CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Jumaat, 22 Ogos 2014

Hukum Tafakkur dan Berkabung

Jawapan fatwa Malaysia :

Sumber : https://www.facebook.com/fatwamalaysia/posts/636952976402517

ISU:
Saya ingin bertanya tentang isu tafakkur dan berkabung. Adakah dalam Islam ada amalan tafakkur sebagai tanda kedukaan atas kematian sepertimana dalam ke MH17. Begitu juga tentang amalan berkabung. Dalam Islam apa yang sepatutnya dilakukan. Mohon penjelasan. Terima kasih.

PENJELASAN:

Faham bertafakkur dalam Islam tidaklah sama dengan apa yang dilakukan sekarang ini yang dipanggil ‘moment of silence’ (tunduk selama beberapa minit) bagi menghormati orang yang mati. Tafakkur membawa makna “kegiatan hati untuk memahami makna setiap perkara bagi mencapai apa yang dihajati. Tafakkur juga merupakan pancaran hati yang dengannya kebaikan, keburukan, manfaat dan kemudaratan akan menjadi jelas (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, ms.77)

Namun perbuatan tunduk selama beberapa minit (moment of silence) bagi menghormati orang yang mati tidaklah bertentangan dengan syarak kerana ia sekadar tanda penghormatan yang bersifat universal dan tidak melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan keagamaan agama lain. Penekanan dalam perbuatan 'moment of silence' lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia.

Namun sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak.
Asas terhadap keharusan tersebut boleh diambil dari perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda atas dasar kemanusiaan. Begitu juga dengan kisah seorang Sahabat Nabi bernama Qays Ibn Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam ahl Zimmah, vol.2 ms. 434).

Walaupun apa yang dilakukan oleh Nabi dan Qays, tidaklah benar-benar sama dengan perbuatan 'moment of silence', namun kedua-dua perbuatan tersebut memberi isyarat bahawa tidak salah untuk menghormati orang yang meninggal melalui perbuatan yang tidak bertentangan dengan syariah, termasuk bukan Islam. Islam sendiri menggalakkan kita mengambil iktibar dari kematian. Namun yang terbaik untuk dilakukan bagi menghormati orang Islam yang meninggal dunia ialah dengan mendoakan mereka dan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an.

Sementara perbuatan berkabung bagi menunjukkan tanda dukacita kepada orang yang meninggal dunia seperti mengibarkan bendera separuh tiang dan memakai pakaian berwarna serba hitam atau suram adalah dibenarkan selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur atau ritual keagamaan agama bukan Islam yang bertentangan dengan syarak.

Dalam perbahasan para ulama amalan berkabung banyak merujuk secara khusus kepada apa yang dilakukan oleh seorang wanita yang kehilangan suami. Istilah yang digunakan ialah al-ihdad/al-hadad yang bermaksud menahan diri daripada berhias.

Menurut istilah pula, perkabungan memberi erti meninggalkan perbuatan memakai haruman, perhiasan, celak, minyak, sama ada yang harum ataupun tidak, iaitu yang khusus bagi tubuh. Namun ia boleh dikiaskan kepada konteks yang lebih besar termasuk dalam konteks masyarakat dan Negara seperti dalam kes MH17. Maka keputusan untuk menetapkan beberapa hari untuk tujuan berkabung adalah termasuk dalam perkara yang harus.

Malah dalam hal memakai pakaian berwarna hitam, terdapat perbahasan yang mengatakan bahawa Keempat-empat mazhab mengharuskan (iaitu dalam konteks wanita kematian suami) untuk memakai pakaian berwarna hitam. (Wahbah al-Zuhayli, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jild 7. 662

Wallahu a'lam.

Jawapan Dr Mohd Farid Mohd Shahran :

Isu berkabung dan tafakkur. Tiada nas yang boleh sabitkan haram. Hatta berkabung pakai hitam untuk dikatakan sbagai tasyabbuh pun tidak tepat sebab kata Dr Wahbah Az Zuhaili menyatakan 4 mazhab setuju wanita berkabung digalakkan pakai hitam. Qiyaslah.

Jawapan Ustaz Ayman Al Akiti : 

Fatwa Bahtsul Masa'il fmmp NU tahun 2008 pun memutuskan berkabung dengan trend yang ada sekarang ini tiada masalah. Bahkan mazhab Hanafi mensunatkan pakaian hitam. Masalah tasyabbuh bil kuffar pun ada batas-batasnya, selagi tidak redha kufur tiada masalah. Dalam Durr al Muhtar, ada sebut yang nabis endiri pernah pakai selipar rahib-rahib yahudi di Madinah. Sebab itu Ibn Hajar membahagikan pembahagian tasyabbuh kepada tafashil.

Jawapan Prof Madya Dr Asmadi Mohamed Naim :

Isu Berkabung

Kalau mengikut pandangan mereka yg mentafsirkan bahawa apa-apa yang Nabi SAW tidak buat, sesat dan masuk neraka, maka 'Berkabung Negara' akan termasuk dalam perkara yang bid'ah yang sesat.

Kalau kita mentafsirkannya berdasarkan bagaimana ulama-ulama Ahlussunnah yang melihat sesuatu itu berdasarkan 5 hukum, dan hukum kias, mereka berpegang bahawa sesuatu yang Nabi SAW buat boleh diklasifikasikan perkara yang wajib dan mustahab dan harus.

Dalam ertikata, ada yang kita mesti ikut Nabi, iaitu perkara wajib, kalau tak buat tak sah sesuatu itu. Pada kedudukan tersebut, haram meninggalkan perbuatan tersebut jika dilakukan dengan sengaja.

Manakala perkara mustahab atau sunat ialah perbuatan yang berpahala kalau diikut, tapi tak berdosa kalau tidak lakukan. Kalu melakukan secara bertentangan, termasuk 'mukhalafah al-sunnah', maka hukumnya makruh.

Manakala perkara harus, tiada dalil menyuruh, dan tiada juga dalil pula melarang dan mengharamkannya. Sebab tiadanya dalil bukan melambangkan haram sesuatu perkara itu. Untuk haramkan perlu kepada dalil.

Jadi, bila berkabung sudah menjadi 'adat' yang diterima bagi semua negara, maka perlaksanaannya itu yang perlu diperhatikan dengan asas-asas berikut:

1. Tidak mengamalkan amalan agama lain.
2. Tidak berupa tasyabbuh kepada amalan agama.

Oleh itu;

I. amalan bendera separuh tiang adalah harus sebab bukan amalan agama. Tetapi adat semasa sesuatu negara menunjukkan kesedihan.

Ii. Manakala tafakur di dalam Islam dibenarkan untuk mengingati kebesaran Allah dan pengajaran sesuatu peristiwa. Tapi tafakur yang dianjurkan, saya syorkan gantikan dengan bacaan al-fatihah dan sedekahkan kpd si mati.

Iii. Pakai baju gelap, dalam kes isteri kematian suami, digalakkan pakai baju gelap. Dalam konteks negara kita, pakai hitam bukan budaya kita berkabung, tetapi budaya majlis berkabung raja-raja Melayu yang sudah diterima.

Apapun maksud umum berkabung, makruh memanjangkan tempoh berkabung. Sebab itu, sunnahnya ucapan takziah sekitar 3 hari selepas kematian, kecuali kalau seseorang bermusafir. Jadi, meletakkan sehari sahaja hari berkabung sudah memadai memandangkan peristiwa ini sudah lama berlaku.

Wallahu ta'ala a'lam.

Sumber : https://www.facebook.com/asmadi.mohamednaim/posts/711158358951891

Jawapan Dr Luqman : 

Isu berkabung bagi saya tidak lebih dari adat istiadat. Selama mana tiada tasyabbuh dengan kafir adalah harus. Jika melawani apa-apa sunnah yang hukumnya sunat, jatuh jadi makruh, sebagaimana juga adat istiadat yang biasa dilakukan di istana dan sebagainya.

Jawapan Ustaz Salman al Maskuri : 

Rujuk :  http://darulilmi.org/2014/08/22/hukum-diam-bertafakur-sebentar-utk-menghormati-jenazah/

Harus selagi mana tidak ada ritual keagamaan.

Antara hujjah mereka:

Islam menggalakkan ketika berdiri kepada orang yang mulia yg datang:
قوموا إلى سيدكم

“ Berdirilah untuk pemimpin kamu”

Hadis sahih Bukhari.

Berdiri sebentar untk kematian juga adalah tanda menghormatinya.

Nabi saw berdiri utk jenazah:
مرت به جنازة فقام فقيل له إنها جنازة يهودي فقال أليست نفسا

“ Lalu satu jenazah pada Nabi saw lalu Nabi saw berdiri. Kemudian dikatakan “ itu jenazah yahudi.” Nabi saw menjawab “ bukankah ia satu jiwa (perlu dihormati).”

Hadis sahih Bukhari.

Hadis ini menunjukkan berdiri menghormati mayat adalah dituntut.

Adapun berkenaan larangan meniru orang kafir ialah tidak semua perkara yang dari orang kafir itu dilarang.

Ibnu Najim alhanafi berkata dalam kitab البحر الرائق شرح كنز الدقائق

“اعلم أن التشبيه بأهل الكتاب لا يكره في كل شيء وإنا نأكل ونشرب كما يفعلون إنما الحرام هو التشبه فيما كان مذموما وفيما يقصد به التشبيه



“ Ketahuilah sesungguhnya menyerupai ahli kitab bukanlah dilarang pada semua perkara. Sesungguhnya kita makan, minum seperti mereka. Perkara yang haram ialah menyerupai perkara yang tercela dlm Islam dan dengan niat untuk meniru mereka.”

Contohnya ialah makan pakai sudu, pakai tali leher, selagi mana ia tidak dicela dan tidak niat tiru maka ia diharuskan.

(Fatwa ulama kerajaan Mesir).

Wallahua'lam bissowab.

Tiada ulasan: