CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memaparkan catatan dengan label Tokoh-Tokoh Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tokoh-Tokoh Islam. Papar semua catatan

Jumaat, 28 Oktober 2016

Kekuatan di Sebalik Peribadi Sultan al-Fatih






Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Matan Hadith:


أخرج أحمد في المسند (18189) والبخاري في التاريخ الكبير (1760) والحاكم في المستدرك (8300) والبزار والطبراني عن عبدالله بن بشر الغنوي عن أبيه أنه سمع النبي صلى الله عليه وسلم يقول: لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش .

Terjemahan: "Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya".

Syarah Hadith: Ramai ulama yang berpendapat bahawa pemimpin yang dimaksudkan dalam hadith di atas ialah Sultan Muhammad II bin Sultan Murad II al-'Uthmani yang masyhur dengan gelaran "al-Fatih" (m. 886H).

Beliaulah yang berjaya menakluk kota Constantinople dan mengubahnya menjadi pusat pemerintahan Kerajaan 'Uthmaniyyah yang terkenal dengan nama 'Islambul' (yang bermakna Kota Islam), yang sekarang disebut 'Istanbul', di Turki.

Maka mereka menyebut bahawa ini adalah satu penghormatan kepada Sultan Muhammad al-Fatih di mana Nabi SAW telah mengkhabarkan tentang kemunculannya serta memujinya. Sebenarnya sebelum beliau, atas semangat menjadikan diri masing-masing yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu, ramai pemimpin Islam berusaha untuk menawan kota Costantinople berkenaan.

1. Usaha pertama dilancarkan pada tahun 44H iaitu di zaman Muawiyah bin Abi Sufian RA. Akan tetapi, usaha berkenaan gagal dan Abu Ayyub Al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat Nabi yang menyertainya, syahid di pinggir kota Costantinople berkenaan.

2. Di zaman Sulaiman bin Abdul Malik pula, Khilafah Umayah telah menyediakan pasukan terhandal untuk menawan kembali kota berkenaan pada tahun 98H tetapi masih belum diizinkan oleh Allah SWT. (rujuk Al-'Ibar oleh Ibnu Khaldun 3/70 dan Tarikh Khalifah bin Khayyath ms. 315)

3. Di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah, beberapa usaha diteruskan tetapi masih menemui kegagalan termasuk usaha di zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid tahun 190H.

4. Selepas kejatuhan Baghdad tahun 656H, usaha menawan Costantinople diteruskan pula oleh kerajaan-kerajaan kecil di Asia Minor (Anatolia) terutamanya Kerajaan Seljuk. Pemimpin masyhurnya, Alp Arslan (455-465H / 1063-1072M) telah berjaya mengalahkan Maharaja Rum, Dimonos, pada tahun 463H / 1070M.

5. Daulah ‘Uthmaniyyah di awal kurun ke-8H/14M, telah mengadakan persepakatan bersama Seljuk Rum yang ketika itu berpusat di bandar Konya. Di zaman Sultan Yildrim Beyazid (m. 1402M) beliau telah berjaya mengepung kota itu pada tahun 796H/1393M. dan memaksa Maharaja Byzantine menyerahkan Costantinople secara aman kepada umat Islam. Tetapi, usahanya itu menemui kegagalan kerana tentera Mongol di bawah pimpinan Timurlank telah menyerang Daulah ‘Uthmaniyyah dan telah memaksa Sultan Beyazid untuk menarik balik tenteranya bagi mempertahankan negara dari serangan Mongol. Namun, beliau telah ditawan.

6. Kemudian Sultan Murad II (824-863H / 1421-1451M) meneruskan usaha menawan Costantinople, namun tidak berjaya sehinggalah ke zaman anak beliau,

Sultan Muhammad Al-Fatih, sultan ke-7 Daulah ‘Uthmaniyyah.

Peribadi Sultan al-Fatih Sultan Muhammad Al-Fatih menaiki takhta pada tahun 855H/1451M, dan kekuatan beliau banyak terletak pada ketinggian peribadinya.

Ini kerana atas keprihatinan ayahnya, semenjak kecil beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulama terkenal di zamannya.

Antara gurunya ialah Syeikh Ahmad bin Ismail Al-Kurani (m. 893H), orang yang disebut oleh Sultan al-Fatih sebagai "Abu Hanifah di Zamannya".

Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan para ulama lain antaranya;

1. seorang syeikh Tariqat Naqsyabandiyyah, al-Mulla 'Abdul Rahman al-Jami (m. 898H),

2. seorang pakar ilmu kalam, al-Qadhi Mustafa bin Yusuf yang masyhur dengan gelaran "Khawajah Zadah" (m. 893H), yang telah menyusun kitab al-Tahafut dengan perintah Sultan al-Fatih, iaitu tentang kajian komparatif antara kitab Tahafut al-Falasifah oleh al-Ghazali dan kitab Tahafut al-Hukama' oleh Ibn Rusyd,

3. seorang alim sufi, Syeikh Muhammad bin Hamzah yang masyhur dengan gelaran "Aq Syamsuddin" Ad-Dimasyqi Ar-Rumi (nasabnya sampai kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA). Yang terakhir di atas, mengajar al-Fatih ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur'an, Hadith, Fiqh, Linguistik (Arab, Parsi dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah, Ilmu Peperangan dan sebagainya.

Syeikh Aq Syamsuddin telah berfirasat bahawa al-Fatih adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith pembukaan Costantinople berkenaan, lalu beliau memberikannya sokongan dan meyakinkannya. Apabila beliau menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemuinya lalu menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople, demi merealisasikan hadith Rasulullah SAW berkenaan.

Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari. Sultan Muhammad Al-Fatih sangat menyayangi beliau dan mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri baginda dan ini sangat jelas dinyatakan oleh beliau ketika pembukaan Istanbul, "...Sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya di sisiku syeikhku yang mulia, dialah pendidikku, Syeikh Aq Syamsuddin."

Sebagaimana yang diketahui, kebanyakan ulama dalam Kerajaan 'Uthmaniyyah adalah bermazhab Maturidiyyah dari segi akidah, bermazhab Hanafi dari segi fiqh dan merupakan ahli tasawuf.

Didikan dan bimbingan yang diterima oleh Sultan Muhammad al-Fatih dari para ulama inilah antara rahsia kekuatan dan kejayaan baginda. Sehingga Nabi SAW memberitakan tentang diri beliau serta memujinya ratusan tahun sebelum kemunculannya.

Fakta ini mungkin menyebabkan kumpulan "tajdid" yang membenci aliran tradisi berasa kurang senang. Maka cara menangkisnya ialah dengan mengatakan bahawa hadith ini adalah da'if! Bagaimana mereka dapat menangkis jika ramai ulama yang menyatakan bahawa ianya sabit dari Rasulullah SAW seperti al-Hakim, Ibn 'Abdil Barr dan lain-lain... lalu dipegang kenyataan mereka sehingga hari kiamat, walau hukum 'palsu' sekalipun yang diberi oleh mereka yang jengkel itu...

Rujukan dan pautan lain:

1. Darul Fatwa.
2. Khaira Ummah.
3. منتدى الحوار
4. روض الرياحين - هنا - هنا

http://sawanih.blogspot.my/2009/12/kekuatan-di-sebalik-peribadi-sultan-al.html

Jumaat, 26 September 2014

Hujjatul Islam Imam Al Ghazali dan Ilmu Hadith serta Penjelasan Terhadap Hadith-hadith Di Dalam Kitab Ihya' Ulumuddin




Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Ada seorang ustaz al-fadhil menghubungi saya bertanyakan tentang kedudukan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Ini barangkali kerana ingin menjawab persoalan mereka yang memandang rendah tentang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Maka saya katakan, ada sebuah kitab yang bagus dalam membincangkan masalah ini, iaitu kitab al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil bin ‘Ali al-Mahdali.


Pertamanya, amat perlu difahami apakah maksud ilmu hadis itu. Ilmu hadis yang bagaimana? Kerana ilmu hadis itu mempunyai banyak pecahan di bawahnya. Walhal, maksud kurang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis itu sebenarnya merujuk kepada ilmu hadis tertentu, terutama berkaitan kajian sanad seperti al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, bukannya keseluruhan cabang dalam ilmu hadis. Ini kerana beliau berkeupayaan dalam ilmu mustalah al-hadith, atau riwayah al-hadith yang objektif utamanya adalah untuk membezakan mana hadith yang sahih dan mana hadith yang dacif, sepertimana yang dapat dilihat dalam kitab-kitab usul al-fiqhnya, iaitu al-Mankhul dan al-Mustasfa.


Beliau juga berkeupayaan dalam mengetahui pelbagai hadis di mana telah memuatkan sebanyak lebih 4,800 buah hadis di dalam kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Iaitu suatu bilangan yang jarang ada di dalam sesebuah kitab seperti itu. Justeru, bukan kesemuanya atau sebahagian besarnya hadis daif dan munkar seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.


Bahkan, sebahagian besar hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din adalah masih hadis-hadis sahih dan hasan, serta daif yang dapat diterima dalam bab fada’il acmal (kelebihan-kelebihan amalan). Imam al-Ghazali sewajarnya lebih diberi keuzuran kerana konsep kitab Ihya’ `Ulum al-Din yang disusunnya itu ialah fada’il acmal, bukannya ahkam atau akidah. Berbanding setengah ulama yang menyusun kitab dalam bab ahkam atau akidah, tetapi memuatkannya dengan hadis-hadis daif dan munkar.


Demikian antara jawapan saya menurut apa yang terlintas di dalam kepala pada masa itu.


Hadis-Hadis Ihya’ `Ulum Al-Din


Pandangan yang mendakwa kelemahan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis bukanlah suatu yang baru. Zahirnya, mereka hanya mengikut pendapat yang mengatakannya demikian, terutama disebabkan hadis-hadis kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Antaranya:


Kata al-Hafiz Ibn al-Jawzi (w. 597H): “Beliau memenuhi kitabnya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya” (Talbis Iblis, hlm. 190).

Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) menyatakan: “Adapun apa yang dianggap aib pada al-Ihya’ disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis” (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/249).

Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Di dalamnya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214).

Sebanyak mana bilangannya? 

Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali dalam al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith, bilangan hadis-hadis dalam Ihya’ `Ulum al-Din ialah 4,848 buah hadis. Ini berpandukan kepada kitab Is‘af al-Mulihhin bi-Tartib Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din susunan Syeikhuna al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa‘id Mamduh. Bagaimanapun, kitab tersebut hanya menyusun semula hadis-hadis yang ditakhrij oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (w. 806H) dalam al-Mughni `an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar, sedangkan masih ada sebilangan kecil hadis yang tidak ditakhrijkan olehnya.


Jika Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) mengira sebanyak 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/287- 389). Maka bakinya jika begitu, ialah sebanyak 3,905 hadis yang masih mempunyai sanad antara sahih, hasan dan daif. Jumlah ini masih dianggap jumlah yang besar. Malah sebahagian daripada bilangan 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya oleh Taj al-Din al-Subki itu sebenarnya masih mempunyai sanad, dan sebahagiannya pula ada yang diperselisihkan darjatnya antara sahih, hasan, daif atau mawdu‘. Ini dapat dilihat dalam takhrij al-Hafiz al-‘Iraqi dan takhrij al-Hafiz Murtadha al-Zabidi yang lebih luas dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. (Lihat: al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali)


Boleh dikatakan, tidak ada kitab tasawuf yang mengandungi jumlah hadis sebanyak itu. Maka dakwaan bahawa Imam al-Ghazali hanya menceduk hadis-hadis kitabnya daripada kitab-kitab fiqh dan tasawuf barangkali dapat dipertikaikan. Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa beliau juga telah memetik hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din daripada kitab-kitab hadis itu sendiri (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 74 & 118).


Bagaimanapun, sewajarnya setiap pembaca kitab Ihya’ `Ulum al-Din berhati-hati dalam memetik hadis-hadisnya dan menelitinya menerusi takhrij al-Hafiz al-`Iraqi yang biasanya dicetak bersama-sama dengan kitab Ihya’. Meskipun adakalanya, hukum beliau berbeza dengan hukum al-Hafiz Murtadha al-Zabidi. Sekurang-kurangnya hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fada’il acmal.


Imam al-Ghazali Mahir Ilmu Hadis Riwayah Dan Dirayah


Bukankah Imam al-Ghazali cukup terkenal sebagai seorang faqih (ahli fiqh)? Sudah tentu beliau mahir berkaitan fiqh al-hadith, atau ilmu dirayah al-hadith. Beliau tentunya memiliki ilmu yang cukup berkaitan hadis-hadis ahkam. Oleh sebab itu, beliau mampu menghasilkan kitab-kitab fiqh yang menjadi rujukan muktabar dan diiktiraf oleh para ulama, khususnya dalam mazhab al-Syafi‘i.


[*Berhubung ilmu hadis riwayah dan dirayah, saya mengikut pembahagian kebanyakan ulama, namun dengan takrifan al-Muhaddith Sayyid ‘Abdullah al-Ghumari dalam Tawjih al-‘Inayah, yang turut disepakati Prof. Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi. Iaitu ilmu riwayah al-hadith berkaitan para perawi dan riwayat mereka, manakala ilmu dirayah al-hadith hanya berkaitan matan hadis. Berlainan dengan Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali yang mengikut pembahagian Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dalam al-Manhal al-Latif]


Justeru dengan ini, kita dapat lihat Imam al-Ghazali mengetahui tentang dua cabang utama ilmu hadis, iaitu ilmu riwayah al-hadith dan ilmu dirayah al-hadith. Adapun kata-kata Imam al-Ghazali dalam Qanun al-Ta’wil (hlm. 30): “Dan barang bekalanku dalam ilmu hadis adalah sedikit”. Saya berpendapat ianya adalah dalam nada tawaduk dan merendah diri, apatah lagi kerana beliau berani mengisytiharkan dirinya begitu. Dalam erti kata lain, beliau menganggap dirinya bukanlah seorang imam dalam ilmu hadis sebagaimana imam-imam hadis yang tersohor di zamannya ataupun di zaman sebelumnya. Namun, ini tidak bermakna beliau langsung tidak mengetahui ilmu hadis.


Antara imam-imam hadis di zamannya atau di zaman sebelumnya, iaitu sekitar kurun kelima hijrah ialah al-Hakim (w. 405H), Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (w. 412H), Tammam al-Dimasyqi (w. 414H), al-Lalika’i (w. 418H), Hamzah al-Sahmi (w. 427H), Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H), al-Mustaghfiri (w. 432H), Abu Zar al-Harawi (w. 434H), al-Khallal (w. 439H), Abu ‘Amru al-Dani (w. 444H), al-Qudha‘i (w. 454H), al-Bayhaqi (w. 458H), Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463H), al-Khatib al-Baghdadi (w. 463H), Abu al-Qasim Ibn Mandah (w. 470H), al-Baji (w. 474H), al-Sam‘ani (w. 489H), al-Ruyani (w. 501H), al-Daylami (w. 509H) dan lain-lain.


Maka, dakwaan bahawa Imam al-Ghazali tidak mahir hadis perlu disemak semula. Kerana hakikatnya, ia bukan secara umum begitu. Beliau hanya tidak mendalami ilmu riwayah al-hadith dari segi kajian sanad dan praktikalnya secara lebih mendalam, dari sudut al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, serta dari segi periwayatan lautan kitab-kitab hadis secara sama’/talaqqi. Barangkali inilah maksud kenapa beliau menelaah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim di akhir hayatnya, iaitu kerana ingin mendalami rijal al-hadith dalam kedua-dua kitab sahih yang agung tersebut, dan sebagai usaha permulaan bagi mendengar dan menelaah lautan kitab-kitab hadis yang amat banyak bilangannya. Sebagaimana sebahagian ulama merekodkannya di dalam kitab-kitab sanad mereka.


Jelasnya, meskipun Imam al-Ghazali bukanlah seorang imam atau tokoh besar dalam ilmu hadis, beliau dianggap masih berkeupayaan dalam ilmu hadis, riwayah dan dirayahnya.


Imam al-Ghazali Mendengar Hadis di Akhir Usia


Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali, Imam al-Ghazali telah mempelajari hadis secara wijadah (penemuan) dan juga ijazah, namun beliau tidak mempelajarinya secara sama‘ (talaqqi) kecuali di akhir hayatnya (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 81-83). Sebab itu, beliau berusaha untuk mengatasi kelemahannya itu, dan ini yang membawa beliau untuk mendengar Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim melalui al-Hafiz Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi.


Al-Hafiz Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali telah mendengar Sahih al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn ‘Abdullah al-Hafsi (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/200). Dan antara syeikh-syeikhnya yang lain dalam ilmu hadis ialah al-Hakim Abu al-Fath Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad al-Syuja‘i al-Zawzani (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/220).


Kata muridnya, al-Hafiz ‘Abd al-Ghafir al-Farisi (w. 529H):

“Di akhir hayatnya, beliau telah memberi tumpuan terhadap hadis Nabi al-Mustafa SAW, dan duduk bersama para ahlinya, serta menelaah al-Sahihain, al-Bukhari dan Muslim, yang mana kedua-duanya merupakan hujjah Islam. Seandainya beliau hidup lama, nescaya beliau mampu mengatasi semua orang dalam disiplin ilmu (hadis) tersebut dengan waktu yang cukup singkat yang beliau luangkan untuk memperolehinya. Tidak diragukan lagi bahwa beliau telah mendengar hadis-hadis di waktu-waktu sebelumnya, dan beliau hanya menyibukkan diri dengan mendengarnya (secara sama‘) di akhir hayat. Dan beliau tidak berkesempatan meriwayatkannya. Namun, hal itu tidak memudaratkan terhadap apa yang beliau tinggalkan dari kitab-kitab yang telah ditulis dalam bab usul, furu’ dan seluruh bahagian yang lain, yang akan kekal disebut-sebut namanya. Dan telah tertetap di sisi mereka yang menelaah dan mengambil faedah daripadanya bahwa tidak ada lagi orang terkemudian yang sebanding dengannya sesudah beliau”. 

(Lihat: Tabyin Kazib al-Muftari oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir, hlm. 296; Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/210).


Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi lagi:

“Aku pernah dengar bahawa beliau telah mendengar Sunan Abi Dawud al-Sijistani dari al-Hakim Abu al-Fath al-Hakimi al-Tusi, namun saya tidak menemukan bukti sama‘nya” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212). Sebab itu, ada dikatakan bahawa Imam al-Ghazali pernah menyebut bahawa menelaah kitab Sunan Abi Dawud itu sudah memadai bagi seorang mujtahid.


Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi:

“Beliau juga telah mendengar berbagai-bagai hadis secara formal bersama-sama para fuqaha’. Antara yang saya temukan bukti sama‘nya ialah apa yang beliau dengar daripada kitab Mawlid al-Nabi SAW karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr ibn Abi ‘Asim al-Syaybani, riwayat al-Imam Syeikh Abu Bakr Muhammad bin al-Harith al-Asbahani, dari Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Ja‘far ibn Hayyan, dari pengarangnya. Imam al-Ghazali telah mendengarnya dari Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari - Khawar Tabaran - rahimahullah, bersama-sama dua orang anaknya, Syeikh ‘Abd al-Jabbar dan Syeikh ‘Abd al-Hamid serta sekumpulan para fuqaha’… Kitab tersebut di dalam dua juzuk yang didengar oleh beliau”

 (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212-214).


Kata al-Hafiz Ibnu ‘Asakir al-Dimasyqi (w. 571H):

“Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin ‘Abd Allah al-Hafsi, dan menjadi guru di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad. Kemudian beliau keluar ke Syam mengunjungi Baitul Maqdis. Beliau memasuki Dimasyq pada tahun 489H dan tinggal di sana dalam satu tempoh. Disampaikan kepadaku bahawa beliau telah menulis di sana sebahagian karya-karyanya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad, lalu ke Khurasan. Beliau telah mengajar dalam satu tempoh di Tus. Setelah itu, beliau meninggalkan pengajaran dan perdebatan, dan menyibukkan diri dengan ibadah”. Al-Hafiz Abu Sa‘d ibn al-Sam‘ani menyebut bahawa beliau pernah mengundang Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi al-Hafiz al-Tusi dan memuliakan beliau, serta mendengar darinya Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim”

 (Lihat: Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/214-215).


Menurut Ibn Kathir :

 “Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau telah cenderung kepada mendengar hadith dan menghafal al-Sahihain (al-Bukhari dan Muslim)…”, “Kemudian (di akhir hayat) beliau telah pulang ke negerinya Tus dan tinggal di sana, membina sebuah ribat, membuat rumah yang baik, menanam tanam-tanaman di sebuah kebun yang indah, memberi tumpuan membaca al-Quran dan menghafal hadith-hadith sahih” 

(Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214-215).


Jelaslah bahawa beliau bukannya langsung tidak mengetahui ilmu riwayah al-hadith, apatah lagi ilmu dirayah al-hadith yang mana beliau adalah jaguhnya dalam mazhab al-Syafi‘i.

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/12/status-imam-al-ghazali-450-505h-dalam.html

Khamis, 18 Disember 2008

Ibnu Sina

Ibnu Sina : (370-428H/980-103M) Bapa perubatan

Nama sebenar : Abu Ali al Husaini bin Abdullah.

Tempat lahir: di bukhara dan meninggal dunia di Hamadan Iran. Beliau meninggal dunia semasa di Hamadan ketika sedang menjalankan satu ekspedisi tentera

Latarbelakang pendidikan : mempelajari agama sejak kecilnya dan menghafaz al Quran dan menguasai ilmu agama ketika belum berumur 10 tahun. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang sains tabi’i dan perubatan.

Sumbangan : Menjadi guru ketika berusia 16 tahun. Mengarang sebuah kitab falsafah ketika berusia 21 tahun. Beberapa kali dilantik sebagai menteri.

Karyanya : menghasilkan pelbagai karya dalam bidang falsafah, perubatan dan logik antaranya kitab Al Insaf yang mengandungi penghuraian 28,000 masalah. Mengarang kitab perubatan iaitu Asy Syifa’ dan Qanun fi at Tibb yang terdiri daripada lima jilid. Berbagai lagi kitab karangannya mengenai ilmu logik, fizik, metafizik, sains perubatan dan falsafah telah diajar ke sekolah dan institusi pengajian tinggi di Eropah sejak abad-abad pertengahan (1100H/1500M) dan lebih dikenali dengan nama Avicenna.

Ibnu Sina telah cuba menggabungkan falsafah dengan teori-teori sains fizik. Dengan sebab itu, beliau digelar sebagai failasuf dan ahli fizik (tabib)

Sumber rujukan keseluruhan tokoh di atas : Majalah TOKOH Bil 1 Dis 00-Jan 2001, m/s : 73-75. (Keizinan dari IKIM)

Ibnu Majid

Ibnu Majid (838-913H/1507M) Ahli Pelayaran.

Ibnu Majid nakhoda kapal yang terkenal, hidup dalam kurun ke 15 Masehi. Belayar dengan kapalnya di Lautan Hindi selama 60 tahun. Berjaya menjejakkan kaki ke pesisir pantai Cina, Hindi, Indonesia, Arab, afrika Timur dan Laut Merah. Beliau merupakan orang pertama yang menggunakan kompas di lautan dan menyelidik ilmu pelayaran dan telah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku tentang pelayaran. Ibnu Majid telah belayar ke Lautan Hindi lebih awal daripada Vasco Da Gama.

Al Qazwani

Al Qazwani (Wafat 682H/1238M) Pakar Geologi

Nama sebenar : Zakaria Imaduduin Abu Yahya

Tempat dilahirkan : Qazwin

Latarbelakang pendidikan : mengenali Ibnu Arabi dan belajar darinya di Damsyik, Syria. Pernah menjadi qadhi di Wasil dan Hillah.

Sumbangan : menulis sebuah ensiklopedia yang merangkumi dalam kajian alam semulajadi, politik dan sejarah. Digelar sebagai Hirodoths kurun pertengahan dan Galinous Arab

Al Khawarizmi

Al Khawarizmi: (Hidup pada kurun ke 9M) Pakar Matematik

Al Khawarizmi, ahli matematik yang hidup pada kurun ke 9 Masehi. Beliau menjadi ketua pustakawan al Ma’mun (Baitul Hikmah) di Baghdad. Al Khawrizmi menulis ilmu tentang ilmu geografi dan falak. Beliaulah orang pertama yang memperkenalkan ilmu algebra dan dapat menemui sifar (0) dalam “ilmu Hisab Hindi”

Ibnu Nafis

Ibnu Nafis(607-687H/1210-1288M) Penemu Saluran Darah

Nama sebenar : Alauddin Abu al A’ala Ali bin Abi Al Hazam al Quraisy al Misri.

Tempat lahir : Damsyik, Syria dan meninggal dunia di Kaherah, Mesir.
Latarbelakang pendidikan : mempelajari kedoktoran dengan la Dakhwar dan Imam al Israili. Disamping itu mengkaji ilmu logik (mantiq), falsafah, bahasa, ilmu bayan, hadith dan ushul fiqh.

Sumbangan : beliau menganalisa perjalanan darah dalam tubuh dan menghuraian ubat-ubatan serta cara memakannya. Beliau telah menemui sistem peredaran darah ke paru-paru 300 tahun sebelum penemuan oleh sarjana barat Harvey.

Karya : mengarang buku menerangkan mengenai peredaran darah ke paru-paru. Mengakhiri penulisan kedoktorannya dengan sebuah ensiklopedia yang hanya dapat disiapkan 80 jilid dari 300 jilid yang dicadang olehnya. Beliau juga banyak mengarang dalam bidang falsafah, sirah nabawi, ulum hadith, bahasa dan perundangan Islam.

Ibnu Khaldun

Ibnu Khaldun (732-806/1332-1406) Ahli Falsafah

Merupakan ahli sejarah sosiologi dan falsafah yang palimg terkemuka pada abad ke 8/14 bukan sahaja di timur tetapi juga di barat Eropah.

Nama sebenar : Abd al Rahman b. Muhammad.

Tempat Lahir : Tunis pada 1 Ramadhan 732/27 Mei 1332.

Latarbelakang pendidikan : Mendapat pendidikan awal di Tunis dan telah mempelajari asas-asas agama menerusi al quran, hadith dan fekah.

Mahir dalam bahasa arab. Beliau telah menjelajah ke beberapa buah negeri seperti Maghribi, Sepanyol dan Mesir dan pernah dilantik menjadi ahli persuratan Istana di Fez dan menjadi hajib (sekarang ini menyamai perdana menteri) iaitu jawatan yang terpenting ketika itu di Bougie. Sewaktu di Mesir telah dilantik menjadi Hakim di Mahkhamah Raja.

Karya : Kitab Muqaddimah dan Kitab al Ibar.

Beliau telah dianggap sebagai pengasas falsafah sejarah dan ilmu sains sosial.

Ibnu Haytham

Ibnu Haytham (354-430H/965-1039M) Pakar Perubatan fizik

Nama sebenar : Abu Ali al Hassan. Seorang pakar dalam ilmu matematik, fizik, kedoktoran dan falsafah.

Tempat lahir : Basrah dan telah berhijrah ke Mesir pada masa pemetintahan Fatimiah.

Sumbangan : telah mengarang 200 buah kitab antaranya : Kitab fi al manazir, Kaifiyyat al adlal; Tahlil al Masa’il al Handasiah wa al ‘adad’, al Jami fi usul al Hisab. Dalam falsafah ibnu al Haytham telah mengambil contoh daripada Arusto.

Az Zahrawi

Az Zahrawi (wafat 404H’1013M) Pakar Bedah

Az Zahrawi merupakan seorang pakar pembedahan yang hidup dalam kurun ke 10 Masehi.

Az Zahrawi telah memperkenalkan teknik kejururawatan dan mencipta alat-alatan daripada besi bagi menggantikan emas dan perak. Juga teknik terbaru pembedahan secara luaran dan dalaman.

Pakar perubatan Eropah mengetahui ilmu pembedahan daripada buku-bukunya. Az Zahrawi menulis buku perubatan bergambar.

Ibnu Yunus

Ibnu Yunus : (4H/10M) Pakar astronomi/Matematik

Nama sebenar : Abu Hassan bin Ali bin Abi said Abdul Rahman bin Ahmad al sadafi.
Lahir : di Kaherah Mesir dan meninggal juga di sana.

Latarbelakang : merupakan seorang yang teliti dalam pengkajiannya dan kajiannya dijadikan asas dalam menentukan tarikan graviti bulan.

Sumbangan: 1. Usaha-usaha beliau banyak membantu dalam pengiraan miring pusingan buruj dan menyelesaikan perbandingan trigonometri yang digunakan oleh ahli falak sebelum adanya logarizam.

2. Membina tempat kajian falaknya di bukit Muqattam, Kaherah. Beliau telah melahirkan sebuah taqwim dalam empat jilid.

Al Idrisi

Al Idrisi (493-561H/1100-1166M) Pakar Sains Geografi

Nama sebenar : Abu Abdullah bin Muhammad bin Abdullah bin Idris, juga dikenali dengan nama al Shariff al Idrisi.

Tempat Lahir : Sabtah

Latar belakang : dari keturunan Alawiyyah dan mendapat pendidikan di qurtubah (Cordova). Telah menjelajah ke eropah, Asia Minor, dan kawasan-kawasan Lautan Mediterranean dan akhirnya sampai ke Rodex .

Sumbangan : mencipta sebuah Kurah Fallakiyyah iaitu sebuah takwim yang diperbuat daripada perak apabila tiba di Rodex.

Kitab : menjadi terkenal dengan kitab geografinya yang berjudul ‘Nuzhat al Mushtaq fi ikhtiraq al afaq. Kitab ini telah selesai ditulispada tahun 548H/1154M iaitu merupakan sumber yang terpenting bagi kajian sains geografi pada zaman itu.

Jabir Al Hayyan

Jabir Al-Hayyan (Awal 2-3M/Akhir 8-9M) Bapa Kimia Moden

Nama sebenar : Jabir bin Hayyan bin Abdullah al Kufi

Pekerjaan : Tabib Arab terkemuka.

Latarbelakang : Hidup pada awal pemerintahan abbasiyyah . beliau tinggal di Kufah, kemudian di Baghdad. Merupakan pakar dalam bidang kimia.

Sumbangan : Lebih daripada 80 buah kitabnya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Penulisannya mengenai kimia adalah terpenting pada zaman itu. Beliau bukan sahaja mendasarkan kajiannya pada cara tradisional tetapi juga menggunakan cara eksperimen dan makmal. Jabir telah membentuk teori penukaran logam-logam yang utama bagi proses ini iaitu raksa (al za’bag) dan kibrit.

Banyak karangannya diterjemahkan kepada bahasa latin dan bahasa inggeris dalam tahun 1089/1678. Selain daripada kimia, Jabir juga pakar dalam bidang-bidang astro

Al Farabi

Al-Farabi (259-338H/872-950M) Bapa Falsafah Moden.

Nama sebenar : Abu Nasr bin Muhammad bin Auzilag bin Thorhan. Berketurunan Parsi dan ibunya berbangsa Turki.
Dilahirkan : di Wasih, Farab, Turkistan dan meninggal di Damsyik, Syria.

Dilahirkan dalam keluarga yang mewah tetapi beliau tidak begitu mengendahkan keduniaan dan pernah menjawat jawatan qadhi. Beliau lebih meminati bidang metafizikal. Beliau mempelajari ilmu logik (mantiq) di Baghdad dengan Abi Basyar bin Abn Mata dan Yuhanna bin Hailan.

Mampu menguasai Bahasa Arab, Parsi dan Turki. Beliau cuba untuk menyatukan pendapat Aristotle dan Pluto dan juga Aristotle dan Galious dan antara mereka dengan ajaran Islam. Tetapi dikritik oleh Hibbatullah yang selaliran dengan al Ghazali kerana menganggap al Farabi berpegang dengan karya-karya yang telah diselewengkan.

Sumbangan : Karya beliau mencapai 117 buah dan paling utama ialah sebuah insiklopedia yang membahagikan ilmu di zamannya. Ibnu Halkan menyifatkan beliau ahli falsafah Islam yang agung.