Imam Ibn Sholah berkata dalam Muqoddimahnya (m/s 45):
المضطرب من الحديث: هو الذي تختلف الرواية فيه، فيرويه بعضهم على وجه، وبعضهم على وجه آخر مخالف له.
Mudthorrib (kegoncangan) dalam hadith adalah: hadith yang berbeza riwayat mengenainya. Sebahagian mereka (ahli hadith) meriwayatkannya dengan satu wajah (bentuk) sedangkan sebahagian yang lain meriwayatkannya dengan wajah (bentuk atau lafaz) yang berbeza yang bercangggah dengannya (wajah pertama).
Beliau berkata lagi seterusnya:
ثم قد يقع الاضطراب في متن الحديث، وقد يقع في الإسناد...
Maksudnya: Terkadang, berlakunya idthirob dalam matan hadith, terkadang pula dalam sanad hadith. (Muqoddimah Ibn Sholah ibid)
Dalam erti kata yang lain, tidak semestinya suatu hadith itu jika diriwayatkan dengan sanad yang sahih, maka idthirob tidak boleh berlaku dalam matan hadith tersebut. Kadang-kala, hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih juga mengandungi matan yang Mudthorib sebagaimana yang berlaku dalam riwayat Imam Muslim dalam perbahasan hadith Al-Jariyyah ini yang akan diperincikan kemudian.
Imam An-Nawawi juga ada menyebutkan:
المضطرب : هو الذي يرو ى على أوجه مختلفة متقاربة
Maksudnya: Mudthorib adalah hadith yang diriwayatkan melalui banyak bentuk yang berbeza-beza yang hampir dekat (lafaz dan maknanya). (At-Taqrib)
Apabila berlakunya percanggahan antara banyak jalan periwayatan hadith, maka berlakunya idthirob dalam hadith yang diriwayatkan tersebut sekiranya bentuk lain bagi hadith tersebut lebih kuat (ar-rajih).
Hadith Al-Jariyyah dan Tarjih
Disebabkan berlakunya pertembungan antara bentuk-bentuk hadith Al-Jariyyah melalui banyak riwayat para ahli hadith, maka ia membawa kepada keperluan kepada mentarjihkan (menguatkan) salah satu daripada beberapa bentuk dan lafaz hadith yang saling berbeza-beza tersebut.
Perlu diingat juga bahawasanya, apabila berlakunya perbezaan dan perselisihan dalam periwayatan sesuatu hadith itu sendiri, dengan pelbagai bentuknya, maka ini menunjukkan bahawasanya lafaz yang diperselisihkan tersebut mempunyai pengaruh perawi padanya, bukan lagi secara jelas daripada Rasulullah s.a.w.. Maka, wujudnya perselisihan mengenai lafaz dalam hadith ini menjadikan ketentuan hukum hadith ini sebagai zhonni ad-dilalah itu sendiri, iaitu tidak jelas petunjuk lafaznya.
Oleh yang demikian, sesetengah golongan yang terpengaruh dengan fahaman tajsim yang siang malam menulang-ulangi hadith Al-Jariyyah dengan lafaz riwayat Imam Muslim untuk dijadikan pedoman dalam aqidah merupakan suatu yang tersasar jauh daripada manhaj ilmiah sebenar kerana perkara berkenaan aqidah hanya boleh diambil daripada nas-nas yang bersifat qat'ie samada dari sudut at-thubut (penetapan nas tersebut) mahupun ad-dilalah (petunjuk nas tersebut) yang membawa kepada ilmu, bukan zhon (keraguan).
Kembali kepada perbahasan fasal ini, apa yang cuba dibincangkan adalah lebih lanjut untuk mengkaji yang manakah "lafaz" atau bentuk hadith yang paling kuat (rajih) darip pelbagai sudut kajian.
Kajian Dari Sudut Perbandingan Riwayat dan Sanad
Jika kita perhatikan dari awal perbahasan, kita dapati bahawasanya ada dua lafaz yang utama yang saling bertembung atau berbeza berkaitan hadith Al-Jariyyah iaitu:
Pertama: Rasulullah s.a.w. bertanyakan kepada hamba perempuan tersebut tentang kalimah syahadah.
Kedua: Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut tentang di mana Allah.
Adapun Lafaz: Adakah kamu mengakui tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah atau bertanya tentang kalimah tauhid mempunyai banyak jalan periwayatan dengan sanad yang kuat berbanding riwayat pertanyaan Allah di mana.
Riwayat Pertama: Riwayat Imam Malik r.a. dalam Al-Muwatho' bab (كتاب العتاقة والولاء) :-
"Sabda Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut:
"أتشهدين أن لا إله إلا الله " ، قالت: "نعم " ، قال: "أتشهدين أني رسول الله" ، قالت:" نعم"، قال: "أتوقنين بالبعث بعد الموت" قالت: "نعم". فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أعتقها"
"Adakah kamu mengetahui bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah?". Hamba perempuan itu menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah utusan Allah?" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu beriman dengan hari kebangkitan setelah kematian?" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bersabda: "Merdekakanlah dia…".
Riwayat Kedua: Riwayat Abdul Razzak dalam Al-Mushonnaf
Imam Abdul Razak meriwayatkan dalam Al-Mushonnaf daripada Ibn Juraij yang meriwayatkan daripada "Atho':-
Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya:
أتشهدين أن لا إله إلا الله
Maksudnya: "Adakah kamu mengakui bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah"?
Hamba perempuan itu menjawab: "Ya".
Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah pesuruh Allah (Rasulullah)" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya"…" (sehinggalah akhir hadith).
Riwayat Ketiga: Riwayat Al-Bazzar dalam Kasyf Al-Astar dalam 1/14:
Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.a.:-
"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah pesuruh Allah (Rasulullah)" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya"…" (sehinggalah akhir hadith).
Riwayat Keempat: Riwayat Imam At-Tabrani dalam Al-Kabir 12/27 dengan jalan yang sama seperti jalan Al-Bazzar.
Riwayat Kelima: Riwayat Imam Abdul Razzak dalam Al-Musonnnaf (9/175) dengan jalan lain daripada Ma'mar daripada Az-Zuhri daripada Ubaidillah bin Abdullah.
Riwayat Keenam: Riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Imam Ahmad (3/451) dengan jalan Imam yang sama dengan riwayat Abdul Razzak pada riwayat kelima.
Riwayat Ketujuh: Riwayat Imam Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra 7/388 dengan lafaz "siapa tuhan kamu":-
" من ربك " ، قالت : " الله ربي " ، قال : " فما دينك " ، قالت : " الإسلام " ، قال : " فمن أنا " ، قالت : " أنت رسول الله " ، قال : " أعتقها
Maksudnya: Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan: "Siapa tuhan kamu?" Hamba tersebut menjawab: "Allah tuhanku." Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apa agamamu?". Dia menjawab: "Islam". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Siapa aku?" Dia menjawab: "Rasulullah". Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda: "Kalau demikian, bebaskanlah dia".
Demikian adalah hadith-hadith yang berkaitan dengan hadith Al-Jariyyah ini di mana lafaz kalimah syahadah atau tentang ketuhanan Allah yang ditanya oleh Rasulullah s.a.w. melalui banyak jalan dan sandarannya.
Adapun hadith yang berkaitan dengan aina Allah (di mana Allah) cuma ada dua jalan iaitu daripada jalan Imam Muslim dan jalan Imam Al-Baihaqi dari satu riwayat.
Namun, Imam Al-Baihaqi meriwayatkan hadith Al-Jariyyah dengan lafaz aina Allah tetapi tanpa menetapkan lafaz Allah fi As-Sama' (Allah di langit) oleh hamba perempuan kerana ianya dikatakan bisu.
Bahkan, menurut Imam Al-Baihaqi juga, hadith dengan jalan yang sama ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam naskhah yang beliau (Al-Baihaqi) miliki tanpa kisah Al-Jariyyah tersebut.
Ini memberi kefahaman kepada kita bahawasanya ada sebahagian naskhah sahih Muslim sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi tanpa kisah Al-Jariyyah.
Dari sudut sanad sahaja, walaupun sanad hadith Imam Muslim itu sahih (atau hasan dari sudut penilaian sebahagian ulama' tentang Hilal bin Abi Maimunah yang dianggap sebagai hasan sahaja), namun ianya suatu lafaz yang terasing (tafarrud) dalam hadith Al-Jariyyah ini kerana hanya disokong oleh riwayat Imam Al-Baihaqi dalam masa yang sama Imam Al-Baihaqi menyatakan kedudukan lafaz hadith ini saling berbeza. Lebih daripada itu, Imam Al-Baihaqi menjelaskan dalam Al-Asma' wa As-Sifat bahawa Imam Muslim tidak meriwayatkan kisah Al-Jariyyah dalam naskhah Sahih Muslim yang beliau miliki.
Dalam situasi pengkajian sebegini, dari sudut sanad juga telah menunjukkan lafaz Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang kalimah syahadah lebih kuat dengan banyak jalan sanad yang berbeza.
Jika kita lihat kedudukan hadith Al-Jariyyah dengan lafaz bertanyakan kalimah syahadah ini, maka kita dapati seperti berikut:-
Tobaqot As-Sohabah: Ia diriwayatkan oleh Saidina Mu'awiyyah bin Al-Hakam r.a. (riwayat Abdul Razzak dan riwayat Imam Al-Baihaqi) dan Saidina Ibn Abbas r.a. (Al-Bazzar dan At-Tobrani).
Tobaqot At-Tabi'ien: Ia diriwayatkan oleh 'Atho' bin Yasar dan Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah yang merupakan dua perawi dari kalangan tabi'en yang dipercayai.
Tobaqor Tabi'ie At-Tabi'en: Ia diriwayatkan oleh Az-Zuhri, Ibn Syihab (kedua-duanya daripada Ubaidillah), Ibn Juraij (daripada 'Atho' bin Yasar) dan sebagainya.
Sanad hadith-hadith yang membawa maksud bertanyakan kalimah syahadah adalah sangat kuat dengan pelbagai jalan yang kuat. Maka, dari sudut sanad sahaja, hadith riwayat Imam Malik, Imam Ahmad, Imam Abdul Razzak, Imam Al-Bazzar, Imam At-Thobrani dan Imam Al-Baihaqi ini lebih rajih berbanding hadith riwayat Imam Muslim yang tersendiri secara sanadnya.
Maka, hukum idthirob jatuh kepada matan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim walaupun sanadnya sahih, kerana idthirob terkadang hanya berlaku pada matan hadith walaupun pada sanad yang sahih.
Sheikhu Sheikhna (guru kepada guru kami) Al-Muhaddith Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari berkata dalam pentarjihan hadith ini dari sudut sanad:
"Lafaz Hadith (Al-Jariyyah) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini syaz (terasing daripada lafaz yang lebih rajih) lagi tertolak dengan banyak alasan. Pertama: Riwayat dengan lafaz ini bercanggah daripada hadith-hadith mutawatir daripada Rasulullah s.a.w. yang lain yang menunjukkan jika seseorang datang kepada Baginda s.a.w. untuk mengetahui keislamannya, maka dia akan bertanya tentang kalimah syahadah. Jika orang tersebut membenarkannya, maka Rasulullah s.a.w. akan mengakui keislamannya."(Fath Al-Mu'in m/s 27-28 oleh Al-Allamah Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari).
Dalam kitab beliau tersebut, Al-Allamah Sheikh Abdullah Al-Ghumari menguatkan lafaz yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Imam Abdul Razzak dan sebagainya.
Dr. Umar Abdullah Kamil turut menghimpunkan pelbagai bukti termasuklah dari sudut sanad bahawasanya lafaz riwayat Imam Muslim itu sebenarnya marjuh (lemah berbanding lafaz-lafaz lain) dan Mudthorib (bertembung dengan yang lebih tepat) (Hadith Al-Jariyyah 7-9)
Perlu diingat bahawasanya, biarpun Sahih Muslim dipegang oleh keseluruhan para ulama' hadith sebagai kitab hadith sahih, namun sepertimana yang sedia maklum di sisi ahli hadith sendiri, kitab Sahih Muslim tidak semestinya mengandungi semua hadith yang berdarjat paling sahih berbanding riwayat-riwayat lain, malah ada juga hadith-hadith di dalam Sahih Muslim yang kurang darjat kesahihannya berbanding riwayat-riwayat lain walaupun tidak menjatuhkan taraf kesahihan hadith riwayat Imam Muslim tersebut.
Hal ini diakui sendiri oleh Imam Az-Zahabi (673-748 H) dalam Al-Muqizah (m/s 80) dan Al-Mizan (2/440-445), dan Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dalam Hady As-Sari dan Tahzib At-Tahzib (5/256-261) serta Al-Hafiz Al-Hazimi (548-584 H) dalam syurut Al-A'immah Al-Khamsah (m/s: 150-184). Sheikhu Sheikhna Abdul Fattah Abu Ghuddah juga menjelaskan hal tersebut dalam tatmah Ar-Rabi'ah ke atas kitab Al-Muqizah oleh Imam Az-Zahabi.
Oleh yang demikian, tidak wajar seseorang menggunakan lafaz hadith Al-Jariyyah dalam masalah aqidah sehingga berhempas-pulas ingin menetapkan juga Allah s.w.t. dengan "bertempat", sedangkan hadith riwayat Imam Muslim dalam bab ini, jika dinilai dari sudut sanad sahaja, maka ianya marjuh (ada jalan lain yang lebih kuat/rajih). Bagaimana lafaz yang marjuh (ada yang lebih kuat) boleh dijadikan hujah dalam bab aqidah sedangkan ianya bersifat zhonni atau syaz?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan