CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 9 Februari 2011

Kekeliruan Yang Dipasarkan

Oleh : Dr Yusri Mohamad

Kekeliruan Yang di Pasarkan


Kita sentiasa menegaskan bahawa antara cabaran utama umat Islam di zaman ini adalah untuk memperbetulkan kefahaman agama mereka. Fikrah-fikrah yang mengelirukan boleh muncul di mana-mana sahaja. Para penerbit buku agama misalnya, ada yang bersifat terlalu komersial sehingga tidak berhati-hati memilih dan menapis bahan-bahan yang hendak dicetak dan disebarkan dalam pasaran. Baru semalam kami terjumpa di rak agama sebuah kedai buku beberapa buku kecil berkaitan isu-isu agama yang bertemakan beramal ‘menurut cara Nabi SAW’. Seperti yang dijangkakan, buku-buku ini turut mengandungi fikrah beracun iaitu membid`ahkan sesetengah amalan seperti zikir dan selawat yang sebenarnya menurut sebahagian besar ulama Islam tidak bercanggah malah selari dengan perlembagaan al-Quran dan al-Sunnah.

Yang menariknya, bersebelahan dengan buku-buku ini, kami turut menemukan sebuah buku terjemahan karangan al-Marhum Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmud, mantan Syeikhul Azhar berkenaan dengan galakan berzikir yang diterbitkan oleh penerbit yang sama. Dalam buku ini terdapat galakan untuk mengamalkan zikir dan selawat yang telah dibid`ahkan oleh buku-buku yang sebelumnya. Maka apakah nasib yang bakal menimpa orang-orang awam yang dengan jujur mahu menambah sedikit kefahaman agama mereka dengan membeli buku-buku ini? Jika mereka tersalah pilih, bukankah mereka terdedah kepada kekeliruan dan fahaman yang salah yang akan menjauhkan lagi mereka daripada ajaran Islam yang benar?

Malangnya, buku-buku ini diterbitkan oleh sebuah penerbit yang sangat aktif menerbitkan buku-buku agama bagi masyarakat awam. Oleh kerana itu, buku-buku ini akan memasuki pasaran secara meluas dan akan mudah diperolehi. Sepatutnya, penerbit-penerbit besar buku-buku agama harus lebih berhati-hati dalam menjalankan perniagaan. Usaha menerbitkan bahan-bahan agama adalah suatu usaha yang mulia tetapi ia turut datang dengan amanah dan tanggungjawab yang besar di hadapan Allah SWT. Mereka tidak boleh lewa dan cuai dalam memilih bahan-bahan agama yang hendak dilambakkan dalam pasaran. Sebahagian masyarakat awam Islam pula mengambil jalan mudah dengan hanya mengambil ilmu agama mereka daripada buku-buku dan bahan agama popular yang ada di pasaran tanpa merujuk kepada guru-guru yang boleh dipercayai. Ini adalah resepi-resepi yang boleh menyebabkan tersebarnya lebih banyak kekeliruan dan salah-faham agama di tengah masyarakat. Semoga Allah SWT menjauhkan dan memelihara kita daripadanya.

Atas kesedaran bahawa masyarakat awam cenderung untuk memilih yang mudah dan ringkas, kami di Yayasan Sofa berusaha dalam ruangan ini untuk mempersembahkan perbahasan dalam buku-buku yang lebih ilmiyah dalam bentuk yang lebih ringkas dan mudah. Begitu juga dalam penerbitan buku-buku dan bahan rujukan agama lain yang kami terbitkan yang belum mampu kami cetak dan pasarkan secara besar-besaran. Pun begitu, masyarakat Islam sepatutnya disedarkan bahawa mereka tidak boleh terus-menerus bersikap bermudah dan bermalasan dalam menimba kefahaman agama mereka. Dalam membentuk kefahaman dan penghayatan Islam yang sahih sebenarnya tidak ada jalan pintas dan mudah. Resepi utamanya adalah dengan berguru dengan guru-guru yang benar-benar diperakui oleh para ulama dan boleh dipercayai keilmuan dan penghayatan agama mereka. Cara ini menuntut mujahadah dan pengorbanan yang bukan sedikit tetapi akan lebih menjanjikan pembukaan ilmu dan makrifah yang sebenar selari dengan firman Allah SWT di akhir surah al-Ankabut yang bermaksud,
“Dan mereka yang berjihad pada jalan kami nescaya akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap bersama para Muhsinin”.
(ayat 69)

Bertawassul dengan Athar para Anbiya’ AS

Setelah mengambil peringatan di atas, marilah kita sambung semula siri sedutan kita daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Di Perbetulkan). Satu usaha kami untuk memudahkan masyarakat mendekati kitab yang sangat penting dan bernilai ini. Kita masih dalam perbahasan mengenai dalil-dalil yang membolehkan bertawassul. Dalil yang seterusnya ialah ayat al-Quran yang merujuk kepada tawassul umat-umat terdahulu dengan athar (kesan peninggalan) nabi-nabi mereka.

“Dan nabi mereka mengatakan kepada mereka:
Sesungguhnya tanda dia akan menjadi raja, ialah kembalinya Tabut kepadamu; di dalamnya terdapat ketenangan daripada TuhanMu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; Tabut itu dibawa oleh Malaikat. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang beriman.”
(Al-Baqarah: 248)

Al Hafiz Ibnu Kathir menyebut di dalam Al-Bidayah wa al-Nihayah: Ibnu Jarir berkata tentang Tabut (peti) dalam ayat di atas:
“Kaum Talut apabila memerangi seseorang musuh, mereka akan membawa bersama mereka Tabut al-Mithaq (Peti Perjanjian) yang terdapat di Qubah Zaman sebagaimana yang telah disebutkan. Maka mereka mendapat kemenangan dengan keberkatannya, dengan ketenangan yang dijadikan oleh Allah di dalamnya dan juga sisa-sisa yang ditinggalkan oleh keluarga Musa AS dan Harun AS. Tetapi dalam beberapa peperangan menentang penduduk Ghazzah (sebuah kota di Palestin) dan ‘Asqalan mereka telah mendapat kekalahan dan dikuasai untuk mengambil tabut tersebut, maka Tabut itu pun dapat dirampas dari tangan mereka.”
(jilid 2, h.5)

Manakala Ibnu Kathir berkata:
Mereka telah berjaya mendapat kemenangan disebabkan Tabut tersebut. Di dalam Tabut itu, terdapat sebuah kendi daripada emas yang pernah digunakan untuk membersihkan dada para Nabi AS.
(jilid 2, h.8)

Ibnu Kathir juga menyatakan di dalam Tafsirnya:
Di dalam Tabut itu juga terdapat tongkat Nabi Musa AS, tongkat Nabi Harun AS, dua keping luh daripada Taurat dan pakaian Nabi Harun . Sebahagian daripada mereka mengatakan, terdapat di dalamnya sebatang tongkat dan dua capal.
(Jilid 1, h. 313)

Manakala al-Qurtubi dalam Tafsirnya pula berkata:
Perihal Tabut itu, sebagaimana yang telah disebutkan, ialah asalnya diturunkan oleh Allah kepada Nabi Adam . Tabut itu ada bersamanya hinggalah ia beralih kepada Nabi Ya’qub AS. Ketika Tabut itu dimiliki oleh Bani Israil, mereka menggunakan keberkatannya untuk mengalahkan musuh-musuh yang memerangi mereka. Namun, setelah mereka menderhaka, maka mereka dapat ditumpaskan oleh kaum ‘Amaliqah (orang-orang yang gagah perkasa) dan Tabut tersebut dirampas daripada mereka.
(Jilid 3, h.247)

Dengan terjadinya peristiwa ini, hakikat mereka mendapat kemenangan tidak lain dengan sebab bertawassul dengan barang-barang peninggalan para Nabi AS tersebut, kerana tiada makna dan manfaat mereka membawa Tabut itu bersama-sama mereka dalam peperangan melainkan untuk bertabarruk dengannya. Allah SWT redha dengan perbuatan (tawassul) mereka tersebut. Dalil atau buktinya, Allah mengembalikan Tabut itu kepada mereka dan menjadikannya sebagai alamat dan tanda kesahihan (kebenaran) kerajaan mereka dan Allah tidak mengingkari perbuatan mereka bertabarruk dengan Tabut itu.

Sumber : http://pena-yusri.blogspot.com/2011/02/kekeliruan-yang-di-pasarkan.html

2 ulasan:

haziq berkata...

salam..
boleh terangkan lebih dalam tentang Tabut??
banyak sumber2 dari internet berbahasa indonesia, agak sukar difahami.. terima kasih..

Admin berkata...

Assalamu'alaikum,

Cadangan dari kami : Tuan boleh merujuk ke blog sahabat kami iaitu Ustaz Abu Zulfikar al Amsyari di sini : http://myalexanderwathern.blogspot.com/

Ada diterangkan serba sedikit mengenai tabut. Dan boleh juga bertanya dengannya secara langsung melalui blog di atas. Jazakallah ^_^