CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 20 April 2011

Hukum Menggunakan Pewarna Rambut

Oleh : Mufti Brunei

PEWARNA RAMBUT


Fatwa siri : 22/2001

Di masa ini telah banyak berjual di pasaran jenis pewarna rambut yang bertanda “cap” halal oleh Kerajaan Malaysia. Akibat daripada tanda halal tersebut orang-orang Islam “kitani” khususnya di kalangan pelajar telah menggunakan bahan pewarna tersebut dengan tiada keraguan.

Persoalannya:

(i) Pada setakat manakah kehalalan pemakaian bahan pewarna tersebut?

(ii) Apakah ianya tidak menghalang sampainya air ketika mengangkat hadas kecil dan besar?

Jawapan:

Perkataan halal pada kebiasaanya adalah digunakan untuk barang makanan termasuklah sumber pendapatan sebagaimana yang biasa disebut iaitu rezeki yang halal. Adapun barang gunaan umpamanya pewarna rambut, minyak rambut dan barang-barang kosmetik,
penggunaan perkataan halal itu tidak tepat. Jika tujuan penamaan label HALAL itu adalah untuk membolehkan orang Islam memakai atau menggunakannya, perkataan yang tepat ialah suci bererti tidak najis kerana kita dilarang menggunakan atau memakai barang-barang yang najis. Inilah pemakaian atau penggunaan yang patut diketahui oleh
orang-orang Islam.

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi junub atau mengangkat hadas kecil (wudhu). Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi junub itu atau sebahagiannya ketika berwudhu.

Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi hadas besar dan wudhu berkenaan. Sehubungan dengan itu ibadat-ibadat yang dilakukan seperti sembahyang menjadi tidak sah kerana hadas atau wudhunya itu tidak terangkat.

Dari itu sekiranya pewarna rambut itu sifatnya melekat atau melapis rambut, sekalipun ianya suci maka ia sudah pasti menghalang air untuk sampai ke rambut. Jika ini terjadi, maka mandi junub umpamanya dalam keadaan rambut diwarnakan dengan bahan
tersebut adalah tidak sah dan ini akan menyebabkan ibadahnya seperti sembahyang tidak sah kerana hadasnya tidak terangkat.

Berbeza halnya, jika pewarna rambut itu tidak melekat di atas rambut seperti ia sifatnya meresap sepertimana meresapnya inai (pacar) pada jari dan kuku. Ini tiada menghalang air daripada sampai ke bahagian yang wajib dibasuh.

Pada suatu masa dahulu pernah ditanya kepada Jabatan ini tentang pewarna rambut ‘dye’ yang sifatnya menghalang air sampai ke rambut. Tentulah pewarna ‘dye’ itu tidak boleh dipakai sekalipun ia suci atau menurut istilah setengah negara sebagai HALAL.

Selain daripada memerhatikan kepada aspek atau jenis pewarna yang digunakan untuk mewarnakan rambut itu sebagaimana yang telah dibincangkan di atas serta kesan pemakaiannya yang boleh menyebabkan tidak sah ibadat yang dilakukan sekiranya ibadat
tersebut disyaratkan melakukannya dalam keadaan thahârah, adalah penting untuk kita menilai sejauh manakah pandangan syara‘ tentang hukum mewarnakan rambut ini.

Mewarna rambut itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dengan alasan bahawa pewarna yang digunakan itu adalah halal ataupun suci.

Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
Bahawasanya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan (uban mereka) maka hendaklah kamu tidak menyerupai mereka.
(Hadits riwayat Muslim)

Ini diperkuatkan lagi dengan peristiwa ketika Abu Quhafah (ayah kepada Sayidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu) dibawa ke hadapan Baginda pada hari pembukaan Makkah yang mana ketika itu rambut dan junggutnya dipenuhi dengan uban, maka Baginda bersabda:

Maksudnya:
Tukarkan (warna uban) ini dengan sesuatu dan jauhilah daripada (menggunakan) pewarna hitam.
(Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas para ulama berpendapat bahawa mewarnakan uban yang tumbuh pada rambut kepala adalah sunat sama ada lelaki atau perempuan. Warna yang disunatkan untuk digunakan pula ialah kuning atau merah kecuali warna hitam, kerana haram menggunakan pewarna hitam menurut pendapat al-ashah.

Walau bagaimanapun harus mewarnakan uban itu dengan pewarna hitam sekiranya bertujuan untuk menakutkan pihak musuh ketika berjihad. Sebagaimana yang dijelaskan oleh hadits di atas bahawa tujuan mewarnakan uban itu adalah untuk membezakan kebiasaan kaum Yahudi dan Nashrani yang mana mereka itu meninggalkan perbuatan mewarnakan uban.

Sementara itu pula rambut yang tidak beruban adalah sayugianya ianya dikekalkan atau dibiarkan sepertimana aslinya. Ia tidak perlu diwarnakan kecuali jika ada sesuatu yang memerlukan ianya diwarnakan umpamanya untuk tujuan perubatan.

Akan tetapi jika perbuatan mewarnakan itu dengan bentuk atau gaya sepertimana fesyen dan penampilan orang-orang kafir yang tidak sesuai dengan akhlak Islam sebagaimana yang kita saksikan yang menjadi ikutan oleh anak-anak Islam, maka perbuatan itu adalah haram sekalipun pewarna yang dipakai itu suci. Dengan melakukan perbuatan itu bererti mengikut budaya orang bukan Islam. Ini adalah perkara yang dilarang oleh hukum syara‘ kerana larangan menyerupai mereka disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabda Baginda:


Maksudnya:
Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada golongan mereka.
(Hadits riwayat Abu Daud)

Menyerupai mereka dari sudut penampilan zahiriah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu al-Qaiyim al-Jawjiyah merupakan satu jalan ke arah menyerupai mereka dari segi maksud dan perbuatan. Ianya juga sebenarnya timbul atas dasar suka dan menganggap ianya adalah satu perkara yang baik. Apabila seseorang itu menganggapnya satu kebaikan maka cenderunglah dirinya untuk melakukannya. Apabila dia sudah melakukannya buat pertama kali nescaya akan diulanginya untuk kali kedua dan seterusnya sehingga menjadi adat atau kebiasaan kepada dirinya. Dengan itu akan lenyaplah nilai-nilai Islam di dalam dirinya itu.

Dari itu perbuatan menyerupai orang-orang kafir itu adalah sangat ditegah sekalipun tanpa tujuan meniru perbuatan mereka itu, demi menjaga iman dan aqidah umat Islam daripada terjebak ke arah perkara yang membawa kufur. Wal‘iyâdzubillah.

Selain daripada itu mewarna rambut khususnya bagi wanita sudah tentu akan membawa kepada pendedahan aurat, kerana tujuan mewarnakan itu sendiri adalah untuk ditonton dan disaksikan. Jika yang menyaksikan itu mahramnya, maka tidaklah haram, tetapi jika bukan, yakni lelaki ajnabiy (asing), maka perbuatan mendedahkan aurat di hadapan orang bukan mahram itu hukumnya adalah haram.

Berbalik kepada tanda atau logo halal pada barang gunaan, ia bukanlah suatu jaminan bahawa benda itu boleh dipakai, kerana penipuan boleh saja berlaku, bahkan telah pun banyak berlaku, di mana pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan label halal semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan pengguna.

Jika sifat pewarna rambut itu menghalang air sampai ke rambut, maka ia tidak boleh dipakai sekalipun ia suci. Walaupun ada tertera label halal atau suci, namun apa yang lebih selamat ialah meninggalkannya demi menyelamatkan diri daripada syubhah. Lagipun tidak jelas dari segi keperluan memakainya.

Menjauhi perkara syubhah atau samar-samar itu merupakan tuntutan syara‘. Dengan menjauhinya akan terpeliharalah agama.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya:
Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau kepada apa yang tidak meragukan engkau
. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya:
Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram juga jelas (terang) dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran,sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah dia ke dalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati.

(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

WaLlahua'lam bissowab

Rujuk : http://www.mufti.gov.bn/fatwa/Fatwa%20pilihan/2011/Bil%206-2011%20-%20Fatwa%2022%202001%20-%20MEWARNA%20RAMBUT.pdf

Isnin, 18 April 2011

Hukum Mengeksploitasi Rukhsah Bab Akhir

Sila baca terlebih dahulu Hukum Mengeksploitasi Rukhsah Bab 1 sebelum meneruskan pembacaan yang terbaharu ini.

Oleh : Allamah Dr Hassan Ali Al Saqqaf

Sesetengah dari kita pada hari ini mengemukakan hujjah bahawa diharuskan untuk kita mengikuti rukhsah dan mengambil pendapat yang paling mudah. Mereka berdalilkan kepada perkataan Sayyidatina 'Aisyah RadiyaLlahu 'anha yang berbunyi :

ما خير رسول الله صلى الله عليه وسلم بين أمرين إلا إختارأيسرهما

ertinya : RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam tidak pernah memilih satu daripada dua perkara melainkan yang terlebih mudah baginya.

Jawabnya :

Ini adalah satu contoh pendalilan yang salah. Sebagai buktinya, Imam Ibnu Hajar al Asqolani di dalam kitabnya Fath al Bari m/s 575 juz 6 (ketika mengomentari hadith ini) mengatakan :
"Perkara yang dimaksudkan dengan memilih dua perkara di sini ialah berkaitan dengan urusan dunia.
Hal ini berdalilkan kepada sabda Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam yang berbunyi

ما لم يكن إثما) لأن أمور الدين لا إثم فيها)


".... selagi mana tidak ada salah." Ini kerana urusan Agama tidak ada salah padanya.


Umum mengetahui bahawa pada masa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam tidak muncul lagi mazhab atau aliran pendapat. RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam berpindah dari satu pendapat baginda kepada pendapat yang lain apabila diturunkan wahyu ke atas Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam. Seolah-olah dikatakan padanya :

"Sesungguhnya Allah subahanahu wa ta'ala memerintahkan padamu begini-begini dan melarangmu begini-begini. Dan Allah subahanahu wa ta'ala tidak menjelaskan padanya : "Di dalam masalah ini terdapat dua atau tiga pendapat". Ataupun tidak difirmankan kepada Baginda : "Di dalam masalah ini wujudnya perselisihan pendapat di kalangan ulamak, maka pilihlah yang lebih mudah."

Maka perhatikanlah dengan sebaik-baiknya wahai pembaca yang budiman.

Dalam satu peristiwa tatkala Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam menjadi tetamu kepada seorang lelaki, Baginda ditanya :
"Wahai RasuluLlah, apakah yang harus aku persembahkan padamu : sedikit cuka (makanan masam) ataupun sepotong daging? Lalu Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam menjawab : "Bawakan kepadaku apa yang senang bagimu".


Hadith ini secara jelas menerangkan kepada kita bahawa mereka yang berhujah dengan menggunakan perkataan Sayyidatina 'Aisyah radiyaLlahu 'anha tidak mengetahui cara pengambilan dalil yang sebenarnya. Ataupun mungkin juga mereka ingin mendatangkan kesamaran pada orang awam sebagai satu keraguan. Seolah-olah apa yang didatangkan itu sesuai dengan hujah yang menepati citarasa nafsu mereka. Kepada Allah subahanahu wa Ta'ala sahaja kita meminta pertolongan.

Dalam bab ini juga sesetengah kita berdalilkan bahawa memilih antara pendapat yang paling mudah adalah toleransi yang dibenarkan syariat Islam.

Bagi kami, kami tidak mengingkari rukhsah (kemudahan) yang diberikan oleh syarak sebagaimana yang dijelaskan oleh ulamak yang bertindak sebagai moderator untuk menjelaskan permasalahan. Akan tetapi permasalahannya ialah pencarian mereka kepada sesuatu yang paling mudah itu akan membawa penukaran daripada halal kepada haram. Ataupun mereka sengaja ingin mencari rukhsah yang salah dalam agama.

Perkara yang dimaksudkan dengan rukhsah atau toleransi di dalam syariat Islam ialah Allah subahanahu wa ta'ala memberikan keringanan kepada orang yang uzur atau sakit dalam mengerjakan ibadat. Bila seseorang itu sakit dibolehkan baginya bersolat secara duduk, tidur atau mengiring.

Di samping itu, syariat juga memberi kelonggaran kepada sesiapa yang tidak mendapati air untuk berwudhuk, mandi wajib atau takut mendatangkan kemudharatan. Dalam soal ini diharuskan baginya untuk bertayammum. Dan begitulah contoh-contoh seterusnya. Perkara ini bermaksud bukanlah mencari kemudahan dari pendapat ulama' ataupun mencari pendapat yang lemah atau salah.

Imam al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya : Siyar A'lam al Nubala' m/s 465 juz 13 (ketika menukilkan perkataan Imam Al Hafiz Ismail al Qadhi dalam satu peristiwa pengadapan khalifah al Mu'thadid) menuqilkan :
"Pertama kali saya masuk mengadap, saya diberikan satu kitab. Di dalamnya dihimpunkan perkara-perkara yang paling mudah hasil kutipan para ulamak. Lalu saya berkata : "Penulis kitab ini seorang yang zindik." Lalu dikatakan kepada saya : "Tidakkah hadith-hadith di dalam kitab itu semuanya sahih ?". Saya menjawab : "Itu sudah tentu. Akan tetapi orang-orang yang mengharamkan arak tidak mengharuskan nikah mut'ah (nikah kontrak), orang-orang yang mengharamkan mut'ah tidak mengharuskan nyanyian. Orang-orang yang menghimpunkan perkara ini adalah orang alim yang menyeleweng. Dan sesiapa yang mengambil pendapat orang alim yang menyeleweng akan hilang agamanya." Lalu saya menyuruh kitab ini dibakar."

Saya pula (penulis) telah menulis satu risalah yang khusus membicarakan tentang tegahan bagi mereka yang mengambil pendapat ulamak yang mudah-mudah dan mengikut hawa nafsu mereka. Maka perhatikanlah dengan sebaik-baiknya di sana. Hanya Allah subahanahu wa Ta'ala sahaja sebaik penunjuk bagi kita.

Penjelasan Beberapa Hadith Al Nabawi :

Adapun hadith :

إن الله يحب أن تؤتى رخصه كما يحب أن تؤتى عزائمه

Ertinya : "Sesungguhnya Allah Subahanahu Wa Ta'ala menyukai untuk memberikan rukhsah sebagaimana Dia menyukai untuk memberikan azimah"


(Hadith Riwayat Ahmad dalam Musnadnya m/s 108 juz 2, Ibn Hibban di dalam Sahihnya m/s 451 juz 6, al Baihaqi di dalam Sunannya m/s 104 juz 3 dll. Hadith ini berpunca dari Ibn Umar, Ibn Abbas dan Ibn Mas'ud. Bagi kami, hadith ini bertaraf mauquf. Dan menjadi kesalahan bagi mereka yang menghukumnya sebagai sahih-marfu'. Lafaz hadith ini adalah berdasarkan riwayat Abd Razaq di dalam kitabnya al Musannaf.)

Hadith ini bukanlah satu alasan bagi membolehkan kita mengambil pendapat yang paling mudah. Sekalipun sahih, ianya tetap tidak boleh dijadikan dalil untuk kita. Penggunaan rukhsah yang diberikan Allah Subahanahu wa Ta'ala di dalam al Quran adalah khusus untuk hambaNya yang berkeuzuran sahaja. Contohnya seperti dibenarkan bertayammum jika ketiadaan air, dibolehkan berbuka puasa bagi musafir, orang yang sakit pada bulan Ramadhan dan lain-lain yang menjadi pengetahuan umum.

Situasi inilah sebenarnya yang menjadi perbezaan dalam kita memahami dan menilai antara rukhsah syariat dan talfiq (mencari sesuatu yang paling mudah dengan mengikut atau mencampur beberapa pendapat ulamak) serta mengikuti pendapat ulamak yang paling mudah. Kegagalam memahaminya menyebabkan mereka beramal separuh yang benar dan separuh yang salah. Justeru, mengertilah keterangan ini. Semoga Allah subahanahu wa Ta'ala mengurniakan kita petunjuk.

Kesimpulan

Setelah kita memahami dan menyedari bahayanya perbuatan di atas iaitu mengambil pendapat yang paling mudah, takwilan yang bathil (salah) dan mencampuradukkan pendapat yang ternyata dihukum fasiq dengan ijmak tentunya perbuatan seperti ini terlarang sama sekali di dalam al Kitab dan al Sunnah.

Oleh yang demikian tidak perlu bagi kita untuk mengikutinya. Bahkan pendapat seperti ini sama sekali tidak boleh diakui. Dalam soal-soal seperti ini juga kita seharusnya menghormati semua pendapat atau mazhab yang jauh dari hawa nafsu dan fanatisme sekalipun kita selalu berselisih dengan mereka selama mana mereka ingin mencari keredhaan Allah subahanahu wa Ta'ala untuk kita. Justeru, kita tidak perlu menyalahkan mereka.

Ulamak seperti inilah bersungguh-sungguh mencurahkan tenaga dan usaha untuk mencari kebenaran. Sesungguhnya mereka mempunyai keupayaan untuk menyelidik dan mengeluarkan natijah hukum. Pendapat mereka seperti ini boleh diikuti selama mana ia tidak syadz (kesamaran) dan tidak bertentangan dengan ijmak.

Adapun bagi sesiapa yang berijtihad bukan pada tempatnya seperti berijtihad kepada sesuatu yang telah diputuskan oleh nas secara jelas. Ataupun bertentangan dengan ijmak serta nas al Kitab dan al Sunnah sambil mendakwa beliau seorang mujtahid (jika salah ijtihadnya dia dapat satu pahala jika benar dua pahala). Bahkan dia menyangka bahawa usahanya itu adalah menzahirkan tradisi ulamak yang hebat-hebat. Dia sebenarnya bercakap seperti mengalahkan singa.

Dakwaan bahawa dia adalah mujaddid (tokoh revolusi), cergas dan mempunyai fikiran yang matang, sebenarnya tidak mempunyai sebarang erti sama sekali. Ini kerana pada hakikatnya beliau ialah seorang yang muflis ilmu. Sewajarnya pendapat orang seperti ini tidak harus dipertimbangkan sebagaimana yang saya sebutkan di atas. Perbuatan seumpama ini hanyalah menyesatkan orang lain !

Justeru janganlah kalian sesekali berpaling kepada pendapat ini. Bahkan perbuatan seumpama ini perlu diberikan perhatian dan diambil tindakan. Kepada Allah subahanahu wa Ta'ala sahaja kita serahkan segala kesudahannya.

Sumber : Dr Hassan Ali al Saqqaf, Sifat Solat Nabi Yang Sahih, Cetakan Ketiga 2011, Zamihan Mat Zain, Selangor.

Ahad, 10 April 2011

Bagaimana Memakai Cincin Menurut Sunnah?

Oleh : Ustaz Nazrul Nasir



















Ada seorang sahabat yang sangat mencintai sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam telah bertanya kepada saya tentang cara pemakaian cincin menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Saya tidak ingin menjawab dengan pandangan saya yang sangat faqir di dalam ilmu, namun saya akan memberikan jawapan yang telah diberikan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah dan para ulama yang lain. Jawapan daripada para ulama ini akan saya ringkaskan agar mudah difahami oleh para pembaca.

Ada beberapa perkara yang akan terlintas di dalam persoalan berkaitan cincin :

1. Adakah terdapat berat yang khusus untuk memakai cincin?

2. Adakah kita boleh mengambil segala jenis logam untuk dijadikan cincin seperti tembaga, besi dan lain-lain?

3. Adakah harus bagi kita memakai lebih daripada satu cincin perak di tangan bagi lelaki?

4. Adakah cincin yang dipakai oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam mempunyai batu? Apakah jenis batunya?

5. Di jari manakah Baginda sallallahu alaihi wasallam memakai cincin , kanan atau kiri? Dan bagaimana pula keadaan batu cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam, samada dipusingkan ke tapak tangan atau tidak?
Ini antara soalan yang terlintas di dalam pemikiran kita. Sekarang kita lihat pula bagaimana para ulama memberikan jawapan bagi permasalahan ini. Jawapan yang akan saya kemukakan adalah menurut turutan soalan di atas. Di harap para pembaca mengambil perhatian terhadap perkara ini.

JAWAPAN

BERAT CINCIN


1. Para ulama berbeza pandangan di dalam permasalahan berat cincin yang dibenarkan. Al-Imam Haskafi rahimahullah, ulama bermazhab Abu Hanifah mengatakan bahawa sesebuah cincin tidak boleh melebihi berat satu Mithqal yang bersamaan 4.680 gram. Al-Imam Ibn Abidin yang merupakan ulama bermazhab Abu Hanifah juga merajihkan pandangan pengarang kitab al-Zhaqirah bahawa berat yang dibenarkan hanya satu Mithqal.

2. Para ulama Malikiyah pula berpandangan dibenarkan untuk seseorang memakai cincin dengan kadar 2 dirham ke bawah. Berat dua dirham menurut pengiraan moden ialah 3.125 gram × 2 = 6.25 gram

3. Para ulama Syafieyah pula mengatakan bahawa berat cincin bergantung kepada adat atau uruf setempat. Jika melebihi daripada adat tempat tersebut maka ianya dianggap membazir.

4. Para ulama Hanabilah pula berpandangan tiada masalah untuk memakai cincin yang beratnya melebihi satu mithqal. Tetapi dengan syarat tidak terkeluar daripada uruf atau adat setempat yang ditetapkan. Jika melebihi uruf maka hukumnya adalah haram.

LOGAM YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT CINCIN

EMAS


1. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa emas dibenarkan kepada wanita untuk memakainya, manakala bagi lelaki ianya adalah haram.

2. Manakala untuk kanak-kanak yang belum baligh, para ulama Syafieyah di dalam pandangan muktamad di dalam mazhab berpendapat bahawa dibenarkan bagi mereka untuk memakai emas samaada kanak-kanak lelaki atau perempuan.

PERAK

1. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa cincin perak dibenarkan kepada wanita. Manakala bagi lelaki pula terdapat perincian oleh para ulama .

2. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa harus bagi lelaki memakai cincin perak. Ianya menjadi sunnah kepada para sultan, para qadhi dan yang seumpama dengannya. Manakala kepada selain sultan, qadhi dan yang seumpama dengannya terlebih afdhal bagi mereka tidak memakai cincin perak.

3. Para ulama Malikiyah pula berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus dan jika dipakai dengan tujuan mengikut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam hukumnya adalah sunnah dan haram memakainya dengan tujuan berbangga diri.

4. Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa disunatkan kepada sesiapa sahaja untuk memakai cincin perak bukan dikhususkan kepada sultan dan qadhi semata-mata.
5. Para ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus.

SELAIN DARIPADA EMAS & PERAK

1. Para ulama Malikiyah ( dalam pandangan yang muktamad ) dan ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin daripada besi, tembaga dan seumpama dengannya adalah makruh berdasarkan larangan Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis. Hukuman ini merangkumi lelaki dan wanita.

2. Para ulama Malikiyah berpandangan bahawa mengambil cincin daripada kayu, kulit dan batu adalah harus bagi lelaki dan wanita. Manakala para ulama Hanabilah pula berpandangan diharuskan bagi lelaki dan wanita memakai cincin daripada zamrud, yaqut, jed dan lain-lain jenis batu.

3. Para ulama Syafieyah pula mempunyai dua pandangan di dalam permasalahan ini. Sebahagian mengatakan bahawa hukumnya makruh memakai cincin selain emas dan perak. Manakala sebahagian lagi mengatakan tidak makruh. Al-Imam Nawawi rahimahullah berpandangan dengan mengatakan tidak makruh memakai cincin daripada selain emas dan perak . al-Imam Qalyubi di dalam Hasyiyahnya juga mengatakan bahawa tiada masalah untuk memakai cincin daripada tembaga , besi dan lain-lain.

4. Para ulama Hanafiyah pula seperti al-Imam Ibn Abidin rahimahullah mengatakan bahawa dihalalkan bagi lelaki memakai cincin perak dan diharamkan memakai cincin emas, tembaga atau besi. Manakala mengambil cincin daripada batu adalah dibenarkan khususnya batu aqiq.



















Syaikh al-Allamah Abdullah Fad aq hafizahullah..Lihat pemakaian cincin pada jarinya

HUKUM BERBILANG-BILANG CINCIN

1. Para ulama Malikiyah mengatakan bahawa diharamkan bagi seseorang lelaki memakai lebih daripada satu cincin.

2. Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai 2 bentuk cincin perak dalam satu masa. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Makruh hukumnya memakai lebih daripada 2 bentuk cincin. Al-Imam Isnawi rahimahullah juga berpandangan sedemikian dan kata al-Imam Khawarizmi di dalam al-Kafi : Makruh memakai kedua-dua cincin tersebut pada satu jari.

3. Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa dibenarkan bagi lelaki memakai dua cincin dan lebih selagi mana tidak keluar daripada adat setempat.

4. Manakala para ulama Hanafiyah tidak pula kedapatan mereka mengeluarkan pandangan di dalam masalah ini.



BENTUK CINCIN RASULULLAH

1. Cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam ada dua jenis. Ada yang diukir perkataan “ Muhammad Rasulullah” dan ada yang diletakkan batu.

2. Jenis batunya menjadi perbahasan para ulama, sebahagian mengatakan bahawa ianya adalah jenis aqiq dan al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi mengatakan bahawa beliau melihat di dalam kitab Mufradat fi al-Tibb
karangan Ibn al-Baithar bahawa jenis batu tersebut adalah zabarjad.


JARI YANG SUNNAH DILETAKKAN CINCIN

1. Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan. Terpulang kepada mereka untuk memakai cincin dimana sahaja anggota. Samada di kesemua jari tangan atau jari kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan bagi mereka.

2. Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang sunnah dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah kiri dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama Hanafiyah mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari kelingking kanan.

3. Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu, guru kepada al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa disunnahkan memakai cincin di jari kelingking kiri dan beliau sendiri memakai cincin di jari kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan bahawa sunnah memakai cincin pada jari kelingking kiri dan makruh memakainya pada kelingking kanan.

4. Para ulama Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk dipakai cincin pada jari kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan yang masyhur ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya merupakan tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis adalah dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang bagi kaum lelaki untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat larangan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna Ali radhiyallahu anhu untuk memakai cincin pada jari-jari tersebut.

5. Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal memakai cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala jari telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin padanya kerana terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.




KE ARAH MANAKAH BATU CINCIN DIPUSING?

1. Para ulama mengatakan bahawa dibenarkan untuk kita menzahirkan batu cincin ke atas. Namun yang lebih afdhalnya menurut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah dengan memusingkan arah batu tersebut ke telapak tangan.

Semoga kita semua dapat mengambil manfaat dengan perbahasan ini bagi menghidupkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

RUJUKAN :

1. Mausu’ah al-Kuwaitiyah Jilid 11

2. Al-Hawi lil Fatawi oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi radhiyallahu anhu , jilid 1 mukasurat 75-76 cetakan Darul Kutub Ilmiyah tahun 1982


Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Ayah & Bonda di Pedu,
Kedah, Malaysia

Khamis, 7 April 2011

Bahaya Pemikiran Ekstrimis Agama !

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni

Dengan tumbangnya rejim Mubarak di Mesir, maka semua gerakan Islam, ahli agama dan orang agama di Mesir sudah tidak perlu bimbang lagi dengan sebarang kemungkinan tindakan penganiayaan ke atas mereka. Ini merupakan suatu perkembangan yang baik, namun apa yang tidak menyeronokkan ialah kebangkitan setengah golongan agama yang agak ekstrem. Dikhuatiri mereka akan menyuburkan perpecahan dalam kalangan masyarakat dengan beberapa tindakan mereka.

Antara yang terbaru ialah memusnahkan beberapa makam para wali dan ulama - yang memang banyak bertebaran di seluruh negara Mesir - kerana didakwa sebagai tempat-tempat BIDAAH dan SYIRIK. Malah mereka turut mengancam untuk meruntuhkan makam kepala Sayidina al-Husain RA. Padahal ramai alim-ulama Mesir dan al-Azhar semenjak dahulu tidak pun menghukumkannya demikian.

Isu inilah yang disentuh oleh al-‘Allamah Syeikh ‘Ali Jum’ah dalam khutbah yang lepas. Antaranya ada sebuah hadis yang disampaikan oleh beliau yang baru telinga saya dengar dan membuatkan saya merenung panjang, iaitu:

عن حُذَيْفَة بْن الْيَمَانِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : إِنَّمَا أَتَخَوَّفُ عَلَيْكُمْ رَجُلا قَرَأَ الْقُرْآنَ حَتَّى إِذَا رُئِيَ عَلَيْهِ بَهْجَتُهُ ، وَكَانَ رِدْءًا لِلإِسْلامِ اعْتَزَلَ إِلَى مَا شَاءَ اللَّهُ، وَخَرَجَ عَلَى جَارِهِ بِسَيْفِهِ، وَرَمَاهُ بِالشِّرْكِ.

أخرجه البزار (رقم 2793) وقال: إِسْنَادُهُ حَسَنٌ، وقال الهيثمى أيضاً (1/188): إسناده حسن. وابن حبان في صحيحه (رقم 81)، وأبو يعلى، والضياء المقدسي. الردء: العون والناصر. وفي شرح مشكل الآثار للطحاوي (865): ...قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَيُّهُمَا أَوْلَى بِالشِّرْكِ الْمَرْمِيُّ أَوِ الرَّامِي؟ قَالَ: لَا بَلِ الرَّامِي. وأخرجه الطبراني عن معاذ (20/88 ، رقم 169) بنحوه بلفظ:أخوف ما أخاف على أمتى ثلاث رجل... وذكر هذا أولهم.

Terjemahan: Dari Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku takut ke atas kamu sekalian seorang lelaki yang membaca al-Quran sehingga apabila telah terlihat pada dirinya seri al-Quran itu, dan ia sebagai pembantu bagi agama Islam, dia pun mengasingkan diri sehingga masa yang dikehendaki Allah, lalu dia keluar kepada jirannya dengan pedang, serta melontarnya dengan tuduhan syirik”.

(Riwayat al-Bazzar, Ibn Hibban, Abu Ya’la, dan al-Dhiya’. Kata al-Haythami: Isnadnya hasan)

Dalam riwayat al-Tahawi dan al-Tabarani: Aku bertanya: Ya Rasulullah, yang manakah lebih layak dengan tuduhan syirik itu, yang dilontar atau yang melontar? Jawab baginda: “Tidak, bahkan yang melontar”.

Sifat-sifat yang digambarkan oleh Nabi SAW dalam hadis ini iaitu seorang yang mahir dengan al-Quran sehingga terlihat kesan al-Quran itu pada dirinya serta mempunyai semangat yang tinggi untuk mempertahankan Islam, menunjukkan mereka ini adalah orang-orang yang semangat beramal dan berpegang dengan agama.

Namun sayangnya mereka ini punya kelemahan dari sudut kefahaman ilmu dan juga sifat warak (barangkali boleh disebut sebagai; kurang fiqh dan tasawuf). Lantaran itu, mereka mudah menuduh orang lain sebagai sesat dan melontarnya dengan tuduhan syirik. Sedangkan tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali. Sebab itu Rasulullah SAW menyatakan bahawa tuduhan syirik itu kembali kepada dirinya. Ini menunjukkan satu kejahilan terhadap dirinya kerana ia menyangka bahawa perkara yang dipercayainya itu sebagai suatu isu besar dan masalah pokok dalam agama, sedangkan pada hakikat sebenarnya ia hanyalah isu cabang.

Pasti kita tertanya-tanya masalah apa yang begitu serius sehingga orang tersebut berani menuduh saudaranya dengan tuduhan syirik, padahal ianya tidak sampai ke tahap itu. Orang yang dituduh tersebut pasti tidak menganggap ianya sebagai syirik dan maka itu ia mengamalkannya. Pada hemat saya, tidak ada masalah khilaf yang dapat menimbulkan gejala dahsyat seperti ini kecuali masalah TAWASSUL dan ISTIGHATHAH yang telah melalui tempoh perselisihan yang amat panjang dan hampir tidak berkesudahan. Bahkan telah mengorbankan nyawa yang tidak sedikit.

Masya’ Allah, ini merupakan satu mukjizat Nabi SAW dalam hadis di atas. Apa yang diberitakan oleh baginda SAW ini begitu persis dengan apa yang berlaku pada umatnya hinggalah ke hari ini. Kerana ada setengah golongan yang begitu mudah melontar orang lain dengan tuduhan syirik, padahal perkara tersebut hanyalah dalam masalah-masalah ranting sahaja.

Lihat contohnya bagaimana Imam Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله seorang tokoh ulama besar yang masyhur telah dituduh sebagai pendokong syirik oleh orang yang tidak sedikitpungentar akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kelak terhadap perbuatannya kerana sifat angkuhnya. Dia menggelar Imam al-Maliki رحمه الله dalam judul bukunya: Mujaddid Millah ‘Amru ibn Luhayy wa Da’iyah al-Syirk fi Haza al-Zaman (Pembaharu Agama ‘Amru bin Luhayy si-Penyembah Berhala dan Pendakwah Syirik Di zaman Ini). La hawla wala quwwata illa biLlah...

Golongan seperti yang dinyatakan ini mestilah dihindari dan ditolak cara pemikiran mereka. Semangat agama yang kuat sahaja tidak cukup jika tidak dibekali dengan roh ilmu serta zikir.



Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/04/bahaya-pemikiran-ekstrem-agama.html

Sabtu, 26 Mac 2011

Hukum Berjual Beli Pada Hari Jumaat






















Oleh :
Mufti Brunei

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sembahyang fardhu Jumaat diwajibkan (fardhu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, baliqh, berakal, bermuqim dan tidak ada keuzuran. Sembahyang fardhu Jumaat itu adalah sembahyang yang paling afdhal dan harinya pula adalah hari yang paling afdhal.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah iaitu hari yang paling agung di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitrah.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Hadits ini jelas menyatakan bahawa hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan ia lebih agung di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala berbanding dengan dua Hari Raya. Oleh itu, perbesarkanlah hari Jumaat itu dengan memperbanyakkan bacaan al-Qur’an, selawat, doa dan zikir.

Di Negara Brunei Darussalam hari Jumaat merupakan hari kelepasan awam di kebanyakan sekolah, universiti, institusi dan jabatan-jabatan kerajaan. Setentunya pada hari tersebut ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama keluarga bagi mengisi waktu lapang dengan bermacam-macam aktiviti. Ada sebahagiannya melancong ke negara jiran, mengunjungi sanak saudara, berehat di rumah dan ada juga sebahagiannya pergi membeli belah.

Aktiviti-aktiviti tersebut tidaklah bertentangan dengan hukum syara‘ akan tetapi ada beberapa perkara yang perlu diketahui khususnya pada hari Jumaat, antaranya ialah berjual beli ketika sembahyang fardhu Jumaat.

Hukum Berjual Beli Pada Hari Jumaat

Berjual beli pada hari Jumaat mempunyai hukumnya tersendiri. Sungguhpun asal hukum berjual beli itu harus di dalam Islam, namun hukumnya berbeza pada hari Jumaat.

Sebagaimana yang pernah terjadi bahawa sebahagian jemaah sembahyang fardhu Jumaat meninggalkan Rasulullah Shallallahu ‘alalihi wasallam yang sedang berkhutbah kerana mereka pergi ke tempat kafilah yang datang membawa barang dagangan. Maka
dengan itu turunlah ayat yang melarang perbuatan sedemikian.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barangbarang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) suatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah).
Katakanlah (wahai Muhammad: “Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.”(Surah al-Jumu‘ah: 11)

Oleh itu, berjual beli ketika sembahyang fardhu Jumaat adalah dilarang. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya bersegera untuk pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat dan meninggalkan jual beli dan kerja-kerja yang lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat) dan
tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)

Jelasnya, hukum berjual beli pada hari Jumaat itu boleh dibahagikan kepada berikut:

(1) Selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat sehingga selesai sembahyang fardhu Jumaat

Haram ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat dan khatib
duduk di atas mimbar.

Maksud haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di Masjid. Adapun mereka yang sudah berada di Masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.

(2) Selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat

Makruh ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua
sembahyang fardhu Jumaat. Ini kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.

(3) Sebelum tergelincir matahari

Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari.

(4) Selepas sembahyang fardhu Jumaat

Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli setelah selesai mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.

Perkara Yang Melekakan Selain Berjual Beli

Hukum haram dan makruh itu tidak hanya terbatas pada jual beli sahaja malahan termasuk juga perkara-perkara lain yang melekakannya dari bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.

Orang Yang Dikecualikan Daripada Larangan Berjual Beli

Hukum haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat atau hukum makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu ialah ke atas orang yang diwajibkan sembahyang fardhu
Jumaat.

Perempuan, kanak-kanak yang belum baligh atau lelaki dewasa yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti dalam pelayaran atau ada keuzuran, terkecuali daripada hukum haram atau makruh tersebut.

Demikian juga dikecualikan daripada hukum tersebut, orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat yang terpaksa berjual beli ketika waktu-waktu larangan tersebut kerana dharurat seperti membeli kain kafan si mati yang ditakuti berubah apabila dilambatkan atau membeli air kerana untuk bersuci atau membeli
pakaian untuk menutup aurat atau seumpamanya.

Haram Berjual Beli Bersama Orang Yang Diwajibkan Sembahyang Fardhu Jumaat

Walaupun orang yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat harus berjual beli pada waktu-waktu yang dilarang, namun jika dia berjual beli bersama orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat, maka kedua-dua mereka berdosa. Ini kerana dia telah bersubahat pada melakukan yang haram.

Adakah Sah Jual Beli?

Akad Jual beli yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang pada hari Jumaat itu adalah sah. Ini kerana larangan itu tidak ada kaitannya dengan kesahihan akad akan tetapi disebabkan kelekaannya berurusan jual beli dan perbuatan melengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat. Ini sama keadaannya seperti sah sembahyang orang yang mengerjakannya dalam rumah yang dirampas.

Sebagai kesimpulannya, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat hendaklah bersegera pergi ke masjid dan janganlah melengah-lengahkannya seperti melakukan jual beli terutama apabila azan kedua sembahyang fardhu Jumaat.

Sungguhpun jual beli itu sah namun perbuatan sedemikian adalah dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat pun berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2010/bill25-2010.pdf

Khamis, 24 Mac 2011

Mengapa Tidak Terus Mengambil Dari Al Quran Dan Sunnah?


















Oleh : Ustaz Nazrul Nasir

Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.

Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.
Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya.

Benarlah kata para ulama :






Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

Pak Kiyai : Nah, sekarang saya rasa kamu sudah jelas bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan penaakulannya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Kamu tahu Abdullah, al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?

Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “ Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “ Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”

Cuba kamu perhatikan Abdullah, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “ Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “ Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”

Maka kata al-Imam Malik : “ Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”

Allah.. Cuba kamu lihat Abdullah betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.

Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Pak Kiyai atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .

Pak Kiyai : Sama-sama Abdullah. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Jumaat, 18 Mac 2011

Krisis dalam Lapangan Ilmu-ilmu Agama: Suatu Pemerhatian Ringkas


























Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis


Krisis dalam Lapangan Ilmu-ilmu Agama

Perkembangan ilmu pengetahuan adalah suatu perkara yang sangat memberi manfaat dalam sesebuah masyarakat. Kemudahan dalam mendapatkan sumber maklumat pada zaman ini membawa kepada suatu “penguasaan” terhadap maklumat dengan lebih cepat.

Kalau dahulu, para ulama’ perlu menyalin karangan para ulama’ terdahulu daripada para pewaris karangan-karangan tersebut, lalu hanya boleh menyebarkannya setelah mendapat ijazah bil riwayah, namun hari ini, seorang manusia yang tidak pernah mengenal perbezaan antara Fi’il dengan Fa’il pun sudah memiliki Kutub Sittah di almari buku atau di dalam komputernya.

Dalam perkembangan ini juga, muncul sebahagian orang-orang awam yang mula tertarik dengan membaca buku-buku yang membahaskan tentang permasalahan-permasalah khilafiyyah (para ulama’ berselisih pendapat mengenainya) lalu tertarik dengan sikap menyalahkan pendapat ulama’ lain dalam buku-buku tersebut, lalu mereka juga menyemarakkan sikap menyalahkan pendapat para ulama’ lain dengan penuh kejahilan dan semangat merasakan diri lebih tahu berbanding ulama’ lain.

Ketika mereka ditanya tentang asas mereka menolak pendapat ulama’ yang tidak sehaluan dengan pendapat mereka, maka antara jawapan yang sering mereka dendangkan adalah: “pendapat ini tiada dalil” atau “ia suatu yang bid’ah” dan sebagainya.

Alangkah baiknya mereka yang jahil ini fahami ciri-ciri utama dalam Syariah Islamiyyah itu sendiri yang mana kebanyakan dalil dalam pelbagai masalah hanyalah melibatkan Qat’iyyah At-Thubut dan Qat’iyyah Ad-Dilalah. Jika kedudukan dalil dalam pelbagai masalah pun tidak muktamad, bagaimana pula cara para ulama’ memahaminya, adakah sesuatu yang muktamad? Seseorang yang menyangka bahawasanya dalam lapangan Syari’ah Islamiyyah, hanya ada satu pendapat sahaja yang betul dalam banyak permasalahan, maka dia telah jahil dalam kerangka asas Syariah Islamiyyah itu sendiri.

Cubalah mereka merujuk kitab Bidayah Al-Mujtahid wa Nihayah Al-Muqtasid karangan Imam Ibn Rusyd, bagaimana beliau menjelaskan pendapat setiap mazhab dalam banyak permasalahan lalu menjelaskan sebab perselisihan para ulama’ dalam sesuatu masalah tersebut. Maka, pasti mereka akan dapati, antara punca utama mereka (para ulama’) berselisih pendapat dalam sesuatu masalah adalah kerana:

Sebahagian ulama’ menguatkan sesuatu dalil (hadith dan sebagainya) sedangkan sebahagian ulama’ lain melemahkan kedudukan dalil tersebut. Maka, setiap golongan mengikut cara menilai kedudukan sesuatu dalil tersebut tanpa perlu menyalahkan penilaian golongan yang lain.

Sebahagian ulama’ memahami sesuatu dalil yang sama secara berbeza dengan sebahagian ulama’ lain terhadap dalil itu juga. Maka, kadang-kadang, berdasarkan dalil yang sama dan penilaian kedudukan dalil yang sama, para ulama’ juga saling berselisihan dalam memahami dalil tersebut kerana kebanyakan dalil dalam lapangan Syariah bersifat Zhonni Ad-Dilalah (maksudnya tidak muktamad)

Penguasaan Informasi dan Maklumat, bukan Penguasaan Ilmu

Ledakan maklumat (information explosion) dalam bidang ilmu keduniaan mungkin tidak menggundang banyak masalah yang besar. Namun, dalam bidang ilmu agama, ia adalah suatu malapetaka terutamanya apabila orang-orang awam yang tidak mempelajari ilmu agama daripada asas, terus membahaskan ilmu agama peringkat tinggi kerana pernah membaca sebuah buku membahaskan ilmu tersebut walaupun melalui buku-buku versi terjemahan.

Ia umpama seorang budak tadika yang tidak pernah mengenal perbahasan tambah, tolak, darab dan bahagi dalam ilmu Matematik, namun, kerana pernah membaca satu buku tentang algebra, maka dia cuba membahaskannya berdasarkan “persepsi”nya terhadap ilmu itu, bukan berdasarkan kefahaman sebenar. Begitulah perihal seorang manusia yang tidak pernah mempelajari Ilmu Nahu dan ilmu Balaghah, tetapi cuba membahaskan masalah nas-nas mutasyabihat dalam Al-Qur’an hanya kerana pernah membaca buku-buku yang membahaskan masalah tersebut.

Kita lebih melihat krisis kemunculan golongan yang belajar ilmu (terutamanya ilmu agama) melalui jalan pintas (short cut), tidak mengikut turutan dan peringkat ilmu tersebut dalam tradisi ulama’ Islam yang asal, sehingga hilang gambaran umum tentang ilmu-ilmu agama secara bersepadu.

Golongan yang belajar ilmu agama tidak mengikut peringkat-peringkat ilmu yang disusun dalam tradisi pembelajaran Islami oleh para ulama’ akan menjadi suatu golongan yang “bercakap tetapi tidak tahu apa yang dicakapkan oleh dirinya sendiri”. Dalam masalah nas-nas mutasyabihat misalnya, jika yadd Allah itu difahami secara kiasan dengan maksud qudrah Allah (kuasa Allah), maka mereka akan mencela kefahaman tersebut kerana ianya suatu ta’wil.

Tetapi, ketika mereka sendiri memahami ma’iyyah Allah (kebersamaan Allah) dengan makhluk secara kiasan iaitu dengan ilmu Allah s.w.t., bukan dengan zatNya, maka mereka tidak mencela kefahaman tersebut kerana mereka tidak menganggap ianya sebagai ta’wil tetapi tafsir. Padahal, apa yang mereka lakukan, iaitu memahami lafaz ma’iyyah dengan maksud kebersamaan ilmu itu adalah merujuk kepada makna kiasan, seperti memahami yadd dengan makna qudrah juga, yang berasaskan makna kiasan, dalam bahasa Arab. Akhirnya, mereka mencela ta’wil dalam nas-nas mutasyabihat tetapi mereka juga melakukan ta’wil dalam sesetangah nas namun tidak mahu mengaku apa yang mereka lakukan sebagai ta’wil. Na’uzubillah…

Lebih malang lagi, mereka memahami Ta’wil (memahami suatu lafaz dengan makna lain daripada makna zahir dari sudut bahasa) secara mutlak sebagai sebahagian daripada Ta’thil (menafikan terus sifat Allah). Tidakkah mereka belajar ilmu Balaghah, di mana ada bab Majazi, atau perumpamaan, yang mana sesuatu lafaz boleh difahami dengan makna kiasan. Sejak bila kiasan itu adalah menafikan terus sesuatu lafaz tersebut? Inilah masalah orang yang menguasai ilmu tanpa mengikut peringkat-peringkat ilmu. Apa yang mereka kuasai bukan ilmu, tetapi sekadar maklumat yang terpisah-pisah.

Ketika mereka mengetengahkan suatu pendapat yang berbeza dengan pendapat para ulama’ tempatan, mereka menyeru ke arah keterbukaan. Namun, dalam masa yang sama, mereka jugalah golongan yang menghukum sebahagian pendapat para ulama’ yang tidak selari dengan pegangan mereka sebagai suatu bid’ah, syirik dan sebagainya yang mencerminkan kesempitan dan kejumudan fikiran yang tidak memahami keluasan pada masalah khilafiyyah. Mereka menganggap, dengan mengetengahkan penolakan terhadap masalah-masalah khilafiyyah (hanya kerana menganggap masalah khilafiyyah tersebut suatu yang tidak muktabar), sudah menjadikan dirinya sebagai seorang mujaddid. Seolah-olah, mujaddid itu tugasnya hanya mengkritik sahaja, tanpa memberi sumbangan yang membangunkan masyarakat dan mencari jalan perpaduan sesama umat Islam.

Semua ini dan banyak lagi kepincangan ilmiah, berlaku disebabkan seseorang itu jauh daripada tradisi pembelajaran Islami yang asli warisan As-Salaf As-Sholeh dan As-Sawad Al-A’zhom. Samada disebabkan tidak melalui pembelajaran secara bertalaqqi kepada para ulama’ muktabar, atau banyak berguru dengan buku-buku berbanding berguru dengan para ulama’ yang mempunyai sanad ilmu yang bersambung kepada para ulama’ zaman-berzaman.

Dari sinilah, kita dapati para ulama’ Salaf mencela mereka yang banyak berguru dengan buku tetapi jarang bertalaqqi dengan para ulama’ muktabar dan membaca sesebuah kitab secara mendalam dan terperinci dengan bimbingan para ulama’ muktabar. Apatah lagi, zaman sekarang ini, ramai yang sudah merasakan dirinya boleh menandingi ulama’-ulama’ lain hanya kerana telah membaca banyak buku-buku agama (walaupun versi terjemahan), banyak membaca artikel-artikel agama, banyak berbahas dalam forum-forum di internet dan sebagainya. Lalu, mereka cenderung mengkritik kefahaman umum majoriti ulama’ Islam dan merasakan mereka lebih memahami salaf berbanding para ulama’ khalaf yang dianggap menyalahi salaf. Padahal, majoriti ulama’ khalaflah sebenarnya yang meneruskan manhaj umum kefahaman ulama’ As-Salaf As-Sholeh dalm tradisi keilmuan Islam sebelum kemunculan pengaku salafi.

Imam As-Syafi’e r.a. berkata:


من تفقه من بطون الكتب ضيع الأحكام

Maksudnya: “Sesiapa yang mendalami ilmu agama hanya dengan buku-buku, maka dia akan mensia-siakan hukum-hakam (kefahaman)”

[Tazkirah Ar-Rawi wa As-Sami’e: 1/38]

Budaya “Belajar Tanpa Guru” Melahirkan Golongan Berguru yang kepada Guru yang “Belajar Tanpa Berguru”

Ada juga orang yang mendakwa, dia belajar dengan guru yang diyakini ilmu mereka. Namun, dia mungkin tidak tahu, apa yang diajar oleh gurunya adalah salah kerana gurunya sendiri tidak mempunyai guru dalam bidang ilmu agama. Kalaupun gurunya berguru dengan guru, kemungkinan, guru kepada gurunya itu pula tidak berguru dalam bidang ilmu agama. Apa yang penting, silsilah perguruan atau pembelajaran itu terus bersambung kepada para ulama’ salaf ataupun tidak. Kalau kefahaman yang cuba diketengahkan pun bercanggah dengan pegangan usul As-Sawad Al-A’zhom (majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman), maka jelaslah mereka samada tidak mewarisi ilmu dan kefahaman secara baik ataupun tidak mempunyai sanad ilmu sama sekali (atau sanad ilmu terhenti kepada individu tertentu).

Oleh kerana itulah, budaya “belajar tanpa guru” ini mencetuskan bahaya besar dalam masyarakat Islam khususnya buat jangka masa panjang. Seseorang pelopor fahaman pinggiran mungkin mengasaskan fahamannya yang syaz kerana tidak belajar ilmu agama daripada para ulama’, malah para gurunya sendiri berlepas tangan daripadanya. Namun, generasi setelahnya belajar ilmu agama daripada pelopor fahaman tersebut yang tidak mempunyai latar belakang “berguru”, merasakan mereka mempelajari agama dengan cara yang betul kerana berguru. Namun, musibahnya tetap sama kerana di hujung sanad perguruan mereka, pelopornya sendiri tidak mengambil ilmu daripada para ulama’ bahkan bersikap mengkritik para ulama’ di zamannya.

Kepincangan dan keterasingan inilah yang mewujudkan sebuah golongan yang mempunyai rujukan sumber ilmu agama yang sangat terbatas. Dalam bidang aqidah misalnya, dalam ribuan senarai para ulama’ sejak zaman salaf, daripada kitab Al-Fiqh Al-Akbar karangan Imam Abu Hanifah (w: 150 H), Aqidah Tahawiyyah karangan Imam At-Tahawi, Al-Luma’ karangan Imam Al-Asy’ari (w: 324 H), At-Tauhid karangan Imam Al-Maturidi (w: 333 H), Mujarrad Maqalat Al-Asy’ari karangan Imam Ibn Furak, Al-Asma’ wa As-Sifat karangan Imam Al-Baihaqi, As-Syamil karangan Imamul Haramain Al-Juwaini, Al-Iqtisad fi Al-I’tiqad karangan Imam Al-Ghazali (w: 505 H) dan ramai lagi, namun mereka hanya membataskan kepada dua atau tiga tokoh yang hidup antara kurun ketujuh sehingga kurun ke-11 Hijrah.

Golongan ini hanya merujuk Turath Islami yang lain pada perkara yang mereka senangi sahaja. Mereka membaca karangan Imam As-Suyuti dalam masalah hadith namun menolak sudut kesufian yang turut menjadi pegangan Imam As-Suyuti r.a.. Mereka membaca karangan Imam Ibn Hajar Al-Asqollani r.a. dalam bidang hadith, namun mengkritik beliau dalam masalah aqidah sehingga tergamak menulis buku seperti “Al-Mukholafat Al-Aqdiyyah li Ibn Hajar” (Percanggahan Dari Sudut Aqidah bagi Ibn Hajar) karangan Ali bin Abdil Aziz As-Syabl, “Akhto’ Al-Aqidah fi Fath Al-Bari” (Kesalahan-kesalahan Aqidah dalam kitab Fath Al-Bari) dan sebagainya.

Kita boleh lihat misalnya, Abdul Rahman bin Hasan Aal Sheikh berkata dalam Ad-Durar As-Saniyyah [12/5] bahawasanya Al-Hafiz (Ibn Hajar) mempunyai kesalahan dalam masalah iman sebagaimana para ulama’ Al-Asya’irah menyalahi apa yang dizahirkan oleh Imam Al-Bukhari r.a.. Bukan sekadar Al-Hafiz Imam Ibn Hajar r.a., bahkan Imam An-Nawawi r.a. turut dinilai sebagai mempunyai aqidah yang menyalahi aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah di sisi golongan ini [rujuk Bayan Aqidah Ahl As-Sunnah wal Jamaah].

Mereka yang terlalu kerdil berbanding lautan ilmu ulama’ yang mensyarahkan Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim berani mentohmah kedua-dua tokoh besar ini (malah ramai lagi tokoh-tokoh ulama’ yang lain) hanya kerana mereka adalah para ulama’ Al-Asya’irah. Benarlah kata-kata Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ketika membahaskan tentang golongan ini dengan berkata:

“…Tidak sejahtera daripada (kritikan) mereka seseorangpun termasuklah para ulama’ seperti Imam An-Nawawi, Al-Hafiz Ibn Hajar dan selain daripada mereka, begitu jugalah tokoh-tokoh semasa seperti Hasan Al-Banna, Sayyid Qutb, Al-Maududi, Muhammad Al-Ghazali, Fahmi Huwaidi, Muhammad Ammarah, Yusuf Al-Qaradhawi dan sebagainya, yang tidak mengikut manhaj Imam Ibn Taimiyyah dan Imam Ibn Al-Qayyim”.
[Rujuk kitab Ummatuna Bain Al-Qarnain: 74]

Bagaimanakah boleh muncul kepincangan sebegini dalam tradisi keilmuan Islam, melainkan apabila mereka merasakan diri mereka lebih memahami As-Salaf berbanding majoriti ulama’ Islam zaman berzaman terutamanyan golongan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah. Jika mereka menilai para ulama’ Al-Asya’irah sebagai tidak beraqidah dengan aqidah Ahlus-Sunnah, maka hampir kebanyakan Turath Islami tidak boleh dirujuk kerana ditulis oleh mereka yang tidak beraqidah dengan aqidah Ahlus-Sunnah.

Ketika sebahagian ulama’ mengatakan, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim Al-Jauziyyah mempunyai kesalahan dari sudut aqidah, maka mereka (golongan ini) terlalu marah dan mengatakan ianya suatu tohmahan yang tidak benar. Bagi mereka, tidak mungkin kedua-dua tokoh itu mempunyai kesalahan aqidah berdasarkan penguasaan ilmu mereka dan kehebatan karangan mereka.

Namun, ketika para ulama’ Al-Asya’irah yang memiliki penguasaan ilmu mereka (secara individu atau secara berkumpulan) lebih tinggi daripada kedua-dua tokoh itu (Ibn Qayyim dan Ibn Taimiyyah) dan, karangan-karangan mereka (ulama’ Al-Asya’irah) samada secara individu atau secara keseluruhan lebih hebat berbanding karangan-karangan kedua-dua tokoh itu, namun apabila aqidah mereka (Al-Asya’irah) dipertikaikan, maka mereka akan katakan, biasalah, para ulama’ juga tidak terlepas daripada kesalahan.

Bayangkan, dua tiga individu tersebut tidak mungkin terdedah kepada kesalahan tetapi ribuan ulama’ (iaitulah Al-Asya’irah) terdedah kepada mempunyai kesalahan dalam aqidah sedangkan ribuan ulama’ inilah yang banyak mengembangkan ilmu-ilmu agama sebelum kemunculan golongan pengaku salafi. Akhirnya, golongan ini membuat kesimpulan bahawa, antara tempoh masa antara selepas zaman salaf sehingga kemunculan golongan pengaku salafi, tidak ada ulama’ yang tidak mempunyai kesalahan dalam aqidah melainkan segelintir sahaja. Dalam tempoh masa tersebut, mereka seolah-olah mendakwa, Allah s.w.t. memilih ramai ulama’ untuk berkhidmat menjaga ilmu-ilmu agama dari kalangan mereka yang mempunyai kesalahan aqidah kerana mereka (ramai ulama’) adalah Al-Asya’irah.

Krisis bidang ilmu agama ini dapat dibendung dengan memperkasakan usaha mengetengahkan manhaj sebenar pembelajaran ilmu-ilmu agama amalan para ulama' muktabar sejak zaman berzaman melalui sistem talaqqi dengan sanad keilmuan yang jelas. Maka, kepincangan demi kepincangan yang melanda dalam bidang ilmu agama secara khusus antaranya disebabkan oleh kurangnya kepekaan para penuntut ilmu dalam mencari para guru yang benar-benar mempunyai sanad keilmuan yang bersambung kepada para ulama' salaf lalu bersambung kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam. Mudah-mudahan para penuntut ilmu berhati-hati dalam mencari majlis-majlis ilmu dan menjauhi kefahaman yang syaz dalam bidang ilmu dan kefahaman agama ini.

Wallahu a'lam

Sumber : http://www.facebook.com/notes/raja-ahmad-mukhlis/krisis-dalam-lapangan-ilmu-ilmu-agama-suatu-pemerhatian-ringkas/205765026117350

Ahad, 13 Mac 2011

Majalah Islamik Ahlussunnah Wal Jamaah al-Asya'irah Perlu DiUsahakan






















Oleh : Ustaz Nazrul Nasir

Seringkali saya ke kedai-kedai buku di Malaysia bagi mencari bahan bacaan santai berbentuk agama. Namun , natijahnya hampa. Boleh dikatakan agak sukar menemukan buku-buku atau bahan bacaan santai yang boleh dibaca oleh segenap lapisan masyarakat.

Ya, paling banyak bahan bacaan yang akan kita ketemu di kedai-kedai buku hanyalah berkisar tentang artis dan sukan bolasepak. Saya terfikir bilakah kita akan boleh keluarkan majalah-majalah seperti al-Kisah , sebuah majalah kisah Islami yang dikeluarkan oleh para pencinta ilmu di Indonesia yang boleh didapati hanya dibeberapa tempat tertentu sahaja di bumi Malaysia seperti di Yayasan al-Jenderami dan Yayasan al-Sofa.

Dulu kita pernah terlihat kelibat majalah al-Hidayah di pasaran Malaysia. Namun sekarang sudah kurang kedapatan di kedai-kedai buku. Namun sedikit yang menyedihkan tentang majalah al-Hidayah ini adalah kerana fahaman dan penulisan di dalamnya agak bercampur. Misalnya, muka hadapan majalah menceritakan tentang Sambutan Maulid Baginda sallallahu alaihi wasallam, tiba-tiba bilamana kita menyelak lembaran yang seterusnya, ada juga diselitkan artikel yang melarang sambutan Maulid Baginda sallallahu alaihi wasallam. Kalau yang tidak punya asas membacanya, sudah tentu akan terkeliru. Mana satu yang perlu diikuti? Yang membenarkan atau yang melarang? Sedang tidak ada kata putus yang dikeluarkan.

Al-KISAH MEMBUKA MINDA

Berbeza dengan majalah al-Kisah, yang dipaparkan adalah pandangan para Kiyai dan Habaib yang memimpin pesantren di Indonesia disamping pandangan para ulama daripada Hadramaut, Yaman.

Saya tidak menafikan wujudnya majalah seperti Solusi dan lain-lain yang berbicara tentang Islam. Namun persembahan al-Kisah saya kira lebih menarik. Ini cuma pandangan peribadi.

Mana ada majalah yang menyediakan Pin-Up berbentuk gambar para ulama dan doa-doa. Apa yang selalu kita ketemu adalah Pin-Up berbentuk gambar-gambar artis yang berpakaian separuh bogel. Sekurang-kurangnya dengan Pin-Up gambar ulama menyebabkan golongan remaja mahupun kanak-kanak dapat mengenali para ulama dahulu dan sekarang.

Bilamana saya melihat majalah ini, terlintas di dalam benak saya untuk berusaha menerbitkan majalah seperti yang dikeluarkan oleh Tok Kenali satu ketika dahulu iaitu Pengasuh. Saya pernah terbaca majalah Pengasuh selepas era Tok Kenali ketika menuntut di Kolej Islam Sultan Alam Shah . Namun sedih kerana pandangan di dalam majalah tersebut ternyata bertentangan dengan pegangan yang dibawa oleh Tok Kenali ketika mula-mula menerbitkan Pengasuh. Tujuan Pengasuh adalah bagi membendung fahaman Kaum Muda @ Wahabi @ Salafi Jadian yang berleluasa pada ketika tersebut. Namun golongan Kaum Muda ini sangat bijak, mereka menyusup masuk dan akhirnya menjadi penulis-penulis bagi artikel di dalam majalah Pengasuh dan akhirnya menyebarkan fahaman mereka dengan menggunakan nama Pengasuh selepas kematian Tok Kenali.

AYUH PARA AZHARI DAN SAHABAT-SAHABAT DI PONDOK PENGAJIAN KITA BERGABUNG TENAGA

Inilah masanya para Azhari dan sahabat-sahabat yang menuntut di Pondok Pengajian di Malaysia serta sahabat-sahabat yang belajar di Timur Tengah untuk sama-sama kita gembleng tenaga bagi melahirkan majalah yang mampu memberikan suntikan semangat dakwah kepada masyarakat . Dakwah yang bebas daripada fahaman menyeleweng seperti Syiah, Wahabi , dan lain-lain yang bertentangan dengan fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah al-Asya’irah wal Maturidiah.

Biarkan artikel-artikel itu ditulis sendiri oleh para ulama yang dipercayai kelayakan ilmu agamanya. Biarkan artikel-artikel tersebut disunting dan disemak oleh para Tuan Guru . Biarkan fikrah para ulama dapat disebarkan secara meluas dalam bentuk tulisan.

Inilah caranya untuk kita bergabung tenaga. Tidak ada kemampuan untuk mengajar ilmu di masjid-masjid sekurang-kurangnya menjadi pembantu bagi menjayakan misi ini dengan menjadi ahli jawatankuasa pengeluaran Majalah yang belum difikirkan namanya ini.

Moga niat ini akan direalisasikan kelak InsyaAllah. Ya benarlah sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam :











Ini bermakna, jika seseorang mukmin tersebut hanya baru berniat melaksanakan kebaikan, maka itu sudah mendapat pahala walau belum melaksanakannya.

Semoga ada sahabat yang akan memberikan dorongan terbaik pada pewaris para ulama ini. Aminn..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Rumah Mak Ayah di Pedu,
1.48 Pagi

Sumber : http://nazrulnasir.blogspot.com/2011/03/majalah-islamik-ahlussunnah-wal-jamaah.html

Selasa, 8 Mac 2011

Hukum Mengeksploitasi Rukhsah Bab 1

Oleh : Allamah Dr Hassan Ali Al Saqqaf

Ketahuilah (semoga anda semua dirahmati Allah) bahawasanya diharamkan ke atas semua individu Muslim untuk mengeksploitasi fatwa ulamak yang senang dan paling mudah. Mereka sengaja mencari keputusan yang paling senang dan paling secocok dengan hawa nafsu mereka. Perkara ini tentunya dibuat tidak berdasarkan dalil-dalil dan hujah-hujah syarak.

Mereka mentarjih dan menentukan satu-satu masalah berdasarkan hawa nafsu mereka dengan berselindung di sebalik slogan : "Dalam masalah ini terdapat khilafiyah. Yakni terdapat dua atau lebih pendapat ulamak yang berselisih faham tentangnya."

Mereka yang mengikut cara sebegini zahirnya selalu berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Mereka juga selalu berpindah dari satu pendapat kepada pendapat yang lain demi mengikut hawa nafsu mereka. Di hadapan manusia mereka berselindung dengan dakwaan mereka mengikut hukum Allah subahanahu wa ta'ala, mengikut sunnah dan pendapat ulamak. Namun hakikatnya, di sisi Allah mereka hanya menunggang hawa nafsu semata-mata.

Firman Allah subahanahu wa ta'ala di dalam al Quran :



أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَڪِيلاً (٤٣) أَمۡ تَحۡسَبُ أَنَّ أَڪۡثَرَهُمۡ يَسۡمَعُونَ أَوۡ يَعۡقِلُونَ‌ۚ إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِيلاً (٤٤)

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (43) Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.
(Surah al Furqan : 43-44)

FirmanNya lagi :

أَفَكُلَّمَا جَآءَكُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَہۡوَىٰٓ أَنفُسُكُمُ ٱسۡتَكۡبَرۡتُمۡ فَفَرِيقً۬ا كَذَّبۡتُمۡ وَفَرِيقً۬ا تَقۡتُلُونَ (٨٧)

Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
(Surah al Baqarah : 87)

FirmanNya lagi :

وَأَرۡسَلۡنَآ إِلَيۡہِمۡ رُسُلاً۬‌ۖ ڪُلَّمَا جَآءَهُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَهۡوَىٰٓ أَنفُسُہُمۡ فَرِيقً۬ا ڪَذَّبُواْ وَفَرِيقً۬ا يَقۡتُلُونَ (٧٠)

(Tetapi) tiap-tiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.
(Surah al Maidah : 70)

FirmanNya lagi :

فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْ‌ۚ وَإِن تَلۡوُ ۥۤاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرً۬ا (١٣٥)

Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
(Surah an Nisa' :135)

FirmanNya lagi :

يَـٰدَاوُ ۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَـٰكَ خَلِيفَةً۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَٱحۡكُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلۡهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.
(Surah Sad : 26)

FirmanNya lagi :

وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ‌ۚ

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya;
(Surah Al A'raf : 176)

FirmanNya lagi :

وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا (٢٨)

dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
(Surah al Kahfi :28)

FirmanNya lagi :



فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهۡوَآءَهُمۡ‌ۚ وَمَنۡ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ بِغَيۡرِ هُدً۬ى مِّنَ ٱللَّهِ‌ۚ

Ertinya : maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah.
(Surah al Qasas : 50)

FirmanNya lagi :

ثُمَّ جَعَلۡنَـٰكَ عَلَىٰ شَرِيعَةٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ فَٱتَّبِعۡهَا وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ (١٨)

Ertinya :
Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).
(Surah al Jatsiah :18)

FirmanNya lagi :

وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٍ۬ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ ڪَثِيرً۬ا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ (٧٧)

dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.
(Surah al Maidah : 77)

Daripada getusan ayat-ayat ini, kita dapat mengetahui bahawa ilmu usuluddin melarang seseorang itu daripada mengikut hawa nafsunya. Dan mencari pendapat yang paling mudah pula satu dari perbuatan mengikut hawa nafsu. Ia sesuatu yang terlarang lagi haram sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulamak.

عن سيدنا أنس رضي الله عنه قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : حفة الجنة بالمكاره, وحفة النار بالشهوات (رواه مسلم )

ertinya :
Daripada saidina Anas RadiyaLlahu 'anhu, RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : "Syurga itu dikelilingi oleh sesuatu yang tidak mengujakan nafsu (di dunia). Manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara yang menyeronokkkan nafsu (di dunia)".
Riwayat Muslim dalam Sahihnya .

Jelas kepada kita bahawa mencari pendapat ulamak yang paling mudah dan mengikut pendapat manusia ramai yang jahil adalah satu perbuatan mengikut hawa nafsu.

Sesungguhnya telah berlaku ijmak di kalangan ulamak muktabar bahawa haram hukumnya bertindak sembrono dalam mengeluarkan fatwa dan menyimpang dari pendapat yang sahih lagi rajih. Maka wajib ke atas ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Dan wajib ke atas setiap ulamak mujtahid mencari dalil yang tepat dalam mengeluarkan sesuatu hukum. dan wajib pula atas setiap muqallid (pengikut) mengikuti dalil yang sahih lagi rajih (paling kuat) dalam lingkungan mazhab imamnya. Marilah kita ikuti beberapa pandangan ulamak mengenai hal ini :

1. Al Imam al Hafiz Ibn Abd al Barr di dalam kitabnya Jami' Bayan al Ilmi wa Fadhluh m/s 112 juz 2 mengatakan :
"Jika anda mengambil setiap pendapat yang paling mudah dari orang alim maka terkumpullah segala kejahatan." Katanya lagi : "Ini adalah ijmak ulamak (kesepakatan semua ulamak)".


2. Imam An Nawawi di dalam kitabnya al Majmu' Syarh al Muhadzhab m/s 55 juz 1 mengatakan :
"Sekiranya seseorang itu dibolehkan mengikuti apa yang dikehendakinya, nescaya perbuatan itu ini akan membawa kepada keinginan untuk mencari keringanan di dalam mazhab. Perbuatan ini sebenarnya hanya menurut hawa nafsu/ Seseorang itu akan mudah memilih antara yang halal, haram, wajib dan harus. Perbuatan ini boleh membawa kepada terungkainya tuntutan taklif."
Kata-kata yang senada juga turut diluahkan oleh Imam al Hafiz Ibn al Solah di dalam kitabnya Adab al Mufti wa al Mustafi' m/s 46 juz 1.

3. Imam an Nawawi sekali lagi di dalam al Majmu' Syarh al Muhadzab m/s 46 juz 1 menegaskan :
"Haram hukumnya bertindak sembrono dalam memberikan fatwa. Dan haram pula bagi mereka yang meminta fatwa daripada orang yang bersikap sembrono itu."


4. Allamah as Syatibi di dalam al Muafaqat m/s 134 juz 4 mengatakan :
"Sesungguhnya mengikut perkara yang paling mudah di dalam mazhab itu akan membawa kepada pegangan yang tidak berdasarkan kepada dalil syarak. Sesungguhnya Ibn Hazm telah menyatakan telah berlaku kesepakatan secara ijmak bahawa perbuatan sedemikian adalah fasiq (kejahatan) dan tidak halal ".


Bagi saya, perkataan Imam al Syatibi "pegangan yang tidak berdasarkan dalil syarak" bermaksud dalil yang tidak muktabar (tidak dikira benar). Contohnya, bagi mereka yang tidak solat, mereka pergunakan satu ayat yang berbunyi :

فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡمُصَلِّينَ (٤)

Ertinya : maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang; (Surah al Ma'un : 4)

Ini adalah satu contoh pengambilan dalil yang salah.

5. Imam al Hafiz al Zahabi di dalam kitabnya Siyar A'lam al Nubala' m/s 90 juz 8 mengatakan :
"Barangsiapa yang mencari kemudahan dalam mazhab dengan kekeliruan ulamak mujtahid.. maka tipislah agamanya. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Auza'ie dan lain-lain yang berbunyi : "Sesiapa yang mengambil pendapat ulamak Makkah tentang kebenaran nikah mut'ah (sinonim denga amalan pengikut Syi'ah), pendapat para ulamak Kufah tentang arak dan pendapat para ulamak Madinah tentang nyanyian serta pendapat ulamak Syam(Jordan, Palestin dan Syiria) tentang maksumnya khalifah yang empat, maka sesungguhnya dia telah mengumpul kejahatan. Dan demikian juga bari mereka yang menghalalkan jual beli riba, nikah, talak dan sebagainya. Kesemua ini membawa kepada kehancuran. Marilah kita memohon taufiq dan hidayah dari Allah subahanahu wa ta'ala".


6. Imam al Hafiz Taqiyuddin al Subki di dalam fatwanya m/s 147 juz 1 mengatakan :
"Bagi mereka yang mengambil pendapat yang mudah di dalam mazhab: mereka akan menikmatinya dengan sedap kerana sebenarnya mereka mengikut hawa nafsu dan bukan mengikut agamanya."


Bagi saya, pendapat ini merangkumi sikap sesetengah kita yang memilih pendapat ulamak yang paling lemah dan ringan dalam satu mazhab yang dikira sesuai dengan ciratasa mereka.

Sumber : Dr Hassan Ali al Saqqaf, Sifat Solat Nabi Yang Sahih, Cetakan Ketiga 2011, Zamihan Mat Zain, Selangor.

Bacaan Tambahan :

Soalan : Apakah hukum bertaqlid kepada seorang Imam dalam satu masalah dan kemudiannya bertaqlid kepada Imam lain dalam masalah yang lain pula?

Jawapan : Inilah yang dinamakan talfiq. Sebahagian ulama membenarkannya dan sebahagian yang lain melarangnya. Pada pandangan saya. sekiranya talfiq ini bertujuan mencari hukum yang termudah dan yang bertepatan serta disukai oleh hawa nafsu tanpa mengira dalil, maka hukumnya adalah tidak harus.

Para salaf telah berkata :
"Orang yang mencari rukhsah(Keringanan) daripada mazhab-mazhab adalah fasiq."

Sebagai contoh : Seseorang yang mengambil pendapat mazhab tertentu apabila kepentingannya terdapat di dalam pendapat tersebut seperti seorang lelaki mengambil pendapat Abu Hanifah yang mengatakan jiran mempunyai syuf'ah bagi membolehkannya memiliki rumah jiran sebelahnya. Tetapi jika pendapat mazhab tersebut mendatangkan maslahat kepada jirannya, dia akan mengambil pendapat sebaliknya iaitu jika dalam masalah yang sebaliknya.

Dia berkata : " Aku mengambil pendapat Imam Syafi'ie dan aku menolak pendapat lainnya." Ini adalah kerana dia mengikut hawa nafsunya, mempermain-mainkan agama dan menjadikan mazhab-mazhab sebagai hamba kepada kepentingannya.

Seorang Mukmin sepatutnya sentiasa bersama-sama kebenaran sama ada kebenaran itu baginya atau ke atasnya (zahirnya menguntung atau merugikannya). ALlah telah mencela kaum Munafiq di dalam firmannya yang berertii :
"Dan (dia antara orang-orang yang tidak dikehendakinya ke jalan yang lurus ialah mereka yang berkata :"Kami beriman kepada ALLah dan kepada RasulNya serta kami taat, kemudian segolongan dari mereka berpaling (membelakangkan perintah ALLah dan Rasul) Sesudah pengakuan itu dan (Kerana berpalingnya Tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman. Dan (Bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada kitab ALlah dan sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta segolongan dari mereka berpaling engkar (menolak ajakan itu kiranya keputusan tidak menguntungkan mereka). Dan (sebaliknya) jika keputusan itu mmeberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya denan tunduk dan ta'at (menerima hukumannya)"
(Surah An Nur : 47-19)

Kaum ini mahukan kebenaran mengikut mereka, bukannya mereka mengikut kebenaran seperti yang dilakukan oleh Mukmin sebenar.

Adapun sekiranya seseorang itu mengikut pendapat yang paling betul (rajih) pada pandangannya (dari segi dalil dan hujah) dan paling kuat pada penilaian hatinya, bolehlah dia mengikut pandangan Abu Hanifah yang mengatakan bahawa menyentuh perempuan tidak membatalkan wuduk, pandangan Syafi'e yang mengatakan bahawa keluar darah tidak membatalkan wuduk dan pandangan Maliki yang mengatakan bahawa Air tidak akan najis melainkan apabila berubah warna, bau atau rasa, setelah dia merasa tenang dengan dalil-dalilnya. - (Tambahan dari admin : Orang yang sebegini sebenarnya telah mencapai satu taraf sebagai mujtahid tarjih. Imam as Syatibi menyatakan :

Ia belum mencapai tingkat ijtihad tetapi mampu memahami dalil dan mampu melakukan tarjih. Untuk golongan ketiga ini, kita perlu melihat keadaannya. Bila berkemampuan tarjihnya dapat dianggap memenuhi syarat, bererti ia adalah mujtahid sebab hakikat mujtahid hanyalah mengikuti ilmu dan menganalisisnya. Jadi orang yang mampu melakukan tarjih dan dapat diterima hasil tarjihnya adalah seorang mujtahid.

Akan tetapi, bila tarjihnya masih belum dapat diterima, keadaannya adalah sama dengan orang awam. Hal ini kerana orang awam mengikut mujtahid untuk mendapatkan kebenaran ilmu yang tidak mampu ia lakukan sendiri. Demikianlah halnya orang yang tarjihnya masih belum diterima . ( Al I'tisham, susunan Imam Asy Syatibi, jilid III, hlmn 250))

Inilah fatwa saya. Semoga ALlah memudahkan kita untuk memahami agama-Nya. Sesiapa yang ALlah hendak berikan kebaikan akan diberi kefahaman dalam agama. Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad, keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Rujukan : Feqh Mu'asaroh - Fatwa Masakini Jilid 5&6 - Dr Yusuf al Qardhawi