CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 24 Disember 2012

Tidur Bagaimana Yang Tidak Membatalkan Wudhuk ?




TIDUR BAGAIMANA YANG TIDAK MEMBATALKAN WUDHU?

Oleh : Mufti Brunei

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Wudhu disyari‘atkan untuk mengangkat hadats kecil. Orang yang berwudhu akan berada di dalam keadaan suci dan seterusnya dapat menunaikan ibadat-ibadat yang hanya sah  apabila dia berkeadaan suci daripada hadats seperti sembahyang, thawaf serta memegang mushaf al-Qur’an.

Keharusan melakukan  perbuatan-perbuatan  tersebut akan terhenti dengan berlakunya  perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu dan  di  antara perkara yang membatalkan  wudhu  itu ialah tidur.

Jumhur ulama mazhab fiqh menyimpulkan,  tidur itu boleh membawa kepada batalnya wudhu. Ini  berdasarkan hadits yang diriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib  Karramallahu Wajhah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

Maksudnya: “Pengikat (pengawal) dubur (daripada keluar sesuatu daripadanya) itu  ialah dua belah mata (jaga), makasesiapa yang tidur, hendaklah dia berwudhu.”(Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits tersebut bermaksud bahawa sedar atau jaga (tidak tidur) itu akan  mengawal keluarnya sesuatu dari dubur, manakala  orang yang tidur kadang-kadang keluar sesuatu daripada duburnya tanpa disedarinya.

Walau bagaimanapun, adakah semata-mata tidur  membatalkan wudhu? Apakah sukat-sukat tertentu yang menjadi ukuran dalam penentuan tidur yang boleh membatalkan wudhu itu?

Untuk menjawab persoalan tersebut, berikut  dijelaskan perkaraperkara yang berkaitan dengan tidur yang membatalkan wudhu dan yang tidak membatalkan wudhu  mengikut pendapat  para  ulama mazhab Syafi‘e.

Tidur Yang Tidak Membatalkan Wudhu

Para  ulama mazhab Syafi‘e menjelaskan dengan  terperinci mengenai tidur yang tidak membatalkan wudhu itu.

Mereka berpendapat bahawa tidur itu bagaimanapun  keadaannya boleh membatalkan wudhu  kecuali  tidur di  dalam posisi duduk,sama ada duduk di atas lantai atau tanah seperti duduk di atas tikar sembahyang atau duduk di atas kerusi seperti duduk di dalam kapal terbang dan termasuklah duduk sambil memeluk lutut. Tidur dengan  cara demikian tidaklah  menyebabkan wudhu  batal, tetapi hendaklah memenuhi syarat atau ketetapan berikut: 

1) Hendaklah  tetap tempatnya (punggung dan tempat keluar hadats) di atas tanah, lantai, kerusi, binatang tunggangan atau selainnya, iaitu dua pipi punggungnya tetap pada tempatnya, tidak berubah dari posisi awal sebelum dia tidur, sekalipun jika seseorang itu bersandar atau duduk berpeluk lutut  pada atau di atas sesuatu yang boleh menyebabkan dia jatuh atau gugur apabila sesuatu itu tiada. Ini kerana tidur dalam keadaan ini  tidak dikhuatiri akan keluar sesuatu (angin)  dari duburnya (kentut). Adapun kebarangkalian keluarnya sesuatu dari qubul bukanlah perkara yang perlu diambil kira kerana ianya jarang berlaku.

Namun jika diyakini keluar angin daripada qubul sama ada lelaki atau perempuan, maka wudhu itu tetap batal.

2) Hendaklah tiada ruang di antara punggung dan tempat tetapnya  itu  ataupun tidak renggang di antara keduanya. Wudhu seseorang tidak akan batal jika terdapat ruang yang ditutup dengan sesuatu seperti kapas.
Wudhu orang yang tidur  dengan posisi sedemikian adalah tidak batal. Perkara ini  bersandarkan kepada hadits yang diriwayatkan dari Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Para  sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah tidur  kemudian mereka berdiri menunaikan sembahyang dengan tidak (lagi) mengambil wudhu.” (Hadits riwayat Muslim)

Perbuatan tidur yang dimaksudkan di dalam hadits ini  ialah tidur dalam keadaan duduk yang tetap dan menurut riwayat lain,  para sahabat itu tidur dalam keadaan duduk yang tetap sehingga kepala  mereka terangguk-angguk hampir mencecah lantai. Mereka tidak lagi mengambil wudhu dan terus menunaikan sembahyang Isya’.Wudhu seseorang yang tidur dengan  duduk yang tetap juga tidak batal jika pipi punggung atau salah satu pipi punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat selepas atau ketika dia bangun atau
sedar. Ini kerana asal keadaannya yang suci setelah berwudhu.

Tidur Yang Membatalkan Wudhu

Wudhu seseorang akan batal jika tidurnya itu dalam keadaan yang tidak memenuhi syarat atau ketetapan di atas, iaitu apabila dia tidur dengan posisi punggung yang tidak tetap,  tidur dengan posisi berdiri atau tidur  dengan posisi berbaring, menelentang mahupun bertiarap walaupun dengan menutup atau menyumbat sesuatu
seperti kapas pada ruang antara punggung dan tempat letak punggung tersebut.

Tidur dalam keadaan duduk  yang tetap  juga boleh  menyebabkan wudhu batal, jika  seseorang  mendapati
punggungnya telah berubah dari tempat asalnya atau terangkat sebelum dia bangun atau sedar ataupun tempat duduknya berlubang-lubang seperti kerusi rotan.

Ini kerana telah berlalu (berlaku) detik dia tidur dengan tidak tetap duduknya.

Adakah Wudhu Batal Disebabkan Mengantuk?

Wudhu seseorang tidak menjadi batal disebabkan mengantuk. Sekiranya seseorang menutup mata kerana mengantuk, tetapi masih dapat mendengarkan percakapan orang  di sekeliling, maka dia masih  boleh saja melakukan ibadat tanpa perlu mengambil wudhu semula kerana dia dikira masih jaga.

Antara tanda-tanda orang yang mengantuk itu  ialah, dia masih dapat mendengar percakapan orang di sekelilingnya walaupun tidak memahami percakapan  itu. Adapun jika dia tidak sedar, tidak mendengar lagi
percakapan di sekelilingnya dan bermimpi, maka dia telah dikira tidur.

Adakah Wudhu Batal Disebabkan Rasa Syak Atau Ragu?

Menurut para ulama, wudhu  seorang yang tidur dengan posisi duduk yang tetap tidak batal dalam keadaan seperti berikut:-

1) Jika dia merasa ragu atau syak sama  ada  pipi  punggungnya atau salah satu  pipi  punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat.

2) Jika  dia merasa ragu atau syak sama  ada  pipi  punggungnya atau salah satu  pipi punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat sebelum atau sesudah dia bangun atau sedar.

3) Jika  dia merasa ragu atau syak sama  ada dia tidur dengan posisi duduk yang tetap atau berubah.

4) Jika dia merasa ragu atau syak sama ada dia tidur atau hanya mengantuk.

Dalam hal lain mengenai perkara syak atau ragu ini juga,  ulama ada menjelaskan bahawa seseorang yang merasa yakin dia masih dalam keadaan suci atau berwudhu’ apabila dia merasa  ragu adakah wudhu’nya terbatal atau tidak, maka perasaan ragunya itu tidak menjejaskan wudhu’nya.

Oleh itu, dia boleh mendirikan sembahyang dengan wudhu’nya itu. Begitu juga sebaliknya, jika seseorang merasa yakin bahawa wudhunya sudah terbatal kemudian dia merasa ragu apakah dia masih mempunyai wudhu’, maka dihukumkan bahawa wudhunya telahpun terbatal.

Sekiranya timbul ragu  pada diri seseorang, maka hendaklah diteruskan dengan apa yang  diyakininya.  Ini bersesuaian dengan salah satu qa‘idah fiqhiyyah yang menyebut bahawa:

Ertinya:  “Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan.”  

Ini bermaksud keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala ragu adalah satu perasaan yang mendatang. Oleh itu, sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang diragui.

Sunat Berwudhu Walaupun Tidur Dengan Posisi Yang Tidak Membawa Kepada Batal Wudhu

Walau bagaimanapun, seorang yang tidur dengan posisi yang tidak menyebabkan wudhunya batal adalah disunatkan untuk berwudhu lagi atas alasan berwaspada  dari keberangkalian keluarnya hadats dan mengelak dari khilaf (perselisihan) para ulama.

Dalam pada itu juga, ulama  mazhab Syafi‘e  telah sepakat mengatakan bahawa memperbaharui wudhu itu adalah satu amalan yang dituntut mengikut keadaan tertentu.

Menurut pendapat yang  ashah, memperbaharui wudhu itu disunatkan hanya apabila dia telah mengerjakan sembahyang  fardhu atau sunat dengan wudhunya yang pertama tadi. Al-Qadhi  Abu ath-Thaiyib di dalam kitabnya Syarh al-Furu‘, al-Baghawi, alMutawalli, ar-Ruyani dan lain-lain ulama mazhab memutuskan bahawa jika seseorang itu belum menggunakan wudhunya yang  pertama dengan melakukan apa jua ibadah, maka hukum  memperbaharui wudhu itu adalah makruh. Ibnu Hajar  Rahimahullah pula menegaskan bahawa tuntutan sunat memperbaharui wudhu itu ialah apabila dia telah mengerjakan apa jua sembahyang sekalipun yang hanya satu rakaat. Jika dia tidak bersembahyang, walaupun telah melakukan sujud (sajdah atau syukur) ataupun thawaf tidaklah disunatkan memperbaharui wudhu, bahkan hukumnya adalah makruh.

Demikianlah  dihuraikan  beberapa perkara mengenai  tidur dalam keadaan berwudhu. Kesimpulannya, wudhu tidak batal disebabkan tidur dalam posisi duduk  dengan tempat yang tetap di atas lantai atau seumpamanya dan wudhu tidak batal jika ia  disertai dengan perasaan ragu akan berlakunya perkara-perkara yang membawa kepada batal akibat tidur.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil29-2012.pdf

Ahad, 25 November 2012

Kehebatan Ulamak Melayu Ahlus Sunnah Wal Jama'ah





Koleksi tulisan :  ALLAHYARHAM USTAZ WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERBICARAAN mengenai isu ini pernah dibentangkan penulis dalam satu seminar, yang mana penulis petik sedikit kalimat-kalimat dalam undangan tersebut yang ternyata sungguh mencabar dan prihatin, di antaranya,

"Seminar ini dianjurkan antara lain untuk menangani gejala kekeliruan umat Islam yang terjadi akibat penyusupan masuk pelbagai fahaman yang menyeleweng daripada pegangan yang berasas kepada al-Quran, As-Sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan Al-Qiyas as-shahih.
Kekeliruan ini ditambah lagi dengan kecetekan ilmu setengah umat Islam sendiri yang akhirnya menjadi kehairanan tidak tahu untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan akhirnya terpengaruh dengan slogan-slogan indah yang dibawa oleh pelbagai puak yang berkepentingan."

Mengenai istilah al-Quran, as-sunnah, Ijmak ulama yang muktabar dan al-Qiyas as-Shahih yang tersebut dalam kalimat secara umum di dunia Melayu, termasuk di Malaysia, pernah penulis bicarakan dalam ruangan ini dan juga diungkapkan dalam satu kertas kerja yang panjang yang dibentang dalam "SEMINAR baHAN RUJUKAN ISLAM NUSANTARA" yang dibentang di Brunei Darussalam.

Petikan ringkas dapat penulis rakamkan di sini,

"Ulama silam Nusantara, termasuk ulama silam Patani, akur bahawa rujukan dalam Islam yang paling utama ialah al-Quran dan hadis. Namun mereka tetap memerlukan rujukan yang banyak dengan berbagai-bagai disiplin ilmu yang dikarang oleh para ulama Islam.
Oleh itu, mereka mengukuhkan istilah pegangan iaitu al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas as-Shahih. Mereka menolak untuk menentukan segala persoalan Islam berdasarkan pemikiran otak semata-mata."

Sebenarnya ulama-ulama besar kita di dunia Melayu sejak lama sudah mempersiapkan benteng yang kukuh, membendung umat Islam kawasan ini daripada pelbagai penyelewengan.Ia dapat dibuktikan dengan karya-karya mereka dalam pelbagai keilmuan.

Ulama-ulama dunia Melayu yang dianggap menguasai banyak bidang ilmu di antaranya orang Banjar meriwayatkan bahawa Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1122 H/1710 M - 1227 H/1812 M) menguasai sekurang-kurangnya 35 bidang ilmu.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M) pula dirakamkan dalam majalah Pengasuh sanggup mengarang dan mengajar sekurang-kurangnya 47 bidang ilmu. Dalam majalah Pengasuh terbitan yang sama juga disebutkan bahawa Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali, 1287 H/1871 M -1352 H/1933 M) memperoleh 24 bidang ilmu daripada gurunya, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sungguhpun demikian yang sangat-sangat diberatkan atau ditekankan sebagai fardu ain adalah tiga bidang ilmu, ialah akidah, fiqh dan tasawuf. Ketiga-tiga jenis ilmu di atas inilah dianggap benteng pertahanan golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah di dunia Melayu.

Walau bagaimanapun, yang benar-benar bernama Ahlus Sunnah wal Jamaah itu menurut kebanyakan ulama ialah pegangan pada akidah, yang dalam hal ini terdapat dua tokoh imam besar. Kedua-dua imam tersebut ialah Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/873 M - 324 H/935 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333 H/944 M).

Imam dalam fiqh pula sekurang-kurangnya banyak dibicaranya empat orang ialah: Imam Hanafi (80 H/699 M - 150 H/767 M), Imam Maliki (93 H - 179 H), Imam Syafi'ie (150 H/768 M - 204 H/820 M) dan Imam Hanbali (164 H - 241 H). Imam dalam tasawuf pula ialah Sheikh Junaid al-Baghdadi (wafat 297 H/910 M).

Karya-karya ulama Melayu sebagai Ahli Sunnah wal Jamaah

Ilmu akidah di kalangan ulama dunia Melayu, bahkan secara keseluruhan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah di seluruh dunia Islam dinamakan juga dengan ilmu tauhid, ilmu kalam, ilmu ushuliddin, dan lain-lain. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam Jumanatut Tauhid menyebut bahawa ilmu tauhid itu seumpama matahari, ilmu-ilmu selainnya ibarat seperti bintang-bintang saja.

Di dunia Melayu, termasuk Malaysia, disiplin ilmu tauhid adalah termasuk ilmu yang paling diutamakan. Ini dapat dibuktikan dengan sangat banyak kitab ataupun risalah mengenai ilmu itu ditulis oleh ulama-ulama kita.
Untuk menyenaraikan keseluruhan ulama-ulama yang mengarang ilmu ini adalah terlalu banyak.

Karya ilmu tauhid/ akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang lengkap nama pengarang serta dengan tahunnya yang paling awal dihasilkan adalah ulama yang berasal dari Kedah. Beliau ialah Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) dengan karya Ilmu Tauhid yang ditulis tahun 1032 H/1622 M.

Kitab ilmu tauhid yang paling tebal pula ialah Warduz Zawahir (1245 H/1829 M) susunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Diikuti kitab berjudul Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashauwufis Shaaffin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan Fat-hul 'Alim (1324 H/1906 M) karya Haji Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad Afif al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri.

Karya ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikarang ulama dunia Melayu dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam (1293 H/1876 M) dan Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M) yang ketiga-tiganya karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Antara kitab lain dalam bahasa Arab juga iaitu Fat-hul Majid fi Syarhid Duraril Farid fi 'Ilmit Tauhid (1294 H/1877 M), Tijanud Darari fi Syarhi Risalatil Bajuri (1297 H/1880 M) dan Zari'atul Yaqin fi Syarhi Ummil Barahin atau Ad-Durratun Nadhra 'alal 'Aqidatish Shughra (1302 H/1885 M), ketiga-tiga karangan Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

Kitab ilmu tauhid/akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang besar pengaruhnya di dunia Melayu pula ialah: Ad-Durrus Tsamin (1232 H/1816 M) karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Faridatul Faraid (1313 H/1895 M) karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sirajul Huda (tanpa tarikh) karya Sheikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi dan 'Aqidatun Najin (1308 H/1891 M) karya Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani.

Perhatian raja-raja Melayu

Jauh sebelum kemerdekaan Indonesia (17 Ogos 1945), hampir semua kerajaan dalam jajahan Belanda di dunia Melayu, termasuk di Semenanjung yang dijajah oleh Inggeris berpegang teguh dengan Mazhab Syafie dalam fiqh dan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam akidah.

Perhatian raja-raja Melayu mengenai perkara yang tersebut sangat jelas, sebagai contoh tokoh Johor, bernama Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar dalam karya akidahnya berjudul Matnur Risalatit Tauhidiyah pada pendahuluan dicatatkan,

"Dan lagi inilah satu daripada beberapa risalah dan kitab-kitab pelajaran yang dibawa balik ke Johor oleh Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Johor, iaitu pada masa Al-Marhum itu melawat negeri Mesir di dalam bulan Mac tahun 1893 [Masihi]."

Dimaksudkan ialah sebuah risalah tauhid Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berjudul Al-'Uqudud Durriyah karya ulama Mesir bernama Sheikh Hamzah Fathullah, pemeriksa sekolah-sekolah Arab di Mesir. Karya tersebut diterjemahkan oleh Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar ke dalam bahasa Melayu. Setelah menterjemahkan matan, Dato' Abdullah bin Abdur Rahman Muar menulis pula syarah risalah itu yang diberi judul Syarhur Risalatit Tauhidiyah.

Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib Jabbar Syah al-Jarimi al-Fathani adalah seorang ulama Patani yang menjadi guru Sultan Pahang, dalam karya akidahnya berjudul Najatul Ikhwan fima Yahshulu bihil Islam wal Iman (1337 H/1919 M).

Pada halaman muka dinyatakan, "Diterjemahkan ini kitab dengan titah Yang Maha Mulia al-Mu'tashim Billah as-Sulthan Abdullah al-Muzhaffar Syah ibni al-Marhum as-Sulthan Ahmad al-Mu'azhzham Syah Pahang ...".

Daripada kedua-dua maklumat di atas dapatlah diambil kesimpulan bahawa raja-raja Melayu silam mengambil perhatian berat tentang membentengi negeri-negeri di bawah naungan baginda dengan pegangan yang betul, itulah akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

PETIKAN KANDUNGAN BEBERAPA KITAB ULAMA MELAYU

Terlalu banyak pegangan keislaman yang tepat dan betul telah diamalkan oleh para ulama dunia Melayu dan para ulama seluruh dunia yang pada zaman kita menjadi sebaliknya. Bagi yang betul dikatakan salah dan yang salah dikukuhkan sebagai betul.

Pada zaman ini, kita banyak kali terlihat tulisan atau orang bercakap yang menghina ulama. Di antara tulisan itu seperti dikatakan, "Ulama pembohong" dan lain-lain. Siapakah yang bertanggungjawab menulis demikian, dan ulama yang bagaimanakah yang dimaksudkan sebagai pembohong itu, adalah tidak jelas.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di dalam karyanya Ad-Durruts Tsamin (1232 H/1816 M) pernah mengungkapkan bahawa manusia ada jenis yang dinamakan hubbul ulama, iaitu "kasih kepada ulama", dan sejenis lagi dinamakan bughdhul ulama, iaitu "benci kepada ulama".

Penulis tidak hairan jika mencaci, menyalahkan dan memperkecil-kecilkan ulama itu dilakukan oleh orang-orang yang jahil, tetapi adalah sangat menghairankan jika perbuatan seperti itu dilakukan golongan terpelajar Islam sendiri.

Dalam beberapa seminar yang pernah penulis ikuti yang bermotifkan untuk mengangkat martabat seseorang ulama silam yang terkenal misalnya, sekian ramai yang memuji ulama, namun segelintir ada pula yang memperkecil-kecilkan dan memandang sinis kepada ulama silam yang sedang difokuskan.

Bahkan ada yang memandang sesat terhadap ulama silam itu. Ada yang berani menyalahkan Imam Abu Hasan al-Asy'ari, Imam Al-Ghazali dan lain-lain, yang telah demikian terkenal dan menjadi ikutan dan rujukan ulama Islam sedunia berzaman-zaman.

Ulama silam dunia Melayu sama juga nasibnya, segelintir golongan terpelajar Islam dengan tulisan tajam dan suara lantang berani menyalahkan ulama-ulama seperti Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan ramai lagi.
Sedangkan mereka itu telah dianggap sebagai ulama yang tsiqah dan turas dunia Melayu oleh ulama rantau ini, sejak antara seratus hingga dua ratus tahun yang lalu.

Bahkan di antara mereka diakui keulamaan dan benar ilmunya oleh ulama-ulama antarabangsa pada zamannya. Umat Islam yang jahil kehilangan pedoman kerana ulama silam yang terkenal dengan kitab-kitab karangannya yang telah diajarkan sekian lama, lalu dipersalahkan oleh tokoh-tokoh Islam masa kini. Tokoh-tokoh Islam masa kini pula sering menyalahkan antara seorang terhadap orang lain yang hidup sezamannya.
Dari hal-hal yang tersebut, kewibawaan ulama dan tokoh Islam zaman kita telah sirna/hilang, akibatnya orang berani menggelar mereka sebagai "Ulama pembohong" seperti yang telah disebutkan di atas.

Isu Jihad

Isu semasa yang terjadi pada zaman kita ini terlalu banyak untuk disentuh. Namun kerana kekurangan ruangan, penulis masuk saja peristiwa terhangat dibicarakan setelah kejadian 11 September 2001, iaitu istilah "JIHAD" yang terjadi pelbagai pentafsiran dan kebersimpangsiuran pendapat antara satu dengan yang lainnya.

Penulis berpendapat bahawa "JIHAD" jika ditinjau dari kitab-kitab fiqh Mazhab Syafie adalah satu istilah yang kadang-kadang digunakan perkataan Kitab al-Jihad, kadang-kadang digunakan perkataan Bab al-Jihad.

Ulama-ulama dunia Melayu menterjemahkan istilah jihad itu dengan "perang sabil", "perang fi sabilillah" dan "perang orang Islam melawan kafir".

Sama ada kita menyetujui atau pun tidak, kerana mempertimbangkan keadaan di pemerintahan mana kita berada atau zaman bila kita hidup, kita mesti mengakui dan berkata benar bahawa dalam fiqh Mazhab Syafie perkataan jihad adalah satu istilah yang ditakrifkan seperti di atas telah ijmak dan muktamad.

Jika kita sebagai seorang ulama, mentakrif pengertian jihad lain dari demikian itu, maka pasti akan dicap dengan perkataan "Ulama pembohong" seperti tersebut di atas oleh orang-orang yang mempelajari fiqh Mazhab Syafie secara teliti, mendalam dan saksama.

Oleh itu kenal pastilah supaya kita tetap amanah dengan ilmu pengetahuan. Katakanlah yang sebenar walau pahit sekali pun.

Mengenai jihad, seperti tersebut di atas, penulis sentuh sehabis-habis ringkas, teliti dan berhati-hati, adalah sebagai catatan penulis mengenai peristiwa besar zaman tersebut (1422 H/ 2001 M).

Namun penulis tiada bermaksud menuding pendapat orang-orang yang tidak menyetujuinya. Selain itu, penulis juga tiada bermaksud mempengaruhi siapapun jua, kerana penulis sedar bahawa kepentingan jasmani dan nafsu peribadi yang cenderung ke arah kebendaan dan seluruh aspek duniawi seseorang adalah berbeza dengan kepentingan rohani yang lebih menekankan seluruh aspek ukhrawi.

Selagi kadar kepentingan jasmani dan nafsu lebih dari kadar kepentingan rohani selagi itulah konsep jihad akan ditolak walaupun telah disepakati oleh para ulama berdasarkan hujah-hujah yang teguh dan kukuh dari al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Jika kita benar-benar sebagai seorang Muslim dan Mukmin, kita mesti berpihak dan menerima kebenaran. Pada yang benar itu ialah secara pasti mengikut al-Quran, as-sunah, dan para ulama yang benar, yang beramal soleh. Itulah para ulama yang secara pasti meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi dari segala kepentingan lainnya, termasuk kepentingan peribadi sendiri.

Ciri-ciri Muslim dan Mukmin yang benar, seperti tersebut, terdapat pada ulama-ulama silam dunia Melayu. Oleh itu mereka adalah layak kita ikuti jejak perjuangan mereka.

Sumber : http://ulama-nusantara.blogspot.com/2009/06/kehebatan-ulama-melayu-ahli-sunnah-wal.html

Jumaat, 23 November 2012

Soal Jawab Amalan Di Bulan Muharram



Soal Jawab bersama Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre :

Soalan : 

Ustaz.. Boleh tak terangkan berkenaan puasa asyura? Bila puasanya? Saya dengar 9 & 10 Muharram. Ada yang bagitau saya 11 pun sunnat puasa. Bagaimana yang terbaik? Apa lagi amalan baik di hari Asyura? Syukran.

Jawapan:

Kita akan berjumpa hari 'Asyura' (عاشوراء) sekali lagi. Di bawah ini saya nyatakan beberapa hukum yang disebutkan oleh para Fuqaha' berkaitan 'Asyura'.

1. Bilakah 'Asyura'?

Pendapat pertama : Ibn Abbas Radhiyallahu 'Anhuma berpendapat 'Asyura' adalah pada 9 Muharram. Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha' berpendapat 'Asyura' adalah pada 10 Muharram.

2. Bila Sunnah Puasa?

Sunnah berpuasa seluruh bulan Muharram. Ini kerana ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram.Sunnah muakkadah (yang sangat dituntut) berpuasa pada 10 Muharram (hari 'Asyura').Sunnah juga berpuasa pada 9 Muharram.Sunnah juga berpuasa pada 11 Muharram.Sunnah juga berpuasa 1-10 Muharram menurut sebahagian Fuqaha'.

3. Kelebihan berpuasa pada 10 Muharram?

Diampunkan dosa setahun yang lalu (hadis sahih riwayat Imam Muslim).Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan daripada Fir'aun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran*. Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada 'Asyura') kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa.

* ia juga dalil bahawa Islam membenarkan sambutan diadakan untuk mensyukuri sesuatu perkara setiap tahun. Oleh kerana itu juga, maka sambutan maulid dibenarkan di dalam Islam sebagai tanda kesyukuran.

4. Mengapa pula puasa pada 9 Muharram?

Hadis Nabi yang bermaksud: Jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan. Namun baginda telah wafat pada tahun berikutnya.Membezakan dengan amalan orang Yahudi.Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.Termasuk 10 hari pertama Muharram yang disunnahkan berpuasa oleh sebahagian Fuqaha'.

5. Hikmah berpuasa pada hari 11 Muharram?

Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.

6. Apakah amalan terbaik selain berpuasa pada hari 'Asyura'?

Meluaskan rezki (berbelanja makanan, minuman, menggembirakan kanak-kanak dan kaum keluarga).

7. Apakah kelebihannya?

Dilapangkan oleh Allah rezekinya selama setahun.*

* Hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Attabrani dengan pelbagai sanad. Imam Baihaqi menyebutkan, sanad-sanadnya dhoif, tetapi apabila dihimpunkan kesemuanya maka ia menjadi kuat.

8. Apakah yang dilakukan oleh para salafussoleh pada hari 'Asyura'?

Disebutkan di dalam nota kaki kitab Fathul 'Allam oleh Syaikhuna Muhammad Alhajjar, menakalkan kitabAlmadkhal oleh Ibnul Hajj, para salafussoleh tidak akan melalui musim-musim ini melainkan dengan banyaknya ibadah, sedekah, berbuat kebajikan dan meraih kelebihannya, bukanlah dengan makan dan minum, bahkan bersegera menambahkan sedekah dan berbuat baik.

9. Apakah contoh amal kebaikan yang digalakkan oleh para ulamak untuk dilakukan pada hari tersebut?

Apa jua amalan kebajikan baik dilakukan pada hari yang mulia tersebut. Antara yang diajarkan oleh para ulamak adalah bersiwak, bercelak, berwangi-wangi, mengusap kepala anak yatim, menziarahi orang soleh dan para ulamak.

10. Ada tak doa yang ulamak dahulu amalkan pada hari tersebut?



Do'a dibaca pada hari 'Asyura'


11. Apa hukumnya merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syi'ah pada hari 'Asyura' meratapi pemergian Sayidina Husin?

Hukumnya haram. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah)."

Wallahu A'lam

Sumber : http://aljoofre.iluvislam.com/?p=40

Isnin, 19 November 2012

Isu Insya Allah yang kononnya dibangkitkan oleh Dr Zakir Naik




Soalan :

Tersebar dalam facebook seorang dai'e internasional menyatakan tulisan InshaAllah adalah salah. dan perlu ditulis In shaa Allah. Betulkah perkara ini ?


Jawapan :

Jika di Malaysia kita akan merujuk kepada Dewan Bahasa Pustaka kerana pihak ini yang bertanggungjawab untuk menterjemahkan / transliterasi Arab-Melayu dan apa sahaja yang berkaitan dengan Bahasa Melayu.

Rujuk : http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=insya+allah


insya-Allah jika diizinkan Allah. Kamus Pelajar Edisi Kedua
insya-Allah jika diizinkan Allah. Kamus Pelajar
insya-Allah jika diizinkan Allah. Kamus Dewan Edisi Empat

Di Malaysia kita sudah sedia maklum bila ditulis Insya Allah ataupun Insha Allah ertinya jika diizinkan Allah . Sepatutnya tiada masalah tentang perkara ini.

Wallahua'lam

Tambahan :


Di dalam kalimat arab ia akan menjadi satu masalah apabila ditulis : (إنشاء الله) - bermaksud mencipta Allah

Dan ia sepatutnya ditulis إن شاءالله - bermaksud -sekiranya dikehendaki Allah

(pernyataan dai'e internasional di atas sepatutnya merujuk dalam kalimat Arab yang ditulis dalam tulisan arab dan bukan tulisan rumi)

Dalam rumi kita tiada masalah yang timbul sebab pakar bahasa Dewan Bahasa Dan Pustaka telah mengesahkan tulisan Insya Allah itu bermakna - Dengan Izin Allah.

Dr Zakir Naik yang kita kenali adalah seorang pendakwah terkenal antarabangsa yang berani berhujjah di kalangan non Muslim dan di tangannya ramai yang memeluk Islam. Namun begitu beliau bukanlah seorang yang diiktiraf sebagai ulamak untuk mengeluarkan hukum dan rujukan dalam perkara aqidah. Antara fatwa mengenai Dr Zakir Naik klik di sini.

Penafian dari Dr Zakir Naik mengenai isu Insha Allah ini  Sila klik gambar untuk besarkan:




Jumaat, 16 November 2012

Hukum Menggunakan Tasbih Kayu Kokka



Hukum Menggunakan Tasbih Kayu Koka 

Soalan :

Kayu kokka dikatakan mempunyai banyak kelebihannya dan telah digunakan oleh para nabi sebagai bukti kekuasaan Allah subahanahu wa Ta'ala dalam memberikan perlindungan dan penawar kepada manusia. Jadi bolehkah kita menggunakan tasbih daripada kayu kokka ?

Jawapan Syeikh Nuruddin Al Banjari : 

Kokka ialah sejenis buah keras, besar sedikit daripada buah pinang. Ubat-ubatan yang kita guna, ada untuk sakit gigi, sakit kepala dan sakit perut. Orang minum air tongkat ali ada khasiatnya. Dikatakan, jika airtnya diminum ia boleh menyembuhkan sakit gigi, menghilangkan sakit kepada dan tidak perlu kepada dalil. Ia adalah suatu penemuan.

Jika dikatakan sesiapa yang menggunakan tasbih kayu kokka akan masuk syurga atau dikatakan sekali berzikir dengan sebiji tasbih kokka akan digandakan 100 kali ganda, maka baharulah perlu kepada dalil. Tidak salah jika sentiasa menggunakan tasbih kayu kokka.

Contoh, seseorang yang sangat meminati kayu kayan sehingga seluruh rumahnya dibina daripada kayu termasuklah perabot dan peralatan-peralatan di dalam rumah. Adakah menggunakan kayu secara berterusan juga dilarang ? Begitulah juga orang yang selalu menggunakan tasbih kayu kokka, tidak ada salahnya. 

Sumber : Muhadir bin Hj Joll, Q & A bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al Makki, m/s 32, Cetakan 2012, PSN Publication, Selangor.

Ahad, 11 November 2012

Hukum Menghadiahkan Pahala Kepada Orang Yang Hidup

Soalan :

Adakah kita boleh menghadiahkan pahala kepada orang yang masih hidup ?

Jawapan :

Ketika berkorban, Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam menyembelih dua ekor kambing. Untuk kambing yang pertama Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

هذا لي و لأهل بيتي

Maksudnya : Ini adalah untukku dan untuk ahli keluargaku

Manakala kambing yang kedua, Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

هذا لأمتي التي لم تضح

Maksudnya : Ini adalah untuk umatku yang tidak melakukan ibadah korban.

Dalam hadith lain, Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :

صليت مع رسول الله عيد الأضحى فلما انصرف أتي بكبش فذبه فقال : بسم الله و الله أكبر اللهم عني و عمن لم يضح من أمتي


Maksudnya : Aku (Jabir) pernah sembahyang bersama RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pada Hari Raya Korban. Ketika Baginda berpaling, dibawa kepada Baginda seekor biri-biri, lalu Baginda pun menyembelihnya dan berkata : Dengan nama Allah, Allah maha Besar, Ya Allah inilah korban daripadaku dan untuk mereka yang tidak berkorban daripada umatku.

(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan at Tirmidzi)

Ulama mengatakan bahawa ini adalah dalil yang menunjukkan kita boleh menghadiahkan kepada orang yang masih hidup.

Demikian juga membaca al Fatihah atau bacaan-bacaan lain kepada orang tua yang masih hidup.

Rujukan  : Muhadir bin Hj Joll, Q & A bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al Makki, m/s 49-50, Cetakan 2012, PSN Publication, Selangor.

Ahad, 21 Oktober 2012

Hukum Solat Jumaat Yang Jatuh Pada Hari Raya Aidilfitri Atau Hari Raya Aidiladha

Oleh : Ustaz Ayman Akiti
Setiap kali terjadinya hari raya Eid Adha atau Eid Fitri pada hari Jumaat, maka banyaklah pula orang yang bertanya tentang kewajiban melakukan solat Jumaat pada hari itu.

Maka untuk menjawab persoalan ini, saya katakan ini adalah khilaf mazhab antara Hanbali dan 3 Mazhab yang lain. Menurut 3 mazhab yang lain, bahwa melakukan solat Zuhur adalah tetap wajib kerana solat Eid tidak berarti mengugurkan solat Jumaat. Menurut Maliki tetap wajib sebagaimana termaktub dalam kitab Syarh Mukhtashar Khalil oleh al-Kharshi Juz 2 P. 93: 

أو شهود عيد أضحى أو فطر إذا وافق يومها لا يباح التخلف عنها ولو أذن الإمام في التخلف وسواء كان مسكن من شهد العيد داخل المصر أو خارجه

Mazhab Hanafi pula tersebut di dalam kitab Tabyin al-Haqa'iq oleh al-Zaila'i Juz 2 P. 224: 

وفي الجامع الصغير عيدان اجتمعا في يوم واحد فالأول سنة والثاني فرض ولا يترك واحد منهما

yaitu solat yang pertama (Eid) adalah sunat dan solat kedua (Jumaat) adalah fardhu.

Sedangkan menurut mazhab Syafi'I tersebut dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin oleh Ba'alwi:

(مسألة) : فيما إذا وافق يوم الجمعة يوم العيد ففي الجمعة أربعة مذاهب ، فمذهبنا أنه إذا حضر 
أهل القرىوالبوادي العيد وخرجوا من البلاد قبل الزوال لم تلزمهم الجمعة وأما أهل البلد فتلزمهم

Maka kesimpulan mazhab Syafi'I kita, kalau bagi orang perdalaman yang jauh dari masjid Jami' maka mereka dapat keringanan untuk meninggalkan Jumaat, sedangkan bagi yg tinggal di bandar atau dekat dengan masjid Jami' maka solat Jumaat tetap diwajibkan kerana tidak susah baginya untuk melakukan perjalanan ke masjid untuk menunaikan kedua solat tersebut.

Sedangkan yang memperbolehkan meninggalkan Jumaat adalah mazhab Hanbali seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Qudamah dalam kitab al-Mughni Syarah al-Kabir Juz 2 P. 105: "وإن اتفق عيد في يوم جمعة , سقط حضور الجمعة عمن صلى العيد , إلا الإمام , فإنها لا تسقط عنه إلا أن لا يجتمع له من يصلي به الجمعة".

Kesimpulannya, dengan hadirnya solat Eid, berarti menghilangkan kewajiban menghadiri solat Jumaat, tapi bukan menghilangkan kewajiban solat pada siang tersebut. Oleh itu, mereka tetap mewajibkan solat Zuhur.

Dalil menurut Majority ulama yang mewajibkan solat Jumaat adalah kerana umumnya ayat dan khabar tersebut. Lebih-lebih lagi kedua solat tersebut dianggap wajib, maka salah satunya tidak boleh mengugurkan yang lain pula, seperti solat Eid tidak dapat mengugurkan solat Zuhur.

Sedangkan dalil mazhab Hanbali adalah hadis riwayat Iyas bin Abi Ramlah asy-Syami:

"شهدت معاوية يسأل زيد بن أرقم، هل شهدت مع رسول الله صلّى الله عليه وسلم عيدين اجتمعا في يوم واحد؟ قال: نعم، قال: فكيف صنع؟ قال: صلى العيد، ثم رخص في الجمعة فقال: « من شاء أن يصلي فليصل » أو « من شاء أن يجمّع فليجمِّع »". 

("Saya melihat Mu'awiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam RA., "Apakah ketika bersama Rasulullah saw. engkau pernah menjumpai dua hari raya bertemu dalam satu hari?" Zaid bin Arqam menjawab, "Ya, saya pernah mengalaminya". Mu'awiyah bertanya lagi, "Apa yang dilakukan Rasulullah saw. ketika itu?" Dia menjawab, "Beliau melakukan shalat Ied dan memberi keringanan untuk meninggalkan shalat Jumat. Beliau bersabda, "Barangsiapa ingin melakukan shalat Jumat maka lakukanlah." Atau riwayat lain "Barangsiapa yang ingin mengumpulkan maka kumpulkanlah"). Riwayat Abu Daud dan Ahmad.

Dari sini menunjukkan secara jelas bahwa keguguran Jumaat di sini adalah mengugurkan kehadiran bukan mengugurkan kewajiban Jumaat itu sendiri. Maka hukumnya di sini seperti orang yang sakit yang ada uzur atau kesibukan yang memperkenanan meninggalkan Jumaat. Bukan berarti mengugurkan kewajibannya.

Juga ada riwayat dari Abu Hurairah RA.:

عن رسول الله صلّى الله عليه وسلم قال: « اجتمع في يومكم هذا عيدان، فمن شاء أجزأه من الجمعة، وإنا مجمّعون »
  

(Dari Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Pada hari ini telah bertemu dua hari raya. Barang siapa tidak ingin menunaikan shalat Jumat, maka shalat Ied ini sudah menggantikannya. Sedangkan kami akan tetap menunaikan shalat Jumat."). Riwayat Ibn Majah.

Walau bagaimanapun, ketentuan ulama Syafi'I yang memperkenankan orang perdalaman untuk meninggalkan Jumaat adalah untuk balik ke rumah mereka sebelum masuknya waktu Jumaat, kerana kalau mereka berada di Masjid Jami' ketika dikumandangkan azan Jumaat, maka tentulah mereka wajib menghadiri Jumaat. Illat sebenar diperbolehkan meninggalkan Jumaat adalah kerana meringankan mereka yang terpaksa datang jauh untuk solat Eid, lalu kalau pulang, dan ingin berangkat kembali untuk solat Jumaat maka ditakutkan terlepas waktu lagi. Maka kalau mereka meninggalkan perjalanan pulang ke perdalaman, maka hukumnya tetap seperti hukum asal yaitu wajib melaksanakan Jumat. (Buka Bujayrami ala al-Khatib Juz 2 P. 167 dan al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah Juz 27 P. 209).

Sesuai dengan kondisi kita yang berada di Morocco, maka saya mensarankan untuk tetap melakukan solat Jumaat walaupun kita sudah melakukan solat Eid. Ini diberpegang pada kaedah "الخروج من الخلاف مستحب" (keluar dari kontraversi adalah dianjurkan). Pernyataan ini juga seperti yang termaktub di al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah: " والأفضل له حضورها خروجا من الخلاف" (Yang lebih afdal baginya adalah menghadiri Jumaat kerana keluar daripada khilaf). 

Khamis, 18 Oktober 2012

Amalan-amalan Pada Bulan Zulhijjah


Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre

Allah Ta’ala berfirman di dalam Surah Al-Fajr, ayat 1-2 yang lebih kurang ertinya:

“Demi waktu Fajar, dan malam yang sepuluh”

Para Ulamak berselisih pada tafsiran ayat di atas. Al-Imam Assuyuthi di dalam Tafsirnya mengatakan Al-Fajr di daam ayat tersebut membawa erti setiap pagi secara mutlak. Sesetengah ulamak pula mengatakan, pagi hari pertama Zulhijjah, ada yang mengatakan pagi 9 Zulhijjah (Hari Arafah) dan ada yang mengatakan ia memberi isyarat kepada pagi 10 Zulhijjah.

Malam yang sepuluh atau Walayalin Asyr di dalam ayat yang kedua pula mempunyai tiga tafsiran. Sesetengah Ulamak mengatakannya sepuluh malam terakhir Ramadhan. Tafsiran kedua, ia adalah sepuluh malam pertama bulan Muharram. Tasfiran yang ketiga dan masyhur seperti dipersetujui oleh Imam Suyuthi, yang dimaksudkan di sini adalah sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah. Pendapat ini juga disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Nasiriddin Addimasyqi As-Syafie.

Sebahagian ulamak salafussoleh menyebutkan, terdapat 3 himpunan sepuluh hari yang dimuliakan oleh Allah iaitu, 10 hari terakhir bulan Ramadhan, 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan 10 hari pertama bulan Muharram. Sebahagian ulamak mengatakan, antara ketiga-tiga himpunan tersebut, 10 hari pertama bulan Zulhijjah adalah yang paling mulia, kerana padanya terdapat Hari Tarwiah (8 Zulhijjah), Hari Arafah (9 Zulhijjah) dan Hari Nahr (10 Zulhijjah), selain ia merupakan penutup kepada Asyhurum Ma’lumat (bulan-bulan yang dimaklumkan untuk melakukan ibadah Haji).

Selain itu, fadilat bulan Zulhijjah ini sebagai salah satu bulan Haram yang mulia tidak perlu disebutkan lagi di sini dan umum patut sudah mengetahuinya.

Oleh itu, wahai saudaraku sekalian, rebutlah peluang untuk mengecas semula bateri keimanan kita yang kian pudar, dan menggarap sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Allah yang Maha Pemurah kepada hamba-Nya dengan memuliakan hari-hari ini. Marilah kita memperbanyakkan lagi amal ibadat kita secara umum dan mempertingkatkan lagi kualiti ibadah yang sedia ada.

Ulamak Salafussoleh juga menganjurkan kita memperbanyakkan bacaan-bacaan di bawah sepanjang 10 hari pertama bulan Zulhijjah. (Maaf, ada masalah pada Arabic Font, jadi perlu ditransliterasikan ke rumi)

La Ilaha Illallah ‘adadad duhur
La Ilaha Illallah ‘adada amwajil buhur
La Ilaha Illallah ‘adadan nabati wassyajar
La Ilaha Illallah ‘adadal qutri walmator
La Ilaha Illallah ‘adada lamhil ‘uyun
La Ilaha Illallah khairum mimma yajma’un
La Ilaha Illallah min yaumina hadza ila yaumi nufikha fis sur

Ana sebutkan tujuh zikir sahaja daripada banyak lagi zikir yang dianjurkan, kerana tujuh zikir di atas adalah yang paling masyhur dan disepakati oleh para salafussoleh. Untuk mendapatkan lagi zikir yang lain rujuklah kepada tok-tok guru yang mulia.

Usah dilayan pula mereka yang ditimpa “Mental Block” sehingga mengatakan amalan ini bid’ah yang haram dan sebagainya. Biarkan sahaja mereka dengan khayalan mereka. KIta teruskan beribadat mengikut sunnah dan memperbanyakkan zikir, moga ditenangkan hati-hati kita oleh Allah dengan mengingati-Nya. Semoga kita diberi kemudahan oleh Allah untuk merebut peluang yang diberikan pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah ini. Amiin.

Sumber : http://aljoofre.iluvislam.com/?cat=9