CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :
Selasa, 25 September 2012
Status Hadith : Wanita Harus Menjadi Imam
Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni
Soalan: Ada tak hadis wanita boleh menjadi imam bagi jemaah wanita? Kerana ada yang mengatakan wanita tak perlu berjemaah sesama mereka dan Rasulullah SAW sendiri bersabda, “Sebaik-baik salat bagi wanita adalah di sudut rumahnya” (HR Ahmad dan lain-lain) iaitu secara sendirian.
Jawapan:
Ada sebuah hadis.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya (بَاب إِمَامَةِ النِّسَاءِ) (591- 592) daripada ‘Abd ar-Rahman bin Khallad al-Ansari dan Laila binti Malik daripada Ummu Waraqah binti ‘Abdullah al-Ansariyyah r.a., seorang sahabiah yang pandai membaca al-Quran – secara ringkasnya - bahawa beliau pernah meminta izin kepada Nabi SAW untuk menugaskan di dalam rumahnya seorang mu’azzin, lalu baginda pun mengizinkannya. Baginda menyuruh beliau supaya menjadi imam kepada ahli rumahnya. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku pernah melihat mu'azzinnya adalah seorang lelaki tua yang lanjut usianya”.
Hadis Ummu Waraqah r.a. ini juga telah diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, al-Hakim dalam al-Mustadrak, Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (1676), al-Bayhaqi dalam al-Sunan al-Kubra, al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir dan al-Daraqutni dalam Sunannya. Kesemuanya dari jalur al-Walid bin ‘Abdullah bin Jumai‘, seorang perawi yang dihukum thiqah atau (لا بأس به) oleh ramai ulama al-jarh wa al-ta‘dil.
Pendapat yang menolak hadis ini kerana ‘Abd ar-Rahman bin Khallad al-Ansari adalah seorang perawi yang majhul. Namun, riwayat beliau tidak bersendirian kerana ia telah diiringi (mutaba‘ah) oleh riwayat Laila binti Malik yang juga seorang perawi majhul. Dari sudut ini, ada pendapat yang melihat ianya tetap tidak dapat mengukuhkan antara satu sama lain. Manakala satu pendapat lagi mengatakan ianya dapat mengukuhkan antara satu sama lain dan menjadikan sanad hadis ini meningkat kepada darjat hasan.
Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut dalam (بلوغ المرام): “Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan ia disahihkan oleh Ibn Khuzaimah”, seolah-olah beliau mengakui dan menerima pentashihan Ibn Khuzaimah tersebut. Al-‘Allamah al-‘Aini dalam (البِنَاية شرح الهِدَاية) menyatakan hadis ini adalah sahih.
Hadis ini dikuatkan oleh beberapa athar daripada ‘A’isyah RA, Ummu Salamah RA dan Ibn ‘Abbas RA yang menunjukkan wanita boleh menjadi imam kepada jemaah wanita. Antaranya, al-Hakim meriwayatkan daripada ‘Ata’ katanya:
أَنَّهَا كَانَتْ تُؤَذِنُ وَتُقِيمُ وَتَؤُمُ النِّسَاءَ، وَتَقُومُ وَسْطَهُنَّ.
Maksudnya: “Beliau [‘A’isyah RA] pernah melaung azan, iqamah dan mengimamkan jemaah wanita serta berdiri di tengah-tengah mereka”.
Para ulama' telah berbeza pendapat dalam memahami hadis Ummu Waraqah r.a. di atas. Sebahagian mereka menjadikan ianya khusus kepada Ummu Waraqah r.a. sahaja dan sebahagian yang lain pula menganggap dibolehkan perempuan menjadi imam kepada ahli keluarganya yang perempuan sahaja dan tidak dibolehkan menjadi imam kepada wanita selain keluarganya serta di luar rumahnya.
Berdasarkan dalil-dalil di atas, menurut sebahagian ulama seperti mazhab al-Syafi‘i dan pendapat yang rajih dalam mazhab Hanbali, wanita boleh menjadi imam solat berjemaah yang makmumnya hanya wanita, seperti yang dilakukan oleh ‘A’isyah RA dan Ummu Salamah RA. Ia adalah mustahab.
Imam ‘Abd al-Hayy al-Laknawi al-Hanafi (w. 1304H) telah mengupas masalah ini dengan baik di dalam kitabnya (تحفة النبلاء في جماعة النساء). Beliau menyokong pandangan mazhab al-Syafi‘i dan lain-lain yang bersamanya serta menolak pandangan ulama Hanafiyyah yang mengatakannya makruh.
Hadis di atas dalil yang menunjukkan keharusan wanita berbuat demikian dan tidak bertentangan dengan hadis: “Sebaik-baik solat bagi wanita adalah di sudut rumahnya” (HR Ahmad dan lain-lain). Kerana kedua-duanya merujuk kepada kesesuaian situasi individu. Lihat bagaimana syarak menjaga kedudukan istimewa kaum wanita hatta dalam ibadah.
Nabi SAW menyatakan ganjaran pahala 27 kali ganda bagi solat berjemaah adalah untuk direbut oleh sesiapa sahaja, termasuklah wanita. Sebab itu kaum wanita di zaman Baginda SAW tidak dihalang untuk pergi ke masjid bersolat jemaah. Dan pada masa yang sama baginda amat prihatin dalam menjaga kehormatan mereka. Justeru, wanita yang berpeluang dan berkesempatan bersolat jemaah, maka ia bolehlah bersolat jemaah. Apatah lagi jika berada di Masjid al-Haram atau Masjid Nabawi yang besar ganjaran pahalanya. Manakala yang tidak berpeluang dan berkesempatan, maka ia tidak perlu sama sekali berasa sedih dan kecewa kerana solat di rumahnya itu dikira lebih afdhal. Ini berbeza dengan kedudukan kaum lelaki.
Jika para pelajar perempuan yang tinggal di asrama misalnya, maka harus bagi mereka menunaikan solat berjemaah secara bersama-sama. Lebih-lebih lagi ganjaran pahala 27 kali ganda bagi solat berjemaah akan dapat diperolehi. Jika seorang suri rumah pula misalnya, adalah lebih baik baginya bersolat sendirian atau bersama anak-anak perempuan di rumah sahaja kerana itu lebih sesuai dan lebih menjaga diri mereka. Keafdhalan yang disebutkan adalah kerana ketaatan mereka yang penuh bulat di dalam memelihara batasan syarak. Menjaga kesesuaian situasi ini lebih menampakkan kecantikan dan keluasan syariat Islam yang bersifat anjal dan tidak rigid.
* Perhatian: Ada disebut dalam hadis Ummu Waraqah r.a. itu, beliau menjadi imam kepada ahli rumahnya yang mana mu'azzinnya adalah seorang lelaki tua yang lanjut usianya. Oleh itu, Abu Thaur, al-Muzanni dan at-Tabari menyatakan perempuan juga boleh menjadi imam kepada orang lelaki secara mutlak. Pandangan ini dikira berlawanan (syaz) dengan pandangan jumhur besar ulama. Berdasarkan pendapat yang mengatakan hadis di atas sabit, perkara ini perlulah ditafsirkan dengan jelas. Meskipun ada yang menafsirkan, Ummu Waraqah r.a. sebenarnya hanya menjadi imam kepada ahli keluarga wanita sahaja di rumahnya.
Menurut Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, yang rajih (tepat) ialah harus seorang wanita menjadi imam kepada orang lelaki bersama-sama ahli keluarga di rumahnya (dengan syarat) jika wanita itu lebih utama dan layak untuk menjadi imam berbanding lelaki disebabkan ia lebih pandai membaca al-Quran dan lebih faqih (berilmu). Hadis Ummu Waraqah r.a. itu menunjukkan beliau adalah seorang yang pandai membaca al-Quran serta lebih mampu dan layak menjadi imam berbanding mu'azzinnya yang merupakan seorang lelaki tua yang sudah lanjut usia (sebab itu namanya pun tidak disebutkan).
Menurut beliau lagi, adapun wanita yang menjadi imam kepada orang lelaki di masjid (atau di luar rumahnya), maka hukumnya adalah tidak harus, sebagai mengikut pandangan jumhur ulama. Dalil yang dapat menguatkannya ialah tidak pernah dinukilkan kepada kita walaupun sekali bahawa ada wanita yang pernah menjadi imam solat kepada jemaah lelaki (atau ada di antara makmumnya orang lelaki), sama ada pada zaman sahabat mahupun pada zaman tabiin. Wallahu a‘lam.
Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2012/09/hadis-wanita-harus-menjadi-imam.html
Sabtu, 22 September 2012
Status Imam al-Ghazali (450-505H) Dalam Ilmu Hadis
Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni
Ada seorang ustaz al-fadhil menghubungi saya bertanyakan tentang kedudukan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Ini barangkali kerana ingin menjawab persoalan mereka yang memandang rendah tentang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Maka saya katakan, ada sebuah kitab yang bagus dalam membincangkan masalah ini, iaitu kitab al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil bin ‘Ali al-Mahdali.
Pertamanya, amat perlu difahami apakah maksud ilmu hadis itu. Ilmu hadis yang bagaimana? Kerana ilmu hadis itu mempunyai banyak pecahan di bawahnya. Walhal, maksud kurang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis itu sebenarnya merujuk kepada ilmu hadis tertentu, terutama berkaitan kajian sanad seperti al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, bukannya keseluruhan cabang dalam ilmu hadis. Ini kerana beliau berkeupayaan dalam ilmu mustalah al-hadith, atau riwayah al-hadith yang objektif utamanya adalah untuk membezakan mana hadith yang sahih dan mana hadith yang dacif, sepertimana yang dapat dilihat dalam kitab-kitab usul al-fiqhnya, iaitu al-Mankhul dan al-Mustasfa.
Beliau juga berkeupayaan dalam mengetahui pelbagai hadis di mana telah memuatkan sebanyak lebih 4,800 buah hadis di dalam kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Iaitu suatu bilangan yang jarang ada di dalam sesebuah kitab seperti itu. Justeru, bukan kesemuanya atau sebahagian besarnya hadis daif dan munkar seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.
Bahkan, sebahagian besar hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din adalah masih hadis-hadis sahih dan hasan, serta daif yang dapat diterima dalam bab fada’il acmal (kelebihan-kelebihan amalan). Imam al-Ghazali sewajarnya lebih diberi keuzuran kerana konsep kitab Ihya’ `Ulum al-Dinyang disusunnya itu ialah fada’il acmal, bukannya ahkam atau akidah. Berbanding setengah ulama yang menyusun kitab dalam bab ahkam atau akidah, tetapi memuatkannya dengan hadis-hadis daif dan munkar.
Demikian antara jawapan saya menurut apa yang terlintas di dalam kepala pada masa itu.
Hadis-Hadis Ihya’ `Ulum Al-Din
Pandangan yang mendakwa kelemahan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis bukanlah suatu yang baru. Zahirnya, mereka hanya mengikut pendapat yang mengatakannya demikian, terutama disebabkan hadis-hadis kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Antaranya:
Sebanyak mana bilangannya? Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali dalam al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith, bilangan hadis-hadis dalamIhya’ `Ulum al-Din ialah 4,848 buah hadis. Ini berpandukan kepada kitabIs‘af al-Mulihhin bi-Tartib Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din susunan Syeikhunaal-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa‘id Mamduh. Bagaimanapun, kitab tersebut hanya menyusun semula hadis-hadis yang ditakhrij oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (w. 806H) dalam al-Mughni `an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar, sedangkan masih ada sebilangan kecil hadis yang tidak ditakhrijkan olehnya.
Jika Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) mengira sebanyak 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/287- 389). Maka bakinya jika begitu, ialah sebanyak 3,905 hadis yang masih mempunyai sanad antara sahih, hasan dan daif. Jumlah ini masih dianggap jumlah yang besar. Malah sebahagian daripada bilangan 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya oleh Taj al-Din al-Subki itu sebenarnya masih mempunyai sanad, dan sebahagiannya pula ada yang diperselisihkan darjatnya antara sahih, hasan, daif atau mawdu‘. Ini dapat dilihat dalam takhrij al-Hafiz al-‘Iraqi dan takhrij al-Hafiz Murtadha al-Zabidi yang lebih luas dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. (Lihat: al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali)
Boleh dikatakan, tidak ada kitab tasawuf yang mengandungi jumlah hadis sebanyak itu. Maka dakwaan bahawa Imam al-Ghazali hanya menceduk hadis-hadis kitabnya daripada kitab-kitab fiqh dan tasawuf barangkali dapat dipertikaikan. Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa beliau juga telah memetik hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din daripada kitab-kitab hadis itu sendiri (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 74 & 118).
Bagaimanapun, sewajarnya setiap pembaca kitab Ihya’ `Ulum al-Dinberhati-hati dalam memetik hadis-hadisnya dan menelitinya menerusi takhrij al-Hafiz al-`Iraqi yang biasanya dicetak bersama-sama dengan kitab Ihya’. Meskipun adakalanya, hukum beliau berbeza dengan hukum al-Hafiz Murtadha al-Zabidi. Sekurang-kurangnya hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fada’il acmal.
Imam al-Ghazali Mahir Ilmu Hadis Riwayah Dan Dirayah
Bukankah Imam al-Ghazali cukup terkenal sebagai seorang faqih (ahli fiqh)? Sudah tentu beliau mahir berkaitan fiqh al-hadith, atau ilmu dirayah al-hadith. Beliau tentunya memiliki ilmu yang cukup berkaitan hadis-hadisahkam. Oleh sebab itu, beliau mampu menghasilkan kitab-kitab fiqh yang menjadi rujukan muktabar dan diiktiraf oleh para ulama, khususnya dalam mazhab al-Syafi‘i.
[*Berhubung ilmu hadis riwayah dan dirayah, saya mengikut pembahagian kebanyakan ulama, namun dengan takrifan al-Muhaddith Sayyid ‘Abdullah al-Ghumari dalam Tawjih al-‘Inayah, yang turut disepakati Prof. Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi. Iaitu ilmu riwayah al-hadith berkaitan para perawi dan riwayat mereka, manakala ilmu dirayah al-hadith hanya berkaitan matan hadis. Berlainan dengan Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali yang mengikut pembahagian Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dalam al-Manhal al-Latif]
Justeru dengan ini, kita dapat lihat Imam al-Ghazali mengetahui tentang dua cabang utama ilmu hadis, iaitu ilmu riwayah al-hadith dan ilmudirayah al-hadith. Adapun kata-kata Imam al-Ghazali dalam Qanun al-Ta’wil (hlm. 30): “Dan barang bekalanku dalam ilmu hadis adalah sedikit”. Saya berpendapat ianya adalah dalam nada tawaduk dan merendah diri, apatah lagi kerana beliau berani mengisytiharkan dirinya begitu. Dalam erti kata lain, beliau menganggap dirinya bukanlah seorang imam dalam ilmu hadis sebagaimana imam-imam hadis yang tersohor di zamannya ataupun di zaman sebelumnya. Namun, ini tidak bermakna beliau langsung tidak mengetahui ilmu hadis.
Antara imam-imam hadis di zamannya atau di zaman sebelumnya, iaitu sekitar kurun kelima hijrah ialah al-Hakim (w. 405H), Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (w. 412H), Tammam al-Dimasyqi (w. 414H), al-Lalika’i (w. 418H), Hamzah al-Sahmi (w. 427H), Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H), al-Mustaghfiri (w. 432H), Abu Zar al-Harawi (w. 434H), al-Khallal (w. 439H), Abu ‘Amru al-Dani (w. 444H), al-Qudha‘i (w. 454H), al-Bayhaqi (w. 458H), Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463H), al-Khatib al-Baghdadi (w. 463H), Abu al-Qasim Ibn Mandah (w. 470H), al-Baji (w. 474H), al-Sam‘ani (w. 489H), al-Ruyani (w. 501H), al-Daylami (w. 509H) dan lain-lain.
Maka, dakwaan bahawa Imam al-Ghazali tidak mahir hadis perlu disemak semula. Kerana hakikatnya, ia bukan secara umum begitu. Beliau hanya tidak mendalami ilmu riwayah al-hadith dari segi kajian sanad dan praktikalnya secara lebih mendalam, dari sudut al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, serta dari segi periwayatan lautan kitab-kitab hadis secarasama’/talaqqi. Barangkali inilah maksud kenapa beliau menelaah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim di akhir hayatnya, iaitu kerana ingin mendalamirijal al-hadith dalam kedua-dua kitab sahih yang agung tersebut, dan sebagai usaha permulaan bagi mendengar dan menelaah lautan kitab-kitab hadis yang amat banyak bilangannya. Sebagaimana sebahagian ulama merekodkannya di dalam kitab-kitab sanad mereka.
Jelasnya, meskipun Imam al-Ghazali bukanlah seorang imam atau tokoh besar dalam ilmu hadis, beliau dianggap masih berkeupayaan dalam ilmu hadis, riwayah dan dirayahnya.
Imam al-Ghazali Mendengar Hadis di Akhir Usia
Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali, Imam al-Ghazali telah mempelajari hadis secara wijadah (penemuan) dan juga ijazah, namun beliau tidak mempelajarinya secara sama‘ (talaqqi) kecuali di akhir hayatnya (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 81-83). Sebab itu, beliau berusaha untuk mengatasi kelemahannya itu, dan ini yang membawa beliau untuk mendengar Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim melalui al-Hafiz Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi.
Al-Hafiz Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali telah mendengar Sahih al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn ‘Abdullah al-Hafsi (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/200). Dan antara syeikh-syeikhnya yang lain dalam ilmu hadis ialah al-Hakim Abu al-Fath Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad al-Syuja‘i al-Zawzani (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/220).
Kata muridnya, al-Hafiz ‘Abd al-Ghafir al-Farisi (w. 529H): “Di akhir hayatnya, beliau telah memberi tumpuan terhadap hadis Nabi al-Mustafa SAW, dan duduk bersama para ahlinya, serta menelaah al-Sahihain, al-Bukhari dan Muslim, yang mana kedua-duanya merupakan hujjah Islam.Seandainya beliau hidup lama, nescaya beliau mampu mengatasi semua orang dalam disiplin ilmu (hadis) tersebut dengan waktu yang cukup singkat yang beliau luangkan untuk memperolehinya. Tidak diragukan lagi bahwa beliau telah mendengar hadis-hadis di waktu-waktu sebelumnya, dan beliau hanya menyibukkan diri dengan mendengarnya (secara sama‘) di akhir hayat. Dan beliau tidak berkesempatan meriwayatkannya. Namun, hal itu tidak memudaratkan terhadap apa yang beliau tinggalkan dari kitab-kitab yang telah ditulis dalam bab usul, furu’ dan seluruh bahagian yang lain, yang akan kekal disebut-sebut namanya. Dan telah tertetap di sisi mereka yang menelaah dan mengambil faedah daripadanya bahwa tidak ada lagi orang terkemudian yang sebanding dengannya sesudah beliau”. (Lihat: Tabyin Kazib al-Muftari oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir, hlm. 296; Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/210).
Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi lagi: “Aku pernah dengar bahawa beliau telah mendengar Sunan Abi Dawud al-Sijistani dari al-Hakim Abu al-Fath al-Hakimi al-Tusi, namun saya tidak menemukan bukti sama‘nya” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212). Sebab itu, ada dikatakan bahawa Imam al-Ghazali pernah menyebut bahawa menelaah kitab Sunan Abi Dawud itu sudah memadai bagi seorang mujtahid.
Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi: “Beliau juga telah mendengar berbagai-bagai hadis secara formal bersama-sama para fuqaha’. Antara yang saya temukan bukti sama‘nya ialah apa yang beliau dengar daripada kitabMawlid al-Nabi SAW karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr ibn Abi ‘Asim al-Syaybani, riwayat al-Imam Syeikh Abu Bakr Muhammad bin al-Harith al-Asbahani, dari Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Ja‘far ibn Hayyan, dari pengarangnya. Imam al-Ghazali telah mendengarnya dari Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari - Khawar Tabaran - rahimahullah, bersama-sama dua orang anaknya, Syeikh ‘Abd al-Jabbar dan Syeikh ‘Abd al-Hamid serta sekumpulan para fuqaha’… Kitab tersebut di dalam dua juzuk yang didengar oleh beliau” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212-214).
Kata al-Hafiz Ibnu ‘Asakir al-Dimasyqi (w. 571H): “Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin ‘Abd Allah al-Hafsi, dan menjadi guru di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad. Kemudian beliau keluar ke Syam mengunjungi Baitul Maqdis. Beliau memasuki Dimasyq pada tahun 489H dan tinggal di sana dalam satu tempoh. Disampaikan kepadaku bahawa beliau telah menulis di sana sebahagian karya-karyanya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad, lalu ke Khurasan. Beliau telah mengajar dalam satu tempoh di Tus. Setelah itu, beliau meninggalkan pengajaran dan perdebatan, dan menyibukkan diri dengan ibadah”. Al-Hafiz Abu Sa‘d ibn al-Sam‘ani menyebut bahawa beliau pernah mengundang Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi al-Hafiz al-Tusi dan memuliakan beliau, serta mendengar darinya Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim” (Lihat: Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/214-215).
Menurut Ibn Kathir : “Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau telah cenderung kepada mendengar hadith dan menghafal al-Sahihain (al-Bukhari dan Muslim)…”, “Kemudian (di akhir hayat) beliau telah pulang ke negerinya Tus dan tinggal di sana, membina sebuah ribat, membuat rumah yang baik, menanam tanam-tanaman di sebuah kebun yang indah, memberi tumpuan membaca al-Quran dan menghafal hadith-hadith sahih” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214-215).
Jelaslah bahawa beliau bukannya langsung tidak mengetahui ilmu riwayah al-hadith, apatah lagi ilmu dirayah al-hadith yang mana beliau adalah jaguhnya dalam mazhab al-Syafi‘i.
Sebahagian Tulisan Tentang al-Ghazali Di Internet Tidak sedikit juga penulis di laman sesawang dan blog yang telah menulis tentang Imam al-Ghazali dan kedudukannya dalam ilmu hadis. Ada sebahagiannya yang saya manfaatkan. Namun, ada beberapa perkara dan fakta yang tidak disentuh oleh mereka seperti yang telah saya jelaskan, dan ada juga beberapa perkara yang saya kurang bersetuju dengan sebahagian mereka. Namun, saya tidak mahu menyentuhnya di sini.
Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/12/status-imam-al-ghazali-450-505h-dalam.html

- Kata al-Hafiz Ibn al-Jawzi (w. 597H): “Beliau memenuhi kitabnya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya” (Talbis Iblis, hlm. 190).
- Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) menyatakan: “Adapun apa yang dianggap aib pada al-Ihya’ disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis” (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/249).
- Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Di dalamnya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214).

Isnin, 17 September 2012
Dialog Sheikh Mutawalli As Sya'rowy Dengan Pelampau Agama
Pernah pada suatu hari,aku berdialog dengan seorang pemuda yang mengikuti aliran ‘pelampau’ dalam memahami Islam (Golongan Mutasyaddid) dan aku bertanya padanya :
“Perbuatan mengebom pusat hiburan yang beroperasi pada malam hari yang wujud di Negara-negara Umat Islam Halal atau Haramkah hukum?”
Anak muda itu pun menjawab kepadaku : “Ya,sudah pasti ianya Halal! Membunuh mereka yang berada di dalamnya juga Halal hukumnya!”
Aku bertanya lagi padanya : “Apakah kesudahan mereka sekiranya ketika engkau membunuh mereka itu mereka berada dalam keadaan sedang melakukan maksiat pada Allah?"
Pemuda itu lantas menjawab : “Pastilah Neraka buat mereka!”
Aku teruskan pertanyaanku padanya : “Ke manakah Syaitan bermatlamat untuk membawa mereka?
Dia menjawab : “Sudah semestinyalah matlamat Syaitan untuk membawa mereka ke Neraka!”
Lantas aku pun berkata padanya : “Kalau begitu,kumpulan kamu dan Syaitan sedang bekerjasama untuk mencapai matlamat yang satu – iaitu memasuk dan menjerumuskan manusia ke dalam Neraka!”
Aku sebutkan padanya Hadith Rasulullah S.A.W : Ketika lalunya jenazah seorang Yahudi di hadapan Rasulullah S.A.W maka Baginda S.A.W pun menangis.
Lalu ditanyakan kepada Baginda S.A.W : Apakah yang telah membuatkan Engkau menangis wahai Rasulullah S.A.W?
Baginda S.A.W menjawab : “Satu nyawa telah terlepas dariku dan telah pergi ke neraka”.
Aku nyatakan pada anak muda itu : “Lihatlah perbezaan yang amat ketara antara kamu semua dengan Baginda Rasulullah S.A.W yang bersungguh-sungguh berusaha untuk menyampaikan Hidayah kepada manusia dan menyelamatkan mereka dari api Neraka!
Sesungguhnya kamu sedang berada di satu lembah dan Kekasih Agung Junjungan kita Rasulullah S.A.W pula berada di lembah yang lain dari kumpulanmu!" - Diterjemah oleh Ustaz Muhammad Noorazam Bahador
Sumber asal : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=355666664516725&set=a.105592536190807.12643.100002201835323&type=1&ref=nf
Ahad, 16 September 2012
Hukum Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat
JANGAN SIA-SIAKAN PAHALA SEMBAHYANG FARDHU JUMAAT HANYA KERANA
TELEFON BIMBIT
Oleh : Mufti Brunei
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Dalam era perkembangan sains dan teknologi zaman ini, berbagai-bagai peralatan baru dan canggih muncul bagaikan cendawan.
Salah satu daripada peralatan tersebut, yang dimiliki oleh kebanyakan orang pada masa kini ialah telefon bimbit. Tidak dinafikan bahawa tuntutan keperluan hidup di zaman yang serba canggih dan moden ini menjadikan penggunaan telefon bimbit seakan-akan satu kemestian kerana kewujudannya banyak
membantu mempermudahkan tugas dan pekerjaan. Di samping itu, ia juga mampu mempermudahkan perhubungan sesama kaum keluarga, sanak-saudara, rakan-taulan dan sebagainya. Selain aplikasi-aplikasi perhubungan, terdapat juga berbagai jenis dan bentuk aplikasi yang lain seperti aplikasi-aplikasi peringatan waktu sembahyang, penunjuk arah qiblat, maklumat, berita, permainan game dan sebagainya yang boleh diakses dengan beberapa petikan jari sahaja.
Penggunaan telefon bimbit ini tidaklah menjadi kesalahan selama mana kemudahannnya tidak digunakan ke arah sesuatu yang menyalahi hukum Syara‘. Namun apa yang merungsingkan, keghairahan terhadap penggunaan telefon bimbit ini ada kalanya boleh menyebabkan sebilangan orang lalai dan terlalu asyik
sehingga mereka sentiasa membawa dan menggunakannya tanpa mengira kesesuaian masa dan tempat.
Bahkan ada kalanya ketika sembahyang pun telefon bimbit ini akan dibawa bersama tanpa mematikan (switch off) atau menutup bunyinya terlebih dahulu. Maka akan kedengaranlah bunyi-bunyi nada dering dan sebagainya yang pastinya akan mengganggu kekhusyukan pemiliknya dan kekhusyukan jemaah yang lain jika bersembahyang jemaah.
Bukti yang paling nyata dapat dilihat dengan jelas ketika perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat. Ketika khatib sedang membacakan khutbah Jumaat, akan kelihatan segelintir jemaah tanpa rasa segan silu menggunakan telefon bimbit untuk menghantar pesanan ringkas (sms), berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial, melayari halaman internet, bermain game dan sebagainya. Apakah pandangan Syara‘ mengenai perkara ini?
Tuntutan Diam Ketika Khatib Membaca Khutbah Jumaat
Khutbah merupakan salah satu daripada lima syarat sah Sembahyang Fardhu Jumaat. Ia adalah wasilah terbaik untuk menyampaikan dan menerima nasihat, peringatan serta mesejmesej ukhrawi dan duniawi kepada masyarakat Islam. Ini kerana pada hari Jumaat, kaum muslimin duduk berhimpun dan sembahyang bergandingan di antara satu dengan yang lain, tanpa mengira bangsa, pangkat ataupun rupa.
Sunat bagi orang yang menghadiri Sembahyang Fardhu Jumaat menghadapkan muka ke arah imam (ke arah qiblat) kerana menurut Imam Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah, ini adalah adab, dan selain itu ianya sekaligus membolehkan mereka tetap menghadap qiblat. Perbuatan ini juga sekaligus lebih mempermudahkan seseorang itu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib.
Disunatkan juga bagi jemaah untuk diam dan mendengar khutbah Jumaat dan makruh bagi mereka berkata-kata sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadits riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Jika engkau mengatakan kepada sahabatmu “dengarkanlah (khutbah)” padahal imam pada waktu itu sedang berkhutbah, maka sesungguhnya engkau benar-benar telah berkata sia-sia.” (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maksud “sia-sia” di sini ialah bertentangan dengan sunnah, adab, dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.
Dapatlah difahami daripada hadits ini bahawa apa pun jenis katakata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan atau disampaikan. Ini kerana jika kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah yang lain supaya diam dan mendengar khutbah itu pun sudah
dikategorikan sebagai sia-sia, sedangkan perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, maka apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata.
Akan tetapi tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika terdapat darurat, misalnya kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau ternampak binatang berbisa seperti kala jengking atau ular menghampiri seseorang. Maka dalam hal seperti ini, tidaklah dilarang orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata, bahkan wajib baginya melakukan demikian. Akan tetapi lebih baik (sunat) baginya untuk menggunakan isyarat sahaja jika dia mampu mengelakkan daripada berkata-kata.
Menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah, bagi mereka yang dapat mendengar khutbah, diam mendengarkan khutbah Jumaat itu adalah lebih utama daripada membaca al-Qur’an, berzikir dan
sebagainya. Ini kerana terdapat qaul (pendapat) yang mengatakan bahawa diam untuk mendengar khutbah Jumaat itu adalah wajib.
Adapun bagi orang yang tidak dapat mendengar khutbah pula, misalnya kerana duduk jauh daripada imam ataupun suara imam tidak dapat didengar, maka adalah lebih utama baginya pada ketika itu membaca al-Qur‘an terutamanya Surah Al-Kahfi, bersalawat, bertasbih, berzikir dan sebagainya dengan suara yang perlahan supaya tidak mengganggu jemaah-jemaah yang lain.
Hukum Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat
Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”. (Hadits riwayat Muslim)
Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadits ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.
Menurut ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti
bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.
Jadi sangat jelas di sini bahawa perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Oleh
itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat.
Perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat itu bukannya lama, tidak ada kerugian apa-apa jika telefon bimbit ditutup seketika atau langsung tidak perlu di bawa ke dalam masjid. Tinggalkanlah buat seketika segala perkara dan urusan duniawi yang kurang penting apatah lagi yang sia-sia. Hadirkanlah hati dan seluruh anggota tubuh badan zahir dan batin, dan isikan seluruh jiwa raga dengan perisian rasa khusyu‘, taat, taqwa dan penghambaan yang mutlak terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘aala untuk mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan Sembahyang Fardhu Jumaat.
Penjelasan sepenuhnya boleh dibaca di sini : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2011/bil27-2011.pdf
Bagaimana Mengatasi Was-was Dalam Solat ?
Fatwa Siri 21/2007-( Waswas Semasa Hendak Dan Dalam Sembahyang)
Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.
Fatwa Pilihan
WASWAS SEMASA HENDAK DAN DALAM SEMBAHYANG
Fatwa siri : 21/2007
Saya ada mempunyai sifat waswas yang amat tinggi. Setiap kali saya hendak melakukan sembahyang, hati saya susah nak memasang niat. Setiap kali saja saya hendak mengangkat takbir, hati saya ragu-ragu dan begitu juga ketika sembahyang, ketika membaca ayat-ayat dalam sembahyang terutama membaca 'Bismillah’, hati saya ragu-ragu sama ada bacaan saya itu betul atau tidak. Jadi bolehkah pihak Pehin Mufti dalam membantu untuk menghilangkan perasaan waswas ini dan apa yang perlu dibuat?
Jawapan:
Waswas menurut Kamus Dewan bererti perasaan sangsi, curiga dan khuatir. Dari istilah Bahasa Arab pula bererti sangkaan buruk yang merunsingkan hati atau fikiran dan godaan batin.
Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, al-Waswasah (ﺍﻟﻮﺳﻮﺳﺔ) adalah suara yang tersembunyi atau bisikan hati (dalam diri). Manakala al-Waswâs adalah nama syaitan sepertimana yang disebutkan dalam surah an-Nâs. (AlJâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 20/261)
Perasaan waswas berbeza dengan syak. Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, sembahyang tidak batal jika waswas timbul kerana ia adalah fikiran yang datang tanpa pilihan (ia hanyalah mainan fikiran). (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/343) Manakala sekiranya syak timbul, maka hendaklah kita teruskan dengan apa
yang kita yakini. Ini bersesuaian dengan salah satu Qâ‘idah Fiqhiyyah:
Ertinya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh syak.
Ini bermaksud bahawa keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala syak adalah satu perasaan yang mendatang. Maka sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang disyaki.
Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Sa‘îd alKhudriyyi Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: Jika seseorang daripada kamu syak dalam sembahyangnya, lalu dia tidak tahu berapa raka‘at telah dilakukannya. Adakah tiga atau empat? Maka buanglah syak dan peganglah apa yang diyakini (buatlah jumlah raka‘at yang diyakini). Kemudian sujudlah dua kali sujud sebelum memberi salam. Jika dia telah melakukan lima raka‘at, maka ia (kedua sujud dan duduk antaranya) menggenapkan sembahyangnya. Jika dia telah melakukan sempurna empat raka‘at, kedua sujud itu sebagai satu tanda kehinaan bagi syaitan.(Hadis Riwayat Muslim)
Mengatasi Waswas dengan Memperdalami Ilmu
Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, waswas timbul kerana lemahnya akal pemikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/214)
Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Abbâs Radhiallahu ‘anhumâ:
Maksudnya: Seorang faqîh (ahli ilmu agama) lebih susah bagi syaitan (mendatangkan waswas) daripada seribu orang ahli ibadat (yang jahil). (Hadis Riwayat at-Tirmidzî)
Hadis yang disebutkan di atas merupakan galakan untuk kita memperdalami ilmu; khususnya ilmu agama dalam masalah ibadat, agar kita yakin dalam segala amalan kita, dan tidak mudah tewas oleh bisikan dan godaan syaitan yang cuba menimbulkan keraguan dalam amalan kita.
Jadi bagi mengatasi masalah waswas ketika sembahyang, hendaklah memperdalami ilmu mengenai sembahyang; dari segi tatacara memasang niat, mengangkat takbîratul ihram, bacaan-bacaan yang betul dalam sembahyang dan sebagainya.
Waswas pada Niat Sembahyang dan Takbîratul Ihram
Niat dari segi bahasa bererti kehendak atau tujuan di hati. Dari segi syara‘ pula bererti kemahuan untuk melaksanakan sesuatu perkara sambil terus melakukan perkara tersebut. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/206)
Jika seseorang hendak melakukan sembahyang fardhu, adalah wajib dia menghadirkan di dalam hatinya tiga syarat iaitu qashad (tujuan hendak sembahyang), ta‘yîn (menentukan sembahyang Zhuhur dan sebagainya) danta‘arrudh (pernyataan fardhu). Maka jadilah niat sembahyang fardhu Zhuhur umpamanya, seperti: “Aku sembahyang fardhu Zhuhur” atau “Aku sembahyang Zhuhur fardhu.”
Demikian juga wajib menyatakan pernyataan qashar bagi hak musâfir, dan pernyataan ‘imam’ atau ‘ma’mum’ seandainya berjemaah. (Hâsyiah I‘ânah athThâlibîn: 1/212)
Menurut Syamsuddîn Muhammad bin Ahmad asy-Syarbînî al-Khathîb Rahimahullah, adalah sunat melafazkan niat sebelum mengangkat takbîratulihrâm agar lidah dan hati saling tolong-menolong pada menghadirkan niat, dan sekaligus mengelak waswas. (Al-Iqnâ’: 1/175)
Jadi seseorang yang hendak sembahyang fardhu Zhuhur, hendaklah menghadirkan dalam hatinya tujuan sedemikian, dan sunat menyebut lafaz niatnya dengan lidah, seperti: Ertinya: Aku sembahyang fardhu Zhuhur.
Lalu terus mengangkat takbîratul ihram dengan ucapan: الله أكبر
Sambil di hatinya masih menghadirkan atau masih tertanam niat untuk sembahyang fardhu Zhuhur sehingga selesai mengucap takbir itu. Menurut Sayyid al-Bakri Rahimahullah, cara sedemikian adalah cara hakiki
menghadirkan niat yang beriringan dengan takbîratul ihram.
Menurut al-‘Allâmah al-Bujairimi Rahimahullah, pendapat yang muktamad adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul ihram menurut ‘urf (kebiasaan); iaitu menghadirkan niat pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul ihram. Sebagai contoh, tujuan untuk sembahyang fardhu Zhuhur dihadirkan pada mana-mana bahagian ucapan takbîratul ihram.
Menurut Imam al-Ghazâli Rahimahullah, adalah memadai menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul ihram mengikut ‘urf (kebiasaan) bagi orang awam. Ini adalah kerana perlakuan sedemikian sudah dianggap menghadirkan niat untuk sembahyang. Berlainan bagi orang-orang tertentu (seperti sahabatsahabat Nabi Radhiallahu ‘anhum), maka mereka mampu menghadirkan niat beriringan dengan takbîratul ihram dengan cara yang hakiki; iaitu menghadirkan niat yang beriringan dengan keseluruhan ucapan takbîratul ihram.
Pendapat ini dibenarkan oleh Imam as-Subki Rahimahullah, dan menurutnya, barangsiapa yang tidak mengucapkan niat sedemikian, mengalami waswas yang tercela. Demikian pendapat-pendapat yang disebutkan dalam Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/212-214)
Menurut Syamsuddîn Muhammad bin Ahmad asy-Syarbînî al-Khathîb Rahimahullah, waswas yang datang ketika takbîratul ihram adalah permainan syaitan dan itu menunjukkan lemahnya akal pemikiran dan kurangnya ilmu mengenai agama. (Al-Iqnâ’: 1/180)
Menurut sebahagian ulama, berhati-hatilah jika syaitan menyerang dengan keburukan waswas. Jika terjadi sedemikian dan di luar kemampuan, maka lakukanlah seperti apa yang telah disebutkan tadi oleh Imam al-Ghazâli Rahimahullah bagi tujuan memudahkan. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/213)
Sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla dalam Surah al-Hajj, ayat 78:
Tafsirnya: “Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah-payah dalam perkara agama.”
Masalah Waswas pada Bacaan dalam Sembahyang
Menurut Ibnu al-Jauzî Rahimahullah: Antara tipu daya Iblis terhadap orang yang sembahyang ialah mendatangkan waswas pada makhraj huruf. Ada yang membaca ‘al-hamdu… al-hamdu…’ berulang kali sehingga menyebabkannya terkeluar dari adab sembahyang. Adakalanya Iblis mendatangkan waswas
ketika membunyikan tasydid (huruf bersabdu), dan adakalanya ketika membunyikan huruf dhâd pada kalimah al-maghdhûb dalam surah al-Fâtihah sehingga terkeluar air ludahnya kerana terlalu kuat tekanannya pada huruf itu. Ini merupakan waswas yang didatangkan oleh Iblis yang menyuruh mereka menyibukkan diri secara keterlaluan dan melampaui batas dalam pengucapan huruf sehingga perhatian untuk memahami bacaan berkurangan. Padahal yang dikehendaki hanyalah mengeluarkan atau menyebutkan bunyi huruf dengan betul. (Talbîs Iblîs: 183-184)
Menghadirkan Hati Bagi Menjauhi Waswas
Antara cara untuk mengatasi masalah waswas ketika sembahyang juga ialah dengan menghadirkan hati.
Menurut Imam al-Ghazâli Rahimahullah, antara cara menghadirkan hati ketika sembahyang adalah dengan mengosongkan hati dari segala perkara yang mengganggu fikiran. Perkara-perkara yang mengganggu fikiran dapat dicegah dengan menolak penyebabnya. Oleh itu, selidikilah penyebab gangguan itu. Penyebab-penyebab itu sama ada berunsur persekitaran atau dalam diri sendiri.
Adapun penyebab persekitaran adalah apa-apa yang terdengar oleh telinga atau ternampak oleh mata. Maka, seorang yang kuat niat dan azamnya untuk sembahyang tidak akan terganggu dengan apa yang didengar atau dilihatnya. Namun, orang yang lemah azamnya akan bercelaru pemikirannya, maka cara
mengatasinya adalah dengan menundukkan pandangan ke tempat sujud, atau sembahyang ditempat gelap, atau membuang benda yang boleh mengganggu fikiran, atau bersembahyang dekat dinding bagi membataskan pandangan dan mengelakkan dari bersembahyang di tempat laluan atau atas tikar yang
berukir.
Manakala cara mengatasi faktor dalam diri, adalah dengan berusaha mengosongkan fikiran dari hal-hal keduniaan dan menumpukan perhatian pada memahami apa yang dibacanya dalam sembahyang.
Maka seseorang yang hendak sembahyang, hendaklah mengingat akan dahsyatnya suasana akhirat ketika dia akan berdiri di hadapan Allah Subhânahu wa Ta‘âla.
Jika fikiran masih bercelaru, maka hendaklah meninggalkan perkara-perkara dunia yang menjadi kesukaan hawa nafsunya yang merupakan perangkap syaitan. (Ihyâ’ ‘Ulûmiddin: 1/225-226)
Firman Allah Ta‘âla dalam Surah Thaha, ayat 14:
Tafsirnya: Dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati-Ku.
Amalan Zikir bagi Orang yang Waswas
Allah Subhânahu wa Ta‘âla telah memerintahkan kita dalam Surah an-Nâs, untuk memohon perlindunganNya daripada kejahatan syaitan yang sentiasa mengintai peluang untuk mendatangkan waswas (hasutan) kepada manusia:
Tafsirnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, Yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
Syaitan disifatkan dengan al-Khannâs kerana sifatnya yang selalu tersembunyi dan tidak kelihatan. Dikatakan juga, kerana syaitan berundur lari jika seseorang hamba itu ingat kepada Allah. (Al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân: 20/262)
Sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Anas bin Mâlik Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca pada pagi hari: (ertinya: Aku berlindung kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang direjam), maka dipelihara dia daripada
syaitan sehingga petang.” (Hadis dikeluarkan oleh Ibnu as-Sunnî)
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mengajarkan kita cara menghindari waswas sebagaimana dalam hadis riwayat Muslim:
Maksudnya: Sesungguhnya ‘Utsmân bin Abu al-‘Âsh Radhiallahu ‘anhu menghadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya syaitan telah menghalangi sembahyangku dengan bacaanku. Dia menimbulkan keraguan kepadaku. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Itulah syaitan yang dipanggil Khinzib. Jika engkau merasakannya, mohonlah perlindungan Allah daripadanya. Kemudian meludahlah ke sebelah kiri sebanyak tiga kali.” (‘Utsmân berkata:) Aku pun melakukan seperti apa yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Allah pun melenyapkannya dariku. (Hadis Riwayat Muslim)
Jarir bin ‘Ubaidah al-‘Adawî mengatakan yang ertinya: “Aku mengadu kepada al-‘Alâ’ bin Ziyâd: “Aku dapati waswas pada dadaku.” Dia pun berkata: “Itu seperti rumah yang diawasi oleh pencuri, jika didapatinya ada sesuatu dalam rumah itu, maka dia bersegera kepadanya. Jika tidak, dia pergi meninggalkannya.” Maknanya, jika hati disibukkan dengan dzikir (mengingati) Allah, tiada peluang bagi syaitan untuk mengganggu. Tetapi syaitan mengambil peluang untuk mendatangkan waswas apabila lalai dari dzikir (mengingati) Allah.
Al-Ustâz Abu al-Hasan asy-Syâzalî Rahimahullah pernah mengajarkan sahabat-sahabatnya amalan yang boleh menghindarkan waswas dan lintasan-lintasan fikiran yang tidak baik. Beliau mengatakan kepada mereka: “Barangsiapa yang merasa sedemikian rupa, hendaklah dia meletakkan tangan kanannya di atas
dadanya, sambil membaca sebanyak tujuh kali sebelum mengangkat takbîratulihrâm:
Ertinya: Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa, yang Maha Suci (dari kekurangan), yang Maha menciptakan (sekalian makhluk) dan yang Maha Melakukan (apa yang dikehendakiNya). Kemudian membaca ayat 19-20, Surah Ibrahim:
Tafsirnya: Jika Dia kehendaki nescaya dibinasakanNya kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan makhluk-makhluk yang baharu. Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah melakukannya.
Sebahagian ulama juga mengatakan, digalakkan bagi orang yang terkena waswas ketika berwudhu’, sembahyang dan lain-lain untuk membaca:
sebab syaitan berundur apabila mendengar kalimat dzikir. Lebihlebih lagi, kalimat ___________ adalah induk segala dzikir.
As-Sayyid al-Jalîl Ahmad bin Abi al-Hawârî berkata yang ertinya: “Aku mengadu kepada Abu Sulaimân ad-Dârânî Radhiallahu ‘anhu tentang waswas yang menimpaku. Beliau menjawab: “Jika engkau ingin menghilangkannya, maka apabila saja engkau merasainya, bergembiralah, kerana jika engkau bergembira, waswas itu akan terputus daripadamu. Tidak ada sesuatu yang paling dibenci oleh syaitan daripada kegembiraan orang yang beriman. Jika engkau bersedih hati tentulah waswas itu akan bertambah-tambah lagi menyerang dirimu. (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/214-215)
Demikianlah di antara amalan yang boleh diamalkan ketika diserang perasaan waswas ataupun lintasan-lintasan pemikiran yang tidak baik. Semoga dengan memperdalami ilmu syariat Islam juga boleh membantu untuk menghilangkan perasaan waswas dalam menjalankan ibadat khususnya dan mengharungi kehidupan umumnya, di samping sentiasa berusaha untuk menghadirkan hati mengingat Allah ketika sembahyang mahupun ketika tidak sembahyang, dan memohon perlindunganNya daripada syaitan.
Apakah hukum berjabat tangan dengan seorang perempuan yang berpangkat dalam kerajaan dalam satu majlis makan malam dan dialah yang terlebih dahulu menghulurkan tangan.
[PEHIN DATU SERI MAHARAJA DATO PADUKA SERI SETIA
USTAZ HAJI AWANG ABDUL AZIZ BIN JUNED]
Mufti Kerajaan,
Negara Brunei Darussalam.
Penjelasan sepenuhnya boleh dibaca di sini : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil24_2012.pdf
Langgan:
Catatan (Atom)