CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 16 April 2010

Kecemerlangan, Kegigihan dan Kekuatan Jiwa Ulama Bab 1

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Dalam entri kali ini, ingin saya menyentuh sedikit gambaran tentang keasyikan terhadap ilmu di kalangan para ilmuwan Islam. Mudah-mudahan dapat kita renungkan bersama dan juga untuk dijadikan ukuran pada diri kita. Sebagaimana mereka telah berjaya membina kecemerlangan mereka, maka demikian jugalah sepatutnya kita menurut jejak mereka bagi membina kecemerlangan kita sendiri.

Imam ‘Abdul Hayy al-Laknawi (m. 1304H) dalam kitabnya yang sangat menarik berjudul: Iqamah al-Hujjah ‘ala Anna al-Ikthar fi al-Ta’abbud Laysa Bibid’ah (h. 115-118) menyebut:

Kemampuan manusia itu berbagai-bagai. Berapa ramai orang yang menyanggupi sesuatu sedangkan ia tidak disanggupi oleh orang lain? Berapa ramai orang yang bosan dengan sesuatu sedangkan orang lain tidak bosan dengannya? Berapa ramai orang yang diberi kepantasan dalam membaca sedangkan orang lain tidak dapat mencapainya?

Tidakkah anda pernah mendengar al-Sayyid Abu Bakr bin Ahmad bin Abu Bakr - meninggal dunia tahun 1053 H - pernah membaca kitab al-Ihya’ – oleh Imam al-Ghazali - dalam tempoh 10 hari, dan barangkali beliau hanya menelaah satu jilid kitab besar kesemuanya dalam masa sehari semalam sahaja.

Majduddin al-Syirazi – al-Fairuzabadi, pengarang kitab al-Qamus dan Sifr al-Sa’adah - pernah membaca kitab Sahih Muslim dalam tempoh 3 hari sahaja. Al-Qastallani pula pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam 5 buah majlis serta sebahagian dari satu majlis lain. Manakala al-Hafiz Abu Bakar al-Khatib pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam 3 buah majlis sahaja.

Al-Hafiz Ibn Hajar pernah membaca kitab Sunan Ibn Majah dalam 4 buah majlis, demikian juga kitab Sahih Muslim, manakala kitab Sunan al-Nasa’i al-Kabir dalam 10 buah majlis dan setiap satu majlis kira-kira 4 jam. Manakala kitab Mu’jam al-Tabarani al-Saghir pula dalam sebuah majlis sahaja antara zohor dan asar. Demikian yang diceritakan oleh Muhammad bin Fadhlullah al-Muhibbi dalam kitab Khulasah al-Athar fi A’yan al-Qarn al-Hadi ‘Asyar.

‘Abdul Wahhab al-Sya’rani pernah menceritakan dalam kitab al-Yawaqit wa al-Jawahir tentang dirinya sendiri bahawa beliau pernah menelaah kitab al-Futuhat – oleh Ibn al-‘Arabi al-Hatimi, yang terdiri daripada 10 jilid besar – setiap hari sebanyak 2 kali. Al-Yafi’i pernah memberitakan mengenai seorang abid bahawa beliau telah membaca keseluruhan al-Quran dalam kadar sebuah khutbah seorang khatib pada hari Jumaat.

Hal-hal sebegini dan seumpamanya adalah tidak samar lagi bagi orang yang menelaah kitab-kitab mengenai hal ehwal tokoh-tokoh besar ini, yang mana tidak disanggupi oleh kebanyakan manusia lain.

Asal bagi semuanya ini ialah; Allah Taala telah menciptakan jiwa insan itu bersifat menikmati dan menyukai, yang mempunyai kesamaan dengan jiwa-jiwa kemalaikatan yang tidak terputus seketika pun daripada ibadah. Maka sesiapa yang memperolehi bagi dirinya rasa nikmat dengan sesuatu – walau apa pun ia – ia tidak akan merasai jemu langsung dalam memperbanyakkannya. Dan sesiapa yang tidak merasai nikmat dengan sesuatu pula, ia akan merasai jemu di dalam memperbanyakkannya.

Para ulama ummah Muhammadiyyah, pengarang kitab-kitab yang masyhur seperti al-Zahabi, Ibn Hajar, al-Suyuti dan selain mereka, tidak mensia-siakan satu ketikapun daripada masa usia mereka, dan tidak meluangkannya melainkan untuk menelaah atau menulis. Mereka tidak pun merasa jemu berbuat demikian. Al-Yafi’i pernah menceritakan bahawa beliau pernah berjaga pada suatu malam bagi menelaah kitab-kitab sehingga subuh, dan beliau tidak merasa jemu pun.

Hamba yang daif, penghimpun lembaran-lembaran ini – yakni Imam al-Laknawi sendiri - juga pernah merasai kenikmatan dengan menelaah dan menulis. Lalu saya pun menelaah jilid-jilid kitab yang besar dalam masa berjam-jam lamanya. Saya juga duduk pada suatu malam menulis daripada waktu maghrib sehinggalah ke waktu tengah malam tanpa berhenti – kecuali solat isyak – dan saya tidak merasai jemu pun. Bagi Allahlah segala pujian atas yang demikian.

Secara umum, jiwa-jiwa manusia itu adalah berbeza dari segi kemampuan. Maka sesiapa yang mampu memperbanyakkan ibadah, membaca, qiamullail, dan seumpamanya tanpa merasai rasa jemu, haruslah baginya yang sedemikian itu…”.


– tamat nukilan.

Sumber : Http://Sawanih.Blogspot.Com

Tiada ulasan: