CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Sabtu, 28 Julai 2012

Apakah Hukum Mengucapkan Selamat Tahun Baru ?


Oleh : Thoriq

Begitu banyak tulisan mengenai hukum mengucapkan “salamat tahun baru” di bulan Muharram ini, namun semuanya hanya merujuk kepada pendapat pihak kontemporer, yang menyatakan bahwa perbuatan itu bid’ah dan dilarang. Sebab itulah penulis tertarik untuk menelisik hukumnya yang sebenarnya menurut para hufadz dan fuqaha mu’tabar. Dan hasilnya, demikianlah pendapat mereka:

Al Hafidz Abu Hasan Al Maqdisi
Al Imam Al Hafidz As Suyuthi dalam Al Hawi li Al Fatawi (hal. 101) menyatakan,”Al Qamuli menyatakan dalam Al Jauhar (yakni Jauhar Bahr Al Muhith-pent):”Kami belum melihat ashab kami (yakni para ulama As Syafi’iyah-pent) pernyataan dalam tahni’ah (ucapan selamat) dua hari raya, tahun-tahun serta bulan-bulan sebagaimana apa yang dilakukan oleh manusia. Dan aku melihat dari beberapa faidah dari Syeikh Zakiyuddin Abdul Adzim Al Mundziri bahwa Al Hafidz Abu Al Hasan Al Maqdisi telah ditanya tentang tahni’ah di awal tahun-tahun dan bulan-bulan. Maka beliau menjawab bahw sesungguhnya manusia masih berselisih mengenai hal itu, dan beliau berkata,”Dan yang aku lihat bahwa sesungguhnya hal itu mubah, bukan sunnah juga bukan bid’ah.”
As Suyuthi menambahkan bahwa Ibnu Qasim Al Ghazzi telah menukil pernyataan di atas dan tidak menambahnya. Sedangkan Ibnu Alan dalam Al Futuhat (6/311) menyatakan bahwa Ibnu Qasim tidak membantahnya. Ini menunjukkan bahwa Ibnu Qasim menyetujuinya. Demikian pula sikap yang diambil oleh Al Hafidz As Suyuthi.
Syihab Ibnu Hajar
Namun ada pula yang menanggapi pernyataan Al Hafidz Abu Al Hasan Al Maqdisi di atas, yakni Syihab Ibnu Hajar. Al Khatib As Syarbini dalam Mughni Al Muhtaj (1/429) menyatakan,” Dan Syihab Ibnu Hajar menjawab setelah menela’ah akan hal itu (pendapat Al Hafidz Al Maqdisi- pent) bahwa hal itu (tahni’ah-pent) disyariatkan. Dan beliau berhujjah untuknya bahwa Imam Al Baihaqi telah membuat bab khusus tentang hal itu, kemudian beliau (Ibnu Hajar-pent) menyatakan bab tentang apa-apa yang diriwayatkan dalam perkataan manusia satu sama lain dalam ied  تقبل الله منا و منك dengan menyebutkan sejumlah akhbar dan atsar dhaif, akan tetapi perkumpulannya dijadikan hujjah dalam permasalahan seperti ini.
Dan beliu kemudian mengatakan,”Dan menjadi hujjah juga keumuman tahni’ah ketika memperoleh kenikmatan atau terhindar dari bala dengan disyariatkannya sujud syukur dan takziyah, juga dengan periwayatan Ka’ab bin Malik di Shahihain dalam kisah taubatnya ketika mundur dari perang Tabuk,’Bahwa sesungguhnya ia ketika memperoleh kabar gembira mengenai diterimanya taubatnya pergi kepada Rasulullah صلي الله عليه وسلم berdirilah kepadanya Talhah bin Ubaidllah kemudian memberi ucapan selamat kepadanya.”
Yang juga menukil komentar Syihab Ibnu Hajar atas pendapat Al Hafidz Abu Al Hasan Al Maqdisi selain As Syarbini adalah As Syarwani dalam Hasyiyah At Tuhfah (3/56).
Al Qalyubi dalam Hasyiyah Syarhi Al Mahalli (1/359) juga menyatakan,”Tahni’ah untuk hari-hari raya, tahun-tahun dan bulan-bulan, Ibnu Hajar mengatakan, mandub (sunnah-pent) dan mengambil teladan untuknya dengan diperintahkannya sujud syukur ketika memperoleh nikmat dan terhindar dari adzab.
As Syarqawi
Syeikh Sayyid Ba Alawi, Mufti Diyar Al Hadrami menyatakan dalam Bughyah Al Mustarsyidin (hal.89),”Dan menambah As Syarqawi, demikian juga (disunnahkan tahni’ah-pent) untuk tahun dan bulan menurut pendapat mu’tamad…”
Syaikh Al Islam Al Baijuri
As Syarwani menyatakan dalam Hasyiyah At Tuhfah (56/3),”Dan ungkapan syaikh kami, disunnahkan tahni’ah untuk ied dan sejenisnya seperti tahun dan bulan menurut pendapat mu’tamad…”
Ungkapan “syeikh kami” oleh As Syarwani dalam Al Hasyiyah biasanya menunjukkan pernyataan guru beliau Syeikh Al Islam Al Baijuri.
Walhasil, dalam masalah ini para fuqaha’ dan huffadz, khususnya dalam As Syafi’iyah memandang bahwa tahni’ah untuk awal tahun sebagai perkara mubah yang bukan bid’ah dan ada pula yang memandang bahwa hal itu termasuk sunnah. Bahkan pendapat terakhir merupakan pendapat mu’tamad menurut As Syarqawi dan Syeikh Al Islam Al Baijuri. Wallahu Ta’ala A’la wa A’lam.
Di kesempatan yang mulia ini juga, Al Manar beserta “crew” mengucapkan tahni’ah kepada para pembaca,”Selamat tahun baru hijriah 1433 H. Semoga amalan kita hari esok lebih baik dari sekarang.”
Rujukan:
1. Al Hawi li Al Fatawi karya Imam As Suyuthi, Dar Al Kitab Al Arabi (1425 H), t. Syeikh Khalid Thurthusi.
2. Mughni Al Muhtaj karya Khatib As Syarbini, Dar Al Fikr (1426 H), t. Syeikh Jaubali As Syafi’i.
3. Hasyiyatan, karya Qalyubi dan Umairah, Dar Al Fikr (1419 H).
4. Nihayah Al Muhtaj ma’a Hasyiyah As Syubramallisi, Dar Al Kutub Al Ilmiyah (1424 H).
5. Hawasyi Tuhfah Al Muhtaj karya As Syarwani dan Ibnu Qasim, Al Maktabah At Tijariyah Al Kubra.
6. Al Futuhat Ar Rabaniyah karya Ibnu Alan, Dar Ihya At Turats Al Arabi.
7. Bughyah Al Mustarsyidin  karya As Sayyid Ba Alawi, Nur Al Huda Surabaya,
Latar Belakang Pendidikan: Pesantren Mamba\’ul Hisan Blitar(1991), Al Muayyad Solo (1994), Al Mukmin Solo (1995), Universitas Al Azhar Cairo (2002), Ma\’had \’Ali Li Ad Dirasat Al Islamiyah Cairo (2006).


Khamis, 26 Julai 2012

Pesanan Para Ulamak Mengenai Adab Berbanding Hadith




Oleh Ustaz Umar Muhammad Noor 

Pesanan Para Ulama :

Betapa pentingnya aspek adab dan akhlak dalam kehidupan Muslim yang mana para ulama selalu menekankan perkara ini di dalam nasihat dan pesanan mereka. 

Ibrahim bin Habib bin Asy Syahid (w. 203H) bercerita : 


"Ayahku berpesan : Wahai anakku ! Datanglah kepada para fuqaha dan ulama. Belajarlah daripada mereka. Ambillah adab-adab, akhlak-akhlak dan tingkah laku mereka. Sesungguhnya itu semua lebih aku sukai daripada banyak menulis hadis !" 


(Al Hafiz Abu Bakar al Khatib al Baghdadi, al Jami' li Akhlaq al Rawi wa Adab al Sami', hal. 9)

Makhlad bin Husein (w.191H) berkata : 



"Kita lebih memerlukan banyak adab daripada banyak hadis !" 


(Ibid)

Imam Abu Hanifah (w.150H) berkata : 



"Kisah-kisah yang menceritakan tentang kisah ulama dan keindahan akhlak mereka lebih aku sukai daripada memperbanyak fiqah. Ini adalah kerana kisah-kisah ini mengandungi (pengajaran) adab-adab mereka." 


(Al Hafiz al Sakhawi, Al I'lan bi at Taubikh liman Zam at Tarikh, hal 61)

Al Hasan bin Ismail berkata : 



"Aku mendengar ayahku bercerita, Majlis Imam Ahmad bin Hanbal dihadiri lebih daripada 5,000 orang. Kurang daripada 500 orang, datang untuk mencatat hadis-hadisnya, manakala yang lain pula datang untuk mempelajari adab-adab dan akhlak-akhlaknya." 


(Al Hafiz ibnu al Jawzi, Manaqib Imam Ahmad bin Hanbal, hal.210)

Sumber : Umar Muhammad Noor, Koleksi Kisah Ulama Silam Yang Kaya Dengan Pendidikan Akhlak, Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia, Telaga Biru, Cetakan Pertama 2011, Kuala LUmpur.

Isnin, 23 Julai 2012

Hukum Bertemu RasuluLlah Dalam Keadaan Jaga ?


Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni

نحمد الله العظيم، ونصلّي ونسلّم على رسوله الكريم؛
Perkara khilaf seumpama ini, jika tidak disertai dengan nada ‘keras’, tidak perlu untuk diperpanjang-panjangkan lagi. Namun, jika sudah menggunakan nada ‘keras’ seperti; “membuka pintu kefasadan yang besar”, “membawa kecelaruan dalam amalan agama”, “memusnahkan rujukan penting umat Islam”, “perlu dibendung kerana membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam” dan “menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w.”, maka menurut hemat saya kekeliruan-kekeliruan seumpama ini wajar diperjelaskan. [*Saya tidak mahu menyebut siapa dan dari mana sumber kekeliruan ini kerana pada saya ia tidak perlu]

1. Kekeliruan:
Seseorang tidak boleh bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh bertemu dengan orang yang hidup secara sedar. 

Jawapan:
Benar, dalam hal keadaan biasa seseorang tidak boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi, sebagai suatu karamah seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Hukumnya adalah harus dan mungkin, tidak mustahil. Malah secara praktis ia memang berlaku kepada sebahagian wali-wali Allah Taala dan orang-orang yang soleh. Maka tidak harus bagi kita menuduh mereka berbohong atau berdusta dalam dakwaan berkenaan. Melainkan jika kita mempunyai bukti kukuh tentang pembohongan atau pendustaan tersebut.

Antara mereka ialah; Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Syeikh Abu al-Hasan al-Syazili, Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, Syeikhul-Akbar Muhyiddin Ibn al-‘Arabi, Syeikh Khalifah bin Musa, Syeikh Abu al-‘Abbas al Mursi (w. 686H), Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qurasyi, Syeikh Kamaluddin al-Adfawi, Syeikh ‘Ali al-Wafa’i, Syeikh ‘Abd al-Rahim al-Qinawi, Syeikh Abu Madyan al-Maghribi, al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Syeikh ‘Ali al-Khawwas, Syeikh Ibrahim al-Matbuli, Imam Abu al-‘Abbas al-Qastallani, Syeikh Abu al-Su‘ud ibn Abi al-‘Asya’ir, Syeikh Ibrahim al-Dusuqi, Sayyid Nuruddin al-Iji, Syeikh Ahmad al-Zawawi, Syeikh Mahmud al-Kurdi, Syeikh Ahmad bin Thabit al-Maghribi, Imam al-Sya‘rani, Syeikh Abu al-Mawahib al-Syazili, Syeikh Nuruddin al-Syuni, al-Habib ‘Umar bin ‘Abdul Rahman al-‘Attas (penyusunRatibul ‘Attas), Sayyidi ‘Abd al-‘Aziz al-Dabbagh, Syeikh Muhammad bin Abi al-Hasan al-Bakri, Sayyidi Ahmad bin Idris, Syeikh Ahmad al-Tijani dan lain-lain.

Antara dalilnya adalah zahir hadis berikut yang menunjukkan seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., tetapi dengan syarat mestilah pernah bertemu dahulu secara mimpi (ru’ya) dengan baginda s.a.w. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 
« من رآني في المنام فسيراني في اليقظة، ولا يتمثل الشيطان بي»
Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku secara yaqazah (di dalam keadaan jaga), kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku”. [Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad. Lafaznya dari al-Bukhari]

Antara ulama yang mengatakan atau mengiktiraf kemungkinan boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ialah:
1.      Imam Ibn Abi Jamrah al-Maliki dalam Bahjah al-Nufus.
2.      Al-‘Allamah Ahmad al-Nafrawi al-Maliki dalam Syarh Risalah Ibn Abi Zayd.
3.      al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari.
4.      al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti dalam Tanwir al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak.
5.      Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.
6.      Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz min al-Dhalal.
7.      Imam Syihabuddin al-Qarafi,
8.      Imam Afif al-Din al-Yafi‘i al-Syafi‘i dalam (روض الرياحين).
9.      Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki dalam al-Madkhal.
10.  Al-Qadhi Ibnu al-‘Arabi al-Maliki dalam kitabnya (قانون التأويل).
11.  Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H) dalam kitab Lata’if al-Minan.
12.  Al-Qadhi Syaraf al-Din al-Barizi dalam (توثيق عرى الإيمان).
13.  Imam Tajuddin al-Subki.
14.  Imam al-Qurtubi dalam (التذكرة في أحوال الموتى وأمور الآخرة).
15.  Al-‘Allamah Ibn Battal al-Maliki
16.  Al-‘Allamah Ibn al-Tin
17.  Imam ‘Izz al-Din ibn ‘Abd al-Salam dalam al-Qawa'id al-Kubra.
18.  Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Syama'il.
19.  Al-Qadhi Ibn al-Munayyir.
20.  Imam Ibn Daqiq al-‘Id.
21.  Imam ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani dalam beberapa kitabnya.
22.  Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah.
23.  Al-‘Allamah ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi dalam Faydh al-Qadir.
24.  Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdullah al-‘Idrus (w. 1038H) dalam kitabnya al-Nurus Safir ‘an Akhbaril Qarnil ‘Asyir.
25.  Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam al-Mufhim.
26.  Imam al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Laduniyyah.
27.  Imam al-Baqillani.
28.  Al-‘Allamah Sadruddin al-Qunawi dalam Syarh al-Arba‘in.
29.  Al-‘Allamah Burhanuddin al-Biqa’i dalam al-Hawi.
30.  Al-Qadhi ‘Iyadh al-Maliki.
31.  Al-‘Allamah al-Maziri.
32.  Al-‘Allamah Nuruddin al-Iji.
33.  Al-‘Allamah ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi dalam Syarh Salawat al-Jaylani.
34.  Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani (w. 1224H) dalam al-Futuhat al-Ilahiyyah.
35.  Al-‘Allamah Syeikh Ibn ‘Allan al-Siddiqi.
36.  Al-‘Allamah Najmuddin al-Ghazi dalam kitabnya al-Kawakib al-Sa’irah.
37.  Imam Syah Waliy Allah al-Dihlawi dalam al-Durr al-Thamin.
38.  Al-‘Allamah al-Alusi dalam tafsir Ruh al-Ma'ani.
39.  Sayyid ‘Abdul Rahman al-‘Idrus dalam kitab Syarh Salawat al-Badawi.
40.  Syeikh ‘Ali al-Ajhuri al-Maliki dalam al-Nur al-Wahhaj.
41.  Syeikh Muhammad al-Khalili dalam al-Fatawa.
42.  Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi dalam al-Solat 'ala al-Nabiy.
43.  Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani dalam Sa‘adah al-DaraynSyawahidul Haq dan Jami‘ Karamatil Auliya’.
44.  Syeikh Badi al-Zaman Said al-Nursi.
45.  Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh al-Syama’il.
46.  Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf.
47.  Syeikh Abu al-Qasim Muhammad al-Hafnawi dalam Ta'rif al-Khalaf.
48.  Al-‘Allamah Dr. ‘Abdul Halim Mahmud, Syeikhul Azhar.
49.  Al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam kitabnya Fadha’ilun Nabi SAW.
50.  Al-‘Allamah Dr.  Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki dalamal-Zakha’ir al-Muhammadiyyah. 
51.  Al-‘Allamah Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti.
52.  Al-Allamah Dr. ‘Ali Jum‘ah, Mufti Mesir dalam al-Bayan.
53.  Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil,
54.  Dr. Mahmud al-Zayn.
55.  Datuk Seri Maharaja Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Brunei.

Dan ramai lagi jika diperincikan secara detil.

2. Kekeliruan:
Iktikad seperti ini membuka pintu kefasadan yang besar dan seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan agama. Ini kerana, seseorang yang telah berjumpa Nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.

Jawapan:
Belum ada orang mukmin soleh yang telah berjumpa Nabi s.a.w. mendakwa membawa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya, dalam erti kata, ajaran-ajaran tambahan yang tidak ada asalnya dalam al-Quran mahupun hadis. Kesemua yang dinyatakan sekiranya betul, hanyalah berbentuk petunjuk dan nasihatyang tidak lari dari ruang lingkup syarak, atau mempunyai asalnya daripada al-Quran dan hadis.

Kata al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani (w. 1398H):

Kami tidak beriktikad bahawa di sana - selepas Rasulullah SAW - terdapat suatu syariat baru dalam apa jua bentuk sekalipun. Dan apa yang dibawa oleh baginda SAW mustahil untuk dimansuh sebahagian daripadanya, atau ditambah sesuatu terhadapnya. Sesiapa yang mendakwa sedemikian, maka dia adalah kafir terkeluar daripada agama Islam.

Sesungguhnya kami, meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW. Penyaksian-penyaksian para wali itu bukanlah suatu hujah, tetapi yang menjadi hujah adalah syariat Muhammad SAW. Adapun  penyaksian-penyaksian tersebut, hanyalah berita-berita gembira (busyra) yang terikat dengan syariat baginda yang mulia; apa yang diterima olehnya kami juga menerimanya dan apa yang tidak diterima olehnya, maka mazhab kami adalah bersangka baik padanya. Maka kami hukumkannya seperti hukum mimpi yang tertakwil.

Kita tidak ragu lagi bahawa kebanyakan mimpi itu perlu kepada takwil/tafsir. Namun, kami memilih bersangka baik kerana seorang mukmin yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah SWT, dan ia sayang terhadap agamanya, serta patuh mengikutinya, kami menolak bahawa ia sengaja berdusta ke atas Rasulullah SAW. Keadaan berjaga dalam perkara ini adalah sama seperti keadaan tidur, sedang dia membaca sabdaan baginda SAW: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”. – tamat kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani

3. Kekeliruan:
Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulamak yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. 

Jawapan:
Kekeliruan ini hanya pendapat akal dan khayalan semata-mata yang tidak berpijak kepada realiti yang berlaku dalam dunia kerohanian ahli-ahli sufi yang hak. Tiada siapa dari kalangan wali-wali Allah Taala dan orang-orang soleh ini mengatakan segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulama yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. Pada saya, kekeliruan kerana berkhayal ini disebabkan kerana tidak cukup menelaah, membaca dan memahami.

4. Kekeliruan:
Setelah situasi ini wujud maka banyaklah amalan-amalan yang boleh ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung daripada Rasulullah kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul s.a.w.

Jawapan:
Sudah ratusan tahun isu bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ini dibincangkan oleh para ulama. Namun, hakikatnya tiada langsung akidah baru atau hukum-hakam baru yang didakwa oleh orang-orang soleh dan wali-wali Allah Taala yang pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Kebanyakannya jika betul adalah berkaitan zikir, doa dan selawat. Dan kesemua itu pula tidak terkeluar dari dalil-dalil dan perintah-perintah syarak yang umum mengenainya. Bahkan menurut ramai ulama, masalah-masalah yang khusus berkaitan zikir dan doa ini pintu perbahasannya adalah lebih luas, tidak sepertimana amalan-amalan ibadah lain, selamamana ia tidak melanggar batas-batas syarak. Jika benar ada penerimaan sesuatu secara yaqazah, maka hukumnya adalah seumpama hukum apa yang diperolehi daripada kasyaf, ilham dan mimpi yang benar. Mesti ditimbang dengan neraca syarak.

Cuba perhatikan kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani tadi:

Meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegangkecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW”.

5. Kekeliruan:
Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak ini telah berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang diberitahu sendiri oleh Rasulullah s.a.w iaitu, kitabullah dan sunahnya.

Jawapan:
Percaya bahawa seorang wali atau orang soleh boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w tidak akan memusnahkan institusi hadis yang sudah sedia ada. Jika benar mereka bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., maka adalah amat MUSTAHIL baginda s.a.w. akan menyuruh kepada perkara-perkara yang akan memansuhkan atau merosakkan syariatnya sendiri. Tidak dapat diterima dek akal bahawa Nabi s.a.w. akan mengkucar-kacirkan syariat yang telah dibangunkan dengan titik peluh dan darah dagingnya sendiri.

Apa yang dikhayalkan itu tidak akan berlaku selama-lamanya kerana para wali atau orang-orang soleh tersebut adalah golongan yang amat takut kepada Allah SWT, sangat cinta kepada baginda Nabi s.a.w., terlalu sayang dengan syariat baginda s.a.w., dan begitu kasih kepada umat baginda s.a.w. Apakah dapat diterima akal, mereka ini berusaha untuk merosakkan syariat baginda s.a.w.dan menyesatkan umatnya?? Seolah-olah mereka tidak pernah dengar hadis baginda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”.

Jangan terlalu berprasangka buruk kepada ahli-ahli sufi seolah-olah mereka semua orang yang bodoh, tidak mengerti syariat dan akan menerima secara membuta tuli siapa saja yang mendakwa bertemu dengan Nabi s.a.w., walaupun dari orang yang jahil. Jika ada ahli sufi yang menyeleweng, maka sandarkan kesalahan itu kepadanya sahaja, bukan kepada semua golongan ahli sufi.

6. Kekeliruan:
Para ulamak silam antaranya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud Ahmad dan ramai lagi, berjuang hingga berjaya menjadikan sumber rujukan Islam kedua ini terpelihara dari dicampur adukkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda tetapi tidak disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap salah dan pembohongan.

Jawapan:
Rangkap akhir di atas dapat difahami sebaliknya begini; Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda dan disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap benar. Alhamdulillah, ada sedikit kemuafakatan.

Cubalah belek contohnya, kitab al-Durr al-Thamin fi Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW susunan Imam al-Mujaddid Syah Wali Allah al-Dihlawi yang menghimpunkan 40 peristiwa bertemu Rasulullah s.a.w. secara mimpi dan jaga. Perhati dan fahamkan, apakah ada yang tidak bersandarkan kepada syariat baginda s.a.w.?

7. Kekeliruan:
Sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas ini perlu dibendung kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan mereka mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.

Jawapan:
Menurut pengetahuan saya setakat ini, tidak ada satu pun tariqat sufi muktabar di dunia pada hari ini yang menolak keharusan bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Apakah seluruh tariqat-tariqat sufi ini dengan puluhan juta pemgamalnya perlu dibendung dan dibanteras...? Apakah kemusnahan benar-benar berlaku kepada masyarakat Islam dan mereka telah jauh dari ajaran Nabi s.a.w. disebabkan seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan – sesudah sekian lama - seorang soleh harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ??

Tidak ada orang waras yang mengatakan demikian. Bahkan ramai dari kalangan alim ulama tariqat-tariqat sufi ini adalah pemelihara-pemilhara sunnah baginda s.a.w. baik sunnah yang zahir mahupun sunnah yang batin. Berapa banyak rahmat dan manfaat rohani yang tersebar di seluruh dunia sama ada kita sedari ataupun tidak, disebabkan usaha-usaha mereka.

Memang seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., namun realitinya perkara tersebut tidak selalu berlaku pun kerana ia adalah suatukaramah yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki sahaja. Bahkan dalam tempoh 100 tahun, barangkali hanya beberapa orang sahaja yang boleh dibilang dengan jari mendakwa demikian, atau dikatakan mengalaminya. Jika peribadi dan latar belakangnya bertunjangkan syariat, maka baru boleh diterima dakwaan itu. Jika sebaliknya, maka dakwaan tersebut adalah wajib ditolak.

Perlu juga dilihat bagaimana cara mereka dapat mencapai peringkat kerohanian yang tinggi itu; Apakah zikirnya 100,000 setiap hari, atau selawatnya 50,000 setiap hari, atau tahajjudnya 500 rakaat setiap hari? Atau apakah hanya sekadar berjanggut, berjubah dan berserban besar saja, tetapi amalannya ‘kosong’?? Kata al-‘Allamah Ibn Al-Haj dalam kitab al-Madkhal (3/194): 

Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah, sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit (sukar) untuk diperbahaskan.  Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walau bagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya, dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah s.w.t. zahir dan batin mereka.”

Wallahu a’lam.


Rujukan Tambahan:

Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan oleh Raja Ahmad Mukhlis:
- Rawd al-Rayyahin, http://cb.rayaheen.net
- Multaqa al-Nukhbah, http://www.nokhbah.net
Masalah Berjumpa Rasulullah Ketika Jaga Selepas Wafatnya(terjemahan) oleh Husain Hasan Toma‘i.
Sa‘adah al-Darayn oleh al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani.
- Fatwa Mufti Brunei, download :   yaqazah-fatwa-mufti-brunei.
al-Muqizah fi Ru’yah al-Rasul SAW fil Yaqazah oleh Syeikh Hisyam bin 'Abd al-Karim al-Alusi, download: http://www.almijhar.org/book/almokza.pdf

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2012/07/blog-post.html

Ahad, 1 Julai 2012

Taklid dan Ijtihad Dalam Mengamalkan al-Quran dan Sunnah Menurut Imam al-Sya‘rani

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni 


Kata Imam Syeikh ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani [w. 973H] dalam kitabLawaqih al-Anwar (
لواقح الأنوار القدسية في العهود المحمدية):

“Telah termetri ke atas kita perjanjian am daripada Rasulullah SAW supaya kita tidak mengamal agama dengan melakukan sesuatu bidaah yang dikeji yang tidak disaksikan oleh zahir al-Quran mahupun sunnah. Dan supaya kita menjauhi beramal dengan segala pendapat yang tidak jelas kepada kita keselarasannya dengan al-Quran dan sunnah, kecuali jika ia telah diijmakkan.

Orang yang ingin beramal dengan perjanjian ini perlu kepada keluasan ilmu dalam mengenal hadis-hadis dan juga athar-athar, serta perlu mencakupi kesemua dalil mazhab-mazhab yang telah pupus mahupun yang sedia diamalkan, hinggakan hampir-hampir tidak terluput dari pengetahuannya daripada dalil-dalil tersebut melainkan hanya sedikit sahaja. Mudah-mudahan ia dapat keluar dari bertaklid di dalam kebanyakan hukum-hakam. Adapun orang yang tidak sampai ke peringkat tersebut, maka wajib baginya bertaklid kepada satu mazhab tertentu, jika tidak ia akan terjerumus ke dalam kesesatan.

Sayyidi ‘Ali al-Khawwas (رحمه الله تعالى) merupakan seorang yang tahu melalui jalan kasyaf, akan setiap masalah mempunyai dalilnya daripada kata-kata syarak. Kata beliau: “Seorang lelaki di sisi kami tidak akan mencapai makam sempurna sehinggalah ia mengetahui secara yakin mana yang merupakan kalam syarak, mana yang merupakan kalam sahabat, mana yang daripada qiyas, dan mana yang merupakan pendapat yang terkeluar dari keselarasannya dengan apa yang telah kami sebutkan tadi”.

Kata Sayyidi ‘Ali al-Khawwas lagi: “Orang yang ingin terikat dalam beramal dengan al-Quran dan sunnah serta menjauhi beramal dengan pendapat akal perlu kepada keluasan ilmu dalam bidang ilmu tatabahasa Arab, ilmu ma‘ani dan bayan. Dan ia perlu juga kepada keluasan ilmu dalam bahasa kaum Arab sehingga ia dapat mengetahui kedudukan cara-cara beristinbat, serta mengetahui kata-kata orang Arab, majaz dan isti‘arahnya. Juga ia mengetahui dalil-dalil mana yang boleh menerima takwil dan mana yang tidak boleh menerimanya”.

Kata Imam al-Sya‘rani lagi:

“Allah Taala telah menganugerahkan kepadaku kemampuan menelaah dalil-dalil mazhab imam yang empat dan juga mazhab-mazhab lain. Dan aku tahu sandaran pendapat-pendapat mereka di dalam kesemua bab-bab fiqh. Tiada satu pendapat pun daripada pendapat-pendapat mereka melainkan aku lihat ianya bersandar kepada dalil, sama ada kepada ayat al-Quran, hadis, athar, ataupun qiyas yang sahih di atas asal yang sahih. Mazhab-mazhab imam yang empat itu, dengan segala pujian bagi Allah, sekarang di sisiku menjadi seolah-olah telah ditenun daripada syariat yang suci murni, dari segi panjang dan lebarnya, sebagaimana mengetahui demikian sesiapa yang telah menelaah kitabku: (مختصر السنن الكبرى للإمام البيهقي).

Setiap orang yang tidak menelaah dalil mazhab-mazhab sebagaimana yang telah kami sebutkan tadi, maka ia tidak akan tahu membezakan masalah-masalah pendapat akal daripada nas. Boleh jadi ia akan terjerumus kepada akidah-akidah yang sesat dan beramal dengan mazhab-mazhab yang batil, melainkan jika ia benar-benar terikat dengan satu mazhab yang muktabar. Imam Abu Qasim al-Junaid (رحمه الله) berkata: “Seseorang lelaki tidak akan sempurna di sisi kami pada jalan Allah ‘azza wajalla sehinggalah ia menjadi imam di dalam bidang fiqh, hadis dan tasawuf, serta mentahkikkan ilmu-ilmu ini kepada ahlinya”.

Maka ketahuilah, bahawa tidak sewajarnya sesiapa yang mendakwa berilmu dengan syariat itu hanya sekadar memadai dengan apa yang difahami olehnya daripada syariat tersebut tanpa berguru, sepertimana yang telah terjadi kepada sesetengah ahli zaman kita ini. Di mana beliau hanya dengan semata-mata sudah memahami terus menyibukkan diri dengan menulis dan mengarang serta meninggalkan berguru kepada alim ulama. Akhirnya, jadilah ia berada di satu pihak dan para alim ulama berada di satu pihak yang lain. Dan jauhlah ia dari mengenal pendapat yang rajih di sisi alim ulama di zamannya, di mana pendapat mereka semua menyalahi pendapatnya. Lalu tiada seorang pun yang mengambil manfaat dari ilmunya. Sekiranya ia bersabar dalam berguru kepada syeikh-syeikh sehingga mereka mengizinkannya berfatwa dan mengajar, nescaya mereka semua akan memuji dirinya, dan manusia pula akan bertumpu kepadanya selepas ketiadaan syeikh-syeikhnya nanti. Maka ketahuilah yang demikian itu”.

Kata Imam al-Sya‘rani lagi:

“Aku dengar syeikh kami, Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari (رحمه الله) [w. 926H] berkata: Begitu jarang sekali terhimpun pada diri seseorang dalam sesuatu zaman itu ilmu fiqh, hadis dan tasawuf. Kata beliau lagi: Tidak sampai kepada kami berita bahawa ia ada terhimpun pada diri seseorang selepas al-Tibi, pengarang kitab (حاشية الكشاف) [w. 743H], sehinggalah ke waktu kita ini. Dan barangsiapa yang terhimpun padanya ketiga-tiga ilmu ini, maka dialah yang layak digelar sebagai Syeikh Ahlis Sunnah wal Jamaah di zamannya, dan sesiapa yang tidak menggelarkannya demikian, maka ia telah menzaliminya”.

*Catatan:

Meskipun Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari tidak melihat ulama yang menguasai kombinasi fiqh, hadis dan tasawuf di zamannya, namun ada beberapa orang di zamannya dan yang muncul selepasnya yang menghimpunkan ketiga-tiga ilmu berkenaan, seperti al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti [w. 911H], Syeikh ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani sendiri, Syeikh Ibn Hajar al-Haytami [w. 974H] dan Syeikh ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi [w. 1031H]. Kemudian tidak ramai ulama seumpama mereka yang muncul sesudah itu sehinggalah abad ke-14 H, di mana munculnya keluarga-keluarga yang hebat, seperti keluarga Ibn al-Siddiq al-Ghumari dan keluarga al-Kattani di Morocco, serta keluarga al-Kandahlawi di India.

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2012/06/kata-imam-syeikh-abd-al-wahhab-al.html