CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Khamis, 5 Februari 2009

Hukum Wanita Bekerja

Matlamat utama kehidupan kita di dunia ialah untuk memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Namun kehidupan akhirat itu hendaklah lebih diutamakan.

Untuk mencapai kesejahteraan hidup di akhirat, corak kehidupan di dunia ini mestilah berjalan di atas landasan hukum syari ‘at Allah iaitu ajaran Islam.

Dengan demikian apapun usaha, tingkah laku dan budaya yang hendak kita amalkan mestilah menurut ketetapan syari ‘at Islam termasuklah dalam memilih dan menyusun organisasi sesuatu pekerjaan.

Bagi kaum wanita tugas pertama dan utama, yang tidak ada pertikaian mengenainya ialah mengasuh dan mendidik generasi (anak) sesuai dengan fitrah yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala secara fizikal dan spiritual. Tugas dan tanggungjawab yang besar dan mulia ini perlu diutamakan dan tidak wajar dinafikan dengan kerja-kerja kebendaan.

Dalam mengendalikan tugas tersebut tidak seorang lelaki pun yang dapat mengambil alih tempat seorang wanita seperti tugas menyusukan anak. Peranan ini juga menggambarkan bahawa masa depan sesuatu ummah itu lebih banyak bergantung kepada corak asuhan dan didikan awal kaum wanita terutama dalam melahirkan manusia yang berguna.

Selain itu tugas dan tanggungjawab kaum wanita juga ialah menjaga dan memelihara rumahnya, membahagiakan suaminya, membentuk keluarga bahagia dengan berasaskan harmoni, kasih sayang dan rahmat. Firman Allah Ta ‘ala:

Tafsirnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu ( wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah ar-Rûm:21)

Adapun tugas mencari nafkah untuk menyara ahli keluarga itu wajib ditanggung oleh kaum lelaki terutama orang yang menjadi ketua keluarga seperti bapa atau suami. Firman Allah Subhanahu Wata’ala:

Tafsirnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana itu Allah telah melebihkan orang-orang lelaki ( dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagaian daripada harta mereka.”
(Surah an-Nisâ’ : 34)

Ini bererti kaum wanita tidak dipertanggungjawabkan untuk menyara hidup ahli keluarganya.

Keterangan di atas menunjukkan bahawa tugas utama seorang wanita itu ialah mengurus rumahtangganya sebagaimana firman Allah Ta’ala :

Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu.”
(Surah al-Ahzâb:33)

Walau bagaimanapun, tidaklah ia bermaksud atau memberi pengertian bahawa wanita yang berkerja di luar rumah itu haram hukumnya menurut syara’ secara mutlak kerana tidak ada nash syara’ yang sabit mengenainya.

Pada dasarnya wanita diharuskan bekerja di luar rumah. Bahkan ada kalanya tuntutan bekerja itu perlu, kalau pun tidak wajib jika keadaan mengkehendakinya, seperti mencari nafkah bagi janda atau perempuan yang ditalak dalam keadaan tidak ada sumber nafkah atau kekayaan dan keluarga yang boleh menampung keperluan mereka. Dalam keadaan sedemikian bekerja di luar rumah itu adalah lebih baik baginya daripada hidup merempat meminta-minta dan mengharapkan belas kasihan orang, selama mana kerja tersebut tidak mencemarkan kemuliaan diri dan agama.

Ada kalanya juga keluarga seseorang perempuan itu memerlukannya bekerja kerana tidak ada tempat lain untuk berharap seperti membantu suaminya yang uzur untuk memenuhi keperluan ahli keluarganya yang masih kecil atau membantu bapanya yang sudah tua. Sebagai contoh ialah seperti kisah Nabi Syu’aib ‘Alaihissalatu wassalam yang mempunyai dua orang anak perempuan yang diceritakan oleh al-Qur’an dalam surah al-Qashash ayat 23, yang mana kedua-dua anak perempuan itu mengambil alih tugas bapa mereka sebagai pengembala kambing.

Ada kalanya pula kerjaya itu khusus dilakukan oleh kaum wanita terutama kerja-kerja kemasyarakatan seperti doktor sakit puan, jururawat, bidan dan sebagainya.

Sebenarnya keharusan kaum wanita menjawat sesuatu pekerjaan itu adalah tertakluk kepada bentuk tugas yang akan dilakukan.

Terdapat beberapa syarat yang mesti diambil kira dalam menilai kesesuaian kerjaya seorang wanita menurut hukum syara’. Antaranya ialah:

i) Perkerjaan itu tidak menjurus kepada perlanggaran hukum syara’. Sebagai contoh kerjanya itu menghendaki wanita itu melakukannya bersama-sama dengan kaum lelaki di tempat yang sunyi lagi terasing daripada orang lain umpamanya kerja itu dilakukan oleh seorang lelaki dan perempuan dalam satu bilik. Tugas tersebut jelas bertentangan dengan prinsip Islam sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: “Hendaklah jangan seorang lelaki itu bersunyi-sunyi dengan seorang perempuan.”
(Hadis riwayat al- Bukhari)

ii) Pekerjaan itu tidak menghendakinya belayar keluar negara bersendirian tanpa ditemani oleh suaminya, mahramnya atau sekumpulan perempuan yang diyakini amanah dan dapat mengawal kesejahteraannya serta mengelakkannya daripada perkara-perkara mungkar, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam :

Maksudnya: “Janganlah seseorang perempuan itu melakukan pelayaran kecuali bersama mahramnya.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

iii) Pekerjaan itu tidak akan menyebabkan seorang wanita itu mendedahkan auratnya. Menurut Islam apabila wanita itu keluar rumah hendaklah menutup aurat serta memenuhi adab-adab Islam seperti firman Allah Subhanahu Wata’ala:

Tafsirnya: “ Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan-perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”
(Surah an-Nûr : 31)

iv) Pekerjaan itu mestilah sesuai dengan kemampuan fizikal dan naluri / fitrah semula jadi kewanitaannya. Tugas-tugas yang lasak adalah tidak sesuai dengan wanita kerana fitrah semula jadi mereka adalah lemah lembut sekalipun kerja-kerja lasak itu dianggap oleh orang yang tidak beragama sebagai kerjaya yang mencabar dan mampu menampakkan kegagahan, daya saing dan kehandalan.

v) Bagi wanita yang bersuami pula pekerjaan itu hendaklah mendapat restu dan izin daripada suaminya iaitu apabila tugas tersebut menghendakinya keluar rumah. Suami berhak menghalangnya daripada bekerja sekiranya kerja itu boleh menyebabkan seorang isteri itu cuai pada menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Suami lebih berhak menegah isterinya bekerja sekiranya pekerjaan itu mengundang kepada fitnah atau boleh berlaku fitnah, seperti pekerjaan yang tiada batasan agama atau adab sopan di dalam bentuk campur gaul yang bebas di antara lelaki dan perempuan, sama ada ianya berlaku di daratan, lautan atau di mana-mana saja. Jika terdapat unsur-unsur begini, atau ghalib zhan fitnah itu mungkin berlaku, maka suami wajib menegahnya. Jika tidak, suami itu akan dianggap dayus, sedangkan orang dayus tidak akan mencium bau syurga.

Manakala bagi wanita yang belum bersuami pula dikehendaki meminta izin dan kebenaran daripada walinya.

Menurut pendapat bekas Syeikh al-Azhar, al-Allamah al-‘Alim al-Imam Abdul Halim Mahmud Rahimahullah di dalam fatwanya berkaitan wanita bekerja di luar rumah, antara lain beliau berkata:

“ Mana-mana wanita tidak ditegah bekerja di luar rumahnya apabila dia terpaksa berbuat demikian. Akan tetapi apabila wanita berkenaan telah mendapat limpah kurnia rezeki yang cukup daripada Allah, maka rumah, mengasuh anak-anak dan berusaha memberikan kebahagiaan kepada keluarga adalah lebih baik untuk sepanjang masa…….”

Perlu diingat, walaupun mempunyai pekerjaan, namun tugas dan tanggunggjawab utama sebagai seorang suri rumahtangga jangan sekali-kali diabaikan. Jangan nanti disebabkan penat atau letih bekerja dijadikan alasan untuk tidak dapat melaksanakan kerja-kerja rumah dan memberi perhatian atau melayani suami dan anak-anak. Perkara ini hendaklah dihindari daripada berlaku.

Demikianlah serba sedikit mengenai hukum wanita dan kerjaya yang dipetik daripada fatwa Mufti Kerajaan siri 21/2001 untuk ingatan bersama khususnya kita sebagai wanita hari ini yang mempunyai pelbagai kerjaya. Semoga ianya akan dapat dimanfaatkan dan membantu kita dalam menjalani kehidupan seharian berlandaskan hukum-hukum yang telah digariskan syara’.

Seandainya ada di kalangan kita yang telah tersilap langkah dalam memilih sesuatu kerjaya yang disebabkan oleh gaji yang lumayan dan keistimewaan yang banyak, sehingga perkara hukum kita abaikan, rasanya masih belum terlambat untuk balik ke pangkal jalan. Apa yang penting ialah ada usaha dan kemahuan untuk memperbetulkan diri daripada kesilapan atau mungkin disebabkan kejahilan diri.

Sumber : Mufti Brunei

Tiada ulasan: