CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Khamis, 4 Oktober 2012

Hukum Beramal dan Membaca Zikir Dan Selawat Yang Tidak Ma'tsur




Zikir dan Selawat Tidak Ma'tsur

Oleh : Ustaz Ayman Akiti

Fahamilah, bahawa sesungguhnya zikir yang tidak warid atau juga dikenal dengan zikir tidak ma'tsur bukan berarti sesat atau tidak boleh diamalkan. Selagi ia memiliki makna yang baik, seperti memuji Allah dan Rasul-Nya, dan makna-makna yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ia diperkenan dalam Islam secara sepakat ulama. Ini tersebut di dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah: " الذكر بغير المأثور : في الأذكار المطلقة : يجوز في الأذكار المطلقة الإتيان بما هو صحيح في نفسه مما يتضمن الثناء على الله تعالى ولا يستلزم نقصا بوجه من الوجوه , وإن لم تكن تلك الصيغة مأثورة عن النبي صلى الله عليه وسلم . وهذا في الذكر المطلق موضع اتفاق ".

Juga dinukil dari Imam Nawawi RH: " أوراد المشايخ وأحزابهم لا بأس بالاشتغال بها" (Adapun wirid-wirid para guru dan hizib-hizib mereka adalah tidak apa-apa untuk beramal dengannya).

Walau bagaimanapun, ketika ditanya manakah yang lebih afdhal? Maka memang jawapannya adalah zikir yang warid @ ma'tsur. Seperti kata-kata Imam Nawawi RH: " الخير والفضل إنما هو في اتباع المأثور في الكتاب والسنة وفيهما ما يكفي في سائر الأوقات , وجرى على ذلك أصحابنا". Akan tetapi, kata-kata Imam Nawawi ini bukan berarti kita harus menyuruh orang untuk menjauhi zikir-zikir yang tidak warid. Ini disebabkan, terbukti Imam Nawawi sendiri menyusun hizib khusus bagi dirinya dan wirid beliau ini telah diijazahkan turun-temurun sampai kepada kita sekarang dengan sanad yang muttasil dan sahih (Rujuk Syawariq al-Anwar, karangan Syaikh Muhammad Bin Alawi al-Maliki dan kitab Tsabat Syaikh Yasin al-Fadani al-Makki).

Isu yang lain pula, apakah membaca selawat dan pujian kepada Nabi Muhammad SAW yang juga tidak warid itu berarti sesat? Dan lebih-lebih lagi ketika kejahilan yang menghalang untuk mengetahui maknanya lalu sebelum kaji selidik langsung ber-su'u zann akan kebatilan amalan ini? Semoga Allah menunjukkan orang-orang yang tertutup hatinya kepada jalan yang penuh Nur Muhammad SAW.

Ingatlah, berselawat kepada Nabi kita adalah disyariatkan dalam Islam, sama ada berbentuk kalam nasar maupun kalam syair. Rasulullah SAW bersabda: " فوالذي نفسي بيده لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده " (Riwayat Bukhari).

Buktinya lagi, tersabit dalam hadis yang dikumpulkan oleh Imam al-Turmizi di dalam al-Syamail al-Muhammadiyyah:
" حدثنا إسحق بن منصور أخبرنا عبد الرزاق أخبرنا جعفر بن سليمان حدثنا ثابت عن أنس أن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة في عمرة القضاء وعبد الله بن رواحة بين يديه يمشي وهو يقول: خلوا بني الكفار عن سبيله * اليوم نضربكم على تنزيله * ضربا يزيل الهام عن مقيله * ويذهل الخليل عن خليله. فقال له عمر يا ابن رواحة بين يدي رسول الله صلى الله عليه وسلم وفي حرم الله تقول الشعر فقال له النبي صلى الله عليه وسلم خل عنه يا عمر فلهي أسرع فيهم من نضح النبل ".
(Ta'liq Imam Turmizi bagi hadis ini adalah Hasan Sahih). Hadis ini memuat kisah bagaimana sahabat memuji Nabi dengan Syair di mana Nabi tidak melarangnya. Belum lagi banyak hadis sahih atau hasan lainnya yang terdapat di dalam al-Syamail Imam Turmizi.

Menurut Imam Bajuri dalam Syarah al-Syamail P. 402: "Diambil kesimpulan dari hadis ini bahwa dibenarkannya malah disunahkan mendendangkan syair dan mendengarnya jika dalam syair tersebut ada pujian Islam dan mengajak kepada pertemuan yang baik dan penyerahan diri kepada Allah SWT".

Juga riwayat dari Sayyidah Aisyah bahwa Rasulullah SAW membuat minbar di masjid untuk Hassan bin Tsabit untuk memuji Rasulullah SAW. (Riwayat Turmizi dalam al-Syamail).

Maka dari sini, perlu saya nukilkan pendapat Mufti Mesir Ali Jum'ah Hafizahullah bahwa qasidah-qasidah yang mengandung syair-syair madih atau pujian kepada Nabi Muhammad SAW adalah tidak lain merupakan suatu karangan ulama yang bersumberkan kepada al-Quran, al-Sunnah, kitab-kitab Sirah yang muktamad seperti Sirah Ibn Hisham, Sirah Ibn Hibban, al-Wafa' oleh Abdurrahman al-Jauzi, al-Syifa' Qadhi Iyadl, dan lainnya. (al-Ajwibah al-Sadidah, p. 123).

Lalu dari manakah kita nak mudah-mudah menyesat orang yang melakukan wirid-wirid seperti selawat Ibn Masyisy al-Maghribi, Hizib Imam Nawawi, Burdah, Diba'I, Ratib Hadad, Dalail al-Khairat dan lain-lain?  Kalau memang tidak suka, janganlah kita mudah-mudah mengutuk amalan seperti ini seperti menuduh ia tidak warid atau ia tidak ada sumber dari al-Quran dan Sunnah. Ini disebabkan mungkin ia bersumber dari dalil yang umum yang kita tidak mengetahuinya. Atau paling tidak, ia berada dalam dimensi khilaf ulama yang sewajibnya kita bertoleransi dengan berpegang pada kaedah "لا ينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه". Juga diingatkan oleh Imam al-Haramayn: "إذا لم يستيقن حظر في شيء من الشارع فلا يثبت فيه تحريم" (Apabila tidak dapat dipastikan dengan yakin larangan terhadap sesuatu perkara melalui ketentuan pembuat syarak, maka tidak boleh disabitkan pengharamannya).

Oleh itu, berbicara biarlah berilmu, bukan buruk sangka. Kalau tidak tahu sebaiknya diam. Berpeganglah pada sabda Nabi Muhammad SAW: " من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه ". (Sebaik-baik Islamnya seseorang adalah dia meninggalkan apa yang tidak penting baginya)
Sumber : http://akitiano.blogspot.com/2012/10/zikir-dan-selawat-tidak-matsur.html

Tiada ulasan: