CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Selasa, 11 Mei 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 2

Oleh : Ustaz Mukhlis

Kita juga boleh merujuk syarah Imam As-Sindi dalam perbahasan ini. Dalam hadith riwayat Sunan Ibn Majah, Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:


إِنَّ أُمَّتِي لَا تَجْتَمِعُ عَلَى ضَلَالَةٍ فَإِذَا رَأَيْتُمْ اخْتِلَافًا فَعَلَيْكُمْ ‏بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ ‏

Maksudnya:

Sesungguhnya umatku tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan, maka hendaklah kamu mengikut As-Sawad Al-A’zhom.
[Sunan Ibn Majah no: 3940]



Imam As-Sindi berkata dalam syarah hadith ini:



قَوْله ( بِالسَّوَادِ الْأَعْظَم ) ‏

أَيْ بِالْجَمَاعَةِ الْكَثِيرَة فَإِنَّ اِتِّفَاقهمْ أَقْرَب إِلَى الْإِجْمَاع قَالَ السُّيُوطِيُّ فِي تَفْسِير السَّوَاد الْأَعْظَم أَيْ جَمَاعَة النَّاس وَمُعْظَمهمْ الَّذِينَ يَجْتَمِعُونَ عَلَى سُلُوك الْمَنْهَج الْمُسْتَقِيم

Maksudnya:

“Sabda Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-: ((dengan As-Sawad Al-A’zhom))



Iaitu: Suatu jamaah yang ramai. Sesungguhnya, kesepakatan mereka (para ulama’ yang ramai tersebut) dekat dengan Ijma’. Imam As-Suyuti r.a. berkata pada tafsiran bagi As-Sawad Al-A’zhom iaitulah: Jamaah manusia yang mana kebanyakan mereka yang berhimpun dalam suatu jalan metodologi yang lurus (manhaj keilmuan yang benar). [Syarah Sunan Ibn Majah oleh Imam As-Sindi]

Ini menunjukkan bahawasanya As-Sawad Al-A’zhom adalah suatu jumlah bilangan yang ramai yang berpegang dengan manhaj yang sahih. Maka, boleh dikatakan, manhaj tersebut merujuk kepada sebuah aliran arus perdana yang dipegang oleh ramai orang. Sudah pasti, ramai orang tersebut merujuk kepada ahli ilmu atau para ulama’ yang menyusun, memegang dan menjaga manhaj yang lurus tersebut lalu diikuti oleh ramai masyarakat awam. Namun, ukurannya yang utama adalah para ramainya ahli ilmu dan para ulama’ yang berpegang kepada sesuatu manhaj keilmuan dan kefahaman terhadap agama.

Imam Ibn Al-Athir juga berkata dalam mensyarahkan perkataan As-Sawad Al-A’zhom dalam hadith tersebut:

وفيه [ عليكم بالسَّوادِ الأعْظَم ] أي جُمْلة النَّاس ومُعْظَمهم الذين يجتمعون على طاعة السُّلطان وسُلُوك النَّهج المُسْتقيم

Maksudnya:

“Dan yang dimaksudkan dengan ((Alaikum bi as-Sawadul A'zham)) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemimpin) dan berjalan di atas jalan yang benar (lurus).
[An-Nihayah Fi Ghoribil Hadis: 2/1029]


Menurut Imam Ibn Al-Athir juga, As-Sawad Al-A’zhom berkaitan dengan kebanyakan manusia yang berhimpun dalam pegangan manhaj yang lurus. Jadi, ia juga merujuk kepada sebuah aliran atau manhaj arus perdana atau mainstream yang dipegang oleh majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman.

Dalam institusi ulama’ Islam dan perkembangan bidang keilmuan Islam, konsep As-Sawad Al-A’zhom sangat jelas khususnya bagi merujuk kepada golongan yang berpegang teguh dengan manhaj sahih dalam berinteraksi dengan nas-nas agama dan golongan yang berada di atas landasan kebenaran sejak zaman berzaman.

Penjelasan terhadap Perkataan Imam Ibn Rahuyah

Ada sesetengah pihak mendakwa perkataan Ibn Rahuyah menolak konsep As-Sawad Al-A’zhom itu mengikut jumlah ramainya golongan. Mereka menukilkan perkataannya yang berkata:

Ishaq (bin Rahuyah) berkata (sebagaimana yang dibawakan oleh Imam asy-Syathibi):

لو سألت الجهال عن السواد الأعظم لقالوا: جماعة الناس ولا يعلمون أن الجماعة عالم متمسك بأثر النبي صلى الله عليه و سلم وطريقه فمن كان معه وتبعه فهو الجماعة

Maksudnya:

Jika kamu bertanya kepada orang-orang yang jahil berkenaan maksud as-Sawad Al-A’zhom, sudah tentu mereka akan menjawab: majoriti/himpunan manusia, dan sebenarnya mereka tidak mengetahui bahawa al-Jama’ah itu adalah seorang alim yang berpegang teguh kepada atsar (jejak/prinsip) Rasulullah -Shallallahu ‘alaihi wa Sallam- serta golongan yang sentiasa bersama beliau, dan mereka yang mengikutinya adalah al-Jama’ah.
[Al-I’thisham 3/300-315 pada masalah ke-17, cetakan Maktabah At-Tauhid]


Dalam perkataan Imam Ibn Rahuyah ini sedikit pun tidak mengingkari pendirian dan maksud bahawasanya As-Sawad Al-A’zhom adalah berkaitan dengan majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam kerana menurut Ibn Rahuyah, orang-orang jahil mengatakan bahawa As-Sawad Al-A’zhom adalah jemaah manusia secara umum. Sedangkan, apa yang kita tegaskan, bilangan yang ramai merujuk kepada jumlah ramainya para ulama’ yang berpegang dengan sesuatu manhaj, bukan merujuk kepada jumlah ramainya manusia termasuklah bilangan orang awam yang jahil.

Maka, lihatlah Imam Ibn Rahuyah menyebut setelah itu bahawasanya, Al-Jamaah adalah dengan mengikut seorang sahaja yang berilmu yang berpegang dengan Athar Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam, apatah lagi jika mereka mengikut majoriti ulama’ Islam yang berilmu dan berpegang dengan Athar Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam? Maka, jumlah ramainya para ulama’ yang berpegang dengan sesuatu manhaj itu juga adalah ukuran Al-Jama’ah yang lebih utama berbanding hanya satu dua individu yang terpinggir daripada majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman.

Hal ini sangat jelas berdasarkan perkataan Imam As-Syatibi sendiri yang menyebut setelah itu:

فانظر في حكايته تتبين غلط من ظن أن الجماعة هي جماعة الناس وإن لم يكن فيهم عالم وهو وهم العوام لا فهم العلماء فليثبت الموفق في هذه المزلة قدمه لئلا يضل عن سواء السبيل ولا توفيق إلا بالله

Maksudnya:

Maka lihatlah, dari sini kita dapat mengetahui kesalahan orang yang menyangka bahawa Al-Jama’ah itu adalah kelompok (atau majoriti) manusia, walaupun tidak terdapat seorang alim pun dalam kelompok mereka. Ia hanyalah prasangka orang-orang awam, bukannya kefahaman para ulama. Dari itu, kita perlulah memperteguhkan pendirian kita supaya tidak tergelincir sebagaimana mereka dan supaya tidak tersesat memasuki jalan yang buruk. Tiada taufiq untuk itu melainkan hanya dari Allah.
[Al-I’thisham 3/300-315 pada masalah ke-17, cetakan Maktabah At-Tauhid]


Lihatlah betapa Imam As-Syatibi mengatakan ukuran “majoriti” yang salah jika melihat dari sudut ramainya golongan “awam” yang tiada ulama’ dalam kalangan mereka. Sedangkan, “majoriti” yang ditegaskan oleh kita dan para ulama’ sebelum ini adalah “majoriti ulama’” Islam itu sendiri, yang memimpin majoriti umat Islam dalam bidang agama. Maka, jika majoriti atau ramai bilangan itu merujuk kepada para ulama’, lalu mereka diikuti oleh majoriti umat Islam, maka itu adalah suatu yang dipersetujui oleh Imam As-Syatibi sendiri dalam kitab Al-I’thisham tersebut.

Bagi pengkaji yang adil, dia boleh membaca ungkapan Imam As-Syatibi sebelum beliau meriwayatkan perkataan Ibn Rahuyah tersebut. Lebih adil dan teliti lagi, rujuklah kitab Al-I’tisham terus, bukan rujuk ringkasan (Mukhtasar Al-I’thisham) apa lagi versi terjemahan. Lihat sendiri dengan mata keilmuan di mana Imam As-Syathibi r.a. berkata:

وذلك أن الجميع اتفقوا على اعتبار أهل العلم والاجتهاد، وسواء ضموا إليهم العوام أم لا، فإن لم يُضَمُّوا إليهم فلا إشكال أن الاعتبار إنما هو بالسواد الأعظم من العلماء المعتبر اجتهادهم، فمن شذَّ عنهم فمات فميتته جاهلية، وإن ضموا إليهم العوام فبحكم التبع لأنهم غير عارفين بالشريعة، فلابد من رجوعهم في دينهم إلى العلماء فإنهم لو تمالؤا على مخالفة العلماء فيما حدُّوا لهم لكانوا هم الغالب، والسواد الأعظم في ظاهر الأمر، لقلة العلماء وكثرة الجهال، فلا يقول أحد: أنّ اتباع جماعة العوام هو المطلوب، وأن العلماء هم المفارقون للجماعة والمذمومون في الحديث، بل الأمر بالعكس، وإن العلماء هم السواد الأعظم وإن قلوا، والعوام هم المفارقون للجماعة إن خالفوا، فإن وافقوا فهو الواجب عليهم.

Maksudnya:

Sesungguhnya semua (kelima-lima perkataan tentang As-Sawad Al-A’zhom) sepakat bahawasanya yang diukur adalah Ahli Ilmu dan Ijtihad, samada ianya merangkumi golongan awam ataupun tidak. Jika tidak merangkumi orang-orang awam, maka tidak ada keraguan lagi bahawasanya ukuran As-Sawad Al-A’zhom adalah merujuk kepada para ulama’ yang diakui ijtihad mereka. Sesiapa yang terasing daripada mereka (para ulama’ muktabar), maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah. Jika dirangkumkan juga orang-orang awam (dalam mafhum As-Sawad Al-A’zhom), maka ia kerana hukum mengikut As-Sawad Al-A’zhom (iaitu, orang-orang awam mengikut majoriti para ulama’ yang muktabar tersebut). Ini kerana, mereka tidak mengetahui tentang syariah. Maka, hendaklah mereka (orang-orang awam) merujuk kepada para ulama’ dalam urusan agama mereka. Jika mereka (orang-orang awam) beramai-ramai ingin menyalahi ulama’ terhadap batasan yang telah mereka bataskan (dalam manhaj dan disiplin ilmu), maka nescaya merekalah yang menjadi golongan yang mendominasi, dan As-Sawad Al-A’zhom pada zahirnya, kerana kurangnya para ulama’ dan ramainya orang-orang jahil. Namun, tidak ada seorang pun berkata bahawasanya mengikut jamaah awam adalah yang dituntut (kerana mereka ramai) sedangkan para ulama’ pula terkeluar daripada jemaah dan dicela dalam hadith ini. Bahkan, apa yang betula dalah sebaliknya. Para ulama’ tetap As-Sawad Al-A’zhom walaupun sedikit (berbanding orang-orang awam) sedangkan orang-orang awam-lah yang keluar daripada jemaah jika mereka menyalahi para ulama’ (aliran arus perdana dalam kalangan ulama’). Jika mereka mengikut manhaj para ulama’, maka itulah kewajipan mereka.
[Al-I’thisham 3/300-315 pada masalah ke-17, cetakan Maktabah At-Tauhid]


Jelaslah di sisi Imam As-Syathibi sendiri, jika ukuran ramai itu merujuk kepada para ulama’, maka itulah maksud sebenar As-Sawad Al-A’zhom. Beliau cuma menafikan jika orang-orang awam Islam yang lebih ramai daripada para ulama’ dalam sesuatu zaman, lalu mereka (orang-orang awam) menyalahi manhaj para ulama’ (arus perdana di sisi ulama’ muktabar), kemudian As-Sawad Al-A’zhom dinilai pada banyaknya orang-orang awam berbanding para ulama’. Ukuran beginilah yang salah menurut beliau. Tetapi, jika sesama para ulama’, sudah semestinyalah ukuran majoriti ulama’ merupakan suatu ukuran yang benar berbanding keterasingan mereka yang menyalahi majoriti ulama’ tersebut dalam sesuatu aliran, pegangan dan kefahaman yang usul terhadap agama Islam.

Oleh sebab itulah juga, kita tegaskan bahawasanya, dalam bidang aqidah misalnya, Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah (di samping sebahagian Hanabilah yang berpegang dengan aqidah murni Imam Ahmad dan tidak terlibat dengan fahaman Tajsim) adalah Al-Jama’ah atau As-Sawad Al-A’zhom. Bahkan dalam kelompok merekalah menghuninya majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman. Siapakah Imam Al-Baihaqi, Imam Al-Baqillani, Imam Al-Bulqini, Imamul Haramain Al-Juwaini, Imam Al-Ghazali, Imam Al-Razi, Imam Ibn Asakir, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani, Imam An-Nawawi, Imam As-Subki dan sebagainya yang terdiri dari kalangan Al-Asya’irah yang merupakan As-Sawad Al-A’zhom sebagaimana yang kita tegaskan, jika mereka bukan dari kalangan para ulama’? Jadi, benarlah menurut kita, majoriti itu dinilai dari sudut ramainya para ulama’ yang berpegang dengan sesuatu manhaj sebagaimana ditegaskan oleh Imam Ibn Asakir dalam Tabyiin Kazb Al-Muftari yang akan disentuh kemudian.

Ada sesetengah pihak juga merujuk pada zaman Imam Ahmad r.a. di mana beliau dikatakan bersendirian dalam berpegang dengan aqidah yang benar. Ini suatu perkataan dusta terhadap sejarah murni Islam. Ketika berlaku fitnah tersebarnya fahaman Al-Qur’an adalah makhluk, Imam Ahmad r.a. adalah antara yang paling menonjol dalam menolaknya di hadapan pemerintah. Oleh sebab itulah, beliau disiksa. Namun, pendirian majoriti ulama’ Islam pada ketika itu juga tetap menolak fahaman Al-Qur’an makhluk yang merupakan fahaman Mu’tazilah. Bahkan, ada juga sebahagian ulama’ yang bangkit secara terbuka menentang fahaman tersebut, sebelum Imam Ahmad r.a. lagi. Antara mereka adalah, Al-Muhaddith Affan bin Muslim Al-Kufi, Al-Imam Al-Muhaddith Abu Na’im Al-Fadhl, Imam Al-Khaza’ie, Imam Abdul A’la Al-Ghassani As-Syami, Imam Muhammad bin Nuh Al-Maruzi, Imam Nu’aim bin Hamad, Imam Al-Buwaithi (murid Imam As-Syafi’e r.a.) dan sebagainya yang mati dalam penjara ketika mempertahankan aqidah murni Islam [rujuk Bara’ah Al-Asy’ariyyin: m/s 32]

Cuma, kebanyakan ulama’ lain tidak menzahirkan pertentangan secara terbuka seperti para ulama’ tersebut. Jadi, tidak boleh dikatakan hanya Imam Ahmad r.a. seorang sahaja, yang berpegang dengan aqidah murni Islam pada ketika itu dan mempertahankannya, kerana masih ramai lagi ulama’ yang berpegang dengannya khususnya murid-murid kepada Imam Abu Hanifah r.a., murid-murid kepada Imam Malik r.a., murid-murid kepada Imam As-Syafi’e’ r.a. dan sebagainya.

Tiada ulasan: