CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 3 Mei 2010

Menamakan Anak : Panduan Dan Hukumnya Bab Akhir

MENAMAKAN ANAK: PANDUAN DAN HUKUMNYA
(BILANGAN 253 BAHAGIAN AKHIR )

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Nama-Nama Yang Makruh Digunakan

Makruh menamakan anak atau menggunakan nama yang tidak elok maknanya dan nama yang dianggap buruk pada adat kebiasaan seperti Harb " حرب " (perang), Murrah " مرة " (pahit), ‘Ashyiah عاصية" "(yang membuat maksiat), Kalb " كلب " (anjing) dan sebagainya.

Menamakan anak dengan nama-nama seperti ini tidak syak lagi akan memberikan impak yang negatif terhadap diri mereka yang mempunyai nama tersebut kerana ianya akan membuatkan mereka merasa malu, terhina, rendah diri dan sebagainya. Tidak mustahil juga ianya boleh menjejaskan kedudukan orang itu di mata masyarakat.

Nama-Nama Yang Haram Digunakan

Menggunakan nama-nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti ‘Abdussyams عبدالشمس" " (hamba matahari), ‘Abdulhusain " عبدالحسين " (hamba Husain), ‘Abdulka‘bah " عبدالكعبة " (hamba ka‘bah) dan yang seumpamanya hukumnya adalah haram.

Begitu juga haram menggunakan nama-nama yang khusus bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala seperti Allah " الله ", Ar-Rahman " ,"الرحمن Al-Ilaah " الإله " dan Ar-Rabb " الرب " , kecuali jika ditambah dengan perkataan ‘Abd " عبد " sebelum nama-nama tersebut seperti ‘Abdullah " عبدالله ", ‘Abdurrahman " عبدالرحمن ", ‘Abdul’ilaah " عبدالإله " dan ‘Abdurrabb " عبدالرب " . (Fatwa: 96/1982)

Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang hanya layak dimiliki oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja seperti Malikulamlak " ملك الأملاك " (raja segala raja), Khaliqulkhalq "خاالق الخلق" (pencipta seluruh makhluk) dan nama-nama lain yang menyerupai makna nama-nama tersebut.

Abu Hurairah Radhiallau ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

َأ ْ غيَ ُ ظ رَجُلٍ عََلى اللهِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ وََأخْبَُثهُ وََأ ْ غيَ ُ ظهُ عََليْهِ رَجُ ٌ ل َ كا َ ن يُسَمَّى مَلِكُ
الأَمْ َ لاكِ ، َ لا مَلِكَ إِلاَّ اللَّهُ.
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Lelaki yang paling dimurkai di sisi Allah pada hari Kiamat dan yang paling buruk dan paling Allah murka ke atasnya ialah lelaki yang diberi nama Malikulamlak. Tiada Raja Yang Maha Memiliki Kekuasaan melainkan Allah.”

(Hadits riwayat Muslim)

Larangan daripada menggunakan nama-nama seumpama ini tidak hanya terbatas dalam bahasa Arab sahaja, ini termasuk juga bagi nama-nama dalam bahasa lain yang sama maknanya dengan namanama yang diharamkan itu.

Menukarkan Nama Dengan Nama Yang Lebih Baik

Menurut ulama, sunat menukarkan nama dengan nama yang lebih baik kerana terdapat banyak hadits yang menyebutkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak menukarkan namanama para sahabat Baginda dengan nama-nama yang lebih baik.

Baginda menukarkan nama ‘Ashyiah " عاصية " (yang membuat maksiat) kepada Jamilah " جميلة " (yang cantik), Harb " "حرب (peperangan) kepada Silm " سلم " (aman sejahtera), Hazn " "حزن (sedih) kepada Sahl " سهل " (senang) dan banyak lagi.

Bagaimanapun, wajib diubah nama-nama yang haram digunakan kerana mengubah nama yang haram itu adalah sebahagian daripada perkara menghilangkan mungkar. (Fatwa: 24/1984)

Memanggil Seseorang Dengan Nama Singkatan Disebutkan dalam kitab al-Majmu‘ dan al-Adzkar bahawa diharuskan memanggil seseorang dengan nama singkatan, iaitu dengan hanya menyebutkan sebahagian daripada nama penuhnya jika perbuatan tersebut tidak melukakan hati tuannya.

Perkara ini disepakati oleh para ulama, kerana telah sabit bahwasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memanggil beberapa orang sahabat dengan nama singkatan, misalnya Baginda pernah memanggil Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu dengan sabda Baginda " يا أبا هر " (Wahai Abu Hirr) dan Baginda pernah memanggil Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha dengan sabda Baginda "ياعائش" (Wahai ‘A’isy).

Memberikan Gelaran Kepada Seseorang

Para ulama sepakat mengatakan bahawa tidak ditegah bahkan dianjurkan menggelar seseorang dengan gelaran yang baik dan yang disukainya. Ini kerana para sahabat telah digelar dengan beberapa gelaran, misalnya Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu digelarkan dengan ‘Atiq " عتيق " (yang dimerdekakan daripada api neraka), Sayyidina Umar bin Al-Khattab Radhiallahu ‘anhu digelarkan dengan al-Faaruuq " الفاروق " (yang membezakan kebenaran daripada kebatilan), Sayyidina Hamzah Radhiallahu ‘anhu digelarkan sebagai Asadullah " أسد الله " (singa Allah) dan banyak lagi.

Manakala menggelarkan seseorang dengan gelaran yang tidak baik dan tidak disukainya pula, para ulama telah bersepakat mengatakannya haram. Gelaran-gelaran ini tidak kira sama ada ianya adalah disebabkan kekurangan orang itu sendiri seperti buta, rabun, bisu, tuli, bongkok dan sebagainya ataupun disebabkan ianya merupakan sifat orang-orang yang berkaitan dengan dirinya seperti kedua ibubapanya. Termasuklah juga apa-apa sahaja gelaran lain yang mana gelaran tersebut tidak baik ataupun tidak disukainya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:
“Dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.”
(Al-Hujuraat: 11)

Manakala jika digunakan gelaran tersebut bagi mengenalkan dirinya kepada orang lain yang tidak mengenalinya kecuali dengan gelaran tersebut maka para ulama bersepakat mengharuskannya.

Memanggil Orang Yang Tidak Dikenali Atau Tidak Diketahui Namanya

Jika ingin memanggil seseorang yang tidak dikenali ataupun tidak diketahui namanya pula, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah hendaklah dipanggil dia dengan gelaran yang tidak menyakiti atau melukai hatinya seperti “wahai saudaraku”, “wahai tuan”, “wahai kawan”, “wahai yang memakai baju putih”, “wahai hamba Allah” dan lain-lain gelaran seumpamanya yang bersesuaian dengan keadaan orang yang dipanggil itu.

Penutup

Memberi dan menggunakan nama yang baik dan berunsur keislaman itu sememangnya sangat penting untuk diambil perhatian oleh setiap kaum muslimin. Ini kerana nama yang baik dan berunsur keislaman itu akan mendatangkan pengaruh yang baik. Manakala sebaliknya pula nama-nama yang buruk itu boleh mendatangkan pengaruh yang kurang baik sama ada pada diri sendiri atau keluarganya mahupun masyarakat seperti dipersendaguraukan nama berkenaan.

Dari itu, sewajarnyalah para ibu bapa meneliti dengan lebih mendalam nama-nama yang ingin diberikan kepada anak-anak mereka menurut panduan yang telah disediakan oleh para ulama. Manakala orang yang memiliki nama yang tidak baik pula sepatutnya menukarkan nama mereka dengan nama yang lebih baik kerana menukarkan nama yang tidak baik dengan nama yang lebih baik itu merupakan suatu sunnah dan saranan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Bahkan ada kala menukar nama itu wajib.

Sumber : Mufti Brunei

Rabu, 28 April 2010

Menamakan Anak : Panduan Dan Hukumnya Bab 1

MENAMAKAN ANAK: PANDUAN DAN HUKUMNYA (BILANGAN 253 BAHAGIAN PERTAMA)

بسم الله، والحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seorang insan. Dengan nama itulah dia akan dikenali. Dengan nama itu jugalah dia akan dipanggil pada hari akhirat. Kerana itu nama bukan perkara kecil. Malahan ia boleh melibatkan hukum larangan jika nama yang diberikan itu tidak menepati ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Nama juga merupakan simbol khusus yang dapat membezakan diri seseorang itu daripada orang lain. Bahkan dengan nama juga seseorang itu boleh dikenali agamanya, sama ada Islam ataupun bukan. Nama juga boleh mempengaruhi atau mencerminkan sifat dan keperibadian orang yang empunya nama. Oleh sebab itu, nama merupakan antara perkara yang terawal sekali diberi perhatian untuk anak yang baru lahir. Sejak anak damit masih dalam kandungan lagi para ibubapa sudah mencari dan merancang dengan teliti nama yang akan diberikan kepada anak mereka yang akan lahir.

Trend menamakan anak dengan nama-nama yang panjang lagi susah disebut eloklah difikirkan. Sebutan yang salah akan menukar makna nama tersebut kepada makna yang lain pula. Oleh itu, Islam telah menyediakan panduan yang khusus dan hukum-hukum yang berkaitan dengan pemberian nama ini.

Waktu Yang Paling Afdhal Menamakan Anak Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitab al-Adzkar, sunat diberikan nama kepada anak pada hari ketujuh ataupun pada hari kelahirannya berdasarkan hadits-hadits yang shahih dan harus menamakan anak sebelum atau selepas hari ketujuh. Imam al-Bukhari Rahimahullah pula mengkhususkan waktu memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran adalah bagi ibubapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka.

Perkara ini berlaku kepada Ibrahim Radhiallahu ‘anhu putera Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, ‘Abdullah bin az-Zubair Radhiallahu ‘anhuma dan beberapa anak para sahabat yang lainnya. Sementara bagi ibubapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama hingga ke hari yang ke tujuh. Pendapat ini disokong oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalaani Rahimahullah dalam kitabnya Fath al-Bari. Begitu juga sunat diberikan nama kepada anak damit yang meninggal sebelum sempat diberikan nama.

Sunat juga diberikan nama kepada as-siqth iaitu kandungan yang gugur yang telah ditiupkan roh kepadanya menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah. Jika belum dapat dikenal pasti jantina as-siqth itu sama ada lelaki atau perempuan, maka dinamakan dia dengan nama yang sesuai untuk keduanya seperti Hindun " هند " dan Thalhah ."طلحة"

Memilih Nama Yang Baik

Sunat menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad Rahimahumallah daripada Abu ad-Darda‘ Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

إِنَّ ُ كمْ تُدْعَوْ َ ن يَوْمَ اْلقِيَامَةِ بَِأسْمَائِ ُ كمْ وََأسْمَاءِ آبَائِ ُ كمْ ، َفحَسِّنُوْا َأسْمَاءَ ُ كمْ.

(رواه أبو داود وأحمد)

Maksudnya:
“Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu,maka perelokkanlah nama-nama kamu.”
(Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Nama Yang Paling Disukai Oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala

Sebaik-baik nama dan yang paling disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala ialah ‘Abdullah " عبد الله " dan ‘Abdurrahman " "عبد الرحمن sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

َأحَبُّ الأَسْمَاءِ إَِلى اللهِ تَعَاَلى عَبْدُ اللهِِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ.

(رواه أبو داود)

Maksudnya:
“Nama-nama yang paling disukai di sisi Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Sebaik-baik nama selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman ini pula ialah nama-nama ‘Abd " عبد " (hamba) yang disandarkan kepada nama-nama Allah yang sembilan puluh sembilan (al-Asma ‘alHusna) seperti ‘Abdurrahim " عبدالرحيم ", ‘Abdulmalik " ,"عبدالملك‘Abdussalam " عبدالسلام " dan yang seumpamanya. (Fatwa: 24/1984)

Menurut Imam al-Qurthubi Rahimahullah, nama-nama sebegini memiliki kelebihan, kerana ianya menggabungkan sifat-sifat yang wajib bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan sifat yang wajib bagi manusia iaitu ‘ubudiyyah (penghambaan). Manakala nama Muhammad " محمد " dan kemudian nama Ahmad " أحمد " pula adalah nama yang paling afdhal selepas nama-nama tersebut. (Fatwa: 24/1984)

Menggunakan Nama-Nama Para Nabi Dan Para Malaikat

Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata bahawa menurut mazhab as-Syafi‘e dan jumhur ulama, harus menamakan anak dengan nama-nama para nabi dan begitu juga nama-nama para malaikat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyarankan untuk menamakan anak dengan nama para nabi. Ini jelas sebagaimana sabda Baginda:

تَسَمَّوا بَِأسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ.

(رواه أبو داود)

Maksudnya:
“Bernamalah kamu dengan nama-nama para Nabi.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Bahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri telah menamakan putera Baginda sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Ibrahim ‘alaihissalam. Diceritakan juga dalam kitab al-Adab al- Mufrad bahawa Baginda menamakan seorang sahabat Baginda
sempena nama seorang nabi iaitu Nabi Yusuf ‘alaihissalam.

Abu Hurairah dan Jabir Radhiallahu ‘anhuma pula telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

سَمُّوا بِاسْمِي وَ َ لا تَ ْ كتَنُوا بِ ُ كنْيَتِي.

(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya:
“Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku.”
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menamakan anak dengan nama Muhammad mempunyai banyak kelebihan. Kata ulama:
Bahkan nama Muhammad mengandungi beberapa kelebihan yang sangat tinggi, sayugia tiada kosong dari nama Muhammad itu di dalam sesuatu keluarga.
(Fatwa: 66/91)

Imam asy-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu ketika menamakan anak beliau dengan nama Muhammad berkata:
“Aku menamakannya dengan nama yang paling aku sukai.”
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, maksud kata Imam as-Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu “nama yang paling aku sukai” itu ialah nama yang paling disukainya selepas nama ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.

Perlu diingat, nama Muhammad itu nama yang baik lagi mulia. Oleh itu jangan dipotong-potong atau diringkaskan ejaannya sehingga menjadi seperti “Md.” atau “Mohd.”, kerana perbuatan itu tiada berkat dan kurang adab terhadap Nabi Muhammad
Shallallahu ‘alaihi wasallam. (Fatwa: 66/1991)

Sumber : Mufti Brunei

Isnin, 26 April 2010

Kenapa Menengadahkan Tangan ke Langit Ketika Berdoa?

Oleh : Thoriq

Salah satu ulama Al Azhar, Al Muhaddits Syeikh Ahmad bin Shiddiq Al Ghumari Al Maghribi (1380 H) telah menyebutkan alasan kenapa disyariatkan menengadahkan tangan ke langit saat berdoa. Dalam beliau, Al Manhu Al Mathlubah fi Istihbabi Raf’i Al Yadaini fi Ad Du’a` ba’da As Shalawati Al Maktubah (hal.61), beliau mengatakan,
”Jika ada yang mengatakan,’kalau Allah Ta’ala terbebas dari arah, lantas kenapa menengadahkan tangan ke langit saat berdoa?’”









Beliau menjawab pertanyaan itu dengan jawaban Imam At Thurthusi (529 H), ulama Malikiyah dari Iskandariyah, yang termaktub dalam Ithaf As Sadah Al Muttaqin, syarah Ihya Ulum Ad Din (5/34,35). Dalam jawaban itu, At Thurthusi memberikan dua jawaban:

Pertama:

Hal itu berkenaan dengan masalah ubudiyah, seperti menghadap kiblat saat melaksanakan shalat, dan meletakkan kening ke bumi saat sujud, yang juga mensucikan Allah dari tempat, baik itu Ka’bah maupun tempat sujud. Sehingga, seakan-akan langit merupakan kiblat saat berdoa.

Kedua :

Karena langit adalah tempat turunnya rizki, rahmat dan keberkahan, sebagaimana hujan turun dari langit ke bumi. Demikian pula, langit merupakan tempat para malaikat, dimana Allah memutuskan maka perintah itu tertuju kepada mereka, hingga mereka menurunkannya ke penduduk bumi. Ringkasnya, langit adalah tempat pelaksanaan keputusan, maka doa ditujukan ke langit.

Jawaban At Thurtusi di atas sejatinya merujuk kepada jawaban Al Qadhi Ibnu Qurai’ah (367 H), saat ditanya oleh Al Wazir Al Muhallabi (352 H), seorang menteri Baghdad yang amat dekat dengan para ulama. Dimana suatu saat Al Muhallabi menanyakan,

“Saya melihatmu menengadahkan tangan ke langit dan merendahkan kening ke bumi, di mana sebenarnya Dia (Allah Ta’ala)?

Ibnu Qurai’ah menjawab,

”Sesungguhnya kami menengadahkan tangan ke tempat-tempat turunnya rizki. Dan merendahkan kening-kening kami ke tempat berakhirnya jasad-jasad kami. Yang pertama untuk meminta rizki, yang ke dua untuk menghindari keburukan tempat kematian. Tidakkah engkau mendengar firman Allah Ta’ala (yang maknanya),”Dan di langit rizki kalian dan apa-apa yang dijanjikan.”
(Ad Dzariayat: 22). Dan Allah Ta’ala berfirman (yang maknanya),
”Darinya Kami ciptakan kalian, dan padanya Kami kembalikan kalian.”
(Thaha: 55).
_______________________
Dinukil dari Al Manhu Al Mathlubah fi Istihbabi Raf’i Al Yadaini fi Ad Du’a` ba’da As Shalawati Al Maktubah, Maktab Al Mathbu’at Al Islamiyah, cet 2 (2004) dengan tahqiq Syeikh Al Muhaddits Abdu Al Fattah Abu Ghuddah.

Sumber : Http://almanar.wordpress.com

Ahad, 25 April 2010

Apabila Perkara Yang Tidak Utama Lebih Dipentingkan Dari Perkara Yang Lebih Utama














Oleh :
Mufti Perak

Pada minggu lepas, saya berkesempatan menyampaikan ucaptama sempena Seminar Fiqh Awlawiyyat anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak dan Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Perak. Seminar tersebut memberi ruang kepada saya untuk menampilkan beberapa idea dan pendekatan yang telah lama saya uar-uarkan kepada masyarakat sebagai rujukan umat Islam seluruhnya.

Dalam hal ini, ulama tersohor Dr. Yusuf al-Qaradawi memberikan takrif Fiqh Awlawiyat sebagai "menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudiankan apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil."

Firman Allah S.WT. di dalam surah Al-Taubah ayat 19 mafhumnya:
Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.


Ketika ini umat Islam telah hilang punca asas pertimbangan dalam menilai keutamaan daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya. Kehilangan punca bukan sahaja meliputi masyarakat umum, bahkan para cendiakawan dan cerdik pandai serta para pemimpin sendiri pun adakalanya menghadapi permasalahan dalam menentukan keutamaan sesuatu perkara.

Bagi para remaja contohnya lebih menekankan hal-hal berkaitan dengan sukan dan hiburan sebagai matlamat hidup mereka daripada mendahulukan diri dengan mengejar ilmu pengetahuan. Yang sepatutnya disanjung bukan lagi golongan ilmuwan atau intelek. Tetapi ahli sukan dan artis-artis diangkat dan dicontohi sebagai idola. Hari ini hiburan diutamakan daripada pendidikan. Lebih banyak majalah hiburan berbanding majalah yang mendidik masyarakat di pasaran. Begitu dengan program televisyen didominasi oleh rancangan hiburan yang menjadi sajian dan "makanan harian" yang dipertonton dan diprogramkan kepada masyarakat. Jika ada rancangan yang mendidik masyarakat ia tidak disiarkan pada waktu perdana, tetapi larut malam mahupun awal pagi. Islam tidak melarang hiburan, namun keutamaan hiburan tidak boleh dilebihkan daripada pendidikan sehingga masyarakat lalai dengan hiburan. Fenomena tersebut jelas membuktikan kejahilan masyarakat terhadap dimensi prioriti yang sedia ada dalam Islam.

Dalam amalan ibadat pula masyarakat kita masih sibuk membahaskan aspek khilafiah yang tidak akan berkesudahan. Dalam rancangan soal-jawab di radio yang dihadiri oleh saya, soalan-soalannya masih berkisar tentang masalah meninggalkan qunut, bidaah mengadakan tahlil, talqin yang merupakan masalah furu' dan khilafiah. Sedangkan kita berdepan dengan masalah riba yang terang-terang haram dalam kewangan dan insurans kita. Termasuk juga masalah perpecahan umat yang pada pengamatan saya perlu kepada usaha yang gigih terutamanya para umara dan ulama bagi menyatupadukan masyarakat Islam terutamanya umat Melayu.

Bijak pandai

Di kalangan bijak pandai tidak kurang juga berhadapan dengan kecelaruan pemikiran dalam memahami keutamaan sesuatu perkara. Bila saya menekuni isu-isu mutakhir ini termasuk kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa antara agama, saya mengharapkan agar para ulama bersama-sama menyumbang idea dan pemikiran membantah penubuhan jawatankuasa tersebut. Akan tetapi pada masa yang sama kita disibukkan dengan boleh atau tidak meminum atau menyapu air ludah ustaz yang tidak pasti sama ada ia berlaku atau tidak. Secara prinsipnya, saya tidak menghalang aduan tersebut, namun ketika masyarakat Islam menghadapi tuntutan yang pelbagai yang dikhuatiri merendahkan martabat Islam, kita disibukkan dengan isu-isu yang bukannya tidak penting, akan tetapi ada lagi perkara yang lebih penting dari itu.

Begitu juga kita masih tertinggal di belakang terutama dalam menguasai segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Akhirnya disebabkan kejahilan kita dan kelemahan para ulama dan umara, maka Islam terus menerus lemah dan ketinggalan sehinggakan ruang yang diberikan Allah Taala dalam bidang fiqh seperti ijtihad dan hukum, terus beku serta hilangnya kedinamikan syariat Islam yang sebenarnya boleh melumpuhkan penyebaran Islam itu sendiri, seperti yang berlaku pada dunia Islam hari ini.

Dilihat dalam soal beribadah, masyarakat lebih menumpukan kepada ibadat sunat dari ibadat fardu. Manakala jka dilihat dari sudut berhubung dengan nilai-nilai kemasyarakatan pula, aspek fiqh keutamaan ini tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Masyarakat kita lebih mementingkan ibadat fardu yang bersifat nafsi-nafsi semata-mata lantas meminggirkan konsep ibadat yang lebih global di luar ruang lingkup diri. Ibadat fardu yang berasaskan prinsip jemaah seperti hak-hak jiran, kemanusiaan dan kenegaraan yang masih terabai. Kumpulan diutamakan dari ummah, furu' diutamakan dari usul.

Melakukan perbandingan kepelbagaian konsep Masalih atau Manafi' di mana hakikat Masalih itu ada tingkatannya tersendiri yang meliputi konsep daruriyyat, hajiat dan tahsiniyyat. Melakukan perbandingan kepelbagaian konsep Mafasid atau Darar di mana hakikat Mafasid itu juga menyentuh tingkatannya yang meliputi konsep daruriyyat, hajiat dan tahsiniyyat. Melakukan perbandingan antara kepelbagaian Masalih dan Mafasid di mana keputusan yang diambil mengikut kadar yang lebih banyak dan majoriti kerana kadar majoriti boleh menentukan hukum bagi keseluruhan bahagian.

Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan, suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak patut dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan lain perkataan tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan. Allah SWT. berfirman yang bermaksud:
Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.
(Surah al-Rahman: 7-9)


Sumber : Utusan Malaysia

Jumaat, 23 April 2010

Mungkin Dia Sebenarnya Temanmu















Kawan, sahabat, rakan, geng, saing, teman, dan bermacam istilah diberikan untuk orang yang boleh berkongsi jiwa dan rasa. Begitu jugalah yang dapat memberikan 'sesuatu' pada diri sendiri. Samada berbentuk input rohani, jasmani, atau juga input buah fikiran.

Kawan amat kuat pengaruhnya pada diri individu. Tambahan pula yang baharu hendak kenal dunia, yang baharu hendak bertatih dalam alam yang selama ini 'asing' bagi dirinya. Dan begitulah siapa sahaja yang berada di sekeliling berpotensi untuk menjadi seorang kawan. Samada beliau boleh diharap atau diri sendiri yang tinggal berharap.

Cuba tanya sendiri - dalam beberapa waktu ini, masih ada atau tidak hubungan hati dengan mereka yang dipanggil kawan, teman, sahabat dan yang sewaktu dengannya itu? Atau sebenarnya perlahan-lahan ingatan terhadap mereka semakin menghilang di telan waktu? Dan jangan terkejut terkadang tiba-tiba menerima sms dari kawan yang dahulu tidak kunjung berita. Cuma kali ini tujuan menyapa adalah untuk membawa 'bisnes punya cerita'. - Sekiranya ini pernah menimpa juga - sabarkanlah dulu jiwa. Semoga ALlah menenangkan hati kita setenang-tenangnya dengan kawan seperti ini.

Untuk mencari kawan memang mudah (ini bagi yang peramah), atau sukar (bagi yang masih 'berat mulut', mungkin juga malu kerana jarang berhubungan dengan manusia) adalah dari diri sendiri juga datangnya. Malahan tentu guru di sekolah pernah berceloteh panjang bercerita tentang bagaimana cara mencari seorang kawan atau teman. Atau ibu dan ayah pernah menasihati 'cari kawan yang macam nih', jangan berkawan dengan orang yang macam itu'. Selagi nasihat dijadikan bekalan insya ALlah selamatlah diri dalam menyelusuri kehidupan. Tetapi jika perkataan yang baik itu hanya lepas di pelipis telinga, takut bahaya sedang menanti di hadapan sana.


RasuluLLah pernah bersabda yang bererti :
"Seseorang itu akan mengikuti agama sahabatnya, oleh kerana itu, setiap orang dari kamu sekalian hendaknya memperhatikan siapa yang ia jadikan sebagai teman

(Hadith riwayat At Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad)

Teman yang berbau wangi atau berbau besi

Telah disebutkan oleh Habib AbduLlah bin Alwi al Haddad :

Sabdaan RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam yang bererti :


"Permisalan teman duduk yang baik adalah seperti penjual haruman misk (wangian yang paling mahal dan harum). Boleh jadi dia memberimu, atau engkau membeli wangiannya atau engkau mencium keharuman wangiannya. Sedangkan misalan teman duduk yang buruk adalah seperti tukang besi. Boleh jadi dia membakar pakaianmu, atau engkau akan mencium aroma busuk darinya "

(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim dengan matan sedikit berbeza)

Barangsiapa yang ingin mengetahui bagaimana pengaruh pergaulan dengan temannya tersebut apakah ia dapat menguatkan iman, kesedaran beragama dan amalnya, ataupun sebaliknya. Maka hendaklah bandingkan keadaannya setelah bergaul dengan orang itu dengan keadaan sebelum ia bergaul dengannya.

Jika setelah bergaul dengannya ternyata sendi iman, akhlak, niat-niat baik untuk beramal semakin kuat dan kukuh. Sedangkan keburukan dan kejahatannya semakin kecil, maka pergaulan dan persahabatannya itu bermanfaat bagi agama dan hatinya. Jika pergaulan itu diteruskan, maka Insya aLlah ia akan memperolehi manfaat yang sangat besar dan kebaikan yang sangat banyak.

Jika setelah bergaul dengannya ternyata sendi-sendi keagamaannya menjadi semakin lemah dan menurun, sedangkan kejahatan dan keburukannya semakin banyak. Maka pergaulan tersebut telah membahayakan agama dan hatinya secara nyata. Sekiranya pergaulan tersebut dilanjutkan, maka akan membawa keburukan dan bahaya besar baginya. Semoga ALlah melindungi kita darinya.

Timbanglah semua pergaulan dengan apa yang telah kami sebutkan di atas. Dan perlu diketahui, ketentuan di atas berlaku sesuai dengan mana yang lebih kuat.

Ertinya, selama kebaikan lebih kuat, maka diharapkan pergaulan tersebut mampu menarik orang-orang jahat untuk menjadi baik. Dan selama keburukan lebih kuat, maka dikhuatiri orang baik yang bergaul dengan penderhaka tersebut akan mengikutinya dan menjadi buruk.

Permasalahan ini sangat pelik, orang-orang yang memiliki mata hati yang jernih akan memahaminya. Diperlukan waktu yang banyak untuk membahaskannya secara terperinci.


Habib AbduLLah bin Alwi al Haddad, Al Fushulul Ilmiyyah Wal Ushulul Hikamiyyah, Darul Hawi, cet 2, 1998, hal 106.


Tunggulah juga, di waktu dalam kesusahan, di waktu datangnya ujian, di waktu datang kesedihan. Akan dikenal siapa kawan dan siapa lawan. Biarpun mungkin satu hari nanti bila terjadi 'kekecohan' dengan kawan. Berikan sedikit ruang di dalam hati untuk memaafkan. Masa terlalu sempit untuk berlama-lama dalam bermusuhan.

Isnin, 19 April 2010

Kecemerlangan, Kegigihan dan Keasyikan Ulama Bab 2

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Antara kitab menarik mengenai kecemerlangan dan kegigihan ulama serta keasyikan mereka terhadap ilmu ialah kitab Sur’ah al-Qira’ah wa al-Sabr ‘ala al-Sama’ oleh Dr. Muhammad ibn ‘Azuz (2007). Di bawah ini saya senaraikan sebahagian dari ringkasan maklumatnya.

1. Membaca kitab dalam satu majlis.

  1. Imam Ishaq bin Ibrahim bin Rahawaih (m. 238H). Beliau mengulang semula kepada Ibrahim bin Abi Talib apa yang dibacanya dalam sebuah majlis sambil bersandar pada bingkai pintu rumahnya.
  2. Imam Abu ‘Isa al-Tirmidhi (m. 279H). Beliau membaca 2 juzuk kitab hadith daripada hafalannya kepada seorang syeikh dalam satu majlis.
  3. al-Hafiz Ibrahim bin Muhammad al-Hadhrami al-Qurtubi (m. 396H). Beliau menyempurnakan 52 juzuk kitab hadith dalam majlis pengajiannya antara zohor dan asar setiap hari.
  4. al-Hafiz Ahmad bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abdullah al-Khawlani (m. 430H). Beliau membaca sebuah kitab dari hafalannya dalam satu majlis.
  5. al-Qadhi ‘Iyadh (m. 544H). Beliau membaca sebuah kitab dalam dua jilid dalam masa satu malam.
  6. al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn ‘Asakir (m. 571H). Beliau membaca dari hafalannya kitab al-Ba’thu wa al-Nusyur oleh Ibn Abi Dawud dalam satu majlis.
  7. al-Hafiz Abu Musa al-Madini (m. 581H). Beliau menghafal kitab ‘Ulum al-Hadith oleh al-Hakim dan membacanya di hadapan Isma’il al-Taymi dalam satu majlis.
  8. al-Hafiz Abu ‘Abdillah Ibn al-Hanbali (m. 657H). Beliau membaca kitab al-Muntakhab di hadapan Ibn al-Jawzi dari hafalannya dalam satu majlis.
  9. Imam Ibn Daqiq al-‘Id (m. 702H). Adakalanya beliau menelaah pada sepanjang malam satu atau dua buah jilid kitab.
  10. al-Hafiz Ahmad bin ‘Abdul Halim ibn Taymiyyah (m. 728H). Beliau telah menghafal kitab Jannah al-Munazir dalam satu hari.
  11. al-Hafiz Siraj a-Din al-Bulqini (m. 805H). Beliau pernah berkata: “Adakalanya saya menelaah satu jilid kitab seluruhnya dalam satu masa dan habis sebelum isyak”.
  12. al-Hafiz Abu al-Qasim ‘Abdul ‘Aziz bin Musa al-‘Abdusi al-Fasi (m. 837H). Beliau telah membaca Sahih al-Bukhari dalam masa sehari.
  13. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 852H). Beliau telah membaca kitab al-Mu’jam al-Saghir oleh al-Tabarani dalam satu majlis antara solat zohor dan asar.
  14. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti (m. 911H). Beliau telah mempelajari kitab Musnad al-Syafi’i daripada al-Qamsi dalam masa sehari.
  15. ‘Allamah Abu Bakr Ahmad Ba‘alawi (m. 1053H). Beliau telah menelaah satu jilid kitab besar seluruhnya dalam masa sehari atau semalam.
  16. ‘Allamah Syamsuddin al-Babili al-Qahiri (m. 1077H). Tidak terjatuh pandangannya ke atas sesuatu dan sebelum beliau mengalihkan pandangannya itu melainkan beliau telah pun dapat menghafalnya secara mantap di dalam satu majlis.

2. Membaca kitab dalam dua majlis.

  1. ‘Allamah Muhammad bin al-Hasan bin Salam (m. 630H). Beliau telah mempelajari kitab ‘Ulum al-Hadith oleh al-Hakim daripada Ibn Sasri al-Dimasyqi di dalam 2 majlis.

3. Membaca kitab dalam tiga majlis.

  1. al-Khatib al-Baghdadi (m. 463H). Beliau telah mempelajari seluruh kitab Sahih al-Bukhari daripada Isma’il al-Hairi di dalam 3 majlis.
  2. ‘Allamah Talhah bin Muzaffar al-‘Althi (m. 593H). Beliau telah membaca kitab Sahih Muslim di dalam 3 majlis.
  3. ‘Allamah Syarafuddin al-Fazari (m. H). Beliau telah membaca kitab Masyyakhah Ibn al-Bukhari di Dimasyq dalam 3 majlis yang dihadiri oleh 1000 orang.
  4. ‘Allamah Majduddin al-Fairuzabadi (m. 816H), pengarang al-Qamus. Beliau telah mempelajari kitab Sahih Muslim daripada Nasiruddin ibn Jahbal di Dimasyq antara Bab al-Nasr dan al-Faraj berhadapan tempat capal Nabi SAW dalam masa 3 hari.

4. Membaca kitab dalam empat majlis.

  1. ‘Allamah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad al-Ba’labakki (m. 800H). Beliau membacakan kepada para ahli hadith kitab al-Muntakhab Min Musnad ‘Abd bin Humayd di dalam 4 buah majlis.

5. Membaca kitab dalam lima majlis.

  1. ‘Allamah ‘Abdul Ghani bin ‘Abdul Wahid al-Maqdisi (m. 600H). Beliau telah mempelajari kitab al-Muhaddith al-Fasil oleh al-Ramahurmuzi daripada Abu Tahir al-Silafi di dalam 5 buah majlis.
  2. ‘Allamah Ahmad bin Muhammad al-Qastallani (m. 923H). Beliau telah membaca kitab Sahih al-Bukhari di dalam 5 buah majlis.

6. Membaca kitab dalam masa enam hari atau dalam enam majlis.

  1. al-Hafiz Abu ‘Abdillah al-Zahabi (m. 748H). Beliau telah mempelajari kitab Sirah Ibn Hisyam daripada al-Abarquhi dalam masa 6 hari.
  2. al-Hafiz Abu al-Fadhl al-‘Iraqi (m. 806H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih Muslim daripada Muhammad bin Isma’il bin al-Khabbaz di dalam 6 buah majlis.
  3. ‘Allamah Burhanuddin Ibrahim bin Muhammad al-Biqa’i (m. 935H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari seluruhnya daripada Badruddin al-Ghazzi dalam masa 6 hari.

7. Membaca kitab dalam masa lapan hari.

  1. al-Malik al-Asyraf Musa bin Muhammad bin Ayyub (m. 635H). Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dengan bacaan Musnid al-Syam al-Husain bin al-Mubarak Ibn al-Zubaidi dalam masa 8 hari di Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah, Dimasyq.
  2. ‘Allamah Burhanuddin al-Abnasi (m. 802H). Beliau telah mempelajari kitab Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud daripada Ibn Amilah di Dimasyq dalam masa 8 hari.

8. Membaca kitab dalam masa hampir 10 hari atau lebih.

  1. ‘Allamah Muhammad bin Khalaf bin Rajih al-Maqdisi (m. 618H). Beliau telah mendengar kitab Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud dengan bacaan ‘Umar ibn Tabarzad dalam masa kurang daripada 10 hari.
  2. ‘Allamah Fadhl al-Rahman al-Hindi al-Naqsyabandi (m. 1313H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari daripada Muhammad Ishaq al-Dihlawi dalam masa beberapa belas hari.

9. Membaca kitab dalam 11 buah majlis.

  1. al-Munla Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (m. 1145H). Beliau telah mempelajari kitab al-Muwatta’ daripada Abu al-Asrar al-‘Ujaymi dalam 11 buah majlis.

10. Membaca kitab dalam 12 buah majlis.

  1. ‘Allamah ‘Ali bin ‘Abdullah bin Ahmad al-‘Alawi al-Tawqadi (m. 1199H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari daripada Murtadha al-Zabidi dalam 12 buah majlis di rumahnya.

11. Membaca kitab dalam 14 buah majlis.

  1. ‘Allamah Ahmad bin ‘Abdullah Ibn al-Imam al-Jaza’iri (m. 666H). Beliau telah mendengar kitab Sahih al-Bukhari dengan bacaan Ibn Ruzibah al-Baghdadi dalam 14 buah majlis.

12. Membaca kitab dalam 15 buah majlis.

  1. ‘Allamah Taqiyyuddin Ahmad bin ‘Ali al-Maqrizi (m. 845H). Beliau telah mendengar kitab Sunan Ibn Majah dengan bacaan Abu al-‘Abbas al-Jawhari dalam 15 buah majlis.

13. Membaca kitab dalam masa sebulan.

  1. ‘Allamah al-Hasan bin Ahmad Ibn Habal al-Daqqaq al-Salihi (m. 779H). Beliau membaca kitab al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani pada setiap bulan Ramadhan.
  2. ‘Allamah Muhammad ‘Abid al-Sindi (m. 1257H). Beliau telah membaca al-Kutub al-Sittah di al-Haram al-Nabawi (Masjid Nabawi, di Madinah) dalam masa sebulan secara riwayah (periwayatan), dan dalam masa 6 bulan pula secara dirayah (syarahan).
  3. ‘Allamah Muhammad bin ‘Ali al-Sanusi (m. 1076H). Beliau pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam masa sebulan, Sahih Muslim dalam masa 25 hari, dan kitab al-Sunan dalam masa 20 hari.

14. Beberapa ulama mutaakhirin, seperti;

  1. ‘Allamah Muhammad bin ‘Abdul Kabir al-Kattani (m. 1327H), [syeikh Tariqat Kattaniyyah, disebut ‘al-Syahid’ kerana meninggal dunia setelah dirotan 500 kali oleh pihak sultan Maghribi demi mempertahankan kebenaran]. Beliau pernah mengkhatamkan Sahih al-Bukhari di Jami’ al-Qurawiyyin, kota Fez yang dihadiri oleh ribuan orang. Beliau duduk daripada selepas solat subuh dan tidak bangun melainkan hampir pada waktu zohor.
  2. ‘Allamah Jamaluddin al-Qasimi (m. 1332H). Beliau pernah memperdengarkan Sahih Muslim secara riwayah dan dirayah dalam masa 40 hari.
  3. ‘Allamah ‘Abdul Hayy al-Kattani (m. 1382H). Beliau pernah mengajarkan kitab Sahih al-Bukhari secara tahkik di Jami’ al-Qurawiyyin dalam 50 buah majlis.
Sumber : Http://Sawanih.Blogspot.Com

Jumaat, 16 April 2010

Kecemerlangan, Kegigihan dan Kekuatan Jiwa Ulama Bab 1

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Dalam entri kali ini, ingin saya menyentuh sedikit gambaran tentang keasyikan terhadap ilmu di kalangan para ilmuwan Islam. Mudah-mudahan dapat kita renungkan bersama dan juga untuk dijadikan ukuran pada diri kita. Sebagaimana mereka telah berjaya membina kecemerlangan mereka, maka demikian jugalah sepatutnya kita menurut jejak mereka bagi membina kecemerlangan kita sendiri.

Imam ‘Abdul Hayy al-Laknawi (m. 1304H) dalam kitabnya yang sangat menarik berjudul: Iqamah al-Hujjah ‘ala Anna al-Ikthar fi al-Ta’abbud Laysa Bibid’ah (h. 115-118) menyebut:

Kemampuan manusia itu berbagai-bagai. Berapa ramai orang yang menyanggupi sesuatu sedangkan ia tidak disanggupi oleh orang lain? Berapa ramai orang yang bosan dengan sesuatu sedangkan orang lain tidak bosan dengannya? Berapa ramai orang yang diberi kepantasan dalam membaca sedangkan orang lain tidak dapat mencapainya?

Tidakkah anda pernah mendengar al-Sayyid Abu Bakr bin Ahmad bin Abu Bakr - meninggal dunia tahun 1053 H - pernah membaca kitab al-Ihya’ – oleh Imam al-Ghazali - dalam tempoh 10 hari, dan barangkali beliau hanya menelaah satu jilid kitab besar kesemuanya dalam masa sehari semalam sahaja.

Majduddin al-Syirazi – al-Fairuzabadi, pengarang kitab al-Qamus dan Sifr al-Sa’adah - pernah membaca kitab Sahih Muslim dalam tempoh 3 hari sahaja. Al-Qastallani pula pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam 5 buah majlis serta sebahagian dari satu majlis lain. Manakala al-Hafiz Abu Bakar al-Khatib pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam 3 buah majlis sahaja.

Al-Hafiz Ibn Hajar pernah membaca kitab Sunan Ibn Majah dalam 4 buah majlis, demikian juga kitab Sahih Muslim, manakala kitab Sunan al-Nasa’i al-Kabir dalam 10 buah majlis dan setiap satu majlis kira-kira 4 jam. Manakala kitab Mu’jam al-Tabarani al-Saghir pula dalam sebuah majlis sahaja antara zohor dan asar. Demikian yang diceritakan oleh Muhammad bin Fadhlullah al-Muhibbi dalam kitab Khulasah al-Athar fi A’yan al-Qarn al-Hadi ‘Asyar.

‘Abdul Wahhab al-Sya’rani pernah menceritakan dalam kitab al-Yawaqit wa al-Jawahir tentang dirinya sendiri bahawa beliau pernah menelaah kitab al-Futuhat – oleh Ibn al-‘Arabi al-Hatimi, yang terdiri daripada 10 jilid besar – setiap hari sebanyak 2 kali. Al-Yafi’i pernah memberitakan mengenai seorang abid bahawa beliau telah membaca keseluruhan al-Quran dalam kadar sebuah khutbah seorang khatib pada hari Jumaat.

Hal-hal sebegini dan seumpamanya adalah tidak samar lagi bagi orang yang menelaah kitab-kitab mengenai hal ehwal tokoh-tokoh besar ini, yang mana tidak disanggupi oleh kebanyakan manusia lain.

Asal bagi semuanya ini ialah; Allah Taala telah menciptakan jiwa insan itu bersifat menikmati dan menyukai, yang mempunyai kesamaan dengan jiwa-jiwa kemalaikatan yang tidak terputus seketika pun daripada ibadah. Maka sesiapa yang memperolehi bagi dirinya rasa nikmat dengan sesuatu – walau apa pun ia – ia tidak akan merasai jemu langsung dalam memperbanyakkannya. Dan sesiapa yang tidak merasai nikmat dengan sesuatu pula, ia akan merasai jemu di dalam memperbanyakkannya.

Para ulama ummah Muhammadiyyah, pengarang kitab-kitab yang masyhur seperti al-Zahabi, Ibn Hajar, al-Suyuti dan selain mereka, tidak mensia-siakan satu ketikapun daripada masa usia mereka, dan tidak meluangkannya melainkan untuk menelaah atau menulis. Mereka tidak pun merasa jemu berbuat demikian. Al-Yafi’i pernah menceritakan bahawa beliau pernah berjaga pada suatu malam bagi menelaah kitab-kitab sehingga subuh, dan beliau tidak merasa jemu pun.

Hamba yang daif, penghimpun lembaran-lembaran ini – yakni Imam al-Laknawi sendiri - juga pernah merasai kenikmatan dengan menelaah dan menulis. Lalu saya pun menelaah jilid-jilid kitab yang besar dalam masa berjam-jam lamanya. Saya juga duduk pada suatu malam menulis daripada waktu maghrib sehinggalah ke waktu tengah malam tanpa berhenti – kecuali solat isyak – dan saya tidak merasai jemu pun. Bagi Allahlah segala pujian atas yang demikian.

Secara umum, jiwa-jiwa manusia itu adalah berbeza dari segi kemampuan. Maka sesiapa yang mampu memperbanyakkan ibadah, membaca, qiamullail, dan seumpamanya tanpa merasai rasa jemu, haruslah baginya yang sedemikian itu…”.


– tamat nukilan.

Sumber : Http://Sawanih.Blogspot.Com

Rabu, 14 April 2010

Proses Pengislahan Prof Dr Burhanuddin al- Helmi

Mempelajari Metafizik oleh Prof. Dr. Burhanudin al-Helmi

Bagi memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari ilmu di zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau mâ warâ’a al-tabâ‘ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.

Dalam hal ini rasanya eloklah saya ceritakan sedikit hal-hal saya dengan tasawwuf ini. Ayahanda saya adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus dan wara‘nya. Maka saya dari kecilnya dilatih secara wara‘nya dan mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjamaah, membaca Quran dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat lepas dan bermain-main saya tidak.

Bila saya lepas belajar ke luar, di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda dan guru-guru agama saya pula ‘ulama’-‘ulama’ kaum muda dan berfaham progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib al-arba‘ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid, Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu al-Qayyim, al-Shaukani, [Syeikh] ‘Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni [Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot. Pada saya, tasawwuf dan tariqatnya itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur-aduk dengan bid‘ah. Pada saya kitab tasawwuf seperti karangan Imam Ghazali (w.505H/1111M) itu saya pandang seperti madu bercampur racun, kerana saya pandang dari segi bahas fiqh, tafsir dan hadith tidak kuat menurut kaedah rawi dan sebagainya. Ini berlaku di antara 1927 hingga tahun 1940. Pendeknya ilmu tasawwuf saya ketepikan. Nafsu saya tidak mahu langsung kepadanya, apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang ‘Malaya jadi Palestin kedua’ masih kedengaran diperkatakan orang.

Maka saya di India saya dapat mempelajari bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu kedoktoran homeopati asas Belanda memudahkan saya mempelajari bahasa Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa‘i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu ‘Ata’illah dan lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula.

Kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk agama Islam yang hanif (yang lurus-peny.) ini terutamanya kesan-kesannya ialah daripada ‘ulama’-‘ulama’ Syi‘i dan ‘ulama’-‘ulama’ tasawwuf, sama ada ‘ulama’-‘ulama’ itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan masuk melalui ‘ulama-‘ulama’ fiqh, Islam masuk di Nusantara kita ini berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha [se]bagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.

Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.

Bila kita halusi intisari alam metafizik dan pengertian alam mithal yang diterangkan ‘ulama’-‘ulama’ tasawwuf dipandang dari bahas ilmiah hari ini nampaklah kita di mana ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya.

Dipetik daripada buku Simposium Tasawwuf dan Tariqah oleh Prof. Dr. Burhanuddin, hlm. 35-38.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh al-Marhum Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi.

Sumber : Http://Malakian.Blogsome.Com