CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Ahad, 5 September 2010

Hukum Mendoakan Bukan Islam Dalam KHUTBAH JUMAAT

Oleh: Dr. Asmadi Mohamed Naim


Pada mulanya saya tidak berminat mengulas isu ini. Saya hanya teringat, ketika pengajian saya di Jordan dulu, ada perdebatan mengenai keharusan mendoakan pemimpin Islam (Sultan, Presiden dan sebagainya yang beragama Islam). Tentunya perdebatan mengenai adakah ianya bid'ah atau tidak di antara aliran umum Ahlussunnah dan aliran Salafi tetapi bukan Wahhabi dalam ertikata mereka lebih mengikut pandangan Shaykh Ibn Taymiyyah Rahimahullah dan tidak merujuk kepada Shaykh Abdul al-Wahhab al-Najdi.

Saya juga menyedari bahawa isu ini telah dipolitikkan cukup hangat antara parti-parti politik samada UMNO mahupun PAS. Bila kita membelek surat khabar harian yang dilabelkan sebagai suratkhabar kerajaan seperti Utusan Malaysia dan sebagainya, ataupun portal berita PAS seperti Harakahdaily.net, pertentangan pendapat ini dengan mudah kita lalui.


Pertentangan ini juga berlaku di kalangan orang-orang agama seperti Sahibussamahah Dato' Harussani dan bekas Mufti Perlis Dr. Asri Zainal Abidin Saya tidak meneliti secara jelas apa yang diperkatakan oleh Mufti Perak apabila mengharamkan 'doa YAB Guan Eng masuk Islam atau doa kesejahteraan kepada bukan Islam' di dalam khutbah. Dalam masa yang sama saya membaca ulasan Dr Asri melalui postingnya di dalam lamannya yang dinukilkan oleh sahabat saya Ustaz Khairul Anwar al-Muqry dalam blognya.

Pada saya, dalam berdepan isu ini, kita sepatutnya memahami bahawa kita berdepan dua isu utama iaitu:

1. Mendoakan kesejahteraan bukan Islam secara umum iaitu di luar khutbah.

2. Mendoakan kesejahteraan bukan Islam di dalam khutbah.


Isu Pertama: Mendoakan kesejahteraan bukan Islam di luar khutbah.


Pada saya, tidak ada isu atau tidak ada khilaf (setakat yang saya ketahui) mengenai keharusan mendoakan kesejahteraan bukan Islam di luar khutbah. Ini dijelaskan oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW sendiri apabila mendoakan supaya Islam dikuatkan dengan masuknya antara Abu Jahal ataupun Umar al-Khattab. Bahkan apabila Nabi SAW diusir dan dan dipukul dalam dakwahnya sehingga berdarah, Nabi berdoa: Ya Allah, berilah hidayah kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.

Isu Kedua: Mendoakan kesejahteraan bukan Islam di dalam khutbah.

Manakala mendoakan kesejahteraan bukan Islam di dalam khutbah, perdebatan ulama dari dahulu hingga sekarang khususnya isu mendoakan Sultan yang muslim dan larangan 'mujazafah' iaitu memuji keadilan sultan atau pemimpin yang zalim dan sebagainya. Adakah amalan itu termasuk dalam sunnah cara berkhutbah iaitu mendoakan kesejahteraan Muslim? Tidak ada isu langsung mengenai doa kepada bukan Islam oleh ulama-ulma Islam sebab doa untuk khutbah dikhususkan kepada kesejahteraan Umat islam.


Kalau kita mengikut analisis aliran Salafi, banyak larangan ketika berkhutbah, antaranya makmum tidak boleh mengangkat tangan ketika berdoa kerana ianya bid'ah dan semua yang bid'ah adalah sesat. Larangan bid'ah ini adalah kerana tidak ada nas jelas makmum mengangkat tangan mengaminkan doa imam. Manakala sekiranya Imam mengangkat tangan berdoa, adalah tidak langsung dibenarkan bahkan haram dan bid'ah mengikut aliran Salafi. Ungkapan 'Sayyidina' pada Nabi Muhammad SAW ketika berkhutbah mungkin juga akan ditentang habis-habisan sebab tidak boleh membuat penambahan dalam ibadah.


Shaykh Al-Buti Hafizahullah dan Shaykh Mustafa al-Zarqa Rahimahullah apabila ditanya mengenai perbuatan mengangkat tangan oleh makmum ketika imam berdoa, mereka lebih suka 'membiarkan tanpa jawapan dengan berkata 'tidak sunnah Imam (bukan makmum) mengangkat tangan ketika berdoa'. Dalam ertikata, makmum mengangkat tangan ketika berdoa kembali kepada dalil umum yang lain mengenai mengangkat tangan meng'amin'kan imam berdoa. Tambahan lagi, tidak ada nas yang menunjukkan sahabat atau ulama melarang mengamimkan doa Imam ketika berkhutbah dengan mengangkat tangan. Dan amalan inilah yang diikuti oleh masyarakat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia.

Berbalik kepada isu mendoakan pemimpin Islam dalam khutbah, saya suka menukilkan penjelasan Imam al-Nawawi Rahimahullah (al-Majmuk, j4,h.521):


قال إمام الحرمين: أرى أنه يجب أن يكون الدعاء متعلقا بأمور الآخرة، وإنه لا بأس به بتخصيصه بالسامعين بأن يقول: رحمكم الله، وأما الدعاء للسلطان فاتفق أصحابنا على أنه لا يجب ولا يستحب، وظاهر كلام المصنف وغيره أنه بدعة، إما مكروه وإما خلاف الأولى، هذا إذا دعا له بعينه، فأما الدعاء لأئمة المسلمين وولاة أمورهم بالصلاح والإعانة على الحق والقيام بالعدل ونحو ذلك ولجيوش الإسلام، فمستحب بالاتفاق، والمختار أنه لا بأس بالدعاء للسلطان بعينه إذا لم يكن مجازفة في وصفه ونحوها والله أعلم. (المجموع للنووي، ج4، ص521)

Berkata Imam al-Haramain: Aku melihat bahawasanya wajib doa (ketika berkhutbah) itu berkait dengan perkara-perkara keakhiratan, dan tidak ada kesalahan menkhususkan kepada orang-orang yang mendengar dengan berkata: "Allah merahmati kamu". Manakala doa untuk Sultan, sepakat Sahabat-Sahabat kami bahawa tidak wajib dan tidak mustahab (tidak sunat). Zahir kata-kata pengarang dan ulama lain bahawasanya ia adalah 'bid'ah', samada makruh atau 'khilaf aula' iaitu sekiranya mengkhususkan sultan tertentu dalam doanya. Manakala doa untuk imam-imam Muslimim dan pemimpin-pemimpin Islam dengan kebaikan dan dibantu menegakkan haq dan mendirikan keadilan dan selainnya, dan untuk tentera-tentera Islam, maka ia adalah mustahab (sunat) secara ittifaq (persetujuan ulama). Pandangan yang terpilih )menurut Imam Nawawi): bahawasanya tidak apa mendoakan Sultan tertentu sekiranya bukan 'mengatakan sesuatu yang bukan sifatnya dan selainnya, Wallahu a'lam.

Dari penjelasan Imam Nawawi Rahimahullah di atas ada beberapa perkara iaitu:

1. Kewajipan doa itu berkait dengan perkara-perkara keakhiratan, dan pandangan ini tidak menafikan keharusan bahkan mustahab iaitu juga membenarkan doa yang memasukkan kesejahteraan muslimin di dunia ini beserta dengan doa ke arah perkara keakhiratan.

2. tidak ada kesalahan mengkhususkan kepada orang-orang yang mendengar dengan berkata: "Allah merahmati kamu". Justeru, Khatib boleh mendoakan kesejateraan masyarakat setempat.

3. Manakala doa untuk Sultan, sepakat Sahabat-Sahabat kami bahawa tidak wajib dan tidak mustahab (tidak sunat). Zahir kata-kata pengarang dan ulama lain bahawasanya ia adalah 'bid'ah', samada makruh atau 'khilaf aula' iaitu sekiranya mengkhususkan sultan tertentu dalam doanya.

Zahir ulama mengatakan bid'ah. Kalau mengikut aliran Salafi, semua bid'ah adalah sesat dan masuk ke neraka, wal'iyazubillah. Sebab itu perkara ini menjadi pertikaian di Timur Tengah dan saya lebih mudah memahami 'manhaj sahabat-sahabat Salafi saya di Timur Tengah, kerana mereka agak konsisten dengan manhaj ini. Namun, hujah-hujah Dr Asri dalam komen di blognya menjadikan saya melihat 'manhaj'nya agak 'berselerak'. Pertama, ulama sepakat mengatakan ia bid'ah dan bid'ah pada pandangan buku Dr Asri sendiri semuanya sesat. Lebih tidak konsisten, beliau menggunakan hujah-hujah umum keharusan berdoa kepada bukan Islam dan dalil syaz boleh bagi salam kepada bukan Islam, untuk mengharuskan berdoa kepada bukan Islam dalam khutbah.

4. Manakala doa untuk imam-imam Muslimim dan pemimpin-pemimpin Islam dengan kebaikan dan dibantu menegakkan haq dan mendirikan keadilan dan selainnya, dan untuk tentera-tentera Islam, maka ia adalah mustahab (sunat) secara ittifaq (persetujuan ulama). Saya kira, Khatib sepatutnya mengkhususkan doa ini di dalam khutbah kerana inilah sunnahnya dan amalan imam-imam ummah.

5. Pandangan yang terpilih (menurut Imam Nawawi): bahawasanya tidak apa mendoakan Sultan tertentu sekiranya bukan 'mengatakan sesuatu yang bukan sifatnya dan selainnya.

Sultan dalam sejarah Islam ialah Sultan yang muslim. Tidak ada riwayat setahu saya yang mengatakan berubahnya doa kepada doa kepada bukan Islam ketika pemerintahan Tartar atau ketika pemerintahan bukan Islam di India dan Sepanyol. Saya kira, kita tidak perlu mengubah doa khutbah tersebut kepada kesejahteraan bukan Islam di dalam khutbah sebagai satu lagi 'bid'ah' baru di dalam khutbah. Doakanlah mereka mereka mendapat hidayah di waktu-waktu lain. Kekalkanlah sunnah mendoakan ummah di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan mendoakan pemimpin-pemimpin Islam dengan kebaikan mengikut pandangan kebanyakan ulama.

Saya tidak berhasrat untuk menyebelahi Dato' Harussani mahupun Dr Asri. Namun masyarakat perlu diperjelaskan dengan kefahaman yang tepat mengenai perkara ini. Secara peribadi. saya akan terus menentang sebarang usaha menjadikan teks wajib mendoakan bukan Islam dalam teks-teks khutbah yang disebut oleh ulama sebagai satu 'bid'ah'. Pada saya, persoalan ini merentasi pegangan parti politik dan mimbar masjid sepatutnya tidak menjadi mangsa kepada perbezaan pandangan politik. Sekiranya khatib tersilap dalam praktiknya, tegurlah khatib tersebut dan jangan dipolitikkan isu ini.

Wallahu Ta'ala A'lam.

Sumber : Http://DrAsmadinet.Blogspot.Com

Tiada ulasan:

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Jom Menuntut Ilmu !

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan