CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memaparkan catatan dengan label Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat) ?. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat) ?. Papar semua catatan

Isnin, 5 Julai 2010

Tujuan Penulis Buku Ini Menyebar Luaskan Ucapan-Ucapan Mereka

Perhatian : Artikel ini perlu dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Jika ada yang berkata : "
Apa sebenarnya manfaat menyebarluaskan ucapan-ucapan mereka yang seperti ini, ucapan yang dapat menitiskan air mata, meresahkan hati dan memutuskan perbicaraan.. ?

Ucapan-ucapan yang sebagaimana kita lihat telah menyifatkan Imam Mazhab yang Empat dengan himar-himar yang liar dan serupa dengan Yahudi Nasrani, menyifatkan Abu Hanifah dengan Kafir Zindiq, penduduk Dubai dan Abu Dhabi sebagai orang-orang kafir dan sesiapa yang meragui terhadap kekafiran mereka maka secara automatik juga menjadi kafir. Jema'ah Tabligh dan Jama'ah Sheikh Ahmad Yasin dikategorikan sebagai firqah-firqah moden yang sesat dan masih banyak ucapan-ucapan lain yang telah memenuhi halaman kitab-kitab para pendakwa firqah najiah.. ?

Jawapannya : "saya (Muhammad 'Adil 'Azizah al Kayali) menyebarluaskan ucapan-ucapan mereka itu bukan untuk populariti dan membongkar aib mereka yang mengucapkannya. Apa yang saya lakukan hanyalah untuk mengungkapan realiti yang ada pada para pendakwa Firqah Najiah terlebih lagi mereka menganggap bahawa ucapan-ucapan seperti itu sesungguhnya adalah pintu-pintu ilmu bahkan menurut mereka ucapan-ucapan seperti itu adalah hasil karya dan kebangaan mereka yang terbesar.

Dan tujuan mereka membukukan ucapan-ucapan seperti itu tidak lain kecuali agar orang-orang Muslim yang awam bertaqlid kepada gaya pemikiran mereka. Oleh kerana itu, kita melihat mereka begitu bergembira dan penuh semangat dalam rangka menyebarkan pemikiran-pemikiran mereka.

Padahal saya melihat bahawa pemikiran-pemikiran mereka yang didasarkan pada tatacara pandang mereka yang sempit, sesungguhnya adalah pemikiran-pemikiran yang destruktif (membawa kepada kehancuran), provokasi dan merobohkan tiang-tiang penyatuan ummat Islam serta mengikis segala upaya yang telah dilakukan oleh para ulama mukhlisin (yang ikhlas) dalam merapatkan barisan, menyatukan kalimat dan mengakrabkan seluruh kaum Muslimin sesuai dengan firman Allah :

وعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا

Ertinya : "Berpegang teguhlah kalian dengan Agama Allah dan jangan bercerai berai"

Apabila ucapan-ucapan mereka yang saya dedahkan itu menyebabkan mereka terkejut maka hendaklah mereka menyatakan taubat dan berhenti menyebarluaskan serta mengulang cetak risalah-risalah ataupun buku-buku yang memuatkan ucapan-ucapan mereka itu. Dan hendaklah mereka beristighfar kepada Allah atas apa yang telah mereka lakukan terhadap ummat dan para imam seperti tuduhan bahawa mereka telah kafir dan menyerupai Yahudi Nasrani. Sesungguhnya Allah akan menerima taubat para hambaNya.

Dan hendaklah pula mereka segera kembali kepada yang haq kerana kembali kepada yang haq lebih baik daripada berterusan dalam perkara yang batil.

Inilah yang saya ungkapkan dan saya berdoa kepada Allah subahanahu wa Ta'ala, semoga apa yang saya lakukan ini adalah satu kebenaran dalam rangka mengetengahkan intisari-intisari aqidah yang sangat penting. Jika memang saya telah melakukan kebenaran maka itu adalah semata-mata dari Allah. Dan bagi Allah lah sebagai pujian dan pengagungan.

Namun jika yang saya lakukan adalah satu kekeliruan, maka itu adalah dari diriku sendiri dan dari syaitan. Dan hanya Allah saya mohon ampun dari semua itu. Dan semoga Allah memberikan rahmatNya kepada sesiapapun yang jujur dan berilmu nantinya dapat memperlihatkan kepadaku segala aib dan cacat celaku serta memperingatkanku terhadap segala kesalahan dan kekeliruan agar aku dapat segera memperbaikinya.

Akhirnya segala pujia bagi Allah yang memiliki sekalian alam dengan puji-pujian yang kekal sesuai dengan kekekalanNya dan hanya Dialah Zat yang memiliki pujian tanpa berkeseudahan.

Begitu pula hanya Dia yang mempunyai pujian di setiap kerdipan mata dan tarikan nafas. Dan mudah-mudahan Allah senantiasa mencurahkan selawat dan salam serta berkah kepada junjungan kita Nabi Muhammad sallaLLahu 'alaihi wasallam beserta para keluarganya sebanyak bilangan makhluk ciptaanNya, sesuai dengan keredhaan ZatNya. Sesuai dengan timbangan ArasyNya, sebanyak kalimat-kalimatNya, pada setiap kali tarikan nafas dan kerdipan mata seluruh penghuni langit dan bumi. Amin Ya Robbal 'Alaminn !

Ditulis oleh
Doktor Muhammad 'Adil Azizah al Kayali
Jami' Usamah bin Zaid Suriah Halb

Isnin, 15 Mac 2010

Mereka Yang Dikategorikan Termasuk Dalam 72 Firqah Sesat

Perhatian : Artikel ini mesti dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Tersebut dalam sebuah risalah yang berjudul "Minal Itsnain Wa Sab'iina Firqotan" tulisan dari Syeikh Bin Baz, Nashiruddin Albani, Syeikh al Fauzan dan Syeikh Bakar Abu Zaid cetakan Maktabah al Furqon 'Ajman tahun 2001 M pada halaman 9-10, satu pertanyaan seperti berikut :

Apakah Jemaah Tabligh yang memiliki sekian banyak kesyirikan dan bid'ah serta Jemaah Hasan al Banna yang memiliki aktiviti pergerakan dan pembangkangan terhadap pemerintah yang sah termasuk di antara 72 golongan yang akan masuk neraka.. ?

Para penulis risalah itu menjawab. (Mereka) termasuk di antara 72 golongan itu dan kelompok Khawarij juga termasuk di antaranya.


Saya bertanya kepada para penulis risalah itu :
Apakah mereka termasuk di antara 72 golongan yang akan kekal dalam neraka atau mereka akan masuk neraka terlebih dahulu lalu dikeluarkan darinya.. ?

Jika dijawab bahawa mereka kekal dalam neraka, saya bertanya lagi.
Bagaimana ini dapat diterima kerana mereka itu telah mengucapkan dua kalimah syahadah?

Dan jika dijawab bahawa mereka itu akan disiksa dahulu dalam neraka, lalu dikeluarkan darinya maka saya bertanya :
Bagaimana mereka dapat memastikan bahawa mereka (Jemaah Tabligh dan Jemaah Hasan Al Banna) itu akan diazab dahulu dalam neraka lantaran dosa-dosa mereka, lalu mereka akan dikeluarkan darinya sedangkan RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda :

ومن أصاب من ذالك أى من الذنوب شيأ فعقوب في الدنيا فهو كفارة له ومن أصاب من ذالك شيأ ثم ستره الله فهو إلى الله إن شاء عفا عنه وإن شاء عاقبه

Ertinya : Barangsiapa yang melakukan sesuatu dosa lalu dia disiksa di dunia ini maka itu menjadi kaffarat baginya dan barangsiapa melakukan yang demikian itu lalu Allah menutupinya maka urusannya diserahkan kepada Allah. Jika Allah berkehendak maka Dia akan memaafkannya dan jika berkehendak lain maka Allah akan menyiksanya.
(Lihat sahih Bukhari hadith no 17)

Sekiranya memang mereka berpegang kepada Al Quran dan Sunnah maka tentunya mereka tidak akan berani berpendapat seperti itu.

Berkata Syeikh al Fauzan dalam risalah tersebut pada halaman 11 :
Semua jemaah yang muncul di era sekarang ini yang menyalahi jemaah Ahlussunnah adalah berkaitan dari golongan-golongan (yang dimaksudkan di dalam hadith iftiroqul ummat) dan merupakan cabang-cabangnya. Beliau pernah ditanya : Apakah jemaah-jemaah tersebut masuk ke dalam 72 golongan yang sesat ?


Beliau menjawab :
Ya, semua yang mengaku diri sebahagian Islam namun dia menyalahi Ahlussunnah dalam hal dakwah tentang aqidah atau sebahagian dari dasar-dasar (prinsip-prinsip) iman maka dia masuk ke dalam 72 golongan dan dia pun terkena ancaman serta akan mendapat kehinaan dan siksa sesuai dengan kadar penyimpangannya.


Seterusnya pada halaman 14 dari risalah itu disebutkan: Dan antara firqah-firqah sesat yang muncul kebelakangan ini adalah :

1. Firqah Hasan al Banna (al Ikhwaniyyah).

2. Firqah Hasan at Turabi (at Turabiyyah).

3. Firqah Sayyid Qutub (al Qutubiyyah).

4. Firqah Muhammad Surur (as Sururiyyah).

5. Firqah Abdurrahman Abdul Khaliq (at Turatsiyyah).

6. Firqah Muhammad Ilyas (at Tablighiyyah).

7. Firqah Mahmud al Haddad (al Haddadiyyah).

8. Firqah al Habasyi (al Habasyiyyah).

9. Firqah Ahmad Yasin (al Hamasiyyah).

10. Firqah-firqah lainnya baik yang telah mahupun yang akan ada.

Komen saya (Dr Muhammad Adil Azizah al Kayali) :
Seandainya Syeikh al Fauzan itu berkata bahawa jemaah-jemaah tersebut telah melakukan banyak kekeliruan dan dia menjelaskan dimana letak kekeliruan-kekeliruan itu agar mereka menjauhinya nescaya itu lebih baik kerana termasuk bahagian dari nasihat.

Adapun menjatuhkan hukum mereka sebagai bahagian dari 72 golongan yang sesat dan otomatik akan menjadi penghuni neraka maka itu adalah tindakan yang bertentangan yang menghairankan padahal mereka tahu bahawa ulamak-ulamak di situ adalah mujtahid yang boleh salah dan boleh pula benar. Siapa di antara para mujtahid yang benar maka bagi mereka dua pahala dan siapa yang salah akan mendapat satu pahala, dan tidak ada dalam agama Islam seorang mujtahid yang berdosa.

Ibnu Taimiyyah berkada dalam Minhajus Sunnah III/20 :
Ucapan orang-orang salaf dan para imam ahli fatwa seperti Abu Hanifah, as Syafi'e, ats Tsauri, Daud bin Ali dan selain mereka adalah : "Tidak menganggap berdosa seorang mujtahid yang keliru dalam ijtihadnya, baik dalam masalah-masalah usul mahupun masalah-masalah furu'.


Kita tentu telah mengetahui as Syahid as Syeikh Ahmad Yasin, semoga beliau diterima di sisi Allah sebagai seorang syahid yang mulia dan ditinggikan darjat serta kedudukannya. Beliau adalah seorang mujahid di jalan Allah sampai kematian datang menjemput beliau. Tetapi para pengaku Firqah Najiah telah memasukkan beliau ke dalam golongan yang sesat. Dan ini tidaklah menghairankan kerana sebelumnya telah membatalkan jihad panglima perang Salahuddin al Ayyubi (semoga beliau dirahmati dan diredhai Allah serta meninggikan darjatnya - hanya kerana beliau seorang Asya'iroh) - dan Asya'iroh adalah penjelmaan dari as Sawadul A'zom dari kaum Muslimin. Tetapi tetap juga di kalangan para pengaku Firqah Najiah mereka semua adalah kafir atau paling rendah dihukum fasiq. Sebagaimana tertera dalam tulisan-tulisan yang sengaja disebarluaskan melalui internet.

Maka perhatikanlah wahai para pembaca yang budiman bagaimana mereka melakukan sesuatu yang sia-sia dan bertentangan. Mereka telah merobek-robek barisan ummat ini dan melebar keretakan yang sudah ada. Mereka juga telah mencerai-beraikan persatuan yang seharusnya kita jaga bersama. Kemudian sesiapapun yang membongkar kesalahan dan perbuatan mereka yang keterlaluan itu dengan maksud agar mereka memperbaiki dan mengendalikan diri lantas mereka lemparkan pula dengan tuduhan "penyebar fitnah dan cakap kosong". SubhanaLlah ini adalah pendustaan yang besar!.

Bacaan tambahan :

1. Bukti Umat Islam, Ulamak Islam dihukum kafir, sesat

Khamis, 21 Januari 2010

Kesimpulan Penting

Perhatian : Artikel ini perlu dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Adapun kesimpulan yang dapat kita ambil dari huraian singkat ini adalah : "Kita harus mengi'tiqadkan bahawa Kaum Muslimin itu walaupun berbeza-beza mazhab, pendapat dan pandangan-pandangannya adalah selamat dari khulud (kekal) dalam neraka.

Hal ini kerana Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam telah menjadikan orang-orang yang mengucapkan La ilaha illaLLah Muhammad RasuluLlah sebagai kaum Muslimin yang bertauhid dan selamat dengan izin ALlah subahanahu Wa Ta'ala walau bagaimanapun besarnya perbezaan di antara mereka dalam masalah-masalah feqh (fari'yyah) sehingga mereka terbahagi dalam beberapa mazhab dan kelompok. Tetapi semua ini adalah dengan syarat bahawa mereka itu tidak melakukan satu perkara yang secara ijma' menyebabkan mereka jatuh kafir.

Dan saya berharap semua kaum Muslimin dapat memenuhi pensyaratan ini dengan izin ALlah Subahanahu wa Ta'ala. Adapun perkara selamat dari neraka dan tidak akan memasukinya selama-lamanya maka itu semua kembali kepada Allah 'azza wajalla.

Jumaat, 11 Disember 2009

Anggapan Mereka Bahawa Kebenaran Itu Hanya Ada Pada Golongan Minoriti (Yang Sedikit)

Perhatian : Artikel ini perlu dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Dengan berdasarkan pemahaman yang keliru terhadap hadith iftiroqul ummah mereka pun mengatakan bahawa kaum Muslimin yang sebenarnya itu hanyalah mereka sahaja dan populasi mereka itu lebih kurang 1.3 % dari jumlah seluruh kaum Muslimin. Mereka seolah-olah bangga dengan jumlah minoriti kerana memang hasil dari pemahaman mereka terhadap hadith iftiroqul ummah padahal pemahaman yang sebenarnya dari hadith itu tidaklah menatijahkan yang sedemikian. Terhadap pengakuan mereka sebagai kelompok minoriti dan bahawa kebenaran itu selalu bersama yang minoriti merekapun berdalil dengan firman ALlah :

1.
و قليل ما هم = "Dan mereka itu adalah minoriti (golongan yang sedikit)"
(Surah As Shad : 24)

2.
وقليل من عبادي الشكور = "Dan sedikitlah di antara hamba-hambaKu orang yang bersyukur"
(Surah As Saba' : 13)

3. Sementara firman ALlah tentang kelompok majoriti berbunyi :
وما يؤمن أكثرهم با الله إلا وهم مشركون
= "Dan tidaklah kebanyakan (majoriti) di antara mereka itu beriman kepada ALlah kecuali mereka berbuat syirik"
(Surah Yusuf : 106)

Ketahuilah para pembaca yang budiman bahawa sesungguhnya pengertian minoriti (golongan yang sedikit) pada ayat tersebut boleh bermakna umum dan boleh pula bermakna khusus. Apabila bermakna umum maka maksudnya adalah bahawa kaum Msulimin itu memang selalu minoriti dibandingkan dengan orang-orang kafir yang banyak (majoriti).

Sedangkan apabila bermakna khusus maka maksudnya adalah bahawa kaum Muslimin yang betul-betul istiqomah memang minoriti berbanding dengan kaum Muslimin yang tidak istiqomah dan tidak teguh pendirian. Akan tetapi semua mereka adalah Muslim dan bertauhid serta termasuk penghuni syurga dengan izin ALlah subahanahu wa ta'ala. Adapun mengatakan bahawa ayat وما يؤمن أكثرهم با الله إلا وهم مشركون ditujukan kepada umat Islam maka ini jelas telah menyalahi jumhur mufassirin yang berpendapat bahawa ayat tersebut diturunkan berkaitan dengan para penyembah bintang dan berhala serta orang-orang Yahudi dan Nasrani. Membawa ayat tersebut untuk Kaum Muslimin merupakan satu malapetaka yang besar dan pengkafiran terhadap ummat Islam. Benarlah kiranya Ibnu Umar radiyaLlahu 'anhu ketika
berbicara tentang orang-orang yang merobek agama, beliau menyebut mereka sebagai berikut :

إنهم إنطلقوا إلى ايات نزلت فى الكفر فجعلوها على المؤمنين

Ertinya : "Sesungguhnya mereka suka membelokkan ayat-ayat yang sebenarnya turun pada orang-orang kafir lalu mereka menjadikannya untuk orang-orang Mukmin"


Ibnu Umar memandang mereka itu sebagai makhluk ALlah yang buruk (Lihat Sahih Bukhari hadith no 6531)

Al Ustaz Jamil zainu dalam bukunya Manhaj Firqah an Najiah menyebutkan pertanyaan (yang disampaikan kepada dirinya): "Apakah ummat ini terdapat kesyirikan?". Lalu dia menjawab : "Ya". Beliau berdalil dengan firman ALlah : وما يؤمن أكثرهم با الله إلا وهم مشركون . SubhanaLlah ini adalah satu kedustaan yang besar dan penggunaan dalil yang batil serta fasid.

Khamis, 19 November 2009

Hadith Bitoqoh, Pembuka Harapan Bagi Mereka Yang Lalai Dan Berdosa

Perhatian : Artikel ini perlu dibaca keseluruhan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas di bawah label : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Selamat)

Al-Hakim mengeluarkan dalam al Mustadraknya pada hadith no 1937 dan mensahihkannya begitu juga Ibnu Hibban dalam sahihnya pada hadith no 225 dari AbduLlah bin 'Amar bin al 'Ash, dia berkata : RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

يصاح برجل من أمتي على رؤوس الخلائق يوم القيامة فينشر له تسع و تسعون سجلا كل سجل مد البصر ثم يقال له أتنكر من هذا شيئا ؟ فيقول ألك عذر أو حسنة ؟ فيهاب الرجل فيقول لا يا رب فيقول بلى إن لك عندنا حسنات و إنه لا ظلم عليك فيخرج له بطاقة فيها: أشهد أن لاإله إلا الله وأشهد أن محمدا عبده و رسوله فيقول يا رب ما هذه البطاقة مع هذه السجلات ؟ فيقول إنك لا تظلم قال فتوضع السجلات في كفة فطاشت السجلات وثقلت البطاقة

Ertinya : "Seorang lelaki dari ummatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti di hadapan sekalian makhluk lalu dibentangkan kepadanya 99 buku catatan amal. Panjang tiap-tiap buku catatan amalnya sejauh mata memandang. Kemudian dikatakan kepadanya : "Apakah ada diantaranya yang tidak engkau setujui ? Lelaki itu berkata : "Tidak wahai Tuhanku". ALlah berfirman : "Apakah engkau memiliki keuzuran atau kebaikan?". "Tidak wahai Tuhanku". Jawab lelaki itu. ALlah berfirman: "Bahkan sebaliknya, menurut Kami engkau memiliki beberapa kebaikan dan engkau tidak akan dizalimi.


Lalu Allah subahanahu wa ta'ala mengeluarkan bitoqoh yang di dalamnya tertulis lafaz:

أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن محمدا عبده ورسوله

Lelaki itu berkata : "Wahai Tuhanku apakah erti bitoqoh berserta lembaran buku catatan amal ini ?" ALlah berfirman : "Engkau tidak akan dizalimi". Lalu beberapa buku catatan amal itu diletakkan di dalam satu piring timbangan dan bitoqoh itu pada piring timbangan yang lain. (Ternyata) beberapa buku catatan amal itu menjadi ringan dan bitoqoh itulah yang berat.


Hadith ini juga dikeluarkan oleh at Turmudzi dalam sunannya pada hadith no 2639 dan dia menganggapnya hasan. Juga dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya pada hadith no 4300 dan Imam Ahmad dalam musnadnya pada hadith no 6994.

Lalu bagaimana boleh sesudah hadith yang agung ini membuka pintu harapan bagi mereka yang lalai dan berdosa. Kita menghukumkan kepada mereka yang bersalah bahawa mereka adalah penghuni neraka tanpa ada pemberitahuan dari ALlah kepada kita ?

Padahal ALlah subahanahu wa ta'ala menjadikan manusia di hari kiamat nanti terdiri dari dua golongan. Satu golongan di dalam syurga dan satu golongan lagi di dalam neraka. Adapun penghuni syurga , maka mereka adalah kaum Muslimin dan mereka terdiri dari tiga jenis. ALlah subahanahu wa ta'ala telah berfirman :


ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ (٣٢) جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ يَدۡخُلُونَہَا يُحَلَّوۡنَ فِيہَا مِنۡ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ۬ وَلُؤۡلُؤً۬اۖ وَلِبَاسُہُمۡ فِيہَا حَرِيرٌ۬ (٣٣)

Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (32) (Balasan mereka ialah) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera. (33)
Surah al Fathir ayat 32-33)

Kemudian ALlah subahanahu wa ta'ala menjelaskan tentang keadaan orang-orang bukan Islam melalui firmanNya :


وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ لَهُمۡ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقۡضَىٰ عَلَيۡهِمۡ فَيَمُوتُواْ وَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُم مِّنۡ عَذَابِهَاۚ كَذَٲلِكَ نَجۡزِى كُلَّ ڪَفُورٍ۬ (٣٦)

Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka Neraka Jahanam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa) dan tidak pula diringankan azab Neraka itu dari mereka dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya.
(Surah al Fathir : 36)

Dengan demikian maka tidak ada pada Hari Kiamat nanti kecuali Muslim yang masuk syurga dan kafir yang masuk neraka. Berkata Ibnu Kathir :
"Ketika menjelaskan keadaan kaum Muslimin di Hari Kiamat nanti berdasarkan ayat ini, Ibnu Abbas radiyaLlahu 'anhu berkata : "Orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan akan masuk syurga dengan tanpa hisab dan orang yang muqtasid (sama dosa dan kebaikannya) akan masuk ke syurga dengan rahmat ALlah, sedangkan orang yang menzalimi dirinya sendiri dan ashabul a'raf akan masuk syurga dengan syafaat Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam"
(lihat tafsir Ibnu Kathir III/556).

Oleh kerana itu, Imam al Qurtubi menyebutkan bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam ketika membaca ayat : ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ Beliau berkata :
"Semua mereka akan masuk syurga", Umar pernah membaca ayat ini lalu berkata : "RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : Orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan di antara kami akan lebih dahulu masuk syurga, orang yang pertengahan di antara kami akan beroleh keselamatan dan orang yang menzalimi diri sendiri akan diampunkan oleh ALlah".
(Lihat tafsir al Qurtubi 14/346)

Disebutkan pula dalam tafsir tersebut :
"Menurut satu pendapat, orang yang menzalimi diri sendiri itu sengaja didahulukan agar dia tidak berputus asa dari rahmat ALlah dan diakhirkan orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan itu agar dia tidak 'ujub (bangga) dengan amalnya. Berkata Ja'far as Shadiq bin Muhammad bin Ali radiyaLLahu 'anhu : "ALlah mendahulukan orang yang menzalimi diri sendiri adalah untuk memberitahu bahawa dia tidak boleh mendekati ALlah kecuali dengan semata-mata rahmat dan kemuliaanNya dan bahawa kezaliman terhadap diri sendiri itu tidak membawa pengaruh dal hal isthofa'iyyah (keterpilihan) jika di sana sudah ada bantuan dari ALlah.

Kemudian Allah menyebutkan muqtashid itu di urutan kedua kerana mereka berada di antara harap dan cemas lalu ALlah mengakhiri dengan sabiq bil khairat agar dia tidak merasa aman dari murka ALlah dan semua mereka akan masuk syurga lantaran kemuliaan dari kalimaul ikhlas La ilaha illaLLah Muhammad RasuluLLah"
(Lihat tafsir al Qurtubi 14/349)/

Imam ats Tsa'libi meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud radiyaLlahu anhu bahawa beliau berkata :
"Pada hari kiamat nanti ummat ini akan terbahagi tiga : sepertiga akan masuk syurga dengan tanpa hisab, sepertiga akan dihisab dengan hisab yang ringan dan sepertiga lagi akan datang membawa dosa yang banyak maka ALlah 'azza wa jalla berfirman : "Siapakah mereka ini ? - padahal Dialah yang paling mengetahui tentang mereka - Malaikat menjawab : "Mereka adalah orang-orang yang berdosa akan tetapi mereka tidak berbuat syirik". Maka berfirmanlah ALlah azza wa jalla: "Masukkan mereka ke dalam rahmatKu yang luas! "

Imam ats Tsa'libi juga meriwayatkan dari Abi Hasan as Syazili radiyaLlahu 'anhu, beliau berkata :
"Muliakanlah orang-orang yang beriman walaupun mereka berbuat maksiat lagi fasiq dan suruh mereka melakukan yang ma'ruf serta cegah mereka dari berbuat kemungkaran. Boikot mereka kerana kasih sayang kepada mereka, bukan kerana menghindari mereka. Andai disingkapkan nur orang Mukmin yang berbuat maksiat nescaya nur itu akan menutupi langit dan bumi, lalu bagaimanakah menurutmu nur orang Mukmin yang taat ? Cukuplah bagimu firman ALlah : ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا sebagai pengagungan ALlah terhadap orang-orang Mukmin walaupun mereka terkadang lalai terhadap ALlah.

Perhatikanlah bagaimana ALlah menetapkan mereka sebagai bahagian orang-orang yang terpilih walaupun mereka berbuat zalim terhadap diri sendiri.
(Lihat tafsir ats Tsa'libi III/259)

Lalu bagaimana mungkin, sesudah dikemukakan sekian banyak athar dan hadith yang menjelaskan tentang luasnya rahmat ALlah - seorang Mukmin disempitkan sedemikian rupa dan seorang Muslim berani dihukum masuk neraka hanya lantaran dosa yang dia lakukan tanpa menyerahkan pengetahuan yang demikian itu kepada ALlah subahanahu wa ta'ala ?

Sesungguhnya pandangan para pengaku Firqoh Najiah itu benar-benar telah mencapai titik melampau hingga mereka berani berkeyakinan bahawa hanya mereka yang termasuk Firqoh Najiah, bukan seluruh kaum Muslimin. Berbagai aliran pemikiran dan mazhab menurut mereka tidaklah termasuk Firqoh Najiah, semua itu secara pasti akan masuk neraka. Tidak ada yang selamat dan masuk syurga selain mereka walaupun sehebat apapun dia dalam hal taqwa, ibadah, ilmu mahupun amal.

Selasa, 27 Oktober 2009

Makna Hadith Nabi : "Semua Masuk Neraka Kecuali Satu"

Sabda Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam :
"Semua masuk neraka kecuali satu"
Apakah mereka yang masuk neraka itu akan kekal di dalamnya ataukah masuk neraka terlebih dahulu kemudian dikeluarkan..?

Apabila kita berpendapat bahawa mereka akan kekal dalam neraka maka pendapat ini hanya berlaku untuk orang-orang kafir yang belum tersentuh hatinya dengan iman kerana yang kekal dalam neraka itu hanyalah orang-orang musyrik sesuai dengan ijmak berdasarkan firman ALlah subahanahu wa ta'ala :

إن الله لا يغفر أن شرك به و يغفر ما دون ذالك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد افتر إثما عظيما

Ertinya : "Sesungguhnya ALlah tidak akan mengampuni dosa berbuat syirik tetapi mengampuni dosa selain yang demikian. Barangsiapa yang berbuat syirik terhadap ALlah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar"
(Surah An Nisa' : 48)

Sekiranya kenyataan seperti ini maka bagaimana mungkin kita boleh mengutamakan dari tubuh umat Islam yang besar ini satu kelompok yang mengaku dengan Firqah Najiah di mana kelompok itu sahaja yang selamat dari kekal di dalam neraka sedangkan kaum Muslimin yang lain - sesuai dengan pengakuan mereka akan kekal semuanya dalam neraka? Padahal mereka itu adalah orang-orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam telah menghukumkan mereka sebagai ahlul jannah dan termasuk orang-orang yang selamat (dari kekal dalam neraka) ? Di dalam sahih Bukhari pada hadith no 44, Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :

يخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن شعيرة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله و في قلبه وزن برة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن ذرة من خير

Ertinya : "Akan keluar dari dalam neraka orang-orang yang mengucapkan La ilaha illaLLah, sedangkan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat satu helai rambut dan akan keluar dari dalam neraka orang-orang yang mengucapkan La ilaha illaLLah sedangkan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat biji gandum dan akan keluar dari dalam neraka orang-orang yang mengucapkan La ilaha illaLLah sedangkan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat zarrah "


Tersebut dalam Sahih Bukhari juga pada hadith no 7072 :

يقول الله تعالى : وعزتي وجلالي وكبريائي وعظمتي لأخرجن منها (أي من النار) من قال لا إله إلا الله

Ertinya : ALLah subahanahu wa ta'ala berfirman : Demi kemuliaan, ketinggian, kebesaran dan keagunganKu sesungguhnya Aku akan mengeluarkan dari dalam neraka siapa sahaja yang telah mengucapkan La ilaha illaLLah"


Tersebut dalam sahih Ibnu Khuzaimah pada hadith no 1231 bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

من قال لا إله إلا الله دخل الجنة

Ertinya : "Barangsiapa mengucapkan La ilaha illaLLah maka dia pasti masuk syurga"


Dalam sahih Ibnu Hibban hadith no 169 dari Abi Dzar radiyaLlahu 'anhu, dia berkata : Bersabda RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam :
Barangsiapa mengucapkan La ilaha illaLlah maka dia pasti masuk syurga". Aku bertanya: "Wahai RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam walaupun dia telah berzina dan mencuri?" RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam menjawab: "Walaupun dia telah berzina dan mencuri".


Dalam Mustadrak al Hakim hadith no 7638 disebutkan bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

من قال لا إله إلا الله دخل الجنة ووجبت له الجنة

Ertinya : "Barangsiapa mengucapkan La ilaha illaLLah maka dia pasti masuk syurga dan itu adalah pasti".


Ibnu Hibban mengeluarkan dalam sahihnya hadith no 3004 bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

لقنوا موتاكم لا إله إلا الله فإنه من كان اخر كلمته لا إله إلا الله عند الموت دخل الجنة وإن أصابه قبل ذالك ما أصابه

Ertinya : "Ajarilah orang-orang yang akan mati di antaramu kalimah La ilaha illaLlah kerana barangsiapa yang akhir ucapannya di ketika mati adalah La ilaha illaLlah maka dia pasti masuk syurga walaupun sebelumnya dia banyak melakukan dosa kesalahan"


Hadith yang seperti ini juga dikeluarkan oleh al Hakiim dalam al Mustadrak pada hadith 1299, Abu Daud dalam sunannya pada hadith no 3116 dan at Turmuzi dalam sunannya hadith no 977.

Sesudah memerhatikan beberapa hadith di atas maka bagaimana mungkin mereka yang telah mengucapkan La ilaha illaLLah Muhammad RasuluLlah itu kita hukumkan sebagai orang-orang yang kekal dalam neraka kerana beranggapan bahawa mereka itu bukan termasuk Firqah Najiah - menurut persangkaan mereka?

SubhanaLlah, ini adalah kebohongan yang nyata dan penolakan terhadap hadith-hadith sahih serta satu kebohongan terhadap riwayat-riwayat yang mutawattir.

Jika mereka berpendapat bahawa makna dari : "Semua mereka masuk neraka kecuali satu (golongan) sahaja" adalah masuk neraka terlebih dahulu kemudian dikeluarkan darinya maka saya bertanya: "Dari mana mereka yang mengaku dirinya sebagai Firqah Najiah itu mengetahui bahawa kelompok mereka tidak akan diazab oleh ALlah dan bahawa mereka akan masuk syurga tanpa hisab padahal ketetapan perkara ini harus menggunakan wahyu dan wahyu sudah terputus..?

ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman :

قل هاتوا برهانكم إن كنتم صادقين

Ertinya : "Katakan (wahai Muhammad): "Datangkanlah bukti-bukti kamu jika memang kamu orang-orang yang benar
(Surah al Baqarah : 111)

ALlah subahanahu wa ta'ala juga berfirman :

وقالو لن تمسنا النار إلا أياما معدودة قل أتخذتم عند الله عهدا فلن يخلف الله عهده أم تقولون على الله ما لا تعلمون

Ertinya : "Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali selama beberapa hari sahaja". Katakanlah : "Sudahkah kamu menerima janji dari ALlah sehingga ALlah tidak akan memungkiri janjiNya ataukah kamu hanya mengatakan terhadap ALlah apa yang kamu tidak ketahui?"
(Surah al Baqarah: 80)

Jika ucapan ALlah subahanahu wa ta'ala terhadap orang-orang Yahudi sedemikian kerasnya padahal mereka tidak pernah menghukum keadaan ummat lain di akhirat nanti - melainkan kesalahan terbesar mereka terletak pada keyakinan bahawa diri mereka akan dikeluarkan dari neraka sesudah melewati beberapa hari sahaja tanpa ada pemberitahuan kepada mereka dari ALlah subahanahu wa ta'ala - lalu bagaimana dengan keadaan satu kelompok yang meyakini bahawa diri mereka pasti akan masuk syurga sedangkan kelompok lain yang juga bertauhid dan beriman serta mengucapkan dua kalimah syahadah adalah penghuni neraka lantaran dosa-dosa yang mereka perbuat.. ?

Padahal kita semua mengetahui bahawa dosa itu bagaimana besar dan banyaknya tetap sahaja urusannya itu kembali kepada ALlah subahanahu wa ta'ala.

Selasa, 25 Ogos 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 14

Penjelasan Tentang Hadith Iftiroqul Ummah

Terhadap hadith iftirooqul ummah itu terdapat 2 pendapat tentang ummat mana yang dimaksudkan, apakah umat dakwah atau ummat ijabah?

Ummat Dakwah adalah ummat yang terkena kewajiban untuk beriman terhadap apa yang didakwahkan oleh Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam dan dakwah beliau itu meliputi seluruh manusia yang ada di muka bumi kerana khitob (perintah) al Quran itu memang tertuju kepada mereka tanpa kecualli. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman :

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا ڪَآفَّةً۬ لِّلنَّاسِ بَشِيرً۬ا وَنَذِيرً۬ا وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ (٢٨)

Ertinya : "Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) kecuali kepada seluruh ummat manusia sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui
(Surah As Saba' : 28)

Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :
"Dan saya diutus kepada ummat manusia seluruhnya".
(Hadith riwayat Muslim)

Dengan demikian maka siapa yang beriman dia adalah ummat ijabah. Dan siapa yang tidak beriman maka dia adalah ummat dakwah.

Banyak ulama yang berpendapat bahawa "perpecahan" itu akan terjadi pada ummat dakwah iaitu mereka yang belum masuk Islam dan masih tetap dalam kekafiran. Berdasarkan pendapat ini maka di antara kaum Muslimin itu tidak ada jema'ah tertentu yang boleh mengaku dirinya sebagai Firqah Najiah melainkan seluruh kaum Muslimin itu adalah Najun iaitu orang-orang yang selamat dengan izin ALlah subahanahu wa ta'ala.

Sedangkan apabila (dikatakan) bahawa perpecahan itu terjadi pada ummat ijabah iaitu mereka yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah dan telah masuk Islam maka yang tergolong sesat adalah mereka yang keluar dari agama dengan sebab melakukan sesuatu yang secara ijmak telah menyebabkan mereka kafir, seperti mengingkari salah satu rukun di antara rukun-rukun Islam atau rukun-rukun iman.

Seperti inilah sebenarnya keadaan kebanyakan firqah yang menisbahkan diri kepada Islam padahal mereka telah melakukan sesuatu yang menyebabkan mereka kafir secara ijmak. Begitu juga dengan orang-orang yang berpendapat bahawa ALlah itu bertempat (hulul) pada manusia. Kelompok-kelompok seperti yang disebutkan ini jumlahnya boleh sahaja melebihi 70. Mereka itu di tengah-tengah pengakuannya sebagai orang Islam. Sebenarnya adalah orang-orang kafir secara ijmak sebagaimana dinyatakan oleh Lembaga-lembaga Fiqh Moden yang berada di bawah Rabitah al A'lam al Islami kerana telah nyata pengingkaran mereka terhadap sebahagian rukun Islam dan rukun iman dan dari segi jumlah, mereka ini termasuk minoriti.

Adapun selain mereka adalah kaum Muslimin yang merupakan majoriti dan semua mereka itu adalah Mukmin yang bertauhid serta dijanjikan akan masuk syurga sesuai dengan nas-nas yang qot'ie dan mutawattir.

Selasa, 21 Julai 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 13

*Sila memulakan pembacaan dari Bab 1 hingga bab yang terkini, klik : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat)?

Pandangan Para Pengaku Firqah Najiah Tentang Halal dan Haram

Menurut jumhur ulama' "halal" itu adalah hukum asal sedangkan yang "haram" adalah sesuatu yang memiliki nas kerana sedikitnya, oleh kerana itu ia harus diteliti dengan saksama.

Adapun menurut pandangan para pengaku Firqah Najiah maka yang "halal" itu adalah sesuatu yang memiliki nas sedangkan yang "haram" adalah sesuatu yang tidak ada penjelasannya atau yang tidak pernah dikerjakan oleh RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Dan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam telah menolak pandangan ini sebagaimana dijelaskan dalam hadith baginda yang dicantumkan oleh Imam an Nawawi dalam Arbai'innya :

ertinya :
"Sesungguhnya ALlah subahanahu wa ta'ala telah menetapkan kepadamu beberapa kefardhuan maka janganlah kamu melalaikannya dan menetapkan untukmu beberapa batasan maka janganlah kamu melampauinya dan mengharamkan atas kamu beberapa perkara maka janganlah kamu melanggarnya dan juga telah mendiamkan beberapa perkara sebagai rahmat untukmu - bukan kerana lupa - maka janganlah kamu membicarakannya".
Al Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam al Fath : "Riwayat ini dikeluarkan oleh Daraqutni dari hadith Abi Tsa'labah dan dia memarfu'kannya kemudian berkata :
"Riwayat ini asalnya ada dalam al Bukhari".


1. Menggunakan biji tasbih untuk berzikir padahal para sahabat pernah menggunakannya yang semisalnya seperti batu kerikil dan biji kurma sebagaimana yang disebutkan oleh Imam as Suyuthi dalam kitab al Hawi lil-Fatawa.

2. Takbir-takbir hari raya yang dilakukan secara berjemaah. Mereka membuat satu teka teki :
"Ada sesuatu yang apabila engkau kerjakan dengan berjemaah maka engkau masuk neraka dan jika engkau mengerhakannya sendirian maka engkau masuk syurga. Apakah itu? Mereka pun menjawab: "Itu adalah takbir-takbir hari raya".
Lihat kitab al Mutafaihiqun Dr Hasan Haitu.

3. Berdoa berjemaah yang dilakukan sesudah solat.

4. Mengangkat tangan ketika waktu berdoa, padahal terdapat beberapa hadith yang menerangkan hal ini dan secara maknawi tergolong dalam mutawattir sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh AbduLlah Sirajuddin - semoga dia dirahmati oleh ALlah ta'ala di dalam syarahnya atas kitab al Manzhumah al Baiquniyyah.

5. Tawassul dengan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam dan dengan orang-orang soleh padahal Imam as Syauqani berkata dalam al 'Aqdhun Nadhid :
"Sesungguhnya tawassul ini telah tetap berdasarkan ijma' sahabat."
6. Melabuhkan kain walaupun bukan dengan maksud sombong.

7. Menganggap fasik orang-orang yang mencukur janggut, padahal mereka tahu bahawa hukum memelihara janggut itu masih diperselisihkan oleh para ahli ilmu antara wajib menurut majoriti dan sunat menurut minoriti dan yang terakhir ini adalah menurut ulama-ulama' Syafi'iyyah mutakhirin.

8. Perayaan-perayaan yang dilakukan oleh kaum Muslimin dengan membaca riwayat hidup Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam, mengenang perilaku, keutamaan dan akhlaqnya yang mulia pada waktu maulid iaitu hari kelahiran Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam.

9. Mereka mengharamkan solat terawih yang lebih dari 8 rakaat dan memandang bahawa kelebihan dalam solat terawih itu adalah seperti kelebihan rakaat dalam solat fardhu.

10. Mereka menganggap bahawa mengikut secara tetap salah satu dari mazhab yang empat itu adalah perbuatan fasiq dan sesat dan pelakunya harus diminta bertaubat, kalau tidak maka dipenggal lehernya.

11. Mereka mengharamkan puasa hari Arafah apabila bertepatan dengan hari Sabtu padahal - menurut yang saya ketahui - tidak ada dinukil keterangan yang demikian itu dari seorang pun yang thiqah (dipercayai).

12. Mereka masih meneruskan hukum haram berpuasa pada hari Sabtu atau minggu (Ahad) secara sehari sehari atau digabungkan dua hari itu sekaligus padahal keharaman dimaksudkan telah dinasakh sebagaimana dijelaskan oleh Abu Daud dalam Sunannya, Ibnu Hajar dalam al Fath, at Thahawi dalam Ma'anil Atsar dan as Shan'ani dalam Subulus Salam.

13. Mereka menganggap bahawa membaca al Quran di perkuburan atau untuk orang yang mati adalah termasuk bid'ah yang diharamkan, padahal yang demikian itu diperbolehkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Muhammad bin Abdul Wahhab dan seluruh kaum Muslimin selain mereka. Mereka juga melarang mentalqinkan mayyit padahal yang demikian itu adalah masyru' (disyariatkan) sebagaimana dijelaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab dalam kitabnya Ahkamu Tamannil Maut halaman 19 yang ditahqiq oleh AbdurRahman as Sadahan dan AbduLlah al Jibrin dan diperkuat pula oleh Ibnu Qayyim dalam kitabnya ar Ruh.

Ketika dahulu saya menjawat sebagai Ketua Lembaga Pengawasan Da'wah di Dubai saya selalu memberi peringatan tentang bahayanya kitab-kitab seperti itu iaitu merosak pemikiran para remaja dan menanamkan para mereka perilaku intimidatif dan radikalisme pemikiran.

Dengan sekuat tenaga dibantu oleh para pegawai yang ikhlas, saya mencegah masuknya kitab-kitab seperti itu ke tengah-tengah kaum Muslimin kerana kalau itu dibiarkan maka sama sahaja meletakkan ranjau dan bom waktu kepada putera puteri kita yang bila-bila masa sahaja boleh meledak dan menghancurkan segala yang sudah dibangunkan serta memporak-perandakan suasana yang sebelumnya selesa dan aman. Itulah kitab-kitab sebagaimana telah kami paparkan pada risalah ini yang dapat membawa orang ke tempat pemancungan hanya kerana aktiviti ibadahnya mengikut mazhab tertentu di antara mazhab-mazhab yang empat atau kerana menyerukan orang untuk mengikuti satu mazhab tertentu. Maka lantaran yang demikian darah dan juga harta benda akan menjadi korban.


Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 12

*Sila memulakan pembacaan dari Bab 1 hingga bab yang terkini, klik : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat)?

Seperti yang sudah disampaikan bahawa di antara syarat untuk masuk ke dalam Firqah Najiah itu adalah tidak tergesa-gesa menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Disebutkan di dalam Mustadrak al Hakim hadith nombor 2365 dan hadith nombor 8325, begitu juga dalam musnad as Syamiyyin II/143 dan at Thabrani dalam al kabir 18/50 bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

ertinya :
"Umatku akan berpecah menjadi 70 golongan lebih. Fitnah terbesar atas ummatku nanti adalah munculnya sekelompok orang yang menilai (mengukur) perkara dengan pendapat mereka lalu mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal".

Hadith ini memberikan ciri-ciri yang jelas untuk Firqah Najiah iaitu mereka yang tidak mendahului ALlah dan rasulNya sehingga berani menghalalkan yang sudah diharamkan oleh ALlah dan mengharamkan apa yang sudah dihalalkanNya. Tepatlah kiranya firman ALlah dalam al Quran :

وَلَا تَقُولُواْ لِمَا تَصِفُ أَلۡسِنَتُڪُمُ ٱلۡكَذِبَ هَـٰذَا حَلَـٰلٌ۬ وَهَـٰذَا حَرَامٌ۬ لِّتَفۡتَرُواْ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ‌ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ لَا يُفۡلِحُونَ (١١٦)

ertinya : "Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap ALlah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap ALlah tidaklah akan memperoleh keuntungan".
(Surah an Nahl : 116)

Apabila kita perhatikan para pengaku Firqah Najiah sekarang ini maka kita akan mendapati mereka sebagai orang yang paling banyak "mengharamkan" dan paling memberatkan hukum sampai mereka melarang orang membaca kitab karangan Ustaz Syeikh Yusuf Al Qardhawi yang berjudul "Al Halal wal Haram" dan mencegah peredarannya ke sebahagian negara-negara Islam. Mereka berkata bahawa kitab itu lebih layak menjadi Kitab "al Halal wal Halal". Yusof al Qardhawi pun membidas dan berkata :
"Saya tidak dipersiapkan untuk menyusun kitab "al Haram wal haram".
Komentar beliau ini saya dengar secara langsung di Stesen Televisyen Qonat al Jazira dalam acara as Syari' atu wal Hayat.

Ahad, 21 Jun 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 11

*Sila memulakan pembacaan dari Bab 1 hingga bab yang terkini, klik : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat)?

Pada halaman 120, penulis kitab (Sheikh Khajandi) itu berkata dengan maksud untuk menasihati para ulama dan ahli nahu dan ilmu-ilmu alat lainnya :
“saya berkata kepada para penuntut ilmu: “Wahai orang-orang yang bodoh yang menamakan diri dengan ulama! Kalian telah menyibukkan diri dengan ilmu-ilmu orang Yunani (ilmu mantiq), ilmu saraf, nahu dan ma’ani. Kamu menyangka bahawa ini adalah ilmu padahal ilmu yang sesungguhnya itu adalah ayat muhkamah yang ada dalam al Quran atau Sunnah yang betul-betul dari RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam.

Perhatikanlah wahai saudaraku, bagaimana sebenarnya etika yang dimiliki oleh para pengaku firqah najiyah itu. Sungguh mereka sama sekali tidak menyedari bahawa al Quran dan Sunnah tidak akan dapat difahami kecuali dengan ilmu-ilmu alat seperti itu. Saya memohon maaf kepada pembaca yang budiman kerana telah menampilkan contoh-contoh seperti ini, contoh-contoh yang sebenarnya merupakan sebahagian kecil dari sekian banyak ucapan dan lontaran yang telah disebarluaskan oleh para pengaku Firqah Najiah itu dalam rangka pengkafiran terhadap kaum Muslimin baik secara kolektif (kelompok) mahupun individu.

Latar Belakang Pengkafiran Mereka Terhadap Penduduk Dubai dan Abu Dhabi

Pengkafiran mereka terhadap penduduk Dubai dan Abu Dabi – tidak lain dan tidak bukan disebabkan oleh kerana mereka itu bermazhab Maliki dan Asya’ari yang melakukan takwil terhadap beberapa ayat sifat. Maka mereka pun menggelarkan mereka dengan al Jahmiyah al Mu’atthillah serta mengeluarkan mereka dari millah iaitu Agama Islam.

Saya (Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali) berkata :

Jika ta’wil terhadap sebahagian ayat-ayat sifat itu merupakan ta’thil, kafir, tahrif dan kerosakan dalam i’tiqad maka beranikah mereka menegaskan bahawa hukum seperti ini juga mengenai Ibnu Taimiyyah ?

Beranikah mereka menghukumkan bahawa Ibnu Taimiyyah itu adalah Jahmi Mua’thill seperti pengikut Mazhab Maliki serta mengeluarkan Ibnu taimiyah itu dari millah kerana sesungguhnya dia juga telah melakukan ta’wil terhadap beberapa ayat sifat. Dan pada akhirnya beranikah mereka berkata bahawa Ibnu Taimiyyah itu kafir dan para imam yang tidak mengkafirkannya juga termasuk kafir dan tidak disolatkkan jenazahnya?

Semua ini adalah kerana mencontohi penghukuman mereka terhadap penduduk Dubai dan Abu Dhabi kerana Ibnu Taimiyyah sama sahaja dengan mereka dalam hal pena’wilan terhadap beberapa ayat sifat. Ataukah mereka akan menerapkan hukum yang bercanggah serta mempertahankan Ibnu Taimiyyah untuk menyelamatkan beliau dari tuduhan kafir kerana sebenarnya beliau (Ibnu Taimiyyah) juga termasuk ulamak yang melakukan ta’wil?

Jika mereka mempertahankan Ibnu Taimiyyah berhubung dengan langkah beliau yang melakukan ta’wil, lalu mengapakah mereka tidak mempertahankan penduduk Dubai dan Abu Dhabi yang merupakan pengikut Mazhab Maliki serta kepada kaum Muslimin lainnya yang juga melakukan takwil terhadap beberapa ayat sifat?

Ketika menjelaskan firman Allah ta’ala –
كُلُّ شَىۡءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجۡهَهُ
Ertinya : Segala sesuatu pasti binasa kecuali wajahNya
(Surah al Qasas : 88).

Ibnu Taimiyyah berkata :
“Maksudnya adalah segala sesuatu itu binasa kecuali amal-amal dan selainnya yang dimaksudkan kerana Allah. Diriwayatkan dari Abil ‘Aliyah bahawa dia berkata: “kecuali sesuatu yang dimaksudkan kerana Allah. Dari Ja’far As Sadiq : “Kecuali agamaNya”. Makna dari 2 penafsiran ini sama.”
- Majmu’ al Fatawa II/427

Ibnu Taimiyyah juga berkata :
Maksud dari (وَجۡهَهُ) pada (– كُلُّ شَىۡءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجۡهَهُ ) adalah al Haq. Dari Mujtahid: “Kecuali Dia”. Dari adh Dhahhaq “Segala sesuatu itu binasa kecuali Allah, syurga, neraka dan al Arsy”. Dari Ibnu Kisan : “Kecuali kerajaanNya”.
– Majmu’ Al Fatawa II/428.

Dalam jilid II/428 dan 429 Ibnu Taimiyyah berkata :
Firman Allah – كُلُّ شَىۡءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجۡهَهُ maksudnya adalah : (kecuali) agamaNya, iradahNya dan peribadatan kepadaNya.


Di dalam jilid II/434 ketika menjelaskan firman Allah :

كُلُّ مَنۡ عَلَيۡہَا فَانٍ۬ (٢٦) وَيَبۡقَىٰ وَجۡهُ رَبِّكَ ذُو ٱلۡجَلَـٰلِ وَٱلۡإِكۡرَامِ (٢٧)

Ertinya : Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.
(Surah ar Rahman : 26-27)

Ibnu Taimiyyah berkata :
"Sesungguhnya kekekalan wajah ALlah yang disifatkan dengan keagungan dan kemuliaan itu adalah "kekekalan zatNya".
Di dalam jilid VI/394 ketika menjelaskan firman ALlah :


يَوۡمَ يُكۡشَفُ عَن سَاقٍ۬ (٤٢)

ertinya : Pada hari ketika betis disingkapkan
(surah al Qalam:42). Ibnu Taimiyyah berkata :
"Diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan sekelompok lainnya bahawa yang dimaksudkan dengan ayat tersebut adalah as syiddah (ketakutan). Kemudian dia berkata : "Dan tidak diragukan lagi bahawa zahir al Quran itu tidak menunjukkan bahawa dia itu sebagai bahagian ayat-ayat sifat kerana Allah berfirman : يَوۡمَ يُكۡشَفُ عَن سَاقٍ۬ (٤٢) iaitu berbentuk nakirah dalam ithbat (bukan nafi) dan tidak diidhafahkan kepada ALlah sehingga tidak dikatakan عَن سَاقٍ۬ (betisnya). Kerana tidak dima'rifahkan dengan idhafah itulah maka ia tidak boleh dikategorikan sebahagian dari ayat-ayat sifat.


Maka jika terhadap Ibnu Taimiyyah dipertahankan kerana takwilnya, lalu mengapa penduduk Dubai dan Abu Dhabi serta seluruh kaum Muslimin mesti dicerca kerana takwil mereka? Dan kenapa pula mereka dikafirkan dan menganggap imam yang ragu-ragu dengan kekafiran mereka atau imam yang tidak mengkafirkan mereka adalah juga orang-orang yang kafir yang jenazahnya tidak boleh disolatkan?

Lalu setelah mereka melakukan semua serangan yang keji terhadap umat ini, mereka pun tidak segan mengaku bahawa sebenarnya mereka itu bersih dari sikap yang mengkafirkan. (Sesungguhnya pengakuan ini bertentangan dengan realiti!. Penterjemah).

Khamis, 21 Mei 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 10

*Sila memulakan pembacaan dari Bab 1 hingga bab yang terkini, klik : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat)

3. Pada halaman 65, penulis kitab itu telah mendustakan ALlah dan RasulNya kerana menyatakan bahawa kaum Muslimin akan ditanya di dalam kuburnya tentang kenapa mereka itu mengikuti mazhab yang empat. Selengkapnya dia berkata :
"Saya bertanya kepadamu - Demi ALlah yang Maha Agung - wahai Muslim yang berakal lagi insaf : "Sesungguhnya manusia itu jika mati nanti apakah dia akan ditanya di dalam kubur atau pada hari perhitungan kerana dia tidak bermazhab dengan mazhab si fulan? Atau kerana dia tidak memasuki tarekat si fulan? Demi ALlah sesungguhnya engkau sama sekali tidak akan ditanya tentang yang demikian itu bahkan engkau akan ditanya kenapa engkau berpegang dengan mazhab si fulan ..? Atau kenapa engkau menempuh tarekat si fulan ? Kerana yang seperti ini, sudah tidak diragukan lagi termasuk menjadikan para imam dan pendeta sebagai Tuhan yang selain ALlah dan juga kerana mazhab-mazhab yang tertentu ini dan tarekat-tarekat yang sudah mahsyur itu termasuk bid'ah dalam agama sedangkan tiap-tiap bid'ah adalah sesat".
Maka perhatikanlah wahai saudaraku para pambaca yang budiman, bagaimana penulis kitab itu mengkafirkan para pengikut mazhab yang empat dengan pengkafiran yang betul-betul terang dan jelas laksana terangnya matahari di siang hari, kerana dia menganggap para pengikut mazhab yang empat itu "termasuk di antara orang-orang yang menjadikan para imam mereka sebagai Tuhan selain ALlah" dan siapa yang melakukan demikian maka dia tergolong KAFIR.

4. Pada halaman 71, penulis kitab itu berkata :
"Hal yang aneh dari para muqallid mazhab -mazhab bid'ah yang sudah mahsyur itu dan dari orang-orang yang fanatik terhadapnya adalah adanya seseorang di antara mereka yang selalu mengikut apapun yang dinisbahkan kepada mazhabnya walaupun jauh dari dalil dan beri'tiqad seakan-akan imam mazhabnya itu adalah nabi yang diutus. Ini adalah sesuatu yang jauh dari kebenaran."
5. Pada halaman 79 dia (Sheikh Khajandi) berkata lagi :
"Apabila anda betul-betul mendalami masalah ini maka nampaklah bagi anda bahawa mazhab-mazhab tersebut sengaja dihiasi dan disebarluaskan oleh para musuh Islam untuk mencerai-beraikan kaum Muslimin dan mengoyak persatuan di antara mereka atau sengaja dilahirkan oleh orang-orang bodoh kerana hendak menyerupai orang-orang Yahudi dan Nasrani".


6. Di halaman 89, Sheikh Khajandi menyerupakan para pengikut Mazhab yang empat mulai dari kalangan hakim sampai kepada orang-orang yang dihakimi, dari kalangan ulama hinggalah orang-orang awam dengan keldai! (himar).

Selengkapnya dia berkata :
"Para muqallid yang jumud itu telah menjadikan pemahaman imamnya sebagai agama dan mazhab. Seandainya anda mengemukakan pada mereka seribu dalil dari al Quran mahupun Hadith tidaklah mereka akan memperhatikan bahkan mereka akan berlari sekencang-kencangnya bagaikan keldai liar yang berlari ketakutan kerana melihat singa."

7. Di halaman 98, penulis kitab itu berkata
" Sesungguhnya kelompok taqlid itu telah menyalahi perintah ALlah dan RasulNya. Juga menyalahi petunjuk para sahabat Nabi dan hal ehwal imam-imam mereka. Mereka telah menempuh jalan yang berlawanan dengan jalan para ahli ilmu. Orang-orang khalaf itu telah bertentangan dengan ulama salaf serta membolak-balikkan tujuan agama. Mereka tidak segan memalsukan KitabuLlah dan Sunnah RasulNya serta perkataan para Khulafa' ar Rasyidin dan para sahabat yang lainnya."

Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali menyatakan - ini jelas merupakan tuduhan dan pengkafiran kepada para pengikut mazhab. Mereka dituduh memalsukan KitabuLlah dan Sunnah RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam.

8. Di halaman 102, penulis kitab itu berkata :
"Akan tetapi para pemuka taqlid itu telah membuat satu jurang di antara kaum Muslimin dengan KitabuLlah kerana mereka menyangka bahawa para Imam yang boleh dijadiktan ikutan telah punah".


9. Sheikh Khajandi berkata pada halaman yang sama :
"Kemudian datang para ulama yang bertaqlid dan mereka menjadikan ucapan mufti terhadap orang awam memiliki kedudukan laksana dalil. Kemudian datang lagi generasi berikutnya yang lebih tenggelam di lautan taqlid. Mereka melarang orang-orang mengambil hukum apapun dari Al Quran dan Sunnah dan menganggap siapapun yang ebrusaha memahami al Quran dan Sunnah serta mengamalkan keduanya sebagai orang yang sesat. Ini adalah puncak pembangkangan dan kerugian serta musuh agama. Ulama-ulama seperti ini telah memiliki banyak pengikut sehingga jadilah mereka semua sekutu-sekutu selain ALlah dan sebahagian mereka akan berlepas diri dari sebahagian yang lain sebagaimana dikhabarkan oleh ALlah subahanahu wa ta'ala.

Sesungguhnya penulis kitab ini telah melakukan pembohongan kepada para Imam, kerana mereka tidak pernah melarang siapapun untuk memahami Al Quran dan Sunnah atau mengambil hukum dari keduanya. Asalkan orang tersebut memang memiliki keahlian untuk melakukannya. Larangan mereka hanyalah ditujukan kepada orang-orang jahil yang sama-sama tidak memiliki ilmu dan keahlian.

10. Di halaman 105, penulis kitab itu berkata :
"Maka taqlid terhadap mazhab itu telah menjadi penyakit yang kronik dan bencana besar yang melanda alam ini."

11. Di halaman 106, penulis kitab itu berkata :
"Wahai hamba-hamba ALlah! Wahai para pengikut Muhammad bin AbduLlah! Kenapa kamu meninggalkan Quran dan Sunnah lalu berpaling ke orang-orang sepertimu dalam hal peribadatan kepada ALlah. Kamu telah melakukan amalan dengan menggunakan pendapat-pendapat mereka yang tidak didasarkan dengan kebenaran dan tidak pula didukung dengan dasar agama serta dalil-dalil dari al Quran dan Sunnah. Dengan suara tinggi dan lantang kamu menyerukan sesuatu yang bersalahan serta bertentangan dengan kebenaran."

Saya berkata : Ini adalah pembohongan yang nyata dan penuduhan yang besar. Sesungguhnya mereka yang bertaqlid itu tidak pernah meninggalkan Quran dan Sunnah lalu mengikuti pendapat para Imam. Yang mereka lakukan adalah mengikut al Quran dan Sunnah dengan pemahaman pada Imam. Perbezaan di antara dua perkara ini sudah sangat jelas dengan pertanyaan : "Apakah kita diperintahkan mengikuti al Quran dan Sunnah ataupun mengikuti mazhab-mazhab yag empat" tidak perlu diajukan. Kerana kalau pertanyaan ini diajukan maka sama sahaja penuduhan yang pedas terhadap para imam mazhab yang empat bahawa mereka telah meninggalkan al Quran dan Sunnah atau berdalil dengan pendapat mereka sendiri. Ini jelas sesuatu yang sangat merbahaya.

Pertanyaan yang semestinya diajukan adalah : "Apakah kita diperintahkan untuk mengikuti Quran dan Sunnah dengan pemahaman kita atau dengan pemahaman orang yang lebih alim dari kita?" Jawabnya - tentulah mengikuti ahli feqh dan orang-orang yang mendalam ilmunya tentang al Quran dan Sunnah adalah lebih utama berbanding mengikut fahaman sendiri yang cetek. Dan tentunya tidak diragukan lagi bahawa Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah adalah orang-orang yang lebih alim tentang al Quran dan Sunnah berbanding dengan kita. Dan merekalah yang lebih utama untuk diikuti ijtihad dan pemahamannya berbanding yang lain.

Pemahaman tentang mazhab-mazhab yang berbeza dengan apa yang saya paparkan ini adalah pemahaman yang sakit dann menyimpang serta keluar dari al Jama'ah dan dari as Sawadul al A'zham.

Rabu, 13 Mei 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 9

Pemikiran-pemikiran Syeikh Khajandi Yang Menyimpang

*Sheikh Khajandi adalah seorang ulama wahhabi salafi dimana di Malaysia ini hujjahnya digunakan oleh mereka yang taksub dengan beliau kononnya kitab yang dikarang beliau sebenarnya adalah untuk mengajak umat Islam untuk tidak fanatik dan taksub mazhab. Sedangkan perkara sebenarnya adalah jauh dari hal tersebut. Marilah kita membuat penilaian sendiri adakah benar hal tersebut dari kitabnya sendiri.

Maktabah al 'Umarin al 'Ilmiyyah bi Syariqah pada tahun 1995 menerbitkan cetakan yang ketiga dari kitab yang berjudul: "Halil Muslim Mulzamun Bittibaa'i Mazhabin Mua'yyan Minal Mazahibil 'Arba'ah tulisan al Ma'shumi al Khajandi as Salafi. Pada kitab tersebut penulisnya melontarkan pernyataan-pernyataan berikut ini :

1. Pada halaman 73 disebutkan : "
Barangsiapa yang fanatik (ta'asub) kepada orang tertentu selain RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan berpendapat bahawa ucapan orang itu adalah benar serta wajib diikuti tanpa imam-imam lainnya maka dia sesat dan jahil. Bahkan boleh menjadi kafir yang perlu diminta untuk bertaubat. Jika bertaubat (maka dia selamat) namun jika tidak maka dia dibunuh.

Kerana bila sahaja seseorang beri'tiqad bahawa wajib atas semua orang utnuk mengikuti mazhab tertentu di antara mazhab imam-imam yang empat maka dia telah menempatkan orang itu pada kedudukan Nabi SallaLLahu 'alaihi wasallam dan yang demikian itu hukumnya kafir"


Saya (Dr Muhammad Adil Azizah al Kayali) berkata:
"Betapa ruginya para pengikut mazhab yang empat yang berpegang dengan hasil ijtihad para imam mereka kerana terkena hukuman yang keji yang menyebabkan leher mereka boleh dipenggal tanpa ada kesalahan yang mereka lakukan.. Padahal kaum Muslimin yang mengikuti mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi serta berpegang dan mengikuti ijtihad-ijtihad mereka sebenarnya mereka itu berpegang dan mengikuti sunnah RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam dan sebenarnya mereka itu hanya fanatik terhadap sunnah itu.

Akan tetapi mereka berpegang dan mengikuti sunnah RasuluLLah itu melalui pemahaman para imam tersebut, bukan pemahaman mereka sendiri. Padahal kita melihat sendiri bahawa mereka yang menghukum dengan pelbagai hukuman zalim, keji dan batil terhadap para pengikut imam-imam yang besar adalah orang-orang yang jelas lebih banyak mengikut, taqlid dan fanatik terhadap pendapat-pendapat para ulama mereka yang terang-terang belum sampai ke taraf para imam mazhab yang empat baik dalam hal ilmu mahupun amal.


2. Pada halaman 55 penulis kitab itu berkata :
"Adapun mengikuti satu mazhab di antara mazhab-mazhab yang empat atau mazhab yang lain maka hukumnya tidak wajib dan tidak pula sunat dan tidak boleh seorang Muslim berpegang kepada salah satu mazhab sahaja bahkan siapa yang berpegang dengan satu mazhab sahaja dalam tiap-tiap mazalah maka dia termasuk orang yang fanatik dan keliru serta telah melakukan taqlid buta dan dialah yang dimaksudkan dengan "Orang-orang yang mencerai-beraikan agama dan menjadikan diri berkelompok-kelompok".
Kemudian beliau berdalil dengan firman ALlah ta'ala :

۞ مُنِيبِينَ إِلَيۡهِ وَٱتَّقُوهُ وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَلَا تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِڪِينَ (٣١) مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَڪَانُواْ شِيَعً۬ا‌ۖ كُلُّ حِزۡبِۭ بِمَا لَدَيۡہِمۡ فَرِحُونَ (٣٢)


Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertakwalah kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik. (31) Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).
(Surah ar Rum : Ayat 31-32)

Perhatikanlah wahai pembaca yang budiman bagaimana penulis kitab itu menggolongkan para pengikut mazhab sebagai orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan siapa yang mencerai-beraikan agama maka dia tergolong musyrik berdasarkan firman ALlah yang tersebut itu. Kesimpulan mereka adalah "Bahawa para pengikut mazhab yang empat adalah kafir dan musyrik". Kesimpulan seperti ini jelas dan terang serta sudah difahami oleh setiap Muslim.

Pada halaman 64 penulis (Sheikh Khajandi) tersebut berkata :

"Akan tetapi ketika mazhab-mazhab sudah bermaharajalela muncullah darinya perpecahan agama". Di halaman yang sama penulis tersebut berkata : "Jika mereka berkata bahawa para pengikut mazhab yang empat adalah Ahlussunnah akan tetapi amalan-amalan mereka mendustakan mereka dan bertentangan dengan apa yang mereka ucapkan".


Perhatikanlah wahai pembaca yang budiman bagaimana sebenarnya pandangan para pengaku Firqah Najiah itu terhadap para pengikut mazhab yang empat yang merupakan as Sawadul A'zham dari kaum Muslimin ini, sebuah pandangan yang hitam kelam, yang tertutup debu dan kegelapan (nazratun 'alaiha gobaroh tarhaquha qotaroh). RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam menganggap bahawa Firqah Najiah itu adalah as Sawadhul A'zham dari kaum Muslimin ini tetapi para pengaku Firqah Najiah menganggap bahawa as Sawadhul A'zham (majoriti umat Islam) dari kaum Muslimin ini bukanlah termasuk Ahlussunnah. Sungguh sebuah pandangan yang sangat berani kerana bertentangan dengan hadith-hadith RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam.

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 8

5. Penerbit Dar al 'Ashimah di Riyadh telah mencetak dan menyebarkan kitab ijma' Ahlis Sunnah an Nabawiyah 'ala takfir al Mu'atthilah al Jahamiyyah yang disusun oleh Sheikh Ibrahim Abdul Lathif Alus Syeikh, Syeikh AbduLlah Abdul Lathif Alus Syeikh dan Syeikh Sulaiman bin Sahman al Faza'i al Khats'ami. Dikumpulkan dan ditahqiq oleh Abdul Aziz Abdullah az Zair alu Ahmad pada tahun 1995 dan dijual di Ma'radh as Syariqah lil kitab pada tahun 2000.

Pada beberapa tempat di kitab tersebut penulisnya mengatakan bahawa penduduk Dubai dan Abu Dabi adalah kafir dan imam yang tidak mengkafirkan mereka atau meragukan kekafiran mereka adalah juga kafir dan tidak boleh disolatkan (jenazahnya).

Perhatikan halaman-halaman : 31, 32, 33, 51, 101, 113, 124, 126, 136, 145 dan 162. Mungkin sahaja mereka yang tidak faham akan berkata : "Fitnah itu laksana orang yang tidur, ALlah melaknat orang-orang yang membangunkannya."

Saya berkata bahawa pernyataan ini tidak diragukan lagi kebenarannya, akan tetapi siapa sebenarnya yang menyebarkan dan membangunkan fitnah itu? Apakah orang yang menerbitkan kitab ini dan menyebarluaskannya atau orang yang memberi peringatan dan menjelaskan tentang kekeliruan dan bahayanya kitab itu? Saya menyerahkan sepenuhnya kepada kaum Muslimin untuk melakukan penilaian.

Ada juga kitab lain yang berjudul "Ihkam ad Din al Hanif minat tahrif" Tulisan Abdul Karim al Haj. Disampul kitab tersebut tertulis alamat untuk surat- menyurat "Al Imaroh al Arabiyyah al Muttahidah as Syariqah" kotak post 19661.

Pada halaman 104 penulisnya berkata:
"Orang-orang yang menyeru untuk berpegang (iltizam) dengan satu mazhab tertentu adalah menyerupai orang-orang Yahudi yang menganggap suci rahib-rahib mereka". Dia juga berkata : "Tidak boleh iltizam dengan satu mazhab tertentu kerana tiadk ada dalil untuk yang demikian itu baik dari al Quran mahupun Sunnah. Siapa yang berpendapat wajib mengikuti satu mazhab tertentu maka dia harus diminta bertaubat. Jika dia bertaubat (maka bebas dari hukuman) namun jika tidak, maka dipenggal lehernya".
Rupanya penulis kitab itu lupa atau berpura-pura lupa bahawa majoriti penguasa di negara-negara Islam mewajibkan pada peradilan-peradilan agama agar menggunakan satu mazhab tertentu dari mazhab-mazhab Islam (yang sudah dikenali dan muktabar). Lalu apakah mereka semua harus diminta untuk bertaubat (istitabah)? Dan apakah jama'ah yang selalu mengaku dirinya sebagai Firqah Najiah itu yang akan melaksanakan istitabah tersebut, kemudian (jika mereka tidak istitabah) leher-leher mereka akan dipenggal?




Selasa, 5 Mei 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 7

*UNTUK KEFAHAMAN, ANDA PERLU MEMBACA ARTIKEL INI MENGIKUT BAB YANG TELAH DIHANTAR.

Contoh-contoh Pengkafiran Yang Dilakukan Oleh Para Pengaku Firqah Najiah


Kelompok yang selalu mengaku bahawa hanya diri mereka yang termasuk Firqah Najiah selalu menegaskan bahawa mereka sama sekali tidak mengkafirkan siapapun di antara kaum Muslimin lantaran dosa yang dilakukan. Akan tetapi buku-buku mereka terbuka lebar dan jelas menyalahi apa yang mereka katakan. Berikut ini adalah contoh-contoh pengkafiran mereka terhadap ummat dan para imam :

1. Dalam Mukhtashar Muslim lil Hafiz al Munziri ketika berkomentar hadith no 2060 tentang turunnya al Masih alaihis salam di akhir zaman. Sheikh Albani berkata :
"Ini jelas menunjukkan bahawa Isa 'alaihissalam akan berhukum dengan syari'at kita dan memberi keputusan dengan al Quran dan Sunnah, bukan dengan selain keduanya iaitu Injil atau Fiqh Hanafi atau yang seumpamanya".


Pernyataan Albani ini telah dibidas oleh Dekan Fakulti Usuluddin Universiti al Imam Muhammad bin Su'ud al Islamiyah Riyadh iaitu Dr Ibrahim al Manshuri di Akhbar Harian 'Ukkaz dalam tiga makalah yang ditampilkan bersiri. Beliau berkata :
"Bagaimana anda menyamakan mazhab-mazhab dengan Injil yang sudah tidak asli dalam hal kebatilan? Dan bagaimana pula anda menggolongkan para pengikut mazhab yang empat berada dalam kesesatan seperti Yahudi dan Nasrani dan bahawa semua itu adalah pengikut kebatilan sebagaimana sangkaan anda?
*Sheikh Albani menyamakan Fiqh Hanafi yang dalil dan hujjahnya adalah dari Al Quran dan Sunnah dengan Injil yang terang jelas sudah terpesong.

2. Di dalam Akhbar al Muslimin ad Dauliyah : apabila ditanya tentang 2 imam besar iaitu Imam An Nawawi dan Ibnu Hajar (semoga keduanya dirahmati ALlah) :
"Sesungguhnya kedua Imam itu memiliki aqidah yang rosak dan melakukan penyimpangan (tahrif) dalam beberapa masalah I'tiqad".


3. Safar al Hawali dalam risalahnya bertajuk Minhaj al Asya'iroh fil Aqidah hal 28 :
"Seandainya dikatakan bahawa al Hafizh Ibnu Hajar adalah orang yang tidak menentu aqidahnya nescaya ia lebih mendekati kebenaran".


Perhatikanlah wahai pembaca yang budiman bagaimana sebenarnya adab mereka - orang-orang yang mengaku dirinya Firqah Najiah terhadap para ulama yang menjadi panutan ummat.

4. Penerbit Dar Romadi di Dammam telah mencetak ulang kitab as Sunnah tulisan dari AbduLlah bin Al Imam Ahmad bin Hambal 3 kali berturut-turut dalam tahun 1994, 1995 dan 1996 dengan ditahqiq oleh Muhammad Said al Qahthani. Tetapi telah ditegaskan oleh Fadhilatus Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh bahawa karangan ini bukanlah dari AbduLlah bin Al Imam Ahmad Bin Hambal melalui kajian beliau (al Asanid Ansabul Kutub) serta telah diterbitkan dalam Majalah ad Dhiya' terbitan Da'iratul Awqaf was Syu'un al Islamiyah Dubai tahun 1994.

Kitab yang dikatakan karangan AbduLlah itu penuh dengan takfir (pengkafiran) terhadap ummat Islam dan para Imam. Di dalamnya terdapat hampir 100 ungkapan mencela Imam Abu Hanifah yang di antaranya ialah :

1. Kafir Zindiq
2. Mati sebagai pengikut Jahmiyah
3. Melepaskan (jalinan) Islam helai demi helai.
4. Tidak pernah dilahirkan dalam Islam orang yang lebih membawa sial dan lebih berbahaya terhadap ummat ini dibanding dengan Abu Hanifah.
5. Dia adalah sumber segala kesalahan
6. Dia telah memperdaya agama ini.
7. Dia adalah rakyat jelata yang bukan Arab.
8. Para penjual khamar lebih baik dibanding pengikut Imam Abu Hanifah
9. Pengikut Abu Hanifah lebih berbahaya terhadap kaum Muslimin dibanding para pencuri.
10. Sahabat-sahabat Abu Hanifah adalah seperti orang yang membuka auratnya di masjid-masjid.
11. Abu Hanifah akan dimasukkan oleh ALlah ke dalam neraka.
12. Imam Abu hanifah adalah Abu Jifah (bapa bangkai)
13. Seorang Muslim akan diberi pahala lantaran benci kepad Abu Hanifah dan para sahabatnya.
14. Tidak akan tenang negeri yang disebutkan padanya nama Imam Abu Hanifah
15. Mengangkat pengikut Abu Hanifah sebagai hakim disuatu negeri lebih berbahaya terhadap ummat ini dibanding keluarnya Dajjal
16. Abu Hanifah penganut fahaman Murji'ah
17. Dia adalah orang pertama yang mengatakan al Quran itu makhluk.
18. Dia telah menyia-nyiakan semua perkara yang prinsipal
19. Andai kesalahnya dibahagi kepada ummat ini nescaya akan mencukupi semuanya.
20. Dia telah meninggalkan hadith kepada ar ra'yu
21. Wajib mengasingkannya seperti mengasingkan orang berpenyakit kudis yang menular.
22. Dia telah meninggalkan agama
23. Abu Hanifah dan para sahabatnya adalah seburuk-buruk golongan.
24. Dia tidak pernah dianugerahi keyakinan dalam agamanya.
25. Dia tidak pernah belajar sama sekali
26. Dia sudah dua atau tiga kali diminta bertaubat dari kekafirannya.
27. Sebahagian fatwanya menyerupai fatwa Yahudi.
28. Tidak pernah terlahir dalam Islam orang yang lebih berbahaya dibanding Abu Hanifah
29. Allah telah memukulkan palu neraka di atas kubur Abu Hanifah.
30. Sebahagian ulama mengucap hamdaLlah ketika mereka mendengar wafatnya Imam Abu Hanifah
31. Dia termasuk penyakit yang sangat kronik.
32. Mazhab Abu Hanifah menolak hadith-hadith RasuluLlah
33. Abu Hanifah membolehkan minum khamar dan memakan daging babi.
34. Dia orang yang rosak.
35. Majoriti ulamak berpendapat tentang bolehnya melaknat Abu Hanifah
36. Dia adalah orang yang paling berani terhadap agama ALlah.
37. Abu Hanifah berpendapat bahawa iman Iblis dan Abu Bakar adalah satu.
38. Kononnya Abu Hammad bin Salamah pernah berkata : "Sesungguhnya aku berharap sekiranya ALlah memasukkan Abu Hanifah ke dalam neraka Jahannam."

Ini adalah di antara kandungan Kitab as Sunnah yang secara dusta dan penuh kebohongan dinisbahkan kepada AbduLLah bin al Imam Ahmad pada Jilid I hal 180-228

Jika memang benar bahawa para pendakwa Firqah Najiah itu tidak pernah mengkafirkan seorangpun di antara kaum Muslimin, sesuai pengakuan mereka. Mengapakah mereka menyebarluaskan kitab-kitab seperti ini, kitab-kitab yang laksana racun bagi ummat ini? Lalu setelah menyerang para imam besar dengan pelbagai tuduhan yang keji dan ngeri mereka meminta ummat ini untuk percaya bahawa mereka sama sekali tidak pernah mengkafirkan siapapun di antara kaum Muslimin dan siapa yang mengatakan demikian mereka anggap sebagai orang bodoh dan dungu.

Akan tetapi saya serahkan kepada ummat Islam untuk menilai penerbitan mereka terhadap kitab-kitab seperti itu. Apakah para pendakwa Firqah Najiah itu suka mengkafirkan ummat ini atau tidak.

Mungkin sahaja ada orang yang berkata bahawa kitab tersebut tidaklah melambangkan aqidah salaf. Sayapun sebenarnya berharap demikian, akan tetapi pentahqiq kitab tersebut iaitu al Qahtani memperakuinya (sebagai bahagian dari aqidah salaf) pada jilid I hal 65:
"Kitab ini memiliki rujukan utama dari kitab-kitab salaf".
Dia juga berkata "Dari sisi ini maka kitab tersebut memiliki kedudukan yang besar kerana bersumberkan banyak kitab yang membahas tentang aqidah salaf".

Ahad, 3 Mei 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 6

Syarat-syarat Firqah Najiah

Dalam hadith yang dikeluarkan oleh Imam Tabrani dalam al Mu'jam al Kabir jilid 8 halaman 152 dari Abi Darda', Abi Umamah, Watsilah bin al Asqa' dan Anas bin Malik, RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam menjelaskan golongan yang selamat sebenarnya adalah tidak mengkafirkan ahli kiblat iaitu sabdanya yang bererti :

Tinggalkan perbantahan kerana sesunguhnya Bani Isra'il telah berpecah menjadi 71 golongan dan orang-orang Nasrani berpecah menjadi 72 golongan, semuanya sesat kecuali as Sawadul A'zhom. Para sahabat bertanya : Wahai RasuluLlah siapakah sawadhul a'zhom itu? Nabi menjawab : mereka adalah orang-orang yang mengikuti aku dan para sahabatku, tidak berbantah-bantah dalam agama ALlah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli tauhid sebab dosa yang sudah diampuni oleh ALlah. Kemudian Nabi bersabda : Sesungguhnya Islam itu datang dalam keadaan asing dan nanti akan kembali asing. Para sahabat bertanya : Wahai RasuluLlah siapakah orang-orang asing itu? Nabi menjawab : Mereka adalah orang-orang yang berbuat kebaikan dikala orang-orang berbuat kerosakan, tidak berbantah-bantahan dalam agama ALlah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli Tauhid dengan sebab dosa yang telah dia lakukan.


Dengan demikian maka apabila kita melihat seorang Muslim mengkafirkan Muslim yang lain lantaran dia tidak sefahaman dengannya dalam hal dakwah dan seruan-seruannya maka kita mengingatkannya akan bahaya takfir (pengkafiran) yang boleh menyebabkan pelakunya jatuh ke dalam kekafiran itu sendiri sebagaimana yang telah dijelaskan oleh RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam dalam hadith beliau yang terdapat dalam Sahih Bukhari no 5752 yang bererti :

"Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya "


Begitulah juga sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadith dari Huzaifah bin Yaman di mana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :


Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh ALlah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi ALlah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan.


(Hadith dikeluarkan oleh Ibnu Hibban pada hadith no 81 dan Ibnu Kathir dalam tafsirnya jilid II/266, dia berkata : Isnad Hadith ini bagus. Begitu juga ditakhrij oleh Al Bazzar dalam Musnadnya dengan pernyataan yang sama, At Thabroni dalam Al Kabir dan As Saghir dengan pernyataan yang sama dan Ibnu Abi Ashim dalam kitab As Sunnah).

Dalam sahih Bukhari pada hadith nombor 2227 disebutkan bahawa Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam telah bersabda yang bererti :

"Barangsiapa yang melaknat seorang Mukmin maka itu seperti membunuhnya dan barangsiapa yang menuduh seorang Mukmin dengan kekafiran maka itu seperti membunuhnya."


Namun permasalahannya undang-undang hanya mengatur pertuduhan atas pembunuhan dan tidak mengambil tindakan terhadap pertuduhan atas tuduhan kafir (takfir) padahal kita tahu bahawa kedua-duanya sama berbahaya sebagaimana seorang Muslim yang menuduh saudaranya Muslim yang lain dengan tuduhan Kafir dapat menyebabkan si penuduh terkeluar dari Firqah Najiah kerana di antara syarat untuk masuk ke Firqah Najiah adalah : "Tidak mengkafirkan siapapun di antara ahli Tauhid dan ahli Kiblat lantaran dosa yang telah dia lakukan."

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 5

Dalil-dalil Yang Menguatkan Bahawa Firqah An najiah Itu Adalah Seluruh Kaum Muslimin

Selanjutnya akan saya perkuatkan lagi keterangan bahawa Firqah Najiah itu seluruh kaum Muslimin dan dialah yang diibaratkan dengan As Sawadul A'zham sebagaimana pada hadith-hadith berikut ini :

1. Hadith dalam mushannaf Ibnu Abi Syaibah jilid 7 halaman 544 pada no 7389 dari Abi Umamah radiyaLLahu 'anhu dimana Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Kaum Bani Israel berpecah menjadi 71 golongan dan umat ini berpecah melebihi Bani Israel satu golongan, semuanya dalam neraka kecuali As Sawadul A'zham (majoriti umat Islam), apa yang dibebankan kepada mereka adalah tanggungjawab mereka dan apa yang dibebankan kepadamu adalah tanggungjawabmu. Jika kamu patuh maka kamu semua akan mendapat petunjuk. Kewajiban Rasul itu hanyalah menyampaikan. Mendengar dan mematuhi lebih baik dari bercerai berai dan melakukan maksiat. Mendengar tersebut seorang lelaki berkata : "Wahai Abu Umamah apakah ini pendapatmu atau sesuatu yang telah engkau dengar dari RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam? Ia menjawab : "Kalau itu pendapatku maka alangkah beraninya aku ini, akan tetapi aku telah mendengarnya dari RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam tidak hanya sekali atau dua kali bahkan sampai tujuh kali ".


2. Abu Ya'la mengeluarkan dalam musnadnya jilid 32 halaman 7 hadith no 3938 dari Anas bin Malik RadiyaLLahu 'anhu dimana Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Sesungguhnya Bani Israel berpecah menjadi 71 golongan dan ummatku akan berpecah menjadi 72 golongan, semuanya dalam neraka kecuali As Sawadul A'zham".


Dalam riwayat Abu Ya'la yang lain pad ahadith no 3944 terdapat sedikit perbezaan sebagai berikut yang bererti :

"sesungguhnya ummatku akan berpecah menjadi 72 golongan, semuanya dalam neraka kecuali As Sawadhul A'zham".


Muhammad bin Bahr yang merupakan guru dari Abu Ya'la menafsirkan As Sawadhul A'zham itu dengan Al Jama'ah iaitu seluruh umat Islam kecuali mereka yang menganggap dirinya Islam padahal bukan Islam seperti mereka yang mengingkari salah satu daripada rukun Islam atau mempertuhankan sesuatu benda dan juga seperti golongan-golongan lain yang sudah disepakati keluar dari Islam.

Rabu, 29 April 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 4

Anggapan Sebahagian Orang Bahawa Makna Al Jama'ah itu Bukan Jama'ah Muslim

Sebahagian mereka menolak pemahaman Al Jama'ah dengan Jama'ah Muslimin. Mereka tetap menganggap bahawa yang selamat itu hanyalah sekelompok kecil dari kaum Muslimin. Mereka berdalil dengan hadith yang ditakhrij oleh Imam Muslim di mana Nabi SallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Sekelompok dari ummatku akan senantiasa mampu mempertahankan kebenaran (al-haq) sampai tiba hari kiamat".

Padahal hadith ini tidak bermaksud untuk mengatakan bahawa hanya sekelompok kecil (tho'ifah) itu yang selamat sementara yang lain tidak. Bahkan dalam sahih Bukhari pada hadith no 2667 dijelaskan bahawa yang dimaksud tho'ifah dalam hadith itu ialah Ahlul Ilmi iaitu para ulama. Dengan demikian maka hadith di atas tidak ada kaitannya sama sekali dengan masalah ini. Adapun hadith-hadith yang terdahulu itu menjelaskan tentang mana yang selamat dari neraka dan mana yang tidak. (Sekiranya hadith ini dipakai untuk menentukan golongan yang selamat dan yang tidak maka kaum muslimin yang bukan ulama termasuk golongan yang sesat Pent.)

Selasa, 28 April 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 3

Al Jama'ah Sebagai Golongan Yang Selamat (Firqah Najiah) Adalah Seluruh Kaum Muslimin

Hadith-hadith yang telah disebutkan di atas merupakan petunjuk yang kuat bahawa perpecahan pada ummat ini memang terjadi, akan tetapi di dalam hadith-hadith tersebut kita tidak mendapatkan keterangan mengenai siapa yang selamat di antara golongan-golongan itu. Keterangan itu baru kita dapatkan pada hadith-hadith yang lain antaranya :

1. Hadith Anas bin Malik radiyaLLahu 'anhu yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, hadith no 12229 yang bererti :

"Dari Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda: Sesungguhnya Bani Isra'il telah berpecah menjadi 72 golongan dan kamu semua akan berpecah sebanyak itu juga, semuanya di dalam neraka kecuali satu golongan"
Hadith ini sebagaimana yang kita lihat menghadkan bahawa hanya ada satu golongan yang selamat (Firqah Najiah)

2. Riwayat yang terdapat dalam Mustadrak al Hakim 1/47 dari Katsir bin AbduLLah bin Amar bin 'Auf bin Zaid dari ayahnya, dari datuknya dia berkata yang bererti :

"Kami duduk di sekitar RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam di Masjid Nabawi lalu beliau berkata : Sesungguhnya kamu semua kelak akan menempuh sunnah-sunnah ummat yang sebelum kamu dengan sama sepertinya dan kamu semua akan mengambil seperti apa yang mereka ambil. Jika sejengkal kamupun ikut sejengkal, jika sehasta kamu juga ikut sehasta dan jika sedepa kamu pun ikut sedepa sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak kamu juga akan ikut masuk ke dalamnya. Akan tetapi Bani Israel telah berpecah pada masa Nabi Musa menjadi 71 golongan, semuanya sesat kecuali satu golongan iaitu Islam dan jema'ahnya. Dan di masa Nabi Isa, Bani Israel berpecah menjadi 71 golongan, semuanya sesat kecuali satu golongan iaitu Islam dan jemaahnya. Kemudian kamu semua akan berpecah menjadi 72 golongan, semuanya sesat kecuali satu golongan iaitu Islam dan jemaahnya".


Hadith ini jelas menunjukkan bahawa Firqah Najiah itu adalah semua orang yang telah masuk Islam dan menjadi jema'ahnya. Dan orang yang Islam (Muslim) adalah mereka yang telah mengucapkan La ilaha illaLlah Muhammad RasuluLlah. Dialah kalimat yang menyebabkan orang Kafir yang mengucapkannya menjadi seorang Musim. Makna seperti ini dikuatkan oleh hadith yang terdapat dalam Sahih Bukhari di mana Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :

"Siapa yang mengucapkan La ilaha illaLLah maka dia pasti masuk syurga".


3. Imam Tabrani dalam al Mu'jam al Kabir jilid 17 halaman 13 menyebutkan potongan terakhir hadith Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam sebagai berikut yang bererti :

"Kemudian kamu semua akan berpecah menjadi 72 golongan, semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu Islam dan jema'ahnya".


Makna al jama'ah di sini adalah semua umat Islam kecuali mereka yang sengaja dengan ikhtiyarnya sendiri keluar dari Islam atau melakukan sesuatu yang telah disepakati dapat menyebabkan kekafiran. Oleh kerana itu, dalam banyak hadithnya yang lain Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam mengisyaratkan Firqah Najiah itu dengan Al Jama'ah (di ma'rifahkan dengan alif lam) yang bererti Jama'ah Muslimin atau umat Islam. Bukan sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian penuntut ilmu dengan mengalihkan ma'rifah di situ sebagai nakirah lalu berkata bahawa Firqah Najiah itu adalah Jama'atun minal Muslimin (sekelompok dari kaum Muslimin).

Hadith lain yang menguatkan bahawa al Jama'ah di situ bermakna Jama'ah Muslimin (kerana kata al Jama'ah di ma'rifahkan dengan alif lam) adalah :

1. Hadith yang terdapat dalam sunan Ibnu Majah no 3994 :

Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu dia berkata : RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :
Orang-orang Yahudi berpecah menjadi 71 golongan, satu masuk syurga dan 70 dalam neraka. Orang-orang Nasrani juga berpecah menjadi 72 golongan, 71 dalam neraka dan satu masuk ke syurga. Dan demi jiwa Muhammad yang ada dalam kekuasaanNya sesungguhnya ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan , satu masuk syurga dan 72 masuk dalam neraka. RasuluLlah ditanya: Siapakah mereka (yang masuk syurga itu)?, Beliau menjawab : "Al Jama'ah".


2. Hadith dalam Sunan Ibnu Majah no 3995 dari Anas bin Malik radiyaLlahu 'anhu di mana RasuluLlah bersabda yang bererti :
Sesungguhnya Bani Israel berpecah menjadi 71 golongan, dan ummatku akan berpecah menjadi 72 golongan, semuanya masuk neraka kecuali satu iaitu al Jama'ah".


3. Hadith dalam Musnad As Syamiyyin no 988 dari Auf bin Malik dia berkata yang bererti :

"RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : Orang-orang Yahudi berpecah menjadi 71 golongan, satu masuk syurga dan 70 dalam neraka. Orang-orang Nasrani juga berpecah menjadi 72 golongan, satu masuk syurga dan 71 dalam neraka. Demi jiwaku yang ada dalam kekuasaanNya sesungguhnya ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan, satu masuk ke syurga dan 72 masuk dalam neraka. RasuluLlah ditanya : Siapakah mereka (yang masuk syurga itu)? Beliau menjawab : Ahlul Jama'ah.


4. Hadith dalam Al Mu'jam al Kabir Imam Thabrani jilid 18 halaman 70 dari 'Auf bin Malik dia berkata yang bererti : "RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
Orang-orang Yahudi juga berpecah menjadi 71 golongan. Orang-orang Nasrani juga berpecah menjadi 72 golongan, Demi jiwaku yang ada dalam kekuasaanNya sesungguhnya ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan, satu masuk syurga dan 72 dalam neraka. RasuluLlah ditanya : Siapakah golongan (yang masuk syurga itu)? Beliau menjawab : "Al Jama'ah".

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 2

Hadith-hadith Tentang Perpecahan Ummat

Di antara hadith-hadith sahih yang menjelaskan tentang iftiroqul ummah adalah :

1. Tersebut dalam Mustadrak al Hakim I/44 yang bererti :

"Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu dia berkata : Aku telah mendengar RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda: Orang-orang Yahudi terpecah menjadi 71 atau 72 golongan. Orang-orang Nasrani berpecah seperti itu juga sedangkan ummatku berpecah menjadi 73 golongan".

Al Hakim berkata : Hadith ini sahih menurut pensyaratan Imam Muslim tetapi Muslim sendiri tidak mentakhrijnya.

2. Tersebut dalam Sunah Abu Daud IV/197 yang bererti :

"Dari Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu dia berkata: Bersabda RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam: Orang-orang Yahudi berpecah menjadi 71 atau 72 golongan. Orang-orang Nasrani berpecah menjadi 71 atau 72 golongan . Dan ummatku berpecah menjadi 73 golongan".


3. Tersebut dalam Sahih Ibnu Hibban (Hadith no 6237) yang bererti :

"Dari Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu dia berkata: Bersabda RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam : Orang-orang Yahudi terpecah menjadi 71 golongan dan orang-orang Nasrani berpecah menjadi 72 golongan sementara ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan".

Selasa, 14 April 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 1

Doktor Azizah al Kayali melalui bukunya ini sangat mengharapkan adanya muhasabah diri dalam hal metodologi dakwah dari mereka yang mengaku diri sebagai satu-satunya kelompok yang termasuk dalam Firqah an Najiah kerana setidak-tidaknya metodologi yang dibawa oleh mereka ini telah mengakibatkan 2 kesan buruk iaitu :

1. Menyakiti kaum Muslimin lain yang tidak termasuk dalam kelompok mreka kerana seringkali dituduh sebagai Ahlu An Nar (penghuni neraka) . Dan akibatnya sesama kaum Muslimin sering terjebak di dalam pelbagai konflik dan permusuhan - perkara ini sudah terjadi di Malaysia. Lihat sahaja di dalam internet dan juga perpecahan yang berlaku di Malaysia akhir-akhir ini yang menggoncang persaudaraan dan perpaduan umat Islam.

2. Menggembirakan orang-orang kafir kerana mereka yang memang menginginkan retaknya hubungan di antara umat Islam, merasa tidak perlu bersusah payah menimbulkan provokasi, cukup hanya menjadi penonton kerana umat Islam sendiri sudah bermusuhan antara satu dengan yang lain.

Dari segi nas-nas agama, pengakuan mereka sebagai satu-satunya Firqah Najiah akan mengakibatkan majoriti umat Muhammad ini dari agama Islam (kerana telah dijatuhkan hukuman kafir atau syirik). Padahal dalam hadith-hadith sahih disebutkan bahawa umat Muhammad atau umat Islam akan menjadi majoriti penghuni di Syurga. Mari ktia perhatikan hadith sahih yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim sebagai berikut yang bererti :

Dari Ibnu Mas'ud radiyaLlahu anhu dia berkata :
Pernah kami sekitar 40 orang lebih bersama RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam di dalam sebuah rumah kecil yang bundar. Lalu beliau bersabda : Mahukah kamu menjadi 1/4 penghuni syurga? Kami menjawab : Ya. Beliau bersabda lagi : "Mahukah kamu menjadi 1/3 penghuni syurga? . Kami menjawab : Ya. Beliau lalu bersabda : "Demi zat yang jiwa Muhammad ada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya saya benar-benar mengharapkan agar kalian semua (iaitu umat Islam) menjadi 1/2 penghuni syurga. Yang demikian itu kerana tidak ada yang akan masuk ke syurga kecuali orang Muslim dan tidaklah kamu semua akan berada dalam golongan orang-orang yang berbuat kesyirikan kecuali seperti rambut putih yang ada pada kulit lembu yang htiam atau seperti rambut hitam yang ada pada kulit lembu yang merah.
Hadith sahih di atas dengan jelas menunjukkan bahawa umat Islam ini adalah majoriti penghuni syurga di mana Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam mengharapkan agar umat Islam ini menjadi 1/2 ahli syurga. Para ulama berkata bahawa semua harapan (roja') yang berasal dari ALlah subahanahu wa ta'ala atau dari Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam maka ia pasti akan terbukti.

Menurut imam al Qurthubi petunjuk harapan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam itu dapat dilihat pada firman ALlah ta'ala :

وَلَسَوۡفَ يُعۡطِيكَ رَبُّكَ فَتَرۡضَىٰٓ (٥)

Ertinya : Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda (berpuas hati).
(Surah ad Dhuha : ayat 5)

Menurut as Suddi ayat ini menunjukkan adanya syafa'at bagi seluruh kaum Mukminin. (Lihat Tafsir al Qurthubi XX/68). Begitu juga dengan firman ALlah dalam sebuah hadith qudsi riwayat Imam Muslim yang bererti :
Sesungguhnya Kami benar-benar akan memuaskanmu berkaitan umatmu dan Kami tidak akan membuatmu sedih
(Dalilul Falihin II/267)

Pada hadith tersebut Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam menggambarkan umat Islam ini adalah 1/4nya adalah penduduk syurga lalu naik jumlahnya menjadi 1/3 lalu naik lagi menjadi 1/2 penduduk syurga. Teknik penyampaian ini lebih menyentuh hati dan menggugah perasaan serta menunjukkan adanya pemuliaan (ikram) terhadap umat ini kerana memberikan sesuatu kepada seseorang secara berulang-ulang menunjukkan adanya perhatian terus menerus kepada orang tersebut. Dan juga teknik penyampaian seperti ini mengandungi adanya pengulangan terhadap penyampaian khabar gembira (bisyarah) dan ini akan mendorong seseorang untuk juga memperbaharui atau mengulang-ulang rasa syukurnya kepada ALlah subahanahu wa ta'ala. Bahkan dalam riwayat lain disebutkan :

Sesungguhnya penduduk syurga itu terdiri dari 120 saf, 80 safnya terdiri dari umat ini (iaitu umat Islam).


Hadith ini menunjukkan bahawa penghuni syurga nanti 2/3 nya terdiri dari umat Islam.Bererti umat Islam ini lebih dari 1/2nya adalah penghuni syurga iaitu melebihi jumlah yang disebutkan dalam hadith pertama di atas. Hal ini tidaklah menunjukkan adanya percanggahan antara dua hadith tersebut melainkan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam dalam hal ini telah memberitahu lagi dengan jumlah yang lebih banyak. (lihat Dalilul Falihin II/271 terbitan Darul Kutub al Ilmiyyah pada bab ar Roja').

Selanjutnya penegasan Nabi SallaLlahu 'alaihi wasallam dalam riwayat Bukhari dan Muslim di atas :
Dan tidaklah kamu semua akan berada dalam golongan orang-orang yang berbuat kesyirikan kecuali seperti rambut putih yang ada pada kulit lembu yang hitam atau seperti rambut hitam yang ada pada kulit lembu yang merah.

Bukankah ini menunjukkan bahawa umat Islam yang jatuh ke dalam perbuatan syirik hanyalah minoriti seperti sedikitnya rambut putih di atas kulit lembu yang hitam. Cubalah perhatikan lembu yang kulitnya berbelang-belang, bukankah yang majoritinya itu adalah rambut yang berwarna hitam dan rambut putihnya sangat sedikit. Sementara terang dan jelas dinyatakan dalam hadith itu bahawa umat Islam yang jatuh dalam kesyirikan hanyalah laksana rambut putih yang ada pada kulit lembu berwarna hitam.

Dengan nas ini terbuktilah bahawa sikap mereka yang terlalu mudah menuduh orang lain dengan syirik dan kafir hingga menghukum kepada kafir atau musyriknya majoriti umat ii adalah nyata bertentangan dengan penjelasan Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam.

Sebagai penambahan sebelum menela'ah kitab tulisan Doktor Azizah al Kayali mari kita renungkan 2 hadith Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam berikut :

Dari Ubadah bin Shamit radiyaLlahu 'anhu dia berkata: bersabda RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam : Barangsiapa bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain ALlah yang Esa serta tidak ada sekutu bagiNya dan bahawa Nabi Muhammad itu adalah hamba dan RasulNya, bahawa Nabi Isa adalah hamba ALlah dan utusanNya (ke Bani Israel) juga kalimatNya yang disampaikan keapda Maryam serta ruh dariNya. Dia juga bersaksi bahawa syurga itu haq, dan neraka juga haq, maka ALlah apsti akan memasukkannya ke dalam syurga walau bagaimanapun amal perbuatannya
(Hadith muttafaqun 'alaih).

Hadith yang direkodkan oleh Muslim dari Ubadah bin Shamit juga RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

Barangsiapa bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain ALlah dan bahawa Muhammad adalah utusan ALlah maka ALlah akan mengharamkan atasnya api neraka.


Dengan demikian maka semua kaum Muslimin itu, sepanjang dia masih beriman, pasti akan masuk syurga. Mengenai apakah secara langsung tanpa hisab atau masuk neraka terlebih dahulu baru kemudian masuk syurga, semua itu hanya ALlah yang tahu dan kita wajib menyerahkan keputusannya kepada kehendak ALlah subahanahu wata'ala.

Penterjemah Abu Al Fayadi