CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Khamis, 24 Julai 2025

Jauhi Perbuatan Dilaknat Allah


Dr Mohd Khafidz Soroni
Perbuatan yang dilaknat menunjukkan perbuatan tersebut adalah perbuatan yang mendapat kutukan atau kemurkaan Allah SWT dan menyebabkan pelakunya jauh daripadapetunjuk dan rahmat-Nya.
Perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT dan juga Rasul-Nya SAW bererti bahawa perbuatan tersebut merupakan dosa besar yang wajib dijauhi oleh umat Islam.
Terdapat pelbagai hadis mengenai perbuatan yang jika dilakukan, maka pelakunya akan mendapat laknat daripada Allah SWT dan Rasul-Nya. Antaranya ialah:
Pertama: Melaknat ibu bapa sendiri, menyembelih binatang bukan kerana Allah, melindungi ahli bidaah yang sesat dan menukar penanda sempadan.
Keempat-empat perbuatan ini terhimpun dalam hadis daripada 'Ali bin Abi Talib RA katanya: Sabda Nabi SAW: "Semoga Allah melaknat orang yang melaknat kedua-dua ibu bapanya. Semoga Allah melaknat orang yang menyembelih kerana selain Allah. Semoga Allah melaknat orang yang melindungi pelaku bidaah. Semoga Allah melaknat orang yang menukar tanda sempadan tanah." (Riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nasa'i)
Kedua: Setiap orang yang terlibat dengan amalan riba.
Daripada Ibnu Mas'ud RA katanya: "Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba, pemberinya, saksinya dan penulisnya." (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih)
Ketiga: Menyakiti atau menyeksa makhluk yang bernyawa.
Daripada Ibnu 'Umar RA katanya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat orang yang menjadikan sesuatu yang mempunyai roh sebagai sasaran (bidikan anak panah dan seumpamanya)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keempat: Setiap orang yang terlibat dengan minuman arak.
Daripada Ibnu 'Umar RA katanya: Sabda Nabi SAW: "Semoga Allah melaknat arak dan melaknat peminumnya, pelayannya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, yang meminta diperahkan untuknya, pembawanya, yang meminta dibawakan kepadanya dan yang memakan hasilnya." (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud. Hadis sahih)
Kelima: Memberi dan menerima rasuah.
Daripada 'Abdullah bin 'Amru RA katanya: "Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah dan yang menerima rasuah." (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih)
Keenam: Mencuri milik orang lain walaupun sesuatu yang dianggap kecil.
Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: "Semoga Allah melaknat pencuri yang mencuri sebiji telur lalu dipotong tangannya, dan yang mencuri seutas tali lalu dipotong tangannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ketujuh: Lelaki yang menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, wanita yang menyerupai lelaki.
Daripada Ibnu 'Abbas RA katanya: "Rasulullah SAW melaknat kaum lelaki yang menyerupai wanita dan kaum wanita yang menyerupai lelaki." (Riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, at-Tirmizi, an-Nasa'i dan Ibnu Majah)
Kelapan: Perkahwinan cina buta.
Daripada Ibnu Mas'ud RA katanya: "Rasulullah SAW melaknat orang yang menghalalkan dan yang meminta dihalalkan cina buta." (Riwayat Ahmad, an-Nasa'i dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan sahih). Istilah 'cina buta' adalah merujuk kepada lelaki yang menikahi seseorang perempuan yang telah ditalak tiga oleh suaminya, kemudian diceraikannya supaya perempuan tersebut dapat berkahwin semula dengan bekas suaminya.
Kesembilan:
Mencacah tatu, meminta dicacahkan tatu, mencukur bulu pada wajah, meminta dicukurkan bulu pada wajahnya dan menjarakkan gigi demi kecantikan.
Kesemua perbuatan ini terhimpun dalam hadis daripada Ibnu Mas'ud RA katanya: "Semoga Allah melaknat wanita yang mencacah tatu dan yang meminta dicacahkan tatu, wanita yang mencukur bulu pada wajah dan yang meminta dicukurkan bulu pada wajahnya, serta wanita yang menjarakkan giginya demi kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah. Justeru, bagaimana aku tidak melaknat orang yang dilaknat oleh Rasulullah SAW?" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kesepuluh: Menyambungkan rambut dan meminta disambungkan rambutnya.
Daripada Asma' RA katanya: Sabda Nabi SAW: "Semoga Allah melaknat wanita yang menyambungkan rambutnya dan yang meminta disambungkan rambutnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dua hadis yang terakhir ini menyebut wanita secara khusus kerana perbuatan tersebut biasanya dilakukan oleh kaum wanita bagi tujuan kecantikan. Sekiranya ada lelaki yang melakukan perbuatan sedemikian, maka dia juga termasuk mendapat laknat tersebut.
Ada banyak lagi perbuatan yang jika dilakukan, maka pelakunya akan mendapat laknat daripada Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, termasuk dalam hadis-hadis daif.
Namun, semua hadis yang penulis paparkan di atas adalah berstatus sahih supaya lebih dapat diyakini bahawa sesiapa yang melakukan mana-mana perbuatan tersebut pastinya dia akan jauh daripada rahmat Allah SWT. Sekiranya dia jauh daripada rahmat Allah, maka tiada siapa lagi yang akan dapat menolongnya di hari akhirat kelak. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka yang dilaknat Allah SWT dan Rasul-Nya.
Penulis Dr Mohd Khafidz Soroni Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Tiada ulasan: