CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Isnin, 7 Oktober 2013

Adakah Dibolehkan Berhias Dengan Menyambung Rambut ?



Oleh : Mufti Brunei

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sudah menjadi fitrah perempuan suka berhias dan bergaya agar berpenampilan cantik dan anggun. Ada yang sanggup berbelanja besar demi untuk mendapatkan barang kecantikan dan perhiasan yang berkualiti. Aksesori untuk berhias pula semakin hari semakin banyak muncul di pasaran. Antara aksesori yang kini semakin mendapat perhatian perempuan ialah aksesori menyambung rambut.

Persoalannya, adakah perbuatan menyambung rambut ini diharuskan oleh syara‘ ataupun sebaliknya.

Terdapat tiga cara menyambung rambut yang dikenalpasti:

1. Menyambung dengan menggunakan rambut manusia
2. Menyambung dengan menggunakan bulu binatang
3. Menyambung dengan menggunakan sesuatu selain daripada rambut manusia dan bulu binatang.

Perbuatan menyambung rambut ini sebenarnya telah wujud sejak zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sehinggakan Baginda ada melarang perbuatan tersebut sebagaimana disebutkan dalam hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: “Sesungguhnya ada seorang perempuan dari golongan Anshar, dia telah berkahwin. Dan dia sebenarnya sakit, lalu luruh rambutnya (kerana penyakit itu). Mereka (keluarganya) hendak menyambung rambutny. Mereka pun bertanya hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka Baginda
berkata: “Allah melaknat orang yang menyambungkan rambut dan orang yang meminta disambungkan rambut.” 

(Hadits riwayat al-Bukhari)

Hadits ini menjelaskan bahawa perbuatan menyambung rambut itu adalah haram, malah Allah Subhanahu wa Ta‘ala melaknat orang yang menyambungkan rambut dan orang yang meminta disambungkan dan perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar.

Untuk lebih jelas dihuraikan cara atau keadaan menyambung rambut yang diharamkan atau diharuskan oleh syara ‘.

Pertama: Hukum menyambung rambut dengan menggunakan rambut manusia

Haram seorang perempuan menyambung rambutnya dengan rambut manusia, sama ada rambut kepunyaan perempuan itu atau lelaki dan sama ada rambut mahram perempuan tersebut, suaminya atau orang lain.

Ini berdasarkan kepada umum hadits yang disebutkan sebelum ini yang melarang perbuatan menyambung rambut.

Selain daripada larangan yang terkandung dalam hadits, perbuatan menyambung rambut dengan rambut manusia diharamkan kerana mengambil manfaat daripada bahagian tubuh manusia adalah haram disebabkan kemuliaan manusia itu. Mana-mana bahagian dari tubuh manusia amat dimuliakan sehinggakan kuku, rambut
dan apa sahaja bahagian dari tubuh manusia ditanam jika bercerai dari tubuhnya.

Dalam kitab al-Majmu‘, Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa:

Ertinya: “Jika seorang perempuan menyambungkan rambutnya dengan rambut manusia lain, maka perbuatannya itu adalah haram tanpa ada khilaf (perselisihan pendapat), sama ada rambut itu kepunyaan lelaki atau perempuan, dan juga sama ada rambut itu kepunyaan mahramnya atau suaminya atau selain keduanya.”

Kedua: Menyambung rambut dengan menggunakan rambutbinatang

Rambut binatang terbahagi kepada dua jenis:

a) Bulu yang najis, iaitu bulu yang diambil daripada bangkai binatang (sama ada binatang yang tidak halal dimakan atau binatang yang halal dimakan, tetapi mati kerana tidak disembelih) atau rambut yang diambil daripada binatang yang tidak halal dimakan dagingnya apabila bulu itu terpisah ketika ia masih hidup.

b) Bulu yang suci, iaitu bulu yang diambil daripada binatang yang halal dimakan sama ada ia diambil ketika binatang itu masih hidup atau mati kerana disembelih.

A) Hukum menyambung rambut dengan bulu binatang yang najis

Haram hukumnya seorang perempuan menyambung rambutnya dengan bulu binatang yang najis. Ia termasuk dalam umum hadits yang melarang perbuatan menyambung rambut. Begitu juga menyambung rambut dengan rambut binatang yang najis. Ini kerana dia menggunakan suatu zat yang najis pada tubuh badan dan kerana dia menanggung najis ketika dalam sembahyang dan di luar sembahyang secara senghaja.

B) Hukum menyambung rambut dengan bulu binatang yang suci

Perempuan yang belum berkahwin dan perempuan yang sudah berkahwin tetapi tidak mendapat keizinan suaminya adalah haram menyambung rambut mereka dengan bulu binatang yang suci. Ini berdasarkan kepada umum hadits yang melarang perbuatan menyambung rambut.

Manakala bagi perempuan yang sudah berkahwin dan mendapat keizinan suaminya, menurut pendapat yang ashah, harus dia menyambung rambutnya dengan bulu binatang yang suci.

Keharusan isteri menyambung rambutnya dengan bulu binatang yang suci adalah dengan keizinan suami dengan niat berhias-hias untuk suaminya.

Ketiga: Menyambung rambut dengan benang, perca atau tali sutera

Hukum menyambung rambut dengan benang, perca, tali sutera dan yang seumpamanya adalah diharuskan dan tidaklah dilarang jika tidak menyerupai dengan rambut manusia.

Adapun penggunaan benda-benda selain daripada rambut manusia atau bulu binatang untuk dijadikan sebagai pengikat rambutseperti memakai sulaman benang sutera yang beraneka warna atau selainnya seperti perca kain ataupun tali pengikat yang tidak menyerupai rambut adalah diharuskan.

Berdasarkan yang sedemikian, jika penyambung rambut berupa benang atau tali sutera atau pengikat rambut tersebut menyerupai rambut, maka ini tidaklah dibolehkan kecuali bagi isteri dengan keizinan suami.

Oleh yang demikian jelas bahawa maksud larangan dalam haditshadits tersebut adalah penyambungan rambut dengan apa-apa jenis rambut manusia atau rambut/bulu binatang yang ditegah sama ada banyak atau sedikit. Penggunaan getah untuk mengikat rambut atau perhiasaan untuk menghias rambut tidaklah dilarang kerana bukanlah bertujuan meyambung rambut.

Berdasarkan penjelasan di atas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa adanya larangan perbuatan menyambung rambut dengan rambut manusia secara mutlak dan rambut atau bulu binatang najis. Manakala jika sambungan itu diperbuat daripada bulu binatang yang suci, maka penyambungan itu hanya dibenarkan bagi perempuan yang sudah berkahwin dan ada keizinan daripada suaminya. Jika disambung dengan benang sutera atau perca, maka ia adalah diharuskan.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2013/12%20Jun%202013.pdf

Tiada ulasan: