tujuh belas buah hadith maudhu’ didalam kitabnya sunan tirmizi. Ibnu Hajar mempertahankan hadith-hadith itu sebagai. Hadith hasan dan dhaif.

2) (ابن تيمية):- Beliau menjadikan sesetengah hadith hasan dan kebanyakan hadith dhaif sebagai hadith maudhu’. Beliau menuruti Ibnu Jauzi.

3) (صغاني):- Beliau juga terkenal sebagai yang terlalu keras menentukan maudhu’ terhadap hadith-hadith Hasan dan dhaif.

4) (السيوطي):- Beliau dikenali sebagai yang mempermudah-mudahkan pada kajian hadith.

5) (جوزقاني):- Beliau menghukum maudhu’ terhadap hadith-hadith yang begitu banyak dengan hanya menyalahi sedikit dengan sunnah. Hafiz Ibnu Hajar berkata itu adalah satu kesalahan yang di lakukan oleh beliau.

6) (ابن حبان):- Beliau dianggap yang melampau mengenai mengkritik rawi-rawi hadith sehingga beliau sanggup mencacatkan rawi-rawi yang di percayai, seolah-olah beliau tidak sedar apa yang keluar dari fikirannya.

(الأجوبة الفاضلة، ص 170 – 179)

KESIMPULAN:

1)Jangan terlalu ghairah menghukum maudhu’ terhadap mana-mana hadith.

2)Perlu mengambil kira perselisihan pendapat muhaddithin mengenai menentukan maudhu.’

3)Berhati-hatilah dengan muhaddithin yang mempunyai sikap terlalu keras menentukan

maudhu’ terhadap hadith hasan dan dhaif.

Semoga Allah jadikan penjelasan ini bermanafaat bagi saya dan anda semua.

SEKIAN WASSALAM

Sumber : Http://Khairuummah77.wordpress.com

Rabu, 27 Januari 2010

HADITH DHAIF الحديث الضعيف

Disediakan oleh Ust. Husin bn. Abdul Kadir

بسم الله الرحمن الرحيم …

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله وعلى آله و أصحابه ومن تبعه بإحسان إلى يوم الدين، أما بعد …

MUQADDIMAH

Pokok perbincangan kami di dalam risalah ini ialah tentang hadith dhaif kerana sejak kebelakangan ini ada pihak yang sering mempertikaikan hadith dhaif sehingga mereka menganggap bahawa beramal dengan hadith dhaif adalah perkara mungkar dan ia adalah hadith yang dusta. Hadith dhaif ini hanya tidak memenuhi syarat-syarat hadith sahih dan hasan. Pengertian ini tidak membawa maksud bahawa tidak boleh beramal dengan hadith dhaif.

DEFINISI HADITH DHAIF:

Hadith dhaif ialah hadith yang tidak mencukupi syarat untuk diterima. (منحة المغيث) Al-Hafiz Ibnu Solah telah mentakrifkan hadith dhaif dengan katanya bahawa: “setiap hadith yang tidak mencukupi syarat-syarat hadith sahih dan tidak juga mencukupi syarat-syarat hadith hasan, maka itulah hadith dhaif”. (139(تدريب الراوي :ص

Hadith yang makbul (yang diterima) ialah hadith yang mencukupi enam syarat iaitu:

1) Sanad yang bersambung

2) Para perawinya bersifat adil (mempunyai ketaqwaan dan menjauhkan diri daripada kefasikan)

3) Para perawinya dhabit (pengingat melalui catatan dan hafazan)

4) Tiada syaz (seorang perawi yang tidak menyalahi dengan perawi-perawi yang lebih dipercayai daripadanya)

5) Tiada illah (tiada didapati kecacatan pada matan dan sanad hadith)

6) Ada sanad yang menyokong atau menguatkan ketika diperlukan. (14: (مصطلح الحديث

PEMBAHAGIAN HADITH DHAIF

Hadith dhaif secara umum terbahagi kepada tiga iaitu:

1) Hadith yang mana kedhaifannya boleh ditampung dengan muafakat para ulama’ kerana dikuatkan oleh kemasyhurannya yang datang daripada riwayat yang lain ataupun ianya disokong oleh sokongan yang diterima, lebih-lebih lagi apabila perawinya adalah seorang yang lemah hafazan atau kedhaifannya disebabkan ianya diriwayatkan secara mursal (gugur sahabat nabi di dalam sanad), ataupun tidak diketahui keadilan perawinya, maka hadith ini tarafnya naik ke peringkat hadith hasan li gharih (hadith menjadi kuat disebabkan ada sokongan). Maka jadilah ia hadith yang diterima pakai untuk dibuat sebagai hujah sehingga di dalam hukum hakam. Hadith ini juga dinamakan hadith mudho’af.

2) Hadith yang mana kedhaifannya tidak boleh ditampung walaupun jalan-jalan periwayatannya banyak. Ia dinamakan hadith WAAHI (bersangatan dhaif). Ini disebabkan perawinya seorang fasik atau dituduh sebagai pembohong.

3) Hadith waahi tersebut yang mempunyai sokongan daripada riwayat-riwayat yang lain, maka tarafnya naik kepada peringkat yang lebih tinggi melebihi martabat hadith munkar (hadith yang bersangatan lemah dan hadith yang tiada asal). Pada ketika ini diharuskan beramal dengannya di dalam soal-soal fadhilah (kelebihan) amalan-amalan, tetapi tidak boleh diamalkan di dalam soal aqidah dan hukum hakam. Sesetengah ulama’ menyatakan juga bahawa tidak boleh dijadikan rujukan untuk penafsiran Al-Quran.

(11-10: (وظيفة الحديث الضعيف

HUKUM BERAMAL DAN BERHUJAH DENGAN HADITH DHAIF

Para ulama’ telah berselisih pada keharusan beramal dengan hadith dhaif kepada tiga pendapat:

Pendapat pertama

Tidak boleh beramal dengannya semata-mata samada pada hukum-hakam atau fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu. Ini adalah pendapat Ibnu Arabi Al-Maliki. Sesetengah karangan memasukkan Imam Bukhari, Imam Muslim dan Ibnu Taimiyah di dalam golongan pertama ini. Demikian itu adalah kesilapan besar yang akan kami nyatakan sebab-sebabnya dalam tajuk ulasan pendapat yang pertama.

Pendapat kedua

Boleh beramal dalam semua keadaan apabila tidak didapati hadith yang lain pada sesuatu bab melainkan hanya hadis dhaif. Ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Daud.

Pendapat ketiga

Boleh beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan dan kelebihan seseorang atau sesuatu tetapi dengan beberapa syarat. Ini adalah pendapat jumhur ulama’. Di antaranya Amirul Mukminin Fil Hadith Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani, Al-Hafiz Imam Nawawi, Imam Al-Suyuti, Al-Hafiz Al-Iraqi, Al-Khatib Al-Baghdadi dan lain-lain. Pendapat ini adalah yang muktamad di sisi Imam Muhaddithin kerana ianya disokong oleh Syeikhul Islam Ibnu Hajar Al-Asqalani. Syeikh Jamaluddin Al-Qasimi pernah menyatakan dalam kitab beliau ‘Qawaid Al-Tahdis’ m/s 113: “”هذا هو المعتمد عند الأئمة Ertinya: “Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi imam-imam hadith”. (255-257: (الحديث الضعيف أسبابه وأحكامه

Adapun syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Hafiz Al-Sakhawi dalam kitabnya, Al-Qaul Al-Badi’: “Aku telah mendengar daripada guru kami Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani r.h.m memberitahu berulang kali bahawa syarat-syarat beramal dengan hadith dhaif itu ada tiga:

1) Bahawa kedhaifan hadith itu tidak bersangatan. Hadith yang bersangatan dhaif ialah perawinya pendusta atau yang dituduh dengan dusta. Syarat ini disepakati oleh ulama.

2) Bahawa sesuatu hadith dhaif itu termasuk di dalam asal (Quran, Hadith, Ijma’ dan Qias) yang umum.

3) Bahawa tidak mengiktikadkan datang daripada nabi s.a.w ketika beramal dengannya supaya tidak disandarkan kepada baginda s.a.w dengan apa yang tidak dikatakan”.

ULASAN PENDAPAT YANG PERTAMA

1) Timbul kemusykilan memasukkan Imam Bukhari dalam golongan pertama kerana telah diketahui bahawa Imam Bukhari telah memuatkan hadith-hadith dhaif di dalam kitabnya Al-Adabul Mufrad. Oleh kerana itu, bagaimana boleh diterima dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Imam Bukhari tidak membenarkan beramal dengan hadith dhaif. (35: (وظيفة الحديث الضعيف.

2) Begitu juga Imam Bukhari memasukkan hadith-hadith dhaif dalam kitab sahihnya sebagai penerangan bagi sesuatu tajuk ataupun sebagai hadith “Mutaba’ah” (hadith yang dijadikan sokongan bagi hadith-hadith sahih).

3) Tersebut dalam mukqaddimah kitab Sahih Muslim, Imam Muslim ada menyatakan bahawa hadith dhaif tidak boleh beramal pada fadhail amal, menggemarkan dan menakutkan sesuatu perkara adalah hanya sebagai syarat untuk memuatkan hadith-hadith sahih di dalam kitab sahihnya. Oleh itu, memasukkan beliau di dalam golongan pertama ini adalah suatu kesilapan besar.

4) Imam Muslim ada memuatkan hadith-hadith yang diriwayat oleh Ibnu Ishaq yang dituduh dengan dhaif oleh sesetengah muhaddithin. Riwayat Ibnu Ishaq tersebut dimuatkan oleh Imam Muslim dalam sahih beliau sebagai hadith ‘Mutaba’ah’ (hadith yang menyokong hadith-hadith sahih yang diutarakan). Ini menunjukkan bahawa beliau beramal dengan riwayat-riwayat dhaif dalam fadhail, menggemar dan menakuti sesuatu perkara itu. Lagi pula, untuk beramal dengan hadith-hadith Ibnu Ishaq ini, sesetengah para muhaddithin meletakkan beberapa syarat, itupun tidak dapat dipenuhi oleh mereka, sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Zahid Kaustari dalam ‘Maqalatnya’ pada kisah Khalid bin Walid r.d.h.

5) Ibnu Taimiyah ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya الكلم الطيب untuk menggemarkan beramal walaupun beliau menolak pendapat yang mengatakan boleh beramal dengan hadith dhaif. (30: (وظيفة الحديث الضعيف. Begitu juga dengan Ibnu Jauzi ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya تلبيس الإبليس. (73 ص: درس الترمذي)

6) Setengah ulama’ menerangkan maksud sebenar perkataan Ibnu Arabi yang mengatakan tidak boleh beramal dengan hadith dhaif ialah hadith yang bersangatan dhaif bukan semata-mata dhaif kerana beliau ada memasukkan hadith dhaif di dalam kitabnya syarah Tirmizi عارضة الأحوذي(وظيفة الحديث الضعيف: 15)

ULASAN PENDAPAT YANG KEDUA

1) Perkataan Imam Ahmad Bin Hambal: “Hadith dhaif lebih disukai di sisiku daripada pendapat Mujtahid” telah ditafsirkan oleh Ibnu Taimiyah dengan katanya: “Sesungguhnya perkataan kami bahawa hadith dhaif itu lebih baik daripada pendapat imam mujtahid bukan bermaksud dhaif yang matruk (perawinya dituduh berbohong) tetapi maksudnya dhaif hasan”. (مجموع الفتاوى: الجزء الأول: ص 251)

Maksud sebenar perkataan Ibnu Taimiyyah yang menafsirkan perkataan Imam Ahmad Bin Hambal itu, difahami dengan meneliti perkataan Ibnu Qaiyim yang merupakan murid kepada Ibnu Taimiyyah di mana beliau menyebut bukanlah maksud hadith dhaif di sisi Imam Ahmad itu hadith yang batil, hadith munkar dan hadith yang terdapat perawi yang ditohmah sebagai pendusta sehingga tidak harus berpegang dan beramal dengannya bahkan hadith dhaif tersebut di sisi Imam Ahmad adalah saudara bagi sahih dan satu bahagian daripada hadith hasan (اعلام الموقعين: الجزء الأول: ص 31)

Keterangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qaiyim terhadap perkataan Imam Ahmad itu adalah mengenai hadith dhaif yang di gunakan di dalam hukum-hukum feqah di sisinya adalah hadith-hadith dhaif yang mana diterima pakai oleh imam-imam mujtahid yang lain bukan ia menggunakan hadith dhaif yang tidak diakui dan ditolak, seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Qaiyim di dalam kitabnya اعلام الموقعين .

ULASAN PENDAPAT YANG KETIGA

1) Para ulama’ dari kalangan muhaddithin dan fuqaha’ dan selain mereka itu berkata: “Harus dan sunat beramal dengan hadith dhaif pada fadhail amalan pada menggemarkan dan menakuti terhadap sesuatu selama hadith itu bukan mauduk”. Adapun hukum-hukum seperti halal-haram, jual-beli, nikah, talak dan lain-lain lagi tidak boleh beramal dengannya melainkan dengan hadith sahih dan hadith hasan kecuali melakukan ihtiyat (berhati-hati) pada perkara tersebut. Apabila hadith dhaif mengenai makruh setengah jualan atau pernikahan maka disunatkan menjauhinya tetapi ia bukan wajib (الأذكار: ص 24،25) (Maksudnya disunatkan beramalkan dengan hadith dhaif iaitu beramal dengan cara meninggalkan atau menjauhi larangan yang difahami daripada hadith dhaif itu) Syeikh Ibnu Hibban di dalam kitabnya (النوائب) meriwayatkan secara marfuk daripada Jabir:

“من بلغه عن الله عز وجل شيء فيه فضيلة فأخذ به إيمانا به ورجاء لثوابه أعطاه الله ذلك وإن لم يكن كذلك”

Ertinya: “Barangsiapa yang sampai kepadanya sesuatu daripada Allah yang memuatkan sesuatu fadhilat lalu ia beramal dengan keimanan serta mengharapkan pahalanya maka Allah memberikan kepadanya yang demikian itu sekalipun sebenarnya bukan begitu”.

2) Dengan itu penerimaan hadith daif yang diperkuatkan dengan sokongan dan riwayat yang lain di dalam perkara menggemarkan, menakutkan, peradaban, sejarah, kisah tauladan dan seumpamanya adalah diperbolehkan. Kerana inilah, Imam Al-Munziri mengumpulkan hadith-hadith tersebut dalam kitabnya (الترغيب والترهيب) Perkara ini adalah ijmak para ulama’ seperti yang di nukilakan Imam Nawawi,Imam Ramli dan lainnya.Bahkan Imam Nawawi menukilkan daripada ulama’ bahawa beramal dengan hadith tersebut adalah disunatkan. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 21،22)

3) Segelintir masyarakat mempertikaikan orang-orang sufi kerana beramal dengan hadith dhaif, walaupun disepakati oleh para ulama’ hadith bahawa hadith dhaif sunat diamalkan. Di kalangan ulama’ sufi pula tidak kurang ramainya yang terdiri daripada ulama’ besar dalam bidang hadith. Hadith-hadith yang diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar sufi seperti Imam Ghazali tidak terdapat di dalam sanadnya perawi yang pendusta. Inilah pendirian yang diambil oleh ulama’ tasawuf. (وظيفة الحديث الضعيف: ص 19)

Peringatan:

1) Atas pendapat ketiga inilah, periwayatan Ibnu Ishak terutama di dalam sirah dan maghazi (sejarah kebangkitan awal Islam, pemerintahan dan peperangan) diterima pakai oleh ulama’ hadith, sekalipun beliau seorang perawi yang dhaif. Ini kerana sepertimana yang telah maklum bahawa periwayatan seseorang yang dhaif itu diterima pada perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan aqidah dan hukum-hukum. Atas alasan inilah, Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya manjadikan riwayat Ibnu Ishak sebagai Istisyhad (penyokong kepada hadith bab) (dan memasukkan juga di dalam terjemah bab (tajuk). Imam Muslim didalam kitab sahihnya meletakkan riwayat Ibnu Ishak sebagai mutaba’ah (penguat kepada hadith bab), di mana Imam Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah pula mengeluarkan hadith daripada Ibnu Ishak di dalam sunan-sunan mereka.

Sungguhpun begitu, sekiranya terdapat periwayatan beliau (Ibnu Ishak) menyalahi dengan apa yang diriwayatkan oleh imam yang muktabar, maka periwayatan imam itulah yang mesti diutamakan. Ini bukanlah bererti Ibnu Ishak berdusta dan sengaja mereka-rekakan cerita seperti yang disangkakan oleh mereka yang tidak memahami ilmu hadith, tetapi beliau hanyalah seorang perawi yang mengambil riwayat-riwayatnya daripada orang lain. Malangnya sesetengah pihak berani menghukum bahawa tidak harus sama sekali meriwayatkan daripada Ibnu Ishak, sekalipun berkenaan dengan sirah dan maghazi dengan alasan bahawa beliau pendusta lagi bermazhab syiah. Sekiranya benar apa yang dikatakan itu, nescaya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah pun turut dikira sebagai pendusta. Ini kerana meriwayatkan daripada seseorang yang diyakini sebagai pendusta bererti menyebarkan perkara dusta dan mengiakannya.

Lebih malang lagi sehingga ada yang meletakkan kedudukan sirah Ibnu Ishak dan sirah Ibnu Hisyam supaya di masukkan ke dalam tong sampah. Ini tidak lain melainkan disebabkan tunpulnya kefahaman tentang ilmu hadith atau menganggap diri mereka lebih berkaliber daripada imam-imam yang muktabar dalam bidang hadith.

2) Abul Fadl Abdullah bin Al-Saddiq Al-Ghumari menyebut perkataan para ulama’ feqah bahawa hadith dhaif tidak boleh diamalkan di dalam hukum-hakam bukanlah bersifat umum seperti yang difahami kebanyakan orang. Ini kerana apabila anda meneliti pada hadith-hadith yang dipakai oleh imam-imam Mujtahidin secara permuafakatan atau perseorangan anda akan mendapati hadith-hadith dhaif di dalam hukum-hakam jumlahnya mencapai separuh atau lebih. Bahkan anda akan dapati di dalamnya hadith munkar, hadith yang gugur perawinya dan hadith yang hampir kepada taraf hadith maudhu’ (yang direka-reka).

HUKUM MERIWAYATKAN HADITH DHAIF

1) Ulama’ mengharuskan mempermudah-mudahkan pada sanad hadith dhaif, meriwayatkannya dan beramal dengannya tanpa menyatakan kedhaifannya. Oleh kerana itu hadith dhaif boleh diterima pakai di dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemarkan, menakutkan, peradaban, kisah tauladan bukan di dalam perkara aqidah seperti sifat Allah dan hukum seperti halal haram. (تقريب النووي: ص 108)

2) Ibnu Abdul Barri ada menyatakan hadith yang berkaitan dengan fadhilat maka kami tidak perlukan orang (perawi) yang layak untuk dijadikan hujah. (tidak semestinya perawi itu thiqah).

3) Ibnu Mahdi menyebutkan dalam kitabnya Al-Madkhal: “Apabila kami meriwayatkan daripada nabi s.a.w tentang halal haram dan hukum- hakam maka kami mengetatkan sanad-sanadnya dan kami akan membuat kritikan (pemeriksaan) terhadap rijal (nama perawi yang terdapat dalam sanad). Tetapi apabila kami meriwayatkan hal-hal yang berkaitan dengan ganjaran pahala dan seksa maka kami mempermudahkan sanad-sanadnya dan kami bertolak ansur”.

CARA MERIWAYATKAN HADITH DHAIF

Walaupun jumhur mengharuskan meriwayatkan hadith dhaif, namun perlu di ingatkan mereka menyatakan bahawa tidak harus menggunakan perkataan yang menunjukkan kepastian (sighah jazam) seperti “sabda Rasullalah s.aw” ketika meriwayatkan hadith dhaif ini kerana untuk mengelakkan daripada menisbahkan kepada Rasulullah s.a.w apa yang tidak disabdakannya bahkan hendaklah digunakan kalimah yang menunjukkan ketidakpastian (tamridh), seperti “diriwayatkan atau dikatakan bahawa nabi s.a.w pernah bersabda” dan seumpamanya. (تقريب النووي: ص 22)

HADITH MURSAL

Hadith Mursal ialah hadith yang didapati gugur seorang perawi (sahabat) pada sanadnya yakni hadith yang disandarkan kepada nabi s.a.w oleh tabi’in yang tidak mendengar sendiri daripada nabi s.a.w, mungkin ia meriwayatkan hadith dari sahabat nabi atau ia meriwayat daripada orang lain. Hadith mursal ini tergolong daripada hadith-hadis dhaif kerana tiada padanya sanad yang bersambung. (مصطلح الحديث: ص 22)

PENERIMAAN HADITH MURSAL DISISI PARA ULAMA MUJTAHIDIN

Pendapat yang dipilih bahawa hadith Mursal sahabat (seseorang sahabat menggugurkan sahabat yang lain dalam periwayatan hadith) adalah diterima secara ijmak. Adapun hadith Mursal kurun kedua (tabi’in) dan kurun ketiga(tabi’-tabi’in) ianya diterima dan boleh berhujah pada hukum-hakam di sisi Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hambal mengikut riwayat yang masyhur daripada kedua-duanya (Imam Malik dan Imam Ahmad). Mursal kurun kedua yang diriwayatkan oleh Said bin Al-Musayyab, Sya’bi dan Hasan Al-Basri adalah diterima sama sekali (tiada perselisihan pendapat). Adapun di sisi Imam Syafie hadith Mursal diterima apabila terdapat lima perkara:

1) Terdapat riwayat lain yang bersambung sanadnya.

2) Terdapat juga hadith mursal yang lain dengan perawi-perawi yang tersendiri.

3) Terdapat perkataan sahabat yang menyokong.

4) Disokong oleh kebanyakan ulama.

5) Diketahui bahawa ianya diriwayatkan secara mursal daripada perawi yang adil.

(منحة المغيث: ص 47)

Contoh hadith mursal yang diterima oleh Imam Syafie:

حدثنا قتيبة أخبرنا عبد الله بن زيد بن أسلم عن أبيه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: من نام عن وتره فليصل إذا أصبح

Ertinya: “sesiapa yang tertidur serta tertinggal daripada melakukan solat witir maka hendaklah ia sembahyang (qadha) apabila berpagi-pagi ia (selepas sembahyang subuh).

Keterangan: Imam Syafie berdalil dengan hadith ini walaupun ia adalah hadith mursal yang mana dikuatkan oleh hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al Khudri. Hadith Abu Sa’id tersebut adalah hadith yang bersambung sanadnya dan dinyatakan oleh Imam Abu Daud sebagai sahih iaitu:

حدثنا محمود بن غيلان أخبرنا وكيع أخبرنا عبد الرحمن بن زيد بن أسلم عن أبيه عن عطاء بن يسار عن أبي سعيد الخدري قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من نام عن الوتر أو نسيه فليصل إذا ذكر وإذا استيقظ

Ertinya: “sesiapa tertidur daripada mengerjakan witir atau ia terlupa maka hendaklah sembahyang tatkala ia ingat dan tersedar”. ((تحفة الآحوذي شرح سنن الترمذي: ج 2: ص 569

KAEDAH MENGHUKUM SAHIH DAN DHAIF PADA SESEBUAH HADITH

1) Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith merupakan satu bidang ilmu yang khusus di mana ulama’ usul hadith dan juga ulama Jarhu dan Ta’dil (ulama’ pengkaji sanad atau pakar pengesah hadith) telah pun menyusun ilmu tersebut semenjak beberapa kurun yang lalu. Di sini tidak mungkin kami menyatakan keseluruhan bidang ilmu itu secara terperinci. Tetapi, kami ingin menyentuh beberapa perkara yang kurang diberi perhatian oleh segelintir masyarakat.

2) Ramai yang beranggapan bahawa hadith sahih hanya dikumpulkan di dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim sahaja tidak di dalam kitab-kitab hadith yang lain. Ini kaedah yang salah yang digunakan oleh kebanyakan orang. Kesahihan sesebuah hadith boleh ditentukan melalui kajian terhadap sanad-sanadnya. Imam Bukhari berkata: “bahawa daku tidak dapat mengumpulkan semua hadith-hadith sahih di dalam kitabku dan aku terpaksa meninggalkan beberapa banyak hadith-hadith sahih supaya dapat dielakkan daripada menjadi panjang”. Pengakuan ini menunjukkan bahawa masih ada lagi hadith-hadith yang sahih yang tidak termuat di dalam Sahih Bukhari dan berkemungkinan besar terdapat hadith-hadith yang tinggi sanadnya daripada sanad hadith Sahih Bukhari.

Syeikh Abdul Rashid Nukmani menaqalkan di dalam kitabnya “ما تمس إليه الحاجة”, bahawa sanad bagi sesetengah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah terlebih tinggi daripada sanad yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari sepertimana yang disepakati oleh ulama’ hadith. Oleh kerana itu, Sahih Bukhari diberi gelaran أصح الكتب بعد كتاب الله adalah dengan mengambil kira dengan keseluruhan hadith bukan setiap hadith.

Imam Muslim berkata: “ليس كل صحيح وضعته هنا، إنما وضعته هنا ما اجتمعوا عليه”. Ertinya: “bukanlah aku dapat meletakkan semua hadith sahih di sini (dalam kitab Sahih Muslim), hanya aku memuatkan hadith-hadith sahih yang disepakati tentang kesahihannya”.

3) Menghukum sahih dan dhaif sesebuah hadith adalah satu kajian yang halus memerlukan pengetahuan yang luas dan mendalam. Hanya mereka yang mencapai darjat ijtihad dalam bidang ini sahaja layak mengkaji dan menentukan kesahihan atau kedhaifan sesebuah hadith. Menentukan sesuatu hadith samada taraf sahih atau hasan atau dhaif berdasarkan pengamatan zahir terhadap nama-nama yang terdapat dalam sanad bukan berdasarkan hakikatnya kerana yang sebenar hanya Allah s.w.t.yang mengetahui. Oleh kerana itu ulama hadis menyatakan bahawa mungkin ada di antara hadith sahih pada hakikatnya ianya adalah hadith dhaif dan beberapa banyak hadith dhaif berkemungkinan besar pada hakikatnya ianya adalah sahih. Oleh itu keyakinan terhadap mutu hadith berdasarkan ijtihad (pengamatan yang zahir) (أوجز المسالك: ج 1: ص 228)

4) Periwayatan hadith diambil kira berdasarkan kepada kejujuran (thiqah) dan amanah perawi bukan berdasarkan kepada mazhabnya seperti Syiah, Rafidah, Murjeah, Muktazilah dan lain-lain. Berapa ramai di kalangan perawi-perawi yang bermazhab Syiah, Khawarij dan lain di mana Imam Bukhari dan Muslim berbangga menyebutkan nama-nama mereka dalam sanad mereka berdua dan meriwayatkan hadith daripada mereka di dalam kitab sahih keduanya (ميزان الجرح والتعديل: ص 34: محمد جمال الدين القاسمي )

5) Kebanyakan perawi yang kepercayaaan atau dipercayainya (thiqah) meriwayatkan daripada perawi-perawi yang dhaif seperti Sufyan Al-Thauri dan Syu’bah dan selain mereka. Syu’bah berkata sekiranya aku tidak meriwayatkan hadith kepada kamu melainkan hanya daripada orang-orang yang kepercayaan (thiqah) neccaya aku tidak akan meriwayatkan kepada kamu melainkan daripada beberapa orang sahaja. Yahya Bin Al-Qattan berkata; “Sekiranya aku tidak meriwayatkan hadith melainkan hanya daripada beberapa orang yang aku redha (setuju) nescaya aku tidak boleh meriwayatkan hadith melainkan hanya daripada lima orang sahaja atau seumpamanya” (شرح علل الترميذي: 29 ) Menurut ulama usul hadith apabila seorang perawi yang bersifat adil meriwayat hadith yang diambil daripada perawi yang bertaraf dhaif maka ini bererti dia menganggap perawi itu bertaraf adil.

(وظيفة الحديث الضعيف: 18)

6) Terkadang wujud perselisihan ulama terhadap sesebuah hadis atau seseorang perawi tentang sahih dan dhaif atau thiqah dan tidak thiqah. Persoalannya pendapat yang manakah yang perlu ditarjih(diutamakan), maka dengan itu Syeikh Abdul Haiyi Lakhnawi ada mengemukakan tiga pendapat di dalam kitabnya الأجوبة الفاضلة untuk menghuraikan perkara tersebut :-

  1. Apabila didapati seseorang yang memudahkan pentashihan hadith sementara yang lain pula amat berhati-hati, maka pendapat yang mempunyai sikap berhati-hati akan ditarjihkan. Contohnya Hakim mentashihkan suatu hadith dan Hafiz Zahabi pula mentad’ifkan hadith itu. Maka pendapat Imam Zahabi akan diutamakan kerana Imam Hakim digelar sebagai (متساهل في الحديث) yang mempermudah-mudahkan pada kajian hadith. Begitu juga Ibnu Hibban memberi pengakuan thiqah terhadap seorang perawi sementara ada tokoh lain yang lebih berwibawa pula menganggap tidak thiqah, maka pendapat Ibnu Hibban ditolak kerana beliau memasukkan perawi yang majhul kedalam senarai thiqahnya.
  2. Salah seorang diantara dua orang muhaddith mempunyai sikap terlalu ketat dalam kajian hadith (تشدد) sementara seorang lagi mempunyai sikap sederhana (معتدل). Maka pendapat yang sederhana itu akan ditarjihkan seperti Ibnu Jauzi adalah mutasyaddid sementara Ibnu Hajar dan Zahabi kedua-duanya mu’tadil maka Imam Ibnu Hajar dan Imam Zahabi diutamakan.

Ibnu Hajar berkata bahawa mengikut peredaran masa ada empat generasi (طبقات) di kalangan Imam-Imam Pengkritik atau Pengesah Sanad (أئمة الجرح والتعديل). Al-Hafiz Ibnu Hajar mengemukakan siapa Mutasyaddid (bersikap terlampau ketat) dan siapa pula Mu’tadil (bersikap sederhana) pada tabaqat (generasi) itu.

i. Tabaqat pertama Syukbah dan Sufyan Al-Thauri. Syu’bah adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

ii.Tabaqat kedua Yahya Bin Said Al-Qattan dan Abdurrahman Bin Mahdi. Maka Yahya adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

iii.Tabaqat ketiga Yahya Bin Ma’in dan Ali Bin Al- Madini. Maka Yahya Bin Ma’in adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

iv.Tabaqat yang keempat Ibnu Abi Hatim dan Imam Bukhari. Ibnu Abi Hatim adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyaddud.

Oleh demikian itu apabila didapati perselisihan di antara mereka maka hendaklah mengambil qaul yang sederhana atau pertengahan (متوسط) dan meninggalkan qaul yang tasyaddud. Syeik Abdul Haiyi Lakhnawi berkata kemudian daripada tabaqat yang empat ialah Ibnu Jauzi, Hafiz Saghani dan Ibnu Taimiyah dianggap mutasyaddid dan Hafiz Ibnu Hajar, Hafiz Zahabi, Hafiz Iraqi dan Hafiz Zaila’i dianggap mutawassit atau mu’tadil dan pendapat mereka ini akan diutamakan.

  1. Meneliti dalil-dalil bagi dua pihak dan mengutamakan qaul yang mempunyai dalil yang kuat sedangkan kebolehan meneliti tidak ada pada setiap orang.

7) Hadith-hadith yang ditashihkan oleh ulama’ hadith dan feqah yang muktabar lagi yang terdahulu itu tidak akan jadi dhaif kerana mencelahi perawi daif kemudian daripada mereka itu. Maka pentashihan hadith yang dibuat oleh fuqahak (Imam-Imam Mujtahid) lebih tinggi kedudukannya daripada pentashihannya yang dibuat oleh ulama’ hadith. Contohnya tersebut di dalam Sunan Tirmizi yang berbunyi:

حدثنا يحي بن موسى أخبرنا أبو معاوية أخبرنا خالد بن إياس عن صالح مولى التوأمة عن أبي هريرة قال: كان النبي صلى الله عليه وسلم ينهض في الصلاة على صدور قدميه.

Ertinya: “Adalah Nabi s.a.w bangun berdiri (qiyam) di dalam sembahyang diatas kedua hujung jejari kakinya”.

Hadith ini dhaif di sisi Imam Tirmizi kerana terdapat Khalid bin Iyaas yang mana beliau adalah perawi yang dhaif. Akan tetapi hadis ini dianggap sahih di sisi Imam Abu Hanifah kerana tidak didapati Khalid bin Iyaas tersebut di dalam sanadnya.

8) Hadith dhaif tidak semestinya ditolak bulat-bulat kerana ianya boleh mencapai darjat hasan dan menjadi makbul sekiranya jalan periwayatannya berbilang-bilang sepertimana Mulla Ali Al-Qari berkata: “وتعدد الطرق يبلغ الحديث الضعيف إلى حد الحسن” bermaksud: “hadith boleh mencapai darjat hasan (hasan li ghairihi) dengan banyak jalan periwayatan”. Demikian juga tersebut di dalam شرح النخبة m/s 24, ((والضعيف أن تعددت طرقه أو تأيد بما يرجح قبوله فهو الحسن لغيره )) ertinya: “sekiranya hadith dhaif berbilang-bilang periwayatan atau dikuatkan dengan hadith yang terlebih kuat penerimaannya maka ia menjadi hasan li ghairihi”.

9) حديث ضعيف مؤيد بالتعامل iaitu hadith dhaif yang disokong oleh amalan sahabat dan tabi’in. Apabila amalan mereka itu bertepatan dengan hadith dhaif maka dengan sendiri hadith dhaif itu menjadi hadith yang layak diamalkan dan dibuat hujah. Sebagai contoh:

(

هو الطهور ماؤه والحل ميتته، القاتل لا يرث، لا وصية لوارث)

Ertinya: “Ianya (air laut) adalah suci airnya dan halal bangkainya. Pembunuh tidak boleh mewarisi harta orang yang dibunuhnya. Tidak boleh berwasiat untuk orang yang menerima harta pusaka”,

Hadith-Hadith ini diakui dhaif oleh kebanyakan muhaddithin walaupun begitu ianya boleh diterima untuk dijadikan dalil (قابل للإستدلال) kerana didapati ramai sahabat dan tabein beramal dengan hadith itu.

Telah berkata Ibnu Abdul Barri di dalam kitabnya الاستذكار ketika menghikayatkan daripada Imam Tirmizi bahawa Imam Bukhari telah menghukum sahih Hadith Al-bahr (هو الطهور ماؤه والحل ميتته) sedangkan ahli hadith tidak mentashih sanad seperti ini tetapi hadith itu adalah sahih disisiku kerana ulama’ telah menerimanya dengan secara qabul (penerimaan berterusan). Sesetengah ulama’ menghukumkan kesahihan mengenai sesebuah hadith apabila ada penerimaan yang berterusan daripada orang ramai sekalipun sanadnya tidak sahih. Berkata Al-Ustaz Al-Isfirayini: “Dikenali kesahihan hadith apabila masyhur di sisi ulama’ hadith tanpa sebarang penafian daripada mereka itu”. Hadith yang diterima oleh ulama’ secara berterusan maka hadith itu termasuk di dalam hadith makbul sekalipun tidak memenuhi syarat sahih kerana ummah tidak berhimpun dalam perkara kesesatan. (وظيفة الحديث الضعيف: إمام محمد زكي إبراهيم: ص 27-28)

KESIMPULAN

  1. Menerima pakai hadith dhaif dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemarkan dan menakutkan, soal adab, kisah tauladan, nasihat-nasihat dan seumpamanya adalah dibolehkan. Perkara ini disepakati oleh ulama’ Muhaddithin.
  2. Imam Nawawi menukilkan pandangan ulama’ bahawa dalam hal-hal tersebut disunatkan beramal dengan hadith dhaif.
  3. Penerimaan hadith dhaif dalam perkara-perkara terbabit adalah disyaratkan jangan terlampau kuat kedhaifannya dan jangan pula hadith tersebut bercanggah dengan hadith yang sahih.
  4. Perlu mematuhi kaedah di sisi ulama’ hadith yang berlandaskan pentashihan dan pendhaifan hadith.
  5. Jangan mengambil sikap terlalu mudah menolak hadith dhaif sedangkan ulama’-ulama’ yang mu’tabar sudahpun mengambil pendirian dan sikap yang sederhana mengenai menerima dan beramal dengan hadith dhaif.

Mudah-mudahan Allah s.w.t memberi taufiq kepada kita agar dapat mengikuti jalan yang benar lagi lurus dan menjauhi kita daripada menuruti jalan yang sesat lagi menyesatkan.

Sekian, wassalam..

Sidang pengarang:

Ust. Nik Nazimuddin b. Nik Ibrahim

Ust Fuad b. Abd Wahab

Ust. Nik Sahril b. Nik Ibrahim


Sumber : Http://Khairuummah77.wordpress.com

Jumaat, 22 Januari 2010

Tidak Beramal Dengan Ilmu

Imam Abdul Wahab al-Sya’rani berkata: Daku mendengar guruku Sayyidi Ali al-Khawwas r.’a berkata:
"Hukum menyampaikan ilmu kepada manusia dan kepada mereka yang diharap dapat mengamalkan ilmu tersebut adalah fardu ain walaupun penyampai sendiri tidak mengamalkannya."


Imam Abdul Wahab al-Sya’rani menambah: Satu ketika daku mendengar guruku Sayyidi Ali al-Khawwas r.’a berkata:
“Tidak terdapat mana-mana orang berilmu melainkan dia beramal dengan ilmunya selama mana berakal walaupun daripada satu sudut ibadat sahaja. Ini kerana jika dia melaksanakan perintah-perintah syarak dan menjauhi larangan, nescaya dia beramal dengan ilmunya secara yakin jika Allah mengurniakan keikhlasan kepadanya. Sekiranya dia tidak beramal seperti yang telah dinyatakan, lalu dia menyedari dengan ilmunya bahawa dia melanggar perintah Allah lantas bertaubat dan menyesal, nescaya dia telah beramal dengan ilmunya juga. Kerana jika dia tidak berilmu nescaya dia tidak akan menyedari bahawa meninggalkan beramal dengan ilmu ialah maksiat. Oleh itu, ilmu memberi kemanfaatan dalam setiap keadaan. Semua nas yang menyatakan hukuman yang berat bagi mereka yang tidak mengamalkan ilmu disandarkan kepada mereka yang tidak bertaubat.”


Kenyataan guruku ini amat bermakna dan bernilai.

Kesimpulannya, untuk seseorang dihukumkan beramal dengan ilmunya, tidaklah disyaratkan dia mesti tidak pernah melakukan maksiat, sebagaimana pemahaman segelintir manusia. Tetapi yang disyaratkan ialah tidak berterusan dalam maksiat atau tidak berterusan dalam keinginan meneruskan maksiat dan seterusnya.

Oleh itu, pelajar agama tidak sepatutnya meninggalkan sunat-sunat muakkad dan menggantikannya dengan semata-mata pengajian kecuali jika pengajian itu fardu ain dari segi syarak dengan syarat ikhlas. Ini untuk mengelakkan pelajar meninggalkan seluruh ibadat sunat sehingga seolah-olah ibadat ini tidak disyariatkan ke atasnya langsung dan dalam masa yang sama dia menghabiskan masanya dengan kelalaian, bersuka ria, mengumpat, batu api, hasad, bangga diri, takabbur dan ujub. Tidak pernah pula semasa melakukan kesalahan ini dia berkata kepada dirinya:
“Pengajian lebih afdal daripada semua kelalaian ini”


Oleh itu, janganlah kamu wahai pelajar agama mengelirukan diri kamu dan berkata kepada mereka yang memerintahkan kamu mengamalkan ibadat-ibadat sunat:
“Waktu ini untuk pengajian lebih afdal”
sekalipun kamu menyedari yang kamu tidak ikhlas sepenuhnya dalam pengajian. Ungkapan sebegini kadang kala menjadi hujjah untuk kurang mengambil berat dalam ibadat.

Renunglah wahai pelajar agama tatkala kamu meninggalkan ibadat-ibadat sunat dan fadilat-fadilat yang lain dan memenuhkan masa dengan berdebat dan meninggalkan wirid-wirid, kamu akan mendapati rasa tidak tenteram di dalam hati dan tiada seorang pun yang akan bersangka baik terhadap kamu, bahkan tiada seorang pun yang memohon doa daripada kamu. Berbeza dengan pelajar-pelajar agama yang membanyakkan ibadat sunat dan zikir, dia akan mendapati manusia bersangka baik terhadapnya dan memohon doa daripadanya. Sesungguhnya Nabi Muhammad saw bersabda:
“Kamu semua ialah saksi-saksi Allah di muka bumi, sesiapa yang kamu puji dengan kebaikan nescaya baiklah dia dan siapa yang kamu cela nescaya jahatlah dia.”

Daku mendengar Syeikh Islam Zakaria al-Ansari berkata:
“Sekiranya orang berilmu meninggalkan ibadat sunat, wirid-wirid dan adab-adab orang yang dekat dengan Allah, nescaya dia seolah-olah roti kering yang tidak berzat”
Sumber : Www.Persidam.Org

Khamis, 21 Januari 2010

Kesimpulan Penting

Perhatian : Artikel ini perlu dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Adapun kesimpulan yang dapat kita ambil dari huraian singkat ini adalah : "Kita harus mengi'tiqadkan bahawa Kaum Muslimin itu walaupun berbeza-beza mazhab, pendapat dan pandangan-pandangannya adalah selamat dari khulud (kekal) dalam neraka.

Hal ini kerana Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam telah menjadikan orang-orang yang mengucapkan La ilaha illaLLah Muhammad RasuluLlah sebagai kaum Muslimin yang bertauhid dan selamat dengan izin ALlah subahanahu Wa Ta'ala walau bagaimanapun besarnya perbezaan di antara mereka dalam masalah-masalah feqh (fari'yyah) sehingga mereka terbahagi dalam beberapa mazhab dan kelompok. Tetapi semua ini adalah dengan syarat bahawa mereka itu tidak melakukan satu perkara yang secara ijma' menyebabkan mereka jatuh kafir.

Dan saya berharap semua kaum Muslimin dapat memenuhi pensyaratan ini dengan izin ALlah Subahanahu wa Ta'ala. Adapun perkara selamat dari neraka dan tidak akan memasukinya selama-lamanya maka itu semua kembali kepada Allah 'azza wajalla.

Selasa, 19 Januari 2010

Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 1

Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah I

Tema:

Gerakan Tajdid dan Pemikiran Najdiyuun

Tarikh: 24 Januari 2010 (Ahad)

Masa: 08.00 pagi - 06.00 petang.

BERTUKAR KE DEWAN YANG LEBIH BESAR:

DEWAN SERBAGUNA MASJID WILAYAH,

JALAN DUTA, KUALA LUMPUR

(bagi menampung peserta yang lebih ramai)

Untuk maklumat lanjut sila hubungi

(http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2010/01/09/wacana-pemikiran-dan-pembinaan-ummah-1/)

Sdr. Iskandar 016-386-3361

Sdr Wan Burhan 016-3956497


ATURCARA

08.00-08.30 Pendaftaran

08.30-09.00 Bacaan al-Qur`an, Selawat dan Ucapan Aluan

09.00-09.30 Majlis Perasmian

09.30-10.00 Kudapan

10.00-01.00

1.TAJUK: MENILAI SECARA ’ILMIYAH MENGENAI PERANAN ‘ABDUL WAHHAB SEBAGAI MUJADDID-MUSLIH.

PEMBENTANG: Al-Fadhil Syaikh (Dr) Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, ISTAC, KL.

2.TAJUK: MELIHAT SEMULA DOKTRIN DAN GERAKAN MUHAMMAD BIN ‘ABDUL WAHHAB AL-NAJDI: SUATU ANALISIS KRITIKAL

PEMBENTANG: Al-Fadhil Al-Ustaz Dr Fakhruddin Mukti, Pensyarah Jab. Usuluddin dan Falsafah, Akademi Pengajian Islam UM

01.00-02.15 Solat Dan Makan Tengahari

02.15-04.30

3. TAJUK: WACANA RELIGIO-INTELEKTUAL NAJDIYYUN: PRO DAN KONTRA TERHADAP PERANANNYA PADA TAMADDUN UMMAH.

PEMBENTANG: Al- Fadhil Dr. Asmadi Muhammad Na‘im, Pensyarah Sekolah Perdaganagan, UUM, Sintok.


4. TAJUK: PEMIKIRAN ALIRAN NAJDIYYUN DALAM MENGHADAPI PEMIKIRAN PASCA-MODERNISME: SATU PENGAMATAN.

PEMBENTANG: Al-Fadhil Syaikh (Dr) Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, ISTAC, KL.

04.30-05.00 Resolusi Dan Majlis Penutup

05.00-06.00 Solat dan Kudapan.


Isnin, 18 Januari 2010

Keistimewaan Sanad Dan Mengapa Ada Yang Menolaknya ?

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni


Sanad Keistimewaan Ummah

Menghidupkan pengajian bersanad pada masa ini adalah suatu perkara yang harus diberi pujian dan galakan, dan bukannya satu perkara yang harus dibanteras dan ditentang. Meskipun ia bukan satu kefardhuan ke atas setiap orang dalam menuntut ilmu atau mengajarkannya, namun ketiadaannya langsung samasekali dalam umat Islam mampu menjadi tanda pada dekatnya kehancuran umat ini. Di mana kelak tiada lagi tinggal orang-orang berilmu yang penuh keberkatan tersebut, lalu orang mengambil ahli-ahli ilmu yang jahat, tiada keberkatan dan orang-orang jahil sebagai tempat rujuk dan pemimpin agama mereka. Justeru, mereka ini sesat lagi menyesatkan, dan akhirnya di atas merekalah dibangkitkan kiamat.

Jika tujuan sanad pada awalnya untuk memastikan kesahihan riwayat, namun ilmu sanad kemudiannya berkembang sama seperti ilmu-ilmu Islam yang lain, sehingga ia menjadi suatu seni yang tersendiri. Cuma bezanya syarat yang ketat dan penelitian yang tegas terhadap perawi-perawi pada peringkat awal telah dilonggarkan pada peringkat mutakhir, apabila kebanyakan hadith sudah direkod dan dibukukan oleh ulama hadith. Justeru kemudiannya, ramailah ulama yang membenarkan pengijazahan sanad serta meriwayatkannya berdasarkan ijazah tersebut semata-mata, tanpa perlu bertalaqqi penuh.

Periwayatan secara bersanad diteruskan kerana ia adalah satu kemuliaan dan keistimewaan yang dapat dilihat dari sudut-sudut berikut;

1. merupakan pertalian yang bersambung-sambung sampai kepada Rasulullah SAW (وكفى في الاتصال بالحبيب شرفاً) .

2. merupakan iqtida’ (tauladan) terhadap para salafus-soleh dalam tradisi belajar dan mengajar (إنّ التشبه بالكرام فلاح).

3. merupakan satu jati diri dan ikatan ilmu yang hanya dimiliki oleh umat Islam, maka ia adalah satu kebanggaan buat mereka (الإسناد من الدين).

4. merupakan satu usaha berterusan memelihara persambungan sanad hingga ke hari kiamat (إن الأسانيد أنساب الكتب).

5. merupakan satu rahmat dan barakah (عند ذكر الصالحين تنزل الرحمة).

Mereka yang mengkritik pengajian bersanad juga seharusnya membezakan pengajian bersanad yang bagaimana yang dikritik, bukan menghentam secara pukul-rata. Perlu dibezakan juga antara ijazah am dan ijazah khas. Jika tidak ia hanya satu kejahilan terhadap sistem sanad dan juga seni-seninya.

Pengajian secara bersanad terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu:

  1. talaqqi secara bersanad bagi qiraat (bacaan) al-Quran.
  2. talaqqi secara bersanad bagi kitab-kitab hadith muktamad, seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Muwatta’ Malik dan sebagainya.
  3. talaqqi secara bersanad bagi himpunan hadith-hadith tertentu, seperti al-Awa’il al-Sunbuliyyah, atau hadith-hadith tertentu, seperti hadith musalsal.
  4. talaqqi secara bersanad bagi kitab-kitab karangan ulama dalam berbagai bidang ilmu, seperti fiqh, usul-fiqh, tauhid, tafsir, sirah, hadith, mustalahul-hadith, tasawuf dan sebagainya.
  5. talaqqi secara bersanad bagi amalan tariqat-tariqat sufiyyah.

Seorang yang mempelajari secara mendalam, akan mendapati dalam ilmu ulumul-hadith dibincangkan tentang ilmu al-tahammul wal-ada’ (pembawaan dan penyampaian riwayat), serta dibincangkan tentang adab-adab muhaddith dan juga penuntut hadith. Perkara ini dapat dirujuk dalam kesemua kitab-kitab yang disusun dalam ulumul-hadith. Ini menunjukkan para ulama sejak dahulu mengambil berat mengenai periwayatan sanad. Hanya pengembaraan-pengembaraan getir ahli hadith dalam mencari sanad sahaja yang berakhir, iaitu dalam kurun ke-6 hijrah. Di mana semua riwayat telah dibukukan dalam al-Jawami’, al-Sihah, al-Sunan, al-Masanid, al-Ma’ajim, al-Ajza’, al-Fawa’id, al-Masyyakhat dan lain-lain. Setelah itu para ulama hadith berusaha memelihara sanad ini hinggakan ada sebahagian mereka yang membukukannya di dalam kitab-kitab khusus.

Perhatian terhadap pengumpulan sanad ini kemudian terus bertambah di kalangan ulama hadith sehingga hampir tiada ulama hadith melainkan ia mempunyai kitab sanad yang merekodkan sanad-sanadnya dan juga biografi sebahagian syeikh-syeikhnya. Kitab-kitab ini disebut dengan berbagai istilah seperti barnamij, fihris, thabat dan mu’jam. Riwayat-riwayat mereka juga tidak sekadar pada kitab-kitab hadith, malah pada kitab-kitab tafsir, fiqh, usul, akidah dan lain-lain. (al-Fadani, h. 8-9)

Sanad Kini Sudah Tiada Nilai?

Oleh kerana kejahilan dan kesan penjajahan dalam sistem pendidikan, ada orang yang berkata:

“Kesemua sanad yang wujud di atas muka bumi sekarang sudah tidak dijamin kethiqahan perawi dan persambungan sanadnya. Justeru tidak ada faedah untuk meriwayatkannya”.

Tuduhan ini adalah satu tohmahan kepada seluruh ulama dan ahli ilmu yang memiliki sanad dan meriwayatkannya. Tuduhan tersebut hanya menampakkan kejahilan pengucapnya yang tidak takut kepada Allah SWT terhadap kata-kata yang akan dipertanggungjawabkan kelak. Jika beliau berkata; banyak sanad ulama mutaakhirin yang wujud sekarang mengandungi banyak kecelaruan di dalamnya, tentu itu lebih dapat diterima dan layak untuk diperbincangkan.

Mereka juga berpegang kepada kata-kata Ibn al-Salah (m. 643H) dalam kitabnya (صيانة صحيحِ مسلمِ من الإخلالِ والغلَطِ و حمايتُه من الإسقاطِ والسَّقَط) (h. 117):

“Ketahuilah, bahawa periwayatan dengan isnad-isnad yang bersambung bukanlah maksud daripadanya pada zaman kita ini dan juga zaman-zaman sebelumnya bagi mensabitkan apa yang diriwayatkan, kerana tidak sunyi satu isnad pun daripadanya dari seorang syeikh yang tidak tahu apa yang diriwayatkannya, dan juga tidak menjaga isi kitabnya secara jagaan yang layak untuk diperpegang pada kesabitannya. Akan tetapi maksudnya ialah bagi mengekalkan rantaian isnad yang dikhususkan terhadap umat ini, semoga Allah menambahkannya kemuliaan”.

Kata-kata Ibn al-Salah tersebut juga bukanlah kata-kata yang maksum yang tidak dapat dipertikaikan. Ia tetap menerima perbincangan antara pro-kontra sebagaimana setengah pendapatnya yang lain. Ini kerana realiti membuktikan sanad masih diperlukan walaupun untuk mensabitkan sesuatu riwayat, seperti contoh kes satu juzuk kitab Musannaf ‘Abd al-Razzaq yang hilang yang ditemukan dan diterbitkan oleh Dr. ‘Isa ‘Abdillah Mani‘ al-Himyari dan Dr. Mahmud Sa’id Mamduh. Namun apabila mereka menyedari kepalsuan juzuk kitab tersebut kerana tiada persambungan sanad setelah membuat perbandingan dengan sanad-sanad periwayatan yang ada, mereka menarik balik penerbitannya dan mengisytihar permohonan maaf. (جزاهما الله خيراً). Di kalangan para pentahkik dan penyelidik manuskrip pula, ramai di antara mereka yang dapat mengesan kesalahan kalimah, pertukaran huruf, penentuan titik kalimah, perubahan nama-nama dan sebagainya berdasarkan sanad-sanad periwayatan yang wujud sekarang ini.

Pendapat Ibn al-Salah bahawa tiada lagi sanad yang bersambung dengan perawi-perawi thiqah juga dapat dipertikaikan dengan wujudnya sanad-sanad yang sabit sama ada pada zaman beliau, sebelumnya, mahupun selepasnya. Contohnya, Imam al-Nawawi telah meriwayatkan Sahih Muslim dengan sanad yang bersambung dan menerangkan kedudukan setiap perawi dalam sanad berkenaan. Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lain. Usaha Syeikh al-Yunini menghimpun sanad-sanad Sahih al-Bukhari sehingga menjadikan al-Nuskhah al-Yuniniyyahnya sebagai versi Sahih al-Bukhari yang paling sahih juga merupakan bukti dalam masalah ini.

Mereka yang mendalami ilmu rijal dan ‘ilal juga (cabang-cabang daripada ilmu sanad) akan mendapati bahawa ilmu tersebut tidak terhenti pada kurun-kurun awal hijrah sahaja, bahkan ianya terus berkembang di sepanjang zaman sehinggalah ke zaman kita ini. Apakah ilmu ini harus disempitkan kerana kononnya masalah sanad sudah selesai?

Fatwa Aneh

Berikut saya bawakan fatwa al-Lajnah al-Da’imah lil-Buhuth al-’Ilmiyyah wal-Ifta’ untuk ukuran dan nilaian anda. (Saya terjemahkan soal-jawabnya sahaja):

ورد سؤال للجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء 4/371 رقم الفتوى (3816)، هذا نصه: هل بقي أحد من العلماء الذين يصلون بإسنادهم إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وإلى كتب أئمة الإسلام؟ دلونا على أسمائهم وعناوينهم حتى نستطيع في طلب الحديث والعلم إليهم.

الجواب: يوجد عند بعض العلماء أسانيد تصلهم إلى دواوين السنة لكن ليست لها قيمة؛ لطول السند، وجهالة الكثير من الرواة عدالة وضبطا. وبالله التوفيق. وصلى الله على نبينا محمد، وآله، وصحبه وسلم.

- اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء:
عضو: عبد الله بن قعود.
عضو: عبد الله بن غديان.
نائب رئيس: عبد الرزاق عفيفي.
الرئيس: عبد العزيز بن باز.

Terjemahan:

...Soalan: Adakah masih tinggal ulama yang bersambung isnad mereka sampai kepada Rasulullah SAW dan juga kepada kitab-kitab ulama besar Islam? Sebutkanlah kepada kami nama-nama dan alamat-alamat mereka agar kami dapat mempelajari hadith dan ilmu daripada mereka.

Jawapan: Terdapat pada sebahagian ulama sanad-sanad yang menyambungkan mereka kepada kitab-kitab al-sunnah, akan tetapi ianya tidak ada nilai, kerana sanad yang panjang, serta kemajhulan ramai dari kalangan perawinya dari segi sifat adil dan dhabit. Wabillah al-tawfiq...

(ringkas betul!)


Punca Kempen Menjauhi Periwayatan Sanad

Tidak dinafikan, ada setengah masyayikh salafi-wahhabi yang memiliki sanad secara ijazah, namun sebahagian mereka tidak mahu menyebarkannya kerana rantaian sanad periwayatan tersebut mengandungi ramai perawi Asya’irah atau Maturidiyyah, dan juga perawi-perawi sufiyyah.

Bagi menjelaskan perkara ini, di bawah ini akan saya senaraikan antara ulama-ulama yang menghimpunkan sanad-sanad di dalam kitab-kitab khusus:

1. al-Hafiz Ibn al-Najjar (m. 648H): Masyyakhah.

2. al-Hafiz Abu Tahir al-Silafi (m. 576H): al-Wajiz fi Zikr al-Mujaz wa al-Mujiz .

3. Imam ‘Abdul Haq bin Ghalib ibn ‘Atiyyah al-Andalusi (m. 541H): Fihrasah.

4. al-Qadhi ‘Iyadh al-Yahsubi (m. 544H): al-Ghunyah.

5. al-Hafiz Muhammad bin ’Umar ibn Khayr al-Isybili (m. 575H): Fihrist.

6. al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani (m. 852H): al-Majma' al-Mu'assas dan al-Mu'jam al-Mufahras .

7. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti (m. 911H): Zad al-Masir.

8. Syeikhul-Islam Zakariyya al-Ansari (m. 926H): Thabat.

9. Imam ‘Abdul Wahhab al-Sya‘rani (m. 973H): Fihris.

10. al-‘Allamah Muhammad bin ‘Ali bin Tulun (m. 953H): al-Fihrist al-Awsat.

11. Al-Musnid Abu Mahdi ‘Isa bin Muhammad al-Tha'alibi al-Makki (m: 1080 H): Maqalid al-Asanid, al-Minah al-Badiyyah fi al-Asanid al-'Aliyah, Kanzul Riwayah dan Muntakhab al-Asanid .

12. Syeikh Muhammad bin ‘Ala’uddin al-Babili (m: 1077H):(منتخب الأسانيد)

13. Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Qusyasyi (m: 1070H): al-Simt al-Majid.

14. Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad bin Abi Bakr al-‘Ayyasyi (m: 1090H): (إتحاف الأخلاء)

15. Imam ‘Abdullah bin Salim Al-Basri al-Makki (m: 1134H): Al-Imdad bi Ma'rifati 'Uluwi al-Isnad .

16. Syeikh Abu Tahir Ibrahim bin Hasan Al-Kurani (m: 1101H): Al-Umam li Iqaz Al-Himam .

17. Syeikh Hasan bin ‘Ali al-‘Ujaimi al-Makki (m. 1113H): Kifayah Al-Mutatalli' .

18. Syeikh ‘Abdul Baqi al-Ba’li al-Dimasyqi al-Hanbali (m. 1071H): (رياض أهل الجنة بآثار أهل السنة)

19. Syeikh ’Abdur Rahman al-Ba’li al-Hanbali: (منار الإسعاد في طرق الإسناد)

20. Syeikh Muhammad bin Sulaiman Al-Rudani (1094H): Sillatu Al-Khalaf bi Mausul As-Salaf.

21. Syeikh al-Muhaddith Isma’il bin Muhammad al-’Ajluni : (حلية أهل الفضل والكمال)

22. Syeikh Muhammad bin Ahmad ‘Aqilah al-Makki: (المواهب الجزيلة)

23. Syeikh ‘Abdul Ghani al-Nabulusi: Thabat.

24. Syeikh Muhammad Hasyim al-Sindi (m:1174H): Al-Muqtataf min Ittihaf Al-Akabir bi Asanid Al-Mufti Abdil Qadir .

25. Syeikh Muhammad ‘Abid al-Sindi (m. 1257H): Hasr al-Syarid.

26. Syeikh ‘Ali bin Zahir Al-Watri Al-Madani (m: 1322H): Awa'il Al-Watri wa Musalsalatihi .

27. Syeikh Waliyullah al-Dihlawi (m. 1176H): Al-Irsyad ila Muhimmat 'Ilm Al-Isnad .

28. al-‘Allamah Abu al-Faydh Muhammad Murtadha al-Zabidi: (لقط اللآلي من الجواهر الغوالي)

29. Syeikh Ahmad al-Dardir al-Maliki: Thabat.

30. Syeikh ‘Abdul Ghani bin ‘Abdul Haq al-Dihlawi (m. 1296H): al-Yani’ al-Jani fi Asanid al-Syaikh ‘Abdul Ghani, susunan Syeikh Muhammad Yahya.

31. Syeikh ‘Abdullah al-Syabrawi (m. 1171H): Thabat.

32. Syeikh Muhammad ibn Himmat Zadah al-Dimasyqi: al-Is’ad.

33. Syeikhul-Islam Syamsuddin Muhammad bin Salim al-Hifni: Thabat.

34. Syeikh Salih bin Muhammad Al-Fullani (1218H): Qatf al-Thamar fi Raf'i Asanid Al-Musannafat fi Al-Funun wa Al-Athar .

35. Syeikh Muhammad Syakir al-’Aqqad (m. 1222H): (عقود اللآلي في الأسانيد العوالي)

36. al-’Allamah Syeikh ’Abdul Rahman bin Muhammad al-Kuzbari: Thabat.

37. Syeikh Muhammad Al-Amir Al-Kabir Al-Misri (m.1232H): Sadd al-Arab min 'Ulum al-Isnad wal Adab .

38. Syeikh Muhammad bin ‘Ali al-Syanawani (m. 1233H): al-Durar al-Saniyyah li ma 'ala Min al-Asanid al-Syanawaniyyah .

39. Syeikh ‘Abdullah bin Hijazi Al-Syarqawi (m.1227H): al-Jami’ al-Hawi fi Marwiyyat al-Syarqawi.

40. Syeikh Ahmad ibn ’Ajibah al-Hasani: Fihris.

41. Syeikh ‘Abdul Wasi' bin Yahya Al-Wasi'i: al-Durr al-Farid al-Jami' li Mutafarriqat al-Asanid .

42. Syeikh Muhammad Amin Ibn ‘Abidin (m. 1252H): (مجموعة إجازات)

43. Syeikh Hasan Al-Masyat (1306 H): al-Irsyad bi Zikr Ba'dhi ma Li min al-Ijazah wa Al-Isnad .
44. Syeikh Tahir bin Muhammad al-Jaza’iri: (عقود اللآلي في الأسانيد العوالي)

45. Syeikh Abu al-Mahasin al-Qawuqji (m. 1305H): (معدن اللآلي في الأسانيد العوالي)

46. Mawlana Syeikh Fadhl al-Rahman al-Kanja-Murad-Abadi: (إتحاف الإخوان بأسانيد سيدنا ومولانا فضل الرحمن), susunan Syeikh Ahmad bin ‘Uthman.

47. Syeikh Ahmad Dhiya’uddin al-Kumusykhanawi: Thabat.

48. Syeikh Mahmud Muhammad Nasib al-Hamzawi, mufti Syam: (عنوان الأسانيد)

49. Syeikh Muhammad Sa’id Sunbul al-Makki (m. 1175H): al-Awa’il al-Sunbuliyyah.

50. Syeikh Abu al-Yusr Falih bin Muhammad al-Mihnawi al-Zahiri (m. 1328H): (حسن الوفاء) 51. Syeikh Abu al-Nasr Muhammad Nasr Allah al-Khatib: (الكنز الفريد في علم الأسانيد )

52. Syeikh Muhammad ‘Abdul Baqi Al-Ansari (m.1364H): Al-Is'ad bil Isnad dan Nashr Al-Ghawali min Al-Asanid Al-'Awali .

53. Syeikh Muhammad Mahfuz al-Turmasi (m. 1338H): Kifayah Al-Mustafid li ma 'Ala min Al-Asanid .

54. Syeikh ‘Abdul Hamid bin Muhammad ‘Ali Qudus al-Makki (m. 1334H): (المفاخر السنية في الأسانيد العلية القدسية) dan (إجازة الشيخ أحمد دحلان للشيخ عبد الحميد قدس)

55. Syeikh Yusuf bin Isma’il al-Nabhani (m. 1350H): (هادي المريد إلى طرق الأسانيد)

56. Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari: (التحرير الوجيز)

57. Syeikh Muhammad ’Abdul Rasyid al-Nu’mani: (الكلام المفيد في تحرير الأسانيد)

58. Syeikh ‘Umar Hamdan, muhaddith al-Haramain (m. 1368H): (مطمح الوجدان في أسانيد الشيخ عمر حمدان) dan (إتحاف الإخوان باختصار مطمح الوجدان في أسانيد الشيخ عمر حمدان), susunan al-Fadani.

59. Syeikh Muhammad ‘Ali Al-Maliki: (المسلك الجلي) susunan al-Fadani.

60. Musnid al-Dunia Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad ’Isa Al-Fadani (m. 1410H):

- الأسانيد المكية لكتب الحديث والسير والشمائل المحمدية

- إتحاف المستفيد بغرر الأسانيد

- الفيض الرحماني بإجازة فضيلة الشيخ محمد تقي العثماني

- القول الجميل بإجازة سماحة السيد إبراهيم بن عمر باعقيل

- العجالة في الأحاديث المسلسلة

- قرة العين في أسانيد شيوخي من أعلام الحرمين

- فيض المبدي بإجازة الشيخ محمد عوض الزبيدي

- الأربعون البلدانية: أربعون حديثاً عن أربعين شيخاً من أربعين بلداً

-شرح المسلسل بالعترة الطاهرة

- بغية المريد من علوم الأسانيد - dalam lima jilid!.

61. Al-Habib Syeikh bin Abdillah Al-'Aidarus (m: 990 H): al-Tiraz Al-Mu'allim .

62. al-Sayyid Muhammad al-Syilli: Mu'jam al-Syilli .

63. Al-Habib Syeikh bin Muhammad Al-Jufri: Kanz Al-Barahin Al-Jazbiyyah wa Al-Asrar Al-Ghaibiyyah li Sadah Masyayikh al-Tariqah Al-Haddadiyyah Al-'Alawiyyah.

64. Al-Habib ‘Abdul Rahman bin ‘Abdullah bin Ahmad Bal Faqih: Miftah Al-Asrar fi Tanazzuli Al-Asrar wa Ijazah Al-Akhyar.

65. Al-Habib ‘Abdullah bin Husein Bal Faqih: Syifa' al-Saqim bi Idhah Al-Isnad , dan Bazl Al-Nahlah .

66. Al-Habib Al-Musnid 'Aidarus bin ‘Umar Al-Habsyi: 'Uqud Al-La’ali fi Asanid Ar-Rijal , Minhah Al-Fattah Al-Fathir fi Asanid al-Saadah Al-Akabir dan 'Aqd Al-Yawaqit Al-Jauhariyyah wa Samt Al-'Ain al-Zahabiyyah .

67. Syeikh Al-Habib ‘Abdul Rahman bin Sulaiman Al-Ahdal (m:1250 H): Al-Nafas Al-Yamani war-Ruh al-Rayhani fi Ijazah al-Qudhah al-Thalathah Bani al-Syawkani.

68. Al-Habib Abu Bakr bin Syihab: Al-'Uqud Al-Lu'lu'iyyah fi Asanid al-Sadah Al-‘Alawiyyah .
69. Al-Habib Al-Musnid Muhammad bin Salim al-Sirri: Thabat.

70. Al-'Allamah Al-Habib ‘Abdullah bin Ahmad Al-Haddar: Thabat .

71. Al-Habib Muhammad bin Hasan 'Aidid: Tuhfah Al-Mustafid fi man Akhaza 'anhum Muhammad bin Hasan 'Aidid .

72. Al-Habib Salim bin Hafiz, Aal Syeikh Abu Bakr bin Salim: Minhah Al-Ilah fi Al-Ittisal bi ba'dhi Awliyah .

73. Al-Habib 'Alawi bin Tahir Al-Haddad (m:1382 H), bekas Mufti Negeri Johor: al-Khulasah Al-Syafiyyah fi Al-Asanid Al-'Aliyyah .

74. Al-Habib Salim bin Ahmad bin Jindan: Mu'jam Al-Khulasah Al-Kafiyyah .

75. Al-Habib Abu Bakr bin Ahmad bin Husain Al-Habsyi: (الدليل المشير إلى فلك أسانيد الاتصال بالحبيب البشير

وعلى آله ذوي الفضل الشهير وصحبه ذوي القدر الكبي)

76. al-Sayyid Husain al-Habsyi: (فتح القوي في أسانيد السيد حسين الحبشي) susunan Syeikh ‘Abdullah bin Muhammad Ghazi.

77. Al-Habib Uthman bin ‘Abdillah bin ‘Aqil bin Yahya (1333H): Thabat.

78. Al-Habib 'Alawi bin Saqqaf Al-Jufri: Thabat.

79. Syeikh Sayyid Ahmad bin Sulaiman Al-Arwadi: Al-‘Aqd Al-Farid fi Ma'rifah ‘Uluw Al-Asanid .
80. al-Habib bin Semait: An-Nasj wa Al-Khait li Ba'dhi Asanid Al-Allamah bin Semait

81. Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Budairi Al-Husaini al-Syami: Al-Jawahir Al-Ghawali fi Bayan Al-Asanid Al-'Awali .

82. Imam Muhammad ‘Ali al-Sanusi (m: 1276 H): Al-Manhal Al-Rawi al-Ra'if fi Asanid Al-'Ulum wa Usul al-Tara'if dan al-Syumus al-Syariqah.

83. Syeikh Ja’far bin Idris al-Kattani: (إعلام الأئمة الأعلام)

84. Syeikh Muhammad ‘Abdul Hayy Al-Kattani (m. 1382H): Minah Al-Minnah fi Silsilah Ba'dhi Kutubi al-Sunnah dan Fihris Al-Faharis wal-Athbat .

85. al-Hafiz Ahmad al-Ghumari (m. 1380H): (البحر العميق)


86. Syeikh ‘Abdullah al-Ghumari: (ارتشاف الرَّحيق من أسانيد عبد الله بن الصِّدِّيق)

87. Syeikh Salih bin Ahmad al-Arkani (m. 1418H): (فتح العلام في أسانيد الرجال وأثبات الأعلام)

88. al-Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas Al-Maliki: (العقود اللؤلؤية بالأسانيد العلوية )

89. Syeikh al-Sayyid Muhammad bin al-Sayyid ‘Alawi Al-Maliki: al-Tali‘ As-Sa'id dan Al-'Aqd Al-Farid .

90. Syeikhuna al-Muhaddith al-‘Allamah Mahmud Sa'id Mamduh: Fathul Aziz fi Asanid As-Sayyid Abdul Aziz (فتح العزيز بأسانيد السيد عبد العزيز), (إعلام القاصي والداني ببعض ماعلا من أسانيد الفاداني) dan (تشنيف الأسماع بشيوخ الإجازة والسماع).

Ini hanyalah sekelumit daripada sekian banyak kitab-kitab sanad yang disusun oleh ulama-ulama Ahlus-Sunnah. Jika diamati keseluruhan mereka adalah sama ada dari aliran Asya’irah atau Maturidiyyah, serta dari kalangan ahli-ahli sufi. Merekalah sebenarnya penjaga-penjaga sanad ummah ini.

Apabila para "muhaddith jadian" atau golongan salafiyyah-wahhabiyyah melihat pemegang-pemegang sanad tersebut kesemuanya adalah berakidah Asya'irah-Maturidiyyah, ataupun ahli-ahli sufi, mereka tidak mahu berguru kepada mereka. Maka dari sini dapatlah kita fahami rahsia mengapa ramai daripada mereka tidak mahu meriwayatkan sanad-sanad yang dianggap oleh mereka penuh dengan perawi-perawi bidaah, atau dengan alasan banyak perawi-perawi daif atau majhul!.. Mereka khuatir nanti orang akan terpengaruh dengan tokoh-tokoh tersebut. Lalu ada yang menganggap sanad bukan lagi sebagai untuk tabarruk, tetapi hanyalah untuk zikra (kenangan) semata-mata! Turut mendukacitakan, ada setengah mereka yang memandang rendah dan memperlekehkan pengajian-pengajian secara bersanad. Alasan paling kuat mereka kononnya kitab-kitab sekarang sudah dicetak dan tersebar dengan luas yang merupakan satu jaminan terpelihara daripada berlaku penyelewengan terhadap kitab-kitab tersebut. Maka ramailah di kalangan mereka yang hanya bergurukan kitab-kitab sahaja, bukan lagi guru-guru yang menjadi tradisi pengajian dan periwayatan sejak sekian lamanya (لا حول ولا قوة إلا بالله).

Saya berpendapat, inilah kesan negatif paling besar dari sistem pendidikan penjajah, yang berentetan di bawahnya berbagai kesan-kesan lain seperti kebejatan intelektual, kerendahan moral, adab dan juga akhlak (فاقد الشيء لا يعطيه). Sejarah telah membuktikan banyak pemikiran-pemikiran yang batil datang daripada mereka yang hanya mengambil ilmu daripada kitab semata-mata.

Wallahu a’lam.


* Maklumat sanad atau muat-turun kitab sanad di laman forum dan blog (Arab):

1. azahera.net

2. rayaheen.net

3. blog isnaduna


Sumber :Http://Sawanih/Blogspot.Com