Dr Mohd Khafidz Soroni
BARU-BARU ini tular sebuah video seorang pemuda dalam satu sesi siaran langsung di sebuah media sosial meluahkan hasrat untuk keluar daripada Islam. Menurutnya, dia bertindak demikian disebabkan tekanan hidup yang dihadapi. Keluar daripada Islam atau murtad sebenarnya adalah satu jenayah yang berat dalam Islam dan ia bukanlah suatu perkara yang boleh dipermainkan.
Apa pun yang menimpa pemuda tersebut, ia tidak sewajarnya bertindak di luar batasan agama seperti itu. Penulis percaya tekanan hidup yang dialaminya tidaklah lebih buruk berbanding tekanan hidup yang dihadapi oleh penduduk Gaza di Palestin. Meskipun mereka bersendirian ditindas oleh Rejim Israel tanpa belas kasihan dan tanpa mendapat bantuan daripada mana-mana negara Islam lain. Namun, kerana iman yang teguh, tiada penduduk Gaza yang murtad keluar daripada Islam lantaran mempertikaikan keadilan Allah SWT terhadap mereka yang puluhan tahun hidup dalam keadaan penuh sengsara.
Gejala ingin keluar daripada Islam ini jika tidak ditangani lebih awal mampu menggugat kestabilan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Satu kajian di negeri Selangor pada tahun 2022 menunjukkan sembilan daripada 500 orang belia Islam tidak percaya kepada kewujudan Tuhan dan alam ghaib. Walaupun jumlah ini kecil melibatkan 1.8%, namun ia tetap merupakan suatu angka yang agak membimbangkan.
Selain faktor tekanan hidup dan ekonomi, terdapat berbagai faktor lain yang dilihat mendorong ke arah gejala ini. Antaranya ialah jahil agama sehingga gagal menghayati dua kalimah syahadah yang diucapkan, ragu mengenai aspek keadilan dan rahmat Tuhan, tindak balas ekstrem terhadap sesuatu pengalaman pahit, pengabaian ibu bapa terhadap perihal akidah anak-anak, pengaruh golongan ateis atau bukan Islam, dan sebagainya.
Turut menggusarkan, komen yang diberikan oleh sesetengah netizen terhadap video tersebut juga tidak kurang membimbangkan apabila ada yang mengulas, 'tiada paksaan dalam agama.' Seolah-olah perbuatan pemuda berkenaan bukanlah satu jenayah besar dan serius. Pemberi komen itu jelas keliru dengan maksud ayat al-Quran: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)." (Surah al-Baqarah: 256)
Padahal maksud ayat ini ialah orang Islam tidak boleh memaksa orang bukan Islam untuk masuk dalam agama Islam, sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama tafsir seperti Ibnu Jarir at-Tabari, al-Qurtubi, Ibnu Kathir, al-Jalalain, as-Sabuni dan lain-lain. Lebih jelas lagi terdapat beberapa riwayat yang menyebutkan tentang sebab penurunan ayat ini.
Antaranya,
riwayat Sa'id bin Jubair daripada Ibnu Abbas RA katanya: "Terdapat seorang wanita Ansar yang selalu kematian anak. Lalu, dia bernazar atas dirinya sekiranya ada anaknya yang hidup, maka ia akan menjadikannya beragama Yahudi. Maka, ketika Bani Nadhir diusir dari Madinah, terdapat bersama dengan mereka anak-anak orang Ansar (termasuk anak wanita itu). Maka, mereka pun berkata: "Kami tidak akan membiarkan anak-anak kami (diusir bersama Yahudi)." Lalu Allah SWT menurunkan ayat: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)." (Surah al-Baqarah: 256). Kata Sa'id bin Jubair: "Maka, sesiapa yang mahu dia boleh turut serta bersama mereka dan sesiapa yang mahu dia boleh memeluk Islam." (Riwayat Abu Dawud, an-Nasa'i dan Ibn Hibban. Hadis sahih)
Demikian yang disebut oleh Sa'id bin Jubair, Mujahid, as-Sya'bi, al-Hasan al-Basri dan lain-lain bahawa ayat tersebut turun dengan sebab peristiwa berkenaan. Kebebasan tersebut diberikan supaya seseorang yang ingin memeluk agama Islam, dia memeluknya dengan hati yang penuh ikhlas dan sukarela tanpa sebarang paksaan.
Jelasnya, ayat berkenaan bukan bermaksud orang Islam bebas untuk memilih mana-mana agama lain dan keluar daripada agama Islam atau murtad dengan alasan tiada paksaan dalam agama Islam. Ini jelas merupakan satu kefahaman yang salah dan terpesong jauh. Seseorang yang telah mengakui dirinya beragama Islam, maka ia wajib mematuhi dan melaksanakan ajaran Islam dengan sebaik mungkin. Ia juga tertakluk kepada undang-undang Islam dan tidak boleh sewenang-wenangnya bebas untuk memilih agama lain.
Terdapat banyak hadis yang memberi ancaman keras terhadap orang yang murtad keluar daripada agama Islam. Antaranya,
daripada Abdullah bin Mas'ud RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa aku ini utusan Allah kecuali dengan satu daripada tiga perkara iaitu; nyawa dibalas dengan nyawa (kerana membunuh), orang berkahwin yang berzina, dan orang yang keluar daripada agama, meninggalkan jemaah (kaum muslimin)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan