CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memaparkan catatan dengan label Penjelasan Tentang Sawad Al A'zhom (Ahlu Sunnah Wal Jama'ah). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penjelasan Tentang Sawad Al A'zhom (Ahlu Sunnah Wal Jama'ah). Papar semua catatan

Isnin, 20 Disember 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 8 (Akhir)

Sila baca artikel di bawah terlebih dahulu mengikut turutan :



Manhaj As-Sawad Al-A’zhom (Aliran Arus Perdana di sisi para ulama’) merangkumi:

  • Bidang Aqidah yang usul
  • Bidang Qawa’id (kaedah-kaedah, manhaj atau disiplin ilmu) yang usul
  • Bidang hukum-hakam yang usul

Masalah sebahagian golongan jahil zaman ini adalah dengan mempertikaikan mazhab Al-Asya’irah sebagai penerus kepada manhaj umum kebanyakan ulama’ As-Salaf dalam bab aqidah. Ini sering bermain di bibir para penuntut ilmu yang jauh daripada penguasaan keilmuan yang lengkap. Kita dapat lihat, Sheikh Ibn Taimiyyah sendiri pada zaman beliau, walaupun dikenali sebagai antara yang kuat mengkritik Al-Asya’irah sebagaimana sikap segelintir Hanabilah sebelum beliau, namun kadang-kala beliau sendiri tidak dapat menafikan keistimewaan dan keagungan golongan Al-Asya’irah (berbanding golongan Hanabilah sendiri) dalam mempertahankan aqidah Islam yang murni dan penghujahan terhadap ahli bid’ah.



Sheikh Ibn Taimiyyah berkata:


ثم أنه ما من هؤلاء إلا من له في الإسلام مساع مشكورة ، و حسنات مبرورة ، و له في الرد على كثير من أهل الإلحاد و البدع ، و الانتصار لكثير من أهل السنة و الدين ما لا يخفى على من عرف أحوالهم ، و تكلم فيهم بعلم و صدق و عدل و إنصاف



Maksudnya:



“Kemudian tiada dalam kalangan mereka (Al-Asya’irah) melainkan ada usaha yang sangat dihargai dalam (menjaga) agama Islam, begitu juga usaha kebaikan yang sangat diterima baik. Baginya (golongan Al-Asya’irah) usaha menentang banyak golongan Atheis dan ahli bid’ah dan banyak membela pegangan Ahlus-Sunnah dan agama, yang mana hakikat (jasa mereka ini) tidak tersembunyi lagi bagi orang yang mengenali keadaan mereka (Al-Asya’irah) dan orang yang memberi komen tentang Al-Asya’irah dengan neraca ilmu, penuh kejujuran, penilaian yang adil dan penuh keinsafan (teliti dan benar).”
[Dar’ At-Ta’arrud: 2/102]



Seseorang yang membaca kitab Dar’ At-Ta’arrud ini pasti melihat sudut penguasaan Ibn Taimiyyah dalam ilmu Kalam dan ilmu Mantiq bahkan dengan kemahiran tersebutlah beliau gunakan untuk mengkritik mazhab Mutakallimin termasuklah Al-Asya’irah di awal kitab tersebut. Namun, atas penilaian yang jujur, akhirnya beliau mengaku sumbangan besar yang telah dilakukan oleh Al-Asya’irah ini bahkan dinilai sebagai pembela Ahlus-Sunnah walaupun beliau mempunyai versi dan takrif Ahlus-Sunnah yang lain (yang lebih merujuk kepada Ahlul Hadith di sisi beliau) dalam banyak kitab-kitab beliau yang lain.

Nah, betapa jujurnya penilaian Ibn Taimiyyah yang masih tidak tergamak mengeluarkan Al-Asya’irah daripada Ahlus-Sunnah wal Jamaah. Namun, sebahagian mereka yang mengaku mengikut Ibn Taimiyyah tidak teragak-agak menganggap hatta Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dan Imam An-Nawawi tidak mengikut aqidah para sahabat dan tidak mengikut aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah hanya kerana mereka adalah Al-Asya’irah.

Ini secara jelas menunjukkan sebahagian pengaku Salafi pada zaman ini sudah terlalu jauh terpinggir daripada tradisi keilmuan Islam yang sebenar, tidak sepertimana guru pemikiran mereka iaitulah Sheikh Ibn Taimiyyah yang masih mampu mencium wangian konsep As-Sawad Al-A’zhom dalam institusi ulama’ Islam. Sehinggakan, kita dapati, beliau masih berpegang dengan mazhab Hanbali dalam fiqh (tidak sampai menolak mazhab sama sekali) dan masih tidak terlalu kontra dengan Al-Asya’irah walaupun mengkritik Al-Asya’irah. Bahkan, Imam Ibn Hajar turut menilai beliau (Ibn Taimiyyah) sudah kembali kepada mazhab Al-Asy’ari [rujuk Ad-Durar Al-Kaminah 1/144]. Di samping itu juga, beliau (Ibn Taimiyyah) kuat berpegang dengan ilmu Tasawwuf khususnya dengan manhaj Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a..


Alangkah bezanya Sheikh Ibn Taimiyyah dengan golongan yang mengkritik tradisi bermazhab (fahaman Alla Mazhabiyyah), yang mana sebahagiannya turut mengeluarkan Al-Asya’irah daripada Ahlus-Sunnah dan Tauhid. Ada juga yang mengkafirkan dan menghina golongan Sufi dan amalan tarikat kesufian secara umum. Inilah puncanya, jika para penuntut ilmu sudah terkeluar daripada tradisi asas dalam pewarisan ilmu Nabawi dan tidak mempunyai sanad keilmuan agama yang jelas.

Golongan pengaku salafi inilah pada hari ini cuba memahamkan makna As-Sawad Al-A’zhom dengan sedikitnya bilangan kerana sepanjang sejarah Islam, individu-individu yang berpegang dengan pegangan dan fahaman mereka terlalu sedikit berbanding lautan ulama’ Islam As-Sawad Al-A’zhom yang banyak berjasa dalam mengembangkan bidang keilmuan Islam. Mereka cuba mengutip perkataan-perkataan Al-Barbahari, Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah dan sebagainya tentang As-Sawad Al-A’zhom, iaitu bukan merujuk kepada ramai bilangan, lalu mereka mengabaikan kefahaman majoriti ulama’ Islam tentang As-Sawad Al-A’zhom itu sendiri.

Al-Barbahari dan Ibn Qayyim Al-Jauziyyah adalah dua individu yang mempunyai sudut kontroversinya yang tersendiri. Ibn Qayyim sendiri menolak golongan Al-Asya’irah (yang merupakan majoriti ulama’ Islam) khususnya dalam kitab Ijtima’ Al-Juyush Al-Islamiyyah. Al-Barbahari juga antara individu yang kuat mengkritik Imam Al-Asy’ari r.a. dan mempunyai fahaman yang kontroversi.

Imam Ibn Asakir r.a. meriwayatkan dengan sanadnya bahawasanya ketika Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari memasuki Baghdad lalu bertemu dengan Al-Barbahari, maka Al-Barbahari bercanggah dan mengkritik Imam Al-Asy'ari. Malah diriwayatkan bahawasanya Al-Barbahari menolak kitab Al-Ibanah karangan Imam Al-As'yari r.a.. [rujuk kitab Tabyiin Kizb Al-Muftari karangan Al-Hafiz Al-Imam Ibn Asakir dan Bara'ah Al-Asy'ariyyin oleh Sheikhu Sheikhna Al-Allamah Sheikh Muhammad Arabi At-Tabbani, m/s 52]


Malah, Abu Al-Qashim meriwayatkan bahawasanya Al-Barbahari selalu berkata:
“Allah akan meletakkan Rasulullah s.a.w. duduk di sebelah Allah di atas Arasy...”.
[Bara'ah Al-Asy'ariyyin m/s 53. Begitu juga, rujuk Al-Kamil fi At-Tarikh oleh Imam Ibn Al-Athir pada bab: Fi Ahdath Sanah 323 Hijriyyah]



Jadi, tidak mustahil, kalau kedua-dua individu ini menolak maksud As-Sawad Al-A’zhom sebagai bilangan yang ramai kerana para ulama’ yang ramai tersebut adalah musuh-musuh mereka (khususnya Al-Asya’irah bagi Ibn Qayyim). Hal ini sangat jelas bagi mereka yang menyelusuri pertembungan antara sebahagian Hanabilah (Ghullat Hanabilah) dengan para ulama’ lain dari kalangan ahlus sunnah wal jamaah (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah). Bahkan, dalam sesama Hanabilah sendiri pun wujud pertentangan antara pelopor aqidah Tanzih (seperti Imam Ibn Al-Jauzi r.a.) dengan pelopor fahaman Tajsim (yang dikenali sebagai pelampau Hanabilah atau Ghullat Hanabilah seperti Ibn Az-Zaghuni, Ibn Hamid, Abu Ya’la dan sebagainya). [Boleh rujuk Al-Bidayah wa An-Nihayah oleh Imam Ibn Kathir, Siyar A’laam An-Nubala’ oleh Imam Az-Zahabi, Tabaqat Syafi’iyyah oleh Imam As-Subki, Al-Kamil fi At-Tarikh oleh Imam Ibn Al-Athir dan sebagainya]


Bahkan, lebih membimbangkan, golongan syaz (pinggiran) yang lain seperti Mu’tazilah, Jabbariyyah dan sebagainya juga boleh berkongsi kefahaman mereka terhadap As-Sawad Al-A’zhom ini jika berhadapan dengan majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman. Golongan Mujassimah, Jabbariyyah, Mu’tazilah dan sebagainya akhirnya bangkit lalu berkata di hadapan para ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah yang merupakan majoriti ulama’ Islam: “Kami adalah golongan kebenaran kerana kebenaran tidak semestinya pada ramainya para ulama’ yang berpegang dengannya”. Na’uzubillah


Apa yang penting, berpegang teguhlah dengan manhaj dan tradisi yang telah mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul (mendapat penerimaan majoriti ulama’) dan jadikanlah rujukan kita dalam bidang agama adalah para ulama’ dari kalangan As-Sawad Al-A’zhom yang Allah dan Rasul-Nya shollaLlahu ‘alaihi wasallam janjikan yang mereka tidak akan berhimpun dalam kesesatan selama-lamanya.

Kita nukilkan perkataan Imam Abdul Qahir Al-Baghdadi tentang As-Sawad Al-A’zhom sebagai panduan:

فأما الفرقة الثالثة والسبعون فهي أهل السنة والجماعة من فريقي الرأي والحديث…وفقهاء هذين الفريقين وقراؤهم ومحدثوهم ومتكلمو أهل الحديث منهم، كلهم متفقون على مقالة واحدة... وليس بينهم فيما اختلفوا فيه منها تضليل ولا تفسيق وهم الفرقة الناجية... فمن قال بهذه الجهة التي ذكرناها ولم يخلط إيمانه بشيء من بدع.... فهو من جملة الفرقة الناجية - إن ختم الله له بها - ودخل في هذه الجملة جمهور الأمة وسوادها الأعظم من أصحاب مالك والشافعي وأبي حنيفة

Maksudnya:



“Adapun golongan yang ketiga puluh tujuh adalah golongan Ahlus-Sunnah wal Jamaah adalah dari kalangan Ahli Ar-Ra’yi dan Ahli Hadith…ahli Fuqaha’ dua golongan tersebut (Ahli Ar-Ra’yi dan Ahli Al-Hadith), ahli qur’an mereka, ahli hadith mereka, golongan mutakallimin ahli hadith mereka, yang mana mereka semuanya bersepakat pada suatu pegangan… yang mana tiada antara mereka perselisihan yang membawa kepada menyesatkan dan memfasiqkan (sesama mereka), dan merekalah golongan yang berjaya (golongan kebenaran)… Sesiapa yang berpegang dengan sejumlah pegangan yang telah kami sebutkan itu dan tidak bercampur imannya dengan bid’ah…maka dia termasuk dalam golongan yang berjaya ini –jika Allah memberi kesudahan umurnya dalam aqidah ini- dan termasuk dalam golongan majoriti umat dan As-Sawad Al-A’zhom dari kalangan pengikut Imam Malik, Imam As-Syafi’e, Imam Abu Hanifah…”
[Al-Farq bain Al-Firaq: 19]



Seburuk-buruk golongan adalah mereka yang terpinggir daripada golongan Ahlus-Sunnah wal Jamaah dan As-Sawad Al-A’zhom yang disebutkan oleh para ulama’ berdasarkan hadith-hadith tersebut. Mereka ini adalah golongan bid’ah walaupun mengaku pengikut sunnah dengan lidah mereka kerana terpinggir daripada Al-Jamaah atau As-Sawad Al-A’zhom.


Benarlah kata Imam Ibn Rajab Al-Hanbali:


وليكن الإنسان على حذر مما حدث بعدهم – أي الائمة- فإنه حدث بعدهم حوادث كثيرة وحدث من انتسب إلى متابعة السنة والحديث من الظاهرية ونحوهم وهو أشد مخالفة لها لشذوذه عن الأئمة وانفراده عنهم بفهم يفهمه أو بأخذ مالم يأخذ به الأئمة من قبله

Maksudnya: “Hendaklah seseorang itu berhati-hati tentang apa yang berlaku kemudian setelah mereka (para ulama’ salaf terdahulu) kerana banyak berlaku setelah mereka perkara-perkara buruk. Ada berlaku di mana seseorang dari kalangan Zahiriyyah (golongan yang telalu berpegang dengan zahir bagi nas-nas samada nas mutasyabihat atau dalam bab hukum-hakam) yang menisbahkan diri mereka kepada mengikut Sunnah dan Hadith (mengaku sebagai Ittiba’ Sunnah atau Ittiba’ hadith) dan sebagainya, sedangkan dia sangat menyalahi Sunnah kerana terpinggir daripada para ulama’ (majoriti) dan terasingnya dia dengan kefahamannya sendiri serta pegangannya yang tidak pernah dipegang oleh para ulama’ sebelumnya”.
[risalah Fadhl Ilm As-Salaf]



Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita bersama-sama dengan As-Sawad Al-A’zhom dan Al-Jamaah sebagaimana yang dimaksudkan oleh Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Hanya Allah s.w.t. sahaja pemberi hidayah dan pembantu dalam menuju kebahagiaan abadi.

Walllahu a’lam…

Disusun dengan bantuan Allah s.w.t. oleh

Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

‘Amalahullahu bi Lutfihi Al-Khafi

Sumber :


Isnin, 20 September 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 7

Namun, janji Allah s.w.t. tetap berlaku. Allah s.w.t. menjanjikan akan menjaga ilmu-ilmu agama daripada penyelewengan golongan terpinggir dengan terus menjaga keutuhan golongan As-Sawad Al-A’zom sehinggalah tiada yang dapat memudaratkan keutuhan mereka dari kalangan golongan terpinggir tersebut. Hanya golongan As-Sawad Al-A’zhom adalah pewaris-pewaris muktabar yang mewarisi ilmu Nabawi melalui tradisi pewarisan ilmu Nabawi yang lengkap dari sudut Riwayah dan Dirayah. Para ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah versi As-Sawad Al-A’zhom adalah para pewaris ilmu Nabawi yang dimaksudkan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-. Oleh sebab itulah, mereka terus mengembangkannya dalam khazanah intelektual Islam samada dalam bentuk-bentuk karya tulisan ataupun melalui para murid didikan mereka (Al-Ashaab) yang terus berkembang merentasi zaman dan sempadan.

Ahlus-Sunnah wal Jamaah Di Sisi Imam Al-Baghdadi (Al-Farq bain Al-Firaq)



Imam Al-Baghdadi juga ada menyenaraikan beberapa golongan yang dikatakan sebagai Ahlus-Sunnah wal Jamaah atau As-Sawad Al-A’zhom tersebut di hujung kitab Al-Farq bain Al-Firaq iaitu:

Golongan pertama: Mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa’ad (khabar gembira) dan wa’id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada fahaman ta’til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.



Golongan kedua: ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta’til’ (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza’i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.

Golongan ketiga: ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta’dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

Golongan keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu ‘Amr bin al-’Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra’ (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma’i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah ‘hujah’ dalam ilmu bahasa dan Nahu.

Golongan kelima: antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

Golongan keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka ‘membeli’ pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.



Golongan ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.

Golongan kelapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar Ahli Sunnah wal Jamaah, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.

[rujuk Al-Farq Bain Al-Firaq: 313-318. Terjemahan oleh Dr. Asmadi]



Kesimpulan

Maka, berdasarkan dalil-dalil, hujah-hujah dan perkembangan sejarah para ulama’ dalam tradisi keilmuan Islam, maka kita fahami bahawasanya majoriti para ulama’ adalah As-Sawad Al-A’zhom yang tidak akan sesat selama-lamanya. Maka, apabila seseorang itu melihat perpecahan dan perselisihan, maka, hendaklah bersama-sama dengan Al-Jamaah atau As-Sawad Al-A’zhom iaitulah majoriti ulama’ Islam yang menjaga ilmu agama itu sendiri.

Imam Al-Munawi berkata:

" (فليلزم الجماعة ) فإن من شذّ أي انفرد بمذهبه عن مذاهب الأمة فقد خرج عن الحق لأن الحق لا يخرج عن جماعتها "

Maksudnya:

“((Maka hendaklah dia beriltizam dengan Jamaah)), maka sesiapa yang terasing (syaz) atau terpinggir dengan mazhabnya sendiri daripada mazhab-mazhab Ummah (As-Sawad Al-A’zhom atau pegangan arus perdana), maka dia telah keluar daripada kebenaran kerana kebenaran tidak akan keluar daripada jemaah Al-Ummah (As-Sawad Al-A’zhom atau majoriti)”
[Faidh Al-Qadir 3/79]



Maka, di sisi ramai para ulama’ termasuklah Imam Al-Munawi sendiri, As-Sawad Al-A’zhom ataupun Al-Jamaah merujuk kepada kuantiti yang ramai dan pegangan usul yang diterima oleh kebanyakan orang. Namun, ukuran kebanyakan orang tersebut adalah merujuk kepada para ulama’ sebagaimana ditegaskan oleh Imam Al-Hafiz Ibn ‘Asakir dan diisyaratkan pula oleh Imam As-Syatibi. Ia sama seperti kedudukan Ijma’ dan kesepakatan ummah di mana yang dimaksudkan dengan kesepakatan ummah tersebut adalah dalam kalangan para ulama’ dan ahli ilmu.


Al-Jamaah itu adalah bersama dengan tradisi yang telah diterima sebagai manhaj Al-Haq itu sendiri, sejak ianya dipertahankan oleh majoriti para ulama’ sejak zaman As-Salaf lagi. Manhaj Al-Haq yang sudah dipegang oleh majoriti ulama’ zaman silam sudah jelas dalam mazhab aqidah mahupun dalam mazhab fiqh.

Mereka bersepakat atau majoriti ulama’ Ahlus-Sunnah secara jelas menetapkan Ahlus-Sunnah wal Jamaah atau As-Sawad Al-A’zhom itu adalah: mazhab aqidahnya adalah Al-Asy’ari dan Al-Maturidi (serta Athariyyah yang tidak bercanggah dengan kedua-dua golongan tadi dalam masalah usul aqidah) dan mazhab fiqhnya adalah Al-Hanafi, Al-Maliki, As-Syafi’e dan Al-Hanbali. Maka, biarpun orang-orang awam dan para ahli ilmu yang ramai menyalahi Ahlus-Sunnah wal Jamaah ini, maka mereka tetap tidak digelar sebagai As-Sawad Al-A’zhom.

Kita nukilkan lagi perkataan Imam Ibn Asakir r.a. dalam kesimpulan ini:

فإن قيل أن الجم الغفير في سائر الأزمان وأكثر العامة في جميع البلدان لا يقتدون بالأشعري ولا يقلدونه ولا يرون مذهبه ولا يعتقدونه وهم السواد الأعظم وسبيلهم السبيل الأقوم قيل لا عبرة بكثرة العوام ولا التفات إلى الجهال الغتام وإنما الإعتبار بأرباب العلم والاقتداء بأصحاب البصيرة والفهم وأولئك في أصحابه أكثر ممن سواهم ولهم الفضل والتقدم على من عداهم على ان الله عزوجل

Maksudnya:

“Kalau dikatakan bahawa bilangan yang ramai dalam setiap zaman dan ramai orang awam (Al-Ammah) dalam setiap tempat tidak mengikut mazhab Al-Asy’ari (tidak mendalami perbahasan aqidah dengan manhaj Al-Asy’ari), tidak bertaqlid dengan mazhabnya, tidak melihat kepada mazhabnya dan tidak berpegang dengannya sedangkan mereka (Al-Asya’irah) adalah As-Sawad Al-A’zhom dan manhaj mereka (ulama’ Al-Asya’irah) adalah manhaj yang lurus. Maka, dikatakan (sebagai jawapan) tidak diambil kira banyaknya orang awam dan tidak dipandang (sebagai kayu pengukur) pada orang-orang jahil, kerana ukuran (As-Sawad Al-A’zhom) adalah di sisi ahli ilmu dan neraca ikutan adalah kepada Ashaab Al-Bashirah (yang mempunyai pandangan mata hati/neraca ilmu) dan kefahaman sedangkan mereka (para ulama’/ahli ilmu dan sebagainya) dalam pengikut mazhab Al-Asy’ari (Ashaabnya) lebih ramai daripada selainnya (ulama’ yang bukan Al-Asya’irah)…”
[Tabyiin Kazb Al-Muftari: 134]

Selagimana Allah s.w.t. menjaga umat Islam ini dalam kebaikan, maka selagi itu Allah s.w.t. akan menjaga kedudukan majoriti ulama’ sebagai golongan yang berpegang dengan kebenaran. Kita sudah tahu kedudukan institusi ulama’. Bahkan, kita juga sudah memahami konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul (mendapat penerimaan menyeluruh) dalam institusi ulama’. Ia juga merujuk kepada jumlah bilangan ulama’ yang ramai. Mereka yang berpegang dengan kebenaran adalah yang meneruskan tradisi kebenaran yang mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul tersebut.

Oleh sebab itulah, Imam Al-Munawi menyebutkan sebagaimana telah kita nukilkan sebelum ini:

((Hendaklah kamu bersama dengan Al-Jamaah)) iaitu berpegang dengan rukun-rukun agama dan As-Sawad Al-A’zhom dari kalangan Ahlus-Sunnah. Iaitu, kamu ikutilah petunjuk mereka. Maka hendaklah seseorang itu mengikut apa yang mereka berpegang dengannya daripada Aqidah (Mazhab Aqidah), Qawa’id (Usul Aqidah dan Usul Fiqh) dan Hukum Agama (Mazhab Fiqh).
[Al-Faidh Al-Qadir 3/101]

Khamis, 12 Ogos 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 6

Setelah kita menyebut keagungan golongan As-Sawad Al-A’zhom ini, maka hendaklah kita faham bahawasanya, tidak dapat dinafikan berlakunya perselisihan pendapat dalam kalangan para ulama’ dalam kelompok as-Sawad Al-A’zhom ini, namun, perselisihan pendapat yang berlaku dalam kalangan para ulama’ As-Sawad Al-A’zhom atau Ahlus-Sunnah ini tidak membawa kepada perbezaan ketara antara mereka.

Perselisihan dan perbezaan pendapat yang berlaku dalam kalangan ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah atau As-Sawad Al-A’zhom hanyalah melibatkan perkara-perkara furu’ (cabang), bukan perkara-perkara usul (asas/pokok). Apa yang dimaksudkan dengan masalah-masalah Furu’ adalah masalah-masalah yang cabang dalam syariat Islam yang mana ianya berdasarkan dalil-dalil yang zhonni (tidak putus/tidak jelas) samada zhonni At-Thubut atau zhonni Ad-Dilalah, samada dalam masalah aqidah mahupun dalam masalah fiqh.

Adapun yang dimaksudkan dengan perkara-perkara Usul adalah perkara-perkara yang usul/pokok dalam syariat Islam yang mana ianya berdasarkan dalil-dalil yang qat’ie samada qat’ie at-thubut dan qat’ie ad-dilalah, samada ianya dalam masalah aqidah mahupun fiqh. [rujuk Dirasat fi Al-Ikhtilafat Al-‘Ilmiyyah oleh Dr. Muhammad Abu Al-Fath Al-Bayyanuni: 32]

Perselisihan-perselisihan dalam masalah cabang samada dalam fiqh ataupun aqidah sesama para ulama’ tidak mengeluarkan mana-mana ulama’ daripada golongan As-Sawad Al-A’zhom dalam institusi ulama’ Islam. Mereka (para ulama’) saling beradab dan menghormati sesama mereka walaupun berbeza pendapat dalam masalah furu’ kerana mengetahui kedudukan nas-nas Islam yang sememangnya mempunyai ruang perbezaan pendapat di dalam uslubnya. Maka, adab ikhtilaf inilah yang dipegang oleh para ulama’ lalu memastikan mereka tidak saling menolak ijtihad ulama’ lain, tidak saling menuduh bid’ah sesama mereka dalam masalah-masalah tersebut, kerana menyedari hakikat bahawasanya setiap daripada mereka masih di bawah satu bumbung Ahlus-Sunnah wal Jamaah.

Hal ini dijelaskan oleh ramai para ulama’ termasuklah Imam As-Suyuti dengan berkata dalam Al-Asybah wa An-Nazha’ir:

لا ينكر المختلف فيه، وإنـما ينكر المجمع عليه


Maksudnya: “Tidak boleh ingkar pada perkara yang diperselisihkan mengenainya. Adapun pengingkaran hanya pada yang telah disepakati (larangannya)”.


Adapun bagi seseorang ahli ilmu itu berselisih dengan pegangan As-Sawad Al-A’zhom dalam masalah-masalah Usul samada dalam bidang aqidah mahupun dalam bidang fiqh, maka dia telah terkeluar daripada kelompok As-Sawad Al-A’zhom atau Ahlus-Sunnah wal Jamaah.

Antara Para Ulama’ Bermazhab Asya’irah dalam Aqidah (Contoh As-Sawad Al-A’zhom)



Imam As-Subki khususnya dalam menggambarkan tentang mazhab Al-Asy’ari dalam bidang aqidah dengan berkata:

واعلم أن أبا الحسن الأشعري لم يبدع رأيا ولم يُنشِ مذهبا وإنما هو مقرر لمذاهب السلف، مناضل عما كانت عليه صحابة رسول الله صلى الله عليه وسلم فالانتساب إليه إنما هو باعتبار أنه عقد على طريق السلف نطاقا وتمسك به، وأقام الحجج والبراهين عليه فصار المقتدي به في ذلك السالك سبيله في الدلائل يسمى أشعريا

Maksudnya:

“Ketahuilah bahawasanya Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari tidaklah mengadakan suatu pendapat yang baru dan tidak juga mengada-adakan mazhab yang baru. Beliau sebenarnya ialah orang yang membenarkan dan menguatkan mazhab-mazhab As-Salaf (dalam aqidah) dan membela apa yang dipegang oleh para sahabat Rasulullah - shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Adapun menisbahkan (mazhab) kepada beliau adalah dari sudut bahawasanya beliaulah yang memperkemaskan manhaj (aqidah) As-Salaf dengan kukuh lalu berpegang dengannya. Maka, beliau juga yang mendirikan hujah-hujah dan dalil-dalil terhadap aqidah As-Salaf tersebut lalu orang yang mengikut manhaj dan penghujahan tersebut dan melalui jalan pendalil aqidah beliau dinamakan sebagai Asy’ari”
[Tabaqat As-Syafi’iyyah 2/254]

Antara Para Ulama’ Aqidah yang Bermazhab Al-Asy’ari:

1) Abu Al-Hasan Al-Bahili Al-Bashri

2) Abu Al-Hasan Bundar bin Al-Husein Al-Syirazi As-Sufi (w: 353 H)

3) Imam Abu Abdillah bin Mujahid Al-Bashri Al-Baghdadi (w: 368 H) Antara buku-buku beliau adalah: Nihayah Al-Mutabassir wa Ma’una Al-Muntasir

4) Imam Abu Bakr Muhammad bin Ali Al-Qaffal Al-Syasyi As-Syafi’e (w: 365 H)

5) Imam Abu Sahl As-Sho’luqi An-Naisaburi (276-369 H)

6) Imam Abu Al-Husein bin Sam’un Al-Baghdadi (300-387 H)

7) Imam Abu Abdul Rahman As-Shuruthi Al-Jurjani (w: 389 H)

8) Imam Abu Muhammad Al-Qursyi Al-Zuhri

9) Imam Abu Ja’far As-Sulami Al-Baghdadi (294-379 H)

10) Imam Abu Al-Hasan Abdul ‘Aziz At-Thobari

11) Imam Abu Abdillah bin Khafif As-Syirazi (w: 371 H)

12) Imam Abu Al-Hasan bin Daud Al-Muqri Ad-Darani (w: 402 H)

13) Imam Saif As-Sunnah Al-Qadhi Abu Bakr bin At-Thayyib bin Al-Baqillani (328-402/403 H). Antara buku karangan beliau adalah: Al-Inshof Fima Yajibu I’tiqaduhu wa La Yajuzu Al-Jahl Bihi (Ini merupakan kitab rujukan utama mewakili Mazhab Al-Asya’irah) dan Tamhid Al-Awa’il fi Talkhis Ad-Dala’il (Ia merupakan lanjutan atau syarahan terhadap kitab Al-Inshof beserta beberapa penambahan dalam menolak fahaman-fahaman sesat di luar Islam)

14) Imam Abu Ali Ad-Daqqaq An-Naisaburi As-Sufi (w: 405H)

15) Imam Al-Ustaz Abu Bakr Ibn Furak Al-Asfahani (w: 406 H)

16) Imam Abu Ma’mar bin Abi Sa’ad bin Abi Bakr Al-Jurjani

17) Imam Al-Ustaz Abu Ishaq Al-Isfaraini (w: 418)

18) Imam Abu Manshur Al-Ayyubi An-Naisaburi (w: 421 H)

19) Imam Al-Hafiz Abu Zar Al-Harawi (355/356-434H)

20) Imam Abu Muhammad Al-Juwaini (w: 438 H)

21) Imam Al-Hafiz Abu Ja’far As-Sam’ani (361-444H)

22) Imam Abu Muhammad Al-Ashbahani (Ibn Laban) (W: 446H)

23) Imam Abu Al-Qasim Al-Isfarayini (W: 452 H)

24) Imam Al-Ustaz Al-Hafiz Abu Bakr Al-Baihaqi (w: 458 H) Antara buku-buku tulisan beliau adalah:Al-Asma’ wa As-Sifat sebesar dua jilid (buku rujukan dalam bidang aqidah).

25) Imam Al-Khatib Al-Baghdadi (292-463 H)

26) Imam Abu Al-Qasim Al-Qusyairi As-Sufi (376-465 H)

27) Imam Abu Al-Muzhoffar Al-Isfarayini (w: 471 H) Antara kitab karangan beliau adalah: Al-Ausath Fi Al-Milal wa An-Nihal dan At-Tabshir f Ad-Din ( juga dikenali dengan Al-Milal wa An-Nihal)

28) Imam Abu Ishaq Ibrahim bin Ali bin Yusuf As-Syirazi (393 - 476 H). Antara kitab beliau adalah Al-Isyarah ila Mazhab Ahl Al-Haq (kitab rujukan bagi manhaj Al-Asya’irah dalam aqidah).

29) Imamul Haramain Abu Al-Ma’ali Al-Juwaini (419-478 H). Antara kitab beliau adalah: Al-Irsyad ila Qawathi; Al-Adillah fi Usul Al-‘I’tiqad, Ar-Risalah An-Nizhamiyyah (Al-Aqidah An-Nizhamiyyah), As-Syamil fi Usul Ad-Din dan Lam’atul Adillah fi Qawa’id ‘Aqa’id Ahl As-Sunnah wa Al-Jama’ah.

30) Imam Al-Faqih Al-Mu’ammar Abu Al-Fath Nashr bin Ibrahim Al-Maqdisi

31) Imam Abu Al-Muzhaffar Al-Khawafi (w: 500H)

32) Imam Abu Al-Hasan At-Tabari (Ilkiya)

33) Hujjatul Islam Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali (450-505 H) Antara kitab-kitab beliau yang lain adalah: Ihya’ ‘Ulum al-din, Al-Iqtishad fi Al-I’tiqad dan Iljam Al-‘Awam ‘An Ilm Al-Kalam

34) Imam Abu Bakr As-Syasyi (507 H)

35) Imam Abu Al-Qasim An-Naisaburi (w: 510/512)

36) Imam Abu Nashr Ibn Al-Qusyairi (w: 514)

37) Imam Abu ‘Ali Al-Hasan bin Sulaiman Al-Asbahani 525 H

38) Imam As’ad Al-Mihani (461-527 H)

39) Imam Abu Abdillah Al-Farawi An-Naisaburi (w: 530 H)

40) Imam Abu Al-Hasan Al-Sulami (w: 533 Hijrah)

41) Imam Abu Al-Fath Nashrullah Al-Mashishi Al-Asy’ari

42) Imam Abu Al-Fath Muhammad As-Syahrastani (w: 548 H) Antara kitab-kitab beliau adalah Nihayah Al-Iqdam fi Ilm Al-Kalam dan Al-Milal wa An-Nihal

43) Imam Al-Hafiz Abu Sa’ad Ibn As-Sam’ani (506-562 H)

44) Imam Al-Hafiz Fakhruddin Ibn Asakir (499-571 H) Antara kitab-kitab karangan beliau adalah:Tabyiin Kazb Al-Muftari

45) Khatib Ar-Riy Imam Dhiyauddin Abu Al-Qasim Umar Al-Razi

46) Imam Abu Thahir Ahmad bin Muhammad As-Silafi (w: 576 H)

47) Imam Al-Mufassir Fakhruddin Al-Razi (543-606H) Antara kitab-kitab beliau: Asas At-Taqdis dan Al-Masa’il Al-Khamshun fi Usul Al-Kalam

48) Imam Saifullah Al-Amidi (550-631 H) Antara kitab-kitab beliau adalah: Ibkar Al-Afkar dan Ghayah Al-Maram fi Ilm Al-Kalam

49) Sultan Al-‘Ulama’ Imam Izzuddin bin Abdil Salam (577/578-660 H)

50) Imam ‘Adhuddin Abdul Rahman Al-Iji (680-765 H) Antara buku beliau adalah: Al-Mawaqif fi Ilm Al-Kalam, Jawahir Al-Kalam dan Al-‘Aqa’id Al-Adhiyyah

51) Imam Qutubuddin Ar-Razi (w: 766 H) Antara kitab karangan beliau adalah:Syarh As-Syamsiyyah dan Syarh Al-Matholi’e (kitab ilmu mantik)

52) Imam Al-Allamah As-Sayyid As-Syarif Al-Jurjani (w: 816 H)

53) Al-Allamah Imam As-Sanusi (w: 895 H). Antara kitab karangan beliau adalah Al-Aqidah Al-Kubra (Aqidah Ahl At-Tauhid) dan syarahnya, Al-Aqidah Al-Wusta dan syarahnya, Al-Aqidah As-Shughra (Umm Al-Barahin) dan syarahnya dan Syarh Jawahir Al-Ulum Li Idhh fi Ilm Al-Kalam

54) Imam Ahmad Ad-Dardir (w: 1209 H). Antara kitab-kitab beliau adalah Al-Kharidah Al-Bahiyyah Al-Aqidah At-Tauhidiyyah dan Syarah Manzhumah Al-Bakri

55) Imam Ahmad As-Showi (w: 1241 H). Antara kitab-kitab karangan beliau adalah: Hasyiyah ‘Ala Syarh Al-Kharidah Al-Bahiyyah oleh Ahmad Ad-Dardir dan Syarh ‘ala Jauharah At-Tauhid

56) Imam Ibrahim Al-Bajuri (w: 1281 H)

Dan sebagainya…



- Antara Mufassir-mufassir Bermazhab Al-Asy’ari

1) Imam Al-Mufassir Al-Allamah Al-Qurtubi r.a.

2) Imam Al-Mufassir Ibn Kathir (rujuk buku tobaqot As-Syafi’iyyah Al-Kubra 10/200 karangan Imam As-Subki, Ad-Durar Al-Kamin 1/85 karangan Ibn Hajar dan sebagainya)

3) Imam Al-Mufassir Ibn ‘Athiyyah Al-Andalusi r.a., pengarang kitab tafsir Al-Muharrar Al-Wajiz

4) Imam Al-Mufassir Abu Hayyan Al-Andalusi r.a., pengarang kitab tafsir Al-Bahr Al-Muhith.

5) Imam Al-Mufassir Al-Hafiz Al-Buhgowi, pengarang kitab tafsir Al-Bughowi dan kitab Syarh As-Sunnah.

6) Imam Al-Mufassir Abu Al-Laith As-Samarqandi r.a., pengarang kitab tafsir Bahr Al-Ulum, kitab bustanul Arifin dan tanbih Al-Ghafilin.

7) Imam Al-Mufassir Abu Al-Hasan Ali An-Naisaburi pengarang kitab asbab An-Nuzul.

8) Imam Al-Mufassir Abu At-Thana’ Syihabuddin Al-Alusi Al-Husaini Al-Hasani r.a.

9) Imam Al-Mufassir At-Thamin Al-Halabi r.a., pengarang kitab tafsir Ad-Durr Al-Mashun.

10) Imam Al-Mufassir Al-Hafiz Jalaluddin As-Suyuti r.a., pengarang kitab tafsir Ad-Durr Al-Manthur.

11) Al-Imam Al-Khotib As-Syirbini r.a., pengarang kitab tafsir As-Siraj Al-Munir.

12) Imam Al-Allamah At-Thohir bin Asyur, pengarang kitab At-Tahrir wa At-Tanwir

13) Imam Al-Mufassir Az-Zarkasyi

14) Imam Al-Mufassir Al-Alusi

15) Sheikh Nawawi Al-Bantani

16) Imam Mutawalli As-Sya’rawi



Ulama’-ulama’ Muhaddithin (hadith) yang bermazhab Al-Asya’irah


1) Imam Al-Hafiz Abu Al-Hasan Ad-Darqutni r.a.

2) Imam Al-Hafiz Abu Nu’aim Al-Ashbahani r.a., pengarang kitab hilyatul Auliya’

3) Imam Al-Hafiz Al-Hakim An-Naisaburi, pengarang kitab Mustadrak

4) Imam Al-Hafiz Ibn Hibban, pengarang kitab At-Thiqat

5) Imam Al-Hafiz Abu Sa’id Ibn As-Sam’ani r.a., pengarang kitab Al-Inshof (sudah disebutkan)

6) Imam Al-Hafiz Abu Bakr Al-Baihaqi r.a., pengarang kitab-kitab hadith dan kitab Al-Asma’ wa As-Sifat (sudah disebutkan)

7) Imam Al-Khatib Al-Baghdadi

8) Imam Al-Hafiz Muhyiddin Yahya bin Syarf An-Nawawi r.a., pengarang kitab syarh sahih muslim dan banyak lagi.

9) Sheikhul Islam Imam Al-Hafiz Abu Amr bin As-Solah

10) Imam Al-Hafiz Ibn Daqiq Al-‘Aid

11) Imam Al-Hafiz Ibn Abi Jamrah Al-Andalusi, musnid Ahlul Maghrib

12) Imam Al-Hafiz Al-Karmani, pengarang syarah sahih Al-Bukhari

13) Imam Al-Hafiz Al-Munziri, pengarang At-Targhib wa At-Taqrib

14) Imam Al-Hafiz Al-Ubbi, pensyarah sahih Muslim

15) Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqolani, pengarang fahtul Bari dan sebagainya.

16) Imam Al-Hafiz As-Sakhowi r.a.

17) Imam Al-Qostollani r.a. pengarang Irsyad As-Sariy

18) Imam Al-Hafiz Taqiyyuddin As-Subki r.a.

19) Imam Al-Hafiz Tajuddin As-Subki r.a.

20) Imam Al-Hafiz Al-Munawi r.a..

21) Imam Al-Hafiz Ad-Dimyathi r.a.

22) Sheikh Al-Hafiz Waliyullah Al-Dahlawi r.a.

23) Al-Muhaddith Sheikh Abu Al-Mahasin Al-Qouqji

24) Al-Muhaddith Al-Hafiz Sheikh Badruddin Al-Hasani

25) Al-Musnid Al-Muhaddith Sheikh Abdul Hay Al-Kattani

26) Sheikh Al-Hafiz Ahmad As-Siddiq Al-Ghumari r.a..

27) Al-Muhaddith Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari

28) Al-Muhaddith Sheikh Abdul Aziz As-Siddiq Al-Ghumari

29) Al-Musnid Al-Muhaddith Sheikh Muhammad Al-Hafiz At-Tijani

30) Al-Muhaddith Al-Faqih Sheikh Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani

31) Musnid Ad-Dunya Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani.

32) Al-Musnid Sheikh Abbas Al-Maliki Al-Hasani

Antara Ulama’-ulama’ Sirah yang Bermazhab Al-Asy’ari

1) Imam Qadhi ‘Iyad, pengarang kitab As-Syifa fi syama’il wa ahwal Al-Mustofa

2) Imam As-Suhaili r.a., pengarang kitab Ar-Raudh Al-Unf

3) Sheikh Ibn Khaldun

4) Imam Ibn Athir r.a.

5) Imam As-Solihi Ad-Dimasqi, pengarang kitab Subulul Huda wa Ar-Rosyad

6) Sheikh Yusuf An-Nabhani

7) Sheikhul Islam Muhammad Zahid Al-Kauthari

8) Al-Mu’arrikh Sheikh Muhammad Arabi At-Tabbani


Antara Ulama’-ulama’ Qiraat yang Bermazhab Al-Asy’ari


1) Imam Al-Qari’ Ibn Jazari

2) Imam As-Syatibi r.a.



Antara Pemimpin-pemimpin Islam yang Masyhur yang Bermazhab Al-Asy’ari

1) Al-Wazir Malik Shah atau Nizham Al-Mulk (pembuka Madrasah Nizhamiyyah)

2) Sultan Salehuddin Al-Ayubi



Imam Tajuddin As-Subki menyimpulkan hal ini dengan berkata:


هؤلاء الحنفية والشافعية والمالكية وفضلاء الحنابلة ولله الحمد في العقائد يد واحدة كلهم على رأي أهل السنة والجماعة يدينون الله تعالى بطريق شيخ السنة أبي الحسن الأشعري رحمه الله، لا يحيد عنها إلا رعاع من الحنفية والشافعية لحقوا بأهل الاعتزال، ورعاع من الحنابلة لحقوا بأهل التجسيم...



Maksudnya: “Para ulama’ Hanafiyyah, Syafi’iyyah, Malikiyyah dan sebahagian ulama’ Hanabilah yang mulia, alhamdulillah, dalam masalah aqidah, bersatu dalam pegangan Ahlus-Sunnah wal Jamaah yang beragama (beraqidah) kepada Allah s.w.t. dengan manhaj Sheikhus Sunnah Abu Al-Hasan Al-Asy’ari r.a., yang mana tiada siapa yang terpesong darinya melainkan segelintir pengikut Hanafiyyah dan Syafi’iyyah yang terbabit dengan ahli Muktazilah dan sebahagian Hanabilah yang terbabit dengan ahli Tajsim.
[Mu’id An-Ni’am: 62]



Begitu juga dengan kebanyakan para ulama’, tuan guru dan para kiyai di Nusantara dalam segenap bidang ilmu, yang mana mereka berpegang teguh dengan manhaj Al-Asy’ari dalam bidang aqidah.


Malanglah bagi golongan syaz (pinggiran) yang sering mencela golongan As-Sawad Al-A’zhom dan manhaj mereka (aliran arus perdana). Golongan ini lebih senang mencela As-Sawad Al-A’zhom lalu menyembunyikan kesyazan (keterpinggiran) mereka di sebalik lafaz Ghuraba’ dengan mafhum yang salah, sehingga berani mengkritik Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah bahkan turut mengkritik para ulama’ sufi dan ilmu tasawwuf. Gejala ini tidak lahir melainkan disebabkan kepincangan keilmuan dalam diri mereka sendiri bahkan ianya sekadar mengulangi sejarah golongan-golongan terpinggir yang wujud sebelum mereka pada zaman salaf juga.

Ahad, 20 Jun 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 5

Ahlus-Sunnah wa Al-Jamaah adalah As-Sawad Al-A’zhom

Dalam terminologi yang digunakan oleh para ulama’, maka perkataan Ahlus-Sunnah wal Jamaah sering merujuk kepada majoriti ulama’ dan umat Islam atau dikenali sebagai As-Sawad Al-A’zhom. Manhaj dan pegangan mereka merujuk kepada aliran arus perdana sejak zaman berzaman setelah mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul (mendapat penerimaan ulama’ Islam secara sepakat) yang tidak membawa kepada ruang kesesatan. Disebabkan Ahlus-Sunnah wal Jamaah ini secara penggunaannya merujuk dalam bidang aqidah, maka ianya sering merujuk kepada para ulama’ yang mengikut dua mazhab utama yang mendapat penerimaan oleh majoriti ulama’ Islam iaitulah mazhab Al-Asy’ari dan mazhab Al-Maturidi dalam bidang aqidah (di samping sebahagian Hanabilah yang masih berpegang dengan aqidah Tanzih).

Imam Ibn Rusyd Al-Maliki ketika ditanya tentang Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah, maka beliau menjawab:

“Mereka adalah yang dinamakan sebagai imam-imam yang menjadi ikutan, di mana dengan mengikuti mereka, merupakan suatu kwajiban kerana mereka membela syariat (bahkan aqidah Islam), membatalkan kesesatan fahaman yang songsang…Tiada siapa yang menyesatkan mereka melainkan dia adalah seorang yang jahil ataupun seorang ahli bid'ah”.
[Al-Fatawa 2/802]

Maka, dengan ukuran Imam Ibn Rusyd Al-Maliki Al-Jadd ini sendiri sudah secara jelas menunjukkan mereka yang menuduh Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah sebagai bid’ah sebenarnya merekalah (para penuduh tersebut) adalah ahli bid’ah kerana telah terkeluar daripada golongan As-Sawad Al-A’zhom.

Imam As-Safarini menegaskan bahawa, ahlus sunnah adalah:
golongan Athariyah (pelopornya ialah Imam Ahmad r.a.), golongan Al-Asya'irah dan golongan Al-Maturidiyah.
[Lawami' Al-Anwar Al-Bahiyyah: 73].

Cuma, golongan Athariyyah tidak mempunyai manhaj aqidah yang jelas kerana ramai pihak mendakwa mewakili golongan tersebut namun mempunyai manhaj yang saling bercanggah. Walaupun ianya lebih merujuk kepada golongan Hanabilah, namun dalam kelompok mereka juga ada pertentangan hebat khususnya antara aliran Imam Abu Fadhl At-Tamimi, Imam Ibn Al-Jauzi r.a. dan sebagainya yang berpegang dengan aqidah Tanzih dengan aliran Az-Zaghuni, Qadhi Abu Ya’la, dan sebagainya yang dituduh sebagai bermanhaj Tajsim atau Isbat Ma’na Zahir Mutasyabihat (menetapkan makna zahir bagi mutasyabihat).

Imam Az-Zabidi dalam Ittihaf Saadah Al-Muttaqin (1/6-7) juga berkata bahawa,
jika dikatakan tentang ahlus-sunnah wal jamaah, maka yang dimaksudkan adalah Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah.


Imam Ahmad ibn Hajar Al-Haithami berkata:

“Ahli bid’ah ialah orang yang berpegang dengan pegangan yang berbeza dengan aqidah Ahlus-Sunnah. Adapun Ahlus-Sunnah adalah aqidah yang dipegang oleh Abu Al-Hasan Al-Asy’ari, Abu Manshur Al-Maturidi dan mereka yang mengikut (manhaj) kedua-duanya.
[Al-Fatawa Al-Hadithiyyah m/s205]

Imam Ibn Asakir r.a. juga ada menyebut (sebagaimana telah dinukil sebelum ini):

فإن قيل أن الجم الغفير في سائر الأزمان وأكثر العامة في جميع البلدان لا يقتدون بالأشعري ولا يقلدونه ولا يرون مذهبه ولا يعتقدونه وهم السواد الأعظم وسبيلهم السبيل الأقوم قيل لا عبرة بكثرة العوام ولا التفات إلى الجهال الغتام وإنما الإعتبار بأرباب العلم والاقتداء بأصحاب البصيرة والفهم وأولئك في أصحابه أكثر ممن سواهم ولهم الفضل والتقدم على من عداهم على ان الله عزوجل

Maksudnya:

“Kalau dikatakan bahawa bilangan yang ramai dalam setiap zaman dan ramai orang awam (Al-Ammah) dalam setiap tempat tidak mengikut mazhab Al-Asy’ari (tidak mendalami perbahasan aqidah dengan manhaj Al-Asy’ari), tidak bertaqlid dengan mazhabnya, tidak melihat kepada mazhabnya dan tidak berpegang dengannya sedangkan mereka (Al-Asya’irah) adalah As-Sawad Al-A’zhom dan manhaj mereka (ulama’ Al-Asya’irah) adalah manhaj yang lurus. Maka, dikatakan (sebagai jawapan) tidak diambil kira banyaknya orang awam dan tidak dipandang (sebagai kayu pengukur) pada orang-orang jahil, kerana ukuran (As-Sawad Al-A’zhom) adalah di sisi ahli ilmu dan neraca ikutan adalah kepada Ashaab Al-Bashirah (yang mempunyai pandangan mata hati/neraca ilmu) dan kefahaman sedangkan mereka (para ulama’/ahli ilmu dan sebagainya) dalam pengikut mazhab Al-Asy’ari (Ashaabnya) lebih ramai daripada selainnya (ulama’ yang bukan Al-Asya’irah)…”
[Tabyiin Kazb Al-Muftari: 134]

Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti berkata dalam khutbah beliau berjudul Al-Asya’irah wa Al-Maturidiyyah:

من هم الأشاعرة والماتريدية؟ هم اللسان الناطق والمترجم لعقيدة السواد الأعظم لهذه الأمة، والسواد الأعظم هو ما قد أمر المصطفى صلى الله عليه وسلم باتباعه ((عليكم بالسواد الأعظم)) والأحاديث التي تركز على ضرورة اتباع السواد الأعظم من الأمة الإسلامية كثيرة، وقد بلغت فيما ذكره كثير من العلماء إلى درجة التواتر المعنوي.

Maksudnya:

Siapa Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah ini? Merekalah lisan yang bertutur dan menjelaskan tentang aqidah As-Sawad Al-A’zhom bagi Ummah ini. As-Sawad Al-A’zhom adalah apa yang diakui sendiri oleh Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- dan para pengikut Baginda dengan sabda Baginda: ((hendaklah kamu bersama dengan As-Sawad Al-A’zhom)). Hadith-hadith yang menjelaskan kepentingan mengikut As-Sawad Al-A’zhom ini amat banyak sehingga mencapai tahap Mutawatir Makna di sisi para ulama’.


[Sumber: http://www.ghrib.net/vb/showthread.php?t=11860 ]

Maka, seseorang itu hendaklah menyertai golongan majoriti ulama’ dan umat Islam atau As-Sawad Al-A’zhom yang juga disebut sebagai Al-Jamaah. Antara dalil yang menunjukkan kepentingan menyertai Al-Jamaah (majoriti ulama’ dan umat Islam) ini adalah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berleluasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu dan Kami masukkan ia ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali”
. (Surah An-Nisa’: 115)

Imam Al-Khazin ketika menafsirkan ayat ini menafsirkan jalan orang-orang beriman tersebut dengan maksud Al-Jamaah. Bahkan, sebahagian ulama’ termasuk Imam As-Syafi’e menganggap dalil ini sebagai hujah Ijma’ dalam syariat Islam. [Tafsir Al-Khazin pada ayat berkenaan]

Kesepakatan Dalam Perkara Usul dalam Agama dan Perselisihan dalam Perkara Cabang

Imam Al-Munawi menyebutkan tentang As-Sawad Al-A’zhom dan Al-Jamaah:

((
وعليكم بالجماعة)) أي أركان الدين والسواد الأعظم من أهل السنة أي الزموا هديهم فيجب اتباع ما هم عليه من العقائد والقواعد وأحكام الدين

Maksudnya: “((Hendaklah kamu bersama dengan Al-Jamaah)) iaitu berpegang dengan rukun-rukun agama dan As-Sawad Al-A’zhom dari kalangan Ahlus-Sunnah. Iaitu, kamu ikutilah petunjuk mereka. Maka hendaklah seseorang itu mengikut apa yang mereka berpegang dengannya daripada Aqidah (Mazhab Aqidah), Qawa’id (Usul Aqidah dan Usul Fiqh) dan Hukum Agama (Mazhab Fiqh).
[Al-Faidh Al-Qadir 3/101]

Lihatlah Imam Al-Munawi membuat kesimpulan bahawasanya Al-Jamaah adalah suatu:

Rukun-rukun agama
As-Sawad Al-A’zhom
Ahlus-Sunnah

Maksudnya, berpegang dengan As-Sawad Al-A’zhom bererti berpegang dengan Ahlus-Sunnah. Berpegang dengan Ahlus-Sunnah bererti berpegang teguh dengan rukun-rukun agama. Berpegang dengan rukun-rukun agama tersebutlah bererti berpegang teguh dengan Al-Jamaah.

Maka, bagaimana dapat berpegang dengan As-Sawad Al-A’zhom? Imam Al-Munawi menyebutkan bahawasanya, kita perlu mengikut manhaj mereka dalam perkara-perkara aqidah, usul dan fiqh. Manhaj yang dimaksudkan sudah tentulah mazhab-mazhab Ahlus-Sunnah wal Jamaah samada dalam bidang aqidah, usul mahupun bidang fiqh. Maka, dalam tradisi pewarisan Ilmu Nabawi, ada mazhab-mazhab yang berkembang dalam bidang fiqh dan dalam bidang aqidah yang mendapat penerimaan majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman. Maka, mazhab-mazhab tersebutlah yang perlu dipertahankan kerana mazhab-mazhab tersebutlah manhaj dan kerangka umum bagi Ahlus-Sunnah wal Jamaah itu sendiri. Hal ini jelas bagi mereka yang memahami tradisi perkembangan ilmu dan konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul dalam tradisi keilmuan Islam. Manhaj dan mazhab tersebut dikenali juga sebagai aliran arus perdana dalam kalangan ulama’ Islam khususnya melibatkan masalah-masalah usul agama (bukan furu’).

Rabu, 16 Jun 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 4

Penjelasan tentang Hadith Al-Ghuraba’

Sesetengah pihak turut menjadikan hadith Ghuraba’ dalam menolak konsep As-Sawad Al-A’zhom sebagai majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman padahal hadith Ghuraba’ menceritakan tentang kurangnya dari kalangan masyarakat Islam sendiri yang ingin mengamalkan agama Islam secara sempurna walaupun ketika itu mereka sudah ramai. Ia sama sekali tidak bertentangan majoriti para ulama’ yang masih berpegang kepada manhaj dan asas kebenaran dalam agama.

Lihatlah perkataan Imam As-Sindi dalam mensyarahkan hadith Al-Ghuraba’ dengan berkata:


بِقِلَّةِ مَنْ يَقُوم بِهِ وَيُعِين عَلَيْهِ وَإِنْ كَانَ أَهْله كَثِيرً



Maksudnya: “((Akan kembali asing)) dengan sedikitnya orang yang mendirikannya (mengamalkannya) dan membantunya walaupun ramai ahlinya (penganut agama Islam).”
[Syarah Sunan Ibn Majah: no: 3976]

Hadith ini juga tidak menafikan sama sekali konsep kebenaran yang tetap bersama dengan majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam sebagaimana yang disebut dalam hadith As-Sawad Al-A’zhom. Ini kerana, kedua-dua hadith (hadith As-Sawad Al-A’zhom dengan hadith Al-Ghuraba’) membincangkan dua konteks yang berbeza. Hadith As-Sawad Al-A’zhom menjelaskan tentang majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam dalam bidang agama yang tidak akan sesat dalam masalah usul agama sedangkan hadith Al-Ghuraba’ menceritakan tentang sedikitnya orang Islam yang mengamalkan agama dengan sempurna. Jadi, sangat berbeza antara “berpegang kepada kebenaran pada perkara usul” dengan “mengamalkannya secara sempurna”. Bahkan, berbeza juga antara membandingkan keseluruhan masyarakat Islam dengan majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman yang disebut sebagai As-Sawad Al-A’zhom itu sendiri.


Oleh sebab itulah dalam Musnad Imam Ahmad ada menyebut syarah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam tentang Al-Ghuraba’ iaitulah:


الذين يصلحون إذا فسد الناس

Maksudnya:

“Mereka yang melakukan kebaikan ketika manusia sudah rosak (banyak melakukan keburukan)”.
[hadith riwayat Imam Ahmad, no: 16049]

Dalam hadith Mursal pula ada menyebut maksud Al-Ghuraba’, bahawasanya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الذين يزيدون اذا نقص الناس



Maksudnya: “Mereka yang bertambah (amalan mereka) ketika manusia berkurangan (amalan mereka)”
[Madarij As-Salikin: 3/203]



Dalam suatu penjelasan yang lain berbunyi:



الذين يحيون سنتي ويعلمونها عباد الله



Maksudnya: “(Al-Ghuraba’) adalah mereka yang menghidupkan sunnahku dan mengajarkannya kepada para hamba Allah”.
[riwayat Imam Al-Bazzar (no:3287) dalam Kasyf Al-Astar, Imam Al-Khatib dalam Syarf Ashab Al-Hadith (m/s: 38) dan Ibn Abdil Bar dalam Jami’e Bayan Al-Ilm]



Maksudnya, mereka (Al-Ghuraba’) ini masih lagi mengamalkan ajaran murni Islam secara lengkap dan sempurna kerana kesempurnaan iman mereka, berbanding dengan ramai manusia yang sudah tidak lagi mahu mengamalkan ajaran Islam secara sempurna. Namun, aqidah dan kebenaran tetap bersama dengan majoriti ulama’ Islam dan majoriti umat Islam yang mengikut para ulama’ tersebut. Oleh yang demikianlah, konsep Al-Ghuraba’ dalam hadith ini sedikit pun tidak menolak maksud As-Sawad Al-A’zhom sebagai majoriti ulama’ Islam yang memimpin bidang agama majoriti umat Islam sejak zaman berzaman secara keseluruhan dari zaman awal Islam sehingga hari ini atau lebih dikenali sebagai manhaj arus perdana.



Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله

Maksudnya:

Sentiasa satu golongan daripada umatku akan menonjol (terzahir) di atas kebenaran yang tidak dapat dimudaratkan oleh mereka yang cuba menyaingi golongan tersebut sehinggalah datangnya urusan Allah (Hari Kiamat).




[Hadith riwayat Imam Muslim, no: 3544]



Imam An-Nawawi r.a. juga mensyarahkan hadith ini dengan menyebut:



وَأَمَّا هَذِهِ الطَّائِفَة فَقَالَ الْبُخَارِيّ : هُمْ أَهْل الْعِلْم , وَقَالَ أَحْمَد بْن حَنْبَل : إِنْ لَمْ يَكُونُوا أَهْل الْحَدِيث فَلَا أَدْرِي مَنْ هُمْ ؟ قَالَ الْقَاضِي عِيَاض : إِنَّمَا أَرَادَ أَحْمَد أَهْل السُّنَّة وَالْجَمَاعَة , وَمَنْ يَعْتَقِد مَذْهَب أَهْل الْحَدِيث , قُلْت : وَيَحْتَمِل أَنَّ هَذِهِ الطَّائِفَة مُفَرَّقَة بَيْن أَنْوَاع الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُمْ شُجْعَان مُقَاتِلُونَ , وَمِنْهُمْ فُقَهَاء , وَمِنْهُمْ مُحَدِّثُونَ , وَمِنْهُمْ زُهَّاد وَآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَاهُونَ عَنْ الْمُنْكَر , وَمِنْهُمْ أَهْل أَنْوَاع أُخْرَى مِنْ الْخَيْر , وَلَا يَلْزَم أَنْ يَكُونُوا مُجْتَمعِينَ بَلْ قَدْ يَكُونُونَ مُتَفَرِّقِينَ فِي أَقْطَار الْأَرْض


Maksudnya:

“Adapun At-Tho’ifah ini maka:-

Imam Al-Bukhari berkata: Mereka adalah ahli ilmu.

Imam Ahmad bin Hanbal r.a. berkata: Kalau mereka bukan ahli hadith, maka saya tidak tahu siapa mereka.

Imam Al-Qadhi Iyadh Al-Maliki berkata: Imam Ahmad bermaksud mereka adalah Ahlus-Sunnah wal Jamaah dan mereka yang berpegang dengan mazhab ahli hadith.


Saya katakan (Imam An-Nawawi):
Golongan ini membawa maksud yang pelbagai dalam jenis orang-orang beriman yang berbeza yang mana antara mereka adalah para pejuang yang berani, para fuqaha’, para ahli hadith, ahli zuhud, mereka yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan dan sebahagian mereka adalah mereka yang dari golongan-golongan lain dalam kebaikan. Mereka ini tidak semestinya berhimpun (di sesuatu tempat atau dalam sesuatu golongan) tetapi boleh juga terpisah-pisah di serata pelusuk dunia.”
[Syarah Imam An-Nawawi kepada hadith tersebut]



Jadi, Imam An-Nawawi r.a. sendiri menceritakan tentang golongan yang ramai yang sentiasa menonjol dalam masyarakat Islam dan tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana pihak yang menyalahi mereka. Golongan tersebut adalah ahli ilmu dan para ulama’ yang berpegang kepada manhaj yang benar dalam perkara-perkara usul.



Konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul dalam Manhaj Keilmuan Islam



Konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul adalah suatu konsep asas dalam membentuk manhaj dalam aliran As-Sawad Al-A’zhom. Ini kerana, kitab-kitab karangan ulama’, manhaj dan disiplin ilmu agama sentiasa berkembang mengikut keperluan semasa dan kepentingan dalam menjaga kefahaman agama yang sahih. Setiap manhaj yang tumbuh dan disiplin ilmu baru yang berkembang dalam insititusi ulama’ sentiasa dinilai dan dikaji secara adil berdasarkan ukuran keilmuan oleh para ulama’. Maka, setiap disiplin dan manhaj yang diterima oleh As-Sawad Al-A’zhom (majoriti ulama’ Islam) akan terus dipertahankan kerana mereka tidak akan sepakat dalam kesesatan.



Selain daripada konsep penerimaan ramai ulama’ tentang kitab-kitab karangan ulama’, konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul juga berlaku dalam manhaj atau metodologi keilmuan Islam dalam rangka menjaga manhaj tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan manhaj keilmuan Islam ini adalah, suatu struktur atau kerangka umum yang menghimpunkan kaedah-kaedah dan disiplin keilmuan untuk berinteraksi dengan sumber agama secara sahih dalam usaha untuk memahami ajarannya secara sahih.



Dalam perkembangan ilmu mengenai hukum-hakam syariat Islam, ilmu fiqh pada awalnya berkembang sebagai sarana yang menghimpunkan ijtihad-ijtihad ulama’ berdasarkan sumber agama seperti Al-Qur’an, As-Sunnah dan sebagainya. Maka, sejajar dengan perkembangan ilmu-ilmu yang menjaga sumber agama seperti ilmu Nahu, Ilmu Rijal, Ilmu Qiraat dan sebagainya, ilmu-ilmu lain yang menjaga manhaj sahih dalam berinteraksi dengan sumber agama juga turut berkembang. Ilmu itu akhirnya dikenali sebagai Usul Fiqh.

Perpaduan antara Ilmu Fiqh yang merangkumi ijtihad para ulama’ dengan ilmu Usul Fiqh akhirnya dikenali sebagai mazhab fiqh. Ia adalah nama lain bagi suatu manhaj atau disiplin ilmu dalam memahami syariat Islam melalui sumbernya. Empat mazhab fiqh mendapat penerimaan dalam kalangan ulama’ Islam secara meluas walaupun pada awalnya, masih banyak mazhab-mazhab fiqh ulama’ lain yang berkembang dalam masyarakat Islam di zaman salaf.

Namun, Allah s.w.t. memelihara empat mazhab fiqh ini (iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali) dan ianya diterimapakai malah dikembangkan oleh para ulama’ Islam yang berkhidmat terhadap mazhab masing-masing. Setelah itu, tradisi Tamazhub (bermazhab) menjadi suatu tradisi yang diterima pakai oleh para ulama’ Islam secara sepakat. Tradisi Tamazhub (bermazhab) dalam kalangan ulama’ Islam sebenarnya bukanlah suatu tradisi Taqlid atau berpegang kepada sesuatu perkataan tanpa dalil, tetapi tradisi bermazhab yang diamalkan oleh ulama’ Islam adalah suatu tradisi Ittiba’ Manhaji atau mengikuti seseorang ulama’ dari sudut metodologi dan disiplin dalam berijtihad dan menggali hukum syarak daripada sumbernya.


Hatta, para ulama’ yang menerima dan mengikut sesuatu mazhab fiqh sebenarnya memperjuangkan mazhab yang dipegang dan menyebarkannya atas dasar Ijtihad mereka terhadap kebenaran sesuatu Manhaj fiqh tersebut dalam neraca umum Islam. Oleh sebab itulah, tradisi bermazhab dalam ulama’ Islam tidak boleh disamakan dengan amalan Kristian yang sekadar bertaqlid kepada para paderi mereka terdahulu tanpa suluhan wahyu kerana dari sudut sumber agama mereka sahaja sudah diragui.



Ia berbeza dengan masyarakat awam di mana masyarakat awam pada asasnya tidak mengamalkan tradisi bermazhab dalam erti kata yang khusus kepada mazhab-mazhab besar tersebut secara langsung, tetapi lebih bersifat bertalqid kepada para ulama’ dan para mufti tempatan yang menjaga urusan agama di tempat mereka. Ini kerana, mereka tidak menguasai disiplin ilmu untuk menggali hukum hakam secara sendirian dan tidak menguasai kerangka usul sesuatu mazhab sehingga dapat berinteraksi dengan sesuatu mazhab secara langsung. Secara asasnya, taqlid berbeza dengan ittiba’ yang boleh dilihat perbahasannya dalam kitab-kitab Usul Fiqh walaupun kedua-duanya adalah antara bentuk-bentuk tamazhub (tradisi bermazhab).

Tradisi bermazhab berkembang berdasarkan penilaian para ulama’ terhadap kesempurnaan manhaj penggalian hukum dan pendalilan para ulama’ mujtahid mustaqil (terasing) yang telah mereka susun seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam As-Syafi’e dan Imam Ahmad. Lalu, para fuqaha’ yan lahir setelah mereka khususnya yang mempelajari ilmu fiqh daripada para ashaab (murid-murid) para imam tersebut hanya mengembangkan sahaja manhaj para imam mujtahid tersebut. Maka, walaupun pintu ijtihad tidak ditutup sepenuhnya tetapi tiada ruang lagi untuk membuat suatu manhaj tersendiri yang baharu yang belum pernah disusun oleh para mujtahid terdahulu.

Imam Az-Zarkasyi berkata tentang perkara ini:

وهذا كله يوضح أن الضرورة دعت المتأخرين إلى اتباع المتقدمين ، لأنهم سبقوهم بالبرهان حتى لم يبقوا لهم باقية يستبدون بها ، وذلك فضل الله يؤتيه من يشاء ، ولكن الفضل للمتقدم ، وظهر بهذا تعذر إثبات مذهب مستقل بقواعد


Maksudnya:

“Ini semua menunjukkan bahawasanya sangat penting bagi golongan ulama’ terkemudian untuk mengikut golongan ulama’ terdahulu kerana mereka sudah mendahulu mereka (golongan terkemudian) dari sudut penguasaan dalil-dalil sehingga tiada lagi tersisa bagi mereka (ulama’ terkemudian) untuk menzahirkan dengannya (dalil-dalil lain). Inilah kelebihan Allah yang diberikan kepad sesiapa yang Dia kehendakinya. Akan tetapi, kelebihan tersebut ada pada golongan ulama’ terdahulu, maka terzahirlah suatu keuzuran dalam menetapkan suatu mazhab lain yang tersendiri dengan kaedah-kaedah (tersendiri)…”
[Al-Bahr Al-Muhith 8/217]



Oleh sebab itulah kita perlu fahami, di mana, sebahagian para fuqaha’ menjelaskan bahawasanya pintu Ijtihad sudah tertutup itu sebenarnya bererti, suatu Ijtihad dengan mengadakan sebuah mazhab tersendiri yang baharu, yang berbeza dengan mazhab-mazhab yang sudah diterima oleh ummah samada Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafi’e mahupun Mazhab Hanbali. Oleh yang demikian, sebahagian para fuqaha’ lain masih berpegang kepada pintu Ijtihad masih terbuka iaitulah Ijtihad Tarjihi (menguatkan salah satu daripada pendapat para ulama’ yang saling berselisihan) dan Ijtihad dalam masalah yang baharu.



Imam Al-Khattab berkata:

التقليد هو الأخذ بقول الغير من غير معرفة دليله ، والذي عليه الجمهور أنه يجب على من ليس فيه أهلية الاجتهاد أن يقلد أحد الأئمة المجتهدين سواء كان عالما أو ليس بعالم

Maksudnya:

Taqlid adalah mengambil perkataan orang lain tanpa mengetahui dalilnya. Maka, majoriti ulama’ mengatakan bahawasanya wajib bagi orang yang tidak mempunyai keahlian untuk berijtihad agar bertaqlid kepada para imam mujtahid samada orang tersebut seorang yang berilmu atau tidak.
[Mawahib Al-Jalil 1/30]



Imam Al-Ghazali r.a. berkata:

مسألة تقليد العامي للعلماء: العامي يجب عليه الاستفتاء واتباع العلماء

Maksudnya:

Masalah pada taqlid seorang awam kepada ulama’. Maka, seorang awam perlu meminta fatwa daripada para ulama’ dan mengikut para ulama’.
[Al-Mustashfa: 1/372]



Oleh sebab itulah kita dapati, para ulama’ hadith yang menguasai bidang Riwayah juga tetap mengikut mazhab fiqh para ulama’ mujtahid yang mendapat penerimaan ulama’ Islam secara sepakat. Ini kerana, mazhab fiqh sudah menghimpunkan sudut Dirayah dan Riwayah dalam bidang syariah Islamiyyah.

Antara para ulama’ hadith yang bermazhab adalah:

Bermazhab Hanafi: Imam At-Tahawi, Imam Az-Zil’ie, Imam Al-‘Aini, Imam Al-‘Ala’ie, Imam Al-Muttaqi Al-Hindi, Imam Al-Mubarakfuri, Imam Al-Azhimabadi, Imam Al-Laknawi, Imam Al-Kandahlawi dan sebagainya.

Bermazhab Maliki: Imam Ibn Abdil Bar, Imam Al-Qadhi ‘Iyadh, Imam Ibn Al-Munir, Imam Ibn Bathal, Imam Ibn Arabi, Imam Ar-Zarqani dan sebagainya.



Bermazhab Syafi’e: Imam Abu Zur’ah, Imam Ibn Abi Hatim, Imam At-Tirmizi, Imam Ibn Khuzaimah, Imam Ad-Darqutni, Imam Al-Hakim, Imam Al-Baihaqi, Imam Ar-Ruyani, Imam Al-Khatib Al-Baghdadi, Imam Ibn ‘Asakir, Imam Ibn As-Sholah, Imam An-Nawawi, Imam Al-‘Iraqi, Imam Ibn Jama’ah, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani, Imam As-Sakhawi, Imam As-Suyuti, Imam Al-Munawi dan sebagainya.

Bermazhab Hanbali: Imam Abu Daud, Imam An-Nasa’ie, Imam Al-Khallal, Imam Ibn Al-Jauzi, Imam Al-Maqdisi, Imam Ibn Rajab dan sebagainya.

[rujuk kitab At-Tamazhub m/s 111 oleh Sheikh Abdul Fattah Al-Yafi’e]


Maka, penerimaan ulama’ Islam terhadap keempat-empat mazhab fiqh tersebut adalah hasil ijtihad mereka dalam mempertahankan mazhab-mazhab tersebut terutamanya sebagai disiplin ilmu untuk memahami nas dalam bab syariat. Maka, penerimaan para ulama’ terhadap mazhab-mazhab fiqh ini menunjukkan ianya diterima baik dalam tradisi keilmuan Islam. Sebagaimana kedudukan Sahih Al-Bukhari yang diterima oleh para ulama’ secara menyeluruh sebagai sumber agama paling sahih selepas Al-Qur’an lalu ianya tidak dipertikaikan lagi, begitu jugalah mazhab-mazhab fiqh sebagai disiplin untuk menggali hukum daripada sumber agama.

Ramai orang awam tidak memahami tradisi bermazhab dalam kalangan ulama’ Islam lalu menyangka bermazhab hanya sebagai mengikut perkataan seseorang ulama’ semata-mata. Jika seseorang ulama’ berbeza pendapat dengan ulama’ sesuatu mazhab bererti sudah menyalahi mazhab imam tersebut. Ini suatu kekeliruan yang nyata berdasarkan neraca keilmuan yang sebenar.

Oleh kerana itu didapati berlaku perbezaan pendapat antara sebahagian Fuqaha’ Syafi’iyyah dengan pendapat dan ijtihad asal Imam As-Syafi’e dalam sesuatu masalah, namun tidak menjadikan para Fuqaha’ Syafi’iyyah tersebut terkeluar daripada disiplin mazhab As-Syafi’e kerana secara asasnya, mengikut mazhab seseorang ulama’ itu merujuk kepada mengikut kerangka usul Fiqh dalam sesuatu mazhab tersebut di samping ijtihad mereka. Oleh sebab itulah muncul istilah seperti Ashab Al-Wujuh (para ulama’ yang mana ijtihad mereka dirujuk dalam sesuatu mazhab), Al-Mu’tamad fi Al-Mazhab (Ijtihad yang muktamad dalam sesuatu mazhab fiqh) dan sebagainya. Mazhab Fiqh bukanlah suatu mazhab yang merujuk kepada pelopor utamanya sahaja (yang dikenali sebagai Imam Al-Mazhab), tetapi merujuk kepada para Fuqaha’ yang mengembangkan mazhab seseorang imam itu juga.

Sepertimana dalam mazhab dalam bidang fiqh, dalam bidang aqidah juga wujud mazhab-mazhab yang mencapai tahap penerimaan ulama’ Islam secara majoriti. Mazhab-mazhab tersebut adalah mazhab Al-Asy’ari dan mazhab Al-Maturidi. Mazhab-mazhab ini adalah penerus kepada pegangan As-Salaf As-Sholeh dalam masalah aqidah tetapi dirangka dalam bentuk yang lebih teratur dengan gabungan hujah secara naqli dan aqli.

Akhirnya, kedua-dua mazhab ini mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul dan terus dikembangkan oleh majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman. Ini menunjukkan keagungan dan keutuhan mazhab aqidah tersebut dalam konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul di sisi majoriti ulama’ Islam. Kedua-dua golongan ini (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah) akhirnya lebih dikenali sebagai Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Imam Az-Zabidi meriwayatkan dalam kitab tersebut bahawa: Imam Al-Khayali berkata dalam Hasyiyah ‘Ala Syarh Al-‘Aqa’id :
“Al-Asya’irah adalah ahlus-Sunnah wal Jamaah…Disebutkan juga Ahlus-Sunnah wal Jamaah kepada golongan Al-Maturidiyyah pengikut Imam Abu Manshur Al-Maturidi…”
[Ittihaf Saadah Al-Muttaqin]

Isnin, 24 Mei 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 3

Oleh : Ustaz Mukhlis

Bilangan yang Ramai Merujuk kepada Para Ulama’ dan Pengikut Mereka

Setelah kita jelaskan sebelum ini, ukuran bilangan yang ramai itu adalah merujuk kepada para ulama’ dan ahli ilmu yang menguasai ilmu-ilmu agama dan kefahaman Islam. Maka, apa yang menjadi pegangan dan kefahaman mereka dalam perkara-perkara usul dalam agama perlu diikuti. Merekalah yang menyusun manhaj dan kefahaman agama tanpa kesesatan. Merekalah yang menjaga kefahaman agama yang sahih dalam perkara-perkara usul. Ini berdasarkan nas-nas hadith yang jelas disebutkan sebelum ini. Merekalah As-Sawad Al-A’zhom, yang mana bilangan mereka adalah majoriti dalam kalangan ulama’ dalam sepanjang zaman, sehinggalah tiada lagi ulama’ yang tinggal.

Hal ini jelas berdasarkan perkataan para ulama’ sebelum ini. Imam As-Sindi dan Imam Ibn Athir menegaskan betapa As-Sawad Al-A’zhom adalah pemegang manhaj yang sahih. Itu merujuk kepada para ulama’. Bahkan, di sisi Imam As-Sindi, bilangan mereka yang memegang dengan manhaj yang sahih tersebut adalah ramai. Ini menunjukkan bahawasanya, ukuran As-Sawad Al-A’zhom merujuk kepada ramainya para ulama’ berdasarkan maksud asal perkataan As-Sawad Al-‘Azhom itu sendiri. Isyarat ini juga disebutkan oleh Imam As-Syatibi dalam kitab Al-I’thisham di mana ukuran As-Sawad Al-A’zhom merujuk kepada para ulama’ dan orang-orang awam yang mengikut manhaj majoriti ulama’ tersebut.

Lebih jelas lagi, perkataan Imam Ibn Asakir r.a. yang berkata:

فإن قيل أن الجم الغفير في سائر الأزمان وأكثر العامة في جميع البلدان لا يقتدون بالأشعري ولا يقلدونه ولا يرون مذهبه ولا يعتقدونه وهم السواد الأعظم وسبيلهم السبيل الأقوم قيل لا عبرة بكثرة العوام ولا التفات إلى الجهال الغتام وإنما الإعتبار بأرباب العلم والاقتداء بأصحاب البصيرة والفهم وأولئك في أصحابه أكثر ممن سواهم ولهم الفضل والتقدم على من عداهم على ان الله عزوجل

Maksudnya:

“Kalau dikatakan bahawa bilangan yang ramai dalam setiap zaman dan ramai orang awam (Al-Ammah) dalam setiap tempat tidak mengikut mazhab Al-Asy’ari (tidak mendalami perbahasan aqidah dengan manhaj Al-Asy’ari), tidak bertaqlid dengan mazhabnya, tidak melihat kepada mazhabnya dan tidak berpegang dengannya sedangkan mereka (Al-Asya’irah) adalah As-Sawad Al-A’zhom dan manhaj mereka (ulama’ Al-Asya’irah) adalah manhaj yang lurus. Maka, dikatakan (sebagai jawapan) tidak diambil kira banyaknya orang awam dan tidak dipandang (sebagai kayu pengukur) pada orang-orang jahil, kerana ukuran (As-Sawad Al-A’zhom) adalah di sisi ahli ilmu dan neraca ikutan adalah kepada Ashaab Al-Bashirah (yang mempunyai pandangan mata hati/neraca ilmu) dan kefahaman sedangkan mereka (para ulama’/ahli ilmu dan sebagainya) dalam pengikut mazhab Al-Asy’ari (Ashaabnya) lebih ramai daripada selainnya (ulama’ yang bukan Al-Asya’irah)…”
[Tabyiin Kazb Al-Muftari: 134]



Maka, kita dapat simpulkan bahawasanya memang benar As-Sawad Al-A’zhom adalah mengikut jumlah bilangan yang ramai. Namun, jumlah bilangan yang ramai (majoriti) itu bukan mutlak, iaitu merujuk kepada jumlah bilangan seluruh manusia yang mana majoritinya masih bukan Islam. Ia juga bukan merujuk kepada majoriti orang-orang awam Islam. Majoriti yang diukur adalah majoriti ulama’ Islam dalam setiap zaman. Maka, majoriti para ulama’ yang meneruskan manhaj majoriti ulama’ sebelum mereka, gabungan keseluruhan para ulama’ tersebutlah dinilai sebagai As-Sawad Al-A’zhom.

Orang-orang awam yang mengikut manhaj dan aliran majoriti para ulama’ dalam sepanjang zaman ini juga terangkum dalam As-Sawad Al-A’zhom dari sudut mereka mengikuti para ulama’ tersebut dalam kefahaman agama, terutamanya dalam perkara-perkara usul (asas), samada dalam aqidah, fiqh mahupun tasawwuf.

Kedudukan institusi ulama’ dalam Islam sangat penting khususnya sebagai jambatan bagi orang-orang awam untuk memahami agama Islam dengan kefahaman yang sahih daripada sumber agama. Ketika orang-orang awam cuba berlepas diri daripada institusi ulama’ khususnya pegangan As-Sawad Al-A’zhom, maka merekalah yang akan sesat.

Rasulullah –shollallahu ‘alahi wasallam- bersabda:

‏‏إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ النَّاسِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا ‏

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mencabut ilmu dengan cabutan serta merta daripada manusia. Akan tetapi, Allah s.w.t. mencabut ilmu dengan mengambil para ulama’, sehinggalah tiada lagi orang yang berilmu (ulama’), lalu manusia mengambil pimpinan dari kalangan orang-orang jahil. Mereka (orang-orang jahil) ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu lalu mereka sesat lagi menyesatkan”.
[Hadith riwayat At-Tirmizi (no: 2576)]


Jadi, pegangan As-Sawad Al-A’zhom adalah pegangan majoriti para ulama’ sejak zaman berzaman dalam perkara-perkara usul agama. Inilah yang perlu difahami secara asas, agar tidak salah dalam menggambarkan kedudukan sebenar “majoriti” tersebut.

Di sinilah juga maksud perkataan Imam Ibn Hibban r.a. yang berkata (yang bermaksud):

Sedangkan pengertian al-Jama’ah setelah sepeninggalan para Sahabat adalah orang-orang yang pada diri mereka berkumpul tiang-tiang agama, akal, dan ilmu, serta sentiasa meninggalkan hawa nafsu yang ada pada mereka dan jumlah mereka adalah sedikit. Dan bukanlah al-Jama’ah itu kumpulan manusia sebarangan dan orang-orang kecil yang tidak berilmu walaupun jumlahnya ramai.
[Shohih Ibnu Hibban: 26/6]

Jumlah mereka sedikit kerana jumlah para ulama’ memang sedikit berbanding orang-orang awam. Oleh sebab itulah, Imam Ibn Hibban r.a. menekankan para ulama’ dengan berkata: “…Dan bukanlah Al-Jamaah itu bererti kumpulan manusia sebarangan dan orang-orang kecil yang tidak berilmu walaupun jumlahnya ramai.”. Ini secara jelas menunjukkan bilangan ramai yang ditolak oleh Imam Ibn Hibban adalah jumlah ramainya orang-orang yang tidak berilmu. Adapun jumlah ramai para ulama’, itulah ukuran sebenar As-Sawad Al-A’zhom.

Sangat benar perkataaan Imam Ahmad bin Hanbal r.a. yang berkata:

هذه الأمة المرحومة قد ميزها الله تعالى على سائر الأمم بكثرة العلماء

Maksudnya: Sesungguhnya umat Islam ini adalah ummah yang dirahmati. Allah s.w.t. memberi keistimewaan kepadanya berbanding umat-umat terdahulu dengan banyaknya ulama’ (dalam umat Islam).
[Manaqib Imam Ahmad oleh Imam Ibn Al-Jauzi r.a.. Dinukilkan dalam Bara’ah Al-Asy’ariyyin m/s: 34]


Penjelasan terhadap Ayat-ayat Larangan Mengikut Ramai Manusia

Sebahagian orang menyenaraikan beberapa ayat Al-Qur’an dalam rangka untuk membatalkan kefahaman ramai para ulama’ tentang As-Sawad Al-A’zhom yang berkaitan dengan majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam dengan nas-nas yang tidak kena pada tempatnya.

Antaranya firman Allah s.w.t.:


وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ



Maksudnya: “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”
(Surah al-An’am, 6: 116)

Penolakan konsep majoriti ulama’ Islam sebagai As-Sawad Al-A’zhom dengan ayat ini adalah suatu Istidlal yang rosak (fasid) kerana konteks ayat ini tidak ada kaitan dengan konsep “majoriti ulama’ Islam” sebagai As-Sawad Al-A’zhom yang telah disebutkan. Ayat ini ditujukan kepada kebanyakan manusia di muka bumi yang sesat dan tidak mengikut kebenaran Islam sama sekali (iaitulah orang-orang kafir).

Imam At-Tabari menafsirkan “ramai manusia di muka bumi” dalam ayat ini sebagai:

))وَإنْ تُطِعْ أكْثَرَ مَنْ فِي الأرْض(( من بني آدم، لأنهم كانوا حينئذٍ كفاراً ضلالاً


Maksudnya:

“((…Jika kamu mengikuti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi…)) dari kalangan bani Adam kerana mereka pada ketika itu adalah orang-orang kafir lagi sesat…”
[Tafsir At-Tabari pada ayat ini]



Imam Al-Qurtubi juga secara jelas berkata:

قوله تعالى: { وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي ٱلأَرْضِ } أي الكفار

Maksudnya: “Firman Allah s.w.t. ((Jika kamu mengikuti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini…)) iaitulah orang-orang kafir…”
[Al-Jami’e li Ahkam Al-Qur’an]



Begitu juga dengan ayat (yang bermaksud):

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah”, mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?.”
(Surah al-Baqarah, 2: 170)

Berdasarkan Imam At-Tabari dalam tafsir beliau, melalui beberapa riwayat yang kuat daripada para ulama’ salaf, ayat ini diturunkan kepada suatu kaum daripada golongan Yahudi. Ia adalah tafsiran Saidina Ibn Abbas r.a. dan sebagainya. Bahkan, tafsiran bagi perkataan “mengikut apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek moyang kami…” berdasarkan sebahagian ulama’ salaf adalah, mereka (sebahagian golongan Yahudi tersebut) menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t.. Kesimpulannya, para mufassirin menegaskan bahawasanya, ayat ini diturunkan ke atas orang-orang kafir.

Adakah ini (menghalalkan yang haram dan sebaliknya) merupakan perbuatan nenek moyang orang-orang Islam, atau para ulama’ Nusantara? Na’uzubillah min su’ Az-Zhon bil muslimin. Hanya golongan Tabdi’e (suka menuduh bid’ah) sahaja kelihatan suka mengharamkan atau membid’ahkan (dengan hukum bid’ah yang sesat) apa yang tidak diharamkan oleh Allah s.w.t..

Jadi, bagaimana ayat yang ditujukan kepada orang-orang kafir boleh digunakan untuk menilai konsep majoriti ulama’ Islam sebagai As-Sawad Al-A’zhom? Begitu jugalah dengan ayat-ayat yang lain yang mengkritik ramai manusia, yang mana ianya ditujukan kepada orang-orang kafir. Sikap begini sangat tidak tepat. Rujuklah perkataan Saidina Ibn Umar r.a. sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari secara ta’liq tentang khawarij:-

إنهم انطلقوا إلى آيات نزلت في المشركين فجعلوها على المؤمنين

Maksudnya:

“Mereka mencari ayat-ayat al-Quran yang ditujukan kepada orang kafir tetapi mereka tujukannya kepada orang beriman”.


Oleh sebab itulah juga, Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti menegaskan tentang As-Sawad Al-A’zhom sebagai berkata:

لا السواد الأعظم من العالم، وإنما تدعوا إلى السواد الأعظم من المسلمين

Maksudnya:

Tidaklah maksud As-Sawad Al-A’zhom (dalam seruan mengikut As-Sawad Al-A’zhom itu) daripada seluruh alam (merangkumi semua manusia termasuk orang-orang kafir) tetapi As-Sawad Al-A’zhom dari kalangan orang-orang Islam.


[Sumber: http://www.ghrib.net/vb/showthread.php?t=11860 ]

Selasa, 11 Mei 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 2

Oleh : Ustaz Mukhlis

Kita juga boleh merujuk syarah Imam As-Sindi dalam perbahasan ini. Dalam hadith riwayat Sunan Ibn Majah, Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:


إِنَّ أُمَّتِي لَا تَجْتَمِعُ عَلَى ضَلَالَةٍ فَإِذَا رَأَيْتُمْ اخْتِلَافًا فَعَلَيْكُمْ ‏بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ ‏

Maksudnya:

Sesungguhnya umatku tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan, maka hendaklah kamu mengikut As-Sawad Al-A’zhom.
[Sunan Ibn Majah no: 3940]



Imam As-Sindi berkata dalam syarah hadith ini:



قَوْله ( بِالسَّوَادِ الْأَعْظَم ) ‏

أَيْ بِالْجَمَاعَةِ الْكَثِيرَة فَإِنَّ اِتِّفَاقهمْ أَقْرَب إِلَى الْإِجْمَاع قَالَ السُّيُوطِيُّ فِي تَفْسِير السَّوَاد الْأَعْظَم أَيْ جَمَاعَة النَّاس وَمُعْظَمهمْ الَّذِينَ يَجْتَمِعُونَ عَلَى سُلُوك الْمَنْهَج الْمُسْتَقِيم

Maksudnya:

“Sabda Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-: ((dengan As-Sawad Al-A’zhom))



Iaitu: Suatu jamaah yang ramai. Sesungguhnya, kesepakatan mereka (para ulama’ yang ramai tersebut) dekat dengan Ijma’. Imam As-Suyuti r.a. berkata pada tafsiran bagi As-Sawad Al-A’zhom iaitulah: Jamaah manusia yang mana kebanyakan mereka yang berhimpun dalam suatu jalan metodologi yang lurus (manhaj keilmuan yang benar). [Syarah Sunan Ibn Majah oleh Imam As-Sindi]

Ini menunjukkan bahawasanya As-Sawad Al-A’zhom adalah suatu jumlah bilangan yang ramai yang berpegang dengan manhaj yang sahih. Maka, boleh dikatakan, manhaj tersebut merujuk kepada sebuah aliran arus perdana yang dipegang oleh ramai orang. Sudah pasti, ramai orang tersebut merujuk kepada ahli ilmu atau para ulama’ yang menyusun, memegang dan menjaga manhaj yang lurus tersebut lalu diikuti oleh ramai masyarakat awam. Namun, ukurannya yang utama adalah para ramainya ahli ilmu dan para ulama’ yang berpegang kepada sesuatu manhaj keilmuan dan kefahaman terhadap agama.

Imam Ibn Al-Athir juga berkata dalam mensyarahkan perkataan As-Sawad Al-A’zhom dalam hadith tersebut:

وفيه [ عليكم بالسَّوادِ الأعْظَم ] أي جُمْلة النَّاس ومُعْظَمهم الذين يجتمعون على طاعة السُّلطان وسُلُوك النَّهج المُسْتقيم

Maksudnya:

“Dan yang dimaksudkan dengan ((Alaikum bi as-Sawadul A'zham)) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemimpin) dan berjalan di atas jalan yang benar (lurus).
[An-Nihayah Fi Ghoribil Hadis: 2/1029]


Menurut Imam Ibn Al-Athir juga, As-Sawad Al-A’zhom berkaitan dengan kebanyakan manusia yang berhimpun dalam pegangan manhaj yang lurus. Jadi, ia juga merujuk kepada sebuah aliran atau manhaj arus perdana atau mainstream yang dipegang oleh majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman.

Dalam institusi ulama’ Islam dan perkembangan bidang keilmuan Islam, konsep As-Sawad Al-A’zhom sangat jelas khususnya bagi merujuk kepada golongan yang berpegang teguh dengan manhaj sahih dalam berinteraksi dengan nas-nas agama dan golongan yang berada di atas landasan kebenaran sejak zaman berzaman.

Penjelasan terhadap Perkataan Imam Ibn Rahuyah

Ada sesetengah pihak mendakwa perkataan Ibn Rahuyah menolak konsep As-Sawad Al-A’zhom itu mengikut jumlah ramainya golongan. Mereka menukilkan perkataannya yang berkata:

Ishaq (bin Rahuyah) berkata (sebagaimana yang dibawakan oleh Imam asy-Syathibi):

لو سألت الجهال عن السواد الأعظم لقالوا: جماعة الناس ولا يعلمون أن الجماعة عالم متمسك بأثر النبي صلى الله عليه و سلم وطريقه فمن كان معه وتبعه فهو الجماعة

Maksudnya:

Jika kamu bertanya kepada orang-orang yang jahil berkenaan maksud as-Sawad Al-A’zhom, sudah tentu mereka akan menjawab: majoriti/himpunan manusia, dan sebenarnya mereka tidak mengetahui bahawa al-Jama’ah itu adalah seorang alim yang berpegang teguh kepada atsar (jejak/prinsip) Rasulullah -Shallallahu ‘alaihi wa Sallam- serta golongan yang sentiasa bersama beliau, dan mereka yang mengikutinya adalah al-Jama’ah.
[Al-I’thisham 3/300-315 pada masalah ke-17, cetakan Maktabah At-Tauhid]


Dalam perkataan Imam Ibn Rahuyah ini sedikit pun tidak mengingkari pendirian dan maksud bahawasanya As-Sawad Al-A’zhom adalah berkaitan dengan majoriti ulama’ Islam yang memimpin majoriti umat Islam kerana menurut Ibn Rahuyah, orang-orang jahil mengatakan bahawa As-Sawad Al-A’zhom adalah jemaah manusia secara umum. Sedangkan, apa yang kita tegaskan, bilangan yang ramai merujuk kepada jumlah ramainya para ulama’ yang berpegang dengan sesuatu manhaj, bukan merujuk kepada jumlah ramainya manusia termasuklah bilangan orang awam yang jahil.

Maka, lihatlah Imam Ibn Rahuyah menyebut setelah itu bahawasanya, Al-Jamaah adalah dengan mengikut seorang sahaja yang berilmu yang berpegang dengan Athar Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam, apatah lagi jika mereka mengikut majoriti ulama’ Islam yang berilmu dan berpegang dengan Athar Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam? Maka, jumlah ramainya para ulama’ yang berpegang dengan sesuatu manhaj itu juga adalah ukuran Al-Jama’ah yang lebih utama berbanding hanya satu dua individu yang terpinggir daripada majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman.

Hal ini sangat jelas berdasarkan perkataan Imam As-Syatibi sendiri yang menyebut setelah itu:

فانظر في حكايته تتبين غلط من ظن أن الجماعة هي جماعة الناس وإن لم يكن فيهم عالم وهو وهم العوام لا فهم العلماء فليثبت الموفق في هذه المزلة قدمه لئلا يضل عن سواء السبيل ولا توفيق إلا بالله

Maksudnya:

Maka lihatlah, dari sini kita dapat mengetahui kesalahan orang yang menyangka bahawa Al-Jama’ah itu adalah kelompok (atau majoriti) manusia, walaupun tidak terdapat seorang alim pun dalam kelompok mereka. Ia hanyalah prasangka orang-orang awam, bukannya kefahaman para ulama. Dari itu, kita perlulah memperteguhkan pendirian kita supaya tidak tergelincir sebagaimana mereka dan supaya tidak tersesat memasuki jalan yang buruk. Tiada taufiq untuk itu melainkan hanya dari Allah.
[Al-I’thisham 3/300-315 pada masalah ke-17, cetakan Maktabah At-Tauhid]


Lihatlah betapa Imam As-Syatibi mengatakan ukuran “majoriti” yang salah jika melihat dari sudut ramainya golongan “awam” yang tiada ulama’ dalam kalangan mereka. Sedangkan, “majoriti” yang ditegaskan oleh kita dan para ulama’ sebelum ini adalah “majoriti ulama’” Islam itu sendiri, yang memimpin majoriti umat Islam dalam bidang agama. Maka, jika majoriti atau ramai bilangan itu merujuk kepada para ulama’, lalu mereka diikuti oleh majoriti umat Islam, maka itu adalah suatu yang dipersetujui oleh Imam As-Syatibi sendiri dalam kitab Al-I’thisham tersebut.

Bagi pengkaji yang adil, dia boleh membaca ungkapan Imam As-Syatibi sebelum beliau meriwayatkan perkataan Ibn Rahuyah tersebut. Lebih adil dan teliti lagi, rujuklah kitab Al-I’tisham terus, bukan rujuk ringkasan (Mukhtasar Al-I’thisham) apa lagi versi terjemahan. Lihat sendiri dengan mata keilmuan di mana Imam As-Syathibi r.a. berkata:

وذلك أن الجميع اتفقوا على اعتبار أهل العلم والاجتهاد، وسواء ضموا إليهم العوام أم لا، فإن لم يُضَمُّوا إليهم فلا إشكال أن الاعتبار إنما هو بالسواد الأعظم من العلماء المعتبر اجتهادهم، فمن شذَّ عنهم فمات فميتته جاهلية، وإن ضموا إليهم العوام فبحكم التبع لأنهم غير عارفين بالشريعة، فلابد من رجوعهم في دينهم إلى العلماء فإنهم لو تمالؤا على مخالفة العلماء فيما حدُّوا لهم لكانوا هم الغالب، والسواد الأعظم في ظاهر الأمر، لقلة العلماء وكثرة الجهال، فلا يقول أحد: أنّ اتباع جماعة العوام هو المطلوب، وأن العلماء هم المفارقون للجماعة والمذمومون في الحديث، بل الأمر بالعكس، وإن العلماء هم السواد الأعظم وإن قلوا، والعوام هم المفارقون للجماعة إن خالفوا، فإن وافقوا فهو الواجب عليهم.

Maksudnya:

Sesungguhnya semua (kelima-lima perkataan tentang As-Sawad Al-A’zhom) sepakat bahawasanya yang diukur adalah Ahli Ilmu dan Ijtihad, samada ianya merangkumi golongan awam ataupun tidak. Jika tidak merangkumi orang-orang awam, maka tidak ada keraguan lagi bahawasanya ukuran As-Sawad Al-A’zhom adalah merujuk kepada para ulama’ yang diakui ijtihad mereka. Sesiapa yang terasing daripada mereka (para ulama’ muktabar), maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah. Jika dirangkumkan juga orang-orang awam (dalam mafhum As-Sawad Al-A’zhom), maka ia kerana hukum mengikut As-Sawad Al-A’zhom (iaitu, orang-orang awam mengikut majoriti para ulama’ yang muktabar tersebut). Ini kerana, mereka tidak mengetahui tentang syariah. Maka, hendaklah mereka (orang-orang awam) merujuk kepada para ulama’ dalam urusan agama mereka. Jika mereka (orang-orang awam) beramai-ramai ingin menyalahi ulama’ terhadap batasan yang telah mereka bataskan (dalam manhaj dan disiplin ilmu), maka nescaya merekalah yang menjadi golongan yang mendominasi, dan As-Sawad Al-A’zhom pada zahirnya, kerana kurangnya para ulama’ dan ramainya orang-orang jahil. Namun, tidak ada seorang pun berkata bahawasanya mengikut jamaah awam adalah yang dituntut (kerana mereka ramai) sedangkan para ulama’ pula terkeluar daripada jemaah dan dicela dalam hadith ini. Bahkan, apa yang betula dalah sebaliknya. Para ulama’ tetap As-Sawad Al-A’zhom walaupun sedikit (berbanding orang-orang awam) sedangkan orang-orang awam-lah yang keluar daripada jemaah jika mereka menyalahi para ulama’ (aliran arus perdana dalam kalangan ulama’). Jika mereka mengikut manhaj para ulama’, maka itulah kewajipan mereka.
[Al-I’thisham 3/300-315 pada masalah ke-17, cetakan Maktabah At-Tauhid]


Jelaslah di sisi Imam As-Syathibi sendiri, jika ukuran ramai itu merujuk kepada para ulama’, maka itulah maksud sebenar As-Sawad Al-A’zhom. Beliau cuma menafikan jika orang-orang awam Islam yang lebih ramai daripada para ulama’ dalam sesuatu zaman, lalu mereka (orang-orang awam) menyalahi manhaj para ulama’ (arus perdana di sisi ulama’ muktabar), kemudian As-Sawad Al-A’zhom dinilai pada banyaknya orang-orang awam berbanding para ulama’. Ukuran beginilah yang salah menurut beliau. Tetapi, jika sesama para ulama’, sudah semestinyalah ukuran majoriti ulama’ merupakan suatu ukuran yang benar berbanding keterasingan mereka yang menyalahi majoriti ulama’ tersebut dalam sesuatu aliran, pegangan dan kefahaman yang usul terhadap agama Islam.

Oleh sebab itulah juga, kita tegaskan bahawasanya, dalam bidang aqidah misalnya, Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah (di samping sebahagian Hanabilah yang berpegang dengan aqidah murni Imam Ahmad dan tidak terlibat dengan fahaman Tajsim) adalah Al-Jama’ah atau As-Sawad Al-A’zhom. Bahkan dalam kelompok merekalah menghuninya majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman. Siapakah Imam Al-Baihaqi, Imam Al-Baqillani, Imam Al-Bulqini, Imamul Haramain Al-Juwaini, Imam Al-Ghazali, Imam Al-Razi, Imam Ibn Asakir, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani, Imam An-Nawawi, Imam As-Subki dan sebagainya yang terdiri dari kalangan Al-Asya’irah yang merupakan As-Sawad Al-A’zhom sebagaimana yang kita tegaskan, jika mereka bukan dari kalangan para ulama’? Jadi, benarlah menurut kita, majoriti itu dinilai dari sudut ramainya para ulama’ yang berpegang dengan sesuatu manhaj sebagaimana ditegaskan oleh Imam Ibn Asakir dalam Tabyiin Kazb Al-Muftari yang akan disentuh kemudian.

Ada sesetengah pihak juga merujuk pada zaman Imam Ahmad r.a. di mana beliau dikatakan bersendirian dalam berpegang dengan aqidah yang benar. Ini suatu perkataan dusta terhadap sejarah murni Islam. Ketika berlaku fitnah tersebarnya fahaman Al-Qur’an adalah makhluk, Imam Ahmad r.a. adalah antara yang paling menonjol dalam menolaknya di hadapan pemerintah. Oleh sebab itulah, beliau disiksa. Namun, pendirian majoriti ulama’ Islam pada ketika itu juga tetap menolak fahaman Al-Qur’an makhluk yang merupakan fahaman Mu’tazilah. Bahkan, ada juga sebahagian ulama’ yang bangkit secara terbuka menentang fahaman tersebut, sebelum Imam Ahmad r.a. lagi. Antara mereka adalah, Al-Muhaddith Affan bin Muslim Al-Kufi, Al-Imam Al-Muhaddith Abu Na’im Al-Fadhl, Imam Al-Khaza’ie, Imam Abdul A’la Al-Ghassani As-Syami, Imam Muhammad bin Nuh Al-Maruzi, Imam Nu’aim bin Hamad, Imam Al-Buwaithi (murid Imam As-Syafi’e r.a.) dan sebagainya yang mati dalam penjara ketika mempertahankan aqidah murni Islam [rujuk Bara’ah Al-Asy’ariyyin: m/s 32]

Cuma, kebanyakan ulama’ lain tidak menzahirkan pertentangan secara terbuka seperti para ulama’ tersebut. Jadi, tidak boleh dikatakan hanya Imam Ahmad r.a. seorang sahaja, yang berpegang dengan aqidah murni Islam pada ketika itu dan mempertahankannya, kerana masih ramai lagi ulama’ yang berpegang dengannya khususnya murid-murid kepada Imam Abu Hanifah r.a., murid-murid kepada Imam Malik r.a., murid-murid kepada Imam As-Syafi’e’ r.a. dan sebagainya.

Isnin, 10 Mei 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang “As-Sawad Al-A’zhom” Bab 1

Oleh : Ustaz Mukhlis


Pendahuluan


Allah s.w.t. sentiasa merahmati umat Islam dengan menjaga ketulenan dan keaslian ajaran agama mereka sepanjang zaman. Oleh yang demikian, ketika Allah s.w.t. menyampaikan wahyu Al-Qur’an kepada Rasulullah –shollallahu ‘alahi wasallam-, Allah s.w.t. juga menegaskan bahawasanya Dia juga akan menjaga Al-Qur’an tersebut. Antara cara Allah s.w.t. menjaga Al-Qur’an adalah dengan melahirkan dalam setiap generasi umat Islam, ada para ulama’ dan ahli ilmu yang sentiasa menjaganya dari sudut lafaz mahupun maknanya.

Imam Al-Razi r.a. menyebut dalam tafsirnya terhadap ayat ke-9 daripada Surah Al-Hijr, bahawasanya, antara cara Allah s.w.t. menjaga Al-Qur’an adalah dengan menjadikan para sahabat r.a. menyusun Al-Qur’an dalam satu Mashaf. Begitulah seterusnya, di mana muncul ramai ulama’ muktabar terus menjaga isi kandungan Al-Qur’an dari sudut lafaz mahupun maknanya. Penjagaan terhadap sumber dan kefahaman sahih Islam bukan terbatas kepada sesuatu zaman sahaja, tetapi akan terus terpelihara sehinggalah akhir zaman.

Antara konsep yang wujud dalam institusi keilmuan Islam yang menjaga kefahaman sahih terhadap agama Islam melalui sumbernya adalah konsep As-Sawad Al-A’zhom. Konsep ini adalah suatu konsep yang disebutkan sendiri oleh Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam-. Sesetengah pihak cuba memalingkan konsep ini daripada maknanya yang asal kerana mereka sudah menyalahi konsep itu sendiri. Mereka cuba menjadikan keganjilan (syaz) mereka sebagai kebenaran dan majoriti ulama’ Islam yang berbeza dengan mereka sebagai golongan yang sesat.


Penulis yang faqir telah menyusun sebuah risalah yang mengandungi perbahasan terperinci mengenai As-Sawad Al-A’zhom dalam sebuah siri perbahasan berjudul “Ilmu Warisan Nabawi Merentasi Zaman”. Ini kerana, ianya merupakan suatu konsep yang perlu difahami menerusi perkembangan bidang keilmuan Islam di sisi para ulama’ secara menyeluruh. Namun di sini, disebabkan permintaan beberapa teman yang jujur dalam inginkan penjelasan, penulis mengambil sebahagian tulisan tersebut dan meringkaskannya serta menambah beberapa perbahasan bagi menumpukan topik As-Sawad Al-A’zhom ini secara lebih khusus. Para pembaca boleh merujuk kepada tulisan asal “Ilmu Warisan Nabawi Merentasi Zaman (siri kedua)” yang berjudul: “As-Sawad Al-A’zhom dalam Tradisi Keilmuan Islam”.

Begitu juga dengan tulisan-tulisan sebelum itu yang mungkin mengandungi banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Antaranya adalah seperti tulisan berjudul Mafhum Al-Jamaah dalam Neraca As-Sunnah.

As-Sawad Al-A’zhom dalam Institusi Ulama’ Islam


Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- mewariskan sumber agama iaitulah Al-Qur’an dan As-Sunnah dan mewariskan juga manhaj dalam berinteraksi dengan nas-nas Islam tersebut kepada para sahabat r.a. [rujuk hadith tentang Saidina Mu’az bin Jabal r.a. yang diutuskan ke Yaman]. Maka, para sahabat r.a. mewariskannya pula kepada para ulama’ pada generasi setelah mereka sehingggalah ianya diwarisi secara silsilah dalam suatu tradisi pembelajaran Islam yang sempurna sebagaimana telah disebutkan tadi.

Maka, antara ciri-ciri keistimewaan umat Islam adalah, para ulama’ yang mewarisi ilmu nabawi dengan jalan warisan yang muktabar (sistem talaqqi bersanad) tidak akan bersepakat dalam kesesatan. Janji ini telah dijelaskan sendiri oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-. Bahkan, ketika berlakunya perpecahan dalam perkara-perkara usul, maka kebenaran tetap bersama majoriti ulama’ Islam yang mewarisi ilmu nabawi dengan manhaj pengajian ilmu agama yang sahih. Golongan majoriti ulama’ Islam tersebutlah dikenali sebagai As-Sawad Al-A’zhom atau Ahlus-Sunnah wal Jamaah.



Jika kita singkapi kitab-kitab sejarah, Tabaqat, Tarikh dan sebagainya yang menceritakan tentang perkembangan institusi ulama’ dalam masyarakat Islam, maka kita akan dapati majoriti ulama’ berpegang teguh dengan dasar kesepakatan asas (usul) yang sama dan tidak saling bertentangan antara mereka secara meluas. Perselisihan hanya pendapat dan ikhtilaf berlaku dalam perkara-perkara cabang atau bersumberkan sumber yang zhonni (tidak muktamad) samada dalam aqidah mahupun syariat. Pertembungan kuat dalam perkara usul yang berlaku dalam wacana ilmiah adalah melibatkan golongan As-Sawad Al-A’zhom dengan golongan pinggiran (syaz) yang sesat atau terseleweng daripada manhaj ilmiah Islam yang sebenar, di sepanjang zaman.

As-Sawad Al-A’zhom dalam Neraca As-Sunnah
Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:



لا يجمع الله هذه الأمة على الضلالة أبدا…يد الله على الجماعة فاتبعوا السواد الأعظم فإنه من شذ شذ في النار



Maksudnya: “Tidak akan Allah himpunkan umat ini ke dalam kesesatan selama-lamanya. Yadd (bantuan) Allah di atas Al-Jamaah. Maka ikutilah As-Sawad Al-A’zhom kerana sesiapa yang syaz (terasing) bererti terasing dalam neraka.”


[Hadith riwayat At-Tirmizi, Al-Hakim (no:358), At-Tabrani (Al-Mu’jam Al-Kabir: no: 13461), Al-Baihaqi dalam Al-Asma’ wa As-Sifat dan sebagainya]

Sheikhuna (guru kami) Al-Allamah Al-Muhaddith As-Sayyid Muhammad bin Ibrahim Al-Kattani hafizahullah berkata dalam kitab beliau Ibra’ Az-Zimmah (m/s: 41):

Jika seseorang berkata:
“Tidak semestinya maksud As-Sawad Al-A’zhom itu adalah banyak dan dominan. Bahkan, boleh jadi juga maknanya dominasi kebenaran walaupun kurang orang yang mempertahankannya”.

Maka, saya (Sheikh Ibrahim) berkata: “Sesungguhnya hadith-hadith dengan kandungan As-Sibaq (perkataan sebelumnya) dan As-Siyaq (konteks) menunjukkan makna As-Sawad adalah: Al-Ummah (jumlah bilangan yang ramai)”.
- tamat nukilan -



Antara petunjuk dan konteks yang menunjukkan kepada jumlah yang ramai adalah:


Dalam hadith riwayat Al-Hakim, Abu Nu’aim dan sebagainya tadi menyebut di hujung hadith tersebut yang bermaksud:

“…Sesungguhnya sesiapa yang syaz (terasing) bererti terasing dalam neraka”.


Perkataan “…sesiapa yang terasing…” sudah jelas menunjukkan maksud As-Sawad Al-A’zhom adalah lawan bagi keterasingan tersebut iaitulah bilangan yang ramai. Namun, kita akan sebutkan selepas ini bahawa, ukuran “bilangan yang ramai” pada setiap zaman dalam hadith tersebut tidaklah mutlak kepada seluruh manusia termasuk orang-orang kafir dan bukan juga multak kepada orang-orang awam Islam. Hal ini akan dibincangkan kemudian, insya Allah.

Dalam hadith yang lain, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda yang bermaksud:

“…Aku tidak menyembunyikan sesuatupun (daripada kebenaran). Hendaklah kamu semua bertaqwa dan bersama-sama dengan jamaah. Janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang terkeluar daripada jamaah). Sesungguhnya (dengan keluar dari jamaah) itulah kesesatan. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menghimpun umat Muhammad dalam kesesatan”
[Hadith riwayat At-Tabrani]

Hadith ini menunjukkan maksud As-Sawad Al-A’zhom adalah Al-Jama’ah. Al-Jama’ah sudah tentu merujuk kepada suatu golongan yang ramai, terutamanya jika kita gandingkan dengan petunjuk pertama tadi di mana lawan bagi As-Sawad Al-A’zhom adalah syaz atau keterasingan.

Hal ini lebih jelas dalam hadith lain, di mana Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:


عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ ‏ ‏الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ ‏ ‏بُحْبُوحَةَ ‏ ‏الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ


Maksudnya:

“…Hendaklah kamu menyertai jamaah dan janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang tersesat). Sesungguhnya syaitan bersama yang satu sedangkan ia dengan yang dua lebih jauh (berbanding dengan yang satu). Sesiapa yang mahu menghuni taman syurga, maka hendaklah dia mengikut jamaah”



[Hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi (no: 2091) dan Al-Hakim]


Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda lagi:

عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ ‏ ‏الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ

Maksudnya:

“Hendaklah kamu bersama-sama dengan Al-Jamaah. Dan janganlah kamu berpecah-belah. Sesungguhnya, syaitan itu berserta dengan yang satu, sedangkan dia lebih jauh daripada yang dua (berbanding yang satu tersebut)”.

[Hadith ini riwayat At-Tirmizi (4/465) daripada jalan Saidina Umar r.a.. Diriwayatkan juga oleh Al-Hakim (1/197), Al-Baihaqi (7/91) dan Imam Ahmad (1/18 no: 114). Imam Al-Hakim berkata: “hadith ini sahih mengikut syarat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim”]

Dalam hadith-hadith tersebut juga mengandungi isyarat yang jelas tentang bilangan yang ramai. Ia terzahir pada perkataan Al-Jamaah dan perkataan: ((وهو عن الإثنين أبعد الشيطان مع الواحد ))
(maksudnya: Syaitan bersama yang satu sedangkan dia lebih jauh darpada yang dua berbanding yang satu).

Ini suatu perumpamaan dalam bentuk nisbah, iaitu ((2:1)). Di mana, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- mengingatkan bahawasanya, syaitan itu akan bersama dengan yang satu berbanding yang dua orang. Maknanya, syaitan akan bersama-sama dengan minoriti berbanding yang majoriti. Ini menunjukkan jemaah yang dimaksudkan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah golongan majoriti dalam kalangan ulama’ dan umat Islam. Oleh yang demikian juga, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- mengingatkan supaya tidak beserta dengan golongan pinggiran dan ganjil kerana syaitan bersama dengan golongan pinggiran.


Ketika membahaskan tentang kepentingan berpegang dengan Ahlus-Sunnah wal Jamaah, Imam Ibn Al-Jauzi r.a. juga ada meriwayatkan sebuah hadith dengan sanad yang bersambung kepada Rasulullah shollallahu ‘alahi wasallam:

اثنان خير من واحد وثلاثة خير من اثنين وأربعة خير من ثلاثة فعليكم بالجماعة فإن الله عز وجل لم يجمع أمتي إلا على الهدى

Maksudnya:

“Dua itu lebih baik daripada satu. Tiga itu lebih baik daripada dua. Empat itu lebih baik daripada tiga. Hendaklah kamu bersama dengan Al-Jama’ah kerana sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menghimpunkan umatku melainkan di atas kebenaran.”
[hadith riwayat Imam Ahmad pada no: 20331 dan dikeluarkan juga oleh Imam Ibn Al-Jauzi dalam Talbis Iblis]

Ini menunjukkan kuantiti yang banyak dalam kalangan umat Islam khususnya dari kalangan ahli ilmu (ulama’) sangat berkait rapat dengan maksud Al-Jama’ah dan As-Sawad Al-A’zhom yang dijamin kebenaran mereka oleh Rasulullah shollallahu ‘alahi wasallam sendiri.

Hadith lain juga menyebut tentang kepentingan mengikut majoriti umat Islam dengan perkataan ((العامة )) iaitu yang umum [hadith riwayat Ahmad]. Adapun istilah am atau ammah digunakan dalam bermaksud, kebanyakan umat Islam yang dipimpin oleh majoriti ulama’ Islam.

Dalam hadith riwayat Ahmad tersebut juga menyebut bahawa, syaitan umpama serigala yang mencari mangsa kambingnya. Jadi, syaitan berpeluang menangkap kambing yang terpinggir dari kelompok kumpulannya. Perumpamaan ini adalah jelas menunjukkan, celaan terhadap golongan minoriti yang keluar daripada kelompok majoriti umat Islam khususnya dalam masalah usul termasuklah masalah aqidah Islam. Jadi, syaz dan minoriti dicela oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam galakan supaya kita beserta dengan golongan majoriti umat Islam. Ukuran As-Sawad Al-A’zhom atau majoriti itu dinilai pada bilangan ahli ilmu umat Islam, bukan dari sudut orang awam kerana ijtima’ ummah (kesepakatan ummah) itu merujuk kepada kesepakatan ulama’.